Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, February 1, 2012

Selamat Kembali Kepada Islam.




Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dua minggu ini benar-benar minggu yang sibuk. Minggu yang menguji  dan mengejutkan, terutamanya dengan pemergian Wan kembali ke sisi penciptaNya. Nantikan pula giliran kita! Dalam sela kesempatan masa yang ada, kami (saya dan suami) berkira-kira dan menyusun perkara yang perlu dilakukan, supaya walaupun dalam keterbatasan waktu, kami tidak terlepas pandang perkara-perkara penting yang perlu diselesaikan.

Rabu malam, hari ke-2 pemergian Wan. Abang dapat cuti, saya pun ambil cuti, saja nak temankan Tok dan Mak (yang juga dapat cuti). Hari ini agak lapang, majlis tahlil hanya akan diadakan pada malamnya. Fikiran saya mencongak sesuatu. Ada 'hutang' yang saya rasakan perlu dilunaskan segera.

"Abang, boleh tak kita pergi daftarkan Karlen (bukan nama sebenar) esok?"

Suami tanpa banyak soal, "Boleh, insyaAllah" (Asal nak kata insyaAllah je, mesti nyanyi versi Maher Zain, he he)

Terus saya sms Karlen, masa tu dah pukul 2.00 pagi sebenarnya!

Opps..! Siapa Karlen ni, dan pendaftaran apa yang saya maksudkan di atas? Rasanya dah boleh agak melalui tajuk di atas.

Jap, kita berkenalan dengan Karlen ni dulu. Saya kenal insan istimewa ni beberapa bulan lalu tak ingat bulan berapa, hu hu. Adik 'bulatan gumbira' saya perkenalkan, katanya dia nak bawa kawan dia yang berminat dengan Islam, datang jumpa saya. Adik saya ni pun baru saja kembali kepada Islam. Saya jemput dia datang waktu perjumpaan bulatan gumbira kami. Setelah berjumpa dan bersembang, saya dapati Karlen ni memang ada minat yang mendalam untuk belajar tentang Islam. Dia banyak bertanya kepada rakan sebiliknya tentang Islam, baca buku-buku tentang Islam, bahkan waktu itu dia telah sepenuhnya tidak yakin kepada konsep trinity (Karlen asalnya beragama Kristian) malah mengakui keesaan Allah, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan.

"Kalau keyakinan kepada Islam itu markah penuhnya 100%, berapa tahap keyakinan Karlen sekarang?", sengaja saya menduganya.

"90%", katanya.

Wah, saya kagum! Apapun sebelum berakhirnya pertemuan kami saya nasihatkan dia, supaya tidak melihat Islam melalui penganutnya, kerana berkemungkinan dia akan kecewa, tapi lihatlah Islam melalui apa yang diajarNya. InsyaAllah, dia akan temui keindahan dan kebenarannya. Saya juga sarankan dia supaya teruskan menambah keyakinan terhadap Islam melalui pembacaan dan perbincangan. Jangan kita Islam kerana ikut-ikutan mahupun sebab keturunan (alang-alang, saya beri tazkirah sekali untuk diri sendiri dan adik-adik bulatan gumbira), sebaliknya Islamlah kita kerana kefahaman, dan kefahaman hanya akan wujud melalui ilmu pengetahuan. Islam ikut-ikutan tidak gagah, mudah goyah, macam lalang yang ditiup angin, sekali ke kiri, sekali ke kanan!

Setelah perjumpaan pertama, kami saling berhubung. Sampai satu ketika, saat kembalinya seorang hamba kepada fitrahnya. Pada hari tersebut, Ustaz Kamarudin, Presiden IPSI datang ke tempat kami untuk berkongsi pengalamannya menerima hidayah, kembali kepada Islam. Kami memang selalu ikuti perkembangan ustaz ini, dan pernah mengikuti ceramah dan bengkel dakwah masyarakat majmuk yang disampaikan oleh beliau. 

Hari bersejarah tersebut, Allah izinkan kami untuk melapangkan masa bagi menghadiri ceramah ustaz. Saya ajak Karlen turut serta. Alhamdulillah dia datang. Sebelum program bermula, saya dan suami berjumpa dengan ustaz, memaklumkan kepada beliau tentang kehadiran insan istimewa ini di dalam majlisnya. Alhamdulillah, ustaz sanggup menambah isi perbincangannya untuk disesuaikan dengan tetamunya pada malam tersebut.

Dengan izin Allah, tanpa perancangan manusia, terutamanya saya dan suami, kerana kami tidak berniat dan merancang supaya dia melafazkan syahadah pada malam tersebut, Karlen melafazkan syahadah, dibantu oleh ustaz Kamarudin, disaksikan oleh puluhan mata, puluhan telinga dan puluhan jasad yang berada di situ pada malam tersebut. Tak terluah dengan kata-kata, tak tergambar dengan perasaan, semuanya berlalu begitu cepat dan lancar, Alhamdulillah! Selamat kembali kepada fitrahmu, wahai insan!

Itulah dia, insan yang dipilih oleh Allah untuk mendapat hidayahNya! Kami rasa sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada kisah hidupmu, menjadi saksi kembalinya kamu kepada asal perjanjianmu.

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini” (Al-A'raf: 172)

Itulah dia, Karlen yang saya ceritakan. Setelah mengucapkan syahadah, saya dan suami perlu bawa dia untuk didaftarkan di pejabat Majlis Agama Islam. Oh, mengapa saya menyibuk sangat? Kerana ustaz amanahkan kami untuk jaga Karlen ini setelah memeluk Islam, apapun kami fahami bahawa dia amanah Allah bukan kepada kami saja, bahkan kepada kita semua sebagai saudara seakidah! Ramai lagi 'Karlen' di luar sana, yang perlukan bantuan dan sokongan kita. 

Okey! Selesai satu bab, sekarang bab pendaftaran di pejabat Majlis Agama. Hari dijanjikan, kami suami isteri jemput Karlen dan bawa dia ke pejabat Majlis Agama Islam. Satu perkataan, sebelum bercerita lanjut,  MENGECEWAKAN! Urusan yang mudah disukarkan, isu yang kecil dibesarkan, sepatutnya diberi motivasi tapi ditakut-takutkan. Saya tak sangka, begini rumit jadinya. Sampai saya pun malu dengan Karlen. Suami dah pesan, mungkin akan ada kerumitan bila nak daftarkan. Saya pun pernah baca, saudara baru yang berhajat melafazkan syahadah, berlalu keluar dari pejabat Majlis Agama kerana layanan buruk kakitangan di sana. Tapi tak sangka, kami turut mengalaminya!

Selesai 'bergaduh' dan 'bertekak', dari satu isu ke satu isu, kami berlalu pulang dengan rasa tidak puas hati. Pendaftaran dilakukan, tapi tidak dengan kerelaan hati. Tidak mengapa, kami akan usahakan yang terbaik untuk Karlen, dengan bantuan pihak lain, yang lebih memahami! Pulang dengan rasa kecewa dan hampa, Karlen sendiri menyatakan rasa terkilannya, dilayan seolah dia tidak bersungguh untuk diIslamkan. 

Inilah realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam kita pada hari ini. Kita belum berjaya menunjukkan contoh cara hidup yang baik kepada masyarakat belum Islam. Pernah, naqibah saya bercerita, pelajarnya (belum Islam) dengan lantang berkata, 

" Orang Melayu mundur kerana beragama Islam"

Sedih. Betapa kita gagal menterjemahkan keindahan dan kehebatan agama Islam, hingga akhirnya Islam terfitnah kerana penganutnya. Tetapi begitulah sunnatullah, ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah, di mana Islam tidak tertegak dengan cerita hikayat, cerita dongeng dan keajaiban yang tak semena-mena. Bahkan Allah menetapkan Islam tertegak atas usaha manusia, dengan kemampuan yang dimiliki mereka, dengan izin Allah. Begitulah juga Allah menyaring manusia, siapa yang benar beriman, siapa yang hanya bermuka-muka! (Sila baca "Inilah Agama" oleh Syed Qutb untuk memahami perenggan ini!)

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Selamat kembali kepada Islam buat Karlen, dan selamat kembali kepada Islam juga buat kita semua! Ayuh, hidupkan roh Islam dalam diri kita, jangan hanya mengguna pakai perkataan Islam sekadar di atas kad pengenalan, ataupun ketika mengisi borang. Biar Islam tergambar pada diri dan cara hidup kita, insyaAllah. 

Biar nanti bila ditanyakan, "Bagaimana mengenal Islam?"

Lalu orang mengatakan, "Lihatlah pada mereka (penganutnya)"

Wassalam.

2 comments:

NooR AzLen BinTi HaRoN said...

assalammualaikum..

saya antara salah seorg yg menghadiri ceramah ustaz kamarudin dan sebak beserta terharu saat Karlen melafazkan kalimah syahadah.

menitis air mata..Allah Maha Agung.

nanti boleh akak kongsikan pengalaman akak mendaftar Karlen.saya sekarang dlm proses mbantu seorang adik yg memeluk islam tahun lepas.nk tunggu bulan 3 utk umurnya cecah 18tahun.

Benar pengalaman yg akak rasa saat mahu mendaftar karlen prnh dirasai oleh seorang mualaf yg menukilkan peristiwa dia dilayan saat ingin mendaftarkan keislamannya di sebuah buku yang bertajuk "Travelog Syahadah dan travelog Hidayah
( Ustaz Rashidi Abdullah)

sebuah buku yg menarik sarat dengan pengajaran.

Ok,salam ukhuwwah buat akak.

Moga dipermudahkan urusan akak.Insyaallah.

salam takziah buat akak sekeluarga.

al-fatihah

Ayu Zamani said...

W'salam..

Terima kasih, dik..

InsyaAllah nanti akak kongsikan.