Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, December 22, 2009

Dia dan Hijrah

Assalamualaikum..

Salam tahun baru 1431 Hijrah.. Semoga azam tahun lalu telah terlaksana, dan azam tahun baru juga rancak direncana.. Hati kurang tenteram menyambut tahun baru ni, tapi cuba juga menggagahkan jari-jemari, walaupun hanya bertarian lesu di papan kekunci.. tak apa, tulis saja apa yang ada dalam minda, curahkan saja ke ruang maya, semoga menjadi penawar untuk hati yang gundah gulana..

Mengimbau tahun-tahun yang telah berlalu, terasa sungguh pantas masa berlari, meninggalkan sisa-sisa umur yang entah berapa lama masih berbaki..berapa banyak kah perubahan (yang baik harapnya) telah berlaku dalam hidup ini? Perubahan yang membawa kepada lebih hampirnya diri ini dengan Rabbnya.. perubahan yang menjadikan diri ini lebih menyedari akan hakikat kehidupan sebagai hamba Tuhannya.. Terasa gerun untuk dihitung..

Namun, selautan kesyukuran masih tak mampu membayar nikmat perubahan yang Allah anugerahkan buat diri ini.. perubahan yang tidak dirancang, perubahan yang tidak disangka, yang akhirnya menjadikan diri ini seperti ini, disini, hari ini..

Cukuplah sekadar mengimbau kembali satu hijrah yang Dia takdirkan dalam hidup seorang hamba Allah ini..

Sehingga usianya 17 tahun, dia hanyalah insan yang biasa-biasa, dengan perawakan yang juga biasa-biasa, juga dengan personaliti yang biasa-biasa (sekarang pun tiada beza sebenarnya).. ilmu agamanya sekadar yang dipelajari di sekolah harian biasa, tentu sekali tidak pernah dia terfikir untuk ke sekolah agama.. menutup aurat juga, dia tahu yang sekadarnya saja.. Walaupun di sekolah rendah di agak aktif orangnya, namun dia bertukar watak apabila menginjak dewasa, menjadi pelajar yang kurang keyakinan diri, sangat pasif dan rendah motivasi diri, mungkin juga waktu itu dia dikelilingi rakan-rakan yang padanya bukan saingan, tambah pula di sekolah elit negeri itu. Namun dia masih diberi kejayaan oleh Allah dalam pelajarannya.

Seterusnya dia menjejak kaki ke sebuah medan ilmu yang lebih mencabar, disitu dia melihat dunia dari perspektif yang lain.. di situ dia belajar banyak perkara, ada banyak lagi rupanya yang dia perlu dalami, terutama dalam bab agama! Walaupun pada dasarnya sekolah itu bukan sekolah agama, sebaliknya sekolah elit yang sewajarnya moden dan terbuka sebagaimana sekolah-sekolah seangkatannya, namun penekanan pendidikan agama sangat-sangat dititik beratkan.. berkat Allah mengurniakan ayahanda pengetua yang kukuh fikrah Islamnya.. Solat berjemaah diwajibkan, pelajar perempuan wajib melabuhkan tudung menutupi dada, gelanggang sukan diasingkan lelaki dan perempuan, wajib memakai stokin.. malah pelajar lelaki pernah dengan terbukanya menegur pelajar perempuan yang tidak berstokin..

Ayahanda adalah contoh ikutan terbaik, usai azan dilaungkan di surau sekolah, dialah yang terlebih dahulu berada di saf hadapan, meninggalkan kerja-kerjanya yang tidak pernah kehabisan. Kerap kali ayahanda mengimamkan solat dan memberi tazkirah selepas solat.. Suasana sekolah itu, walaupun bukan sekolah agama, amat-amat mendamaikan, amat-amat menenangkan.. Ayahanda juga yang mengajarkan makan beramai-ramai, dalam talam!

Pernah, arahan dikeluarkan oleh pihak atasan, supaya pemakaian tudung labuh diharamkan, pelajar lelaki diarahkan berpakaian seluar pendek ketika kelas pendidikan jasmani, manakala pelajar perempuan pula perlu mengenakan t-shirt lengan pendek, alasannya.. menyukarkan pergerakan! Walaupun dia tidaklah bertudung labuh ketika itu, tetapi dia juga turut merasakan ketidakadilan pada arahan tersebut.. dia merasakan amatlah tidak wajar untuk menyuruh rakan-rakannya yang bertudung labuh menukar kepada tudung seperti yang dipakainya, yang lebih kecil dan singkat, walaupun berjahit kemas dihadapan, sedangkan ada antara kawan-kawannya, sejak kecil lagi sudah mula bertudung labuh.. Ayahanda diamkan saja arahan itu hingga hujung tahun, sehinggalah pihak tersebut memberi amaran, barulah akhirnya ayahanda mengeluarkan notis itu.

Namun akhirnya arahan tersebut tidak berjaya dijalankan kerana protes dari para pelajar, terutamanya pelajar lelaki! Sangat gembira waktu itu, kerana masih ada kaum adam yang tanpa ragu, bertegas mempertahankan perintah agama dan maruah kaum hawa.. suasana sekolah itu sentiasa segar dalam ingatannya. Alangkah indahnya jika nilai Islam sebegini diterapkan di semua medan-medan ilmu.. pastinya akan lahir anak-anak bangsa yang bukan saja kukuh jati dirinya, bahkan tegar dalam memperjuangkan maruah agama.. Dia terus mengharap agar satu hari nanti angannya jadi nyata..

Di situlah juga, dia mula menanam angan dan impian untuk dirinya.. dia mahu perubah! Bukan, lebih tepatnya, dia perlu berubah! Besar sangatkah perubahannya? Pentingkah hijrah itu? Waktu itu dia tidak merasakan akan kepentingan impian yang bermula dengan angan-angan kosong itu..Dia hanya suka-suka, seronok melihat junior-juniornya yang ayu bertudung litup, manis bertudung labuh.. kelihatan sungguh-sungguh cantik di matanya.. Dalam diam, dia berazam, akan dia turuti jejak langkah mereka.. dan hampir setahun dia memendam jauh impiannya di lubuk hati, bukan di sini tempatnya kerana perasaan malu menguasai dirinya untuk membuat perubahan secara drastik..

Dan akhirnya, usai menamatkan pengajian di sekolah itu, saat melangkah kaki ke pengajian pra-universiti, dia melaksanakan impiannya.. di tahun baru, di tempat baru, dikelilingi rakan-rakan baru, dia sungguh selesa dengan hijrahnya itu.. seakan dia lahir kembali dengan semangat baru! Alhamdulillah, dia juga mendapat sokongan penuh dari ayah bondanya seawal menyuarakan hasratnya..

Dia sangat yakin dengan janji Allah..."Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka'. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal dan oleh kerananya mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59).Ya, mereka disekelilingnya mengenali dia sebagai seorang muslimah, wanita Islam yang sedaya mungkin cuba membentengi dirinya dari fitnah, dan dia juga tidak sembarangan diganggu oleh usikan-usikan nakal mereka yang kurang memahami.. Dia sungguh-sungguh bersyukur dan gembira dengan nikmat penghjrahan, yang dia percaya adalah hadiah terindah dari Allah untuknya..

5 tahun sudah berlalu, namun peristiwa hijrah itu sentiasa segar mekar dalam fikirannya, dan hari ini dia sangat yakin, peristiwa hijrah itu membawa perubahan yang bukan sedikit dalam hidupnya, Allah menganugerahkannya pelbagai 'bonus' tambahan yang menyusuli hadiah penghijrahan itu.. dia tahu sekarang, bukan tudungnya saja yang berubah, bukan pakaiannya saja yang berubah, malah sebenarnya seluruh kehidupannya mula berubah bermula saat itu, 5 tahun yang lalu, saat hijrah menginjak ke 1426 tahun..

Dia dan hijrah, sangat signifikan, sangat berharga padanya.. Dia mengecap nikmat hijrahnya sendiri, dengan caranya sendiri.. Hijrahnya tidak mungkin sehebat hijrah baginda Nabi, namun hijrahnya juga punyai nilai penting dalam perjalanan hidupnya.. kini, Hijrah mengunjunginya saban tahun, dan dia akan terus membawa hijrah itu untuk mewarnai hidupnya, agar setiap detik yang berlalu, menghijrahkannya ke daerah yang lebih hampir kepada Tuhannya..

Monday, December 14, 2009

Kisah berkisah..

Assalamualaikum..

Salam sayang, salam ukhwah.. Rindu sungguh nak mencoret, idea ada tapi timbunan artikel mematikan niat yang ada... tapi kali ni dah tak tertahan dah, nak jugak bercerita.. sedar tak sedar, Disember menuju ke pertengahan, banyak yang berlaku dalam tempoh itu, semoga semuanya memberi kesan, berbekas di jiwa untuk pengajaran dalam melangkah meneruskan perjalanan..

Kisah 1: Aku terima nikahnya.. [3 Disember]

Saat bumi bertuah Darul Naim dibasahi hujan, Kampung Laut pula disimbahi berita gembira.. Berita apa? mm.. salah seorang sahabat 7 sekawan nak bertukar status rupanya.. Walaupun biasanya dialah yang disalah anggap paling junior, kerana awet mudanya, kata orang ni la kelebihannya suka makan ulam-ulaman.. tapi hakikatnya dialah sebenar yang paling senior.. jadi sahabat 7 sekawan, relakan lah dia menjadi perintis kelab Isteri Solehah ya... Konvoi ke Timur dah, agak-agak pasni kita konvoi ke Utara lah pulak kot, kan??


Akhirnya..

Sangat gembira melihat dia yang berwajah ayu, ceria di hari perkahwinannya, dan dalam sedar, diri turut merasakan, betapa peredaran masa itu begitu pantas berlalu.. semalam kita bersama, berjuang di medan ilmu, jerih perih kita kongsi bersama, hari ini kita melalui fasa yang berlainan, ada yang sudah pun berada dalam alam rumah tangga, dan pastinya yang lain juga sedang bersiap ke arahnya.. semoga baitul muslim yang kita sedang bina, dan bakal dibina akan mendapat keredhaan Allah, dapat melahirkan anak-anak soleh solehah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Allah, pahlawan yang gagah menyebarkan syiar yang mulia ke seluruh alam ini, InsyaAllah..

Kisah 2: Dakwah Masuk Kampung.. [11 Disember]

Berkonvoi 6 buah kereta, diketuai Swift biru yang kecil molek, kami bergerak ke Kampung Teluk, Jitra..Misi kali ini adalah mendekati masyarakat, lebih fokusnya, kaum ibu, aulad (si kecil) dan remaja.. Aik, kenapa kaum ayah tak ada dalam senarai?? Sebab program ni anjuran sayap WANITA, jadi kaum ayah akan ada program khas selepas ini..

Untuk kaum ibu, disediakan perkongsian ceramah tentang pendidikan anak-anak menurut perspektif Islam.. khusyu' ibu-ibu mendengar, siap kongsi tips melembutkan hati anak lagi.. saya belum termasuk dalam golongan ibu, tapi diberi amanah untuk membantu penyampaian, jadi dapatlah saya kutip tips-tips dari ibu-ibu ni..


Ibu-ibu yang khusyu' mendengar

Untuk aulad, disediakan aktiviti bercerita, ramai sungguh si kecil ni datang, 40 orang! Seronok mereka mendengar kakak-kakak bercerita tentang kisah Nabi Muhammad saw, ada juga aktiviti menghafal doa-doa ringkas, dan kuiz selepas bercerita tadi.. Riuh rendah jadinya.. yelah, mungkin si kecil seperti mereka ni tidak pernah mendengar kakak-kakak yang begitu bersemangat bercerita!

Untuk remaja pula, mereka didedahkan dengan pengetahuan tentang reproduksi, dan juga tayangan slide Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ).. dalam 3 jam program ini berjalan, 3 kumpulan sasaran telah cuba ditawan hati mereka.. dan Alhamdulillah, respon dari mereka amat-amat baik..

Program ini pertama kali diadakan oleh WANITA, yang pasti ia bukan yang terakhir, sebaliknya akan menjadi program rutin, sebagai aplikasi apa yang telah secara teorinya dipelajari dalam usrah. Dalam usrah kita didedahkan dengan pelbagai nilai-nilai Islam yang seharusnya ada pada setiap muslim, namun teori saja tidak mencukupi, turun bersama masyarakat macam ni akan lebih memberi kesan kepada kita, melihat sendiri keadaan masyarakat, apa yang mereka perlukan, dan mencari ruang untuk menyumbang kepada mereka.. Baik pada diri sendiri saja tidak cukup, sebaliknya kita juga harus sedaya upaya cuba untuk membantu masyarakat, sama-sama memeperbaiki diri untuk melahirkan masyarakat Islam yang sebenar..

Kita amat menyayangi diri dan keluarga, sedaya upaya cuba membawa dan menerapkan Islam dalam kehidupan seharian, bagaimana pula dengan masyarakat di luar sana? Tegar kah kita melihat masyarakat terus hanyut dibuai arus kebejatan moral dan sosial? Wajarkah kita hanya berpeluk tubuh melihat masyarakat hanyut ditelan noda kemaksiatan? Sedangkan, kita juga adalah sebahagian dari masyarakat itu.. Jadi, saya tanya pada diri saya, apa sumbangan kamu pada masyarakat yang sedang berteriak, merintih kesakitan ini? Bantulah dirimu, bantulah masyarakat disekeliling mu, dengan membawakan penawar Iman dan Islam kepada mereka, itu sajalah sebaik-baik penyembuh yang tiada lain daripadanya. Saya amat gembira diberi peluang dan kesempatan oleh Allah untuk menyertai program ni, dan saya bertekad tak nak ketinggalan untuk siri-siri akan datang!

Kisah 3: SURE Zon Utara.. [12 Disember]

Opps, bukan sure heboh ya, ni sukan remaja zon utara, anjuran Kelab Remaja.. semalam bersama wanita, hari ni saya jadi remaja pulak.. Kedah jadi tuan rumahnya, ada 4 permainan saja, bola sepak, bola jaring, carom dan catur..

Mulanya saya diamanahkan jadi pengurus bola jaring, saat-saat akhir, diminta pulak jadi pengadil bola jaring.. menggelabah jugak mulanya, dah lama tak masuk padang ni.. dan tak pernah jadi pengadil, jadi pemain saja selama ni.. tapi saya tawakal je lah, Ya Allah, permudahkanlah, bantulah kami, semoga program ini berjalan lancar hendaknya..

Dari pagi sampai petang, berlarian di padang.. panasnya, Ya Allah tuhan saja yang tahu! Seronok melihat adik-adik ni bermain, perlawanan dimulakan dengan tazkirah ringkas, sorakan pasukan yang penuh semangat melaungkan nama Allah, dan gema takbir dan tahmid mengiringi setiap jaringan gol.. Tiada aksi tarik menarik, tolak menolak dan cela-mencela, sebagaimana lazimnya perlawanan bola jaring yang lain.. Lain sekali, memang berbeza..


Kepenatan dah sahabat-sahabatku ni..

Akhirnya, Pulau Pinang menjadi juara keseluruhan, diikuti Kedah, Perak dan Perlis. Istimewanya, akhlak peserta juga dinilai dan menyumbang mata kemenangan untuk setiap kontinjen.. Indahnya sekiranya nilai Islam diterapkan dalam semua bidang, semua tempat, semua aktiviti..

Hujung minggu yang berlalu amat penat dan meletihkan, tetapi tak ternilai dengan pengajaran yang Allah berikan, dalam hidup ini carilah iktibar dari setiap yang berlaku, setiap saat yang berdetik, pasti ada hikmahnya, carilah dan jadikan ia penambah nilai untuk kehidupan kita.. lihatlah dunia dari sisi positif, berjalan, renung dan fikirlah.. semoga hidup kita lebih bermakna serta mendekatkan kita kepada sang pencipta.. InsyaAllah

Wassalam

Tuesday, December 1, 2009

Pengorbanan kita..

Assalamualaikum..

Hari ni, 1 Disember.. cepat sungguh masa berlalu, November tahun lalu saya kembali ke Lembah Sintok ni, sedar tak sedar, dah setahun rupanya.. Rasa baru semalam buat keputusan menolak 'lamaran' My- Sutera sdn. bhd. semata-mata nak berada dekat dengan gedung ilmu di negeri Jelapang Padi ni..Alhamdulillah, Allah telah permudahkan segala-galanya dalam masa setahun ni..

Mmm.. Hari Raya Aidiladha berlalu sudah.. kali ni beraya di Kedah.. keseorangan! sebab rumah kat kampung dilanda banjir..pertama kali beraya kat luar, dah la sorang-sorang pulak tu.. tapi tak pe, ada hikmahnya..

Kebosanan di rumah, berseorangan di hari raya, sayu dan syahdu je dengar takbir yang sayup-sayup kedengaran dari surau berhampiran.. Buka TV, sepanjang hari raya ni, saya perasan satu perkataan yang kerap kali disebut, berulang-ulang.. samada dalam iklan, drama, atau rancangan bual bicara.. iaitu PENGORBANAN..

Saya tertarik dengan kata-kata seorang penceramah, dalam satu rancangan bual bicara.. katanya, pengorbanan ni ada 3 tahap..

Tahap pertama, pengorbanan yang mana orang yang berkorban saja merasainya, contohnya sepertimana kita tengok kat kampung, kat bandar ramai yang jalani ibadah korban, sembelih lembu atau kambing, kemudian disedekahkan kepada jiran-jiran tetangga.. tapi menurut ustaz tu, orang yang jalani ibadah korban tu saja merasai hakikat pengorbanan sebab mereka korbankan wang ringgit, manakala orang yang menerima daging korban pula kurang mendapat kesan dari ibadah korban ni sebab mereka hari-hari dah makan daging, jadi mereka tidak merasai atau sepenuhnya menghayati nilai daging korban yang diterima..

Tahap kedua, pengorbanan yang mana orang yang berkorban, dan yang menerima korban itu juga mendapat kesan mendalam darinya.. contoh, orang-orang yang melakukan ibadah korban, dan daging korban tu diagihkan kepada masyarakat yang serba kedaifan, serba kekurangan, seperti di negara perang, Palestin, negara miskin seperti Kemboja, Darfur atau kepada masyarakat Malaysia sendiri yang kehidupan sehariannya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.. Pengorbanan sebegini, pastinya akan dirasai oleh orang yang menunaikan ibadah korban, juga kepada yang menerimanya.. Bayangkan, di hari-hari sebelum ni, nasi pun mereka jarang jumpa, apatah lagi daging.. semestinya, hari raya aidiladha membawa seribu makna buat mereka!

Tahap ketiga, tahap yang paling mulia, paling hebat antara ketiganya, mereka yang mengorbankan kepentingan diri, untuk masa hadapan orang lain.. contoh terbaik adalah, baginda Nabi Muhammad saw yang mengorbankan segala-galanya, demi menegakkan syiar Islam dimuka bumi.. agar umat manusia dapat menyedut udara kebebasan dari penyembahan kepada manusia kepada penyembahan hanya kepada tuhan yang Esa..

Termanggu saya seketika, bila dilontarkan persoalan, pengorbanan kita di tahap mana? Adakah selamanya kita akan berpuas hati berada di tahap yang paling bawah? Tidakkah kita teringin untuk mencapai tahapan terbaik, yang pastinya akan mendapat perhatian yang lebih dari tuhan yang Maha Kuasa? Tidakkah kita ingin dipandang istimewa olehNya? Ataukah kita boleh terus berpuas hati dengan alasan ketidakmampuan kita, sedang Allah menganugerahkan gelaran umat terbaik untuk kita? Kita mampu, tapi persoalannya, adakah kita mahu??

Saya lontarkan lagi persoalan berikutnya, apakah erti pengorbanan buat kita di aidiladha ini?? Adakah pengorbanan itu kita fahami sekadar menyembelih lembu atau kambing?? Bagaimana dengan nafsu kita? Adakah berjaya kita menambat dan menyembelihnya ataukah ia terlucut dari tali ikatannya, lalu ia berlari kencang dan mendengus garang, menanduk iman yang senipis kulit bawang, lalu rebahlah kita ke dalam jurang kehinaan, penuh noda hitam?

Semoga aidiladha, dan istilah pengorbanan itu benar-benar kita fahami, bukan sekadar melihat tewasnya binatang korban di bilahan tajam, tetapi juga dengan merenung kembali masa, usia, dan harta, ke mana telah kita korbankan.. Ataukah kita masih gerun merelakan diri untuk 'dikorbankan' kerana kurangnya keyakinan terhadap janji-janji Tuhan??

Pelbagai persoalan yang mengasak fikiran, menuntut jawapan.. Tanya pada hati apa sebab goncang, nanti kata hati tanyalah iman..

Wassalam..

Monday, November 23, 2009

di Kebun Pak Shariff kita bertemu..

Assalamualaikum..

Baru pulang dari Mukhayyam di Penang..badan penat, tekak perit, suara dah jadi 'rock' sikit.. Seronok.. dah lama tak 'memanjakan' diri dengan alam, terutamanya alam yang hijau dan mendamaikan..

Petang Jumaat, kami bertolak.. Rombongan dari Perlis menjemput kami, seterusnya dari Kedah kami menuju ke Pulau Pinang.. Malamnya kami sampai di tapak perkhemahan.. Kebun Pak Shariff namanya, bila mendengarnya saja, seakan terbayang buah-buahan yang masak ranum, yelah namanya pun kebun kan.. memandangkan kami tiba dalam kepekatan malam, maka hajat nak melihat suasana sebenar kebun tu tak kesampaian, sebaliknya kami meraba-raba dalam gelapnya malam..bulan tak kelihatan.. menyukarkan lagi pergerakan kami..

Ditinggalkan di jalan utama, kami berjalan kaki masuk ke kawasan kebun Pak Syariff, beriringan, berpapasan, bergerak dalam barisan teratur seakan tentera semut yang keluar mencari makanan.. Jalan berbukit, sedikit mendaki walaupun berturap.. tambahan pula dengan keadaan gelap, hanya bersuluhkan lampu telefon bimbit.. keadaan kiri kanan jalan kecil itu sunyi, hanya sesekali kedengaran unggas berlagu riang..'Tentera semut Utara' bergerak perlahan penuh hati-hati kerana keadaan sekeliling yang hanya berlatarkan warna gelap dan kelam, sukar mengagak apa yang ada di hadapan, belakang mahupun kiri dan kanan.. Akhirnya dihujung perjalanan, kelihatan cahaya lampu menyinari malam, semua menarik nafas kelegaan, akhirnya sampai juga ke destinasi yang dituju..

Setelah rombongan dari Pulau Pinang tiba, taklimat diberikan oleh pengarah program dan kem komandan.. sesi ice breaking dan pembahagian kumpulan dijalankan.. kemudian masa untuk berehat, peserta memilih 'bilik' masing-masing..berhotelkan kebun, berkamarkan khemah, bertilamkan tanah, berselimutkan kedinginan malam dan berulitkan nyanyian penghuni rimba. Wah, ini baru dikatakan mukhayyam sebenar..

Esoknya, permulaan hari dengan Qiamullail.. Air bukit yang sangat dingin.. cukup membuatkan segala anggota badan terketar-ketar menahan sejuk.. seakan berwudhu' dan bersiramkan ais.. woa.. sejuknya sangat menggigit sehingga ke tulang..Solat subuh dan bacaan Al-ma'thurat, kemudian isi perut sikit dengan sarapan..Pagi ni barulah nampak terang keadaan di kebun ni.. memang tak tersasar dari apa yang dibayangkan, ni kebun betul.. tapi buahan yang masak ranum tak kelihatan, bukan musim agaknya.. Taklimat dari kem komandan, aktiviti sepanjang hari ini adalah bermesra-mesraan dan mendekati alam...meredah hutan menuju ke destinasi yang ditetapkan..

Ada 8 perhentian sepanjang perjalanan dengan pelbagai aktiviti yang akan dijalankan.. selain menguji kekuatan fizikal, aktiviti yang akan dilaksanakan di setiap perhentian bakal menduga kekuatan mental, emosi dan ukhwah antara peserta..Dibekalkan dengan beberapa keping biskut dan sebotol besar air mineral sebagai barang amanah, peserta melangkah penuh semangat, teruja dan tertanya-tanya, apa yang akan ditempuhi nanti..Di awal perjalanan, di hentian pertama..peserta diingatkan dengan perjalanan yang bakal ditempuhi.. perjalanan ini yang pastinya akan bertemu dengan pelbagai rintangan, jalan berbukit, licin.. mungkin adanya denai, lurah yang perlu ditempuhi..

Begitu juga dengan kehidupan sebenar di dunia ini, akan ada pelbagai cabaran disepanjang perjalanan kehidupan kita..yang pasti, kita harus terus bergerak menuju destinasi, iaitu destinasi yang kekal abadi.. Jadi, dalam nak memastikan kita terus mampu menggagahkan kaki merentas perjalanan yang berliku ini, pelbagai persiapan dan bekalan perlu disediakan.. jika syurga destinasi impian, pastinya bekalan Iman dan Amal harus disediakan di sepanjang perjalanan di dunia agar nantinya di akhirat sana, kita tidak 'kelaparan' atau 'kedahagaan' lantaran bekalan yang tidak mencukupi.. lebih merisaukan, sekiranya syurga yang diimpikan, tapi neraka pula menjadi imbalan..Semoga kita tidak termasuk dalam senarai penempatan ke neraka..

Bermacam cabaran buat peserta di sepanjang perjalanan, selain cabaran alam yang menduga ketahanan jasad dan ketajaman indera, ada juga tugasan khas yang dirangka.. Di hentian ke-2, peserta diingatkan dengan 'amukan' alam yang semakin menggusarkan akhir-akhir ini.. tanah runtuh, pencemaran dan kemusnahan alam.. adakah semuanya terjadi dengan sendirinya? Ataukah tangan-tangan manusia yang merosakkannya? Analogi sehelai kertas putih sebagai alam, yang 'dikoyak' oleh tangan manusia yang merosakkan.. akhirnya bila cuba untuk dicantum kembali dan dibaiki, alam tidak mungkin kembali indah seperti dulu lagi.. Peserta belajar dan memahami, tangan kurniaan Ilahi ini jangan digunakan untuk sesuka hati, taklifan sebagai khalifah dimuka bumi ini disertakan dengan amanah agar alam ini terus dimakmurkan mengikut panduan Ilahi..

Bergerak lagi, peluh memercik ke dahi, kaki dipaksa untuk melangkah, tak nak kecundang dalam perjalanan, kerana semangat yang begitu membara, menyala-nyala untuk sampai ke destinasi..Hentian seterusnya, dalam kepenatan fizikal yang mencengkam dan menekan, peserta perlu pula mengerah akal menyelesaikan teka silangkata.. bertambah lagi kepenatan, kepenatan jasad dan kepenatan minda.. Silangkata yang mudah dirasakan agak sukar, kerana imbangan jasad dan akal yang tidak sekata.. begitulah, kadangkala apabila badan kita keletihan, akal kita juga sukar untuk mencernakan maklumat dengan baik..

Hentian berikutnya, menguji kemantapan ukhwah peserta, istimewanya mukhayyam kali ini turut disertai 2 akhawat dari Indonesia.. Perbezaan negara, rumpun dan bahasa bukan halangan, kerana kita bersatu atas tunjang akidah dan kepercayaan yang sama, atas nama Iman dan Islam.. 3 negeri- Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, 2 negara- Malaysia dan Indonesia tapi 1 akidah yang sama...itulah cantiknya Islam..Si buta, si tempang dan si bisu berperanan di hentian ini.. Si bisu yang tercungap-cungap memberi arahan menunjuk jalan, si buta yang teraba-raba mengetuai angkatan, dan tentera-tentera yang tempang berhimpit-himpitan, terhincut-hincut mengikut dari belakang. Kehangatan ukhwah terasa menebal, berpelukan, bergandingan tangan memastikan sahabat kesayangan tidak tersesat, terjatuh mahupun tersalah melangkah..apa lagi yang perlu diceritakan tentang ukhwah, mereka telah menunjukkan dengan jelas, ukhwah itu tidak terbatas, bila akidah yang menjadi asas.

Perjalanan diteruskan, akhirnya kedengaran bunyi ombak menghempas pantai.. hentian ini sungguh istimewa, melihat pantai saja cukup membuatkan peserta tersenyum gembira, hilang sikit kepenatan rasanya..Dengan butiran pepasir pantai yang memutih, peserta diminta menyiapkan sebuah binaan yang hebat, hebat pada pandangan mereka.. bertungkus-lumus mereka mencari idea, menyusun dan membina 'istana' mereka.. Pasir itu analoginya kita umat Islam, binaan itu pula sebagai Islam.. Dalam membangunkan binaan Islam, jadilah kita antara pepasir yang melengkapkan dan mengukuhkan binaannya..

Setelah itu, peserta diminta memandang pada laut dan ombak yang menghempas pantai.. sekali ombak membasahkan pantai, ia kembali ke lautan membawa kotoran, sekaligus menjadikan pepasir itu bersih.. begitu juga dengan hati manusia, boleh dibersihkan dengan zikir kepada Allah, agar terhindar dari segala daki dan debu kemaksiatan dan kelalaian..

Usai makan, dan solat di pantai, perjalanan diteruskan..sepanjang perjalanan ke hentian seterusnya, peserta disyaratkan bertemu dengan masyarakat, berbicara dengan mereka, sambil meminta pendapat atau meyelitkan nilai-nilai Islam..Inilah ujian ringkas, tapi praktikal seorang da'ie.. bagaimana memulakan perbualan, bagaimana menyampaikan Islam sesuai dengan sasaran.. Pengalaman sebegini amat penting, sebagai asas persediaan menjalani tugas sebagai da'ie..Pelbagai kisah dikongsikan, apa yang penting peserta merasai perlunya turun kepada masyarakat, dalam usaha untuk menyebarkan Islam.. bukan sekadar memenuhkan dada dengan ilmu untuk diri sendiri, bahkan perlu dikongsi dengan masyarakat, agar impian untuk membina daulah Islamiah akan dapat direalisasikan..

Hari menginjak ke petang, perjalanan masih perlu diteruskan selagi destinasi belum kelihatan.. Hentian ke-2 akhir, beberapa situasi dilontarkan untuk dibincangkan, persepsi peserta terhadap individu yang tidak mengikut lunas Islam diutarakan, contohnya apabila peserta melihat seorang lelaki memegang botol air ketika siang hari di bulan Ramadhan, ataupun melihat wanita berpakaian seksi, berambut perang.. apa persepsi kita terhadap mereka? Perbincangan ini membawa kepada konklusi bahawa sebagai da'ie kita seharusnya mengikis pandangan yang negatif terhadap orang disekeliling, sebaliknya perlu berusaha memberi kefahaman dan mengajak mereka kepada Islam yang sebenar kerana pendakwah bukan penghukum!

Akhirnya tiba ke destinasi, kebun Pak Shariff.. tempat bermula dan berakhirnya aktiviti.. semua kepenatan.. tapi kepuasan jelas terbayang..Aktiviti terakhir, memasak hidangan untuk makan malam, dengan keterbatasan bahan yang dibekalkan.. Alhamdulillah, semua dapat makan, dan kekenyangan..

Malamnya, aktiviti lasak lagi.. Permainan War Game! Berperang mempertahankan ketua dan panji, sambil berusaha membebaskan tebusan yang ditawan pihak lawan..berbekalkan bom yang terhad, strategi disusun agar kemaraan pihak lawan dapat dipatahkan..Banyak pengajaran dalam aktiviti ini..dan ramai antara peserta terkesan dengannya.. Dibandingkan dengan pengalaman perang saudara kita di sana, kita masih sangat lemah dan tidak berupaya.. jadi, bantulah umat Islam saudara kita dengan apa cara, sesuai dengan kemampuan yang kita ada..penyusunan strategi, kekuatan ukhwah, nilai keberanian dan kepatuhan kepada ketua..antara nilai-nilai yang dapat diambil melalui permainan ini dan perlu diserapkan dalam kehidupan seharian..Kepenatan menutup malam..

Esoknya, hari terakhir.. saya tidak berpeluang bersama mereka.. yang pastinya, segala rumusan untuk setiap aktiviti diterangkan.. agar mereka benar-benar mengerti tujuannya program ini.. dan agar segala yang dikutip disini dapat menjadi panduan di kemudian hari..

Mukhayyam de' Shariff menutup tirai, namun kenangan dan pengalaman sepanjang 3 hari ini diharap mampu menambah nilai dalam kehidupan..menguatkan azam, membakar semangat, untuk terus menjadi askar-askar pilihan Tuhan, menegakkan Islam bertunjangkan keimanan..

Di Kebun Pak Shariff kita bertemu,
Menagih ilmu mengukuh kefahaman,
semoga Allah meredhai usahaku dan usahamu,
Ukhwah ini doakan berkekalan..
.
Wassalam..

Thursday, November 19, 2009

Mak cik bernazar untuk dia..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah...Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad saw, sahabat-sahabat, ahli keluarga serta pengikut-pengikut baginda, serta umat Islam seluruhnya..

Dingin sungguh pagi ni, redup dan nyaman, menyegarkan...Semoga hari ini menjadi satu lagi hari baru yang akan memberi keberkatan dan rahmat kepada kita semua InsyaAllah..

Rindu untuk menulis, rindu untuk bercerita.. apakan daya, hambatan masa, perubahan persekitaran, tekanan menyesuaikan diri, dan pergolakan demi pergolalan ditambah dengan pelbagai perkara yang bertali arus, berasak-asak memenuhi kotak fikiran.. kalaulah, otak ini dan diri ini dapat di bahagi kepada beberapa bahagian, tentu banyak perkara boleh difikirkan dan diselesaikan dalam satu masa.. tapi, bila difikirkan kembali, buat apa mengeluh, kerana inilah ketentuan Ilahi.. Ada sebab dan musababnya setiap kejadian yang berlaku.. saya yakin!!

Adik-adik bertanya, sahabat-sahabat menyapa, kenapa entri kebelakangan ni sedih-sedih je, sayu je bunyinya.. saya senyumkan saja.. inilah realiti kehidupan, bukan selalunya indah, tapi bukan bermakna terus-menerus muram dan suram seperti awan kelam musim hujan ni.. Orang kata, hidup umpama roda, sekejap kita di atas, sekejap kita dibawah.. Bila sesekali kita berada di bawah, kita akan rindu dan berusaha untuk kembali berada di atas, masa ni la kita akan muhasabah diri, apa sebab kejatuhan kita, dan bagaimana untuk mendaki ke puncak lagi.. Dan jawapannya tetap lah satu, kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah.. Kata orang lagi, bumi mana tak ditimpa hujan, begitulah juga kita, insan.. tidak akan lepas dari kesilapan, terleka, tergelincir, ditimpa musibah dan kesusahan..

Yang penting, saat di'tegur' Allah kerana keterlekaan kita, haruslah kita terus menyambut 'sapaaan' Allah, dengan kembali ke jalanNya, dan bila ditimpa ujian, segeralah kita ingat kepadaNya.. ujian bukan saja datang dalam bentuk kesusahan, kelaparan, dan kesedihan tetapi juga dalam bentuk kemewahan, waktu lapang dan kesihatan.. dan biasanya, amat sukar untuk kita menghadapi ujian yang datang dalam bentuk positif, kerana ia menjadikan kita alpa, lalai, leka dengan nikmat-nikmat tersebut.. tapi bila diuji dengan kepayahan, kesulitan..cepat pula kita 'mencari' Tuhan.. sebab itu, berhati-hatilah dengan nikmat kesenangan, kerana ia lebih merbahaya dari ujian kesusahan..

Cerita apa hari ni ya? Begini kisahnya..

Kisah 1

Di satu program, saya jadi ajk.. saya menyambut kedatangan sebuah keluarga..ayah, ibu dan seorang anak.. si ayah dan ibu datang menghantar anaknya ke program tersebut.. Ayah dan ibunya sangat aktif dalam aktiviti dakwah, yang menjadi kerisauan mereka, si anak seolah-olah kurang berminat, samada mengikuti usrah, mahupun program-program bermotif dakwah dan tarbiyah..Ibu bercerita lagi, dari sekolah aliran agama, sehingga sekarang di universiti,banyak perubahan yang telah berlaku terhadap si anak.. dulunya menutup aurat sempurna, sekarang jarang-jarang.. dulunya usrah dan aktiviti kerohanian aktif diikuti di sekolah, sekarang di universiti, seakan hilang minatnya malah perlu di paksa-paksa..

Kerisauan terbit jelas di wajah ibu dan ayah ini, mereka harapkan anak mereka akan mewarisi jalan dakwah ini, mereka harapkan anak mereka akan turut menjadi rantai penyambung perjuangan ini..

Sebelum pulang, ketika bersalaman dan memeluk ibunya, sempat dia bisikkan pada saya, " Ayu, tolonglah mak cik dengan pak cik, bantulah kami, bantulah anak mak cik, cubalah sembang-sembang dengan dia..mak cik sangat berharap dia dapat menutup aurat dengan sempurna macam dulu, mak cik harap dia akan berminat untuk pergi usrah dan buat kerja-kerja dakwah". Ada getar pada suaranya.. dan saya? Hanya mampu menahan sebak.. Ya Allah, makbulkanlah doa ibu ini..

Beberapa kali dia titipkan pesannya pada saya sebelum berangkat meninggalkan anaknya dengan penuh harapan, si ayah walaupun hanya sesekali mencelah, namun dari sinar matanya, saya tahu, harapan yang sama turut dikongsi dengan si ibu.. Impian yang tinggi menggunung.. impian yang suci, penuh pengharapan..

Kisah 2

Saya menerima sms dari seorang mak cik yang saya tidak pernah jumpa tapi seakan sudah kenal lama dengannya, dia bercerita tentang anak-anaknya dan meminta saya cuba mendekati dan membina hubungan dengan anaknya..

Dia : Mak cik harap sangat Ayu dapat pujuk dia untuk sertai program, kalau Ayu berjaya, mak ciklah orang yang paling gembira, dah lama mak cik impikan anak-anak mak cik berada dalam suasana tarbiyah dan dakwah.. Abangnya dah semakin hanyut, kalau ikhwah dapat pujuk dia, mak cik bernazar untuk dia..

Saya : InsyaAllah, mak cik.. kalaupun anak-anak mak cik tak dapat sertai program ni, InsyaAllah kami akan pujuk untuk program-program seterusnya.. InsyaAllah, doa mak cik Allah dengar dan akan makbulkan..

Saya menaip balasan dengan hati yang bergetar.. begitu sekali harapan seorang ibu..

Kisah 3

Saya ke program bersama mak cik-mak cik.. usai solat, bersembang dengan seorang mak cik, yang juga seorang ibu..juga tentang anak-anak nya..

Dia : Mak cik pun tak tahulah nak buat macam mana lagi, sejak kecil mak cik dengan pak cik asuh dia, didik dia, bagi ilmu agama, mak cik harap dia juga akan jadi salah seorang yang merelakan diri untuk ditarbiyah dan buat kerja-kerja dakwah.. tapi bila dah besar ni, cakap kawan-kawan lagi dia dengar daripada nasihat mak cik, usrah liat nak pergi, program-program lain apatah lagi.. mak cik dah buntu, risau, tak tahu nak buat apa dah..

Tanpa berselindung, juraian air mata turun membasahi pipi ibu ini.. saya terkedu, saya belum menjadi ibu, saya belum memahami sepenuhnya perasaan seorang ibu, tapi mungkin naluri seorang wanita, seorang kakak dan seorang anak seakan me'larut'kan saya dalam perasaan ibu ini.. Apa yang mampu saya katakan, saya tak berdaya hanya mampu bersuara...

Saya : Sabarlah mak cik, saya yakin mak cik selalu doakan anak-anak mak cik, Insya Allah, Allah dengar luahan mak cik ni..

Kisah 4

Selepas program, saya di datangi seorang ibu, ibu kepada peserta program ini

Dia : Mak cik harap Ayu dan kawan-kawan yang lain janganlah tinggalkan anak-anak kami ni ya, selalulah berhubung dengan mereka, nasihati mereka.. Mak cik harap anak-anak mak cik ni pun akan membiasakan diri dengan kerja-kerja dakwah nanti

Saya : InsyaAllah, mak cik

Cukuplah rasanya 4 kisah di atas, mungkin latarnya berbeza namun cerita-cerita ini banyak persamaannya, harapan ibu dan ayah terhadap anak-anak mereka.. kalaulah anak-anak ini mendengar rintihan dan luahan ibu mereka, akan adakah lagi alasan untuk menidakkan kasih sayang ayah dan ibu mereka? Begitu besar, begitu tinggi harapan ke dua orang tua untuk melihat anak-anak mereka menjadi manusia yang bukan sekadar baik untuk dirinya, malah mampu menyumbang kepada agama..

Jalan dakwah, impian ayah bonda ini, bukan saja untuk diri mereka malah mereka mengimpikan agar anak-anak turut serta menjadi menyambung perjuangan ini.. salahkah harapan mereka ini? salahkah mereka mempunyai impian ini?

Mereka terlebih dahulu telah merasai pahit jerih berjuang di medan ini, namun mereka juga telah meneguk 'kemanisan' disebalik kesakitan berada di jalan ini, dan mereka percaya dengan penuh keyakinan kepada kebahagiaan yang hakiki sebagaimana janji Ilahi..Jadi salahkan jika mereka mahukan anak-anak mereka turut sama merasai kenikmatan ini? Kerana kesakitan di dunia ini tidak setanding ganjaran di akhirat kelak.. Mereka impikan mahligai syurga dibina di dunia sana, intan permata bukan lah nilaiannya, tetapi melihat anak-anak berada di sampingnya, bergembira dan bersuka ria dia di syurga, itu yang lebih bermakna..Akan tenangkah jiwa, berertikah bahagia, melihat keluarga yang tercinta terpekik terlolong disimbah dahsyatnya neraka? Kerana itulah, mereka menanam cita-cita yang tidak kecil kepada anak-anak mereka..

Wahai anak, dengarlah rintihan ayahmu, dengarlah rayuan ibumu..Jalan dakwah impian ayah bonda, jalan dakwah harapan kepada anakanda...

Wahai anak, janganlah hampakan harapan ayah bondamu, yang mengharapkan dan sentiasa mendoakan yang terbaik untukmu..

Wassalam..

Monday, November 16, 2009

Bicara dengan Hati..

Gelisah..
Resah..
Bertamu di jiwaku..
Kenapakah kau datang wahai pencabul keamananku?
Kenapa kau tegar mengocak kedamaian hidupku?

Kerana kau telah bersalah..
Kerana kau telah tergelincir dari jalan Tuhanmu..

Siapa yang bersuara itu??
Siapa kamu untuk memberi jawapan kepadaku??
Siapa kamu untuk berani-berani menuduhku begitu??

Aku??
Aku hatimu..

Hatiku??
Mengapa kau berkata begitu duhai hati..
Bukankah jasadku yang melindungi dirimu..
Bagaimana mungkin kau mengkhianati pelindungmu..

Tuhan yang Esa pemilikku..
Tuhan yang Kuasa pelindungku..
Bukannya manusia rakus yang lupa kepada penciptanya..
Berbuat sesuka hati tanpa mengira dosa pahala..

Kau katakan aku bersalah?
Kau katakan aku tergelincir dari jalan Tuhan?
Apa buktimu..
Jangan sesuka hati saja kau menuduh..

Kau mahukan bukti??
Mari ke mari aku tunjukkan..
Tengok padaku..
Aku, hatimu
Yang dulu putih suci
Kian diselaputi noda dosa..
Aku, hatimu
Yang dulu lembut bersih
Kini keras bersalut debu noda
Angkara siapa?
Angkara kaulah wahai jasad..
Kerana apa?
Kerana kau telah meninggalkan Tuhanmu di belakang !!
Perintah Tuhanmu terang-terangan kau abaikan !!
Kau tahu laku mu curang pada Tuhan
Tapi kau masih pertahankan dengan bermacam alasan !!
Tahukah kau..
Kau telah berjaya dirasuk syaitan..
Yang sedari dulu bertekad untuk musnahkan anak Adam!!

Kau tewas..
Sungguh, kau telah tewas..
Puas?
Mahu bukti lagi?
Mari ke mari aku tunjukkan..

Cukup.. cukup.. Jangan seksa aku lagi..
Aku akui kesilapan diri..
Aku menjadikan syaitan raja di hati..
Aku menzalimi diriku sendiri..

Baguslah kau mengaku...
Jika tidak, jangan lagi berhatikan aku..
Tak sanggup aku mengadap Tuhan dengan seadanya aku..
Busuk, keras bersalut karat dan debu nafsu..

Aku tahu..
Aku mengerti..
Kenapa diriku tidak lagi sebahagia dulu..
Rupa-rupanya aku telah terlanjur diri..
Kenapa diriku tidak seaman dulu..
Rupa-rupanya aku telah leka dengan amanah Ilahi

Aku seharusnya menunaikan hak-hak diri
Dengan mengabdikan seluruh hidupku pada Dia yang maha Mengasihi..
Bukan sewenangnya meneraju hidup ini
Mengikut acuan yang aku cipta sendiri
Bertuhankan nafsu yang menakluk hati
Berajakan syaitan yang menguasai diri

Wahai Tuhanku..
Ampunkan segala dosaku..
Aku bersalah wahai Tuhanku..
Aku berdosa padamu..

Wahai hati..
Akan didengarikah rintihanku ini
Mampukah aku meraih cinta Ilahi
Setelah karat-karat dosa bertempekan di sana-sini

Jangan kau risau..
Sehodoh manapun aku, hatimu
Seburuk manapun aku, hatimu
Sehitam manapun aku, hatimu
Sejelek manapun aku, hatimu
Akan mampu cantik kembali
Akan mampu bersinar kembali
Akan mampu bersih kembali
Akan mampu indah kembali
Dengan siraman taubat mu
Dengan cucian penyesalanmu
Dengan gilapan keinsafanmu

Yakinlah, Tuhan menyayangi kita
Aku dan dikau
Kerana itu Dia masih terus menyapaku, hatimu
Agar kembali ke jalan asalNya
Jalan buat orang-orang yang beriman dan bertakwa..

Dan inilah masanya..
Untuk kita mengubah kehidupan silam..
Dari episod duka penuh kehinaan
Bergelumang dengan keingkaran demi keingkaran
Terhadap perintah Tuhan
Kepada pengabdian yang sejati dan seikhlas hati
Kepada Ilahi

Pasakkan azammu
Tekadkan cita-citamu
Tidak akan kau ulangi lagi
Segala gerak, tanduk
Yang mengundang murka Ilahi
Taatilah Dia dengan sepenuh hati
Tanda kecintaanmu padaNya yang tidak berbelah bagi
Semoga hidupmu tenang kembali
Dalam dakapan cinta Yang Maha Mengasihi

Tapi, bukan mudah untuk mujahadah begini..
Aku khuatir..
Mampukah aku??
Bagaimana kalau aku tertewas lagi

Kau ingat, syurga itu untuk orang yang hanya bergoyang kaki di dunia?
Syurga itu untuk orang yang putus asa dalam hidupnya?
Syurga itu untuk orang yang bersenang-lenang, bergelak ketawa tanpa cuba memahami hakikat penciptaannya?
Bahkan..
Syurga itu untuk orang yang di dunia menderita kerana mempertahankan perintah Tuhannya
Syurga itu untuk orang yang bermatian, berjihad melawan hawa nafsunya
Syurga itu indah..
Nilaiannya tinggi..
Harganya mahal..
Hanya untuk yang sanggup bersusah di dunia
Untuk mengecap nikmatnya di akhirat
Bukan untuk yang takut menderita di dunia
Dan berputus asa dengan akhirat

Aku faham kini..
Aku mengerti..
Terima kasih duhai hati..
Syukur padaMu ya Ilahi
Berkatilah perjalanan ku ini
Hijrah ini harus bermula di sini
Dengan asma'Mu aku berdiri
Melangkah semula dengan penuh hati-hati
Agar diri ini tidak lagi dimurkai
Agar hati ini tidak lagi dinodai..


Wednesday, November 11, 2009

Aku bersalah.. maafkan daku..


Aku bersalah...
Maafkan daku..

Aku tersilap mentafsir..
Maafkan daku..

Ku ungkapkan kemaafan..
Dia diam membisu..
Aku buntu..
Salahkah aku?
Ya, aku mengaku..
Maafkan daku..

Tiada niat dihatiku..
Membuatmu menunggu
dan terus tertunggu-tunggu..
Maafkan daku..

Hatiku berat..
Hatiku gundah..
Hatiku tiada tenteram..

Melihat dia terus membatu..
Rasa bersalah terus menghantuiku..

Apa dayaku??
Semuanya sudah berlalu

Kalaulah..
Aku mampu mengulang masa itu
Kalaulah..
Aku mampu membetulkan yang telah berlaku
Kalaulah..
Kalaulah..

Namun tiada upayaku..
Yang berlalu itu telah berlalu..
Tidak mungkin dapat ku undur waktu itu..

Rajukmu pengajaran buatku..
Moga tidak ku ulangi lagi..
Ku tagih kemaafan darimu..
Moga akhirnya kau ceria kembali..

Aku bersalah..
Maafkan daku..

Ya Allah, ampuni daku..
Moga tiada lagi hati yang terluka keranaku..

Saturday, November 7, 2009

Antara Adam dan Hawa..

Assalamualaikum..

Salam sayang.. salam ukhwah.. salam persaudaraan satu akidah.. Hujan masih rintik di luar.. sedikit lega berbanding semalam.. risau melihat hujan turun mencurah-curah seolah tangisan si anak kecil yang dalam kesakitan.. ya, mungkin alam sedang dalam 'kesakitan'.. sakit akibat kejamnya manusia.. ataukah alam dalam kesedihan melihat tindak tanduk manusia yang semakin hilang pedomannya..

Hati agak gelisah semalam, hujan mencurah.. tasik melimpah.. sekejap memandang ke tingkap, sesekali termenung di muka pintu.. sambil berdoa, Ya Allah janganlah kurniaanMu ini bertukar musibah.. makin resah bila perkhabaran dari kampung yang tidak berapa sedap di dengar.. air dah melimpah ke laman rumah, beritahu si kecil.. dalam hati, tak apa itu perkara lazim berlaku bila hujan lebat turun tanpa henti.. petangnya, abah pula membawa berita.. air dah masuk dalam rumah! Hati resah, tambah-tambah langit berterusan diselaputi awan kelam, hujan terus menerus 'bertangisan' tanpa ada tanda-tanda akan reda..Ya Allah Ya Tuhan.. Jauhkanlah kami dari segala mala petaka dan bencana..

Itu kisah semalam, Alhamdulillah hari ni mentari mula menampakkan diri di awal pagi hingga senja berlabuh.. Mentari terik di lembah Sintok, di bumi Darul Naim juga.. Tapi itulah lumrah alam, tiada yang dapat menjangka..Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya..

Usai solat Maghrib tadi, sempat menyelak beberapa lembaran dari Al-Quran.. baca ayatnya, baca terjemahannya.. tertarik dengan ayat ini.. sudi kongsi dengan saya?? Jom kita sama-sama fahami, rasai dan resapi ayat-ayat cinta ini, biar masuk terus ke hati, menyelinap ke ruang sanubari dan biarkan ia terus di hadam oleh akal dan biar akal arahkan pada jasad supaya bertindak selari.. hati, akal dan jasad ini.. biar seiring, biar selangkah, biar selaras dengan tuntutan Ilahi, dalam kalamNya ini..


"Sungguh, lelaki dan perempuan muslim
Lelaki dan perempuan mukmin
Lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya
Lelaki dan perempuan yang benar
Lelaki dan perempuan yang sabar
Lelaki dan perempuan yang khusyu'
Lelaki dan perempuan yang bersedekah
Lelaki dan perempuan yang berpuasa
Lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya
Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah
Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar"
(Surah Al-Ahzab: 35)

Indah sungguh susunan ayat ini, penuh berseni, penuh berisi, penuh makna yang tersurat dan tersirat untuk diteliti.. Madah yang membelai jiwa, memujuk hati, menjadi penawar duka dan pembalut luka..

Mari kita teliti ayat ini..Kenapa Allah sebutkan khusus, lelaki dan perempuan? Kenapa tidak Dia nukilkan saja secara umum, Sungguh hamba-hambaku yang muslim... hamba-hambaku yang mukmin... Kenapa mesti disebutkan dengan jelas Lelaki dan Perempuan?? Maha suci Allah yang Maha Adil dan Bijaksana.. Inilah antara sifat Allah.. Maha Adil.. Dia ingin jelaskan keadilanNya melalui ayat ini.. Bahawa Dia, Allah tidak pernah membezakan hambaNya, baik lelaki mahupun perempuan.. Bukan jantina yang membezakan hambaNya, tiada yang lebih rendah mahupun yang lebih tinggi antara keduanya.. masing-masing ada peranan, ada tugasnya yang sama nilainya disisi Allah..

Allah Maha Bijaksana.. ayat inilah buktinya.. Bijaksananya Allah menyusun kata-kata.. Bijaksananya Allah memujuk hambaNya.. bagaikan ingin dikatakan, wahai hambaKu.. Kamu tetap sama disisi Aku, samada kamu dari keturunan Adam, mahupun keturunan Hawa, kedua-duanya adalah makhluk ciptaanKu, yang Aku hembuskan roh ke jasadnya, yang aku jadikan dari setitis air mani yang hina hingga di angkat menjadi khalifah di dunia.. Bagaikan Dia ingin memujuk hati-hati hambaNya yang barangkali tersentuh hiba meratapi keterbatasan diri..

Mungkin ada kaum Hawa memendam rasa, cemburu melihat si Adam tangkas di medan jihad, lincah di medan dakwah, tak perlukan teman untuk ke mana-mana, tak perlu fikirkan sekatan demi sekatan, hanya perlu tanya hati, tanya Iman, antara mahu atau tidak.. bertuahnya Adam, kata Hawa.. Sedangkan Hawa amat teringin selincah Adam, mengajak manusia menuju Tuhan, memperjuangkan ad Deen berpaksikan iman dan kebenaran.. Namun, kerana dirinya si Hawa, banyak perkara perlu ditelitinya, bimbang fitrah yang baik bertukar fitnah yang aib.. lantas, Hawa sedikit kecewa..

Lalu di sinilah Dia memujuk.. bagaikan dikataNya, wahai hambaKu si Adam dan Hawa, kalian adalah dua pejuangKu yang sama hebat, di 2 medan jihad yang berbeza aturannya.. Adam, Aku berikan kekuatan luar biasa padamu, lalu Ku tempatkanmu di medan yang ini..Hawa, kau juga Aku kurniakan kehebatan tersendiri, dan gelanggang perangmu di sana.. hakikatnya, dua medan ini tidak berbeza wahai Adam dan Hawa, matlamatnya tetap sama, untuk kalian merebut keredhaanKu, namun aturannya berbeza, percaturannya tidak sama.. namun percayalah, ganjaran buat kalian tetap setaraf di sisiKu.. Bagaikan begitu indah Dia memujuk..

Lalu Adam dan Hawa, usah dipertikai siapa dirimu, jangan diperkecil usaha dan keupayaanmu, kerana Dia yang menciptakanmu adalah Dia yang Maha Tahu.. Berjuanglah di medanmu.. dengan caramu, mengikut aturanNya, mengikut jalan yang ditunjukNya.. Usah kamu bersaing sesama sendiri, kononnya ingin menjadi yang lebih gah, yang lebih hebat.. Adam tidak rela di perkecil Hawa, kononnya.. manakala Hawa pula tidak tegar menjadi yang di bawah selepas Adam, biar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, katanya..

Silap lah kalian wahai Adam, wahai Hawa.. Kalian sibuk mengukur siapa lebih kehadapan, hingga kalian lupa untuk apa kalian diciptakan.. Sayang sekali, persaingan yang berpaksikan iri hati dan dengki mendengki ini akhirnya telah 'membunuh' kalian.. perajurit yang seharusnya menjadi tentera Tuhan, telah akhirnya menjadi tunggangan syaitan..

Bacalah kalimah ini dengan rasa keinsafan, hayati bait-bait ini dengan penuh kesedaran, Dia tidak pernah membanding bezakan antara kalian... Sebaliknya kalian ada tempat yang sama di sisiNya sekiranya kalian benar-benar mengerti dan faham..Oleh itu wahai Adam dan Hawa..

Jadilah lelaki dan perempuan yang muslim
Jadilah lelaki dan perempuan yang mukmin
Jadilah lelaki dan perempuan taat
Jadilah lelaki dan perempuan yang benar
Jadilah lelaki dan perempuan yang sabar
Jadilah lelaki dan perempuan yang khusyu'
Jadilah lelaki dan perempuan yang bersedekah
Jadilah lelaki dan perempuan yang berpuasa
Jadilah lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatan
Jadilah lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah
Maka Allah menjanjikanmu ampunan dan pahala yang besar..

Wahai Adam, wahai Hawa.. jangan bersedih dan berduka lagi.. Allah mendatangkan kalimah ini untuk memujukmu.. bahawa selagimana engkau berjalan menuju Allah, Allah pasti akan berlari mendapatkanmu.. Tidak sesekali Dia sia-siakan amal kebaikanmu walau sebesar zarrah, kerana padaNya bukan rupa paras, fizikal mahupun harta yang menjadi bandingan, sebaliknya hatimu yang ikhlas, tulus mencintaiNya sepenuh jiwa, amalanmu yang istiqamah mengharapkan keredhaanNya.. itulah nilaianNya Dia terhadapmu..Berjuanglah kalian dengan keupayaan yang diberikan.. bersungguh lah kalian dengan amanah yang dipertanggungjawabkan.. usah risau, kerana ganjaran untukmu tetapkan sepadan tanpa sedikit pun ada kecacatan mahupun ketidakimbangan.. kerana Dia adalah Tuhan, yang Maha Adil dalam pemberian..

Wassalam..

Wednesday, November 4, 2009

PhD - Kecil Tapi Signifikan

Assalamualaikum...

Hujan lebat diluar, turun mencurah-curah.. malam kelam, sang rembulan berlindung di balik awan pekat, gelap.. Di bumi jelapang ini, lebih spesifiknya Lembah Sintok 2,3 minggu ni asyik menerima 'tangisan' dari langit.. kekadang lebat, kekadang rintik.. bumi Darul Naim juga, disirami 'air mata'.. musim tengkujuh makin menghampiri.. laut yang tenang jadi bergelora, angin sepoi-sepoi bahasa bertukar ganas di malam harinya..begitulah aturan, putaran alam.. tidak selalu tenang, tapi tidak juga terus menggila dan meronta ganas.. Allah yang mengaturkan segalanya..

Opps.. saya tak nak membawa mood naik turun aturan alam pada entri kali ini.. cukuplah dikatakan ketidakstabilan 'mood' alam ini juga seumpama cerminan 'mood' si penulis ni.. ya, 2,3 hari yang berlalu cukup melemaskan, cukup merimaskan, cukup merisaukan.. jiwa seakan pepohon dikocak ribut.. hati seakan burung yang terkurung dalam sangkar emas.. iskh, apa yang saya merepek ni, maaf bukan di entri ini untuk bercerita, walaubagaimanapun.. saya kelegaan, kerana yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya.. seperti semalam, saat awal petangnya hujan turun menggila, namun di hujung kaki langit, saat senja hampir berlabuh, terlukislah pelangi yang cukup, cukup indah pada mata yang memandang.. melihatnya saja, hati jadi girang.. begitulah umpamanya kehidupan ini, jangan risau seandainya kita dilanda badai di pertengahan kehidupan, kerana yakinlah di akhirnya nanti ada 'pelangi' kebahagiaan akan muncul, sekiranya kita bersabar dan redha dengan ketentuanNya..

Ok, dah lama saya tak membedah buku.. Saya nak kongsikan buku ni, dengan sesiapa saja yang singgah..sudi-sudikanlah ya.. Tajuknya seperti tajuk entri ni, PhD- kecil tapi signifikan, tulisan Muhd Kamil Ibrahim (penulis Travelog Haji dan Travelog Dakwah).. pada dasarnya buku ini sesuai untuk yang bakal mengambil PhD, namun saya rasa apa salahnya dikongsikan dengan semua.. tulisannya santai dan lebih kepada penceritaan..

Saya dedikasikan khusus untuk rakan-rakan sePhD (Mr. Shahrin, Kak Ris, Kak Mel dan semua officemate) , rakan-rakan DBA (En. Shukor, En.Ghozali, Kak Ros dan semua 'student' Forecasting saya), rakan-rakan Master, terutamanya research mode, dan semua yang sudi membaca! Mana tahu anda juga akan bersemangat untuk teruskan pengajian sampai ke peringkat PhD.. Saya akan ambil beberapa point saja yang berupa kata-kata dari tokoh-tokoh yang telah pun berjaya meletakkan 'Dr.' di depan nama mereka, untuk kita sama-sama hadamkan.. selamat membaca..

Saya fikir disiplin dan fokus dengan kerja-kerja PhD banyak membantu. Dia atas segala-galanyanya keupayaan untuk melakukan pelbagai kerja serentak berdasarkan perancangan dan strategi sendiri telah membolehkan penyelidikan saya mendahului jadual. Penyelia? Ok, tapi segala-galanya bergantung pada kita sendiri. (Dr Suzana Sulaiman)

mmm.. kata kuncinya, DISIPLIN, FOKUS dan PERANCANGAN.. tapi peranan penyelia juga penting!!

PhD tidak memberi ruang untuk saya berdukacita. Malah jika ada hari yang muncul tanda-tanda kesedihan, saya tolak perasaan tersebut untuk keesokan harinya. (Dr Zuriah Abdul Rahman- kematian anaknya di saat hampir memulakan pengajian, hampir berputus asa, namun akhirnya berjaya)

Kena pandai kawal emosi.. mm susah ni, saya pun telah hampir tertewas walaupun baru di 6 bulan pertama..Ya Allah, berikan kami kekuatan..

Jika orang mengatakan tekanan hanya wujud pada mereka yang sedang belajar, mereka silap kerana pasangan yang 'prihatin' menanggung tempias tekanan tersebut (Suami Dr Zafaran Hassan)

Kalau la saya 'ternikah' dalam PhD ni, semoga Allah kurniakan saya pasangan yang benar-benar prihatin..

PhD- jika sukar sekalipun, bukanlah sesuatu perkara yang mustahil untuk diperoleh dan tidak boleh dijadikan punca kepada kegagalan (Dr Muhd Kamil Ibrahim)

Ya, yang sukar tak semestinya tidak boleh dicapai..

Perkara yang sukar jika dilakukan secara berulang-ulang, berhati-hati atau dengan disiplin yang tinggi, maka setiap orang boleh mencapai kejayaan (Tun Dr Mahathir Mohamad)

Lagi sekali, buat berulang-ulang, berhati-hati dengan disiplin yang tinggi!!

Proses mendapatkan PhD merupakan suatu kisah kehidupan. Ia mengakibatkan pelbagai perubahan samada fizikal atau emosi. (Penulis buku)

Harapnya selesai PhD, rambut hitam tak jadi putih, rambut lebat tak jadi jarang.. Kena kawal emosi lagi..

Selagi saya tidak berpuas hati, saya meneruskan pencarian dengan meletakkan halangan 'masa' sebagai garis penamat (Penulis buku)

Jadi, jangan merungut dengan due date atau dateline, jadikan ia tekanan yang membantu, bukan tekanan yang 'membunuh'!

Menulislah satu muka surat sehari (Penulis)

Jangan terlampau ghairah fotostat artikel. Tak perlu membuat koleksi artikel sampai menimbu hingga sukar untuk dibaca. Idea hanya akan timbul dengan membacanya dan bukannya bergantung dengan jumlah artikel yang disimpan. (Penulis)

Perkara paling asas yang perlu difikirkan ialah soal hati. Kita mesti berhati tulus. Tuhan akan menolong orang yang suka menolong orang lain (Penulis)

Ketiga-tiga tips di atas sangatlah betulnya, terutama bab koleksi artikel yang membukit tu!

Tempoh pengajian PhD menjadikan kita bermain dengan perasaan, perasaan berombak-ombak, berkeinginan dan ketakutan yang silih berganti tanpa mengira waktu. Pernah saya mahu pulang ke rumah tetapi memandu terus ke sekolah anak (Penulis)

Saya pun pernah sedikit mengalami kocakan perasaan ni, elok-elok susun point untuk dibincangkan dengan supervisor (SV), alih-alih sampai saja di depan pintu biliknya, saya termanggu, tertanya-tanya, apa yang saya nak bincangkan dengan SV? Saya lupa dan tercari-cari kotak rakaman minda saya! Nasib baik, saya 'tak apa-apa' dan ingatan saya pulih beberapa minit kemudian..

Perasaan beria-ia untuk memulakan pengajian di peringkat PhD sambil diiringi sedikit ketakutan, cemas, risau dan ketidaktentuan adalah lumrah. Ia adalah sebahagian daripada warna-warna menarik yang pasti dilalui oleh hampir semua orang. Jadi, jika anda berperasaan begitu, secara diam-diam angguklah kepala dan tersenyumlah sambil berkata, 'betullah, jadi ia tidak perlu dirisaukan' (Penulis)

He..he.. saya pun akhirnya mampu tersenyum..

mm setakat ni lah dulu ya, semoga bermanfaat dan menjadi penawar buat pejuang-pejuang di luar sana.. selamat 'berperang' dan didoakan semoga kita beroleh kemenangan dalam medan perjuangan ini. InsyaAllah

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim.. engkaulah penentu kejayaan kami, engkaulah yang maha memudahkan urusan kami, maka takdirkanlah yang terbaik untuk kami, redhailah perjuangan kami dan berilah kekuatan kepada kami dalam menempuhi hidup ini.. sesungguhnya, solat kami, ibadah kami, hidup kami dan mati kami hanyalah keranaMu dan untukMu selama-lamaya..

p/s: lepas baca, jangan lupa doakan saya ya.. doakan kita bersama..

Wassalam

Tuesday, October 27, 2009

Damailah ayah di sana...

Assalamualaikum...

Hari yang cerah dan mendamaikan pagi ni disentak dengan berita sedih dan mengejutkan.. mentari petang seolah turut memahami kepiluan seorang anak.. suram, mendung dan muram..

Usai AGM tadi, hati mulanya seronok, majlis berjalan lancar, dengan kehadiran 'ayahanda' dan 'bonda' yang turut sama memberi sokongan dan kata-kata semangat buat anak-anak pimpinan baru 2009/2010.. semoga mereka semua (dan saya juga) dipilih Allah untuk meneruskan perjuangan dakwah dan menjadi rantai-rantai penyambung perjuangan ini..

Sebagai reward pada diri sendiri dan adik-adik, saya belanja mereka makan nasi ayam.. seronok berbual dan berceloteh.. sehinggalah berita sedih itu singgah di inbox handset saya..

Dia : Salam, kak ayu.. ayah huda dah meninggal dunia, pukul 1.30 tadi.. huda dalam perjalanan balik ke Johor, tak sempat pun nak jumpa arwah..harap akak tolong sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah ya..

Saya terpaku membaca mesej yang diterima... terus saya menaip balasan..

Saya : Salam huda.. takziah dari akak.banyak-banyak sabar dan tabahkan hati ya

Dia : Terima kasih kak ayu, insyaAllah huda cuba tabahkan hati

Saya beristighfar, bertasbih, bertahmid, bertakbir menyebut namaNya.. dan terus hadiahkan Al-Fatihah buat ayahnya..

Ingat lagi tak entri saya sebelum ni, tentang kisah seorang anak yang begitu bersemangat untuk menghadiahkan kejayaaan kepada ayahnya yang menghidap kanser... dialah anak itu.. beberapa hari lepas saya mendengar dia bercerita tentang azamnya, iltizamnya untuk ayahnya yang tersayang.. dan hari ini, saya dengar lagi khabar darinya, tapi kali ini khabar duka pemergian insan yang teramat dikasihinya..

Mungkin dan saya pasti dia agak terkilan kerana belum sempat menghadiahkan kejayaan yang diimpikan ayahnya.. namun saya amat berharap anak kental ini akan meneruskan usahanya, cita-citanya walaupun tanpa kehadiran ayah di sisi.. saya berharap dia terus tabah.. saya berharap dia terus tekun dan gigih untuk mengejar cita-citanya..

Walaupun si ayah belum sempat melihat si anak berjaya, namun yang pasti perginya si ayah telah meninggalkan semangat juang yang tegar buat anaknya..semoga semangatnya sekental semangat si ayah yang berjuang melawan penyakitnya.. Semoga semangat yang ditinggalkan di dalam diri anak ini akan terus menemani dan mendorongnya untuk terus berjuang di medannya sendiri..

Alangkah mulia dirimu ayah, walau kau tahu tiada apa yang mampu kau titipkan buat anakanda tercinta, namun dalam kepayahanmu, dalam kesakitan yang terpaksa kau tanggung, masih kau sempat mengiringi langkah anakmu dengan doa, masih kau sempat meninggalkan pesan yang akhirnya menjadi tiupan semangat yang kencang, berlari, menderu dan bersatu dalam jasad dan jiwa si anak.. semoga dirimu aman di sana, dan semoga anakmu terus berusaha, menunaikan amanat si ayah, yang telah jauh meninggalkan dunia... Damailah.. damai ayah di sana..

Sungguh, kematian itu adalah pasti, janji Allah adalah pasti, azab kubur adalah pasti, hari akhirat adalah pasti, syurga adalah pasti dan neraka juga adalah pasti.. namun, pastikah kita ini akan termasuk dalam golongan yang matinya dalam husnul khatimah? pastikah kita ini akan mendapat janji-janji dan berita gembira dari Allah? Pastikah kita ini akan mendapat keringanan dari azab kubur? Pastikah kitaini akan mendapat perlindungan di hari akhirat? Pastikah kita ini akan dapat memijakkan kaki ke syurga Allah dan apakah kita pasti akan dijauhkan dari azab api neraka???

Semoga episod kematian yang berlegar-legar di sekeliling kita akan membawa kita mengingati akan hari kematian dan seterusnya mendekatkan diri kita kepada Allah, insyaAllah...
p/s: mohon hadiahkan Al-Fatihah buat arwah, semoga ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman..

Wassalam

Saturday, October 24, 2009

guru..cikgu..ustaz..muallimah..pensyarah..

Assalamualaikum...

Jari jemari masih mampu bertarian melangkah kemas di papan kekunci, sepasang mata masih mampu melirik jelas ke muka skrin, telinga 2 berpasangan masih mampu mendengar deruan angin malam, seulas bibir masih mampu menguntum senyuman penyeri kehidupan, kedua belah kaki masih mampu berpijak di bumi Tuhan.. maka apakah patah kata selayak Alhamdulillah.. pujian kesyukuran kepada Allah atas segala nikmatnya buat diri ini... Hati dan bibir juga bersatu menghimpun butir-butir keampunan kepada Ilahi, atas kelalaian diri terhadap tuntutan kepada yang Maha Pemberi.. Semoga Allah mengampunkan kekhilafan diri ini..

Babak demi babak dalam 'drama' kehidupan saya terus bersambung.. dan saya masih menjadi salah seorang 'watak' nya.. mungkin watak yang utama, mungkin sekadar tambahan saja.. saya ingin mengajak anda bersama saya dalam episod ni, anda sudi??

Kisahnya begini...Pagi tadi.. Hari ini..

Dok khusyu' (ye ke khusyu'?) menelaah buku tentang Resource-based Theory, telefon saya tiba-tiba berlagu riang.. saya tengok skrin, nombor tak dikenali.. lalu saya tekan butang hijau..

Saya : Assalamualaikum..

Dia : Waalaikumussalam.. Ayu, kak Farid ni.. Ayu ada kerja ke hari ni?

Saya : Oh, kak farid.. saya tak ada apa-apa plan hari ni.. ada apa kak..

Dia : Akak nak pergi Sungai Petani, ada program ABJZ (Anda Bijak Jauhi Zina) Ayu nak ikut tak?

Saya : (Rezeki ni, Allah nak ajar saya 'subjek' baru..) Nak.. nak.. nak ikut kak farid..

Dia : Ok, pukul 12 akak datang ambil ya

Saya : (mengerling ke jam.. dah pukul 11.30..) Ok..ok.. nanti saya siap, pukul 12 kita jumpa ya InsyaAllah

Dia : Ok, akak nak jemput cikgu kat sekolah akak dulu..

Mmm... itulah permulaan kisah ini.. Watak-wataknya, 3 orang pendidik.. (mm...saya pun pendidik jugak, tapi pendidik yang masih 'goyang kaki' setakat ni) Duanya ustazah, seorangnya madam (cikgu English) dan saya (mm...'cikgu' Operation Management yang terima gaji 'free' dengan hanya pergi punch card je hari-hari...he..he.) opss lupa, 'unta tunggangan' kami.. si anggun menawan Grand Livina yang putih melepak, masih 'dara sunti'.. baru 7 bulan menyusur ayu di jalanan..

Perjalanan dari bumi Sintok ke Sungai Petani ini benar-benar menginsafkan saya, kesyukuran yang tidak terhitung saya panjatkan dari awal melangkah ke 'perut' Livina, saat perjalanan bermula hinggalah saat ini, saat abjad demi abjad, huruf demi huruf dirangkum menjadi patah-patah perkataan di skrin ini..Sungguh saya lah seego-ego insan, seingkar-ingkar manusia, sekiranya setiap detik, setiap saat perjalanan hidup ini tidak menjadikan saya hambaNya yang bersyukur.. Moga dijauhkan Allah dari bersifat sedemikian..

Perjalanan saya kali ini ditemani dengan pelbagai hikmah dan pengajaran.. saya kalah dalam berkata-kata, maklumlah.. semuanya cikgu.. dok biasa bercakap setiap hari di sekolah.. pelbagai isu tentang pelajar mereka bincangkan, sesekali saja saya menyampuk.. selebihnya saya mendengar...rintihan dan keluhan bertali arus.. bukan mengeluh kerana mereka jemu mendidik anak bangsa, bukan merintih kerana mereka kecewa mengajar pewaris negara.. tapi mereka sebetulnya risau, bimbang dan tak keruan memikirkan sikap para pelajar, yang semakin hari semakin hilang jati diri, hilang kecintaan terhadap ilmu, malah semakin 'parah' terkena 'virus-virus' perosak akhlak.. nilai, adab dan moral seorang pelajar terhadap guru semakin terhakis..

Dalam saya mendiamkan diri, saya cuba memahami, dan akhirnya baru saya mengerti, susahnya tugas sebagai pendidik ni... bila terlalu garang, pelajar kata guru tidak punya hati.. bila terlalu lembut, kepala guru pula dipijak-pijak, didaki-daki.. padahal guru bertegas kerana nak membentuk peribadi, guru berlembut kerana ingin memujuk dan menunjuk kepada yang keras hati.. ada pelajar yang sibuk complaint tentang cikgu... cikgu macam ni, cikgu macam tu, cikgu patut buat macam ni, cikgu tak patut buat macam tu.. kecil hati si guru, anak didiknya merendahkannya di hadapan umum, tapi demi kasihnya pada anak bangsa ini, dia gagahkan diri menguntum senyum semanis madu, walaupun hakikatnya dia umpama menelan pahitnya hempedu..

Aduhai anak murid kesayangan guru, mana adabmu kepada si pemberi ilmu? Bukankah engkau laksana 'penjejak' permata ilmu.. sedang mereka umpama 'gedung' simpanannya? Wajarkah engkau 'bakar' gedung itu, sedangkan apa yang engkau cari ada didalamnya? Jadi bagaimana mungkin akan kau temui permata itu, sekiranya tempat simpanannya sudah kau musnahkan.. Ya mungkin akan kau temui saki-bakinya disebalik runtuhan itu, tapi tidak lah ia sebanyak yang sebenarnya ada di dalam 'gudang' yang kau bakari itu..

Bila peperiksaan hampir tiba, guru-gurulah sibuk mengumpul kertas peperiksaan tahun sebelumnya, pelajar hanya menerima.. setelah itu, guru jugalah menganalisis soalan-soalan lalu, pelajar hanya menunggu.. peperiksaan tinggal beberapa waktu, guru ditanya bab mana yang perlu ditumpu, bila guru kata tak tahu, baca semua yang perlu, guru dikata tak nak membantu.. bila guru bagi soalan jangkaan, mula-mula pelajar bersorak kesukaan, tapi bila soalan yang diramal tidak menepati sasaran, guru jugak yang menjadi cemuhan.. kesian guru, asyik-asyik jadi mangsa keadaan..

Tengoklah, lihatlah betapa kasihnya guru, walaupun diluar kawasan sekolah, walaupun setelah tamat waktu pembelajaran, isu tentang pelajar masih jadi bualan, masalah-masalah pelajar terus dalam fikiran.. siapa kata guru tak sayang anak didiknya?? Marah guru bukan benci, marah guru kerana menasihati.. Garang guru bukan menyakiti, garang guru kerana menyayangi.. Saya termenung panjang, begini rupanya cabaran si pendidik.. bukan calang-calang yang mampu bertahan dan bersabar.. Allah kurniakan guru dengan ketahanan, kekentalan mental dan emosi yang tinggi..

Jangan lah kita sekalipun pernah untuk bersangka buruk pada para guru, mereka tidak pernah meminta imbalan yang tinggi untuk usaha mereka.. sekalipun mereka dibayar untuk mendidik, tetapi 'roh' pendidik mereka tidak pernah membenarkan mereka meletakkan bayaran untuk tugas murni ini.. hakikatnya, bayaran bulanan yang mereka perolehi saban tahun tidak sesekali mampu menandingi pengorbanan mereka mendidik anak bangsa.. sebagaimana ibu bapa menginginkan si anak berjaya dalam hidup, begitulah juga para pendidik ini.. terharu saya bila mereka saling bertanya, kita guru kah yang bersalah, bila anak-anak remaja terjebak dengan keruntuhan akhlak dan moral? Didikan kita kah yang tidak berkesan hingga anak-anak ini kecundang dalam hidup mereka? Wahai anak didik kesayangan guru, pernah anda selami hati dan perasaan guru-guru ini? Pernah anda lihat betapa mereka bersusah payah untuk anda? Pernah anda cuba untuk hargai pengorbanan mereka mendidik anda?

Kesyukuran saya tidak terhingga, tidak pernah sekali dalam hidup saya, mendengar rintihan dan luahan tulus seorang guru.. sepanjang 23 tahun ini, tidak pernah.. hinggalah hari ini, peluangnya tiba, setelah saya sendiri hampir menamatkan status sebagai pelajar.. semua ini buat saya kembali merenung dan berfikir, sehebat manapun seorang insan itu, pada episod kehidupannya pernah ada catatan jasa seorang guru.. samada guru secara formalnya atau yang mendidiknya secara tidak langsung.. pasti ada seorang guru disebalik kisah kejayaan seseorang itu..

Buat semua yang telah, sedang dan akan bergelar anak didik kepada mana-mana guru, hormatilah gurumu, kasihi mereka sepertimana engkau mengasihi ayah bondamu.. nescaya engkau akan dapati keberkatan dalam ilmu.. jangan sesekali mencemuh guru, walau pada pandanganmu dia begini atau begitu.. bukankah guru juga insan sepertimu? Punyai kelemahan dan kekurangan yang perlu diaku...

Kenanglah selalu jasa guru-guru ini.. tidak sukar sebenarnya, doakan saja mereka seusai solat kita.. Sungguh, saya terpaku pada kenikmatan yang Allah beri pada saya di perjalanan 2 jam ini.. Nikmat memahami guru..biar apa pun gelaran kita pada mereka.. guru, cikgu, sir, madam, miss, ustaz, ustazah, pensyarah, muallim, muallimah... atau apa-apa saja... mereka adalah sama, merekalah insan yang bukan sedikit mempengaruhi dan menyumbang dalam episod kehidupan kita.. oleh itu, mari kita bertekad hari ini, untuk setiap hari menghadiahkan mereka dengan seuntai doa, semoga Allah sentiasa merahmati dan meredhai guru-guru kita, di mana saja mereka berada.. Terima kasih duhai guruku..

p/s: ni baru 'subjek baru' dalam si jelita Livina.. belum lagi di tempat program ABJZ.. Sungguh Allah tidak mentakdirkan sesuatu dengan sia-sia..

Semoga bermanfaat untuk sesiapa saja yang 'singgah' di sini..

Wassalam..

Thursday, October 22, 2009

...ayah saya sakit KANSER..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, mentari hari ini bersinar lagi, tanda bermulanya hari baru selepas hari semalam.. menandakan juga Allah masih memberi peluang kepada kita semua untuk memperbaiki diri, memantapkan iman.. semoga saki baki hidup ini dimanfaatkan sepenuhnya insyaAllah...

Saya nak kongsi satu kisah... mm kisah lagi, mungkin ada yang dah muak dengan cerita-cerita saya?? Tapi saya rasa sebaliknya, setiap hari bila Allah memunculkan kisah-kisah yang baru dalam episod hidup saya, saya rasa amat-amat bersyukur, datang lagi pelajaranMu buatku ya Allah.. dan bila episod ini berlangsung, saya tercari-cari hikmahnya.. macam penyiasat lebih kurang, menyelidik, mengkaji, mencari bukti dan jejak.. apa yang Allah cuba sampaikan pada saya..kenapa saya? kenapa tidak kepada orang lain? dan hasilnya biasa tidak mengecewakan.. syukur padaMu yaAllah.. Saya rasa kehidupan saya sangat bermakna dengan warna-warni, suka duka, peristiwa yang berlaku dalam hidup saya, kadang-kadang saya jadi 'pelakon pembantu' saja, kadang-kadang saya jadi 'saksi kejadian' dan tak terkecuali, saya juga jadi 'watak utamanya'.. saya percaya semuanya bermanfaat untuk saya.. apa kata anda juga turut memegang watak dalam kisah ni.. mungkin watak 'pemerhati bebas' ? mana tahu kisah ini juga bermanfaat untuk anda.. insyaAllah.. itulah tujuannya saya catatkannya di sini.. kita kongsi manfaatnya yea..

Ouh ya, sebelum bermula.. nak bagitau awal-awal, kisah ni ringkas saja, tapi skripnya agak panjang... nampaknya hanya yang betul-betul nak jadi 'pelakon tambahan' dalam cerita ni saja akan berjaya menyudahkan bacaan..

Baru-baru ni, ketika saya dok membelek artikel-artikel untuk persediaan perbincangan dengan supervisor (SV), satu mesej masuk ke inbox handset saya.. diikuti mesej-mesej balasan yang berselang ganti antara saya dengan dia..

Dia : Salam, kak...nak tanye

Saya : ya dik, ada ape

Dia : saya nak mintak nasihat dan tips belajar dari akak..saya study ikut cara saya dari sem 1 dulu, tapi saya rasa ada silap kot coz selalu tak boleh lepas pointer 3.5... saya nak ubah cara saya tu dan kalau boleh biarlah sem last ni saya dapat apa yang saya inginkan dari dulu, saya nak improve dan lepaskan diri saya dari barrier yang menghalang saya untuk berjaya, saya nak gembirakan ayah saya yang tengah sakit sekarang dan nak hadiahkan kejayaan kat dia.. do you mind sharing your way of study with me? saya tak kisah pun kalau cara akak susah. saya betul-betul nak berjaya! akak nasihatkan saya boleh?

Saya : is this your last sem, dear?

Dia : yes, it is.. i really hope i can do something for him.. ayah saya sakit kanser for years, dah terlalu kurus sekarang, akak pun lagi besar dari dia..dia selalu cakap nak tengok saya berjaya. i really hope this year i can make it! saya nak berubah

Saya : agak susah nak explain melalui sms ni, can you give me your email? nanti akak reply yea..

Begitulah permulaan ceritanya.. lalu saya terus menaip balasan ke emailnya...


Assalamualaikum, huda..

sorry lambat reply..

first of all, akak sangat bangga dengan huda, punya semangat tinggi untuk hadiahkan kejayaan kepada ayah tersayang.. akak rasa huda dah penuhi syarat pertama untuk berjaya. KEINGINAN.. huda ada keinginan, malah keinginan yang tinggi dan bersungguh-sungguh untuk berjaya..akak pun dulu macam tu, dari sebuah KEINGINAN, lahir usaha yang bersungguh-sungguh, alhamdulillah dengan izin Allah, impian akhirnya tercapai..

akak juga terharu, huda sanggup buat apa saja, walaupun susah, demi seorang ayah.. akak pun tak pasti, kalau akak ditempat huda, apakah akak akan sekuat huda.. tapi akak yakin, huda kuat dan huda mampu berjaya, sebab tu Allah takdirkan huda untuk berada disini sekarang, merasai kesusahan sebegini..

macam akak kata tadi, huda dah pass syarat pertama, iaitu ada keinginan yang kuat utk berusaha dan berjaya.. tinggal sekarang, macam mana nak jadikan kekuatan keinginan tu untuk menggerakkan usaha, dalam masa yg amat-amat terhad ni (hanya tinggal seminggu sebelum final examnya bermula).

ok, akak sendiri sebenarnya tak ada tips yang tetap, atau diyakini akan berhasil, akak cuma mampu kongsi, dari pengalaman sendiri mahupun org lain di sekeliling.. akak bahagikan tips kepada dua, tips spiritual (kerohanian) dan tips belajar

untuk tips kerohanian, pertama sekali huda kena yakin dengan sepenuh hati bahawa, kejayaan itu milik Allah, Dia yang menentukan penerimanya, kepada siapa Dia ingin anugerahkan.. semua bergantung kepadaNya, dan pastinya Dia maha adil, maha pengasih, maha penyayang kpd hambaNya.. Jadi, untuk dapatkan kejayaan ni, mintalah dari pemiliknya, empunyanya, Allah swt..

- bermula sekarang, banyakkan doa kepada Allah, tidak hanya selepas solat, tapi bila-bila saja, terutamanya bila nak mula study, bercakap dengan Allah, bagitau Allah, Huda nak berjaya kerana huda sayangkan ayah, nak hadiahkan kejayaaan ni pada ayah.. huda tak tahu setakat mana dapat berbakti selama hayat ayah, sebab tu huda nak gembirakan ayah, dengan kejayaan ni.. bagitau Allah semuanya.. walaupun Allah pada dasarnya tahu apa yang huda nak, apa ada dalam hati huda, tapi Allah nak hambanya merintih dan meminta kpdNya.. luahkan apa yang huda nak pd Dia, dalam doa..

- Lazimkan solat hajat sekurang-kurangya sekali dalam sehari, kalau lebih lagi baik.. tanda huda benar-benar mengharapkan pertolongan Allah, huda betul-betul bergantung kepada Allah, bukan pensyarah atau rakan-rakan.. dalam setiap solat, doa lagi.. doa dalam sujud terakhir, minta dengan Dia, doalah dengan bahasa huda sendiri, Allah faham dan mengerti..

- Jangan tinggal baca al-quran setiap hari, sebab al-quran boleh bersihkan hati, mudahkan ilmu masuk..

- cuba pujuk diri, bangun solat malam, paling kurang sekali sminggu, ni saat yang baik untuk meminta, pada waktu ni hanya kita dengan Allah saja, mintalah, mengadu lah apa saja kepada Dia

- Puasa isnin khamis juga baik untuk sistem dalaman, organ kita.. cubalah lazimkan..

untuk tips belajar, akak rasa tak susah sangat, cuma perlukan kerajinan dan ketekunan, insyaAllah.. selalu genggam harapan ayah, ingat Allah sentiasa ada untuk bantu, insyaAllah semua barrier akan roboh dengan sendirinya..

- untuk subjek yang perlukan pembacaan dan hafalan, akak cadangkan buat peta minda.. akak suka buat, satu bab, satu helai.. sebab akak tak boleh baca kalau nota panjang, jadi demotivated sebab rasa macam terlalu banyak nak cover, dan takut tak sempat.. so ambil point-point penting dalam nota, keluarkan atas sehelai kertas, untuk satu bab.. susun baik-baik topik-topik nya, gunakan highlighter pen untuk bezakan tajuk besar dan sub topic.. bawa nota ni kemana-mana saja.. faham, hafal dan cuba bayangkan apa yang ada atas kertas, lama-lama nanti insyaAllah, bila keluar exam, kita bukan saja tau apa nak tulis, malah kita dapat bayangkan, kat mana jawapan tu berada dalam nota ringkas kita..

- untuk subjek kiraan, tak dapat lari, kena buat banyak latihan.. tapi pertamanya kena faham konsep dia dulu, sebab maths tak boleh dihafal! kena faham dulu.. banyakkan buat previous questions dari paper sem2 lepas..

- mana-mana subjek yg masih blur, unclear, kena tanya kawan yg betul-betul faham, lebih baik, tanya lecturer terus, jangan bertangguh, jangan biarkan perkara yang tak difahami tu begitu saja, dengan anggapan takkan masuk exam.. sebab nanti takut menyesal bila keluar dalam paper.. make sure pergi exam dengan tenang, sebab dah faham semua konsep yang belajar, especially maths!

- jangan abaikan tips yang lecturer bagi, tapi jangan terlalu bergantung, sebab kadang-kadang tak semua tips tu tepat.. baca semua bab dulu, baru tekankan pada tips.. jangan terlalu yakin dengan tips!

akak rasa kdua-dua tips ni tak susah sangat nak buat, cuma kena ada kesungguhan, dan akak percaya huda ada nilai ni dalam diri sekarang.. masa huda amat terhad, tapi tak bermakna huda tak mampu buat.. semuanya balik pada diri huda sendiri..keinginan dan semangat huda untuk berjaya... kita berusaha, Allah yang tentukan.. dan insyaAllah Allah akan takdirkan yang terbaik untuk huda..

macam akak kata, apa yang akak bagi ni tak menjamin kejayaan, walaupun huda dah buat semua, tak semestinya ia suatu kepastian untuk dapat 3.5 above, apa yg huda dapat di akhir sem ni, itu yang terbaik untuk huda.. yakin dan percayalah, sebab Allah tahu apa yang terbaik untuk huda, andai huda dapat nanti bersyukurlah, tapi kalau tak dapat, yakinlah Allah ada perancangan lain untuk huda.. yang penting, ikhlaskan hati, usaha dan doalah kepada Allah, bermula sekarang sehingga selepas dapat keputusannya nanti..

akak tak dapat bantu huda, hanya huda dapat bantu diri diri sendiri, dengan izin Allah.. apapun, akak sentiasa doakan huda, semoga huda dapat mencapai apa yang huda idamkan.. dan semoga ia hadiah yg terbaik untuk ayah huda, namun akak yakin huda sendiri adalah hadiah yg teristimewa dari Allah untuk ayah, ayah huda bertuah Allah kurniakan anak yang sangat baik kepadanya..

akak ucapkan selamat berjaya untuk huda, doa akak selalu bersama huda, semoga Allah sentiasa membantu huda dan meredhai setiap langkah dalam kehidupan huda.. kalau ada apa-apa, akak sdia mendengar dan bantu apa yang mampu..

wassalam

salam sayang
kak ayu

Itu isi email saya kepadanya, saya terharu sebenarnya, bagaimana Allah tunjukkan pada saya, semangat dan jihad seorang anak untuk memberi kebahagiaan kepada si ayah yang sedang sakit, yang tiada harapan (menurut doktor) untuk pulih.. sangat kental hati anak ini.. kepada kita semua, adakah kita ingin tunggu ayah atau ibu kita dijemput ilahi, baru kita nak berbakti kepada mereka? Sekaranglah masanya... huda, adik saya ni sedang berjuang untuk ayahnya, berusaha keras demi menunaikan hasrat si ayah...

Kita bagaimana? seringkali kita meremehkan usaha untuk belajar, kita tidak sedar, bahawa salah satu kebahagiaan ayah bonda itu adalah melihat usaha gigih mereka, mengerah keringat membanting tulang, akhirnya berbaloi dengan kejayaan si anak dalam hidupnya, salah satunya adalah menggenggam segulung ijazah di hari konvokesyen, seterusnya mendapat pekerjaan yang baik dan meneruskan kehidupan dengan aman bahagia.. tapi sebagai anak, jangan sesekali kita lupakan mereka, tatkala ijazah dalam genggaman, rumah besar di depan mata, kereta mewah menjalar di jalan.. ada anak-anak yang tanpa belas kasihan menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan, ada yang lebih kejam, membiarkan si ayah, si ibu merempat dijalanan tanpa pembelaan..

Jangan begitu, wahai anak.. kenanglah segala jerih perih, susah payah ibu dan ayah membesarkan mu.. jangan kau balasi mereka dengan tuba, setelah susu mereka sua kan padamu.. sementara mereka masih di sini, bersama kita.. berazamlah untuk membahagiakan mereka, jasa mereka tidak mampu kita balas, hanya yang terdaya adalah membahagiakan mereka, buat mereka senyum sehingga ke akhir nafas mereka.. seandainya mereka telah pergi mendahului kita, doa dan teruslah berdoa untuk kesejahteraan mereka di sana..

Bagi yang masih belajar, kalaupun tidak ingin fikiran tentang dirimu, kenanglah jasa ayah ibumu, hadiahkan kejayaan ini buat mereka.. jangan nanti akhirnya kita menyesal di saat mereka dijemput tuhan, lantaran kekecewaan yang kita lambakkan kepada mereka.. tiada guna lagi penyesalan di saat itu..

Semoga kisah ini ada kesannya di hati kita.. demimu ayah bonda, ku pancang tekad, ku tanam azam, ku semat cita-cita, kuteguhkan pendirian...untukku sedaya upaya membahagiakanmu.. biarlah aku juga menangis tatkala airmata mu menitis, dan inginku lihat kau tersenyum bahagia di saat aku ketawa gembira..

Wassalam