Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, February 21, 2010

Monolog Seorang Pejuang



Akulah petualang pencari kebenaran.
Akulah manusia yang mencari makna dan hakikat kemanusiaannya di tengah manusia.
Akulah patriot yang berjuang menegakkan kehormatan, kebebasan, ketenangan, dan kehidupan yang baik bagi tanah air di bawah naungan Islam yang hanif.
Akulah lelaki bebas yang telah mengetahui rahasia wujud-Nya, maka aku pun berseru : Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam yang tiada sekutu bagi-Nya. Kepada yang demikianlah aku diperintahkan dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri.
Inilah aku. Dan kamu sendiri siapa?
(As-Syahid Imam Hassan Al-Banna)

Wednesday, February 17, 2010

Bila bergelar isteri..

Assalamualaikum
Salam sayang, salam ukhwah..Semoga semuanya sihat dan gembira dalam keredhaan Allah..mm minggu ni dapat banyak sangat khabar gembira.. apa lagi kalau bukan perutusan perkahwinan dari sahabat-sahabat terdekat, ada juga yang menyampaikan berita dirisik orang, disunting jadi tunangan orang, dan juga yang sewaktu dengannya..
Buat yang bakal meletak jawatan sebagai ahli kelab single mingle dan menyambung pula keahlian sebagai ahli kelab isteri solehah, selamat berbahagia diucapkan, semoga diredhai Allah hendaknya di dunia dan akhirat.. dan didoakan lepas ni cepat-cepat dapat jadi ahli kelab ibu mithali pulak ya..
Ok la, saya nak menulis (copy paste sebenarnya) dengan cepat ni.. tu ha, encik fit tengah melambai-lambai dah tu.. Khamis ni kami nak pergi 'majlis khas' pulak, jadi banyak benda kena siapkan.. tapi apa pun saya nak jugak kongsikan bingkisan ni dengan sahabat-sahabat yang bakal melangkah ke alam rumah tangga (kalau ikutkan, semua orang bakal melangkah ke gerbang perkahwinan kan, cuma cepat atau lambat je..) jadi senang cerita, bingkisan ni untk semua la ya, termasuk.. ulang suara, termasuk yang menulis (mengcopy paste) ni..
Mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:
“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.
Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.
Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah ‘budak’ wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi ‘budak’ bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.
Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.
Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.
Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.
Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.
Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.
Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.
Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.
Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.
Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”

Semoga bermanfaat untuk semua.. Wassalam..

Saturday, February 13, 2010

Yakin..

Assalamualaikum..

Salam sayang, salam ukhwah buat semua.. Beberapa hari lepas, ada dengar rancangan di TV berkenaan tajuk 'Yakin', panelnya ustaz Ravi dan Ustazah (PM Dr.) Noorhayati.. Sangat menarik kupasan mereka tentang topik ni.. Bagi yang tak berkesempatan mendengar, jom kongsikan dengan saya, bagi yang turut mendengar hari tu, boleh la tambah isi-isi yang tertinggal ya..

Keyakinan adalah salah satu perkara yang amat berkait rapat dalam hidup kita. Biasanya untuk mendapatkan keyakinan ni kita perlukan bantuan pancaindera mata dan telinga kita. Maksudnya bagaimana? Contohnya bila kita dengar sesuatu berita, kita perlu lihat dengan mata kita sendiri apa yang berlaku dan dengar dengan telinga sebelum mengesahkan kebenaran sesuatu berita seterusnya barulah mencambahkan keyakinan kita..

Tapi indah dan istimewanya Islam ni, ia mengajar kita keyakinan tanpa pengesahan dari mata kasar dan telinga yang mendengar.. Contohnya, kita tidak dapat melihat Allah dengan mata kasar, begitu juga kita umat akhir zaman ni tak dapat melihat susuk peribadi baginda Rasul, namun kita menunjangkan keyakinan kita tentang adanya Allah melalui ciptaanNya seperti alam semesta, dan yang paling dekat, diri kita sendiri. Begitu juga kita mengenali baginda Nabi melalui satu lagi bukti kewujudan Allah, iaitu Al-Quranul Kareem..

Kalau lihat Rukun Iman pun, Percaya kepada Allah, malaikat, kitab, Rasul, hari kiamat dan qada' qadar. Percaya ini bukan kepercayaan semata-mata, tapi mesti percaya dengan YAKIN! Inilah yang membezakan antara orang beriman dengan yang tak beriman. Allah berfirman,

"Dengan yang demikian, adakah orang-orang (yang beriman dan taat) yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhannya: Sama seperti orang-orang (yang ingkar derhaka) yang telah diperhiaskan kepadanya (oleh Syaitan) akan kejahatan amalnya (sehingga dipandangnya baik) dan yang telah menurut hawa nafsunya? (Sudah tentu tidak sama)!" Surah Muhammad:14

Jadi amatlah penting untuk kita gantung keyakinan kita hanya kepada Allah, sebab pergantungan kepada manusia belum tentu akan membuahkan hasil, kerana manusia hanyalah makhluk yang segala ketentuan terhadapnya ada ditangan Allah. Lantas, daripada meminta kepada makhluk yang tak berdaya, baik lah kita minta terus kepada Penciptanya..

Kita susuri pula kisah umat terdahulu, bagaimana keyakinan mereka telah akhirnya wujudkan kekuatan yang luar biasa pada diri mereka. Bagaimana keyakinan ibu Nabi Musa, saat menghanyutkan anak kesayangan ke sungai. Fitrah bertuhan yang ada dalam dirinya akhirnya merelakan dia untuk melepaskan anaknya, dengan keyakinan anaknya akan selamat dan dilindungi. Nabi Ibrahim pula menolak pertolongan malaikat yang datang saat dia hampir dibakar api kerana keyakinannya dengan pertolongan Allah yang akhirnya menjadikan api yang marak membakar menjadi sejuk dingin.

Juga kisah dua beranak, nabi Ismail dan nabi Ibrahim yang mendapat perintah dari Allah untuk menjalankan penyembelihan, dengan yakin nabi Ismail meminta ayahnya nabi Ibrahim melaksanakan perintah itu, begitu juga dengan nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya semata-mata keyakinan yang tak berbelah bagi terhadap Allah, maka akhirnya mereka ketahui Allah menjadikan perintah itu sebagai ujian untuk menguji keimanan mereka, dan akhirnya Allah mentakdirkan bukan nabi Islam dikorbankan sebaliknya seekor binatang qurban sebagai gantinya..

Jelas sekali Allah takkan menyia-nyiakan hambaNya yang menggantungkan keyakinan kepada Allah,

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." Surah At Taubah: 111
Jadi seharusnya kita sematkan keyakinan yang tinggi terhadap keesaan dan keagungan Allah. Yakin dengan kewujudan malaikat sebagai makhluk Allah yang menjalankan tugasan dibawah arahan Allah. Juga yakin akan kebenaran Al Quran, kalam Allah yang terpelihara sehingga hari kiamat, keyakinan bukan sekadar dengan membaca, malah perlu memahami dan mengamalkan isi kandungannya. Yakin kepada kepada nabi dan Rasul pilihan Allah yang menyebarkan syiar Islam di muka bumi. Yakin akan adanya hari kiamat, hari pembalasan terhadap segala amalan kita di muka bumi. Dan juga yakin dengan ketentuan, qada' qadar Allah yang ditetapka untuk kita..

Akhir sekali, kalau kita nak jadi pokok yang tinggi, maka bersedialah untuk ditiup angin kencang, namun jika kita tidak sanggup ditiup angin, maka jadilah rumput di tanah, tapi bersedialah untuk dipijak-pijak orang..

Semoga bermanfaat, salam sayang...

Wassalam

Thursday, February 11, 2010

Dakwah di Padang Bola Jaring

Assalamualaikum..

Rasa nak berkongsi sesuatu, dah lama berhajat nak mencoret tentangnya, tapi belum berkesempatan.. kali ni tentang sukan bola jaring, salah satu sukan kegemaran saya! Semoga bermanfaat buat yang singgah..

Sewaktu program MIZU tahun lepas, saya diamanahkan menjadi fasi adik-adik, akhawat.. salah satu petang tu, kami kena riadah, saya pulak masih buntu, tak tahu nak main apa, sebab bagi saya setiap aktiviti yang kita buat, tak nak la sekadar nak suka-suka saja, mesti ada hikmahnya, baru la masa dan tenaga tak sia-sia, malah kita dapat kutip sesuatu yang menambahkan lagi kefahaman dan mendekatkan diri kepada Allah..

Akhirnya terlintas la nak main bola jaring, tapi kali ni bukan bola jaring macam biasa tu, tapi kita tukar sikit peraturannya, eh silap.. kali ni bola jaring ni tak ada peraturan langsung!

mmm.. bagi yang pernah main atau pernah tengok permainan ni, akan tahu bahawa sukan ni antara yang paling ketat peraturannya.. tak boleh gerakkan kaki, tak boleh sentuh pihak lawan, dan macam-macam lagi, dan macam biasa ada kawasan-kawasan yang hanya pemain tertentu saja boleh masuk..

Untuk permainan petang tu, saya bagitau adik-adik yang kami akan main bola jaring tanpa peraturan.. maksudnya mereka boleh bawak bola tu sesuka hati, nak sepak ke, nak bawak lari ke, nak tampar ke, nak tendang ke, suka hati.. juga tak ada had kawasan, nak bawak sampai keliling padang, luar padang, mana-mana pun tak apa, nak masukkan dalam gol sendiri pun tak apa.. tak ada juga pengadil yang akan tiup wisel kalau pemain lakukan kesalahan..pelikkan bola jaring ni??

Adik-adik sangat seronok bila saya kata bola jaring ni tak ada peraturan, mereka rasa permainan ni akan jadi lebih mudah tanpa peraturan, saya kata ok kita tengok lah macamana jadinya (sebenarnya saya pun tak sangka betapa signifikannya permainan ni)..

Kemudian, permainan di mulakan.. dan apa jadi? Tersangatla kelakar jadinya.. Adik-adik ni bawak lari bola sampai ke luar padang, bukan setakat tu, siap sepak, tampar semua ada.. Bila bola masuk dalam longkang, dengan mereka-mereka sekali tergolek-golek, masing-masing tak nak lepaskan bola, dah jadi macam ragbi pun ada.. Bola ke tengah padang, mereka semua pakat lari ke tengah padang, bola ke kanan padang, mereka pun pakat ligan.. suasana sangat kelam kabut, dan mereka pun tercungap-cungap kepenatan.. saya hanya mampu tegelak kat luar padang melihatkan gelagat mereka, sambil minda berfikir, apa hikmahnya dari permainan ni.. dan akhirnya, sebelum sempat saya tamatkan permainan, belum pun sempat 30 minit bermain, mereka sendiri dah angkat bendera putih, terduduk kepenatan di tengah padang..

Kemudian saya tanyakan pada mereka, apa mereka rasa main bola jaring yang tak sampai 30 minit ni.. serentak mereka jawab.. PENAT!!!! Saya tanya lagi, mana lagi penat main bola jaring yang ada peraturan ke yang tak ada peraturan.. dan mestila jawapan mereka, main tanpa peraturan lebih penat..

Itulah hikmahnya peraturan yang ada di sekeliling kita, atau yang namanya Syariah, peraturan-peraturan yang Allah tetapkan kepada kita.. seringkali kita merasakan perintah dan larangan Allah tu menyusahkan kita, sebagaimana adik-adik saya merasakan peraturan bola jaring ni membataskan mereka, walhal sebenarnya Allah menetapkan peraturan tu sesuai dengan kemampuan dan keterbatasan keupayaan kita.. bayangkan permainan bola jaring tadi, ada had kawasan yang ditetapkan kepada setiap pemain, contohnya ada yang boleh masuk dalam kawasan D, ada yang tak boleh.. Kalau tadi adik-adik saya main tanpa peraturan, mereka boleh pergi ke mana saja, tapi natijahnya, tenaga mereka tak bertahan lama dan mereka cepat kepenatan..sedangkan kalau main dengan peraturan, mereka hanya perlu jaga kawasan mereka saja, dah pasti mereka tak cepat penat dan boleh jalankan kerja dengan baik..

Dalam permainan bola jaring juga, ada pengadil yang ditugaskan untuk menegur kesilapan pemain dan memastikan kedua-dua pihak tidak dikasari dan tiada unsur ketidakadilan berlaku.. Begitulah analoginya pengadil itu sebagai Rasul pesuruh Allah, yang akan menegur dan memastikan syariah Allah dilaksanakan dengan sebaiknya, dan pastinya untuk menjamin kesejahteraan ummat manusia di atas muka bumi ni..

Rupanya, hidup kita akan jadi kacau bilau, porak peranda tanpa peraturan ni.. Ha cuba bayangkan, kalau tak ada peraturan jalan raya, agak-agak apa jadi? Selain tu, kita dapat simpulkan yang peraturan yang Allah buat bukan untuk mengekang atau mengongkong hambaNya, tapi jelas sekali sebab Allah sayang kita, Dia tahu kelemahan dan kekuatan kita.. mestilah, sebab Dia yang menciptakan kita, Dia tahu segalanya tentang kita.. Jadi seharusnya kita bersyukur bila Allah menetapkan perintah dan laranganNya pada kita, kerana tu bukan saja menandakan Dia maha Mengetahui, Maha Bijaksana malah juga Maha Pengasih dan Maha Penyayang..

mmm...kalau tak percaya, cubalah main bola jaring tanpa peraturan ni.. untuk ikhwah, boleh tukar ke bola sepak ke, futsal ke, atau apa-apa permainan, asal jadikannya tak ada peraturan...cubalah ya, nanti bagitau saya kesannya pada otot-otot dan urat-urat anda..he he..

Oleh itu, jangan merungut dengan setiap peraturan Allah pada kita, peraturan menutup aurat, peraturan dalam beribadah, dalam bermuamalah.. dan semua peraturan yang Allah tetapkan, pasti dan pasti ada hikmahnya kepada kita hambaNya..Percaya dan yakinlah..

Saya memang suka reka modul-modul islamik untuk LDK.. kalau ada yang nak berkongsi minat dengan saya, boleh la.. dan kalau berkesempatan, saya kongsikan modul-modul lain pulak ya.. saya mintak diri dulu, jumpa lagi.. salam ukhwah, salam sayang..

Wassalam..

Monday, February 1, 2010

Buatmu ikhwah akhawat tersayang..

Assalamualaikum...

Lama sungguh tak melarikkan bait kata di teratak ni.. rindu, sangat rindu untuk menulis, apakan daya, hambatan masa, timbunan kerja dan tugasan yang perlu dibereskan.. kekadang idea mencurah, tapi tak berkesempatan menzahirkannya ..

Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Allah swt, yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.. Selawat dan salam ditujukan khas untuk kekasih Allah swt, insan pilihan, baginda nabi Muhammad saw...

Banyak sungguh yang berlaku sejak akhir-akhir ini.. dan pastinya segala yang berlaku menjadi rencah kehidupan yang entahkan masih panjang, ataukah telah hampir ke penamatnya..

Sangat gembira bila saff kepimpinan yang diimpikan selama ini akhirnya mampu didirikan.. tapi juga terasa gusar dengan amanah yang terpikul di bahu.. melihat riak semangat sahabat-sahabat, adik-adik yang turut menerajui saff ini, terasa amat lapang dan gembira.. namun, masih banyak perkara perlu dirancang dan difikirkan, semuanya untuk memastikan kelangsungan gerak kerja dakwah di bumi jelapang padi ini..

Untuk ikhwah akhawat, adik-adik yang disayangi, bersyukurlah kepada Allah, kerana diantara ribuan malahan jutaan insan dimuka bumi ini, dikau adalah antara mereka yang terpilih untuk berada di jalan ini.. tika rakan-rakan seusiamu galak menikmati zaman mudanya yang penuh dengan keseronokan dunia, dikau pula bergelumang dengan permasalahan yang bukan kecil untuk difikirkan, iaitu masalah ummah, yang pada zahirnya kelihatan 'sihat' namun sebenarnya telah dikelilingi malah 'diratah' oleh 'makhluk' kejahilan..

Lihatlah disekelilingmu ikhwah, akhawat, adik-adik yang kukasihi, bagaimana 'binatang' kejahilan telah 'menelanjangkan' keimanan rakan-rakanmu, hinggakan bukan saja jasad mereka 'terdedah' dengan penjajahan, malah fikiran mereka juga turut terpenjara.. dan tanpa sedar, ummah ini kembali terjajah! Tidakkah dikau mengasihani mereka ini? Tidakkah dikau meratapi kesakitan mereka? bilamana mereka diperlakukan sesuka hati, dikau seharusnya turut merasai penderitaan mereka, walaupun pada zahirnya, mereka sendiri tidak menyedari 'penyakit' yang menjangkiti mereka!

Tegarkah dikau melihat insan-insan disekelilingmu terus 'dilanyak' oleh 'makhluk' kejahilan, lantas membiarkan mereka 'mati' tanpa mengenal erti berTuhan? Pandanglah mereka dengan kasih sayang, bukan dengan jelingan cemuhan.. Relakanlah bahumu untuk menanggung beban kesakitan tatkala menjulang amanah pengislahan ini, relakanlah kakimu untuk terluka tatkala melalui jalan yang penuh onak duri ini, relakanlah dirimu, hartamu, jiwamu dan ragamu terkorban untuk tugasan ini..

Jangan dikau khuatir kerana Allah pasti akan bersamamu.. tapi awas sayangku, jangan dikau tertipu dengan permainan syaitan durjana, jangan dikau jadikan medan ni tempat untuk berbangga-bangga, kerana kita bukan sesiapa, hanyalah hambaNya yang lemah semata-mata, bukan kita yang menentukan naik turunnya, bangkit jatuhnya ummah ini, bukan kita yang mengubah ummah ini, kerana ianya ketentuan Allah semata-mata..

Namun sekurang-kurangnya, jadilah kita umpama burung kecil yang menagguk titisan air ke paruhnya lalu cuba memadamkan api yang marak membakar tubuh Ibrahim, nabi pilihan Allah. Walaupun si burung tahu usahanya tidak berkepastian untuk berjaya, namun sekurang-kurangya dia telah menaburkan usaha dan pastinya akan ada jawapan untuk disuarakan saat berhadapan dengan Allah kelak.. Kita pula bagaimana? Saat melihat ummat ini 'kesakitan' akan adakah jawapan untuk dipersembahkan kepada Rabb kelak?

Ikhwah akhawat, adik-adik yang dikasihi Allah, disamping dikau memikirkan ummah ini, jangan dikau lupa akan dirimu sendiri.. perkasakan dirimu dengan tarbiyah, mantapkan keimananmu dengan mendekatkan diri kepadaNya, jangan sesaat pun kau leka dengan dunia, dan jangan sesekali kau melayan lelah yang berbekas di jiwa..Bukankah janji Allah itu pasti benar? yakinlah dikau, setiap keperitan yang dikau rasai, setiap titisan air mata yang dikau tangisi, setiap jejeran peluh yang turun membasahi tatkala langkahmu diatur dijalan ini, semuanya tidak akan terlepas daripada pandangan Ilahi, dan serahkan sajalah kepadaNya untuk mengganjari..

Bahu sudah menggalas amanah, kaki harus mula melangkah, jangan lengah, jangan mengah.. mari kita atur langkah ini bersama, pastikan selari pastikan sehati, pacakkan azam, kukuhkan iltizam, andai ada antara kita yang tersungkur rebah, hulurkan tanganmu jangan lengah, bisikkan padanya 'kau harus tabah!'.. Medan ini memang payah, medan ini membuatmu resah, namun jangan sesekali kau rasa gundah, kerana di sisimu adanya Allah!

Ya Allah yang maha Besar, kami hambaMu yang sememangnya lemah, bantulah kami, tolonglah kami, atas perjuangan di medan ini... Tiada apa yang ada pada kami untuk dipersembahkan padaMu, hanyalah jasad ini, jiwa ini, harta ini, masa ini, tenaga ini, yang juga milikMu, yang juga pinjamanMu, untuk kami pertaruhkan buat menghadapi ranjau di perjalanan ini.. Ya Allah ya Tuhan yang berkuasa membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas keimanan terhadapMu, lorongkankah kami ke jalanMu yang lurus, janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami.. Ya Allah, tidak kami minta dikurangkan ujian, namun kami minta untuk ditambahkan keteguhan untuk terus melangkah di jalan ini, semoga akhirnya perjalanan ini membawa kami ke Jannah.. Ya Allah, redhailah kami dan peliharalah kami dalam kasih sayangMu..

Wassalam..