Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, January 25, 2012

(Tok) Wan Dalam Kenangan.

Assalamualaikum.

Hari ini tak mungkin sama lagi bagi keluarga Haji Md. Arshad. Katil itu sudah kosong. Wah macam mana nak menulis ni, hati tak tertahan, air mata bercucuran! Tiada lagi sekujur tubuh yang dirindui anak-anak, cucu dan cicitnya.

23  Januari 2012

Boleh dikatakan semua ahli keluarga berkumpul di rumah Atam dan Mak Tam, meraikan majlis merisik anak mereka. Mama dan Pak Long, Pak Ngah dan Mak Ngah, Mak dan Abah, Ateh dan Mak Teh, Acu dan Mak Su, semuanya ada, bawa sekali anak-anak, termasuk kami, saya dan suami. Riuh, meriah. Begitulah selalunya kebiasaan keluarga ini, apa saja majlis dan aktiviti, selalu disertai oleh semua ahli keluarga, tidak terkecuali. Andak dan Mak Andak tak dapat balik, ada hal katanya, lagipun minggu lepas mereka baru saja pulang, jumpa dengan Wan yang sekali lagi dimasukkan ke hospital. Ini hari ke 13 Wan dimasukkan ke hospital, esok doktor kata dah boleh balik, cerita Tok, bila saya tanyakan keadaan Wan.

Tok ada sekali dengan kami. Adik, Shidi ditugaskan jaga Wan sekejap di hospital, sementara yang lain membantu di majlis Atam dan Mak Tam. Riuh rendah dengan gelak tawa, usik mengusik. Ini salah satu perkara yang membuat saya kagum dengan keluarga besar ini. Saya sangat gembira dan sayangkan keluarga ni, macam saya sayangkan keluarga sendiri. Sikap saling membantu, kasih sayang, cukup kuat, terasa diri tak pernah dianggap asing dan terpinggir.

Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Usai tetamu pulang, mak dapat panggilan telefon dari adik di hospital, katanya Wan kena strok lagi! Kami dikerah bergegas segera ke KMC (Kedah Medical Centre), tempat Wan dirawat. Kami (saya dengan abang) sampai paling lewat. Di sana, kami diberitahu Wan dimasukkan ke ICU (Intensive Care Unit) sekali lagi. Katanya Wan alami kekejangan. Kami masuk melihat Wan di ICU bergilir-gilir dengan pak cik-pakcik dan mak cik- mak cik yang lain. 

Melihatkan keadaan Wan petang tu, hati rasa sangat sebak! Wan tak sedarkan diri. Mata putihnya kelihatan. Dadanya berombak laju. Nafasnya mendengus kuat. Keadaan Wan hari ini (sepanjang pengamatan sepanjang 4 bulan bersama keluarga ini) tak sama dengan keadaannya semasa dimasukkan ke hospital kali yang terdahulu, tidak sama juga dengan keadaan sepanjang 13 hari di hospital kali ini.

Tok bacakan ayat suci Al-Quran di hujung kaki Wan. Ateh dan abang mengusap lembut dahi dan lengan Wan. Dari riak wajah Mak Su dan Mak Teh, saya tahu, mereka pun rasa apa yang saya rasa. Hati hanya mampu menitipkan doa buat Wan... (T_T). Bila hari menginjak senja, kami beransur pulang, doktor kata keadaan Wan dah stabil. Mak telefon Andak dan Mak Andak, maklumkan keadaan Wan.

Malam itu, di rumah Tok, banyak perkara yang dibualkan. Saya menjadi pendengar setia, sambil melayan anak-anak saudara dan sepupu. Jam 1.00 pagi, mata dan berat sangat, saya dan abang naik beradu. Tinggal mak, abah, Ateh, Acu dan Mak Su yang masih bersembang di bawah. 

24 Januari 2012

Subuh. Dikejutkan dengan suara mak yang kedengaran berbual di telefon. Nama Wan disebut, tapi tak jelas butir perbualannya. Kemudian, kedengaran suara adik, Ika memanggil dari luar pintu. Katanya, "..Wan tenat..". Saya bingkas bangun, lalu kejutkan Abang. Kami terus solat Subuh, sementara mak, abah, Tok dan Ateh terlebih dahulu ke hospital, mengikuti Mama dan Pak Long yang pertama bergegas ke hospital setelah mendapat panggilan dari KMC.

Sedang kami bersiap untuk ke KMC, mak telefon, katanya Wan dah meninggal dunia. Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali. Abang tinggalkan saya di rumah Tok untuk kemaskan rumah dengan Kak Eda (kakak sulung) dan Mak Teh, sementara menunggu jenazah dibawa pulang ke rumah, buat kali terakhir. 

Saudara-saudara dan sahabat arwah berpusu mengunjungi rumah kami setelah mendapat berita pemergian arwah. Banyak kisah-kisah kebaikan arwah yang saya dengar. Arwah seorang yang sangat suka menghubungkan silaturrahim, sangat penyayang kepada kaum keluarga dan sahabat-sahabat beliau. Sangat baik dan sangat dihormati masyarakat setempat, bahkan arwah sangat rapat dengan Tun Dr Mahathir dan isteri, (rumah kami berjiran).

Arwah didoakan ramai orang, arwah dimandikan oleh semua anaknya, arwah disolatkan oleh hampir seribu orang di masjid. Arwah kelihatan seakan tidur di pembaringannya.

Tak banyak kenangan saya dengan Wan. Tapi yang sedikit itu cukup banyak memberi kesan kepada saya. Saya mula mengenali Wan tika kali pertama dibawa ke rumahnya untuk diperkenalkan kepada Tok dan Wan, masa tu Ustaz dan Ustazah yang temankan, mewakili ma abah saya. Wan dan Tok nak tengok bakal cucu menantu mereka masa tu. Kemudian jumpa lagi bila dijemput untuk datang jumpa ahli keluarga lain yang kebetulan balik ramai-ramai untuk perkahwinan sepupu abang. Kemudian, jumpa kali ketiga di majlis perkahwinan sepupu tu (bakal sepupu, waktu tu).

Seterusnya jumpa Wan di majlis meraikan pernikahan kami. Wan sangat ceria dan segak waktu tu (tersenyum sambil menangis mengingatkan peristiwa tu). 

Wan yang hensem!

Wan dan kami.

Malam ta'aruf dengan keluarga besar

Tak banyak kenangan saya dan Wan. Tak banyak saya dapat usap tangan dan kaki Wan. Tak kerap saya dapat cium tangan sejuk Wan. Empat bulan tidak cukup untuk saya kenal Wan, tapi dari orang-orang yang datang bercerita tentang Wan, saya tahu bagaimana peribadi Wan, dan saya faham kenapa Wan tetap hidup di hati kami, walaupun jasadnya telah pergi buat selamanya.

Damailah Wan di sana. Tunggulah kami, kerana kami juga bakal menyusuli Wan. Kenangan bersama Wan akan terus hidup bersama setiap helaan nafas kami, bersatu dengan setiap denyutan nadi kami, insyaAllah. Selautan kasih, secangkir hadiah sepotong Al-Fatihah dari kami anak, cucu dan cicit Wan. Al- Fatihah.

p/s: banyak yang tertampak, namun tak terluah! Pengajaran untuk saya yang baru 4 bulan berada dalam keluarga baru. Terima kasih ya Allah atas anugerah yang tak ternilai ni.


No comments: