Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, April 25, 2012

Shopping untuk baby.

BismillahirRahmanirRahim.

Wah! Lega rasanya dapat tengok 'kertas' putih yang ada garis berkedip-kedip ni. Sekarang masa untuk 'balas dendam' setelah siap semua 7 assignment! Hah!

Ini entri tertangguh. Eh jap! Rasanya kena explain dulu tentang tajuk di atas tu. Nanti ada pulak yang salah faham. Ini bukan cerita tentang baby ya, ini cerita tentang 'baby'

Alahai, apa pulak la mak cik ni merepek neh. Sekejap baby, lepas tu 'baby'.

Ini bukan kisah baby yang berkait dengan persoalan-persoalan yang kerap 'mengigit' telinga sejak 7 bulan ni.

"Dah ada ke?"

"Bila nak pregnant?"

"Dah berisi ke?"

Haaa, jadinya entri ini bukanlah nak menjawab soalan super duper famous di atas ni ya. Ini kisah tentang 'baby' kami yang sangat istimewa buat masa ni, dan selama-lamanya InsyaAllah. Eh jap! Kita jawab jugaklah soalan-soalan di atas tu ya. Jawapannya berbunyi begini (ceeewah macam soalan pop kuiz dah ni!)

"Sebagaimana saya bersabar, yakin dan menyerahkan segalanya kepada yang empunya kuasa untuk mempertemukan saya dengan ayahnya (suami saya), begitu juga saya akan bersabar dan menyerahkan kepada yang empunya kuasa untuk mempertemukan kami dengan cahaya mata."

Boleh tak jawab macam tu? He he.. Walaupun kadang-kadang rasa 'cemas' juga dengan soalan cepucemas tu, tetapi saya selalu tukarkan pertanyaan yang singgah, kepada harapan dan doa kepada Allah.

"Hadirkan dia kalau itu yang terbaik untuk dia, saya, suami, keluarga, dakwah, jamaah dan Islam"

Ok. Tutup cerita tu. Mari kita buka bab lain. Bab yang menyebabkan entri ini ditulis. Ingat lagi tak entri Mereka MUHAJIRIN, Kita ANSAR? Baik, entri ini adalah rentetan dari kisah mereka (Karen+ Susan+ Mei Fei+ MeiShan).

Usai permusafiran kami pada hari itu, saya sedar sesuatu-silap! Allah menyedarkan saya kepada sesuatu. Sesuatu yang saya tak perasan sebelum itu. Semoga Allah maafkan kekhilafan saya. Kami teruja untuk membawa adik-adik ini berkongsi pengalaman dengan insan-insan seistimewa mereka. Kami merancang pelbagai program- usrah, jaulah untuk mereka. Kami carikan modul-modul, buku-buku yang sesuai untuk mereka. Tetapi kami terlupa, kebajikan mereka yang tak kurang pentingnya!

Dalam perjalanan balik dari Penang, saya ditanya oleh Karen tentang baju-baju lamanya, yang sendat, singkat dulu tu. Katanya, semua pakaian dulu dah tak boleh dipakai. Bila saya kata baju-baju tu boleh dipakai di dalam bilik. Tahu apa dia kata? Katanya, nak pakai dalam bilik pun dia segan! Subhanallah! Mereka yang baru faham dan tahu ni terus nak jalankan kewajipan. Kita yang dah lama tahu ni, banyak pulak alasan!

Di situlah Allah kejutkan saya dengan sesuatu- adik-adik ni dalam tanggungan ibu bapa, peminjam PTPTN, macam mana adik-adik ni nak beli keperluan baru untuk digunakan?- baju kurung, T-Shirt longgar, tudung, stokin, Al Quran, telekung......??? Bila saya congak dalam kepala, tak sedikit wang diperlukan! Takkan nak harapkan ibu bapa- yang jelas menentang dan masih tidak tahu tentang pengislaman mereka, untuk hulurkan duit? Allahu Rabbi, ampunkan ketidakpekaan hamba (T_T) Walaupun mereka boleh terus dengan pakaian dulu- dengan alasan masih belajar, tapi mereka enggan jadikan itu alasan! Mereka nak tutup aurat sempurna, mereka nak solat dengan sempurna!

Saya bincang dengan suami, suami bincang dengan pak cik-pak cik. Alhamdulillah, Allah bukakan jalan. Kebetulan minggu selepas itu kami ada daurah persediaan murabbi bersama pak cik mak cik zon Utara. Bolehlah manfaatkan, insyaAllah!

Seminggu selepas jaulah ke Pulau Pinang, kami ajak adik-adik ziarah Ustaz Wan dan Ustazah Roshidah. Makan-makan sikit (banyak kot, ustazah masak!) dan ada perkongsian dari adik-adik saudara baru dan tazkirah dari ustaz Wan. Banyak yang kami dapat- menumpang berkat adik-adik yang istimewa tu. Satu yang saya dapat kongsikan dengan semua.

"Teruskan sebar kebaikan. Baik di fb, youtube, blog dan sebagainya. Kita tidak tahu siapa yang akan terkesan dengannya. Mungkin ada saham untuk kita di sana" 

Adik-adik yang istimewa ni selain dapat pendedahan tentang Islam dari rakan-rakan dan buku, mereka juga tertarik dengan post-post tentang Islam di alam maya. Jadi, terus sebarkan keindahan dan kebenaran Islam, dengan cara dan kemampuan masing-masing. Siapa kata dakwah itu susah,kan?

Seeedaaaaaapp.....

"Ya Allah sebagaimana Kau himpunkan kami di rumah ini pada hari ini,himpunkah kami bersama di akhirat kelak", doa ustaz.

Teguh kita berdiri, seteguh cinta kepada Ilahi.

Oh, ini sesi wajib! He he..

Minggu selepas itu- seperti diceritakan tadi, ada daurah. Sebaik kami maklumkan kepada peserta program tentang adik-adik ni, berpusu-pusu yang nak membantu. Alhamdulillah, kami terima dan diamanahkan untuk menyediakan keperluan asas adik-adik ini dengan sumbangan yang diberikan oleh pak cik mak cik ikhwah akhawat yang hadir semasa daurah tu. InsyaAllah, kami pikul amanah ini sedaya mungkin. Nak bantu banyak, kami tak mampu (semoga Allah maafkan kami), jadi ini sajalah setakat yang terdaya kami lakukan, dengan izin Allah.

Jumaat, minggu berikutnya. Kami ajak adik-adik istimewa ni pergi shopping (yeaaayy!!).  Awalnya mereka tak diberitahu nak ke mana. Saya hanya minta mereka tunggu di perhentian bas DPP masing-masing. Mereka pun, patuh sungguh! Tak tanya pun kami nak bawa mereka ke mana.  Sampai di Changlun (masa tu dah pukul 4.30 petang), barulah kami maklumkan aktiviti kami pada hari tu. Mereka diminta buat senarai keperluan mereka untuk dibeli petang tersebut.

Alhamdulillah, pada permusafiran lepas kami ajar adik-adik ni tentang solat jamak qasar, tentang makmum masbuk, mereka dapat teori dan praktikalnya sekali- lebih baik saya rasa untuk mereka. Kali ni pulak mereka belajar tentang pakaian yang menutup aurat. Ya Allah, hanya Allah saja tahu, betapa sukarnya nak cari pakaian yang memenuhi piawaian SIRIM Islam. Hu hu. Satu kedai ke satu kedai kami jelajah. Saya rasa macam dah bawa anak-anak shopping raya- anak dara pulak tu. Heh! Bukan kanak-kanak riang tau.

Sekejap seorang pilih baju, masuk fitting room. Keluar saja, dah tunggu pegawai kualiti (saya la tu)  di luar. Yang ni tak boleh, kain nipis. Yang ni tak boleh, ketat di pinggang. Yang ni tak boleh, kain licin nampak bentuk badan. Ok, itu baru seorang ya, dan sehelai baju tau! He he he.. Apa pun sangat seronok, shopping sambil belajar! Adik-adik pun nampak sangat seronok, walaupun penat!- cari baju yang lulus tapisan.

Suami saya? Oh, mestilah dia ada. Pemandu dan bodyguard yang sungguh setia! Heh (^_*)y. Sekejap dia berlegar di dalam kedai, sekejap di meja- baca surat khabar. Saya usik dia.

"Sabar ya bang, kita ada 4 orang anak dara ni. Ni kira praktis lah ni". Dia senyum menyambut usikan saya.

Menapak dari satu kedai ke satu kedai. Sekejap naik, sekejap turun Serena yang berjasa tu, berkata seorang adik.

"Macam shopping untuk baby"- okeh anda dah tahu dari mana entri ini dapat tajuk kan?

Maklumlah, beli baju baru, tudung baru, sarung kaki, sarung lengan- macam shopping untuk baby baru lahir la tu kan.

Disambut gelak ketawa oleh kami. Suami yang disebelah saya menambah, "Betullah, semua ni kan 'baby' (baca: baru kembali kepada Islam) lagi, bersih macam baby, tak ada dosa."

Pukul 11.00 malam, barulah pencarian kami berakhir, itupun sebab kedai dah tutup, tapi senarai masih belum 'tutup' ya. (Adik-adik, jom shopping lagi!)

Kata ustaz masa ziarah kami ke rumahnya sebelum tu, "Bila dapat baby baru, kita buat majlis sambutan. Bila terima menantu, kita buat sambutan. Sepatutnya bila ada saudara kita kembali kepada Islam, kita kena buat sambutan jugak ni"

InsyaAllah, kita akan cuba bantu adik-adik ini semampu mungkin. Ramai mak cik pak cik yang terus hulurkan sumbangan. Tak kurang yang nak menjemput mereka ke rumah, makan-makan. Yang bertanya khabar dan keperluan, yang sanggup luangkan masa untuk mengajar mereka membaca Al Quran, yang rela korbankan waktu untuk ajar mereka memahami Islam, terima kasih diucapkan. Terima kasih buat semua yang membantu. Semoga Allah membalaskan kebaikan anda semua dengan kebaikan yang berlipatganda. Tapi jangan lupa, tugas kita belum selesai.

Karen kata, "Kak, ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu kami"

Karen sayang, hanya ini yang akak nak minta, "Doakan kami semua, doakan kita semua, semoga dapat bersama di Syurga, insyaAllah"

Merekalah anugerah istimewa buat kami, Alhamdulillah.

p/s: nampaknya kisah tentang mereka masih panjang, saya letakkan semua entri kisah mereka dalam label Mereka MUHAJIRIN, Kita ANSAR- di pautan sebelah kanan.

monolog: ingat lagi Ummi Nor cerita, kalau kita memandu kereta, nampak kereta depan kita ada tanda L, kita tahu itu kereta yang pemandunya dalam latihan. Jadi kita takkan marah atau melenting kalau dia lambat sikit atau ke kiri ke kanan pemanduannya. Macam tu juga dengan Allah. Kalau kita sedang belajar, Allah takkan marah kalau kita tertinggal banyak perkara, tersilap banyak benda. Sebab Allah tahu, kita sedang belajar. Jadi teruskan belajar, dan bila dah tau-amal! Masalahnya kita ni, dah tahu buat-buat tak tahu! Patut kena amalkan, kita sengaja tinggalkan. Agak-agak, Allah berhak marah tak? Tapi marah Allah pun, masih beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Jadi ayuh! Teruskan belajar memahami Islam, amal bila tahu, taubat bila tersilap! InsyaAllah.


Tuesday, April 17, 2012

"Saya harap saya mati dulu"

BismillahirRahmanirRahim.

Semalam, petang. Saga kami baru saja bergerak meninggalkan perkarangan pejabat. Tiba-tiba kedengaran telefon bimbit suami 'berteriak'. Ada panggilan masuk. Serentak, perbualan kami terhenti. Kelihatan agak lama suami menatap skrin telefonnya, sebelum menyambut panggilan.

"..oh, ana dah balik..", dengan senyuman suami menjelaskan kepada si pemanggil.

"Ok,ok, ana mintak tolong depa yang kat sana carikan dia segera", kali ini senyuman bertukar- serius.

Saya menunggu, hairan.

"Kenapa, bang?", tanya saya.

"Zaujah ustaz Fadhli..", jawab suami ringkas sebelum mendail nombor di telefon bimbitnya.

"Anam, anta tolong sat cari Fadhli. Mak dia tengah nazak di rumah warden. Zaujah dia telefon ana tadi, katanya tak dapat telefon Fadhli", cerita suami kepada rakannya di hujung talian.

Sekarang saya tahu ceritanya. Suami sambil memandu, sambil menghantar sms kepada muallim muallimah yang masih berada di sekolah, minta tolong carikan ustaz Fadhli dan segera melihat keadaan maknya di sana. Resah gelisah. Beberapa panggilan masuk ke telefon bimbit suami,sms juga bertalu masuk dan keluar.

Sampai di rumah, saya segera ke dapur, siapkan juadah untuk suami yang berpuasa. Suami masih sibuk dengan telefonnya. "Ya Allah, permudahkan urusan mereka", itu saja yang terlintas di hati saya.

"Abang nak pergi ziarah Fadhli sekejap di sekolah, kalau abang lambat, minta ummi hantarkan adik-adik tu balik ya", pinta suami.

Hari ni ada usrah dengan adik-adik saudara baru. Kami akan perkenalkan Ummi Syidah kepada adik-adik ni, yang akan bawa usrah mereka nanti. Sepatutnya saya dan suami hantar adik-adik tu pulang sebaik usrah selesai. Tetapi mungkin Allah ada perancangan lain untuk kami.

Selesai masak, suami bersiap untuk keluar, saya pula bersiap untuk ke usrah dengan adik-adik.

Usrah berjalan. Sambil bertaaruf, sambil mengadap hot chocolate dan keropok lekor. Ada ketika, ketawa memecah sunyi. Ada ketika, hiba menambah sepi. Bermacam kisah dan peristiwa. Ada ibrah buat yang mahu berfikir. Sedang ralit, sekejap ke kuali melihat keropok yang digoreng, sekejap mengadap pinggan yang dah berisi, tiba-tiba sms masuk ke telefon bimbit.

"Abang dah sampai di rumah. Tak jadi pergi sekolah. Jenazah dah di bawa balik ke kampung. Malam ni kita hantar adik-adik, terus pergi ziarah jenazah", sms suami.

Pukul 7.30 malam, minta izin dari ummi dan adik-adik untuk balik, nak siapkan makanan untuk suami berbuka puasa. Habis sepinggan nasi, dengan sekali lagi bertambah, tom yam pun licin semangkuk, telur mayonis bersisa sesuku, kami pun solat Maghrib dan bersiap untuk keluar. Sebaik hantar adik-adik balik ke bilik masing-masing, saga terus dipecut membelah lebuhraya, menuju ke Kampung Tengah, Pokok Sena. 

Hujan sekejap renyai, sekejap lebat. Langit tidak berbintang. Kami menyusuri lebuhraya, seterusnya masuk ke jalan-jalan kampung. Setelah merangkak-rangkak saga kami meredah kepekatan malam, dengan hujan yang menghadkan penglihatan,akhirnya tiba juga kami ke destinasi yang dituju. Alhamdulillah.

Hujan masih renyai. Kelihatan beberapa buah kereta diparkir di perkarangan rumah. Ramai tetamu memenuhi halaman rumah. Saya dan suami berjalan beriringan dengan pak cik Azman dan mak cik Aiza yang turut berkonvoi dengan kami tadi. Suami dan pak cik di sambut oleh Ustaz Fadhli di hadapan rumah, manakala saya dan mak cik terus ke pintu belakang. Sebaik masuk ke dalam rumah, kelihatan satu ruang kecil di dalamnya yang ditutup dengan kain putih jarang. Jenazah ada di dalam. Tetamu wanita memenuhi ruang dapur dan ruang tamu, berdekatan dengan tempat arwah. 

Sebaik bersalaman dengan tetamu yang ada, kami terus masuk ke ruang kecil yang menempatkan jenazah. Ada dua tetamu yang sedang membaca ayat suci Al-Quran. Usai masuk, saudara arwah terus membukakan kain yang menutup muka arwah. Saya duduk berteleku dan menghadiahkan Al-Fatihah dan doa buat arwah. Selepas selesai, saya keluar dan duduk bersama-sama dengan tetamu yang ada. Kelihatan kelibat kak Fizah, zaujah ustaz Fadhli. Saya menghampiri dan bertanya khabarnya. Kami berbual seketika.

Suasana malam tenang dan sejuk, dengan hujan yang masih gerimis di luar. Suasana ini mengingatkan saya dengan kematian nenda tercinta beberapa tahun lepas. Teringat juga pada arwah Wan yang meninggal dunia awal tahun ini. Sungguh, menziarahi jenazah ini mengingatkan kita tentang hari kematian kita nanti. Bagaimanakah nanti bila giliran kita tiba? Tua belum pasti, tetapi mati itu pasti!

Islam itu sangat indah dan lengkap. Setiap perbuatan dari kecil mahupun besar, ada adab yang diajar kepada kita, termasuk bila menziarahi jenazah. Bila mendapat khabar kematian, ucapkanlah “innaalillaahi wa innaa ilaihi ro ji'uun”, seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Janganlah bersenda gurau dan ketawa gembira apabila menziarahi jenazah. Hormati kedukaan keluarga beliau dan doakanlah mereka, “Semoga Allah menambahkan ganjaran pahala kamu, dan memperbaiki kedudukan kamu serta mengampunkan dosa ahli keluarga kamu yang baru meninggal.”

Bacakan surah Yasin untuk arwah, sebagaimana dianjurkan Islam. “Bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan membaca surah Yasin.” (Hadis riwayat Abu Daud). Bacakan ayat suci Al-Quran untuk arwah. Berdoalah supaya jenazah mendapat keampunan Allah SWT dengan mengucapkan “Allahummaghfirlahu warhamhu” ertinya, “Ya Allah, ampunkanlah dosanya dan limpahkan rahmat-Mu ke atasnya.”

Hulurkan bantuan kepada keluarga arwah, dan ucapkanlah kata-kata yang boleh menenangkan mereka. Ingatkan mereka akan ujian Allah dan jangan sesekali bercerita tentang keaiban arwah. Walaupun jasadnya sudah terpisah dengan roh, dia tetap berhak dihormati, bukan? Kita juga tentunya malu apabila keaiban kita didedahkan dan dijadikan bahan perbualan.

Selepas lebih setengah jam, suami menelefon, mengajak untuk beransur pulang. Bumi masih kehujanan. Langit masih kelam. Malam tidak berbintang. Kami meninggalkan rumah ustaz Fadhli ketika jam sudah pun menunjukkan 11.00 malam. "Ya Allah, sungguh benar janjiMu. Kematian pasti akan mendapatkan kami walau di ceruk mana kami bersembunyi. Hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami juga dalam Islam"

Hampir jam 12.00 malam, kami tiba di rumah.

"Abang, rasa-rasanya antara kita, siapa yang akan mati dulu?", tanya saya.

"Erm, tak tahulah. Semuanya kan ketentuan Allah", jawab suami.

"Saya harap saya mati dulu", kata saya.

"Biarlah abang mati dulu", balas suami.

Saya atau dia yang pergi dulu, semuanya sudah tertulis di dalam takdir kami. Apa pun yang berlaku, semoga Allah pertemukan kami semula di syurga sana, sebagaimana Dia telah mempertemukan kami di dunia. Di dunia saya isterinya, semoga di akhirat, sayalah bidadarinya, insyaAllah.





Sunday, April 15, 2012

Ujian: antara bawang merah, penapis teh dan plaza tol Jitra?

BismillahirRahmanirRahim.

Pesanan penaja: Pra syarat membaca entri ini adalah- Pastikan ada Al-Quran bersama anda ya, entri ni memang entri cari ayat Al-Quran sendiri, entri ni untuk yang rajin dan nak dapat pahala tengok ayat Allah. (Eh, berapa lama dah kita tak belek Al-Quran ya?!)

Ujian, bawang merah, penapis teh dan tol Jitra? Huh?! (=_='') Apa kaitannya?

Ujian ni macam mengupas kulit bawang. Biarlah pedih matanya sekejap, asal karinya dapat disantap!

Saya teringatkan sesuatu, lalu saya tulis dinding fb, "Mendepani ujian itu seperti mengupas kulit bawang merah!" Huh? Kenapa bawang merah? bukan bawang putih ke, bawang besar ke??

Satu hari. Lama dulu. Tak la lama sangat. Heh. Saya dan suami balik ke rumah tok. Tengahari, siapkan rempah-rempah, bahan-bahan untuk masak. Saya ambil beberapa ulas bawang merah dari bakul merah tok, lalu mula mengupas kulitnya. Biasalah, bawang merah ni 'berbisa' sikit, kupas kulitnya macam tengok cerita Hindustan la, baru setengah jalan dah sok sek sok sek. Pedih mata, mulalah berair. Macam-macam petua kita dengar untuk hilangkan pedih mata ni, ada yang kata, letak bawang di hujung pisau. Saya tak pernah cuba yang tu. 

Biasanya, kalau saya rasa pedih mata bila mengupas kulit bawang merah, saya tahankan saja sekejap, jangan gosok mata, jangan kerdipkan kelopak mata, jangan basuh muka, jangan buat apa. Dalam 2 minit selepas tahan dengan sesungguh hati kepedihan tu, insyaAllah lepas tu dah tak rasa pedih langsung dah, dan insyaAllah boleh berdepan dengan sebanyak mana bawang merah tanpa keraguan dan penyeksaan dah. he he.. Alhamdulillah menjadi jugak la untuk saya, tak sok sek sok sek dan tak jadi heroin Hindustan yang menangis sebab dihalang bertemu buah hatinya oleh ayah yang garang- la. he he.

So what? Bak kata panel penilai dalam sesi proposal defence. he he. Apa kaitannya bawang merah dengan ujian?

Hari tu, ketika mengupas kulit bawang merah, sambil menahan pedih mata, saya terfikirkan sesuatu. Berdepan dengan ujian sama seperti mengupas kulit bawang merah ini. Bila saya mula kupas kulit bawang, saya rasa pedih dan sakit mata. Saya punyai dua pilihan ketika itu, bersikap lemah semangat, berputus asa, berhenti dari mengupas kulit bawang, lalu tak menjadilah kari saya, (yang mana sangat jarang la orang buat- budak-budak kecil saja yang give up kupas kulit bawang!) atau tahan sekejap pedih mata tu dan teruskan mengupas hingga la kari saya siap untuk disantap.

Begitu juga bila berhadapan dengan ujian. Kita akan merasai betapa pedihnya hati, betapa renyuk dan remuknya perasaan itu. Kita punyai dua pilihan ketika itu, bersikap lemah, berputus asa lalu kalah dengan hasutan syaitan, lalu merudumlah iman kita, jadilah kita perajurit yang gagal sebelum berjuang, atau tahan seketika kepedihan itu dengan berpegang teguh dan berkeyakinan penuh akan janji-janjiNya lalu kita berjaya keluar dari medan ujian sebagai orang yang berjaya dan lebih baik kehidupannya.

Apa janji Allah untuk mereka yang tetap tabah, sabar mengupas kulit imannya ini? Cuba belek surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 157 tu. Wow! (kalau tak faham, maksudnya tak baca la tu)


Bertahanlah!


Ujian ni macam menapis serbuk teh. Biarlah serbuknya melekat, asal airnya dirasa-sedap!

Hah! Cerita penapis teh la pulak. Yelah, walaupun sekarang zaman dah moden, teh pun guna uncang dah, mana ada tapis-tapis dah, tapi bagi saya, teh serbuk tetap yang paling sedap- heh! 

Okeh, kalau kita ingat, dulu-dulu (dan sekarang pun masih ada), bila kita bancuh teh, kita akan tapis hampas serbuknya dengan penapis teh sebelum dituangkan ke dalam cawan, kemudian terkedek-kedeklah si anak dara keluar menatang dulang berisi dua cawan air teh wangi dan sepinggan buah bahulu dan kuih koci untuk tetamu yang sedang tersenyum simpul di ruang tamu.

Kita menapis teh untuk mendapatkan airnya yang sedap dan dapat dinikmati tanpa campuran hampas serbuknya. Bagaimana pula Allah menapis kita, hambaNya? Mari kita baca ayat Allah, surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3. Allahu Allah. Allah menapis orang beriman atau engkar, benar atau dusta dengan ujian-ujianNya. Kalau ujian itu penapis, maka seharusnya kita perlu berjaya melepasi penapis itu untuk menjadi hambaNya yang benar-benar beriman, melepasi penapis ujian itu adalah bukti keimanan kita! Mahukah kita menjadi hampas serbuknya, yang hanya melekat pada penapis, atau menjadi air teh yang berjaya melepasi penapis- bukti hanya yang terbaik mampu mengharungi penapis iman!


Jangan jadi hampasnya!


Ujian ni macam tol Jitra. Biarlah duitnya segera dipersiap, asal hampirnya tidak terkulat-kulat!

Kalau menyusuri lebuhraya Utara-Selatan dari Sintok ni, plaza tol Jitra adalah salah satu persinggahan yang wajib. Bayarannya RM 1.60. Suami selalunya siap-siap letak duit di ruang kecil di sebelah dalam pintu di sebelahnya- senang! Sampai saja di tol, terus bayar. Pernah juga terlupa letakkan duit siap-siap, kalut juga la, baru nak terkulat-kulat mencari duit syiling, tambah kalut kalau banyak kereta beratur di belakang. Okeh! apa kaitannya dengan ujian?

Baca dulu surah Al-Baqarah ayat 214. Allah kata, nak masuk syurga mesti melalui ujian. Kalau saya dari Sintok, menggunakan lebuhraya dan destinasi saya adalah Alor Setar, maka tol Jitra adalah persinggahan yang mesti saya tempuhi. Begitu juga kita sekarang di lebuhraya dunia, menuju ke destinasi akhirat- di mana syurga menjadi destinasi idaman kita, maka tol ujian adalah satu persinggahan yang wajib kita tempuhi! Jika melalui tol Jitra kita telah bersiap sedia dengan duit secukupnya agar tidak kalut dan terkejut, begitu juga kita seharusnya bersiap menghadapi ujian ini bila-bila masa saja dalam kehidupan kita. 

Ujian itu pasti akan tiba, dan bila ia tiba, ucapkanlah "Inilah janji Allah. Telah datanglah ujian Allah. Sungguh benarlah janji Allah"- dengan senyuman dan persediaan. Dan perlu selalu ingat, tol ujian ini akan kita tempuhi dan datangi berkali-kali sepanjang perjalanan di lebuhraya kehidupan kita ini, sebelum tiba ke destinasi idaman- syurga! Persiapkanlah diri untuk menghadapinya, agar tidak kita terkejut mahupun terkulat-kulat saat ia tiba- sebaliknya kita menghampirinya dengan penuh redha.


Bersiaplah!


Itulah ujian: antara bawang merah, penapis teh dan tol Jitra. Saat ujian itu datang, bertahanlah dengan kepedihannya yang sementara. Saat ujian itu datang, tabahlah mengharungi tapisan yang sempit dan menyesakkan- sebagai bukti keimanan. Saat ujian itu datang, sambutlah dengan redha dan tenang- penuh persiapan.

monolog: minggu lepas, terjadi gempa bumi di negara jiran, kesannya terasa hingga ke Malaysia. Itu juga ujian, bergantung kepada bagaimana kita melihatnya.


Tuesday, April 10, 2012

"..luka dek pedang di hari ini.."

Tersebutlah kisah suatu cerita. Di sebuah lembah nan subur, terdirilah sebuah negeri yang aman lagi damai, di bawah pemerintahan Paduka Raja yang gagah perkasa, dek kerana memburu- kegemaran masa lapangnya. Paduka Raja ini pula sungguhlah bertuah, kerana memiliki sekumpulan jamaah menteri yang setia lagi berjasa. Tambahan pula, jamaah menteri ini diketuai oleh mamanda perdana menteri yang bijak lagi kacak. (heh!)

Mamanda perdana menteri ini sangatlah dikasihi oleh Paduka Raja, jamaah menteri pimpinannya, juga rakyat jelata adanya. Kata-katanya selalu didengari. Gerak langkahnya selalu disoroti. Tunduknya dihormati. Dabiknya digeruni.

Pada suatu hari yang indah. Burung-burung terbang rendah. Mentari bersinar terik gagah. Paduka Raja sedang bermain pedang di gelanggang perang di dalam istana mewahnya. Dari kejauhan, kelihatan kelibat adinda Paduka Raja, putera yang tidak kurang hebatnya dalam kemahiran persenjataan. 

"Wah, kanda! Awal sungguh kanda hari ini", sapa si adinda sambil menenyeh-nenyehkan matanya.

"Adinda, burung-burung pun sudah lama keluar dari sarangnya, adinda pula baru mahu melihat dunia?", Paduka Raja bersuara, sinis.

"Ah, kanda! Adinda sudah tentu punya sebabnya, bangkit lewat sebegini. Adinda habiskan dua pertiga malam untuk menguasai ilmu persenjataan baru semalam", tingkah si putera.

"Oh, begitu hebatkah? Cubalah, tunjukkan kepada kanda, ilmu apakah yang kedengarannya sungguh hebat itu", kata Paduka Raja, mencebik lantas melemparkan sebilah pedang yang tersisip kemas di pinggangnya.

Dan bermulalah pertarungan antara kedua beradik sedarah sedaging itu. Mamanda perdana menteri yang awalnya sibuk memantau latihan silat hulubalang-hulubalang di luar istana, turut menapak ke gelanggang perang di dalam istana, sebaik mendengar ada dentingan pedang, seakan terjadinya pertarungan yang sengit dan hebat.

Mamanda perdana menteri sedikit lega melihatkan tiada ancaman kepada nyawa Paduka Raja. Hanya pertarungan biasa oleh dua pemerintah utama negara. Mamanda perdana menteri kembali meninggalkan gelanggang perang. Belumpun dua langkah menapak, mamanda perdana menteri mendengar jeritan nyaring. Sebaik berpaling ke gelanggang perang diraja, kelihatan Paduka Raja telah rebah ke tanah, dengan darah pekat mengalir di bahunya. Adinda Paduka Raja pula kelihatan tegak, terkebil-kebil hanya memandang kekandanya tanpa berbuat apa-apa. 

Mamanda perdana menteri lantas berlarian menerpa kearah Paduka Raja. Dikoyaknya kain dari bajunya,lalu ditekapkan ia ke luka sang raja. Pawang istana terus diperintahkan hadir segera. Tatkala melihatkan kekandanya pucat tidak bermaya, barulah adindanya yang seakan baru tersedar dari mimpi, menerpa lalu memeluk kekandanya sambil meratap hiba memohon ampun atas kelalaiannya, yang menyebabkan kekandanya cedera.

Di kamar sang raja, pawang istana baru selesai dengan tugasnya. Paduka Raja terbaring lemah ditemani mamanda perdana menteri di sisinya.

Sebaik pawang istana menyembah takzim memohon mengundur diri, sang raja bersuara lemah kepada mamanda perdana menteri, pembesar setia yang dikasihi.

"Beta rasa, adinda beta berniat tidak baik terhadap beta. Dia sengaja mencederakan beta, mungkin cuba membunuh beta, untuk merebut takhta kerajaan ini!"

"Tuanku Paduka Raja, patik tidak merasakan adinda tuanku punyai hati sebusuk itu. Patik percaya, apa yang telah berlaku itu hanya kebetulan yang tidak disengajakan semata-mata. Luka dek pedang di hari ini boleh jadi tandamata berharga di hari esok", kias si mamanda.

"Apa??? Adakah mamanda cuba menyalahkan beta? Atau mamanda juga terlibat sama untuk menjatuhkan beta?", teriak sang raja, marah.

"Ampun tuanku. Tidak sesekali patik berniat demikian. Patik cuma...", 

Belum sempat sang mamanda menghabiskan kata-katanya, sang raja pula bertempik, keras.

"Pengawal! Masuk ke ke mari! Sumbat pembelot ini ke dalam kurungan bawah tanah!", arah sang raja.

Dengan segera, mamanda yang setia lagi berjasa itu diheret ke kurungan. Sedang sang raja tersenyum, sinis.

Setelah beberapa hari dirawat oleh pawang istana, maka sembuhlah Paduka Raja dari lukanya. Hanya kelihatan parut kasar di bahunya.

"Beta ingin keluar berburu. Siapkan peralatan beta", arah sang raja kepada hulubalangnya.

Berangkatlah sang raja bersama hulubalangnya ke tengah hutan belantara- kali ini tidak ditemani oleh mamanda perdana menteri yang terpaksa meringkuk di kurungan. 

Dek kerana ralit memburu si pelanduk, sang raja tidak sedar akan jauhnya hulubalang meninggalkannya. Bila mentari berlabuh, barulah si raja tersedar akan terpisahnya dia dari hulubalang-hulubalangnya.

Baru saja sang raja ingin menjerit memanggil hulubalang-hulubalangnya, dia tiba-tiba dicekup oleh sekumpulan manusia berpakaian separuh telanjang. Meronta-ronta sang raja di dalam karung guni yang hamis dan hancing baunya. Dia diusung entah ke mana dibawanya. 

Sudah lemah seluruh badan sang raja, sehinggalah akhirnya dia dihumban ke tanah yang keras. Dikeluarkan dia dari karung busuk itu, lalu diikatlah sang raja di pohon sebesar dua pemeluk manusia, yang rimbun di tengah-tengah perkampungan puak yang entah dari mana asalnya. Manusia separuh bogel itu berdiri mengelilinginya, sambil merenung tajam kepadanya.

"Hei, tahukah kamu siapa beta! Beta adalah raja mulia dari negara InderaKura! Lepaskan beta! Atau beta akan titahkan hulubalang beta pancung kepala kamu semua!", teriak sang raja.

Tidaklah manusia puak kanibal itu mengendahkan teriakan sang raja, melainkan mereka mula menyediakan unggun api terbesar buat memasak hidangan buat dijamu kepada roh nenek moyang mereka yang kononnya kelaparan. Tahulah sang raja, dialah hidangan itu. Dialah yang bakal rentung di dalam nyalaan api itu. Puas sudah sang raja memberikan pelbagai tawaran sebagai ganti nyawanya, namun tidaklah puak kanibal itu termakan akan pujuk rayunya, sedang mereka tidak mengenal apa itu emas permata, pangkat mahupun takhta. Yang mereka tahu cumalah daging panggang buat santapan mereka dan roh nenek moyang yang perlu ditenteramkan supaya keamanan dapat dikekalkan. 

Saat api sudah marak, dicarik-cariklah persalinan memburu sang raja oleh puak kanibal. Ketika tercariknya baju sang raja di bahunya, ternampaklah oleh puak kanibal akan parut, bekas luka tatkala berlawan pedang dengan adindanya dulu. Terus, si kanibal melepaskan ikatan sang raja dari pokok tadi, lalu menolaknya kembali ke dalam hutan, jauh dari perkampungan mereka. Api yang marak dipadam, sang raja dihalau keluar dari kampung mereka, kembali ke hutan yang tebal dan menggerunkan. Tidak mensia-siakan peluang, walaupun masih dalam kebingungan, sang raja berlari sekuat hati tanpa berpaling lagi ke belakang.

Akibat keletihan, sang raja jatuh sakit dan pengsan. Sebaik sedar, sang raja mendapati dirinya terbaring di atas katil, dalam kamarnya di istana. Betapa gembira sang raja sehingga menitiskan air mata.

"Bawakan mamanda perdana menteri menghadap beta", arah sang raja.

Mamanda perdana menteri dikeluarkan dari kurungan bawah tanah, dipakaikan persalinan asalnya dan dibawa menghadap sang raja.

"Wahai mamanda, tahukah kamu apa yang telah terjadi kepada beta?", tanya sang raja.

"Ya tuanku paduka raja, patik ada juga mendengarnya dari pengawal di bawah sana",jawab sang raja.

"Menurut mamanda, apakah gerangan yang menyebabkan beta terselamat dari puak yang menggerunkan itu?", tulus sang raja bertanya.

"Menurut firasat patik yang serba kekurangan ini, puak yang tuanku jumpa itu adalah puak kanibal, yang mengorbankan manusia untuk dimakan dan dipersembahkan kepada roh nenek moyang mereka", jawab sang mamanda.

"Walaubagaimanapun, puak itu terpaksa melepaskan tuanku kerana adanya parut di bahu tuanku itu", sambung sang mamanda.

"Oh, mengapakah begitu, wahai mamanda?", curiga sang raja.

"Kerana mereka hanya mempersembahkan korban yang sempurna, tanpa cacat cela dan parut bertanda, untuk roh nenek moyang mereka", balas sang mamanda.

"Bukankah patik telah berkata dahulu- luka dek pedang di hari ini, boleh jadi tandamata berharga di hari esok", sambung sang mamanda.

"Apakah maksud kamu dengan kata-kata itu wahai mamanda?" bertanya sang raja lagi.

"Kalaulah tidak kerana luka itu, tentunya patik tidak disumbat di dalam kurungan, lalu pastinya patik akan turut serta bersama tuanku pergi memburu, mungkin kita berdua akan ditangkap oleh puak kanibal, dan mungkin tuanku dan patik akan menjadi mangsa, kerana tuanku dan patik tidak ada apa-apa parut bertanda. Jadi kerana luka itulah tuanku dan patik terselamat. Mungkin luka itu menyakitkan tuanku, semalam. Tetapi luka itulah yang menjadi penyelamat tuanku, hari ini. Mungkin kurungan itu menyakitkan patik, semalam, tetapi kurungan itulah yang menyelamatkan patik, hari ini", sang mamanda yang bijaksana menerangkan dengan panjang lebar.

Sang raja mengangguk faham, penuh kesyukuran.

monolog: raja dah faham, awak faham tak?



Monday, April 9, 2012

Mereka MUHAJIRIN. Kita ANSAR.

BismillahirRahmannirRahim.

Kisah bermula, dua minggu lalu.

"11 April ni cuti sempena Pertabalan Yang Dipertuan Agong, jomlah kita bawa adik-adik (saudara baru) pergi IPSI dan Hidayah Centre, Pulau Pinang", kata suami.

"Depa dah cuti pertengahan semester dari 6 April lagi bang", sambut saya.

"Kalau macam tu, minta depa balik lambat sikit, Jumaat kita ke sana", cadang suami.

Begitulah perbualan ringkas kami. Sebenarnya dah lama, dari semester lepas lagi kami bercadang untuk membawa adik-adik saudara baru ni (yang ketika itu 2 orang, berusrah dengan saya) ke sana. Namun, perancangan Allah lebih baik, Alhamdulillah. DitangguhkanNya seketika perancangan kami, sebaliknya direalisasikan perancanganNya, yang pasti dan pasti lebih baik dan hebat!

Sejak dari perancangan ringkas itu, saya minta adik-adik di PERKIM UUM dan adik-adik usrah untuk hubungi adik-adik muallaf yang lain. Kata suami, alang-alang, ajaklah semua, yang kami ketahui ada lebih kurang 7,8 orang di sini.

"Kak, ada lagi seorang saudara baru dan seorang lagi berminat dengan Islam di DPP Mira", seorang adik memaklumkan.

"Kak, di satu DPP ni pun dengar-dengarnya ada yang terbaru, kurang seminggu kembali kepada Islam", kata adik yang lain pula.

"Ok, cuba hubungi mereka, kalau-kalau berminat nak turut serta", usul saya.

Bermula pencarian kami, mengumpulkan nama-nama mereka yang baru kembali kepada Islam. Perbincangan saya dan suami, baik berkenaan perancangan program, perjalanan dan aturcara serta perkara-perkara sampingan seperti budget, tempat bermalam  dan sebagainya, hanya berlangsung di dalam kereta, semasa dalam perjalanan samada ke Global March to Jerusalem USM, Daurah Tarbiyah Siasah dan ketika keluar membeli-belah barang-barang dapur.

Nama-nama sudah sedia. Kertas kerja sudah lulus. Sumbangan kewangan (IKRAM Kubang Pasu dan Unit IPT-IKRAM Kedah, serta sumbangan perseorangan) sudah diterima. Kenderaan sudah dipinjam (dari pak cik yang bermurah hati).

"Kak, ada lagi yang nak ikut!", seorang adik memaklumkan.

"Macam mana ni, kalau ikutkan sebuah MPV dan sebuah saga kami, dah cukup-cukup!", bisik saya.

Terus hubungi pak cik-pak cik lain, tukarkan saga kami dengan Unser-nya! Alhamdulillah, pak cik mak cik IKRAM tidak pernah lokek memberi mahupun meminjamkan apa saja harta benda mereka, samada rumah- untuk tumpang bermalam ketika katibah, mahupun kereta (atau MPV) untuk ke program.

Akhirnya, tiba hari yang ditunggu-tunggu. Jumaat, 6 April. Usai solat Subuh, kami bertolak. Dua MPV- Unser dan Exora, membelah lebuhraya, memecah kesunyian dinihari. 4 ikhwah, 7 akhawat- 3 daripadanya adalah saudara baru. Sepatutnya ada 4 orang, tetapi Susan ada hal lain yang tak dapat dielakkan- tidak mengapa, mungkin bukan rezeki dia kali ini. Susan, Karen, Mei Fei dan Mei Shan- merekalah 'muhajirin' itu.

Wajah mereka bersilihganti di dalam kotak fikiran saya.

Susan. 

Kembali kepada Islam, hampir dua tahun lalu, ketika di kolej matrikulasi. Berminat dengan Islam sejak dari sekolah menengah. Suka dengar azan, dan lihat muslimah bertudung labuh. Kerana sangat berminat untuk masuk Islam, dia menyatakan keinginannya kepada seorang ustazah di kolej matrikulasinya, lalu melafazkan syahadah. Seterusnya menyambung pengajian di UUM. Bermulalah rentetan ujian buat si gadis bertubuh kecil namun berhati besar ini! Ibu bapa menentang pengIslamannya. Telekung dan buku-buku dibakar. Juga hampir dihalau oleh keluarga. 

Bila keluarga mengugut supaya memilih-keluarga atau agama? Dia berkeras hati memilih agama! walaupun nanti terpaksa dibuang keluarga. Pengajiannya di UUM ditanggung sepenuhnya oleh keluarga- itu yang merisaukannya. Tudung, baju kurung, telekung dan buku-buku agama- mungkinkah ibu bapanya akan mengeluarkan duit untuknya? Bagaimana pula dengan pengajiannya-mungkinkah akan terus dibiaya setelah pengIslamannya tidak disukai mereka? Sesungguhnya perancangan Allah lebih hebat- Allah mentakdirkan dia yang memang cemerlang dalam pelajaran sejak dulu- mendapat tajaan JPA. Alhamdulillah, sungguh benar janji Allah, bersama kesukaran, Dia titipkan kemudahan.

Kali pertama bertemunya, apabila anak usrah saya menemukan kami. Di ruang kecil pejabat saya, air matanya menjadi saksi, betapa disebalik wajah polos itu, tersimpan sebuah kekuatan luar biasa! Saat diajukan tentang keluarga, titisan-titisan jernih turun membasahi pipinya. "Sabarlah sayang, sesungguhnya kamu berada di jalan yang benar" Sejak itu, dia selalu bersama saya, usrah tak pernah ketinggalan. Gemar bertanya dan selalu ingin belajar. Juga, rajin belajar mengaji! Sangat cepat belajar, sekarang dah Iqra' 5! Alhamdulillah! Ibu bapanya mungkin belum sepenuhnya meredhai keputusannya, namun Alhamdulillah dari hari ke hari, hubungan mereka semakin baik.

Karen.

Belum sampai 4 bulan kembali kepada Islam. Juga berminat dengan Islam sejak di bangku sekolah. Setelah masuk ke UUM, banyak bergaul-rapat dengan kawan-kawan muslim. Selalu mengajukan soalan dan bertanya tentang Islam kepada kawan-kawan, juga banyak membaca buku-buku Islam. Sudah biasa berpuasa, sejak dari sekolah menengah! 

Pertama kali bertemu dengannya, ketika itu dia belum beragama Islam. Susan yang mempertemukan kami- ketika itu kami ada usrah. Katanya, kawannya ini berminat dengan Islam. Di awal pertemuan kami, saya terangkan secara ringkas tentang Islam, dan benarkan dia bertanya apa yang dia ingin ketahui tentang Islam. Dia sudah mempercayai Allah yang Esa ketika itu, tidak lagi Tuhan Trinity. Bila saya tanya tahap keyakinannya kepada Islam, dia kata dia sudah 90% yakin! Saya tidak berhasrat untuk memaksanya, lalu saya katakan padanya, carilah Islam dengan kefahaman, bukan dengan ikut-ikutan (sebagaimana agama yang dianutinya ketika itu). Dalam doa penutup seusai usrah kami, dalam diam saya titipkan doa buatnya, "Ya Allah kasihanilah anak ini, tunjukkanlah kepadanya jalanMu yang lurus"

Beberapa minggu selepas itu, ada ceramah oleh Brother Kamaruddin di UUM. Saya ajak Susan datang sekali, untuk diperkenalkan kepada brother dan tanyakan sebarang permasalahan, kalau ada. Saya ajak juga Karen, Alhamdulillah dia bersetuju. Sebelum program bermula, saya dan suami mempertemukan Karen dengan brother Kamaruddin- hanya berniat untuk memperkenalkan, tiada langsung niat untuk mengIslamkannya pada malam itu! Sebaik mendapat tahu ada insan istimewa di dalam majlisnya, brother terus menukar sedikit isi ceramahnya. Alhamdulillah, dengan izinNya, Karen kembali ke dakapan Islam sebelum program itu berakhir, di hadapan puluhan mata yang turut menjadi saksi kembalinya seorang hamba Allah kepada fitrahnya.

Karen seorang yang sangat suka dan cepat belajar. Sebaik saja kembali kepada Islam, Karen sangat konsisten dengan usrah kami, Alhamdulillah.

Karen masih menyembunyikan pengIslamannya dari pengetahuan keluarga. Sehingga hari ini, dia hanya memberikan hint-hint berkenaan Islam kepada keluarganya. Namun, respon mereka masih negatif, kerana itu dia menagguhkan seketika hasrat untuk memberitahu mereka- walaupun hatinya meronta untuk bercerita! Dia anak sulung, yang rapat dengan ibu bapanya. Bercerita apa saja kepada mereka, walaupun sekecil-kecil perkara. Lantaran itulah dia seakan tidak mampu menyembunyikan perkara ini dari mereka- tidak untuk perkara sebesar ini! Ya Allah, berikan kekuatan kepadanya serta permudahkan urusannya.

Dia sentiasa tenang, walaupun gejolak perasaanya, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Semoga dia terus tenang melangkah, mendepani ujian yang menantinya di hadapan.

Mei Shan.

11 Mac 2012 yang lalu menjadi detik istimewa dalam hidupnya. Itulah detik di mana dia kembali kepada fitrahnya, asalnya, sepertimana perjanjiannya dengan Rabbul Jalil tika di alam rahim. Gadis berketurunan baba nyonya ini tidak menyangka, bebanan berat yang tidak tertanggung, yang entah mengapa sebabnya, yang menyebab tangisnya kadangkala perlahan, kadangkala kuat, di saat insan lain didakap malam, adalah petanda akan bermulanya sebuah episod baru untuknya. Untuk mengurangkan bebanan hati yang entah dari mana, puncanya yang tidak dia ketahui, dia suka membaca post-post yang Islamik di facebook, blog dan youtube. Dia rasa tenang dengan siraman ayat-ayat Allah.

Satu hari, dia berhasrat untuk membeli Al-Quran tafsir. Dia ingin melihat sendiri, membaca sendiri ayat-ayat yang selama ini menjadi penawar dukanya, pengubat resahnya, yang ditonton dan dibaca di runag maya. Peristiwa itulah yang membawa kepada pengIslamannya. Dari hanya berhasrat untuk mencari sumber penawar, dia akhirnya dipertemukan dengan pemilik penawar itu. Alhamdulillah. Saat syahadah dilafazkan, semua bebanan yang mengasak di pundaknya, seakan terlepas bebas! Hanya yang ada, ketenangan yang sukar digambarkan.

Dia sebenarnya sudah lama mengintai Islam. Agama ini seakan dekat, walaupun jauh. Saat syahadah dilafazkan, dia seakan keliru. Namun kini, dia benar yakin, inilah satu-satunya yang dia mahu- tanpa ragu! Ibunya dimaklumkan sebaik saja dia diIslamkan. Dengan tangis air mata, dia minta untuk difahami, dia minta untuk direstui. Tetapi seperti dijangka, hasratnya disalahertikan, pelbagai tanggapan dan andaian dari si ibu- risau si anak 'dirampas' selama-lamanya! Namun ibunya tidak terlalu keras menentang, masih boleh menerima walaupun bukan sepenuhnya. Saat berita dikhabarkan kepada si ayah, hanya bentakan keras sebagai jawapan, "Suka hatilah!!" Sekali lagi si anak meminta maaf bertalu-talu- bukan hasratnya mengenepikan mereka, tidak sesekali dia ingin menjadi anak derhaka! Namun, baginya agama ini tiada tukarannya. "Ya Allah, kau lembutkan hati kedua ibu bapanya"

Saya bertemu dengannya beberapa hari setelah pengIslamannya. Saya doakan dan akan sentiasa doakan, supaya Allah pinjamkan secebis kekuatan buatnya.

(Hari ni 9 April, dapat perkhabaran gembira- mak ayah Mei Shan sudah sedikit demi sedikit dapat menerima pengIslamannya. Ayahnya sanggup keluar, belikan buah lain, takut buah yang disembahyangkan oleh mereka tidak boleh dimakan oleh si anak. Alhamdulillah. Allah punya perancangan yang lain)

Mei Fei.

Asalnya dari Sarawak. Juga sudah biasa dikelilingi rakan Muslim. Minggu-minggu terakhir pengIslamannya, hidupnya sedikit kelam kabut, kucar-kacir. Kawan-kawan yang selama ini rapat, seakan menjauh. Masalah bertandang, satu persatu. Yang ada belum selesai, yang datang menambah beban. Jauh di sudut hatinya, dia terasa seakan ada sesuatu dengan Islam. Akalnya cuba menafikan, namun hatinya tetap membisikkan kebenaran. Dia akhirnya menjauh diri, memencil diri, dengan dunia sunyi sepinya sendiri.

17 Mac 2012. Akhirnya saatnya tiba jua. Saat dimana dia sudah tidak mampu menutup kebenaran itu dari memandu hatinya. Saat kebenaran itu sudah tidak berupaya bersembunyi di sebalik penafian akalnya. Satu hari. Kesakitan di perutnya sangat mengasak-asak. Tidak pernah sesakit ini dia rasakan sebelum ini. Dia keseorangan, tiada rakan untuk diminta bantuan. Terpacullah dari mulutnya kalimah, "Kalau benar Allah itu ada, sembuhkanlah sakit aku ini"

Sekelip mata. Bagai tiada apa-apa, perut yang tadi tidak tertahan sakitnya, terus baik. Tiada lagi sakit. Subhanallah! Dia bangun, terduduk. Seakan tidak percaya. Luruh butir-butir jernih dari tubir matanya. Tidak dia tertangguh, terus dihubungi rakannya. Dia ingin jumpa ustaz, ustazah atau sesiapa saja- dia ingin diIslamkan segera! Tiada penafian lagi, tiada keraguan lagi. Inilah yang dicari-cari!

Dia masih belum kuat untuk memberitahu berita ini kepada kedua orang tuanya. Dia masih mencari masa dan kekuatan. Semoga Allah permudahkan segala urusannya.

Saya bertemunya pertama kali ketika jaulah ke IPSI dan Hidayah Centre ini. Dia awalnya kelihatan pendiam. Sukar saya menebak perasaanya. Namun Alhamdulillah, permusafiran ini mengkisahkan semuanya, meluahkan segala yang terpendam, meleraikan segala yang mengusutkan, mendekatkan segala yang menjauhkan dan merapatkan segala yang merenggangkan. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Dari raut wajahnya, saya tahu masih banyak yang terbuku dalam fikirannya, namun saya yakin Allah akan sentiasa ada untuknya.

Itulah mereka. 'Muhajirin' itu. Allah memilih mereka, pasti Allah menjaga mereka! Allahlah yang mempertemukan kami dengan mereka, Allah jugalah yang menggerakkan kami untuk merancang sesuatu untuk mereka. Dengan izin Allah jualah, kembara ini terlaksana akhirnya. Kami sungguh bertuah, kerana Allah memilih kami untuk menjadi sebahagian daripada episod kehidupan mereka yang sungguh istimewa ini di sisi Allah. Satu saja harapan kami ketika Allah mengilhamkan semua ini- kami ingin sekali adik-adik ini terasa bahawa mereka dan kami (kita) adalah bersaudara. Biar apa yang bakal mereka tempuhi, ketahuilah kami akan sentiasa ada untuk mereka, dengan izin Allah. Sesungguhnya kami tidak mampu membantu mereka, inilah saja sedikit usaha yang mampu kami lakukan. Semoga Allah maafkan ketidakmampuan kami.

Pukul 9.15 pagi, kami tiba di IPSI. Disambut mesra oleh brother sendiri dan staf-stafnya. Rupa-rupanya kami adalah tetamu pertama di hari pertama, bangunan IPSI yang baru beroperasi. Banyak yang dikongsi oleh adik-adik ini, dan banyak juga titipan nasihat, motivasi dan suntikan semangat oleh brother buat mereka.


Di IPSI, bersama brother Kamaruddin.


Sebaik selesai aktiviti di IPSI, kami ke USM untuk makan tengahari dan solat. Seterusnya, kami ke Hidayah Centre Pulau Pinang, untuk slot bersama Dr. Roslan, pengerusi Aqsa Syarif Pulau Pinang, yang menggantikan ustaz Syazali yang terpaksa ke luar negara atas urusan jamaah.

Dr. Roslan terpaksa memendekkan slot memandangkan beliau mendapat jemputan mesyuarat di saat-saat akhir. Melihatkan pada waktu yang masih panjang dan adik-adik yang kelihatan lesu dan penat, suami cadangkan untuk bawa mereka berjalan-jalan di sekitar Pulau Pinang. Mereka di bawa ke muzium USM, seterusnya ke Queensbay. Alhamdulillah yang malu-malu nampaknya semakin rapat. Yang menyentuh hati, bila mereka sesama saudara baru saling menasihati dan memberi semangat. Mulut saya membisu, tetapi telinga saya dapat menangkap butiran kata-kata mereka. Sungguh, terharu (T_T).

Di Queensbay, kami melepaskan mereka untuk tentukan halatuju masing-masing. Biar mereka merehatkan fikiran seketika. Saya dan suami, beriringan menapak ke arah bertentangan dari mereka. Tiada yang menarik perhatian kami di dalam gedung beli-belah yang besar tersebut. Ada perkara lain yang lebih menarik minat. Kami bincangkan perkara-perkara selanjutnya dari kembara hari ini. Apa isu yang belum selesai? Apa tindakan susulan? Apa plan jangka pendek dan jangka panjang? Sambil memesan dua biji donut di restoran makanan segera J.CO, banyak perkara rupanya yang perlu dilakukan. Kembara hari ini hanya projek perintis, itu yang kami simpulkan. 

Melihatkan wajah adik-adik yang kegirangan walaupun kepenatan- hati kami berbunga. Terima kasih ya Allah! Usai menghabiskan masa- window shopping di Queensbay, kami kembali ke Hidayah Centre. Di sana rupanya telah tersedia makan malam untuk kami. Ada ummi Nur, mama Hamidah, ustazah Latifah, kak Wani, cikgu Sarah, akhi Yusni (Pengarah Hidayah Centre) dan ramai lagi yang menyambut kedatangan kami. Usai solat Mahgrib dan makan, semakin ramai yang memenuhi HC. Brother Khaw, brother Jum'ah dari China, ikhwah akhawat Pulau Pinang, kumpulan usrah Brother of Muslim (semua ahli usrahnya adalah muallaf!)- mesra dan meriah!

Slot malam itu merupakan perkongsian dari saudara-saudara baru dari HC, dan juga adik-adik kami. Suasana menjadi senyap dan hiba, bila seorang demi seorang menceritakan kisah mereka, ujian mereka, rasa hati mereka, kesyukuran mereka. Derai air mata seakan hidangan kedua. Sesekali esak tangis kedengaran memecah kesunyian. Ya Allah, betapa kita tidak akan dapat menyelami perasaan mereka, walau segigih mana kita mencuba. Hanya mereka yang memahami perasaan insan-insan seistimewa mereka. Perasaan itulah yang kami tidak dapat beri, pengalaman itulah yang tidak dapat kongsi, pesanan itulah yang tidak dapat kami titipi. Kerana kami tidak pernah berada dalam 'kasut' mereka. Dan kerana itulah kami bawakan mereka kepada insan-insan seistimewa mereka, yang telah melalui apa yang mereka rasa, agar mereka juga punya kekuatan untuk mendepani dugaan yang menanti di hadapan. Kerana kami serba kekurangan, dan tiada sebegitu kekuatan.


Perkongsian oleh cikgu Sarah Khoo.


Brother Jum'ah memberi suntikan semangat.


Malam itu, kami bermalam di homestay, yang dibiaya sepenuhnya oleh HC (Terima kasih, semoga Allah membalas kebaikan itu dengan kebaikan yang berganda). Suami terpaksa pulang dulu, esoknya dia menjadi pengiring untuk acara sukan sekolah-sekolah agama yang disertai oleh sekolahnya, di Kulim. Terima kasih, abang kerana temankan kami disepanjang perjalanan. Terima kasih ikhwah lain yang turut menemani.

Pagi esoknya, kami dijemput pula bersarapan pagi di rumah Ummi Nor. Alhamdulillah terasa keberkatan bersama saudara baru ni. Banyak yang dibualkan. Banyak yang dikongsikan. Alhamdulillah. Usai sarapan (hingga pukul 12.30), kami bertolak pulang ke Sintok.


Bersarapan di rumah ummi Nor.

Itulah kisah mereka dan permusafiran kami. Titipkanlah doa untuk mereka biarpun dari kejauhan. Mereka adalah MUHAJIRIN itu, dan kitalah ANSAR. Bantulah ramai lagi Susan.Karen. Mei Shan. Mei Fei. di luar sana. Hulurkan kata-kata semangat, pinjamkan peluk erat, di saat mereka disisih kerabat, tatkala mereka diuji hebat.

Usai menghantar adik-adik pulang ke bilik masing-masing, saya dan suami berteleku, termenung di penghujung malam, "Banyak lagi kerja kita ni bang, ini baru permulaan"

Lena kami dalam doa, semoga Allah melindungi kami, mereka dan kita.

monolog: tertarik dengan kata-kata pada tisu J.CO, "Nothing is sweeter then the togetherness we share" yang seakan memberi kesimpulan kepada permusafiran kami sepanjang dua hari ini.

JazakumullahuKhairanKathira kepada IKRAM Kubang Pasu, Unit IPT-IKRAM dan orang perseorangan, atas sumbangan kewangan. Terima kasih IPSI dan Hidayah Centre Pulau Pinang atas kesudian menerima kunjungan, menyediakan makanan dan tempat bermalam. Terima kasih kepada pak cik-mak cik Kubang Pasu pinjamkan kenderaan. Terima kasih pak cik, mak cik, ikhwah akhwat Kedah dan Pulau Pinang dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Hanya Allah yang mampu membalas budi baik kalian.