Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, October 16, 2012

"..berdosa tau tak ada air sembahyang, pegang Al-Quran!.."

BismillahirRahmanirRahim.

Al-kisah 2 orang pencuri, di satu malam yang sunyi.

Pencuri 1: Aku rasa tuan rumah ni memang 'sengkek' la. Tak ada apa pun yang berharga dalam rumah ni.

Pencuri 2: Itulah. Aku pun rasa macam tu. Eh, orang tua dulu-dulu, suka letak duit dalam Al-Quran. Jom la kita cuba tengok, nak?

Pencuri 1: Ya tak ya jugak.

Pencuri 1 & 2 terjumpa sebuah Al-Quran, lantas pencuri 2 mengambil dan menyelak lembarannya sehelai demi sehelai.

Tiba-tiba, pencuri 1 menepis kuat tangan pencuri 2.

Pencuri 2: Eh, kenapa kau tepis tangan aku ni.Sakit tau, nasib baik Al-Quran ni tak jatuh!

Pencuri 1: Heh, berdosa tau tak ada air sembahyang, pegang Al-Quran!

Pencuri 2: Ha'a la. Macam mana ni, takkan aku nak kena ambil air sembahyang dulu? Nanti tuan rumah ni terjaga pulak.

Begitulah al-kisahnya 2 pencuri.

Wahai encik-encik pencuri, pegang Al-Quran tanpa wudhu', berdosa. Mencuri tu tak berdosa ke?

Moral: Amal tanpa ilmu, songsang. Ilmu tanpa amal, pincang.

Adaptasi tazkirah di IKIM.fm



Monday, September 10, 2012

Kepada: Mohd Razman b Ramzan. Pecah Kaca Pecah Gelas, Sudah Baca Harap Balas (^____^)

BismillahirRahmanirRahim.

Peringatan: (Apa kes peringatan di perenggan pertama ni).. he he.. Peringatan bahawa entri ni bukan entri tambah ilmu, jadi bolehlah pembaca abaikan entri ini, atau pindah ke blog lain yang lebih bermanfaat. Your life, your choice. He he... Ha, yang bernama Mohd Razman b Ramzan tu, sila jangan berganjak ya, he he he. Ini entri khas untuk abang.

Kalaupun ada yang akan kata, "Dah tu siapa yang suruh tulis kat blog yang public, privatekan saja" tapi saya nak tulis jugak kat sini, mana tahu satu hari nanti, kita boleh duduk sama-sama, sambil makan betik yang masak ranum, di bawah pohon nyiur yang melambai tenang, mengimbau kembali nostalgia yang telah kita tinggalkan, mengenang kembali memori yang pernah kita catatkan.

Eh, jap. Saya belum minta izin abang nak tulis ni. Ok, saya sms abang jap.

"Abang, boleh tak saya nak tulis tentang anniversary kita kat blog?", taip saya di skrin telefon.

"k, tulisla", cepat dan ringkas balasan abang.

"Tq, kalau abang tak suka, lepas baca kita delete tau", sms seterusnya dihantar.

"k", balasan seterusnya diterima.

Hik hik, awal-awal nikah dulu, dapat reply "k" je mulut saya mengomel.

"Kita penat-penat tulis panjang-panjang, dia reply 'k' je"

Hi hi hi... sekarang dah tak mengomel dan merajuk dah, sebab dah faham abang, walaupun masih belum sepenuhnya, Alhamdulillah.

Abang,

Abang tau tak hari ni hari apa? (ok, tiru skrip drama). Hari ni, genap setahun kita diijabkabulkan. Rasa sekejap sangat kan, bang? Dah setahun dah. Ingat lagi masa taaruf kita kat rumah ustaz dan ustazah. Abang nampak cool je lepas ustaz suruh abang perkenalkan diri. To be honest, he he... telinga saya tak dapat tangkap sangat pun apa yang abang cakap waktu tu, sebab berdebar yang amat, Allah saja yang tahu. Hu hu.. Dengan 6 pasang mata yang perhatikan kita, adoi.. macam nak luruh jantung!  Mata dok renung lantai, agaknya kalau ada kuasa macam superman, dah berlubang rumah ustazah tu. he he he.

Bukan kita tak biasa berurusan, uruskan daurah, mesyuarat, program-program aktivisme dan sebagainya, tapi kalau bab macam ni memang tak pernah la. Sebenarnya itu salah satu yang saya suka, abang tak pernah bagi hint pun sepanjang kita berurusan (atau saya yang tak pandai baca ??? he he..). Saya tak berapa gemar sikit lelaki yang suka luah perasaan secara terbuka ni. Terima kasih jugak pada mak cik pak cik yang terus berusaha keras untuk menyatukan kita walaupun beberapa kali kita masing-masing menolak.

Abang,

Lepas ta'aruf, Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya. Sebelum abang pergi jumpa sendiri dengan ma dan abah, abang tanya saya, adakah saya benar-benar sudi menjadi isteri abang. Abang kata, sebelum-sebelum ni saya asyik menolak (abang pun, kan), jadi abang agak pelik saya terima lamaran ustazah kali ni. Abang takut saya terima lamaran tu sebab terpaksa, atau segan dengan ustaz ustazah dan pak cik mak cik yang bersungguh-sungguh nak menjodohkan kita.

Abang ingat lagi saya jawab apa? (^_______^)

Abang jumpa abah dan ma. Alhamdulillah mereka suka pada abang. Lepas tu saya pulak pergi rumah Tok, jumpa keluarga abang buat pertama kalinya. Abang tau, itu kali kedua saya rasa berdebar yang amat sangat! Nasib baik ustaz dengan ustazah temankan, mewakili ma dengan abah. Masa tu, abah abang tak ada, mak je ada temankan Tok, Wan. Oh ya, Mak su dengan anak-anak dia pun ada. Rumah besar tu rasa sangat asing, terlalu luas di jangkauan penglihatan saya. Saya membisu seribu bahasa, ustaz dengan ustazah je yang bersuara, berbual dengan mak dan Tok. Abang ada masa tu, dukung bang cik. Saya tak pandang abang, abang pun tak tengok saya (ke abang kerling dari jauh? he he he)

Tak lama lepas tu, keluarga kita sepakat dengan satu tarikh pertunangan, 8 Julai 2011. Malam tu, abang sms saya beberapa kali. Sekejap tanya nama ma dengan abah, sekejap tanya pekerjaan ma dengan abah, maklumla, kita tak habis ta'aruf lagi he he, baru mula nak kenal secara peribadi pun sebenarnya. Sebab tu bila pak long, yang akan jadi orang tengah majlis pertunangan kita bertanyakan banyak soalan, abang terpaksa tanya saya. Mesti keluarga kita pun pelik, kan? Macam mana nak kawin tapi tak kenal sangat ni. Abang ingat apa abang jawab hari tu? Saya doakan kata-kata abang tu akan terus menjadi petanda untuk kebaikan yang berganda, insyaAllah.




Alhamdulillah, majlis pertunangan kita berjalan lancar walaupun simple. Ustaz jadi jurucakap bagi pihak keluarga saya, alang-alang ustaz yang jadi orang tengah kita sejak mula. Sementara nak tunggu dipanggil untuk disarungkan cincin, sempat lagi saya jadi motivator kepada seorang kawan yang temankan saya tu, dia baru saja putus tunang beberapa hari sebelumnya.

Di majlis pertunangan pun kita saling membisu seribu bahasa. Sampai depa ingat kita gaduh, kan? Nak gaduh macam mana, berkawan rapat pun tak pernah. hi hi hi..

Sebaik ma panggil saya untuk disarungkan cincin, saya tanya ma, "Bila tarikh nikah, ma?" Tu la, orang dok bincang kat luar, saya dok bincang kat dalam. he he he.

"Lepas raya", jawab ma.

"Raya mana?", tanya saya.

"Raya ni la, bulan 9", jelas ma sambil memimpin tangan saya keluar.

Saya mencongak dalam kepala. Ni bulan 7, maknanya 2 bulan lagi la. Allahu Allah. Biar betul ni, nak buat persiapan dalam masa kurang 2 bulan. Tetapi, Alhamdulillah Allah rancang dan susunkan yang terbaik untuk kita, walaupun dalam masa yang singkat.

Esoknya (9 Julai 2011), ujian pertama buat abang selepas menjadi tunangan saya. Bertalu inbox saya dengan ucapan selamat hari lahir. Alhamdulillah, saya seronok sangat, sebab abang TAK WISH pun birthday saya. Ok, abang LULUS! He he he.. Pada saya, abang tahu batas abang, walaupun kita dah bertunang. Saya suka..saya suka..saya suka.. Tapi ada lagi ujian-ujian untuk abang. Alhamdulillah, abang dapat A untuk semuanya. Abang ada test saya tak? Haaaaa.. baik abang bagitau (^___*) Walaupun mungkin ada yang pelik sebab kita sangat jarang berhubung dalam fasa pertunangan, melainkan untuk bincangkan perkara-perkara berkenaan pernikahan (itupun selepas ustaz mintak kita bincang, sebelum ni apa-apa sms akan melalui ustaz dan ustazah dulu). Tapi, saya anggap itu sebagai rezeki Allah, perjanjian tidak berlisan antara kita, yang kita sendiri faham-faham. Kita bukan siapa-siapa, antara kita tiada apa-apa, sehinggalah selepas akad nikah. Saya bersyukur, abang berkefahaman yang sama. Sebab tu bila orang tanya, apa perasaan nak nikah? Saya kata, tak rasa apa-apa. Saya tak nak meletakkan harapan yang menggunung, hinggalah kita sah menjadi suami-isteri.

Dalam kesibukan membuat persiapan, sebulan berlalu dengan begitu cepat. Saya macam tak percaya (..dan ayat ni la abang ulang-ulang dari selepas nikah sehingga hari ni, kemudian saya nyanyi lagu Siti Nurhaliza 'Percayalah' kat abang sebagai balasan.. hi hi) Tak percaya saya dah bertunang, tak percaya saya akan nikah. Rasa semuanya sangat pantas. Saya pun 'pelik' dengan hati saya yang sangat tenang walaupun saya belum pasti apa yang saya akan hadapi di masa hadapan. Apapun saya selalu doa, andai pernikahan ini terbaik untuk saya, abang, keluarga kita, dakwah, ummah dan Islam, maka saya mohon Allah permudahkan urusan kita. Kalau sebaliknya, saya mohon Allah jauhkan kita dari segala kemungkaran terhadapNya. Doa ini saya ulang-ulang, sehinggalah sujud terakhir solat sunat hajat dan taubat saya sebelum majlis akad nikah kita.

Alhamdulillah, saya rasa peraturan Allah sangat indah. Segala kerungsingan saya sebelum menerima lamaran dari ustazah tempoh hari telah Allah atasi dengan sangat sempurna sekali. Mengenangkan saja bantuan-bantuan yang Allah hantar, saya jadi malu sendiri. Abang faham kan, bantuan yang macam mana. Sehingga apa yang dirasakan hampir mustahil, telah Allah realisasikan dengan mudah. Benarlah, tiada yang mustahil bagi Allah, yang penting kita kena letakkan sepenuh kepercayaan dan pengharapan kepadaNya.

Alhamdulillah, hari bersejarah tiba. Dengan persalinan serba putih, saya masih tak merasakan apa-apa, tak berdebar, tak nervous, biasa-biasa saja. Sebab saya masih tidak mahu meletakkan harapan, selagimana kita belum sah diijabkabulkan. Abang pun nampak cool saja. Khutbah nikah dibacakan. Saya masih terasa seakan bukan saya yang akan dinikahkan.heh. Cuma bila abah datang untuk minta izin menikahkan saya, saya rasa sebak sikit, terharu sambil hanya mampu mengangguk tanda mengizinkan.

Sebaik perkataan "sah!" dilafazkan tok imam, saya masih tenang (control ayu la katakan.. he he he) Doa dibacakan. Abang kata masa ni la baru abang pun mula berdebar kan, macam baru tersedar dah kawen pun kita..he he he.. Saya pulak, bila dah habis doa dibacakan, saya control ayu lagi. Bila saudara mara minta kita saling bersalaman, kita masing-masing terkaku tak berganjak. Dua, tiga kali disuruh, kita tetap juga diam membatu. Hingga terpaksa Kak Ja datang menautkan kedua-dua tangan kita dalam satu genggaman. Aiseh! Malu yang amat waktu tu, Allah saja yang tahu. Ha, baru la saya rasa, "Ok ni betul-betul punya, tak tipu, aku dah kawen!" Mode: Tak percaya! Punya la berdebar, sampai terketar-ketar tangan, present proposal PhD pun tak macam ni tau!he he.

Lepas tu terdengar pulak bisik-bisik suruh cium dahi. Alahai... abang tahu, saya doa banyak-banyak supaya abang tak cium dahi saya. Malu yang amat tau. Nasib baik abang macam faham-faham, abang tak buat pun..he he he.. (abang selalu boleh baca suara hati saya, kan?) Alhamdulillah, sahlah kita menjadi suami isteri. Dulu abang cuma seorang ikhwah, kini abanglah pintu syurga saya. 



Maaf la, di majlis kenduri kesyukuran kita petang tu, saya selalu 'tinggalkan' abang. Selalu kawan-kawan kita tegur, sebab seorang ke kiri, seorang ke kanan.

"Eh, kenapa tinggal suami tu?", tanya mereka.

"Eh, lupa... he he", terkedek-kedek saya mendapatkan abang semula.

Mentang-mentangla kenduri sebelah saya, suka-suka je saya tinggalkan abang ya. He he. Kenduri sebelah abang, abang jangan tinggalkan saya tau! (Tapi, abang memang tak pernah jauh dari hati saya pun, selepas hari tersebut)

Dua, tiga hari tu kita masih di kampung saya. Saya cuba biasakan diri dengan kehadiran pendamping di sisi saya. Sebelum ni saya ada abah, ma dan adik-adik di sisi saya, kini ada abang, yang agak asing dalam dunia saya. Agak susah pada awalnya. Abang pun tentu rasa macam tu kan? Nak berbual pun saya tak tahu topik apa, apatah lagi nak bersembang panjang. Tapi Alhamdulillah, Allah mempertautkan hati kita cepat, dan erat.

Petang selepas kenduri tu, abang terlena sekejap, penat sangat agaknya. Ma suruh saya kejutkan abang, bangun makan. Aiseh, saya garu kepala yang tak gatal. Macam mana nak kejut ni? Sebelum ni saya panggil abang dengan 'akhi' atau nama saja, masa berurusan rasmi. Takkan saya nak kejutkan abang dengan hujung jari je, sambil panggil 'awak..awak' atau 'eh..eh'. Ke nak eja satu satu, 'A.B.A.N.G.. oo A.B.A.N.G'. Adush!! Akhirnya saya dengan rasa malu tersangat, yang amat dengan diri sendiri, akhirnya buka mulut juga dengan panggilan pertama kalinya buat abang. Hadoooii, bila dikenangkan rasa nak gelak guling-guling ketawakan diri sendiri.

Ingat tak lagi bila petang tu mak dan abah bawak kita minum air kelapa susu kat pantai? he he he.. Saya kenang saat itu sehingga akhir hayat saya, insyaAllah. Panas genggaman tangan abang. Tapi bukan sengaja saya nak jatuh tau, pasir putih tu yang bersalah..he he he.. sebagaimana petang itu abang memaut tangan saya, menyokong badan saya yang hampir rebah, saya harap abang terus memaut tangan saya, dan kita terus berpimpinan menuju jannah, insyaAllah.

8 jam dalam perjalanan kembali ke Kedah, pelbagai perkara kita bincangkan dan kita luah. Kita bina harapan dan cita-cita kita seiring masjid yang kita bina. Abang bercerita serba sedikit tentang abang, saya pun demikian. Alhamdulillah, kita temui banyak persamaan, dan perbezaan yang menjadi kelebihan. Dari lagu kegemaran, aiskrim dan pendapat berkenaan sesuatu isu, dari situ kita terus bersetuju untuk bertoleransi dan saling menyesuaikan diri.

Setahun. Setahun bukan masa yang lama, kan bang? Saya setuju kalau ada yang kata, kita belum cukup matang dalam bahtera rumahtangga, kita masih dalam tahun-tahun bulan madu, semuanya terasa masih indah belaka. Ya, saya setuju, bahkan sangat setuju. Malah di awal pernikahan pun, ada banyak perkara yang perlu kita ubah. Saya perlu berubah untuk sesuaikan diri dengan abang, dan tak terkecuali, abang pun macam tu, terpaksa banyak berkorban untuk saya.

Setahun ini, saya rasa amat bertuah dan bersyukur. Saya ingin mengenang setahun yang indah ini, supaya tahun depan, bila kita sambut ulangtahun pernikahan ke-2, saya sekurang-kurangnya masih boleh tersenyum dengan keindahan tahun ini, dan berharap tahun-tahun mendatang lebih manis dari ini. Kita akan lalui banyak lagi ujian, bang. Saya sangat yakin tentang itu. Tetapi sebagaimana saya meletakkan pengharapan yang tinggi ketika bertekad untuk menjadi suri hati abang, saya juga meletakkan sepenuh pengharapan dan keyakinan kepada Allah, yang telah menyatukan hati kita. Dia mentakdirkan kita jatuh cinta, semoga Dia juga membawa cinta kita hingga ke Syurga.

Tanggungjawab kita tidak terhenti sebaik diijabkabulkan. Bahkan, ia baru bermula, dan akan semakin besar, mencabar dan menguji kita. Saya tidak dapat berjanji untuk sentiasa menjadi sempurna untuk abang, tapi saya berjanji untuk terus teguh dibelakang abang, membantu abang, menyayangi abang selama-lamanya selagi diizinkan Allah.

Terima kasih buat abang, kerana sudi menjadikan saya suri hati abang, yang sudi memilih saya, yang telah menjadi suami yang terbaik, pendamping yang setia, yang sentiasa sabar dengan karenah saya. Sekarang saya tahu, apa maksud nasihat nenek saya semasa kita ditunangkan. Betul la, mata orang tu-tua ni berbahaya, deria penilaiannya tajam dan hampir tepat, mungkin kerana mereka terlebih dahulu makan garam.

Saya mohon maaf  untuk semua salah silap saya yang SANGAT BANYAK sepanjang setahun ni, walaupun selalunya abang akan kata abang dah maafkan kesilapan yang lepas dan akan datang saya. Saya ingin terus menjadi suri hati abang, teman pendamping abang, sayap kiri perjuangan abang. Tegurlah saya, nasihatkan saya. Semoga kehadiran insan baru nanti bakal menambah seri bahtera kita. Abang selalu dalam doa saya (bintang kecil juga..)

Abang,

Pada coretan ini, saya hanya ingin tuliskan yang indah-indah, kenangkan yang indah-indah. Agar kalau suatu hari nanti, bahtera kita digoncang gelora (Ya Allah, jauhkanlah, lindungilah kami dari segala malapetaka dan bencana), kita boleh duduk kembali, merenung dan mengimbau kenangan yang indah ini, walaupun baru setahun yang tak lama bahtera rumahtangga kita dilayarkan. Hari takkan selalu cerah, mungkin hujan badai akan melanda. Tika ribut itu tiba, saya harap bahtera kita akan terus melebarkan layarnya meredah samudera yang bergelora. Saya tak ingin bahtera kita melabuhkan sauh di pertengahan pelayaran. Saya doakan begitu, selalu dan sentiasa, insyaAllah.

Salam sayang di ulangtahun pertama pernikahan kita. Semoga kasih sayang kita adalah dari redhaNya.Dan semoga ia kekal hingga ke Syurga, insyaAllah.

p/s: malam ni nak masak apa? he he he.. sambut raya 6 sekali dengan anniversary la. Jangan lupa tajuk entri, 'Pecah Kaca Pecah Gelas, Sudah Baca Harap Balas' he he he..


Monday, September 3, 2012

Bila ustaz Don menikah....

BismillahirRahmanirRahim.




Alahai, tajuk. Kontroversinya. Doadalamsujud dah jadi blog gosip pulak ke? Aiseh, janganlah cepat serkap jarang ya. Meh kita baca dulu.


..agak 'terasa' jugak bila ada yang tegur dan keliru tentang isu pemakaian zaujah ustaz Don masa solat sunat selepas nikah. Nampaknya masih ada yang belum faham tuntutan menutup aurat ketika solat, dan tak mustahil ramai yang tinggalkan solat dengan alasan tak ada/bawa telekung.

Islam itu mudah, kalau kita rasa susah, maksudnya kita telah 'lari' dari jalan yang Islam gariskan. Tapi tak bermaksud Islam boleh dimudah-mudahkan sesuka hati. 


Jom, betulkan yang biasa, biasakan yang betul.


Begitu bunyinya status di fb saya tadi. Alang-alang dah tertulis panjang di fb, kita sambung la di blog pulak sikit lagi. Bila keluar saja gambar di atas, saya tak terkecuali agak 'terasa' dengan beberapa komen yang mempersoalkan/ bertanyakan tentang keadaan solat zaujah ustaz Don yang tidak bertelekung ketika solat. Terasa macam mana? Terasa yang masih banyak kerja kita dalam menjelaskan kepada masyarakat antara adat dan syariat, membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. 

Peringatan: Entri ini mungkin tidak menambah TAHU, kerana ia bertujuan untuk mencetus MAHU (Maksudnya, anda mungkin tak dapat tambah ilmu pengetahuan dari entri ini, sebab ia ditulis untuk mencetuskan kemahuan kita untuk belajar dan faham lebih lagi tentang tuntutan Allah, insyaAllah)

Ok. Kita 'tinggalkan' ustaz Don dan zaujahnya. Mari kita tengok beberapa persoalan.

Persoalan 1: Boleh ke solat tak pakai telekung?

Saya sendiri pun pernah alami kerlingan 'manja' jamaah masjid bila mengangkat takbir hanya bersarungkan jubah dan tudung labuh harian saya. Saya tunggu juga kot-kot ada yang menegur dan bertanya, tapi setakat ni belum ada.

Bulan Ramadhan yang lalu, sebelum melangkah turun dari kereta untuk solat terawih di masjid berdekatan, suami menegur,

"..mesti ada yang kesian kat ummi, solat tak pakai telekung ni.."

Saya sengih saja, ala-ala kerang busuk. Heh.

Kenapa suami kata macam tu? Al-kisahnya, satu hari di masa yang lampau (amboi, macam dah lama bebeno bunyinya)

Satu hari saya terdengar perbualan dua anak kecil berumur lebih kurang 7,8 tahun, 'bergosip' tentang saya. Heh.

Budak comel 1: Kesian kakak tu (saya la tu) kan, dia sembahyang tak pakai telekung.
Budak comel 2: Mesti dia miskin, tak ada telekung.

Telinga saya menangkap perbualan mereka. Comel, kan? Ok, abaikan kecomelan mereka. Apa yang saya nak katakan adalah, dari kecil lagi kita dah dibiasakan dengan kefahaman, "..kalau nak solat, MESTI ada telekung."

Jadi tak hairanlah kalau rentetan dari 'kebiasaan' itu, akan lahir pula 'kebiasan' ini.

"Alah, macam mana nak solat ni, aku tak bawa telekung la pulak, tak pe qadha jelah"

Dan kerana kebiasaan ini jugaklah, ramai yang tahan hidung pakai telekung yang hamis dan hancing tak berbasuh entah berapa bulan (atau tahun) di surau kecil sebuah pasaraya, gara-gara kepercayaan, "..hanya yang bertelekung saja boleh solat".

Kemudian, lahir lagi 'kebiasaan' ni.

"Iskh, Islam ni susah dan menyusahkan la..."

Ha, nampak tak impaknya telekung tu kepada kita, keseluruhannya. Kecil saja isunya, tapi impaknya sangat BESAR! 

Bila persoalan 1 dijawab dengan YA, maka akan timbul pula persoalan 2 dan 3. Kalau ada yang masih keliru nak jawab YA atau TIDAK, ayuuuuuuhhhhh, cari jawapannya!

Persoalan 2: Kalau tak pakai telekung, takpe ke solat nampak tangan. Bukan ke aurat tu seluruh badan kecuali muka dengan TAPAK tangan ke?

Nampak tak perkataan TAPAK yang dibesarkan tu? Baik, kalau kita tanya budak 7 tahun,

"Adik oh adik, tunjukkan kakak tapak tangan adik"

Agak-agak, bahagian tangan yang mana dia akan tunjukkan.

Satu lagi, peribahasa ni.

"Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan" (ceewah, berbahasa-bahasa la pulak ya)

Ok, itu kefahaman kita. Tapi sebenarnya, apa yang dibahaskan dan dipersetujui ulama' apabila memperkatakan tentang aurat yang TAPAK tangan tu? Keseluruhan tangan hingga pergelangannya, atau bahagian atas tangan saja yang boleh dibuka?

Ha, yang tak tahu, jomlah menuntut ilmu lagi. Yang dah biasa tak bertelekung untuk solat tu pun, dah ada hujahnya? Dah faham kenapa anda tak bertelekung? Ke ikut-ikutan saja?

Persoalan 3: Kalau tak pakai telekung, takpe ke solat nampak dagu? Bukan dagu tu dikira aurat ke?

Ha, anda keliru dan tak pasti jawapannya? Joommmmm, cari ilmu lagi, mantapkan kefahaman lagi!

Fuuuh! Kesat peluh..

Jadi, apa puncanya kekeliruan kita ni? Pada saya, punca utamaya adalah ilmu dan kefahaman. Tak boleh  hanya salahkan mata-mata yang mengerling tajam anda yang tidak bertelekung masa solat. Tak boleh hanya salahkan mulut-mulut yang terjuih menggosip anda yang solat dengan (hanya) berjubah (atau baju kurung, atau T-Shirt-seluar panjang longgar) dan tudung menutup dada anda tu (ha, kaki tu jangan lupa tutup pula). Ini kerana syariat dan tuntutan yang kita amalkan, kadang-kadang telah bercampur dengan kebiasaan yang telah berkurun kita lakukan. Walhal sebenarnya, yang biasa tak semestinya betul, yang betul tak semestinya biasa. (eceh, macam iklan sabun negara jiran la pulak)

Sebab tu, sangat bagus pandai dalam agama, tapi jangan sesekali memandai-mandai dalam urusan agama. Tak tahu, belajar. Tak pasti, tanya. Tak yakin, baca. Apapun yang kita buat, kena berasaskan kefahaman. Kalau buat tanpa kefahaman, ibarat pemandu yang tak tahu arah tujunya. Orang tanya, "Nak ke mana tu encik Samad (Bukan nama sebenar)? "Entah la, saya ikut je kereta kat depan ni. Kalau dia ke parit, maka ke parit la saya" Aduh! Tak ke parah?!

Jadi, jom kita, berazam. Tuntut ilmu, mantapkan kefahaman kita tentang agama, akan kita jumpa seribu satu jawapan kepada persoalan yang berlegar dalam kotak fikiran kita. Sebab itu, tuntutan pertama saat diturunkan Al-Quran kepada baginda ar-Rasul saw, adalah kalimah IQRA', bacalah... Bukan macam baca buku sejarah tingakatan 5 tu (baca dengan tiada perasaannya), tapi kena faham, teliti dan kaji.

Tidaklah saya menulis ini melainkan peringatan terutama dan terdahulunya untuk diri saya sendiri, dan sahabat-sahabat, yang mana sudi. Jadi, janganlah marah kalau entri ini tidak menjawab langsung persoalan di atas, kerana seperti yang dimaklumkan sebelum ini, entri ini bukan untuk menambah TAHU, tapi untuk mencetus MAHU (tak faham jugak? iskh, sila lah rujuk perenggan PERINGATAN kat atas tu ya)

p/s: mohon maafkan bahasa rojak dan bahasa pasar yang telah digunakan di atas ini. Geng Dewan Bahasa dan Pustaka tak ada yang baca, kan? Heh.

Wassalam.


Monday, August 27, 2012

Coretan ummi 1: Assalamualaikum, bintang kecil ummi & abi.

BismillahirRahmanirRahim (sayang, maksudnya dengan nama Allah, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang)

Assalamualaikum, bintang kecil ummi. 

Ini coretan pertama ummi buat bintang kecil ummi (selain bisik-bisik ummi dari alam yang berbeza, dipisahkan oleh lapisan kulit yang nipis tidak setebal mana). Entah bila sayang dapat baca coretan ini, tapi ummi ingin terus menulis untuk sayang, mana tahu satu hari, sayang dapat membaca kisah ini nanti.

Sayang, di saat coretan ini ummi tulis, mengikut perkiraan doktor, 2 hari lagi genaplah 5 bulan sayang berada dalam rahim ummi. Namun, hanya Allah maha mengetahui usia yang tepat sejak sayang menemani hari-hari ummi. 5 bulan ini penuh keajaiban buat ummi. Merasakan ada seseorang sedang bernafas di dalam perut ummi, ada jantung yang turut berdenyut mengiringi denyut jantung ummi, ada satu jasad yang menjadi peneman setia ummi, di mana saja ummi berada. Walaupun belum menatap wajah sayang, ummi sudah jatuh sayang kepada sayang, dan ummi sangat yakin, abi pun demikian. Nanti ummi cerita gelagat comel abi, ya.

Sayang, 5 bulan yang lalu. Saat ummi menyedari kehadiran sayang di dalam rahim ummi, segera ummi khabarkan kepada abi. Ketika itu, ummi teruja, abi pula terpinga-pinga. He he...

"Abang, tadi saya buat pregnancy test (guna pregnancy test kit). Ada 2 line", sms ummi kepada abi.

"2 line tu apa?", abi tanya ummi balik.

Ummi tersengih membaca balasan Abi. Ya lah, dulu apa yang terlintas di fikiran ummi dan abi bila sebut tentang 2 dan 3 line ni adalah jubah konvokesyen. 2 line tu jubah untuk master, 3 line pulak untuk PhD.

Itulah permulaannya, perbualan ummi dan abi tentang sayang. Sebelum ini tak pernah, lagipun masa tu ummi dan abi baru bernikah 8 bulan, masih dalam mood berkenalan (bila sayang dah besar, ummi cerita lagi tentang ni ya, insyaAllah). Ummi dan abi sangat gembira dengan kehadiran sayang. Sangat, sangat gembira dan terharu juga. Syukur Alhamdulillah. (^_____^). Kehadiran sayang, memang amat ummi dan abi nanti-nantikan.

Sayang memang anak ummi yang baik. Sayang macam tahu ummi sedang belajar lagi, sayang tak meragam dan duduk diam-diam je dalam perut ummi. Sepanjang membawa sayang ke sana ke mari, ummi sihat seperti sedia kala. Ummi tak pernah muntah-muntah, tak alahan sangat, cuma satu je, ummi kerap makan, kerap lapar. Kesian abi, kena cari menu yang tiba-tiba ummi rasa nak makan. Tapi, abi tak pernah merungut. Kan ummi dah kata, abi sayang sangat pada sayang, dan ummi. He he.

Sebak ummi, bila kali pertama dapat lihat sayang dalam perut ummi. Masa tu, sayang baru 8 minggu (2 bulan) dalam perut ummi. Walaupun ummi belum dapat melihat jasad sayang, tapi ummi dapat tengok jantung sayang berdegup, kencang. Subhanallah!




Ummi bawa sayang pergi mesyuarat, pergi daurah, pergi katibah, pergi bentangkan draft PhD ummi, balik Penang jumpa Tok dengan Wan, balik Kelantan jumpa Tok Mama dengan Tok Abah, dan macam-macam tempat lagi. Sayang tetap anak ummi dan abi yang baik. Ummi dapat rasa sayang bergerak-gerak dalam perut ummi. Sempit ya sayang? 

Bila ummi letakkan speaker pillow yang dibacakan Al-Quran atas perut ummi, lagi kuat sayang berguling-guling dalam perut ummi. Ummi dan abi harap, sayang dapat dibiasakan dengan ayat suci Al-Quran. Usia sayang 4 bulan, ummi jadi tetamu Ramadhan. Alhamdulillah, Allah bagi kesempatan kepada kita. Bila pergi solat terawih, sejuk hati ummi dengar para huffaz muda mengalunkan bacaan Al-Quran. Dalam diam, ummi berdoa agar sayang juga dapat jadi macam mereka, ya sayang.

Beberapa hari lepas, ummi jumpa doktor, ummi scan, nak tengok sayang. Kali ni, abi pun ada sekali. Hari tu, abi tak dapat tengok sayang sebab bilik doktor tu kecil, hanya ummi saja dapat masuk. Sayang sangat comel! Ummi dan abi dapat tengok kepala sayang, tangan, kaki, tulang belakang, jantung dan jasad sayang dalam tv hitam putih tu. Mula-mula doktor ukur ukurlilit kepala sayang. Alhamdulillah, doktor kata sayang membesar mengikut kadar yang sepatutnya. Nak tahu tak sayang tidur macam mana?

Macam ni...



"Tengok tu, dia duduk macam tengah sujud kan? Subhanallah", tunjuk doktor pada skrin hitam putih tu.

Abi dan ummi tengok je, terpegun dengan kehebatan Allah swt. Ummi nampak sayang tidur tertonggeng dengan kaki terlipat ke bawah. Macam bila ummi dan abi sujud dalam solat. Nanti ummi dengan abi ajar sayang solat ya.

Ummi nak minta doktor print gambar sayang tapi skrin tu kecil sangat. Nampak separuh je badan sayang. Kalau nampak kepala tak nampak punggung, kalau nampak punggung tak nampak pula kepalanya. Tak apa, nanti ummi pergi scan lain kali ummi tunjuk ya, insyaAllah.

"Tak nampak lagi jantina dia", doktor beritahu ummi dan abi.

"Memang umur macam ni belum dapat nampak ke doktor?", tanya ummi

"Taklah, kalau nak nampak, dah nampak. Tapi dia sembunyi bawah kaki dia tu", jawab doktor.

Oo... sayang nak bagi surprise pada ummi dengan abi ya. Tak apa, ummi dengan abi tak kisah, sayang ni abang atau kakak (sebab tu abi selalu panggil sayang, adik..he he). Yang penting, anak ummi dengan abi ni sihat dan sempurna akal, fizikal dan imannya, InsyaAllah.

Malam-malam sayang mesti selalu dengar suara abi kan? Abi selalu tanya sayang tengah buat apa, kan? Nanti abi tanya sayang, ummi baca surah apa hari ni, kan? Abi dah pandai suruh sayang jadi spy ummi ya. (p/s: abi tu comel je kan? he he he.. jangan bagitau abi, ini rahsia kita je tau. (^_*))

Ok lah, ummi nak berhenti bercerita dulu. Ummi nak masak, nanti abi dah nak balik kerja (oh lupa, abi jadi cikgu, ummi belajar lagi, jadi sayang dok baik-baik ya, nanti kita belajar sama-sama). Nanti ummi cerita lagi insyaAllah. Ummi dan abi doakan semoga bintang kecil ummi dan abi ni sihat sejahtera hinggalah kita berjumpa nanti. Ummi rindu nak sentuh dan peluk sayang! Ummi peluk dari luar dulu lah ya. Ummi dan abi sayang, sayang! Muah muah.

Oh sebelum lupa, ummi nak ingatkan sayang tentang perjanjian sayang dengan Allah. Sayang kena ingat selalu tau, jangan lupa sampai bila-bila, tau. 

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
(Al-A'raaf 7:172)

Salam sayang dari abi dan ummi.

Monday, June 11, 2012

Kenangan yang Tertinggal.

BismillahirRahmanirRahim.

"Nak jumpa Yana tak kat matrik? Abang nak ke sana sekejap lagi", begitu tertera sms dari suami.

"Naaaakkkkk", pantas saya menjawab. Teruja. Teruja nak jumpa sepupu yang baru dua minggu mendaftar di sana. Teruja nak kembali ke tempat jatuh lagi dikenang, walaupun sering saya war-warkan kepada adik-adik, "saya ni produk gagal matrikulasi" he he.

Perut berkeroncong lagi. Kali ni irama K-Pop la kot. Ini kali ketiga perut menjerit minta diisi (dengan makanan berat!) untuk hari ini. Nampaknya bukan luarbiasa sejak kebelakangan ini. Alhamdulillah jugak, minta nak makan. Kalau minta nak muntahkan makanan? Lagi haru.... terima kasih ya Allah. Sudahnya, sebaik sampai di kolej matrikulasi, terus suami parkirkan kereta dekat dengan cafe. Apa-apa pun, kita makan dulu!

Sambil menunggu sepupu turun, sambil mata menjeling lauk-pauk yang ada. Semua nampak boleh tahan, menyelerakan! Cedok nasi separuh senduk, udang masak lemak dua tiga ekor, sayur-sayur sikit, jadilah. Tak nak banyak, asalkan terisi. Malam ni mintak lagi, aiyyaaaa... Suami menunggu giliran, mendapatkan kuey teow supnya yang panas-panas!

Sembang-sembang, tanya perkembangan sepupu, sambil mengimbau kenangan dengan cafe ni. Dulu, suka sangat beli roti bun coklat di sini, sampai pipi pun macam bun roti, satu bun di kiri, satu bun di kanan. hehehe.. Di cafe ni jugak la, kena halau dengan warden asrama, gara-gara stay up lewat sangat. hu hu.. kenangan...

Suami minta diri nak ke masjid, solat Asar dan terus jumpa dengan ikhwah di sana. Saya masih habiskan nasi saya, sambil ditemani sepupu yang terus bercerita tentang kehidupan barunya. Alhamdulillah, dia seronok, saya pun tumpang seronok. Usai makan, berpesan-pesanan sikit, kemudian terus mintak diri ke masjid.

Sampai di masjid. Wah, ini bahagian paling mengujakan! Meluap-luap rasa rindu dengan masjid ini dan insan-insan yang pernah memeriahkannya. Seakan terbayang wajah-wajah mulus berkain telekung putih, berdiri rapat dalam saff yang lurus, saling mendoakan dan saling menasihatkan. Seakan hidup jiwa-jiwa yang pernah seangkatan menimba ilmu dan pengalaman. Sempat snap beberapa gambar, dari telefon yang tak berapa canggih saya (itupun ihsan abah, agaknya kesian melihatkan telefon anak perempuannya yang dah tak kelihatan keypadnya hu hu)

Untukmu sahabat, jom kita segarkan kembali nostalgia kita.


Tingkat atas. Wing kesukaan kita.

Masihkah ingat, inilah bahagian kegemaran kita. Kita solat di sini, berebutkan saff paling hadapan. Sangat seronok, kerana terhijab dari pandangan sahabat (panggilan untuk muslimin). Usai solat Subuh atau Asar, kita teruskan dengan bulatan al-Ma'thurat kita di sini. Khusyuk semuanya, terutama bila tiba bahagian doa. Dan petang tadi, saya melurut karpet biru itu, seakan terasa kehadiran kalian di sana. Seakan terbayang wajah-wajah kalian di kiri-kanan saya. Sungguh, rindu datang bertamu. Di sini saya kenal ukhwah yang sebenarnya.


Masih di sana.

Ingat tak lagi, tempat ni? Ya, bawah tangga. Tempat kita menyimpan semua peralatan yang kita guna untuk jamuan, terutama majlis berbuka puasa beramai-ramai. Cawan, pinggan, cerek, sudu, senduk, talam.. seakan semalam kita menyentuhnya, seakan semalam kita menggunakannya, seakan semalam kita membasuh dan menyimpannya semula.

Hampir sebulan dalam bulan Ramadhan, kita berbuka puasa ramai-ramai di anjung masjid. Usai solat Asar kita telah siapkan semuanya. Kita masak, kita atur, kita susun, hinggalah azan Maghrib berkumandang. Seronok sangat!


Cawan ni pun masih ada!



Sahabat di kanan masjid, sahabiah di kiri masjid.

Di sinilah, tempat kita sama-sama sediakan juadah, masak air, sediakan talam dan cawan, untuk sepanjang Ramadhan di perantauan. Di sinilah juga, kita bergaduh dengan sahabat, gara-gara tak puas hati. Asyik sahabiah saja yang turun masak air, sahabat selalu lambat! Oh dulu, sahabat dan sahabiah selalu tak sekepala. Kalaupun tak berani bersuara di hadapan, rungutan di belakang selalu kedengaran! Tetapi gaduh-gaduh macam tu lah selalu menjarakkan kita dengan sahabat, berwaspada dengan bahayanya ikhtilat yang tidak terkawal dalam organisasi, lebih-lebih lagi organisasi dakwah. Bukan bermaksud kita bermusuh, tetapi kita mengajar diri akan batas-batas yang perlu diawasi.

Tetapi kadang-kadang sedih, bila ada organisasi Islamik yang sudah hilang batas-batas ini, sahabat dengan sahabiah atau muslimin dengan muslimat, seakan tiada beza lagi pergaulannya. Boleh duduk makan semeja tanpa ada keperluan, boleh bergurau senda bergelak ketawa. Mungkin belum tahap bertepuk tampar, tetapi mata yang melihat ni rasa sangat rimas dan pelik! Rasanya, ada fitnah yang jauh lebih besar perlu dihindari, berbanding menamakan ukhwah untuk menghalalkan kepelikan ini. Muslimah/sahabiah boleh gelak-gelak besar depan muslimin/sahabat. Bergambar bersama menjadi rutin dan perkara biasa- walaupun beramai-ramai katanya. Bukan suruh jadi hipokrit, berlagak ayu, tetapi itulah hakikatnya seorang wanita yang tidak rendah maruahnya, Hu hu sedih! (T_T)


Ini bahagian sahabat, kalau dulu memang tak jejak!

Periuk besar tu, dapur besi tu, termos biru tu, besen-besen kuning tu.. semuanya masih segar dalam ingatan! Dalam periuk besar tu la kita masak air, sebab itu jugakla kita gaduh dengan sahabat! Masa tu dah tak tahan dah nak menahan beku di hati, terluah semua! Bila ingat, lucu pulak. Sebab air pun, boleh gaduh!


Macam semalam kita susun!

Tengok talam-talam tu, macam semalam kita susun! Semuanya macam tak pernah berubah! Walaupun lebih 7 tahun dah berlalu! Setiap inci masjid ni, memberi banyak kenangan yang sentiasa segar malar dalam memori. Ustaz Shopuan, ustaz Radzi, ustazah Asma', ustazah Roshidah (selalu jumpa ustazah sampai sekarang!).. dan ramai lagi insan-insan lain yang kekal dalam ingatan. pak cik Halim, yang jaga kunci stor ni, mak cik yang bersihkan masjid dengan anak lelaki dia yang suka naik gerek. Tak terhitung kenangan yang tertinggal.

Sekarang, hampir semua dah berkerjaya, dah berkahwin dan berkeluarga. Bila agaknya, kita nak berjumpa semula. Mungkin reunion bersama keluarga di masjid ni untuk sekelian kalinya? Masak sama-sama, makan dalam talam dan solat berjemaah bersama semula? Kalaulah... kita boleh sama-sama mengutip kembali kenangan yang tertinggal di sini, dan merenung kembali siapa kita semalam, dan siapa kita pada hari ini? Kalaulah...

Bagi saya, di sinilah tempat tertumpahnya air mata dan cinta, tempat mengenal ukhwah dan mahabbah, tempat terakamnya suka dan duka. Di sini ada semua rencahnya, walaupun setahun itu tidaklah lama jangka masanya. Tetapi yang setahun itulah memberi kesan untuk tahun-tahun seterusnya yang saya lewati dalam kehidupan ini. Ada kenangan yang tertinggal. Mungkin perlu terus ditinggalkan di situ, agar yang hendak dikenang terus boleh dikenang, sampai bila-bila.

p/s: teringat kenangan bagi kuliah fardhu ain dalam loghat Kelantan. Teringin nak buat lagi, tapi kali ni janji takkan guna loghat Kelantan dah. he he.


Thursday, May 24, 2012

Plot 4: "..we have been married for.."

BismillahirRahmanirRahim.

"..we have been married for 5 months, 2 weeks, 2 days.." 

Eh, silap! Itu entri lepas. Hu Hu. Nampak sangat dah lama tak bersambung cerita ni. Timeline yang sebenarnya adalah...
"..we have been married for 8 months and 2 weeks.." 

Apa?? Adui, sungguhlah bagai dijangka. Beranak cucu dulu la gamaknya baru selesai cerita ni. Hu hu. Jomlah, kita sambung, karang melalut entah ke mana-mana pulak nanti.

Dari plot lepas,

Fuuuhh.. lega.. Berakhir sudah la sesi yang 'genting' dengan ustazah dan naqibah. Berpeluh sejuk la jugak, walaupun aircond bilik naqibah tu boleh tahan kuatnya. Teringat balik janji dengan ustazah tadi. Aduhai, macam mana nak cakap dengan ma dan abah ni ya? (hu... sapa suruh pandai-pandai janji), baru beberapa hari lepas (bila telefon mereka), ma dengan abah pertahankan lagi pendapat mereka, baik habiskan dulu pengajian PhD, baru nikah (walaupun ma abah tak kata wajib ikut, tapi saya faham apa maksud mereka). 

Macam mana nak buka cerita nanti? Dah la tak pernah bincang perkara ni dengan serius. Biasanya saya gelak-gelak saja cerita pada mereka bila ada yang bertanya. Macam mana kalau ma abah tak bagi taaruf dulu? Segan juga dengan ustazah dan naqibah, walaupun nanti mereka akan faham dan terima apa saja jawapan. hu hu.. dilema.. dilema.. Apa jawapan ma dengan abah nanti? Takut, risau, nervous..

Konon-konon, itulah dilemanya saya pada waktu tu. 

Alkisahnya, hujung minggu tu saya balik la ke kampung dengan misi besar (ceewwaah- besar la sangat kan). Tapi balik kali ni, serious lain! Berdebar semacam, terharu semacam. Bercampur baur- tak tahu nak describe macam mana. hu hu. Saya bukan drama queen ok! Ini betul-betul punya tau!

Sampai pagi Jumaat, ma dengan abah sambut macam biasa, saya je yang rasa luar biasa. heh! Renung anak mata mereka, aisssyyy! Macam mana nak susun ayat ni.

"Ma, kakak nak kawen"- gatal bebeno bunyinya. heh

"Oh, ayahanda, bolehkah kiranya anakanda ingin mendirikan masjid?"- skema la pulak!

Adui, parah ni!

Eh, jap jap! Bukan ke nak minta izin ta'aruf ke? Dari mana pulak datang istilah kawen dengan mendirikan masjid nih? Maaf la ya, penulis sedang mengalami kecelaruan emosi- waktu tu la, sekarang stabil Alhamdulillah. He he he.

Pagi menginjak tengahari. Bercerita dah. Bergelak ketawa dah. Rutinnya memang macam tu. Sampai saja di rumah. Letak beg dalam bilik, terus ke pot istimewa. Dapur: Tempat bergossip kami. Ops, bukan gossip tentang orang ya, gossip tentang diri sendiri. heh. Abah? Dia ahli tetap, sama tetap dengan ma. Saya tak pernah ada rahsia yang ma tahu, abah tak tahu, atau abah tahu, ma tak tahu. Setiap apa yang saya ceritakan pada ma, abah akan tahu juga. Sebab, kami selalu buat persidangan meja bulat di dapur tu. Sampai adik bongsu pun join sekali! Adeh!

Oh, waktu persidangan meja bulat pagi tu, tentulah saya tak bermadah pujangga lagi. Fikir. Nak bagitahu terus pada dua-dua ke, nak cerita pada ma dulu? Fikir punya fikir, azan pertama solat Jumaat. Abah dah bersedia nak ke masjid. Ok, cerita lepas solat Jumaat la. Sambil-sambil tu, sambung lagi sembang dengan ma. Mulut ni, asyik nak tercerita je tentang TU. Dalam fikiran pula kedengaran suara-suara sumbang, "Ceritalah, ceritalah"

Akhirnya, berbekalkan pepatah 'Lagikan lidah lagi tergigit'. Eh, silap peribahasa! Saya pun mula la buka cerita. Ceritanya sama la dengan cerita dari Plot 1 tu, tapi versi lebih 'control ayu' sikit la. he he. Sepanjang saya bercerita macam bertih jagung tu, ma dengar je, tanpa menyampuk atau bersuara apa-apa. Adoi tolong! Ni reaksi tak setuju ke, marah ke apa ni? Tolong! Tolong! Malu pun ada cakap tentang benda-benda macam ni, sebab tak pernah seumur hidup dengan seriousnya bercakap pasal nih dengan ma abah! Apa pun sejak dari perjumpaan dengan ustazah hari tu lagi, saya doa dan terus doa, semoga Allah tunjukkan yang terbaik untuk kami.

Habis saya bercerita, minta izin ta'aruf pun dah. Cuba teka ma kata apa?

Ok. Kita berhenti di sini dulu la agaknya ya?

Tiba-tiba macam dengar cik keyboard laptop ni kata, "Kalau nak tulis, tulis la panjang sikit, tak berbaloi dengan badan aku yang sakit kena tekan-tekan dengan tangan kau tu tau tak!?"

Ok.ok. Kita sambung.

Permulaan ayat ma macam ni.

"Memang biasa la umur-umur macam ni fikir tentang perkara ni."

"Tak ma. Kakak bukan sengaja nak fikir, cuma terfikir selepas diminta untuk fikir. Lagipun, kakak muda lagi ni- perasan!" Rasa macam nak jawab macam tu je. Tapi mestilah tak, he he.

Ok. Ayat Ma tu masih samar-samar. Boleh atau tak boleh, masih dalam ketidakpastian. Saya? Sebenarnya awal-awal lagi dah letakkan segalanya di tangan Allah, Dia Penentu terbaik! Ma dan abah saya, mungkin asbab saja. Saya pun tak tahu adakah itu yang terbaik? Jadi, kita go with the flow je lah, bak kata orang putih.

Usai ayat pertama, Ma 'berceramah' lagi tentang pertunangan, tentang perkahwinan, ciri-ciri dan sikap-sikap yang perlu ada suami- isteri, cabaran bertunang dan sebagainya. Aik? Bukan ke saya tanya tentang nak ta'aruf?

Ok. Apa point yang Ma cerita amat penting, tapi rasanya tak penting untuk ditulis di sini. Yang lebih penting, lebih pelik bagi saya, saya rasa baru 2,3 hari sebelum balik kampung ni, Ma pesan suruh habis belajar dulu baru FIKIR tentang nikah (jadi kalau  nak nikah tu memang jauh lagi la). Tiba-tiba petang tu, dia macam bagi lampu hijau pulak. Eh, betul ke dah lampu hijau? Belum lagi. Baru separuh hijau, atau kalau bulan tu baru separuh, belum sepenuhnya mengambang lagi. Separuh lagi di mana? Dengan abah la. Hu hu. Kiranya, sebelum menutup nasihat-nasihat dan tips yang panjang tadi, ma kata ok kalau nak ta'aruf dulu.

"Ya Allah, takdirkan yang terbaik untuk aku, keluargaku, agamaku dan dakwahku", doa itu di ulang-ulang lagi.

"Nanti, ma tolong bagitau abah ya?", muka seposen saya memujuk ma. Sedangkan saya selama ini bukanlah anak yang biasa meminta sesuatu kepada abah melalui ma. Saya biasanya, nak cakap atau minta apa-apa, terus saja minta dengan pengetahuan kedua-duanya. Cuma kali ni, segan tu lebih sikit. Heh.

"Kakak bagitau la abah", kata ma. Alaaaaaaaa.... macam mana ni.

Petang. Dalam kereta, kami sekeluarga keluar jalan-jalan. Ok inilah masanya. Saya tunggu ma memulakan bicara. Tak mula-mula juga.

Akhirnya. Akhirnya. Tergigit juga lidah. Terkeluar juga la ceritanya. Saya faham tujuan ma. Dia nak saya cerita sendiri dengan abah. Benda kecil-kecil selama ni saya boleh cerita, inikan pula benda yang macam ni. Ma abah saya, saya rasa macam kawan-kawan saya, tempat saya bercerita apa saja. Alhamdulillah. Reaksi abah? Saya pun suspen juga sebenarnya. Tapi Alhamdulillah, Abah pun sependapat dengan ma. Memang topik hangat sepanjang perjalanan waktu tu adalah bab kawen. Adik saya yang lelaki tu pun terkena tempiasnya. heh! Tambah lagi nasihat dan tips dari abah!

Ok. Jadi bulan telah mengambang sepenuhnya. Dapatlah kebenaran dari kedua-duanya untuk teruskan sesi ta'aruf. Sesi ta'aruf ok, bukan bertunang ke nikah. Lama lagi, panjang lagi prosesnya. Ustazah pun kata macam tu. Ta'aruf tak semestinya membawa ke pertunangan dan perkahwinan. Ada yang terhenti di tengah jalan, bila tidak ada kesesuaian. Sebab itu Baitul Muslim dikendalikan dengan penuh kerahsiaan dan diamanahkan kepada pasangan orang tengah yang boleh dipercayai. Ahli Bulatan Gumbira pun tak tahu masa tahu. Yang tahu, saya dan dia, naqibah dan pasangan ustaz ustazah sebagai orang tengah. Ustazah kata, paling awal pun awal tahun depan 2012 (masa perbincangan ni di awal tahun 2011)

Perasaan saya waktu tu? Lega Alhamdulillah, sebab tak perlu bawa jawapan yang mungkin sedikit mengecewakan ustazah. Apa pun kami tahu, sebaik-baik perancang adalah Allah swt. Masing-masing faham tugas dan niat masing-masing. 

Lepas dapat green light, apa yang terjadi? Macam mana sesi ta'aruf berlangsung? Itu kita tangguh sat la ya. Ada orang ajak makan ni. he he..

 Apapun, selepas peristiwa minta izin ni, sampai sekarang saya masih kagumi ketetapan Allah. Benarlah, sesungguhnya hati manusia itu Allah yang pegang. Dia mampu mengubahnya dalam sekelip mata, dengan kuasaNya. Jadi bila kita berhadapan dengan manusia, yakinlah bahawa Allah jualah mampu menjadikan apa saja, menukar apa saja keadaan, menetapkan apa jua kejadian. Berdoalah kita agar Allah memegang hati kita dalam genggaman iman dan taqwa kepadaNya.

Wassalam.


Monday, May 14, 2012

Exam yang HOT!

BismillahirRahmanirRahim.

Toleh kiri. Toleh kanan. Nak menulis pun rasa tak sedap hati. Kenapa? Sebab rasa ada mata-mata yang sedang memerhatikan. Hah?! Siapa? Bukan siapa-siapa. Cuma assignment dan kerja-kerja research yang mengundang sedikit tekanan baik.  Maklumlah, sekarang kan dah menjawat jawatan pelajar balik. Tekanan ni macam garam tau. Sedikit, tak berkesan apa-apa. Kalau terlebih banyak, naik darah pulak. Yang sedang-sedang saja tu, eloklah untuk kita, supaya lebih proaktif dan produktif! Heh. Macam pakar motivasi tak bertauliah la pulak ya.

Okeh. Berbalik kepada tajuk. Apa-apa pun kena selalu kembali kepada tajuk asal, supaya tak tersasar cerita kita ni. Macam tu jugak hidup ni, kena selalu ingat asal usul kita, supaya tak terpeleot (jangan susah-susah cari kamus untuk tahu maksud perkataan ni) ke jalan yang salah. Bukankah sekurang-kurangnya 17 kali sehari kita minta Allah tunjukkan kita ke jalan lurus? Kenapa 17? Hah! Sudah! (Sila sembamkan kepala ke dinding- eh salah! ke bantal, kalau tak tahu ya! Bukan suruh tidur, tapi sorokkan muka tu sebab malu!)

Alamak, terlebih sudah penerangannya. Okeh, kali ni kita betul-betul kembali kepada tajuk. Heh. Exam apa yang HOT! sangat tu. Oh sebelum tu, cerita ni cerita yang agak suam-suam kuku jugak la, sebab dah lama, tapi tak la sampai basi, sebab tak kongsi dalam teratak maya lagi.

Al-kisahnya begini. Pada suatu hari..

"Ayu, tolong akak jaga exam budak-budak (baca: student) akak, Selasa depan boleh?", terjengul kepala si empunya suara di muka pintu.

"Ok, insyaAllah kak",jawab saya setelah mencongak-congak haribulan sambil membayangkan kalendar kuda di dinding rumah.

"Macam biasa ya, garang-garang sikit dengan depa tu", siap ada pesanan penaja lagi.

Hah! Yang tu memang kepakaran saya!

Tiba hari yang dijanjikan. Usai solat Zohor, saya kemaskan kertas soalan untuk di bawa ke dewan peperiksaan. Sepuluh minit sebelum peperiksaan dijangka bermula, saya terkedek-kedek berjalan ke tingkat bawah pejabat saya, tempat di mana peperikasaan akan diadakan. Langit mendung, angin sepoi-sepoi bahasa dapat dirasa dari tingat dua bangunan tersebut.

Masuk saja ke dalam dewan, pelajar dah hampir memenuhi kerusi yang disediakan. Sebaik berada di hadapan kelas, saya memperkenalkan diri dan mula mengedarkan kertas soalan dan borang jawapan.

" Macam biasa ya, jangan meniru dan memberi tiru, kalau saya dapat tangkap, jawabnya kosonglah markah kamu!" amaran saya bergema ke pelusuk dewan- sakit jugak tekak, dah lama tak 'menjerit' tanpa mic ni.

Sebaik para pelajar mula menjawab, baru saya perasan sesuatu- dewan dengan kapasiti lebih seratus orang ni tidak beraircond. Bahangnya mula terasa. Tadinya tak la terasa sangat sebab saya baru keluar dari pejabat kecil dengan suhu 25 darjah celcius. Saya tercari-cari suis aircond, tak jumpa. Saya cuba membuka bilik sound system di belakang dewan, terkunci pula.

Budak-budak dah mula gelisah. Tangan kiri berkipas, tangan kanan melorek borang OMR. Yang berkulit putih, merah padam muka masing-masing, macam udang kena panggang dah! Yang berkulit sawo matang pun tak kurang, peluh merenik di dahi. Adoi, kesiannya. Nak biarkan mereka duduk satu jam dalam 'bilik sauna' ni, memang agak kejamla. Otak pun cair habis. Nasib baik soalan multiple choices, kalau structure atau essay, 'masak' budak-budak ni.


Berpeluh di dunia tak apa, berpeluh di akhirat???

"Bagus jugak panas macam ni kan, dah tak payah pergi sauna petang ni, berpeluh sihat dah sejam ni hari ni", usik saya. 

Kedengaran suara-suara gelisah. Alahai, apa nak buat ni. Cuba cari-cari nombor juruteknik, tak ada juga. Saya serba salah nak meninggalkan dewan, maklumlah apa-apa boleh jadi nanti. Tetapi memandangkan keadaan yang saya wartakan sebagai darurat ni, saya terpaksa juga.

"Ok, saya nak cari juruteknik sekejap, kamu jangan meniru dan bagi tiru tau. Kalaupun saya tak nampak, Tuhan nampak, kan", pesan saya sebelum beransur keluar.

Sebaik keluar dari dewan, saat angin petang menerpa wajah yang kehangatan, terasa "waaaaaa", nikmatnya! Perasaannya macam, kita teguk ais setelah tekak kehausan yang amat sangat! Tak terkata nikmatnya! Segera saya mempercepatkan langkah menuju ke pejabat am. Aduan dibuat. Kakitangan yang bertanggungjawab mengekori saya ke dewan, tempat para pelajar sedang menghadapi exam yang hot! Godek punya godek, tak dapat juga buka suis aircond. Staf tersebut minta diri untuk cari orang yang lebih arif. 

Sementara itu, seminit terasa macam 10 minit. Bahang kepanasan makin terasa. Saya mundar-mandir dari barisan ke barisan.

"Tak apa, panas sikit je ni", pujuk saya.

"..di akhirat panas lagi", seorang pelajar lelaki menambah ayat saya.

" Tak apa, nanti cakap kat pensyarah kamu, saya bukan tak boleh jawab puan, tapi sebab aircond la ni", seloroh saya, sambil disambut oleh gelak tawa mereka.

Sesekali saya mengerling jam di tangan. "Mana la juruteknik ni", getus saya dalam hati. Saya buka pintu di hadapan dewan, angin sejuk mencuri-curi masuk ke dalam dewan.

"Wah, bestnya angin ni, nyamannya", sengaja saya kuatkan suara- kejam tak saya? he he.

Mereka dah tak senang duduk. Beberapa pelajar yang sudah siap menjawab (atau tak tahan panas?), segera menghantar jawapan, lalu bergegas menerpa ke pintu dewan, seolah nak mengejar angin yang bertiup nyaman. Sebaik pintu dibuka, jelas kedengaran perasaan lega masing-masing. Yang tak habis menjawab ni, apa lagi. Makin la tertekan. Dengan panasnya, dengan soalannya- tau sajalah kalau multiple choices kan, mesti banyak keliru, sebab biasanya jawapannya hampir sama.

"Agaknya inilah exam paling hot sepanjang semester kamu kan", tersengih-sengih mereka mengiakan pertanyaan saya.

Beberapa pelajar lagi keluar. Yang tinggal, masih berjuang. Saya yakin, hati masing-masing meronta, tak sabar nak 'dipelukcium' oleh angin yang menderu di luar sana. Sedang saya memerhatikan gelagat pelajar yang masih menjawab dengan tekun- walaupun kurang selesa, hati saya teringatkan sesuatu, akal saya memikirkan sesuatu.

Betapa selama ini kita tidak menghargai apa yang kita ada. Macam angin pada hari tu. Kita tak menghargai nikmatnya hembusan angin, nyamannya usapannya yang menyapa wajah kita. Dan tiba-tiba, bila 'kehilangannya' buat seketika, kita jadi seakan hilang punca! Angin itu umpama salah satu nikmat Allah yang selalu kita lalaikan. Kita sibuk dengan apa yang orang lain ada, hingga kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada. Bila suatu hari Allah tarik kembali nikmatNya, saat itu baru kita sedar betapa berharganya apa yang telah kita miliki selama ini. Letaklah angin itu pada apa saja nikmat yang kita ada sekarang- nikmat ibu bapa, saudara dan sahabat, suami/isteri, anak-anak, pancaindera, rezeki, kesihatan dan alam seisinya.

Mengelamun saya seketika mengenangkan ibrah hari ini. Hanya ucapan kesyukuran meniti di bibir, berlagu di hati. Alhamdulillah. Ampunkan kekhilafanku ya Allah.

Kemudian, saya teringat seketika kepada 4 orang permata hati kami, yang baru kembali kepada fitrah mereka. Sebagaimana pelajar saya yang melompat kelegaan, setelah tak sabar-sabar nak keluar 'mendapatkan' angin yang menyejukkan, menghilangkan kepanasan yang membalut jasad mereka, begitulah agaknya adik-adik permata hati kami yang tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran setelah ditunjukkan Allah cahaya, jalan keluar dari kegelapan yang menyelimuti mereka selama ini. Bila dilorongkan kepada cahaya Islam, mereka tanpa berlengah menerpa, meluru ke arahnya.

Teringat saya kepada perkongsian mereka pada majlis sambutan saudara baru yang diadakan khas oleh IKRAM Kubang Pasu bagi meraikan mereka.

"Kalau nak bunuh sekalipun, saya takkan keluar Islam", kata salah seorang darinya, saat diancam supaya meninggalkan agama yang baru dianutinya.

"Bila lafaz syahadah, seakan terangkat satu beban yang sangat berat dari kepala", kata yang lain.

" Nikmat Islam tu sangat indah, tak tergambar", betapa dia menghargai nikmat yang diperolehinya.

Saya membayangkan, hembusan angin yang nyaman itu umpama nikmat Islam, dan kita yang sedia Islam sejak lahir ini telah biasa dengannya, hingga kadangkala kita seakan tidak menghargainya. Tetapi adik-adik saudara baru ini umpama mereka yang terperangkap dalam dewan yang tidak beraircond tadi, mereka tidak merasai hembusan itu. Mereka tidak tahu bagaimana untuk keluar dari kehangatan kepada kenyamanan di luar sana. Namun sebaik pintu hidayah dibuka, mereka meluru ke sana tanpa keraguan. Tidak hairanlah, mereka lebih menghargai apa yang baru mereka perolehi, berbanding kita yang sudah terbiasa dengan kenyamanan hembusan Islam ini.

Subhanallah. Ruginya kita. Inilah mungkin sebabnya Allah menarik nikmatNya buat seketika, bilamana kita sudah tidak menghargainya. Allah ingin ajarkan kita, kejutkan kita dari leka dan alpa. Ya, nikmat lain mungkin tidak mengapa kalau ditarik dari kita. Tapi, kalau nikmat Islam? Mungkinkah kita akan mendapatkan semula, setelah ditarik olehNya?

Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pesongkan hati Kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu, Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya" (Ali Imran : 8)

Allahu Allah. Ada hikmah yang tidak kecil di atas peristiwa hari ini, untuk saya dan juga para pelajar, harapnya. Sempat saya menitipkan pesan, "Kadangkala kita tak hargai angin di luar tu kan..". Semoga mereka terfikir akan apa yang saya cuba sampaikan.

Sejam berlalu. Saya masih di dalam dewan itu. Menghadapi kehangatan bukan lagi dengan hati yang sebu dan beku, tapi dengan jiwa yang tunduk malu dengan Sang Pencipta. Subhanallah. Alhamdulillah. La Ilahaillah. Allahu Akbar. Terima kasih ya Allah, untuk exam yang HOT!


Wednesday, April 25, 2012

Shopping untuk baby.

BismillahirRahmanirRahim.

Wah! Lega rasanya dapat tengok 'kertas' putih yang ada garis berkedip-kedip ni. Sekarang masa untuk 'balas dendam' setelah siap semua 7 assignment! Hah!

Ini entri tertangguh. Eh jap! Rasanya kena explain dulu tentang tajuk di atas tu. Nanti ada pulak yang salah faham. Ini bukan cerita tentang baby ya, ini cerita tentang 'baby'

Alahai, apa pulak la mak cik ni merepek neh. Sekejap baby, lepas tu 'baby'.

Ini bukan kisah baby yang berkait dengan persoalan-persoalan yang kerap 'mengigit' telinga sejak 7 bulan ni.

"Dah ada ke?"

"Bila nak pregnant?"

"Dah berisi ke?"

Haaa, jadinya entri ini bukanlah nak menjawab soalan super duper famous di atas ni ya. Ini kisah tentang 'baby' kami yang sangat istimewa buat masa ni, dan selama-lamanya InsyaAllah. Eh jap! Kita jawab jugaklah soalan-soalan di atas tu ya. Jawapannya berbunyi begini (ceeewah macam soalan pop kuiz dah ni!)

"Sebagaimana saya bersabar, yakin dan menyerahkan segalanya kepada yang empunya kuasa untuk mempertemukan saya dengan ayahnya (suami saya), begitu juga saya akan bersabar dan menyerahkan kepada yang empunya kuasa untuk mempertemukan kami dengan cahaya mata."

Boleh tak jawab macam tu? He he.. Walaupun kadang-kadang rasa 'cemas' juga dengan soalan cepucemas tu, tetapi saya selalu tukarkan pertanyaan yang singgah, kepada harapan dan doa kepada Allah.

"Hadirkan dia kalau itu yang terbaik untuk dia, saya, suami, keluarga, dakwah, jamaah dan Islam"

Ok. Tutup cerita tu. Mari kita buka bab lain. Bab yang menyebabkan entri ini ditulis. Ingat lagi tak entri Mereka MUHAJIRIN, Kita ANSAR? Baik, entri ini adalah rentetan dari kisah mereka (Karen+ Susan+ Mei Fei+ MeiShan).

Usai permusafiran kami pada hari itu, saya sedar sesuatu-silap! Allah menyedarkan saya kepada sesuatu. Sesuatu yang saya tak perasan sebelum itu. Semoga Allah maafkan kekhilafan saya. Kami teruja untuk membawa adik-adik ini berkongsi pengalaman dengan insan-insan seistimewa mereka. Kami merancang pelbagai program- usrah, jaulah untuk mereka. Kami carikan modul-modul, buku-buku yang sesuai untuk mereka. Tetapi kami terlupa, kebajikan mereka yang tak kurang pentingnya!

Dalam perjalanan balik dari Penang, saya ditanya oleh Karen tentang baju-baju lamanya, yang sendat, singkat dulu tu. Katanya, semua pakaian dulu dah tak boleh dipakai. Bila saya kata baju-baju tu boleh dipakai di dalam bilik. Tahu apa dia kata? Katanya, nak pakai dalam bilik pun dia segan! Subhanallah! Mereka yang baru faham dan tahu ni terus nak jalankan kewajipan. Kita yang dah lama tahu ni, banyak pulak alasan!

Di situlah Allah kejutkan saya dengan sesuatu- adik-adik ni dalam tanggungan ibu bapa, peminjam PTPTN, macam mana adik-adik ni nak beli keperluan baru untuk digunakan?- baju kurung, T-Shirt longgar, tudung, stokin, Al Quran, telekung......??? Bila saya congak dalam kepala, tak sedikit wang diperlukan! Takkan nak harapkan ibu bapa- yang jelas menentang dan masih tidak tahu tentang pengislaman mereka, untuk hulurkan duit? Allahu Rabbi, ampunkan ketidakpekaan hamba (T_T) Walaupun mereka boleh terus dengan pakaian dulu- dengan alasan masih belajar, tapi mereka enggan jadikan itu alasan! Mereka nak tutup aurat sempurna, mereka nak solat dengan sempurna!

Saya bincang dengan suami, suami bincang dengan pak cik-pak cik. Alhamdulillah, Allah bukakan jalan. Kebetulan minggu selepas itu kami ada daurah persediaan murabbi bersama pak cik mak cik zon Utara. Bolehlah manfaatkan, insyaAllah!

Seminggu selepas jaulah ke Pulau Pinang, kami ajak adik-adik ziarah Ustaz Wan dan Ustazah Roshidah. Makan-makan sikit (banyak kot, ustazah masak!) dan ada perkongsian dari adik-adik saudara baru dan tazkirah dari ustaz Wan. Banyak yang kami dapat- menumpang berkat adik-adik yang istimewa tu. Satu yang saya dapat kongsikan dengan semua.

"Teruskan sebar kebaikan. Baik di fb, youtube, blog dan sebagainya. Kita tidak tahu siapa yang akan terkesan dengannya. Mungkin ada saham untuk kita di sana" 

Adik-adik yang istimewa ni selain dapat pendedahan tentang Islam dari rakan-rakan dan buku, mereka juga tertarik dengan post-post tentang Islam di alam maya. Jadi, terus sebarkan keindahan dan kebenaran Islam, dengan cara dan kemampuan masing-masing. Siapa kata dakwah itu susah,kan?

Seeedaaaaaapp.....

"Ya Allah sebagaimana Kau himpunkan kami di rumah ini pada hari ini,himpunkah kami bersama di akhirat kelak", doa ustaz.

Teguh kita berdiri, seteguh cinta kepada Ilahi.

Oh, ini sesi wajib! He he..

Minggu selepas itu- seperti diceritakan tadi, ada daurah. Sebaik kami maklumkan kepada peserta program tentang adik-adik ni, berpusu-pusu yang nak membantu. Alhamdulillah, kami terima dan diamanahkan untuk menyediakan keperluan asas adik-adik ini dengan sumbangan yang diberikan oleh pak cik mak cik ikhwah akhawat yang hadir semasa daurah tu. InsyaAllah, kami pikul amanah ini sedaya mungkin. Nak bantu banyak, kami tak mampu (semoga Allah maafkan kami), jadi ini sajalah setakat yang terdaya kami lakukan, dengan izin Allah.

Jumaat, minggu berikutnya. Kami ajak adik-adik istimewa ni pergi shopping (yeaaayy!!).  Awalnya mereka tak diberitahu nak ke mana. Saya hanya minta mereka tunggu di perhentian bas DPP masing-masing. Mereka pun, patuh sungguh! Tak tanya pun kami nak bawa mereka ke mana.  Sampai di Changlun (masa tu dah pukul 4.30 petang), barulah kami maklumkan aktiviti kami pada hari tu. Mereka diminta buat senarai keperluan mereka untuk dibeli petang tersebut.

Alhamdulillah, pada permusafiran lepas kami ajar adik-adik ni tentang solat jamak qasar, tentang makmum masbuk, mereka dapat teori dan praktikalnya sekali- lebih baik saya rasa untuk mereka. Kali ni pulak mereka belajar tentang pakaian yang menutup aurat. Ya Allah, hanya Allah saja tahu, betapa sukarnya nak cari pakaian yang memenuhi piawaian SIRIM Islam. Hu hu. Satu kedai ke satu kedai kami jelajah. Saya rasa macam dah bawa anak-anak shopping raya- anak dara pulak tu. Heh! Bukan kanak-kanak riang tau.

Sekejap seorang pilih baju, masuk fitting room. Keluar saja, dah tunggu pegawai kualiti (saya la tu)  di luar. Yang ni tak boleh, kain nipis. Yang ni tak boleh, ketat di pinggang. Yang ni tak boleh, kain licin nampak bentuk badan. Ok, itu baru seorang ya, dan sehelai baju tau! He he he.. Apa pun sangat seronok, shopping sambil belajar! Adik-adik pun nampak sangat seronok, walaupun penat!- cari baju yang lulus tapisan.

Suami saya? Oh, mestilah dia ada. Pemandu dan bodyguard yang sungguh setia! Heh (^_*)y. Sekejap dia berlegar di dalam kedai, sekejap di meja- baca surat khabar. Saya usik dia.

"Sabar ya bang, kita ada 4 orang anak dara ni. Ni kira praktis lah ni". Dia senyum menyambut usikan saya.

Menapak dari satu kedai ke satu kedai. Sekejap naik, sekejap turun Serena yang berjasa tu, berkata seorang adik.

"Macam shopping untuk baby"- okeh anda dah tahu dari mana entri ini dapat tajuk kan?

Maklumlah, beli baju baru, tudung baru, sarung kaki, sarung lengan- macam shopping untuk baby baru lahir la tu kan.

Disambut gelak ketawa oleh kami. Suami yang disebelah saya menambah, "Betullah, semua ni kan 'baby' (baca: baru kembali kepada Islam) lagi, bersih macam baby, tak ada dosa."

Pukul 11.00 malam, barulah pencarian kami berakhir, itupun sebab kedai dah tutup, tapi senarai masih belum 'tutup' ya. (Adik-adik, jom shopping lagi!)

Kata ustaz masa ziarah kami ke rumahnya sebelum tu, "Bila dapat baby baru, kita buat majlis sambutan. Bila terima menantu, kita buat sambutan. Sepatutnya bila ada saudara kita kembali kepada Islam, kita kena buat sambutan jugak ni"

InsyaAllah, kita akan cuba bantu adik-adik ini semampu mungkin. Ramai mak cik pak cik yang terus hulurkan sumbangan. Tak kurang yang nak menjemput mereka ke rumah, makan-makan. Yang bertanya khabar dan keperluan, yang sanggup luangkan masa untuk mengajar mereka membaca Al Quran, yang rela korbankan waktu untuk ajar mereka memahami Islam, terima kasih diucapkan. Terima kasih buat semua yang membantu. Semoga Allah membalaskan kebaikan anda semua dengan kebaikan yang berlipatganda. Tapi jangan lupa, tugas kita belum selesai.

Karen kata, "Kak, ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu kami"

Karen sayang, hanya ini yang akak nak minta, "Doakan kami semua, doakan kita semua, semoga dapat bersama di Syurga, insyaAllah"

Merekalah anugerah istimewa buat kami, Alhamdulillah.

p/s: nampaknya kisah tentang mereka masih panjang, saya letakkan semua entri kisah mereka dalam label Mereka MUHAJIRIN, Kita ANSAR- di pautan sebelah kanan.

monolog: ingat lagi Ummi Nor cerita, kalau kita memandu kereta, nampak kereta depan kita ada tanda L, kita tahu itu kereta yang pemandunya dalam latihan. Jadi kita takkan marah atau melenting kalau dia lambat sikit atau ke kiri ke kanan pemanduannya. Macam tu juga dengan Allah. Kalau kita sedang belajar, Allah takkan marah kalau kita tertinggal banyak perkara, tersilap banyak benda. Sebab Allah tahu, kita sedang belajar. Jadi teruskan belajar, dan bila dah tau-amal! Masalahnya kita ni, dah tahu buat-buat tak tahu! Patut kena amalkan, kita sengaja tinggalkan. Agak-agak, Allah berhak marah tak? Tapi marah Allah pun, masih beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Jadi ayuh! Teruskan belajar memahami Islam, amal bila tahu, taubat bila tersilap! InsyaAllah.