Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, February 28, 2012

Sudah jatuh ditimpa tangga


Sudah jatuh ditimpa tangga? Sudah jatuh tu betul, bab ditimpa tangga tu penambahan saja, he he..

Al kisahnya, semalam. Selepas ber'bye-bye' dengan encik kekasih arjuna hati yang nak ke tempat kerja, baring sekejap di katil, sambil berangan (erk, merenung masa depan sebenarnya- he he.. cover line!). Sudah baring tu apa lagi, tertidur la jawabnya. Bila terbangun, kalut la jadinya, tambah bila teringat banyak benda lagi yang sepatutnya buat, tak terbuat lagi.

Bergegas turun katil. Sebaik berdiri, GEDEBUK!! Jatuh terjelepuk di kaki katil. Tiba-tiba saja kaki seakan hilang fungsi, tak dapat sokong bahagian atas badan. Kalau orang Kelantan kata, lembik lutut, apa lagi jatuh macam nangka busuk la. Sakitnya boleh tahan jugak. Nak terus bangun tapi tak boleh. Sambil dok gosok-gosok kaki, tiba-tiba terpandang ke jari-jari kaki.  Kaki kiri, jari ke empat, sebelah jari anak (nama apa ntah jari ni), bengkok! Tulang bawah menghala ke kiri, tulang atas ke kanan. Panik. Spontan. PRAKKK!! Tarik balik jari ni untuk betulkan balik tulang-tulangnya. Alhamdulillah dengan sekali tarik (yang boleh tahan kuatnya), jari tadi nampak berjaya dibetulkan balik. Tapi, WARRRAGGHH!! Sakitnya.. (T_T)

Perlahan-lahan, naik balik atas katil. Badan rasa sejuk, muka rasa panas. Sakit di jari makin terasa. Berdenyut-denyut! Jantung berdegup, kencang. Tarik selimut. Cuba tenangkan diri dan berfikiran positif.

"InsyaAllah, i'm ok", pujuk diri sendiri.

Apa nak buat ni? Okey tak jari tadi? Patah ke?

Selak selimut. Jari tadi dah mula membengkak dan terus berdenyut. Capai telefon bimbit. SMS suami, tanyakan masa kelasnya tamat hari ini.

"Abang, boleh tak kalau abang terus balik lepas habis kelas?", selepas suami maklumkan kelasnya hingga 2.00 petang, punch out pukul 2.45 petang.

"Boleh insyaAllah, ada apa ya?", balasnya.

"Ingat nak pergi klinik. Tadi jatuh. Jari kaki bengkok, tarik betulkan balik. Sekarang sakit dan bengkak", terang saya, ringkas.

"Ok, nanti abang balik. Rehat dulu ya", jawabnya.

Cuba pejamkan mata. Berdoa semoga semuanya baik-baik saja. Banyak kerja bakal tergendala kalau kaki ni kena direhatkan seketika. Kurang sejam, kedengaran ketukan dan suara memberi salam di luar pintu. Suami dah balik. Eh, cepatnya. Mesti dia minta kebenaran balik awal ni. Hu hu.. rasa bersalahnya..

Dengan lauk basah ditangannya, bawang-bawang dan barang-barang dapur yang lain (sempat dia singgah ke pasar- di rumah memang tak ada apa-apa sebab baru balik setelah sebulan di rumah Tok, hu hu terima kasih abang), terus dia suruh bersiap untuk ke klinik. Balut kaki kiri dengan kain- belajar asas rawatan kecemasan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dulu, kalau patah kena sokong anggota dengan benda keras) pakai stokin macam biasa di kaki kanan. Labuhkan skirt menutup kaki, supaya kaki yang tidak berstokin tidak terdedah begitu saja. Sebelah kaki berkasut, sebelah lagi berkaki ayam, jalan terhincut-hincut sambil tangan berpaut kuat pada lengan suami. Aduh, seksanya terasa.

Sampai di klinik, suami sorong dengan kerusi roda (first time naik 'kereta' ni dalam hidup!) Selepas buat pemeriksaan, doktor suruh tunggu untuk buat X-Ray petang nanti. Balik rumah dulu. Suami suruh rehat, dia bertegas nak masak walaupun saya kata saya boleh buat..hu hu.. susahkan dia lagi.

Petang sekali lagi ke klinik. Alhamdulillah, keputusan X-Ray menunjukkan jari kaki tadi berjaya masuk balik ke keadaan asalnya, tak patah, cuma bengkak sebab kesan jatuh dan daya tarikan yang agak kuat masa nak betulkan balik tadi. Lega...

Balik dari klinik, berehat di atas katil, sambil berfikir. Saya rasa sangat terkesan dengan peristiwa ini. Allahlah yang berkuasa menjadikan sesuatu. Allah hanya perlu katakan "Jadilah", maka akan terjadilah sesuatu perkara. Allah boleh menjadikan kaki yang 'hidup', tiba-tiba 'mati'. Begitu juga Allah boleh menjadikan jantung yang 'hidup', menjadi 'mati'. Nasib baik kaki saya yang 'mati' seketika tadi, kalau jantung? MasyaAllah, sesungguhnya mati itu boleh datang dengan tiba-tiba, tanpa amaran dan petanda.

Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: “Jadilah engkau! “, maka menjadilah ia. (An-Nahl:40)

Kalau ada sesiapa yang claim bahawa anggota badan kita ini, kita sendiri yang mengawalnya, maka peristiwa ini membidas hujahnya. Kita rasa tangan kita, kita yang tentukan pergerakannya. Kita rasa kaki kita, kita yang bebas mengawalnya. Namun hakikatnya Allah lah yang Maha Berkuasa ke atas diri kita, anggota badan kita dan pancaindera kita. (Teringat novel kisah Gadis Atheist berdebat dengan pemuda Islam)

Apa saja yang terjadi kepada kita, yang baik mahupun yang buruk, semuanya dengan izin Allah. Pasti dan pasti ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan kepada kita. Itu cara Allah berinteraksi dan berkomunikasi dengan kita, selain daripada Al-Quran. Itu yang saya selalu pegang. Sakit dari jatuh ini tidaklah seteruk mana, lebih teruk kalau mencemuh musibah dan takdir Allah ini. Nauzubillah.

"Boleh pergi tak mesyuarat sekejap lagi ni?", tanya suami memecahkan lamunan.

"Boleh insyaAllah, tengok saya senyum ni, tak sakit pun", jawab saya sambil mempamerkan senyum termanis sekali.

"Itu senyum tipu", usik suami.

Malam tu saya berjaya pujuk dia jadi 'kaki' saya. (Kaki abang, kaki saya juga.. heh) Tetap bersemangat nak jumpa adik-adik dan bantu penyusunan usrah mereka- mana tahu Allah nak ajar lagi perkara baru melalui adik-adik malam ni.

Sarungkan stokin ke dua-dua kaki (terkial-kial juga menahan sakit di kaki kiri), pakai selipar besar dia. Terhincut-hincut menuju ke kereta yang sedia membawa kami ke perjalanan dunia, yang 'sakitnya' hanya sementara, 'sukarnya' hanya seketika, insyaAllah.




monolog: kena berusaha pakai kasut sukan di kaki kiri, kalau tak "saya tak bagi naik Puncak Vista petang ni", itu arahannya.. hu hu..



Sunday, February 26, 2012

Plot 3: "..we have been married for.."


"..we have been married for 5 months, 2 weeks, 2 days.."

Oh, lamanya baru ada feel nak sambung cerita ni. Kalau macam ni la gayanya, agaknya beranak cucu dulu la kot baru habis cerita ni.. he he. Baik kita sambung lagi dari sini...

Esoknya, saya bersiap-siap untuk mengadap ustazah dan naqibah saya. Betul ke tekaan saya, ustazah nak bincang tentang TU? Kot-kot pasal lain, buat malu je..hik hik.. walaupun hati sangat yakin sebenarnya.. heee

Dengan penuh debaran dan tanda tanya (aduss ayat..he he), saya pun duduk la bersimpuh penuh adab sopan dan tatasusilanya di depan ustazah dan naqibah saya (rasa macam pesalah depan hakim pun ada, tunggu hukuman dijatuhkan..hu hu). Ustazah dengan penuh lemah lembut dan berlapiknya memulakan mukaddimahnya (he he dah biasa dah, maklum lah dah ada dua kali pengalaman macam ni, bezanya kali ni kelihatan lebih serius, terutama dengan kehadiran naqibah sekali)

Hati kata apa masa tu? Pasrah. Redha. Perasaan ini timbul dari semalam lagi, yang ajaibnya semua alasan-alasan yang biasa keluar sebelum ini seakan luput, lenyap ditelan bumi. "Haish, apa dah jadi pada aku ni?", hati bermonolog.

Akhirnya benarlah seperti yang diduga. Ustazah terangkan kepentingan baitul muslim, terutama untuk meneruskan kelangsungan dakwah. Sesekali naqibah menambah, mengukuhkan hujah. Saya? senyap membatu, menjadi pendengar setia. Tak tahu nak kata apa. Akhirnya, ustazah selesai dengan hujah dan pujukannya, memberi ruang untuk saya bersuara.

Hanya satu ayat keluar dari bibir, "InsyaAllah, nanti saya bincang dengan ma dengan abah". Ustazah kelihatan sedikit terkejut, agaknya kali ni pun dia ingat saya akan beralasan lagi. (Sebenarnya, saya pun terkejut dengan jawapan saya)

"Alhamdulillah, ustazah lega dengar Ayu kata macam tu, Ustazah ingat Ayu nak tolak lagi. Kami dah bincang perkara ni sebelum kami pergi tunaikan haji (ustazah dan naqibah baru beberapa bulan pulang dari Tanah Suci), kami ambil keputusan nak selesaikan perkara ni selepas balik nanti. Kami doa di sana supaya urusan ini dipermudahkan", terang ustazah.

Terharu. Itu saja satu perkataan yang tergambar di benak fikiran. Mereka mendoakan saya di sana! Subhanallah. 

Kebetulan, saya merancang untuk pulang ke kampung beberapa hari akan datang. Jadi saya berjanji dengan mereka untuk bincangkan hal ini dengan ma dan abah sebaik pulang nanti. Bincang dan minta izin ma dan abah untuk bertaaruf dengan calon yang akan diperkenalkan nanti. Sesi taaruf itu nanti hanya untuk berkenalan secara ringkas dan melihat kesesuaian kedua-dua calon, tidak bermakna sesi ini akan terus membawa kepada akad nikah dan walimah. Kalau tak mendapat kesesuaian, dan ada perkara-perkara yang tidak mencapai kesepakatan (mungkin calon dan keluarga ada syarat tertentu yang ditetapkan), ia akan berakhir setakat sesi ta'aruf, dengan kefahaman dan berlapang dada bahawa ada pasangan yang lebih baik disediakan oleh Allah untuk calon Baitul Muslim yang terlibat.

Fuuuhh.. lega.. Berakhir sudah la sesi yang 'genting' dengan ustazah dan naqibah. Berpeluh sejuk la jugak, walaupun aircond bilik naqibah tu boleh tahan kuatnya. Teringat balik janji dengan ustazah tadi. Aduhai, macam mana nak cakap dengan ma dan abah ni ya? (hu... sapa suruh pandai-pandai janji), baru beberapa hari lepas (bila telefon mereka), ma dengan abah pertahankan lagi pendapat mereka, baik habiskan dulu pengajian PhD, baru nikah (walaupun ma abah tak kata wajib ikut, tapi saya faham apa maksud mereka). 

Al kisahnya, beberapa hari lepas ada mak cik bertanyakan ma tentang saya. Terus dijawabnya, "Dia sekolah (baca: belajar) lagi" . Sah! Ma dan abah belum sedia lepaskan anak perempuan sulung dan tunggal mereka ni. 

Macam mana nak buka cerita nanti? Dah la tak pernah bincang perkara ni dengan serius. Biasanya saya gelak-gelak saja cerita pada mereka bila ada yang bertanya. Macam mana kalau ma abah tak bagi taaruf dulu? Segan juga dengan ustazah dan naqibah, walaupun nanti mereka akan faham dan terima apa saja jawapan. hu hu.. dilema.. dilema.. Apa jawapan ma dengan abah nanti? Takut, risau, nervous..

"Ya Allah, kalau ini yang terbaik untuk aku, dia, keluarga kami, dakwah kami dan agama kami, maka permudahkan urusan kami. Jika sebaliknya, maka jauhkanlah kami dari kemurkaanMu" 

Doa pertama yang dititipkan khusus untuk dia (selain doa umum untuk semua muslimin muslimat, usai solat)

Okeh, kita biarkan saya berdilema seketika ya, nanti kita sambung lagi insyaAllah.




Belonku terbang tinggi.

Semalam di kelas Quantitative Research. Salah satu kelas wajib untuk pelajar postgrad. Masuk kelas lambat, gara-gara tak jumpa pintu utama! Haish! Tunggulah depan pintu belakang yang berkunci, ingatkan kami lah yang datang paling awal, padahal orang lain dah penuh kelas pun! Hu hu..

Masuk kelas, kerusi pulak tak cukup. Angkat kerusi dari kelas sebelah.  Dah bawa kerusi masuk kelas, tiba-tiba menggelabah, macam mana nak angkat (baca: julang setinggi boleh) kerusi ni, ruang dah la sempat antara meja ke meja. Sedang terkulat-kulat, terkial-kial di depan kelas, dengan kerusi besi yang berat, berfikir macam mana nak bawa kerusi ke belakang, tiba-tiba Prof. yang mengajar kelas tu datang angkat kerusi, bawa ke belakang. Wah! Terkesima seketika. Malu pun ada. Tetapi syukur yang selebihnya, Alhamdulillah. Prof. hantarkan kerusi ke barisan tengah, disambut oleh seorang kawan sekelas, (lelaki, dari Timur Tengah), terus ke belakang. Saya? he..he.. mengikut saja sambil melenggang kangkung (oh, ini perumpamaan untuk berjalan santai ya)

Alhamdulillah, dapat duduk dengan tenang (walaupun kurang selesa sebab terlalu sesak dan sempit), Alhamdulillah belum banyak yang ketinggalan dari pembentangan Prof.

Setelah kelas berjalan hampir 2 jam (kelas ini berdurasi penuh 3 jam), tiba ke sesi perkongsian. Prof. minta perkenalkan negara asal, tajuk kajian dan dari mana dapat idea untuk topik yang dipilih. Sambil menunggu giliran (maklumlah, saya di belakang sekali), baru perasan sesuatu. Di hadapan saya ada pelbagai 'warna-warni' manusia. Ada yang berkulit cerah, ada yang berkulit sawo matang, tak kurang juga yang berkulit gelap. Ada yang berambut lurus, ada yang berambut kerinting, ada juga yang tak kelihatan rambut di sebalik hijabnya. Lelaki dan perempuan? Ya keduanya seimbang dalam kelas ini. 

Dari sesi perkongsian, ada yang berasal dari Timur Tengah, Indonesia, Nigeria, Libya, Malaysia sendiri (tak berapa ramai sangat), India, Bangladesh dan beberapa negara lagi yang saya lupa. Lebih menggerunkan, ada yang sudah pun bekerja selama belasan tahun, ada yang menjawat jawatan tertinggi dalam organisasi, tak kurang juga budak hingusan (saya la tu). 

Teringat ayat Allah, 

"Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)

Tajuk kajian mereka? Waaah! Sangat 'menggerunkan'!  Cukup membuat diri rasa sangat sangat rendah diri! Ditambah dengan pengalaman dan 'kematangan' mereka terutama dalam bidang masing-masing,  hu hu.. terasa sangat betapa rendahnya diri ini. Waaaaaa (T_T). 

Bermacam-macam perkara timbul dalam fikiran.

Boleh ke aku berjaya?
Mampu ke aku lalui semuanya?
Layak ke aku berada di sini?

(T_T)......

Kemudian teringat lagi satu kisah, diceritakan oleh Ustaz Badlishah Alauddin, di corong radio IKIM.Fm beberapa hari sebelum itu. Macam ni lebih kurang, kisahnya..

Ada sekumpulan kanak-kanak bermain belon. Kemudian, pak cik yang jual belon ni ternampak seorang budak yang berada agak jauh dari kumpulan kanak-kanak yang bermain belon tadi. Dia nampak seperti pemalu dan agak merendah diri. Lalu pak cik tadi mendekati anak ini dan bertanya,

"Nak, kamu nak belon warna apa?"

"Saya nak belon berwarna hitam, pak cik", jawab si kecil.

"Kenapa kamu nak belon berwarna hitam?", tanya si tua lagi.

"Kerana belon warna hitam boleh naik tinggi, lebih tinggi dari belon warna lain", jawabnya yakin.

Lalu pak cik tadi memberikan belon berwarna hitam kepada si kecil tadi. Ternyata, belon tadi naik tinggi ke dada langit. Anak kecil itu sangat gembira dengan belonnya.

Lalu datang pak cik tadi, menepuk bahu si anak lalu berkata,

"Nak, tingginya belon kamu naik ke atas sana bukan kerana warnanya, tetapi kerana gas keyakinan yang ada di dalamnya"

Pengajarannya, bukan warna kulit, bangsa atau keadaan fizikal yang menentukan kejayaan seseorang, sebaliknya keyakinan dan kemahuan yang tinggi itulah yang lebih penting!

Sekarang, menurut ustaz Badlishah, kanak-kanak tadi telah menjadi seorang yang hebat dan berjaya dalam hidupnya!

Kemudian terperasan sesuatu dari ayat di atas. Kita tengok semula ayatnya.

"Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)

Allah kata, diciptakan manusia ada lelaki, ada perempuan, pelbagai bangsa, pelbagai puak. Ok, bahagian seterusnya ini yang penting (tapi terlepas pandang tadi), yang paling baik di sisi Allah, kata Allah, adalah yang paling BERTAKWA! Okeh, done! Tak kira siapa kamu, yang penting takwa kamu!

Okeh, dah faham! Walaupun saya budak hingusan saja, tapi kalau saya bertakwa, saya yakin Allah akan bantu saya, insyaAllah! Siapa berusaha, dia akan berjaya, insyaAllah!

Baik, sekarang dah boleh (^_______________________^) sampai telinga.

Oh, dah sampai giliran saya.

"I'm from Malaysia, my area is Management and my research is about new product performance. I choose this topic because new product is one of the crucial aspects for manufacturing company in Malaysia, especially after we shifted from agriculture to manufacturing-focused!"

Berpasang-pasang mata memandang. Lidah tergeliat lama tak praktis menyebut bahasa asing. Hati berazam, ingin belajar sesuatu dari kepelbagaian bangsa dan puak yang ada di depan mata ni, insyaAllah sebagaimana dianjurkan oleh Allah dalam ayat di atas, ditambah dengan elemen takwa sebagai pembeza dan mata tambahan untuk menjadi hamba yang dekat dengan Allah!

Jom, usir rasa rendah diri (tapi jangan sesekali meninggi diri- sombong, angkuh, bongkak!), pam gas 'keyakinan'- kepada janji-janji Allah dan kemampuan diri sendiri, dan ikat tali 'takwa' pada belon 'kehidupan' kita. Biar ia terbang tinggi dengan penuh yakin, tapi terikat dengan tali takwa, supaya ia tidak menjunam di pukul ribut kesesatan dan jatuh di tanah kemurkaan Allah!


Belon kehidupan, ber'gas'kan keyakinan kepada Allah  dan diri sendiri!

monolog: Ya Allah, permudahkan urusan hidup dan mati kami..



Thursday, February 23, 2012

Tupperware bertutup biru.

Assalamualaikum.

Satu pagi. Usai solat subuh, turun ke dapur. Siapkan sarapan untuk Tok, sediakan bekal untuk suami (dia bagi hint nak bawa bekalan makanan ke tempat kerja bila satu hari dia beli tupperware baru- bertutup biru dengan tiga ruang kecil di dalamnya)

Sedang mencedok nasi dan lauk ke dalam tupperware bertutup biru, tiba-tiba teringatkan sesuatu.

"Apa bekalan kita untuk hari akhirat sana?"

Allahu Rabbi. 

Kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz, "Sesungguhnya setiap perjalanan musafir mustahil tidak mempunyai bekalan. Justeru itu, sediakanlah bekalan musafirmu semasa hidup di dunia untuk menempuhi perjalanan ke alam akhirat"

Betul. Setiap kali nak memulakan perjalanan, baik jauh mahupun dekat, kita pasti sediakan bekalan. Sekurang-kurangnya ada satu bar minyak dalam tangki, sekurang-kurangnya ada sehelai not berwarna merah (RM 10.00) dalam dompet, selain keperluan-keperluan lainnya.

Begitu juga dengan perjalanan ke akhirat sana. Perjalanan yang akan menentukan duduk letak kita, yang kekal selamanya. Pasti dan pasti bekalan yang perlu disedia dan dikumpulkan lebih-lebih lagi perlu diambil perhatian (itu pun kalau kita nak berada di tempat paling istimewa di sana)

Apa bekalan yang perlu kita kumpulkan? Bekalan yang bagaimana? Perlukah kita tinggalkan segalanya yang ada di dunia, lalu hanya tumpukan perhatian untuk mengumpulkan bekalan ke akhirat sana?

Tidak. Tidak perlu kita tinggalkan dunia untuk akhirat, sebaliknya dunia ini adalah tempat kita mengumpulkan bekalan untuk akhirat.

Teringat firman Allah,  

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (Adz-Zariyat:56)

Terciptanya kita untuk beribadah kepada Allah.

Kalau seluruh kehidupan ini disibukkan untuk beribadah kepada Allah, bila pula masa untuk mengumpul bekalan akhirat?

Maka seluruh kehidupan itu adalah masa untuk mengumpul bekalan akhirat, kerana ibadah itulah bekalan akhirat!

Tolong jangan sempitkan fikiran dengan memberi makna ibadah hanya terhad kepada solat,puasa, zakat dan menunaikan saja! Bahkan seluruh kehidupan boleh menjadi ibadah, dengan memasakkan niat untuk segala yang kita lakukan, semata-mata kerana Allah.

Niat makan, kerana Allah. Masak, kerana Allah. Belajar, kerana Allah. Kerja, kerana Allah. Mandi, kerana Allah. Pandu kereta, kerana Allah. Bonceng motosikal, kerana Allah. Sapu sampah, kerana Allah. Semua kerana Allah, maka tercatatlah pahala ibadah, itulah bekalan untuk akhirat.

Kalau dalam 24 jam, segalanya (yang baik pastinya) diniatkan kerana Allah, bermula dari bangun tidur, hingga tidur semula, maka sebanyak itulah usaha untuk mengumpul bekalan kita. 

Mudahkan?

Tetapi ramai yang menyusahkan! kerana memberatkan ibadah dengan alasan! atau kerana memberatkan hati dengan bisikan mendayu dan mengoda oleh si durjana syaitan!

Kita bukan maksum!

Ya, sebab itu Allah memberikan seluruh kehidupan untuk kita beribadah dan mengumpul bekalan. Kalau kita terleka, bersegeralah kembali mengejar sisa-sisa kehidupan (baca: peluang) yang masih ada. Bahkan, setelah nyawa berpisah dari jasad sekalipun, Allah masih memberi peluang untuk kita mengumpul bekalan.

Bagaimana? Sabda Rasulullah,

“Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. 
(Hadith riwayat Imam Muslim)

Jasad sudah ditinggalkan roh, tetapi bekalan masih tidak putus-putus! Berkat ibadah yang ditinggalkan sepanjang kehidupan di dunia.

Mudah cakap, tetapi tak mudah nak buat! Dunia di depan mata, akhirat tidak terlihat bayangnya. Dunia indah menggoda, akhirat seakan dilupa. Kerana itu ramai yang tertipu dan terleka dengan dunia.

"Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak" 
(At-Taubah: 38)

Nasi siap diisi, lauk siap diisi. Tupperware biru ditutup kemas. Suami sudah menunggu di muka pintu. Kedengaran bunyi enjin kereta menderu, sedia membawa kami ke perjalanan mencari rezeki. Semoga perjalanan dunia ini bermanfaat untuk perjalanan akhirat nanti, insyaAllah.

Tupperware bertutup biru, mengisi bekalan kehidupan dunia. Ibadah kerana Allah yang satu, mengisi bekalan kehidupan akhirat.

Jom! Sediakan bekal untuk akhirat, insyaAllah.

Oh, yang ni bukan tupperware bertutup biru suami saya..




Wednesday, February 22, 2012

Jaulah Ukhuwah (Versi bergambar!)

Assalamualaikum.

Nak kongsi beberapa (beberapa? Macam banyak je..) gambar Jaulah Ukhwah baru-baru ni.

Tampatnya? Di sini...

Akhawat, Ukhuwah, Akhlak = Super Muslimah!

Sebelum mula, buat panji dulu!

"Dengar arahan ya anak-anak", kata tourist guide itu, he he

Ok, gerak! Tapi mulut tak boleh 'gerak' ya. hu hu..

Dah sampai ke? Ala belum la... berhenti rehat je jap.

Apapun, bergambar la dulu. Buat ubat lenguh kaki.

Teruskan bergerak, tentera-tentera semut sekalian!

Akhinya, sampai juga di MONKEY BEACH! Memang tepat nama tu. Penatnya......

Lepas isi perut, kita recharge tenaga pulak. Solat!

Masa untuk bermain! Kakimu kakiku juga..

Keretapi belon..

Gempar! Mumia tersesat di Monkey Beach! Heh..

Iskh, awat tak jumpa lagi ni??

Hiaapp! Iskh susah boling kelapa nih!

Priiitt!! Masa bermain tamat! Masa untuk tasmi' surah (An Nahlu: 90) dan yell.. Yeah!!

I love you, you love me.. erk (bukan yell sebenar..he he)

Saranghae.. Korea la pulak (juga bukan yell sebenar..heh..)

Erk, ini geng Kungfu Panda ke?

Sharing oleh peserta & wrap up oleh camp commandan yang garang. hi hi..

Favourite part: apa lagi berposing la..

Mana cukup satu gambar je. Snap lagi..snap lagi..

Alhamdulillah.. hampir selesai. Terima kasih kakak-kakak AJK dan abang-abang bodyguard!

Terima kasih juga encik tourist guide topi hijau..

Jom balik! Fuuuhhh, nasib baik tak perlu trekking lagi.

Terima kasih ya Allah, atas pengajaran sepanjang perjalanan hari ini. Alhamdulillah.

Itulah sedikit sebanyak (banyak kot) apa yang kami lalui, Alhamdulillah. Pengajarannya? Banyak sangat, Alhamdulillah. Semoga Allah menjadikan kita orang yang mahu mengambil pelajaran di atas setiap apa yang terjadi dalam hidup kita, InsyaAllah.



Monday, February 20, 2012

Ce teka..ce teka..

Ce teka..ce teka..

Hah, apa pulak mak cik ni (saya ke tu) nak membebel hari ni. Kena penangan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pulak ke?

Oh, tidak..tidak..tidak.. (geleng kepala, mulut mencebik, sambil jari telunjuk digoyang ke kiri ke kanan- boleh bayang tak? heh..)

Habis tu nak main teka teki apa pulak? Macam slot teka-teki di Ikim.Fm tu ke? (kotak apa berdosa? Ko tak solat.. hu hu.. punya lama nak faham, lepas tengok jawapan bertulis di fb baru faham, (=_=') adeh!)

Ini teka-teki lagi best! (macam lagu kereta Myvi tu ke? lagi best! woo..oo..oo. ok stop! dah keluar topik tu!)

Ini 'teka-teki' yang ustaz bagi masa daurah Tarbiyah Siasah minggu lepas. Wah, daurah pun ada teka-teki ke? Jomlah tengok, eh silap, baca... (^_*)

Okeh, kita serius sikit ya (konon la).

Daurah lepas bincang tentang siasah (politik) era Mekah dan Madinah. Ustaz yang sampaikan memang best, 'made in' Yaman, maksudnya belajar di sana, tapi anak jati Malaysia. Asal dia cerita je (apa-apa tajuk), mesti ada critical thinking, mesti ada kenapa, kenapa, kenapa. Contoh, kenapa Abrahah naik gajah, bukan unta atau kuda perang untuk serang Ka'bah. Kenapa Allah guna perkataan 'wahyu' dalam surah Al-Qasas ayat 7, An-Nahlu ayat 68, Maryam ayat 11 dan beberapa ayat lagi? Kenapa, kenapa, kenapa tu la yang selalu membuka minda dan menambah kefahaman, Alhamdulillah. Walaupun 'teka-teki' tu akhirnya ustaz yang jawab sendiri, hu hu.

Untuk kali ni, nak kongsi sikit saja, apa kata orang tu? Sharing is caring? 

Peringatan: Sila berselawat setiap kali selepas menyebut nama baginda nabi Muhammad saw.

Kisah 1: Serangan Abrahah dan tentera bergajah ke atas Ka'bah.

Apa yang kita tahu, berdasarkan yang kita belajar dulu-dulu dan baca buku, Abrahah nak runtuhkan Ka'bah sebab tempat ibadat yang dia buat, tidak mendapat kunjungan orang ramai. Tetapi apa yang tersirat di sebalik serangan ini? Kita tahu Allah ceritakan tentang peristiwa ini dalam surah Al Fiil (cuba buka Al Quran sekejap), tengok ayat kedua. Ada perkataan "Kaida", ustaz kata itu bermaksud perancangan jahat yang sulit. "Makar" (tak ingat surah mana, ayat ke berapa) pun bermaksud perancangan, tapi perancangan secara terangan, tetapi "Kaida" ini memang khusus untuk perancangan yang sulit. 

Baik. Apa perancangan sulit si Abrahah ni? Kita tahu, Ka'bah adalah tempat tumpuan orang sejak zaman dahulu lagi, dan tanpa Ka'bah, Mekah tiada apa-apa! Si Abrahah ni tahu akan lahir seorang nabi di situ pada waktu tu. Hah! Mana dia tahu? Sebab dia adalah ahli kitab! Jadi tujuan sebenar dia nak runtuhkan Ka'bah tu adalah supaya Mekah tidak lagi menjadi tumpuan ramai dan dengan itu nabi (yang bakal lahir di tahun sama serangannya ke atas Ka'bah) tidak akan berjaya melaksanakan misi baginda.

Okeh, di sinilah teka-tekinya.

Teka-teki: Apa misi baginda nabi?

Kisah 2: Penentangan kaum Quraisy terhadap nabi dan orang Islam.

Kenapa pembesar Quraisy ni benci sangat dengan nabi. Mereka guna pelbagai cara untuk sekat kerja nabi. Kalau sebab nabi tak ikut agama nenek moyang mereka, nabi bukan orang pertama yang tak ikut. Ada lagi ahli kitab yang tak ikut agama nenek moyang, tapi kenapa mereka tak dibenci, tak dikacau pun? Kalau mereka benci sebab nabi suruh sembah Allah, Allah bukan pelik atau asing bagi mereka. Bila tulis perjanjian ada 'Bismillahirrahmanirrahim'- mereka kata Allah mereka kenal, Ar-Rahman, Ar-Rahim mereka tak kenal, jadi mereka minta kekalkan nama 'Allah' saja di perjanjian tu. Kalau mereka benci sebab seruan nabi, nabi suruh orang buat baik, taat ibu bapa, takkan mereka tak suka nabi seru buat benda baik. Kalau mereka benci sebab tuntutan ibadat, masa tu mana ada lagi kefardhuan dan larangan seperti tutup aurat, solat dan sebagainya.

Mereka benci nabi sebab mereka tahu apa misi nabi.

Teka-teki: Apa misi baginda nabi?

Kisah 3: Hijrah ke Habsyah.

Apa yang kita biasa dengar dan baca, orang Islam diperintah berhijrah ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan dari tentangan kaum Quraisy. Disambut baik oleh Rajanya, namun kaum Quraisy menghantar wakil supaya Raja Habsyah pulangkan orang Islam ini ke Mekah.

Kalau kita fikir, kaum Quraisy kan benci sangat pada orang Islam, tapi selepas mereka berhijrah, kenapa kaum Quraisy nak mereka dipulangkan balik, kenapa tidak biarkan saja orang Islam yang dianggap pengacau ni keluar dari tempat mereka? Sepatutnya mereka gembira bila orang Islam dah berhijrah keluar, aman hidup mereka. Mereka benci orang Islam, tapi dalam masa yang sama mereka tidak benarkan orang Islam keluar dari tempat mereka. Pelik, kan?

Tak pelik, sebab mereka faham misi baginda nabi. 

Seperkara lagi, sebenarnya kalau dikatakan tujuan hijrah ke Habsyah adalah untuk mendapatkan perlindungan kerana ditentang- kurang tepat! Bahkan sebenarnya baginda nabi menghantar pasukan simpanannya (kita panggil FRU la kot) ke Habsyah, bukan sembarangan orang! Selepas berlaku gencatan senjata baru pasukan ini kembali ke Mekah. Hebat strategi baginda!

Baiklah, berbalik kepada misi baginda tadi.

Teka-teki: Apa misi baginda nabi?

Kisah 4: Hijrah ke Thaif.

Berlaku pada tahun kedukaan. Kenapa Thaif? nabi pergi dengan siapa? pergi dengan apa? 

Nabi memilih Thaif kerana di sana adalah tempat bani Tsaqif, kabilah yang dihormati selepas bani Quraisy. Thaif hebat dari segi ketenteraan dan ekonomi, malah banyak kepentingan kaum Quraisy seperti kebun-kebun ada di sana. Bila Tsaqif dikuasai, senanglah untuk menguasai Quraisy.

Nabi ke sana dengan siapa, dan kenapa dia yang dipilih baginda? Baginda membawa Zaid b Haritsah, supaya mata yang melihat tidak akan curiga kerana seolah-olah melibatkan perjalanan santai seorang ayah dan anak, tanpa tujuan khusus ataupun penting. Mereka juga berjalan kaki supaya tidak dilihat berpergian untuk suatu perjalanan yang jauh. 

Apa tujuan perjalanan Rasulullah? Adakah untuk membuka tempat baru? Baginda nabi pergi ke sana untuk bertemu dengan pembesarnya, bagi menyatakan misi baginda.

Teka-teki: Apa misi baginda nabi?

Kisah 5: Hijrah ke Madinah.

Pada perjanjian Aqabah kedua, Nabi ditemani Al-Abbas bin Abdul Muttalib, bapa saudara baginda yang belum memeluk Islam, bertemu dengan puak Aus dan Khazraj. Kenapa baginda nabi membawa bersama saudara baginda yang belum Islam?

Kerana baginda ingin memberi isyarat kepada Khazraj dan seorang wakil Aus, bahawa baginda tidak mengadakan perjanjian dengan mereka kerana baginda telah dibuang atau diusir oleh keluarga sebaliknya baginda mempunyai misi tertentu untuk dilaksanakan. Ini dibuktikan dengan kata-kata Al-Abbas,

“Wahai kalian al-Khazraj, sebenarnya sepertimana yang kamu ketahui, Muhammad ini adalah darah daging kami, hingga kini kami masih mempertahankannya dari kemarahan kaum kami, hingga kini beliau masih tetap kesayangan kami dan terpelihara di dalam tanah airnya, tetapi beliau ini tetap berkeras untuk menyertai kamu dan bersama kamu, kiranya kamu yakin dapat mengotakan janji kamu itu dan sanggup pula memberi keamanan kepadanya maka itu adalah hak kamu untuk mengambil Muhammad bersama-sama kamu, tetapi sekiranya kamu merasakan tidak berkesanggupan atau akan membiarkan beliau keseorangan maka lebih baik dari sekarang lagi kamu tinggalkannya, kerana di sini beliau masih mulia dan dijaga oleh kalangan kaumnya.”

Setelah perjanjian itu, orang Islam secara berperingkat-peringkat berhijrah ke Madinah.

Teka-teki: Apa misi baginda nabi?

Baiklah, cukuplah 5 kisah di atas. Jadi apa sebenarnya misi Rasulullah saw ini? Misi baginda adalah untuk membina masyarakat Muslim. Sebab itulah, sebaik keluar dari Mekah, sebelum sampai di Madinah, apabila tiba di satu tempat, baginda nabi melaksanakan solat secara berjemaah. Ini menunjukkan akan bermulanya kehidupan baru bagi orang Islam. Kehidupan sebagai sebuah masyarakat Islam. Islam di Mekah hanya dipandang pada individu, bukan sebagai sebuah masyarakat.

Begitulah juga misi kita, untuk membina sebuah masyarakat Islam! Banyak kerja kita, sudahkah kita mulakannya? Dari mana hendak mula? Mula dengan diri kita. Bentuk dulu peribadi muslim yang sebenar. Perbaiki diri dan perbaiki masyarakat, insyaAllah.

Okeh. Itulah teka-tekinya. Senang tak jawapannya? (^______^)

Monolog: tak sabar nak tungguh daurah seterusnya!



Sunday, February 19, 2012

Aku sebiji bola (untuk yang sedang kecewa)

Aku sebiji bola. 

Aik, nak buat karangan autobiografi pulak ke? Macam zaman budak-budak dulu tu ke?

Tak..tak.. sekejap nak cerita.

(untuk yang sedang kecewa)?

Apa kaitan bola dengan kecewa pula. Kecewa dengan keputusan perlawanan bola sepak semalam ke? Erk.. Kelantan lawan Sarawak, siapa yang menang semalam?

Iskh, sekejap la, nak cerita la ni!

Okeh..okeh (angkat bendera putih, surrender), cerita..cerita, jangan marah-marah ya.

Huh! Okeh macam ni. Hari ni sepatutnya selesaikan satu kerja dengan pihak tertentu. Malangnya, dah beberapa kali turun naik tangga, dah beberapa kali telefon operator, masih lagi tak ada jawapan. (okeh ini adalah sesi rungutan atau bebelan, tidak baik untuk kesihatan, tolong jangan tiru aksi ini di rumah ataupun di luar rumah)

Banyak benda tertangguh sebab benda ni. Banyak tenaga dan masa terbuang sebab benda ni. Hari ni bila tak juga selesai, malah makin bertambah birokrasinya, maka hati rasa sangat kecewa, sangat panas, sangat penat. Sama panas dengan cuaca hari ni. Sama penat dengan kaki yang dibawa berjalan hampir 15 minit untuk sampai ke pejabat pihak tertentu tu. Aduh!

Dalam perjalanan balik, di bawah terik matahari, dengan kepala dah rasa panas, hati bertambah la lagi panasnya, dengan penuh kekecewaan, bermacam rungutan bermain dalam fikiran.

"Aku rasa kau ni dah macam bola sepak dah. Sekejap ditendang ke kiri, sekejap disepak ke kanan, sekejap ditolak ke atas, sekejap diasak ke bawah!" Bisikan jahat beraksi. (ok, di sinilah entry ni dapat tajuknya)

Kemudian teringat kata-kata seorang doktor (akademik) ni, "Tak apa, sabarlah, sikit saja lagi"

Datang pulak bisikan baik, "Dua tahun kau boleh sabar, takkan tak sampai 2 minggu je lagi ni (insyaAllah semoga akan selesai masalah ni), tak dapat sabar kan". Ok, sejuk balik hati.

Langkah dipercepat. Bisikan jahat terus berpencak silat, membuka jurus hasutannya, "Kau give up je lah"

Bisikan baik menepis, "Eh, mana boleh. Kau jangan emo (baca: emosional) sangat, ni sikit je ni Allah nak uji"

Sedang hati dah tak berapa panas sangat, suam-suam kuku, sikit je lagi nak sejuk, terjadi pula sesuatu yang yang kembali menghangatkan hati, kecewa lagi. (maafla, kekecewaan kedua ni tak dapat dinukilkan di sini al kisahnya) Okeh, kalau McD ada double prosperity, saya hari ni, double kecewa!

Syaitan cucuk jarum lagi. Bisikan baik terus berpencak silat dengan bisikan jahat. Akhirnya bisikan baik buat jurus penutup, " Sampai pejabat nanti, kau buka Al- Quran, tengok apa Allah kata "

Ok. Bisikan jahat terdiam, surrender!

Sampai di pejabat. Capai Al-Quran atas meja. Buka saja halamannya secara rawak (selalu buat macam ni kalau hati tak tenang). Baca terjemahannya, satu persatu. Akhirnya tersangkut di ayat ini, (T_T)

"Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji dengan perihal kamu" (Muhammad: 31)


Perkataan pertama muncul selepas membacanya. Malunya..... Malu kepada Allah. Seolah-olah Allah kata pada saya, Aku nak uji kau je, 

benar ke kamu orang yang berjihad.

(T_T) Ya..ya, akulah, akulah orang yang berjihad tu, berjihad melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan.

benar ke kamu ni orang yang sabar.

(T_T) Ya..ya, akulah, akulah orang yang sabar tu, sabar bila diuji.

Tapi, nampaknya sekejap tadi aku dah gagal, aku gagal mempertahankan jihad dan sabarku! Bolehkah aku bermula semula? Biar tewas seketika, jangan tewas selamanya.

Baiklah, ya Allah. Aku nak menang dalam ujian ini. Baiklah, aku nak senyum (^_______^) dengan ujian ini. 

Ajaibnya, dah hilang kecewa, sekarang dah boleh senyum semula. Terima kasih, ya Allah.

Eh, dah faham apa kaitan bola dengan kecewa?

Ops, sebelum cerita ni tamat. Ada satu benda nak tanya.

Perlu ke cerita benda ni dalam blog? Perlu ke cerita kisah-kisah sendiri ni, macam nak promote diri sendiri je. Macamla baiiiikkk sangat.

Ha, pertamanya, sebab saya bukan baaiiiik sangat la saya cerita benda ni. Bahawasanya saya (eh macam nak ikrar pelajar baru pulak), sekali lagi, bahawasanya saya, adalah manusia biasa, mustahil hanya ada ketawa dan senyum mesra, bahkan tak jarang juga ada duka dan air mata. Mustahil hidup saya manis semua, ada juga pahitnya. Jadi, jangan terkejut dan mencemuh bila sesekali saya termerungut (jangan guna perkataan ni dalam peperiksaan ya, nanti DBP marah! He he), terbebel atau terpatah semangat. Tapi kalau saya lebih-lebih, sila tegur ya.

Keduanya, bila kita kecewa, carilah Allah. Ada satu kata-kata ni, kalau nak bercakap dengan Allah,solatlah. Kalau nak Allah bercakap dengan kita, bacalah Al-Quran. Alhamdulillah, bernas lagi mujarab!

Ketiganya, kecewa adalah pintu masuk syaitan. Lagi lama kita melayan kecewa, lagi jauh syaitan dapat masuk menjajah hati kita. Jadi, BAMMM!! Tutup pintu tu cepat-cepat, tau.

Keempatnya, sebenarnya (banyak sungguh 'nya'), sebenarnya orang yang buat kita kecewa tu tak ada kaitan pun dengan masalah kita. Dia hanya asbab saja. Sebenarnya yang ada adalah ujian antara kita dengan Allah saja. Okeh, bila kita fikir macam tu, kita takkan ada dendam, sakit hati, marah dengan orang yang kecewakan kita, sebaliknya kita fokus dengan ujian langsung dari Allah ni. Berkurang sudah masalah kita. Bersangka baik saja dengan Allah, kemudian selesai! Erm, tak susah sangat,kan?

Dan yang terakhir sekali, tercoretnya kisah ini adalah supaya saya dikemudian hari dapat menilai kembali hikmah di sebalik kejadian yang telah berlaku dalam episod kehidupan saya, supaya dengan asbab ini insyaAllah saya menjadi orang yang lebih bersyukur.

Jadi, boleh saya kongsikan cerita peribadi (dengan syarat: ada pengajaran untuk diri dan orang lain yang sudi) untuk paparan semua?

Apapun, bila Allah ada (di hati kita), hidup pasti ceria... (^_____^). Serius, dah hilang virus KECEWA! Alhamdulillah.



Saturday, February 18, 2012

"..jangan minta tak hujan.."

Teringat satu petang. Keluar beli keperluan untuk jungle trekking dengan adik-adik, di Taman Negara Penang, esok. Suami memandu, cermat. Kedengaran celoteh DJ di corong Radio IKIM.fm. Cuaca agak mendung. Saya mengarahkan pandangan ke dada langit. Ada rasa risau bertamu di hati.

"Macam nak hujan je hari ini", suara saya bertingkah dengan suara DJ di radio.

Suami membisu, fokus. Sekilas dia memandang awan tebal yang berarak perlahan ditiup angin petang.

"Ya Allah, janganlah hujan esok", kerisauan menggamit. Takut-takut hujan mengganggu aktiviti kami esok. Lebih merisaukan, kami AJK pelaksana program tak pernah sampai ke tempat yang bakal dijejaki esok, dan tak tahu macam mana keadaan di sana. Hanya berpandukan penerangan dan cerita suami yang berpengalaman berjungle trekking di sana. Dahlah peserta esok semuanya perempuan. Atas nasihat suami, kami carikan juga beberapa peserta lelaki yang akan bertindak sebagai bodyguard kami. He he... Dan suami sendiri akan bertugas sebagai tourist guide ("..kalau jadi apa-apa pada isteri saya macam mana?.." He he.. usik dia bila saya kata tak nak susahkan dia, memandangkan malam tu nanti dia akan bermusafir ke KL pula)

"Jangan minta macam tu", balas suami sambil memperlahankan radio. Saya perasan, itu tandanya dia akan melanjutkan perbualan atau perbincangan.

"Kenapa pula? Kalau hujan, susahlah kita esok", nak juga saya pertahankan alasan saya.

"Mintalah yang terbaik dari Allah. Kalau hujan itu yang terbaik, Alhamdulillah. Kalau tak hujan itu yang terbaik, juga Alhamdulillah. Kita kan tak tahu, Allah lebih tahu, yang mana lebih baik untuk kita esok", terang suami.

Baiklah. Saya selalu kalah dengan pemikiran positifnya. Bukan saya dah cukup positif ke? Ouh, belum cukup ya..?

Tiba-tiba teringat pada ayat Allah, yang selalu diulang-ulang samada kepada diri sendiri atau adik-adik 'bulatan gumbira'.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah. Al Baqarah:216)

Pang! Macam tertampar diri sendiri. Tertampar dengan ayat Allah. Tertampar dengan kata-kata suami. Macam mana boleh lupa tentang ni? Bukan selalu ke cakap tentang ni? Ya Allah, ampunkan hamba. Ya Allah terima kasih kerana menegur hamba.

Begitulah kita. Kadang kala kita rasa sedih, rasa kecewa bila apa yang kita nak, tak ditunaikan oleh Allah. Kadang kala kita rasa sedih , rasa kecewa bila apa yang kita tak nak, tapi itulah yang Allah berikan. Allah tak faham kita ke? Allah tak sayang kita ke?

Bahkan, Allah lah yang paling memahami dan menyayangi kita, melebihi segala yang ada di muka bumi ini! Sesuatu yang nampak buruk, belum tentu tidak baik untuk kita.  Sebab itu, yang pahit jangan terus diluah, yang manis jangan terus ditelan. Setiap apa yang terjadi kepada kita, adalah dengan izin Allah, dan Allah tidak sesekali bermaksud tidak baik kepada kita.

Mungkin hari ini kita tidak faham, kenapa Allah buat begini? Kenapa Allah takdirkan begini? Tetapi yakinlah, sekiranya kita melihat musibah yang datang dengan kacamata iman, insyaAllah kita akan dapat melihat anugerah yang terlindung disebaliknya. Ada anugerah di sebalik musibah.

Allah tahu apa yang kita tidak tahu. Kerana itu, mintalah Allah takdirkan yang terbaik untuk kita. Kalau yang terbaik itu datangnya diawali dengan musibah (baca: ujian),maka kita redhalah dengan Allah dan bersabarlah. Kalau yang terbaik itu datangnya diawali dengan anugerah (yang kita harap-harapkan), maka redhalah kita dengan Allah dan bersyukurlah. 

Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim)

Redha, sabar dan syukur. InsyaAllah kita akan tenang dengan apa saja takdir Allah. 

"Senangnya cakap, tapi bukan senang nak buat", mungkin akan kedengaran syaitan cuba menghangatkan prasangka.

Jawablah, "Memang bukan senang, kerana jalan ke syurga itu hamparannya adalah duri mehnah. Hanya yang berjaya menempuh kesukaran akan mampu mencapai syurga yang amat indah"

Jadi, mintalah pada Allah pengakhiran yang baik untuk kita, biarpun permulaannya boleh jadi pahit atau manis, sukar atau mudah.Kita redha segalanya yang Allah takdirkan, kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

Monolog: Bermula saat taaruf hingga sesaat sebelum diijabkabulkan, hatinya selalu berdoa, "Ya Allah, sekiranya pernikahan ini terbaik untuk kami, keluarga kami, agama kami dan dakwah kami, maka permudahkanlah urusan kami ini, namun sekiranya sebaliknya, maka jauhkanlah kami dari kemaksiatan dan kederhakaan terhadapMu". Dia redha, apa jua takdir Al-Khaliq.

Alhamdulillah, esoknya Allah berikan cuaca yang terbaik untuk kami..



..dan kami berjungle trekking dengan jayanya, Alhamdulillah.


Wednesday, February 15, 2012

Adik Hilang!

Sedang siapkan lauk untuk suami. Terdengar telefon 'menyanyi'. "Mak cik Lela", kata suami sambil tangannya menghulurkan telefon. "Mak cik Lela?" dalam hati sedikit hairan.

"Ayu, mak cik ni", kata suara dihujung talian, setelah salam dihulurkan. 

"Ya, mak cik. Ada apa ya?", saya segera bertanya.

"Adik Ayu nama apa ya? Apa nombor telefon dia?", Mak cik Lela menjawab dengan pertanyaan.

"Ery. Kenapa mak cik?", jawab saya dengan persoalan menerawang memenuhi kotak fikiran.

"Tak ada, pukul lima tadi dia telefon mak cik kata nak datang hantar album gambar, katanya dah di Alor Setar, tapi sampai sekarang mak cik tunggu, tak sampai-sampai lagi", ceritanya.

Sambil mata melirik ke jam di dinding rumah Tok yang menunjukkan tepat 6.30 petang, saya menjawab, "Oh ya ka, tak apa nanti saya cuba telefon dia ya, mak cik".

Perbualan ditamatkan. Lauk dihidangkan. Saya duduk menemani arjuna kekasih hati makan, sambil tangan ligat menekan kekunci telefon. Cuba mendail, menghubungi adik. Talian aktif, tapi tidak diangkat.

Adik saya telah diminta untuk menjadi jurugambar bagi majlis perkahwinan anak Mak cik Lela, minggu lepas. Hari ini dia sepatutnya ke rumah mak cik untuk menghantar album perkahwinan tersebut sebagaimana dijanjikan. Namun, setelah satu jam setengah dari panggilan terakhirnya, dia belum sampai ke destinasinya. Rumah mak cik dengan Alor Setar tidak begitu jauh, mustahil perlukan sejam setengah untuk sampai. Tambahan saya tahu, adik saya boleh tahan juga pecutnya. Melainkan, apa-apa terjadi dalam perjalanannya. Nauzubillah. Ya Allah, jauhkanlah perkara yang tidak baik dari kami.

Tak sedap hati. Sambil kemaskan meja makan, sambil menekan kekunci telefon. Mencuba beberapa kali, tapi masih juga gagal. "Ke mana budak ni pergi", hati berkata sendiri. Tak keruan dibuatnya. Pelbagai andaian muncul di fikiran, kebanyakannya yang negatif saja! Cuba memujuk hati, tapi gagal! Apa dah jadi? Ke mana dia pergi? Di mana dia sekarang? Aduhai, tak tergambar kerisauan yang menerpa fikiran.

Dibelek-belek senarai nombor telefon, tiada satu pun nombor kawan adik. Silap saya! Ke mana nak bertanya? Kepada siapa nak bertanya? Aduh, buntu! Cuba menghubungi telefon dia, tapi gagal lagi! Cuaca hati? Bukan setakat mendung lagi, dah beribut petir, berangin puting beliung, bertsunami dah kat dalam tu!

Suami ambil angin di luar rumah. Hati dah ribut. Mata dah berkaca. Setelah menghampiri suami, lalu saya bertanya, "Abang, boleh tak kita ke rumah mak su? Nak online sekejap. Nak cari kawan-kawan Ery di fb (facebook). Kot ada yang tahu, dia ke mana, dengan siapa", suara bergetar, menahan takungan air di tubir mata. 

"Ok, lepas solat Maghrib kita keluar ya", jawab suami, memujuk.

"Lepas Maghrib? Sekarang baru pukul 7.00 petang, lambat lagi Maghrib, kalau jadi apa-apa macam mana?", emosi yang tidak keruan berkata, sedang bibir hanya membisu, tak terluah.

Suami cuba tenangkan hati si isteri, cuba alihkan topik perbualan, tapi hati ini dah hilang tumpuan, jari jemari sibuk menekan punat telefon, mengharap ada suara di hujung talian, tapi hampa lagi. Enggan dikesan perubahan riak wajah, kaki segera melangkah, membawa diri masuk ke dalam rumah. Suami mengikut dari belakang. Akhirnya, gagal juga menahan butir jernih dari turun membasahi pipi. Esak tangis kedengaran, sambil doa tidak putus-putus dipanjatkan. Suami mengusap lembut, memujuk. Tiada suara keluar dari bibirnya, tapi saya tahu dia cuba menenangkan hati saya, dan saya sangat-sangat menghargainya. 

"InsyaAllah, dia tak ada apa-apa", doa suami. Saya aminkan doanya, dengan hati penuh pengharapan. Hati sedikit tenang.

Sedang bersiap untuk solat, telefon bergetar, ada sms masuk. " Ery dah sampai rumah mak cik, kereta dia rosak tadi, kawan dia hantar- Mak cik Lela". Terlompat saya! Syukur! Syukur, Alhamdulillah. 

"Abang, Ery dah sampai rumah mak cik", belum sempat saya habiskan cerita, telefon berdering, adik saya telefon.

"Abang, tolong jawabkan", pinta saya kepada suami.

"Kenapa pulak? Cakap lah dengan dia", kata suami.

"Tak nak lah, malu", sambil tersengih. Macam mana tak malu, mata dah bengkak, suara dah tersekat, menangis bagai nak rak tadi, he he.

Tak kedengaran butir bicara kedua adik dan abang ipar ni, yang tertangkap adalah usikan suami, "..ada ni ha, nangis-nangis dah kat sebelah ni." Waaaa, malunya!!

Suami serahkan telefon. Adik terangkan asbab yang menjadikan senja saya keributan hari ni. Rupa-rupanya, kereta yang dia bawa, rosak. Lebih 'best' lagi, dia tertinggal telefon dalam kereta yang ditinggalkan di bengkel. Patutlah tak jawab telefon. Alhamdulillah, lega sangat-sangat, dengar suara dia, dan sempat lagi dia usik saya, "dah la tu nangis, malu kat Abang Long (panggilan keluarga saya kepada suami). Abang (panggilan keluarga saya kepada adik) minta maaf ya kak". Saya mengangguk, sambil hadiahkan senyuman terima kasih kepada sang arjuna kekasih hati yang setia di sisi (he he). Terima kasih ya Allah. Dikau pulangkan semula insan kesayangan hamba.

"Abang, nanti kena pakai spek hitam la nak pergi rumah mak su",

"Kenapa pulak?", tanya suami buat- buat tak tahu ke?

"Ni mata bengkak ni? Nanti orang ingat kita gaduh"

"Kalau gaduh, takkan pergi sama-sama", usik suami gelakkan saya ya?

Duduk berteleku di birai malam, saya termenung sendirian. Apa pengajaran yang dapat saya kutip dari peristiwa petang tadi? Banyak. Bahawa sesungguhnya, tiada sesuatu pun milik saya sepenuhnya. Adik-adik saya, bukan saya punya. Andai nanti Allah ingin mengambilnya semula, tiada apa yang saya dapat lakukan, melainkan redha seadanya kerana Dia tahu apa yang terbaik. Begitu juga dengan ibu bapa, saudara dan sahabat saya. Apatah lagi nyawa, harta, ilmu, pancaindera, masa dan segala yang saya ada hari ini, adalah sekadar pinjaman dariNya. Yang dengan pinjaman itu saya akan ditanya tentangnya, akan dipertangungjawabkan terhadapnya suatu hari nanti.

Merenung wajah tulus sang arjuna hati yang sedang beradu diselimuti kedinginan malam hari, hati berbisik, dia juga adalah pinjaman dari Allah, suatu hari kami akan berpisah, dan semoga di Syurga dipertemukan kembali. 

Kehilangan menjadikan kita menghargai. Hargailah apa yang kita ada, sebelum mereka/ia diambil semula oleh pemilikNya. Sesungguhnya, tiada milik kita, Allahlah satu-satunya yang kita ada!

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Al-Hadid: 22-23)

Inilah dia, 'mamat' yang telah menggamatkan senja saya semalam.. he he