Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, January 6, 2010

Rintihan Hamba..

Ya Allah
dengarkan rintihan seorang hamba

Ya Tuhan
ujianmu singgah lagi
menguji tabahnya sekeping hati
milik insan yang kurangnya serba serbi
namun datangnya kali ini
benar-benar menyentak sanubari
tidak pernah dia rasakan seberat ini
Ya Tuhan, dugaan apakah ini

dia tidak sesekali menduga, apatah lagi meneka
datangnya ia umpama lakaran berwarna
menghiasi kanvas kehidupan yang samar pada mata
dia tidak sesekali pernah mimpikannya
tidak juga dia idamkan di alam nyata

Ya Tuhan
Kau maha mendengar setiap bait doanya kepadaMu
tidak dia nafikan apa yang dia mahu
tidak dia berpaling dari doanya padaMu

namun datangnya ia jauh dari jangkaan
doanya seakan Kau jadikan kenyataan
namun berbeza suasana dan keadaan
lantas, hadirnya ia menggugat ketenangan
menyentap perasaan
hingga lidah terkelu tidak berlisan
membuatnya buntu fikiran
tak tersangka ini dugaannya Tuhan
tidak pernah sesekali terlintas di fikiran

tetapi siapalah dia untuk menghalangnya
datang ia pasti ada hikmahnya
diterima dia dengan penuh tanda tanya
apakah ketentuan Allah terhadapnya
bagaimanakah kisah ini akan temui penamatnya

dia berperang dengan perasaannya sendiri
apakah dia perlu gembira dengan perkhabaran ini
ataukah harus rasa kecewa meratap nasib diri
hiba pun menerpanya kerap kali
dia keliru.. benar-benar keliru dengan diri kini

Ya Allah
dia yakin sepenuhnya keikhlasan itu
sedikitpun tidak pernah dia ragu
walaupun sebelum bersumpahkan namaMu
sekelumit sangsi tidak bertapak di hati itu

sedang dia yang sebenarnya meragui diri
mampukah dia terus gagah menyusuri jalan ini
andai langkahnya songsang di mata yang memerhati?
apatah lagi yang tidak memahami?

Apakah jalan yang terbaik buat mereka?
Apakah jalan terbaik untuk dakwah ini
Semuanya hanya kerana dakwah ini
Tiada yang lain melainkan untuk dakwah ini
dan mereka harus redha dengan apa yang menanti
jalan di hadapan sukarnya pasti
Ya Tuhan, tunjukkan mereka jalanMu yang tiada sangsi
sinarilah sujud mereka dengan jawapan yang pasti

Untuk mereka
yakinlah Allah sedang menguji hambaNya
apakah benar mereka redha dengan ketetapanNya
apakah benar mereka ikhlas berada di jalanNya
apakah benar mereka yakin dengan janjiNya

Dia yakin, ujian ini amat berat untuk mereka
dia dapat merasakannya
begitu juga dengan dia, dia dan dia

walau apapun jawapannya nanti dari sang Pencipta
doanya, janganlah ada hati lain yang terluka
takkan dia izinkan mereka kecewa berselimut duka
kerana dia yakin dengan seikhlas hati
menyakiti itu lebih menyakitkan dari disakiti
dan melukai itu lebih melukakan dari dilukai

Buat dia, andainya matamu masih segar menatap tulisan ini di hari-hari akan datang, di saat di sisimu sudah ada pendamping yang gagah memimpin tanganmu, menggengam erat jari jemarimu, melangkah kemas, seiring dan berpapasan selari bersamamu di jalan ini, maka bersyukurlah atas anugerahNya itu..dan bersyukurlah atas apa yang pernah berlaku dalam hidupmu, kerana Dia Allah yang maha mengetahui setiap sesuatu..

Wassalam..