Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, January 25, 2012

(Tok) Wan Dalam Kenangan.

Assalamualaikum.

Hari ini tak mungkin sama lagi bagi keluarga Haji Md. Arshad. Katil itu sudah kosong. Wah macam mana nak menulis ni, hati tak tertahan, air mata bercucuran! Tiada lagi sekujur tubuh yang dirindui anak-anak, cucu dan cicitnya.

23  Januari 2012

Boleh dikatakan semua ahli keluarga berkumpul di rumah Atam dan Mak Tam, meraikan majlis merisik anak mereka. Mama dan Pak Long, Pak Ngah dan Mak Ngah, Mak dan Abah, Ateh dan Mak Teh, Acu dan Mak Su, semuanya ada, bawa sekali anak-anak, termasuk kami, saya dan suami. Riuh, meriah. Begitulah selalunya kebiasaan keluarga ini, apa saja majlis dan aktiviti, selalu disertai oleh semua ahli keluarga, tidak terkecuali. Andak dan Mak Andak tak dapat balik, ada hal katanya, lagipun minggu lepas mereka baru saja pulang, jumpa dengan Wan yang sekali lagi dimasukkan ke hospital. Ini hari ke 13 Wan dimasukkan ke hospital, esok doktor kata dah boleh balik, cerita Tok, bila saya tanyakan keadaan Wan.

Tok ada sekali dengan kami. Adik, Shidi ditugaskan jaga Wan sekejap di hospital, sementara yang lain membantu di majlis Atam dan Mak Tam. Riuh rendah dengan gelak tawa, usik mengusik. Ini salah satu perkara yang membuat saya kagum dengan keluarga besar ini. Saya sangat gembira dan sayangkan keluarga ni, macam saya sayangkan keluarga sendiri. Sikap saling membantu, kasih sayang, cukup kuat, terasa diri tak pernah dianggap asing dan terpinggir.

Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Usai tetamu pulang, mak dapat panggilan telefon dari adik di hospital, katanya Wan kena strok lagi! Kami dikerah bergegas segera ke KMC (Kedah Medical Centre), tempat Wan dirawat. Kami (saya dengan abang) sampai paling lewat. Di sana, kami diberitahu Wan dimasukkan ke ICU (Intensive Care Unit) sekali lagi. Katanya Wan alami kekejangan. Kami masuk melihat Wan di ICU bergilir-gilir dengan pak cik-pakcik dan mak cik- mak cik yang lain. 

Melihatkan keadaan Wan petang tu, hati rasa sangat sebak! Wan tak sedarkan diri. Mata putihnya kelihatan. Dadanya berombak laju. Nafasnya mendengus kuat. Keadaan Wan hari ini (sepanjang pengamatan sepanjang 4 bulan bersama keluarga ini) tak sama dengan keadaannya semasa dimasukkan ke hospital kali yang terdahulu, tidak sama juga dengan keadaan sepanjang 13 hari di hospital kali ini.

Tok bacakan ayat suci Al-Quran di hujung kaki Wan. Ateh dan abang mengusap lembut dahi dan lengan Wan. Dari riak wajah Mak Su dan Mak Teh, saya tahu, mereka pun rasa apa yang saya rasa. Hati hanya mampu menitipkan doa buat Wan... (T_T). Bila hari menginjak senja, kami beransur pulang, doktor kata keadaan Wan dah stabil. Mak telefon Andak dan Mak Andak, maklumkan keadaan Wan.

Malam itu, di rumah Tok, banyak perkara yang dibualkan. Saya menjadi pendengar setia, sambil melayan anak-anak saudara dan sepupu. Jam 1.00 pagi, mata dan berat sangat, saya dan abang naik beradu. Tinggal mak, abah, Ateh, Acu dan Mak Su yang masih bersembang di bawah. 

24 Januari 2012

Subuh. Dikejutkan dengan suara mak yang kedengaran berbual di telefon. Nama Wan disebut, tapi tak jelas butir perbualannya. Kemudian, kedengaran suara adik, Ika memanggil dari luar pintu. Katanya, "..Wan tenat..". Saya bingkas bangun, lalu kejutkan Abang. Kami terus solat Subuh, sementara mak, abah, Tok dan Ateh terlebih dahulu ke hospital, mengikuti Mama dan Pak Long yang pertama bergegas ke hospital setelah mendapat panggilan dari KMC.

Sedang kami bersiap untuk ke KMC, mak telefon, katanya Wan dah meninggal dunia. Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali. Abang tinggalkan saya di rumah Tok untuk kemaskan rumah dengan Kak Eda (kakak sulung) dan Mak Teh, sementara menunggu jenazah dibawa pulang ke rumah, buat kali terakhir. 

Saudara-saudara dan sahabat arwah berpusu mengunjungi rumah kami setelah mendapat berita pemergian arwah. Banyak kisah-kisah kebaikan arwah yang saya dengar. Arwah seorang yang sangat suka menghubungkan silaturrahim, sangat penyayang kepada kaum keluarga dan sahabat-sahabat beliau. Sangat baik dan sangat dihormati masyarakat setempat, bahkan arwah sangat rapat dengan Tun Dr Mahathir dan isteri, (rumah kami berjiran).

Arwah didoakan ramai orang, arwah dimandikan oleh semua anaknya, arwah disolatkan oleh hampir seribu orang di masjid. Arwah kelihatan seakan tidur di pembaringannya.

Tak banyak kenangan saya dengan Wan. Tapi yang sedikit itu cukup banyak memberi kesan kepada saya. Saya mula mengenali Wan tika kali pertama dibawa ke rumahnya untuk diperkenalkan kepada Tok dan Wan, masa tu Ustaz dan Ustazah yang temankan, mewakili ma abah saya. Wan dan Tok nak tengok bakal cucu menantu mereka masa tu. Kemudian jumpa lagi bila dijemput untuk datang jumpa ahli keluarga lain yang kebetulan balik ramai-ramai untuk perkahwinan sepupu abang. Kemudian, jumpa kali ketiga di majlis perkahwinan sepupu tu (bakal sepupu, waktu tu).

Seterusnya jumpa Wan di majlis meraikan pernikahan kami. Wan sangat ceria dan segak waktu tu (tersenyum sambil menangis mengingatkan peristiwa tu). 

Wan yang hensem!

Wan dan kami.

Malam ta'aruf dengan keluarga besar

Tak banyak kenangan saya dan Wan. Tak banyak saya dapat usap tangan dan kaki Wan. Tak kerap saya dapat cium tangan sejuk Wan. Empat bulan tidak cukup untuk saya kenal Wan, tapi dari orang-orang yang datang bercerita tentang Wan, saya tahu bagaimana peribadi Wan, dan saya faham kenapa Wan tetap hidup di hati kami, walaupun jasadnya telah pergi buat selamanya.

Damailah Wan di sana. Tunggulah kami, kerana kami juga bakal menyusuli Wan. Kenangan bersama Wan akan terus hidup bersama setiap helaan nafas kami, bersatu dengan setiap denyutan nadi kami, insyaAllah. Selautan kasih, secangkir hadiah sepotong Al-Fatihah dari kami anak, cucu dan cicit Wan. Al- Fatihah.

p/s: banyak yang tertampak, namun tak terluah! Pengajaran untuk saya yang baru 4 bulan berada dalam keluarga baru. Terima kasih ya Allah atas anugerah yang tak ternilai ni.


Sunday, January 22, 2012

Plot 2: "..we have been married for.."


"..we have been married for 4 months, 1 week, 4 days.."

Ok, kat mana kita berhenti ya? Ouh kat sini..

Okeh, itu kisah 2 tahun sebelumnya. Lepas setahun, dapat call lagi dari ustazah, tentang TU (Baca: BM a.k.a nikah). Ustazah cuba pujuk lagi. Walaupun dah berjaya sarung jubah konvo, Alhamdulillah, dan bekerja (secara sampingan), tapi saya tak rasa saya dah bersedia untuk TU, ye la bayangkan hujung bulan je, akaun saya pun sampai ke penghujung.. he he.. ke mana duitnya pergi? Oh, biarlah rahsia, bak kata Siti (tapi insyaAllah, pergi ke saluran yang baik). Saya ada senarai yang panjaaaaang untuk dicapai selepas tamat belajar. Saya nak sambung PhD, saya nak hantar adik saya sambung belajar balik, nak kerja yang best-best, nak bagi sedikit kesenangan kepada ibu bapa dengan duit gaji walaupun saya tak berapa berjaya lagi, tapi saya cuba..hu hu.. Dan yang pasti, rancangan untuk TU belum ada dalam senarai saya, masa tu.

Ustazah lebih gigih kali ni. Dia tak mudah akur dengan alasan saya yang selalunya berbunyi,

"..saya tak sedia lagi la ustazah, saya rasa kecik lagi ni.. he he.."

"..saya takde duit ustazah, macam mana nak kawen.."

"..rasanya saya kena habiskan PhD dulu kot,ustazah.."

Oh lupa nak bagitau, ustazah sebenarnya adalah wakil kepada mak cik pak cik lain, yang diamanahkan untuk urusan proses baitul muslim. Ustazah wakil untuk akhawat, suaminya (ustaz) wakil untuk ikhwah. Segala urusan baitul muslim di sini adalah di bawah tanggungjawab mereka berdua, alhamdulillah! Mereka menilai calon dengan teliti sebelum match, kemudian lalui proses baitul muslim ni. Nanti saya ceritakan peringkat-peringkatnya, insyaAllah.

Saya sangat yakin ustazah dan mak cik pak cik lain nak bantu saya, katanya mereka nak 'serahkan' saya kepada rijal yang dapat membantu, membimbing saya, terutama permudahkan urusan dakwah saya. Hu hu, saya terharu.. Saya tak ragu dengan niat ustazah, cuma waktu tu, saya benar-benar rasa belum bersedia. Banyaaaaaaak sangat persoalan bermain di fikiran saya. Mampu ke? Boleh ke? Aduhai..

Kerap juga lepas habis program, ustazah panggil.

"Ayu, lepas ni balik dengan ustazah ya"

Saya tahu dah, lepas ni mesti saya kena brain wash lagi.. he he. Memang betul pun. Dalam kereta ustazah pujuk lagi, terangkan kepentingan nikah dengan ikhwah yang satu fikrah. Contoh ni, contoh tu, ustazah bagi, berdasarkan pengalamannya. Saya? he he.. kadang-kadang angguk, kadang-kadang sengih, tak tau nak kata apa, tapi dalam hati saya sedar siapa saya, saya faham diri saya (insyaAllah). Mungkin belum masanya, selalu hati berkata.

Sambil-sambil ustazah pujuk dari semasa ke semasa, ma dengan abah lagi best! Asal ada je yang tanya saya, terus jawab "..dia ngaji (baca: belajar) lagi.." Ha..ha.. tapi memang betul pun, tengah belajar buat PhD lagi. (masa tu dah dapat tawaran sambung PhD). Selalu ma cakap,

"Kakak belajar lah dulu, nanti kalau dah kawen, ada anak, susah nak habiskan PhD"

Kesimpulannya, ma dengan abah (waktu tu) memang tak galakkan kawen sebelum habis belajar.

Kemudian Alhamdulillah, dapat rezeki kerja yang lebih baik, sambil tu pengajian berjalan jugak. Jadi, alasan tak ada duit tu tak berapa nak releven dah la, tapi ustazah memang faham keadaan ekonomi saya. Ustazah tahu saya tanggung adik belajar di kolej swasta, ustazah tahu saya masih tak kukuh dari segi kewangan, ustazah tahu kerisauan saya, cita-cita dan impian saya, sebab tu ustazah selalu pujuk untuk bantu saya, Alhamdulillah sangat bersyukur dengan kehadiran mak cik pak cik yang sangat-sangat banyak membantu, hu hu. Dakwah inilah asbab yang mempertemukan kami! Bayangkan, saya bukan siapa-siapa kepada mereka, tapi mereka menjaga saya seperti ma dengan abah saya!

Ustazah masih tidak berputus asa terima kasih ustazah, ma abah masih dengan pandangan mereka, dan saya pulak? he he.. buat-buat tak tahu saja. Ada jugak ustazah tanya,

"..ke tolak sebab calonnya?.." (masa tu dah ada hint-hint sikit, siapa orangnya)

Mestilah tak, bukan saya menolak sebab siapa saja orangnya, tapi sebab saya 'kureng' yakin lagi dengan diri saya, he he. Yang lain bertanya pun, saya menolak (tapi lepas solat istikharah la), sebab diri saya sendiri, bukan sebab mereka yang bertanya atau meminta.

Bila ustazah dah tak tanya sangat, saya lega. Saya ingat,ok mungkin ustazah dah putus asa dengan saya, tapi jauh di sudut hati, sebenarnya saya harap mereka tak putus asa, hinggalah saya bersedia. Pernah saya melawak,

"..kalau kali ni pun saya menolak, lepas ni pakcik mak cik dah tak nak carikan untuk saya ke..?"

Okeh, itulah yang berlaku sepanjang 2 (hampir 3) tahun tu. Sekarang kita balik ke zaman semasa. Bila petang tu ustazah call, kata nak jumpa kat office naqibah esoknya, saya dok agak, adakah ustazah nak bersuara tentang TU buat kali ke-3? hu hu, sebab kalau ikut timing (cheyy, siap ada timing lagi), dah tiba masa ustazah akan tanya lagi, lepas setahun dari hari tu (kira berkala jugak la, hi hi).

Dah nyatakan persetujuan, malam tu saya berfikir (sampai tak lena tidur la jugak), nak cari alasan apa pulak nak bagi esok ni. Saya cari alasan, saya buntu, tak tau kenapa, saya tak macam dulu, macam yang biasa ustazah atau sapa-sapa tanya dulu. Kalau sebelum ni, cepat je saya jawab,"..saya tak sedia lagi..". Tapi kali ni, tak taulah nak kata, rasa hati macam 'pasrah' je. Macam tak terfikir alasan-alasan yang dulu saya pernah buat. Tak terfikir, tak cukup duit nak kawen, nak habiskan PhD dulu, bahkan hilang kerisauan saya tentang segala persoalan saya sebelum ni. Tak tahu nak describe macam mana, unik dan aneh sekali perasaan tu. waktu tu saya lupa agaknya, hati saya bukan milik saya, Allah yang pegang hati saya, hu hu.

Hati saya seolah dipujuk supaya jangan risau, malah rasa sangat tenang, tak risau macam yang selalu bila ustazah nakkan jawapan. Saya pun naik hairan dengan diri sendiri. Kenapa saya rasa macam ni?

Esoknya, saya bersiap-siap untuk mengadap ustazah dan naqibah saya. Betul ke tekaan saya, ustazah nak bincang tentang TU? Kot-kot pasal lain, buat malu je..hik hik.. walaupun hati sangat yakin sebenarnya.. heee

Okeh, kita sambung nanti, insyaAllah!



Saturday, January 21, 2012

Pelabuhan Cinta



Semalam di Pelabuhan Cinta
Kita bertemu di dalam bahtera Ukhuwah
Kita melabuh sauh di kedalaman lautan Iman
Kita menguncup layar ego dan permusuhan

Kita berjanji seia sekata
Walau nanti badai menggila
Walau nanti laut bergelora
Bahtera Ukhwah tetap kita pertahankan
Selagimana ia masih berhaluan di lautan Iman

Kita pernah sama-sama bertangisan
bila taufan ujian membadai kehidupan
Kita pernah sama-sama berkongsi tawa & senyuman
saat sang suria membawa khabar kegembiraan
Kerna hati kita diikat dengan tasbih keimanan
Lewat doa rabitah hati kita disimpulkan

Semoga bahtera Ukhuwah ini terus belayar
saat aman mahupun perang
saat terang mahupun kelam
saat siang mahupun malam
saat berdekatan mahupun berjauhan.
p/s: sayang kalian sangat-sangat, kerana Allah!

Thursday, January 19, 2012

Plot 1: "..we have been married for.."


"..we have been married for 4 months, 1 week, 2 days.."

Macam tu la yang tertera kat timeline kat atas tu (pada tarikh entry ni ditulis la). Pejam celik, pejam celik, dah 4 bulan pun, hu hu. Sekejap je masa berlalu.

Erm, nak naik mesin kembali ke masa lalu la sekejap. Wahai mesin ajaib yang tak pernah wujud, bawalah daku kembali ke 8 bulan yang lepas. He he..

Satu petang di hari yang indah, ustazah call, nak jumpa katanya, di pejabat naqibah. "..ok, insyaAllah.." Janji dipatri. Dalam hati tertanya, kenapa ya? ada apa ya? Kalau nak kata sebab program, takkan kena jumpa? Biasanya melalui telefon je. Sebenarnya, hati lebih cenderung kata sebab TU. Sebab TU yang mana? Alah, sebab yang selalu ustazah call 2 tahun dan setahun sebelum ni tu.

Okeh, undur ke 2 tahun lepas. Baru je keluar dewan exam, baru habis final exam untuk final paper, bagi final semester (hamboi, banyak sungguh finalnya), handphone berbunyi, ada panggilan, "Ustazah R", tertera di skrin. Di hujung talian, kedengaran suara ustazah, tanya khabar (mukaddimah kan he he), tanya pasal program, usrah. Akhirnya, sampai la ke soalan keramat, yang membuatkanku hampir terlompat! (bukan terlompat galak ya, terlompat terkejut)

"..Ayu dah ada orang tanda ke?.."

"..tanda apa ustazah?.." Konon tak faham, padahal nak sembunyikan terkejut tu.

".. yelah, kot la dah ada orang tanda nak buat isteri.."

"..oh, eh tak ada la ustazah. Saya 'kecik' (baca: muda) lagi, he he.."

"..hai cheq, dah umoq berapa la ni.." dengan loghat utaranya.."

"He, he.. Ustazah la tolong carikan untuk saya.." Ayat memeriahkan suasana, padahal memang tak sedia lagi. (ayat ni la bila cerita kat ma, ma marah, hi hi, mana boleh minta cari, nanti orang ingat kita betul-betul, padahal kita tak sedia lagi, he he)

"..ok la kalau macam tu, nanti ustazah bincang lagi dengan ustaz.."

Ha, sudah! Sapa suruh gatal-gatal suruh ustazah cari. Adus. Tapi tak apa, bukan boleh jumpa sekarang orangnya, mesti lambat lagi tu. (pujuk diri sendiri).

Rupa-rupanya, salah tekaan tu. Beberapa hari kemudian, ustazah call, kata dah ada calon (hu hu, rupanya masa tanya haritu lagi ustazah dah ada orangnya). Waaa, nak buat macamana ni. Nak susun ayat macam mana ni. Scroll pun tak dapat lagi, jubah konvo pun tak pakai lagi, boleh ke nak fikir pasal rumah yang bertangga ni? Haish, tak logik, tak logik. Duit nak cekau kat mana? Kerja pun belum mula. Ini yang bermain di kepala anak sulung yang cuba jadi anak dan kakak yang bertanggungjawab untuk memperbaiki taraf kehidupan keluarga.

"..erm, ustazah. Saya rasa saya tak sedia lagi la. Duit pun tak ada, kerja pun belum lagi ni.."

"..tak apa, bukan nak walimah sekarang, lalui dulu proses BM (Baitul Muslim), itu pun akan ambil masa.."

"..iskh, belum kot ustazah, saya rasa belum sedia & belum mampu lagi.." cuba susun ayat paling baik supaya tak melukakan hati ustazah yang sangat-sangat nak membantu.

Ustazah akur, kisah tu berakhir di situ. Ustazah kerap call, tapi bukan lagi tentang TU.

Okeh, itu kisah 2 tahun sebelumnya. Lepas setahun, dapat call lagi dari ustazah, tentang TU.

Jap..jap.. Allah sedang 'perli' ni, sebab ada sesuatu belum dibuat. Sambung nanti lah insyaAllah.

p/s: kisah kami tiada istimewanya, sama seperti insan lain layaknya. Namun di sebalik plot-plot yang Allah susun di fasa sebelum dan selepas melangkah gerbang ini, terhimpun hikmah yang sangat menyentuh & menyentak hati kami. Tidaklah bermaksud plot-plot ini untuk menunjuk-nunjuk mahupun perasan best, sekadar mahu berkongsi dan memberi peringatan kepada kami.


Bermula semula.. (erk, merangkak dulu lah)

Assalamualaikum

Alhamdulillah...Fuhh, siap sudah pindahkan cik entri-entri ke rumah baru. Selama ni dok terperap, terperosok dalam fb, sekarang pindah ke teratak baru ni pulak.

InsyaAllah, cuba untuk bermula semula, setelah sekian lama meninggalkan teratak ini, kali ini tak berani nak 'berlari' terus, 'merangkak' dulu lah perlahan-lahan insyaAllah.

Semoga doadalamsujud ini menjadi 'cermin' buat refleksi diri, muhasabah apa yang kurang, menegur apa yang menyimpang, cermin yang menegur imej biasannya, insyaAllah.

Untuk pena lancar menulis, hati perlu terlebih dahulu dibersih dan digilap agar yang bait-bait yang tercoret bebas dari virus-virus riak, sombong, fitnah mahupun mencela yang akhirnya memberi kesan negatif kepada yang menulis mahupun yang membaca.

Baiklah, pesan untuk diri sendiri, ingat-ingatlah amaran Allah ni,

Surah As-Saff ayat 2 dan 3,
"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu perkatakan apa yang tidak kamu perbuat?Amat besarlah kemurkaan Allah bagi mereka yang memperkatakan apa yang  tidak mereka perbuat.."
Semoga menulis menjadi penyuntik semangat untuk beramal, insyaAllah!

Jom!



Pantai Kehidupan.

..kita menyusuri pantai KEHIDUPAN, nun di sana belum terlihat kuala AKHIRAT, destinasi tujuan. Namun kita yakin, di sebalik kabus DUNIA yang mengaburkan pandangan, tetap ada di hujung sana tempat pengakhiran kepada sebuah PERJALANAN.

Sesekali di sepanjang langkah-langkah yang beriringan, ombak DUGAAN kecil akan singgah ke gigi pantai KEHIDUPAN, lalu membasahkan tapak kaki kita yang berjalan, kita cuba mengelak, namun tetap juga kebasahan. Tidak mengapa, ayuh kita teruskan PERJALANAN.

Kadang-kala ombak DUGAAN akan membadai kuat ke pantai KEHIDUPAN, bukan kaki kita saja kebasahan, bahkan hampir kita terjatuh dek pukulan ombak ujian yang menerjah tanpa kita sedar, kerna datangnya ia tanpa amaran. Tika itu, kalaupun terjatuh kita, basah diterjah ombak DUGAAN, bangkitlah semula, sapu pepasir DOSA yang lekat mengotori, yang memberatkan langkah kaki, lalu perkemaskan langkah kita kembali. Pantai KEHIDUPAN ini tetap harus kita susuri, hingga akhirnya kita tiba di kuala AKHIRAT, yang abadi..

Semalam di majlis akad nikah.

Semalam di majlis akad nikah. Terharu tengok si ayah menangis tika meminta izin untuk menikahkan anaknya. Teringat saat sebelum dinikahkan, abah datang dan kata, "..Kakak, abah nak minta izin untuk nikahkan kakak.." Hu hu, hanya mampu mengangguk terharu. Terasa seakan selepas ini akan terpisah jauh dari mereka. Tapi sebenarnya TIDAK. Bahkan sebenarnya Allah anugerahkan 2 mak & 2 abah dengan perkahwinan ini. Alhamdulillah (^____^).

Tidak mudah seorang ayah untuk menyerahkan puteri jagaannya melainkan kepada lelaki yang dia percaya & yakin mampu melindungi puterinya sebaik ataupun lebih baik darinya. InsyaAllah, saya yakin dengan keyakinan abah & pilihan Allah!


Bukan mentari, bukan juga rembulan.

Di balik mentari yang terik memancar
kekadang sinarnya menyilaukan pandangan
lalu aku tersungkur dalam terang
mujur ada pepohon tempatku berpegang

Di balik kelam cahaya rembulan
teraba-raba aku mencari haluan
lalu aku rebah dalam kegelapan
mujur ada bintang memberiku panduan

Kini aku mengerti
bukan sirnanya mentari aku perlukan
bukan juga kelamnya cahaya rembulan 
buat menyuluh jalan di hadapan
sebaliknya Dia yang aku dambakan
Dialah Tuhan pemilik alam
yang meminjamkan aku rimbunnya pepohonan 
yang menampakkan aku indahnya gemerlapan bintang
yang memberikan aku sebuah kekuatan
saat aku terjatuh dalam terang
mahupun tersungkur dalam kelam

Lain dulu, lain sekarang.

Dulu..
Pat pat siku lipat
Siapa cepat dia dapat
Sekarang..
Pat pat siku lipat
Siapa kabel kuat dia dapat

Dulu..
Tak tumbuh tak melata
Tak sungguh orang tak kata
Sekarang..
Tak tumbuh tak melata
Tak sungguh pun orang kata

Dulu..
Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama mencuri
Sekarang..
Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama naik gaji

Dulu..
Sudah gaharu cendana pula
Sudah tahu bertanya pula
Sekarang..
Sudah gaharu cendana pula
Sudah tahu sembunyi pula

Dulu..
Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa
Sekarang..
Orang berbudi kita buat-buat lupa
Orang memberi kita pijak kepala

Dulu..
Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut senang hati
Sekarang..
Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut tambah lagi

Dulu..
Ada ubi ada batas
Ada budi boleh dibalas
Sekarang..
Ada ubi ada batas
Ada budi minta dibalas

Lain hulu lain parang
Lain dulu lain sekarang

Kenapa Allah buat begini..

Kadang-kadang apa yang kita nak, Allah tak bagi
bukan kerana Allah benci
bukan saja-saja Allah tak nak beri
Allah tahu ia akan memudaratkan diri
Allah tak nak kita disakiti di depan hari
lalu Allah jauhkan ia dari sisi
walaupun itulah perkara yang paling kita sayangi

Kadang-kadang apa yang kita tak nak, Allah bagi
kita tak suka, kita rasa ia tak memberi erti
tapi Allah tahu itu yang kita perlu dalam hidup ini
lalu Allah dekatkan ia dengan diri
walaupun kita terasa disakiti

Hati kita tertanya-tanya sendiri
kenapa Allah buat begini
sekarang kita mungkin tak faham perancangan Ilahi
tapi yakinlah Dia takkan menzalimi
Dia lakukan semua ini
kerana Dia lebih mengetahui

esok-esok kita pasti mengerti
kenapa Allah takdirkan semua ni
esok-esok kita akan mensyukuri
kesakitan yang kita pernah alami hari ini
esok-esok kita bisa memahami
mengapa kita perlu lalui semua ini

di sebalik ujian pasti Dia titipkan penyelesaiannya
di sebalik luka pasti Dia selitkan penawarnya
di sebalik persoalan pasti Dia sertakan jawapannya
di sebalik duka pasti ada bahagia yang menunggu kita
jangan pernah berhenti mencuba
jangan pernah berputus asa
sehingga kau temui penyelesaian, penawar, jawapan dan kebahagiaan
yang dijanjikanNya

semoga dirimu dikurnia ketenangan
untuk menghadapi kekusutan fikiran
semoga dirimu dianugerah kekuatan
untuk menghadapi getirnya ujian
semoga dirimu dilimpah ketabahan
untuk menghadapi dugaan kehidupan
dan semoga dirimu diberi kesembuhan
akan setiap luka dan kepedihan..

Kalaulah Allah benar tak sayang..

Kalaulah Allah benar tak sayang
setiap nikmatNya diminta pembayaran
menjelang petang turun bil penggunaan
hidung, mata, kaki dan tangan
belum termasuk air dan oksigen
juga tumbuhan, hujan dan makanan
lalu tercatat di bil yang datang
perlu dibayar dalam waktu ditetapkan
andai tak mampu atau enggan
segera nikmat diminta pulangkan
lalu hidung, mata, kaki dan tangan
tidak lagi boleh digunakan
lantaran tertunggak segala hutang
yang bertambah saban petang

kalaulah Allah benar tak sayang
setiap yang engkar Dia tak pedulikan
terus ditarik segala kurniaan
tiada lagi nikmat yang datang
walau ditunggu berbulan-bulan
disekat segala tumbuh-tumbuhan
putus sudah bekalan makanan
tiada juga turunnya hujan
tandus bumi gersang kekeringan
mentari juga tiada kelihatan
sejuk dingin kelam berterusan

namun di balik murkanya Tuhan
nikmat diturun terus berpanjangan
masih lagi tanpa pembayaran
walaupun kemurkaan jelas di pandangan

namun di balik angkuhnya insan
tetap Dia memberi peluang
hamba yang engkar Dia masih sayang
diberi kesempatan untuk kembali ke pangkuan

Sungguh, Allah itu maha Penyayang
diberi nikmat tanpa pulangan
diberi dugaan penunjuk kebenaran
namun apakah pernah kita tanyakan
adakah aku bersyukur dgn kurniaan Tuhan??

Harga sehelai tudung labuh.

Dia menangis tersedu dalam dakapanku."Kalaupun saya salah, tak boleh ke mereka tegur depan-depan? Kenapa perlu cakap-cakap kat belakang". Aku mengusap lembut belakangnya, cuba menenangkan." Saya rasa saya ni macam jahat sangat, saya tak tahu pun mereka tak suka dengan sikap-sikap saya".

"Saya rasa macam semua orang tak suka saya, cakap buruk tentang saya saya kat belakang", tangisnya makin menjadi-jadi, tak pernah aku lihat dia menangis sebegitu kerana dia biasanya hanya suka berdiam dan memendam, susah meluahkan perasaan.

"Mereka kata macam-macam, saya ni pakai je tudung labuh, bawa imej Islam tapi perangai tak macam orang tudung labuh. Salah ke saya menegur kalau saya nampak mereka buat perkara tak betul? Memang saya akui saya agak tegas dan berterus terang, tapi saya bukan nak malukan mereka. Saya tahu saya tak sempurna, saya bukan budak sekolah agama, banyak lagi ilmu saya tak tahu. Mereka kata masa saya tak pakai tudung labuh dulu, saya tak macam ni", rintihnya lagi.

Aku biarkan saja dia terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya, biar dia lega. Aku leraikan pelukannya, namun terus mengelus lembut bahunya, mudah-mudahan dia diberi kekuatan.

"Awak menyesal pakai tudung labuh?", aku meneka. Dia hanya membisu. Dikesatnya air jernih yang turun melaju dari tubir matanya. Aku dapat mengagak jawapan disebalik kebisuannya. "Awak berputus asa nak menegur mereka lagi?", saya terus menduga. "Buat apa nak tegur lagi, kalau tegur pun akhirnya saya yang kena kutuk", perlahan dia menjawab dalam sedu sedannya.


"Awak, Allah nak uji awak hari ini. Inilah harga tudung labuh yang kita pakai, inilah harga yang kita terpaksa bayar. Siapa kata pakai tudung labuh senang? Tak mudah seperti yang mereka nampak. Bila dah bertekad untuk pakai tudung labuh, kita kena siapkan juga fizikal, mental dan hati kita, kena kuat, kena tahan dengan cabaran. Dan inilah antara ujiannya. Bilamana kita orang yang bertudung labuh buat silap, terus dikaitkan dengan agama. Bahkan kita ni jadi perhatian di mana-mana. Pada mereka, kita kena jadi sempurna, kena tahu semua ilmu agama, dan tak boleh buat silap sikit pun. Sedangkan, kita juga manusia, manusia yang banyak sangat kelemahan", saya bersuara sambil memandang tepat ke wajahnya yang sugul.

"Jangan pernah menyesal dengan diri awak, tudung awak. Jangan kerana masalah sekecil ini, awak dah mengalah. Ujian ni banyak sangat hikmahnya untuk awak. Allah nak ajarkan tentang sesuatu kepada awak. Sebelum ini awak mungkin tak pernah rasai ujian bila bertudung labuh, awal-awal dulu, semua menyokong, memuji dan beri galakan.Jadi mungkin awak tak terkesan sangat dengan istimewanya diri awak sekarang. Bila Allah datangkan ujian macam ni, baru kita akan rasai, betapa tak mudah sebenarnya, bersama tudung yang kita pakai, ada tanggungjawab besar yang kita bawa bersama. Tanggungjawab untuk memegang amanah membawa imej Islam, tanggungjawab memperbaiki diri, biar dalaman kita secantik luaran, akhlak kita indah sebagaimana tudung kita, tanggungjawab mempersiapkan diri dengan ilmu, kerana wanita seperti kita selalu jadi tumpuan bila sahabat-sahabat ada permasalahan agama. 

Jangan anggap ia sebagai beban, anggap ia sebagai keistimewaan, yang Allah bagi hanya khas kepada insan-insan yang Dia pilih. Nah, betul kan, bertudung labuh tak semudah yang disangka? Hanya yang betul kental saja dapat terus istiqamah dengannya, dan yang istiqamah dalam mengharapkan keredhaan Allah, bukan kah mendapat tempat istimewa di sisiNya? Awak tak nak jadi terkenal pada padangan Allah dan penduduk langit? Awak dah nak berputus asa?" Aku menduga.

Melihat dia terus membisu, aku bersuara lagi. " Begitu juga, ujian ini mungkin nak menyedarkan sesuatu tentang dakwah yang berhikmah. Dulu kita biasa saja dengarkan, kat mana-mana ustaz cakap, dalam mana-mana buku yang kita baca, dakwah mesti berhikmah. Jadi sekarang Allah ajar awak bukan teori saja apa itu dakwah berhikmah, tapi juga praktikalnya sekali. Bagaimana dakwah berhikmah? Mesti kena caranya, tempatnya, sesuai perkataanya, tidak melukakan, tidak menyebabkan kemarahan orang yang kita nasihatkan. Bagaimana kalau dakwahnya tidak berhikmah? Maka jadilah, dakwah kita tak berkesan, mad'u kita terasa jauh hati dengan nasihat kita, dan akhirnya keluar lah cakap-cakap belakang macam yang awak alami. 

Jadi, awak jelaskan? Kenapa bersungguh benar Allah dan rasul minta kita berdakwah secara berhikmah. Dan mungkin Allah nak tegur, cara awak, Allah nak awak perbetulkan kaedah dakwah yang awak guna, Allah nak kata, salah tu, kena perbaiki. Salahkah Allah tegur? Tak salah, kan. Allah tegur sebab Allah sayang, Allah tegur sebab nak bagi kekuatan, Allah tegur supaya kerja-kerja ini dapat awak laksanakan dengan lebih berkesan. Bila berdakwah, kita berhadapan dengan macam-macam ragam orang. Ada yang sensitif, ada yang terbuka, jadi kena bijak kita sesuaikan. Dai'e yang kental, takkan putus asa, sebab dia tahu, dakwah adalah kewajipan, bukan pilihan."

"Lagi, Apa Allah nak bagitahu awak? Terasa sangat sakit dan terluka bila kita jadi bahan umpatan, kejian dan kelemahan kita dibicarakan kat belakang, kan? Jadi bila kita tahu sakitnya macam ni, kita jangan sesekali buat perkara sama kepada sahabat kita sebab kita dah tahu betapa pedihnya, betapa peritnya akibat daripada perbuatan ni. Boleh lukakan hati orang, boleh menyebabkan permusuhan juga. Bila ada apa-apa yang perlu ditegur, dinasihati, jumpa sahabat kita sendiri, cakap secara jujur dan ikhlas, insyaAllah semua orang suka kalau kelembutan digunakan, cepat meresap. Kalau pun dia mungkin tak dapat terus berubah, sekurang-kurangnya dia tak terasa hati, dan tak ada permusuhan antara kita"

"Awak, walaupun awak rasa ujian ni sangat menyakitkan hari ni, tapi saya tak tengok satu pun perkara buruk yang Allah maksudkan terhadap awak. Semuanya ada hikmah yang sangat indah. Kenapa teguran Allah ini begitu perit,sakit? Sebab Allah nak kita ingat, sebab yang menyakitkan tu lebih lekat dalam ingatan kita, kalau ujian tu senang, mungkin kita tak hargainya. Allah nak kejutkan kita, mungkin Allah terpaksa 'menyergah' kita dengan kuat." Sedu-sedannya telah reda, Ya Allah semoga kekalutan jiwa dia juga begitu.

"Habis, apa saya kena buat?", tanyanya. "Sekarang awak perlu sujud taubat kepada Allah, minta keampunanNya, mungkin ada kesilapan yang awak tak sedari, bersyukur padaNya sebab menegur awak dengan ujian begini. Kemudian pergilah jumpa sahabat-sahabat yang terasa dengan awak tu, minta maaf. Sekarang tak timbul isu siapa bersalah pada siapa dulu, tapi yang sebaik-baiknya adalah leraikan permusuhan, minta dan beri kemaafan." jawabku. Dia menggenggam tanganku erat, "Terima kasih sahabat". "Allah yang sedang memujuk awak, saya pelakon tambahan saja, tapi saya bersyukur, Allah kurniakan anugerah pengajaran yang tak ternilai untuk saya hari ni. Terima kasih ya Allah, terima kasih pada awak juga" Hatiku tenang, moga Allah memberi dia ketenangan yang sama.

ayu zamani: sahabat, walau siapa pun kita, pakai tudung labuh, tudung biasa, atau yang tidak bertudung sekaliun, kita SEMUA adalah manusia biasa, yang lemah, ada cacat celanya. Sekiranya ada sahabat kita terlalai, terlupa, tolonglah ingatkan dia dengan sebaik cara. Dan yang paling uatama, setiap apa saja ujian yang mendatangi kita, berbaik sangkalah pada Allah. Bertenang, dan fikirkan hikmahnya dengan rasional. InsyaAllah, pasti dan pasti Allah tidak akan pernah menzalimi kita.

"..mak, saya nak kawen.."

Assalamualaikum..

Ehem.. silalah baca elok-elok gaya dan intonasi tajuk di atas ya, kang lain pulak maksudnya, pastikan anda tak tertinggal tanda koma (,) tu.. (^_*)

Ok, tajuknya paling diminati ramai, lebih-lebih lagi bagi yang berusia 20 lebih. Tapi yang lagi kritikal, bila umur dah 23 ke atas, umur-umur yang orang kata, sesuai sangatlah nak berumah tangga. Topik inilah, saya bincangkan bersama kawan saya semalam, dalam perjalanan pergi mesyuarat persatuan (topik wajib, terbawa-bawa sampai dalam usrah.. hi hi)

Sebelum tu saya ingatkan, apa yang tercatat di sini adalah pandangan saya semata-mata, kecuali hadis dan petikan ayat Al-Quran yang saya sertakan. Jadi kalau ada sebarang kesilapan, sayalah yang bertanggungjawab sepenuhnya, insyaAllah.

Bila dah umur 23 ke atas ni (saya atas sikit je.. he he), boleh kata setiap bulan ada saja jemputan kenduri kawen, kalau tak pun kawan-kawan hebohkan tentang majlis pertunangan mereka. Yang dah kawen, terjentik hati bila kawan-kawan bagitahu bakal dapat ahli keluarga baru (baby). Dalam hati kata, "aku bila lagi?"  Yang dah bertunang pulak rasa tak sedap duduk bila kawan-kawan yang dah bertunang, umum nak kawen. "Tak sabar tunggu giliran aku pulak". Yang single but not available dengan status 'in relationship' pun dah tak tenang, "Bila la pinangan nak datang". Yang memang jelas-jelas status single lagi tak sedap hati,"Oh, dimanakah dikau pujaan hati?" (oh ni semua kata-kata hati wanita ya, lelaki tak kot..)

Perkahwinan ni bukan sesuatu yang mudah dan boleh di ambil ringan (bukan saya cakap, orang yang dah kawen cakap, sebab saya tak kawen lagi). Bukan boleh ditangkap muat, bukan macam pilih ikan kat pasar, atau baju kat kedai. Perkahwinan bukan saja penyatuan 2 hati, 2 insan tapi juga 2 buah keluarga. Sebolehnya kita nak kawen sekali saja, sebab tu kena pilih betul-betul. Dengan dialah kita akan hidup sepanjang hayat kita, tinggal sebumbung, makan sepinggan, tidur sebantal, pendek kata semuanya together-gether la, eh silap hampir semua.

Bukan tu saja, kalau boleh selain sayang kat kita, dia sayang jugak pada mak ayah kita, adik-adik dan saudara kita, macam kita sayang mereka (dan kita pun kena anggap macam tu juga pada keluarga dia). Yang boleh senang sama-sama, susah pun sama-sama. Yang boleh duitmu duitku juga, hartamu hartaku juga (kalau hartaku, hartaku lah juga?? he he jangan begitu ya)

Bukan senang nak cari orang yang boleh dan sanggup terima segala kelemahan kita (kelebihan tu bonus), kalau tak percaya tanya yang dah kawen tu. Dan kalau yang dah ada calon pun, tak senang juga nak berhijrah dari alam single kepada berdua ni. Ada yang dah ada calon, tapi mak ayah pulak tak berkenan. Ada yang mak ayah berkenan, kewangan pulak tak mengizinkan. Macam-macam..

Buat yang berstatus single and available tu, jangan risau kalau masih tak berteman, sebab Allah dah catatkan segala-galanya, baik jodoh mahupun ajal kita. Dah ditetapkan siapa dia yang akan jadi pendamping kita di dunia (harap-harap hingga akhirat), bila tarikhnya, di mana, semualah. Jadi jangan risau, bukan anda tak laku, bukan tak cantik (cantik tu abstrak ya) tapi MASAnya belum tiba. Allah nak suruh anda persiapkan diri dulu, mantapkan diri dulu, belajar ilmu-ilmu sepatutnya, kenal semua 'radas-radas' di dapur, khatam semua buku-buku menu, kalau ada tambahan, segala jenis baju dah boleh jahit sendiri, cakap je baju kurung, kebaya, baju melayu johor, teluk belanga, cekak musang.. fuh macam ni sah-sah menantu kesayangan mertua.

Dan yang paling utama, ilmu agama kena mantap, cemerlang. Kita wanita (tak de lelaki kot baca ni..) ketua di rumah, uruskan suami, anak-anak, dan sedikit sebanyak kenalah tahu apa yang terbaik untuk rumah tangga kita mengikut Islam (kenapa rasa macam kaunselor rumah tangga dah ni??). Percayalah, hanya agama yang akan membawa bahagia, bukan harta dan kemewahan. Jadi, jangan risau ya. Bentengkan diri dengan akhlak yang mulia, insyaAllah akan sampai ketikanya si kumbang datang memetik si bunga, kot-kot ada yang dah tengah intai-intai anda, kan? (^_*).

Banyak doa, semoga Allah kurniakan pasangan yang boleh bimbing kita dan keluarga ke syurga. Ada pada status 'drama sebabak' saya sebelum ni kan, jaga cintamu hanya untuk yang berhak, nanti dah kawen nak cakap kat dia,"Cinta saya tak pernah untuk kawan lelaki, pakwe atau tunang, cinta saya untuk awak seorang, suami saya yang sah, awak dapat 100% cinta saya, tak kurang!"

Untuk yang berstatus single but not available pulak, berhati-hati dengan ORANG KETIGA yang ada dalam perhubungan kamu. Ha? Orang ke-3? Perampas ke? Perosak hubungan kami ke? Nak kata orang tu tak orang jugak la, makhluk Allah yang bernama SYAITAN! Kerja dia nak sesatkan orang je, pastu di akhirat dia berlepas tangan, boleh pulak dia kata, "sape suruh kau ikut aku?" Pulak dah.. waktu tu dah nak menyesal pun tak guna. Bentengi diri daripada maksiat, Allah dah tegah, katanya "Jangan hampiri zina".

Senang cerita macam ni lah, kawen saja. Senang nye cakap suruh kawen.. Yalah, daripada terus macam tu. Tak pe je sebenarnya kalau tak takut Allah murka, buatlah sesuka hati. Kalau tenung pakwe lama-lama, dapat dosa, tapi kalau renung suami dengan rasa kasih, dapat pahala. Kalau sms pakwe dapat dosa, tapi sms kat suami dapat pahala ibadah lagi. Kenapa? Ingat ibadah tu, solat saja ke? Iskh syurga isteri bawah tapak kaki suami, sebab tu kalau gembirakan dia dapat pahala. Ha, kan kata, best kan, jadi kawen jelah senang.

Kalau tak mampu? Kalau belum mampu lagi, jarakkan diri dulu, persiapkan diri hingga mampu, terutamanya lelaki. Nak sunting anak dara orang, mestila sungguh-sungguh, kewangan kena stabil, ilmu agama kena ada, sentiasa top-up, besar tanggungjawb nak pikul ni.Kalau dia di ambil orang? (ni lelaki la kot biasa tanya)..

Alahai, Allah dah tetapkan nama siapa ada atas borang nikah kita sebagai pengantin perempuan/lelaki. Kalaulah kejar sangat Minah, tapi sebenarnya Allah kata Bedah, maka sampai ke sudah pun takkan dapat Minah, balik-balik sangkut pada Bedah jugak. Kalau Allah tetapkan dengan Ali, walau ke kutub selatan pun Ali lari, insyaAllah akhirnya dok depan tok kadi juga, jabat tangan dengan ayah kita. Kesimpulannya, yakin dengan Allah, tapi tak bermaksud duduk saja, tunggu bulan jatuh ke riba, usaha la dengan cara yang Allah redha.

Yang dah status engaged, ingat ya, cincin di jari bukan passport atau tiket nak mengusung dan diusung ke mana-mana. Ada batas yang perlu dijaga. Jangan mulakan bahtera perkahwinan dengan sesuatu yang mencemarkan, takut-takut nanti kurang keberkatan. Ini masa terbaik, tambah ilmu berumah tangga, ilmu agama, dan kemahiran-kemahiran yang difikirkan perlu.

Akhir sekali, yang dah married, Alhamdulillah. Anda dah melengkapkan separuh agama. Banyak tanggungjawab dah terpikul sekarang. Dulu masak, makan sorang-sorang, sekarang kena masak untuk berdua. Dulu basuh baju 2,3 bakul untuk sorang, sekarang dah bertambah la agaknya. Saya tak pandai nak ulas ni, tak ada pengalaman, karang tersalah cerita pulak, haru. Tapi bila berkeluarga, saya yakin tolak ansur, kasih sayang paling penting, selain suburkan rumah dengan amalan-amalan agama, baru sejuk je rumah tangga, insyaAllah.

Bagi lelaki, keluarganya tanggungjawab utama, amalan melepak di kedai mamak tanpa arah tujuan dah kena kurangkan, jangan lupa terapkan agama dalam keluarga (rasa macam menteri pembangunan wanita dan keluarga pulak). Isteri pun macam tu, ingat syurga di bawah tapak kaki suami, taat dan patuh selagi tidak melanggar suruhan agama.

Ok la, penat dah rasa jari ni. Eh, pastu apa pulak kaitan dengan tajuk kat atas tu? Alah senang, kalau rasa dah cukup bersedia, cakap je kat mak.. "Mak, saya nak kawen.."

Maaf, salah silap (^_*)

Wassalam..

p/s: hik..hik..hik.. rasa lawak pulak baca entri ni, ni entri masa bujang trang tang neh.. he he.. sekarang..


Alhamdulillah... (^_^)


Bukan PILIHAN, bahkan TUNTUTAN

Buat yang begelar Da'ie

Ketahuilah bahawa..

Bahtera dakwah ini sentiasa sarat dengan insan-insan yang rela menumpahkan darah dan air mata,
bahtera dakwah ini sentiasa menjadi idaman mereka yang rindukan syahid di jalanNya,

hakikatnya bahtera dakwah ini akan terus belayar walaupun tanpa kita,
hakikatnya kitalah yang bertuah sekiranya memilih untuk menaikinya,

mungkin saja kita terasa penat menghadapi perjuangan yang penuh derita,
mungkin saja kita terasa seakan ingin 'turun' dan berlabuh di mana-mana,

namun ketahuilah bahawa bahtera inilah bukti iman kita,
bahtera ini adalah tanda kepatuhan kepada pencipta,

kerana hakikatnya dakwah ini bukan pilihan, bahkan tuntutan.
 

CINTA di pasaraya.

Semalam di pasaraya. Tempat sesak, ramai sekali manusia berpusu di dalamnya. Masing-masing ada tujuan dan destinasi sendiri. Ada yang berseorangan. Lebih ramai yang datang berpasangan. Kebanyakan datang berkumpulan, dengan keluarga atau teman-teman.

Matanya asyik memerhati. Gelagat dan telatah orang-orang yang lalu lalang. Selalu dia begitu, matanya suka memerhati, bukan untuk mengintai aib orang, tapi dia suka lihat gelagat manusia, terutama di tempat ramai dan terbuka. Cuba menilai dan mengambil pengajaran.

Tersenyum dia, melihat babak yang cukup menyentuh hatinya. Troli masih ditolaknya. Namun kaki memperlahankan langkah. Sementara sahabatnya masih ralit memilih roti di bakeri. Dia pulak asyik memerhati pasangan yang sedang berjalan melintasinya dari kiri.

Pasangan datuk dan nenek, berjalan berpimpin tangan, bersenda mesra. Ada bahagia pada wajah dan gerak geri mereka. 'Bahagia yang semulajadi', dia dengar suara hatinya meyakinkan. Bahagia yang bukan di buat-buat, bahagia yang tulus dari cerminan hati keduanya. Entah apa usikan datuk yang romantik itu, hingga kedengaran tawa si nenek yang masih erat tangannya dalam genggaman. Perlahan tawa si nenek, tapi cukup membangkitkan rasa bahagia, untuk mereka, dan dia yang sedang 'mengintip' mereka. Ada CINTA di hati mereka. Mereka berlalu pergi. Tangan keduanya masih erat dalam genggaman. Mereka tersenyum, dia juga. Semoga mereka terus berCINTA hingga ke syurga.



Melepaskan pandangan daripada pasangan romantik yang telah berlalu pergi, dia dikejutkan pula dengan tangisan kuat seorang anak lelaki, 'usia dalam 5 tahun', dia mengagak, dari depan bakeri, tidak jauh dari tempat dia berdiri. Anak kecil itu berlari lalu memeluk kaki seorang lelaki yang sedang berdiri berdekatan bakeri, betul-betul di hadapannya. Dalam esakan si anak bercerita, rupanya lelaki yang dipeluknya adalah si ayah. 'Tadi terjatuh, sakit', cerita si anak dalam sedu sedan. Lalu si ayah tunduk memeluk anaknya dalam dakapan, ditepuknya mesra belakang si anak, memujuk. Anak kecil itu kelihatan tenang dalam pelukan ayahnya, lalu esak tangis mengendur, perlahan. Ada CINTA di hati si ayah.

Lenguh berdiri, dia menyorong troli ke food court, berhadapan bakeri. Lalu dia duduk , kaki agak lenguh, kepenatan. Bertentangan dengan mejanya, sebuah keluarga sedang asyik menjamu selera. Matanya tertancap pada si kecil, perempuan, usia sekitar 5 tahun barangkali, bertudung litup, comel! Tapi wajahnya tidak kelihatan jelas, kerana si kecil menundukkan muka ke meja. Dia perhatikan pula si kakak yang berada di sebelah adiknya, tidak jauh umurnya, juga bertudung litup. Si kakak membisikkan sesuatu kepada adiknya, sambil menunjuk makanan yang ada terhidang. Rupa-rupanya, si adik sedang merajuk, si kakak pula sedang memujuk. Sesekali si kakak berbisik lagi, sesekali menepuk lembut bahu si adik, memujuk tanpa putus asa. Ada CINTA di hati anak itu.

Subhanallah, indahnya CINTA. Ia ada di mana-mana. Cinta punyai kuasa yang cukup hebat, dahsyat. Cinta suami pada isteri, cinta ayah ibu kepada anak, cinta kakak kepada adik, cinta sahabat kepada sahabatnya.. Banyak, luas, kaya sungguh manusia dengan cinta.

Lalu dia teringat, kisah cinta yang cukup agung. Insan ini mencintai dan merindui saudaranya yang berada di sisinya, juga yang tidak pernah dia jumpa. Bahkan bermula dari hidupnya, hingga saat dia hampir menghembuskan nafas terakhir, masih lagi cintanya segar mekar untuk mereka yang dikasihinya.

Pernah dia berkata, “Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (riwayat al-Darimi).

Juga ini pesannya, "Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu."  (riwayat Bukhari dan Muslim).

Hingga dia meletakkan tanggungjawab ummatnya ke atas dirinya sendiri, "Aku lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya." (riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah).

Hingga bibirnya tak pernah kering mendoakan insan-insan kesayangannya, sebagaimana dikisahkan oleh Aisyah, isterinya tercinta, "Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”

Disimpan untuk mereka, doa mustajabnya, "Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat." (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)

Kerapkali menitis airmatanya, mengenang nasib insan-insan kesayangannya. Hingga ke akhir hayatnya, tetap dia minta untuk mengetahui nasib ummatnya, hingga akhirnya dia tenang mengetahui janji Allah untuk mereka.

Ada lagi, cinta teragung, mengatasi segala cinta yang ada di dunia. Itulah cinta Allah, pencipta kepada makhluknya. Terlalu banyak bukti cintaNya, "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (al-Nahl: 18).

Dia sentiasa ada di sisi, "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." (Al-Baqarah : 186)

Dia maha pengampun, ”Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertobat kepadaNya. (Jika kamu, mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya.” (QS Hud [11]: 3)

"Allah membentangkan tanganNya di malam hari agar orang yang berbuat keburukan di siang hari bertobat, dan membentangkan tangan-Nya di siang hari agar orang yang berbuat keburukan di malam hari bertobat. (Ini akan terus berlaku) hingga matahari terbit dari arah Barat" (HR Muslim).

"Dia akan mengampuni semua dosa, sekalipun dosanya sepenuh isi bumi, “Wahai manusia, sekiranya kamu datang kepada-Ku dengan membawa dosa seisi bumi kemudian kamu bertemu Aku dengan dalam kedaan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, niscaya Aku datang kepadamu dengan membawa ampunan seisi bumi pula,” demikian bunyi sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan Imam Tirmidzi.

Dia memberi segalanya. Segalanya yang diperlukan oleh hambaNya. Walaupun seringkali pemberianNya dibalas dengan keingkaran, namun Dia tetap memberi dan memaafkan. Adakah lagi cinta sehebat dan seagung CINTA ini?

Dan dia teringat kembali kepada CINTA yang ditemuinya di pasaraya tadi, itu juga CINTA yang dititipkan oleh pemilik CINTA, Allah sang pencipta kepada hambaNya yang dikasihi. Dia menyorong troli, meninggalkan CINTA di pasaraya, dengan azam untuk memiliki CINTA sang pencipta, kerana hanya dengan memiliki CINTA Allah, dia akan memiliki segala-galanya..!

Dosamu dosaku jua..?!

Assalamualaikum..

Jalan-jalan di fb, jumpa macam-macam. Kadang-kadang boleh buat kita senyum sorang-sorang, kadang kala boleh buat kita menggeleng kepala. Macam-macam status, gambar, perkongsian, tips disebar-sebarkan. Yang baik, Alhamdulillah. Tapi yang kurang baik itulah yang dibimbangkan. Kalau fikir-fikir, fb ni bahaya yang amat sebenarnya, salah post, boleh menimbun saham dosa dalam akaun malaikat kat sebelah kiri ni. Lagi bahaya, sebab kita tak nampak dosa-dosa tu membukit dalam buku amalan, kalau nampak, agaknya 'bersih' fb kita, bukan setakat fb, hidup kita pun 'bersih' sebersihnya.

Contoh-contoh post yang tak sedap di baca dan dilihat.

Contoh 1: Satu gambar wanita 'mangsa fesyen' di postkan. Mula la bercambah komen-komen..

Pengkritik 1: Anak sape lah ni. Mak bapak tak ajar ke?
Pengkritik 2: Pakai tudung, nampak betis. Fesyen apa ni?
Pengkritik 3: Buat malu orang Islam je.
Pengkritik 4: Teruknya perangai.

Contoh 2: Gambar seorang tokoh, zaman dulu dan kininya.

Pengkritik 1: Makin teruk dia ni.
Pengkritik 2: Tak sedar, dah tua bangka
Pengkritik 3: Bertaubatlah..
Pengkritik 4: Semoga dijauhkan kita dari perkara keji sebegini

..dan berterusan la, berpuluh malah mungkin mencecah ratusan komen dari pengkritik 'profesional'. Malah mungkin juga gambar tadi ditag, dishare, dan perbincangan (baca:umpatan, kejian dan cacian) berterusan..

Banyak lagi contohnya, karikatur lucah (maaf terpaksa sebut), gambar-gambar mendedah aurat, dan lain-lain lagi yang tak tersebut, disebar-sebar untuk tatapan umum.

Sahabat yang dikasihi, apa yang kita dapat sebenarnya? Kalaupun niat kita untuk menunjukkan realiti masyarakat sekarang, dengan alasan untuk menjadikan peringatan, perlukah disebar-sebar gambar tersebut? Tidak adakah cara lain selain daripada membuka keaiban orang lain? Adilkah kita? Bagaimana kalau empunya badan dalam gambar tersebut telah insaf, bahkan telah melupakan masa silam dia, yang mungkin tersasar dulu? Apa perasaan dia agaknya. Dan kalaupun dia masih begitu, relakah dia melihat gambarnya ditayang, dikutuk dan dicaci? Agak-agak kalau kita berada ditempatnya, apa perasaan kita? Bangga? Kalau ya pun si tuan badan bangga, kita masih tak boleh sebarkan sesuka hati aib orang.

Kecualilah sebaran itu jadi kewajiban, kalau tidak akan memudaratkan masyarakat. Contohnya, kena sebar gambar penjenayah berbahaya kepada umum, supaya dapat berwaspada dan berjaga-jaga. Itupun, kenalah pastikan maklumatnya betul, kalau tak jadi menganiaya pulak. Ada syarat-syarat perlu dipatuhi, dan dipastikan. Bukan sekadar semberono saja. Sebaran kita sebegitu penting ke? Mencapai tahap wajib tayang? Kalau tak tayang, memudaratkan orang awam?

Bayangkan, berapa banyak saham dosa terkumpul, daripada uploader, hingga la yang share dan komen. Kita kata dia berdosa, kita pun dalam masa sama kumpul dosa sekali, bahkan tolong bagi pulak pahala kita kat dia. Yang tak bestnya, kita buat dosa berantai pulak, kalau pahala bagus lah jugak. Kalau la kita dapat nampak, betapa dosa-dosa tu mengalir, mencurah dalam 'akaun simpanan' kita, MasyaAllah. Kita nak jawab apa depan Allah nanti?

Mari kita tengok, apa amaran Allah:

Sesiapa yang menutupi (kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupinya di dunia dan akhirat. (Shahih Sunan Ibn Majah, hadis 2078].

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.[Al Hujurat:11]

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [Al Hujurat:12]

Dari Ibnu Umar radhiallahuanhu berkata, Rasulullah SAW menaiki mimbar lalu berkata dengan nada suara yang tinggi, lalu bersabda, Wahai manusia yang masuk Islam dengan lisannya, dan tidak memasukkan iman (sepenuhnya) dalam hatinya, janganlah mencerca muslim lain, jangan memalukan mereka, jangan mencari keaiban mereka, kerana sesungguhnya barangsiapa yang mencari keaiban saudara seislamnya, maka Allah akan turut menuruti keaibannya, dan siapa yang Allah turuti keaibannya, akan dibukakan walaupun dalam tempat persembunyiannya [Sahih Sunan Tirmizi, no hadis: 165]

Sudah-sudahlah, hentikanlah. Berfikirlah sewajarnya sebelum melakukan apa saja, hatta perbuatan kecil sekalipun, kerana Allah dah ingatkan, "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" [Az Zalzalah:7-8]

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya. Maka Allah menjawab: Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui.”

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

Ayuhlah, pergunakan teknologi, jangan dipergunakan teknologi. Sebarkan kebaikan, semoga sama-sama kita mendapat manfaat. Kadang-kadang kita terlalu cepat menghukum orang lain, seolah-olah kita tak pernah dan tak ada kesilapan..!Oh, mustahil. Kalaupun ada kita lihat kesalahan orang lain, dan tak mampu kita menegur dan menasihatinya, doalah agar dia diberi hidayah oleh Allah, dan dijauhkan kita daripada kemungkaran. Hati kita mudah berbolak balik, kita hari ini mungkin boleh jadi lebih baik, atau lebih buruk di hari esok. Siapa kita dan siapa dia di hari esok, tiada siapa yang boleh menjaminnya, melainkan Allah.

Peringatan untuk diri sendiri, dan sahabat-sahabat (sekiranya ada yang sudi), semoga kita sentiasa dalam redha dan kasih sayang Allah hendaknya. Kita mengharapkan jari jemari, mata, telinga dan seluruh anggota badan kita memberi persaksian yang baik di akhirat kelak, insyaAllah.


Wassalam.

Ikhlas inside!

Assalamualaikum..



Ramai antara kita, suka tolong orang lain. Tapi ramai juga yang rasa kecewa kerana pertolongan seolah-olah tak dihargai. "Sekurang-kurangnya, ucaplah terima kasih..!" Itu nada kecewa yang selalu kita dengar.

Banyak situasi dalam hidup kita, yang datang untuk menguji sejauh mana ikhlasnya kita. Adakah sekadar di bibir, tapi dalam hati membebel panjang, "Alah kenapalah kau datang cari aku!", atau memang betul-betul ikhlas masa memberi bantuan, tapi bila dilupakan selepas pertolongan diberikan, mula lah hilang ikhlas yang kita tuturkan tadi, diganti pula dengan rasa kecewa, "Huh, lepas senang, lupa aku yang tolong dia dulu!".

Kenapa agaknya kita rasa macam tu? Walhal bila datang kawan atau saudara minta pertolongan, lancar saja mulut kita menyebut, "Tak apa, aku tolong kau ikhlas", siap dengan senyuman melebar. Tapi ternyata, susah rupanya nak benar-benar ikhlas ni. Adakah puncanya kerana si penerima bantuan tu yang benar-benar tak kenang budi? Hingga yang memberi bantuan ni rasa sakit hati? Ataukah mungkin kita yang memberi ni, TIDAK MEMBERI SEPENUH HATI?

Mungkin ramai yang tak suka dengan kenyataan di atas, tapi tak salah kan kalau kita cuba-cuba fikirkan, mana tahu ada ada kebenarannya, walaupun sipi-sipi saja? Ayuh kita lihat kembali pertolongan-pertolongan yang kita dah berikan kepada sahabat atau saudara kita.

Bila kita memberi, adakah kita kecewa bila tiada ucapan terima kasih diucapkan?
Bila kita membantu, adakah kita mengharapkan mereka akan kembali bantu kita bila kita kesusahan?
Bila kita menolong, adakah kita sakit hati bila kita tidak lagi dihiraukan selepas mereka senang?
Bila kita menghulur, adakah kita tak senang duduk bila tiada penghargaan diberikan?
Bila kita buat kebaikan, adakah kita selalu mengungkit kebaikan yang telah dilakukan?
Bila kita buat kebajikan, adakah kita rasa nak ceritakan pada semua orang?

Kalau 'adakah-adakah' pada persoalan di atas masih ada, mungkinkah kita belum lagi benar-benar IKHLAS?  Kerana masih ada walau sekelumit dalam hati kita untuk minta di balas. Setuju tak kenyataan ini, bila kita menolong binatang, kita jadi lebih ikhlas daripada bila kita tolong manusia. Kenapa? Sebab kita tahu binatang takkan dapat membalas kebaikan kita (kalau adapun jarang sangat kot), jadi kita tolong mereka tanpa harapkan mereka ucap terima kasih, puji kita, dapat cari kita lagi selepas dah senang dan sebagainya.

Jadi, tak boleh ke mengharapkan balasan? Bukankah kita dah tolong mereka susah payah?

Sebelum tu, mari kita semak.

Harta kita yang kita guna untuk bantu sahabat dan saudara kita, milik siapa?
Tangan kita yang kita hulur untuk tolong mereka, milik siapa?
Kaki kita yang kita guna untuk permudahkan urusan mereka, milik siapa?
Telinga kita yang kita guna untuk dengar permasalahan mereka, milik siapa?
Mulut kita yang kita guna untuk memberi nasihat kepada mereka, milik siapa?
Mata kita yang kita guna untuk melihat penderitaan mereka, milik siapa?
Akal kita yang kita guna untuk fikirkan alternatif masalah mereka, milik siapa?
Kekuatan kita untuk mendengar, melihat, bercakap dan bergerak, milik siapa?
Ilham kita untuk menyelesaikan masalah mereka, milik siapa?

SEMUANYA MILIK ALLAH, bukan?
Tiada satu pun milik kita, bukan?
Jadi menjawab soalan tadi, takkan tak boleh kita mengharap balasan?
Bagaimana mungkin kita berani-berani nak minta balasan, sedangkan tiada satu pun milik kita yang mutlak. Harta, kekuatan, ilham.. semua milik Tuhan. Jadi yang selayaknya dapat pengiktirafan selepas diberi bantuan, adalah Tuhan. Seharusnya, kita tidak ada apa-apa untuk dikelu kesahkan, tiada istilah kecewa ataupun sakit hati sekiranya dilupakan selepas memberi bantuan, kerana hakikat sebenarnya, bukan kita yang membantu, bahkan Allah yang melakukannya.

Jadi, kita ni sebagai apa? Sebagai ASBAB. Sebagaimana ubat itu asbab kesembuhan, kita pula asbab penyelesaian masalah mereka, dan bila kita sendiri ditimpa masalah, rakan dan saudara menjadi asbab kepada kita pula. Cantik aturan Tuhan kan?

Jadi, apa yang kita dapat? Sepatutnya tak ada apa-apa yang kita dapat, kerana semuanya dari Allah. Tetapi, betapa maha Pengasih dan Penyayangnya Allah. Rupanya bukan saja-saja Dia nak jadikan kita asbab, rupa-rupanya Dia nak memenuhkan akaun simpanan kebaikan kita. Walaupun semuanya dari Allah, tapi kita yang tak buat apa-apa kerana tak miliki apa-apa ni, masih lagi dapat hadiah, lumayan.

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" [Al Zalzalah:7]

Tengok, kita tak memberi apa-apa, tapi Allah memberi PAHALA kepada kita. Senang saja formulanya, beri dengan IKHLAS, tunggu Allah balas. Jadi sebenarnya, Allah ilhamkan kita kekuatan untuk membantu orang lain, kerana Allah nak membantu kita mempertingkatkan amal kita. Subhanallah..

Jadi, perlukah ada kecewa selepas menghulurkan bantuan? Perlukah diharapkan balasan dari manusia, sedang ganjaran dari Allah lebih berharga dan istimewa? Dan siapa kita nak merebut penghargaan itu, sedangkan pemilik sebenarnya adalah Allah? Kalau masih ada perasaan kecewa, sakit hati dan geram tu, tips dia senang saja, tanya diri sendiri, "Layak ke?" Layak ke nak harapkan sesuatu yang bukan milik kita?

Ingat firman Allah, "Katakanlah, Maukah kami kabarkan tentang orang yang paling merugi amalan mereka? Yaitu orang-orang yang telah sia-sia usaha mereka di dunia, sedang mereka menyangka telah mengerjakan sebaik-baiknya.” [Al Kahfi 103-104]

Ayuh, memberi dengan IKHLAS, tanpa minta DIBALAS.

Wassalam.

Wednesday, January 18, 2012

Fuuuuuuhhhhh!!


Fuh..fuh..fuh..

Wah..wah..wah..
Berhabuk tahap kronik nih!