Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, September 27, 2009

Berbicara dengan Pantai..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. pujian dan kesyukuran buat Pencipta yang Maha Kuasa, Aidilfitri diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesejahteraan..

Saya tidak berniat untuk berkongsi kisah hari raya (buat masa ini), hanya sekadar melepaskan rindu pada teratak ini, saya kongsikan gambar-gambar Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Bukit Keluang yang saya rindui.. rasa puas dapat menjamah pepasirnya yang putih bersih..rasa lega dapat menghirup bayunya yang nyaman segar..seakan semua kegelisahan dan kerisauan terbang dibawa angin...




aku anak laut..
aku sahabat pantai..
aku teman pepohon nyiur..
aku akrab dengan dedaunan rhu...
di kejauhan lautan, sayup mata memandang..
di situlah ceritera tentang aku tersimpan rapi..




pada mentari subuh, aku hamparkan segala epilog dukaku..
pada mentari senja, aku kisahkan segala episod bahagiaku..
wahai langit yang memayungi laut,
wahai langit yang menaungi pantai,
wahai langit yang pada wajahmu terlukis mentari subuh, dan juga mentari senja..
akan ku sematkan memori silamku dan memori mendatangku di dadamu..
akan ku jadikan engkau diari rahsia yang menyimpan kisah ku..
kerana engkau lah yang paling setia..
terus berada di situ tika aku mendatangimu..
tanpa aku atau dengan aku..
engkau tetap di situ..
menjadi bumbung buat teman-temanku..
pantai, lautan, pepohon nyiur dan dedaun rhu..



Wassalam..

Thursday, September 17, 2009

Salam Aidilfitri

Assalamualaikum..

Tangan dihulur..jari disusun..maaf dipinta..Semoga kehadiran aidilfitri ini bakal memberi sinar kebahagiaan dan cahaya kegembiraan kepada kita semua, dengan berkat rahmat dan kasih Ilahi.. semoga keredhaanNya terus mengiringi..

Ya Allah ya Rabbi, ampunkan segala dosa dan kejahilanku... [Terimalah amalanku Ya Allah]

Kepada ma dan abah.. maafkan salah silap kakak.. [Terima kasih kerana menjadi sahabat akrab kakak.. tak sabar nak borak-borak atas pasir pantai dalam 'taman' belakang rumah]

Kepada 2 hero kesayanganku, abang dan adik.. maafkan kakak.. [Abang kena bagi kakak dan adik duit raya tahun ni..]

Kepada pak cik mak cik naqib naqibah.. maafkan saya..[Terima kasih atas segala bantuan dan tunjuk ajar]

Kepada 2 supervisorku, maafkan saya..[lega, initial framework dah diterima, terima kasih sanggup bersabar dengan 'ketidaktahuan' saya]

Kepada ikhwah akhawat sahabat seperjuangan yang sehati sejiwa di medan dakwah, maafkan saya..[semoga Allah terus memilih kita untuk menjadi mata-mata rantai penyambung perjuangan ini insyaAllah]

Kepada sahabat karibku 7 bersaudara.. maafkan saya..[sangat merindui kalian semua, antara kita ber-7 akan ada yang nak naik pelamin dalam masa terdekat ni.. cuba teka siapa? Yang pasti bukan saya.. = ) ]

Kepada adik-adikku sayang, di mana saja berada.. maafkan akak..[terima kasih kerana sudi menjadi adik-adik perempuan akak, seronok punyai adik seperti kalian.. teruskan perkongsian, akak sentiasa bersedia menjadi pendengar yang setia..]

Kepada sahabat blogger.. maafkan saya..[semoga kita semua terus kental berjuang menyampaikan kebenaran, menyebarkan kebaikan melalui mata pena]

dan kepada semua muslimin muslimat di mana saja, raikanlah aidilfitri ini dengan penuh kesyukuran kepada Ilahi.. semoga Ramadhan yang berlalu telah menjadikan kita insan yang lebih baik serta hamba yang lebih kukuh iman dan takwanya..

p/s: rindunya kepada bunyi ombak yang menghempas pantai..hembusan bayu yang meniup damai..pepohon nyiur yang melambai-lambai..gesekan pepohon rhu yang menenangkan... mentari pagi yang malu-malu bercerminkan lautan tenang..sang helang yang menebarkan sayap berterbangan gagah di angkasa.. rindunya pada semua itu..tunggu, aku akan kembali..

Jumpa lagi selepas 27 September ini...
ma, abah, abang, adik.. kakak balik ni..


Wassalam

Wednesday, September 16, 2009

kerana DIA menyayangimu..

Assalamualaikum..

Jam berdetik, jarum bergerak, berlarian.. meninggalkan detik demi detik jauh dibelakang... Ramadhan yang hampir berlalu, sungguh sedih dan gentar bila mengenangkan.. sedih mengenangkan, adakah kaki ini akan masih berpijak dibumi ini, berbumbungkan langit Ilahi, ataukah jasad ini sudah seluruhnya terbujur kaku beralaskan tanah dan juga berlangitkan tanah, saat Ramadhan berkunjung di tahun hadapan.. Ya Allah, sampaikanlah hamba Mu ini kepada Ramadhan seterusnya.. Gentar mengenangkan bekalan yang sempat dikutip sepanjang bulan barakah ini.. Bagaimanakah agaknya cacatan dalam buku amalan sepanjang bulan ini? penuh dengan CATATAN kebaikan atau CACATAN kejahilan? Ya Allah, terimalah amalan kami...

Semalam, usai majlis iftar dengan pak cik mak cik dan adik-adik ikhwah akhawat, seorang adik berjalan beriringan dengan saya dalam perjalanan pulang ke bilik..

Dia : Akak free tak esok?

Saya : Kenapa, awak nak ajak akak pergi ke mana? (tersenyum mengusik..)

Dia : Tak delah.. (sambil tersenyum kembali..)

Saya : Ke awak nak belanja akak buka puasa?

Dia : He..he.. tak lah, saya nak sembang personally dengan akak.. nak tanya pendapat akak..

Saya : Ouh, nak tanya apa?

Dia : Saya tension la kak.. ( wajah cerianya bertukar muram...)

Saya : Kenapa ni.. tension belajar ye.. (saya bersuara, memujuk dia meluahkan..)

Dia : Tak...

Dan dia mula bercerita kepada saya, satu persatu apa yang menyebabkan hatinya resah, jiwanya tak tenteram.. sesekali saya mencelah, selebihnya saya hanya diam mendengar, membiarkan dia meluahkan apa yang terbuku dihatinya.. saya biarkan dia melepaskan 'beban' yang menjerut jiwanya..

Dia : Saya pernah berazam nak pakai tudung labuh kak, tapi dengan saya yang macam ni pun orang kata macam-macam.. orang kata saya pura-pura baik, buat-buat baik, kononnya alim..
saya sedih sangat kak..

Buatmu adikku, akak tidak mampu menyelesaikan masalah yang menimpa mu, apatah lagi mengubah apa yang telah berlaku.. hanya akak mampu titipkan pesan buatmu, semoga dengan izin Allah, dikau kembali beroleh ketenangan, semoga dikau kembali kuat menempuh ujian dan semoga dikau mampu melihat hikmah yang Allah sediakan...

Adikku,

Hati mu menjadi resah tatkala kedengaran suara-suara sinis dan tajam menuduhmu membuat sesuatu yang tidak dikau lakukan.. dikau kecewa.. dikau terluka.. ketahuilah adikku, dikau sebenarnya berada di medan ujian.. sebagaimana dikau menempuh ujian dalam pembelajaranmu, kini dikau berada pula di dalam 'dewan ujian keimanan'.. bezanya adikku, ujian pembelajaranmu di khabarkan terlebih dahulu agar kamu bersedia, sedangkan ujian keimanan ini tidak menentu datangnya, hikmahnya agar kamu sentiasa berwaspada...soalan ujian akademikmu disusun dan dirangka oleh pensyarah, tapi ujian keimananmu datangnya dari Allah, Pemilik seluruh alam raya, yang Maha Pencipta, yang Maha Berkuasa, dan dalam masa yang sama Dia lah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tapi adikku, dikau bertuah, kerana dewan ujian mu kali ini adalah 'dewan' Ramadhan al-Mubarak, yang didalam nya terkandung seribu satu rahmat dan kebaikan..

Adikku,

Ketahuilah bahawa ujian ini tanda kasihNya kepada mu.. dikau ingat lagi kan firmanNya..

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman,"sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Allah telah menguji insan-insan sebelummu, dengan ujian yang pelbagai, yang lebih berat dan besar dari apa yang dikau rasakan.. untuk apa ujian ini adikku? Supaya jelas siapa yang benar, siapa yang dusta.. siapa yang beriman, siapa yang bermuka-muka.. Adakah Allah tidak mengetahui, siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang berpura-pura, sehinggakan Dia perlu menurunkan ujian untuk menentukannya? Sesekali TIDAK.. Allah sesungguhnya Maha Mengetahui.. Dia tidak menimpakan ujian kepada hambaNya kerana Dia tidak tahu, bahkan Dia menurunkan ujian untuk memberitahu..Memberitahu siapa adikku?


Memberitahu hambaNya yang bermuka-muka bahawa Dia Allah, Maha Mengetahui apa yang terzahir pada perlakuan mereka, apa yang terbuku di hati mereka, apa yang terang dan tersembunyi.. agar mereka kembali bertakwa kepadaNya

Dia juga ingin memberitahu hambaNya, bahawa mereka bukan siapa-siapa, mereka tidak berkuasa, mereka hanyalah hamba, dan Dia Allah yang berkuasa menentukan segalanya.. Dia ingin memberitahu mereka, bahawa ujian ini datang untuk meningkatkan keimanan mereka, kerana ujian ini datang dengan kemampuan diri mereka..Renungi ayat ini adikku..

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."-Surah Al-Baqarah ayat 286

Dia menurunkan ujian ini untuk memberitahumu, bahawa dikau sentiasa dalam perhatianNya, bukankah itu tandanya Dia kasih kepadamu.. Kalau tidak kerana kasih, tentu Dia membiarkan dikau begitu saja, berbuat sesuka hatimu tanpa menghiraukan dosa pahala..mungkin dalam meniti perjalanan hidup seharian, dikau pernah tersilap langkah, lalu Dia titipkan ujian ini sebagai teguran, agar dikau tidak terus terleka.. Dia memanggilmu kembali kepadaNya di saat dikau hampir jauh meninggalkanNya.. betapa indahnya kasihNya kepadamu wahai adikku..

Adikku,

Tabahkan hatimu, kuatkan semangatmu.. hadapi ujian ini dengan penuh kesyukuran dan keredhaan.. Bersyukur, kerana Dia masih memandangmu. Redhalah, kerana Dia tahu apa yang terbaik untukmu.. Ingatkah lagi bagaimana Allah memujukmu dengan ayat cintaNya..

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman."- Surah Al-Imran ayat 139

Adikku,

Bangkitlah dari kesedihanmu, tempuhlah dugaan ini dengan berani.. dikau sesekali tidak boleh mengelakkan diri dari ujian ini, dan sememangnya dikau tidak perlu mengelak, bahkan hadapilah ia dengan penuh kesabaran..

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya(mencapai kemenangan)."-Surah Al-Imran ayat 200

Jangan sesekali dikau minta dikurangkan ujian, sebaliknya mintalah ditambahkan kekuatan oleh Allah untuk kau hadapi ujian ini.. gantungkanlah pengharapanmu kepada Allah..

"Cukuplah Allah bagiku, tidak adaTuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."-Surah At-Taubah ayat 129

dan jangan sesekali dikau berputus asa dari rahmatNya..

"... ..dan jgnlah kamu berputus asa drp rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."-Surah Yusuf ayat 12

Adikku,

Hapuskanlah air matamu, padamkan kesedihan itu, biarkan kekecewaan itu luput dari jiwamu.. Bangunlah dengan asma' TuhanMu.. peganglah erat kalam TuhanMu dan rentasi ujian ini dengan penuh keyakinan tanpa ragu.. keyakinan bahawa ujian ini mendatangimu kerana Dia menyayangimu..

:: Buat adikku, S dan sahabatku, K.. kutitipkan juga pesan ini buat kalian berdua.. semoga tabah menghadapi ujian.. ku doakan kalian terus diberi kekuatan oleh Allah.. aku tidak pandai menyusun kata beruntai hikmah, aku tidak tahu mengait bicara bersulam madah.. semoga kalam Allah mampu mengubat kesedihan kalian tatkala diuji dengan dugaan::


Wassalam..

Sunday, September 13, 2009

Mujahadah seorang Mujahidah

Assalamualaikum..

Dikongsikan sebuah artikel yang menarik.. semoga mendapat manfaat..

Kisah seorang usahawanita berjaya -Pn Rozita Pengasas Sendayu Tinggi.

Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak majalah menyiarkan cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu menjadi pencetus semangat untuk wanita di luar sana. Biar mereka tahu, sebagai manusia jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk berjaya dalam hidup.

Saya pernah jadi penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-macam kerja kampung untuk menampung hidup. Malah pernah juga cuba berniaga kedai runcit, menyertai MLM dan bekerja kilang.

Apabila berjaya dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar manusia perlu ada tiga sifat jika mahu berjaya. Pertama, mereka mesti mengorak langkah untuk memulakan perkara kecil dalam diri. Kemudian, jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba kerana tiada apa yang mustahil. Ketiga, jangan suka menyalahkan orang lain.

Nilai sepuluh sen

Bila sudah berjaya mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya pergi umrah. Ada banyak peristiwa yang dialami di tanah suci namun ada satu pengalaman yang paling menarik. Ia berlaku ketika saya tidur lalu bermimpi, satu suara menyuruh saya membaca beberapa ayat daripada surah Al-Baqarah.


Sekembalinya saya ke tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya mendapati antara maksud ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi hidayah untuknya selepas itu.

Saya memang sudah lama terdetik mahu berganjak ke alam (fasa) lain sebaik sahaja usia mencecah 40 iaitu membuat persediaan untuk mati. Saya mula melihat betapa kehidupan di dunia ini sangat singkat, indah dan perlu dinikmati. Saya sedih mengenang ramai orang yang berjaya dalam perniagaan tetapi hidup tidak bahagia.

Ketika saya mengejar dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli sebuah kereta dengan harga RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat, saya senang melihat banyak mata memandang dan berbisik-bisik kagum. Namun lama-kelamaan saya tersedar, rasa bangga melihat kekaguman orang itu menimbulkan perasaan riak dan mahu menunjuk-nunjuk.

Jika syiling sepuluh sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu mengutipnya semula. Waktu itu saya memikirkan kelas sebagai seorang jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu lagi bersikap begitu. Saya mahu buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen itu besar nilainya pada sesetengah orang dan tidak patut dibazirkan begitu sahaja.

Saya tidak pandai mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah seorang ustazah yang tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta seorang ustaz untuk berkongsi ilmu agama. Sehari setiap minggu, rumah saya dibuka untuk orang ramai menyertai majlis ilmu yang dibuat di sini.


Impian saya yang masih belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil perniagaan. Di kompleks berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah di samping memberikan kehidupan kepada fakir miskin menerusi perkongsian ideologi perniagaan.

Saya tidak mahu golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai sumber kewangan. Saya tidak memberikan mereka ‘ikan’ tetapi ‘pancing’ untuk mengubah kehidupan. Caranya saya beri mereka produk untuk dipasarkan. Saya juga mengambil kuih, kerepek dan lain-lain daripada mereka untuk dijual.

Satu lagi impian yang sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah perlindungan untuk anak yatim piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga pengajar pun tidak ada masalah. Cuma tinggal mencari bayi dan kanak-kanak untuk dibesarkan dengan pendidikan akademik berserta ilmu agama di rumah tersebut.

Kini mula berpurdah

Purdah ini sudah lima bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga sebab H1N1. Sebaliknya inilah antara cara saya menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Bila mengenakan purdah, tiada orang yang mengenali saya jadi tiada lagi layanan istimewa yang biasa saya dapat.

Saya tidak malu untuk mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi hati masih kotor. Ini kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai status selaku pengasas produk kecantikan.

“Kau kenalah pakai baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu produk kau bagus” – itu juga antara bisikannya yang sering menewaskan saya. Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir zaman yang disebut dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih bertelanjang’ .Sebagai majikan pula, kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu semuanya serba sempurna. Saya menjadi sungguh takut apabila tersedar dan berfikir bagaimana pula saya di sisi majikan paling besar iaitu Allah Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana sungguhpun solat, di mana zikir dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadanya?

Syukurlah, perubahan yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup. Anak-anak (Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain Sufiyah) dan suami melengkapkan lagi dunia wanita ini.

Kini hari-hari saya lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan keletah anak-anak, mengulit orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut dan pokok herba lain; juga melayan burung, ayam, lampam, puyuh, puyu dan tilapia melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang saya gelar Sorga Ammi.

Sesudah solat Subuh, tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus berlalu dibawa angin sambil merenung kalam-kalam bukit , saya semakin yakin betapa perlunya saya bersyukur menjadi hamba yang dilimpahi kasih sayangNya.

Sumber: http://nurmentari.blogspot.com/


Ya Allah, jadikanlah kami hamba-hambaMu yang terpilih untuk terus hidup dalam redhaMu, serta dilimpahi hidayahMu.. Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami..

Wassalam...

Saturday, September 12, 2009

Ramadhan yang Hampir Berlalu..

Assalamualaikum

Awal bicara dimulakan dengan pujian kepada Allah, Tuhan seluruh alam... Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda, serta kaum muslimin dan muslimat keseluruhannya..

Alhamdulillah, helaan nafas ini masih hangat terasa, degupan jantung ini juga masih deras berirama.. menandakan kesinambungan perjalanan kehidupan seorang hamba menuju Tuhannya, menandakan semakin jauhnya masa silam yang ditinggalkan berlalu, dan yang paling utama, menandakan semakin dekatnya perjumpaan dengan Tuhannya.. Modal usia ini semakin kehabisan, baki umur ini semakin berkurangan, yang paling menggusarkan.. adakah cukup bekalan yang dikumpulkan??

Tetamu mulia Ramadhan juga semakin hampir meninggalkan kita, fasa ke-3 sudah tiba memberi tanda-tanda akan berlalunya bulan barakah ini.. Akan adakah lagi peluang untuk menyambutnya di tahun akan datang? Ataukah ini Ramadhan terakhir yang akan dirayakan?

Lagu-lagu hari raya rancak berkumandang di sana sini.. toko-toko pakaian mula berkira menaik turunkan harga jualan.. tidak kurang, umat manusia berpusu-pusu memenuhi gedung-gedung membeli-belah...Jalan-jalan mula sesak dengan pelbagai jenis kenderaan, masing-masing tidak sabar, mencelah dan mengelak, memotong dan memecut seakan mengejar gunung emas yang sedang berlarian meninggalkan hiruk pikuk kota..kesibukan, kemeriahan seakan pesta besar sedang berlangsung..

Di satu sudut lain pula, segelintir hamba terpilih memenuhi masjid-masjid dan surau-surau untuk mendidik jiwa dengan i'tikaf, pada malam harinya mereka rukuk dan sujud dalam ibadat terawih.. dan disaat insan lain hanyut dibuai mimpi, mereka pula tenggelam dengan keasyikan qiamullail.. tiada lain yang mereka tangisi, selain kerinduan pada Ilahi, tiada lain yang mereka ratapi, selain ketakutan terhadap dosa-dosa yang menggunung tinggi, tiada lain yang mereka bimbangi, selain kesempatan untuk berjumpa Ramadhan sekali lagi, tiada lain yang mereka ingini, selain anugerah bertemu dengan malam lailatul qadar yang datangnya hanya sekali di bulan ini..

Sebelum Ramadhan, hotel-hotel rancak mengadakan majlis bersuka-suka, datangnya Ramadhan, hotel-hotel sibuk menganjurkan majlis berbuka.. Sebelum Ramadhan, anak yatim dan fakir miskin tiada yang bercerita, datangnya Ramadhan, anak yatim dan fakir miskin tidak dilupa..sebelum Ramadhan, masjid dan surau sunyi sepi imam dan bilal saja yang setia, datangnya Ramadhan masjid dan surau meriah seakan pesta..sebelum Ramadhan majlis tilawah dan hafazan Al-Quran hanya selingan selepas berita perdana, datangnya Ramadhan majlis khatam Al-Quran dihebahkan di mana-mana..

Sebelum Ramadhan sungguh berbeza dengan saat datangnya Ramadhan...bagaimana pula sesudah berlalunya Ramadhan nanti??.. alangkah bagus sekiranya suasana Ramadhan ini dirasai sepanjang tahun dalam bulan-bulan lain...inilah kehebatan Ramadhan...Beruntunglah orang-orang yang mengambil manfaat dengan kehadirannya, dan rugilah bagi orang-orang yang membiarkannya berlalu begitu sahaja...

"Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan yang berikutnya"

Wassalam

Sunday, September 6, 2009

Rindu ini..

Assalamualaikum..

Entah mengapa, beberapa hari kebelakangan ini, hati ini sangat merindui mereka..Rindu yang teramat sangat, rindu yang melebihi kerinduan yang biasa.. Berat tangan ini untuk terus mengetuk-ngetuk keyboard laptop ni, kerana seawal blog ini diwujudkan, diri telah berazam untuk tidak menjadikan blog ini laman peribadi, ataupun diari kehidupan untuk dipaparkan kepada masyarakat di ruang maya ini.. Niatnya untuk menjadikan blog ini sebagai medium perkongsian ilmu, pendapat dan pandangan, sambil berukhwah..

Maafkan diri ini, kerinduan yang tidak terluah ini menggerakkan jari-jemari untuk terus 'bersuara'.. Maafkan diri ini, sekiranya pengisian kali ini tidak membawa manfaat kepada yang membaca.. Anggaplah ia sekadar perkongsian, luahan seorang anak yang tika ini amat merindui ayah bondanya.. seandainya ditakdirkan diri ini mendahului ayah bonda menemui Tuhannya, biarlah kata-kata ini menjadi bukti betapa anakanda amat-amat menyayangi ayah dan bonda..

Ingat lagi..

Ketika diri ini masih kecil, darjah satu tika itu, bonda yang tiap-tiap pagi sikatkan rambut anakanda, ikatkan rambut anakanda dengan kemas dan cantik, anakanda seronok bila kawan-kawan puji ikatan rambut anakanda cantik, dan dengan bangga anakanda akan kata, bonda yang buatkan... Bila satu hari, bonda jatuh sakit, ayahanda yang ambil alih tugas bonda, sikatkan dan ikatkan rambut anakanda, ikatan yang ayahanda buat tak secantik kerja tangan bonda, lantas anakanda menangis enggan ke sekolah... Maafkan anakanda duhai bonda, maafkan anakanda wahai ayahanda..anakanda belum mengerti waktu itu..

Ingat lagi..

Setiap pagi ayahanda dan bonda hantarkan kami dua beradik ke sekolah.. kita berempat membonceng motosikal, Honda mata bulat kata ayahanda.. Ingat lagi, usai solat subuh kita bertolak, waktu pagi anakanda kena duduk di hadapan, adinda pula ditengah, antara ayahanda dan bonda.. Sepanjang perjalanan, anakanda kena tutup mata, sebab risau serangga-serangga kecil masuk ke dalam mata (sebab tu adinda tak nak berada di depan pada waktu pagi).. bila petangnya, adinda selalu akan duduk dihadapan.. Anakanda selalu merungut, kerana anakanda yang perlu selalu mengalah.. Kalau hari itu, hujan turun.. anakanda berdua akan diselimutkan dengan baju hujan, sedangkan bonda dan ayahanda berdua kuyup kebasahan...Terima kasih bonda..terima kasih ayahanda..

Ingat lagi..

Waktu kecil dulu, anakanda selalu diserang gastrik..kesakitan tu teramat memeritkan, sehingga anakanda akan meraung-raung, berguling-guling di lantai.. bonda lah yang mendukung anakanda.. dicempungnya tubuh kecil anakanda ke dalam teksi lalu dibawa ke klinik, sedang ayahanda mengikut dari belakang dengan motosikal... Pengorbananmu tidak mungkin dapat ku balas, duhai ayah bonda..

Ingat lagi..

Kalau ada rakan lelaki di sekolah mengganggu anakanda, ayahanda akan terus ke rumah rakan lelaki tersebut dan mengadu pada ayah ibunya supaya tidak mengganggu anakanda di sekolah.. sejak itu tiada lagi rakan lelaki yang berani mengganggu anakanda di sekolah.. kata mereka, ayahanda garang! Kata anakanda, ayahanda sayangkan anakanda... Bonda pula hampir setiap minggu pergi sekolah, berjumpa guru untuk mengetahui perkembangan pembelajaran anakanda berdua, hinggakan hampir semua guru mengenali bonda dan anakanda..Ya Tuhan, betapa mereka menyayangi daku..

Ingat lagi..

Anakanda berdua pernah dihalang masuk ke rumah, kerana pulang dari bermain saat azan maghrib berkumandang.. Kami bertangis-tangisan di pintu rumah, ayahanda membisu, bonda juga membiarkan.. Ini pengajaran buat kami, kata mereka.. sehinggalah nenek yang membukakan pintu untuk kami.. sejak itu anakanda berdua tak pernah lagi berani pulang lewat, apatah lagi sehingga senja..Di waktu itu anakanda berdua menyangka ayahanda dan bonda sudah tidak sayangkan kami, namun kini kami mengerti semuanya kerana mereka mengasihi kami..

Ingat lagi..

Di waktu malam sebelum tidur, bonda akan berbisik kepada kami di pembaringan, supaya belajar bersungguh-sungguh, kerana kami tidak punyai wang dan harta benda yang bertimbun. Bonda bisikkan lagi amanatnya supaya kami jadi anak yang baik..Kami ingat pesan bonda sehingga kini dan untuk selamanya..

Ingat lagi..

Saat anakanda hampir menduduki UPSR, bonda dan ayahanda pula mencari sesuap rezeki dengan berniaga di pasar malam, anakanda berdua ikut sekali.. Pukul 4.00 petang kita bertolak keluar, pukul 12 malam baru kita pulang.. Anakanda ingat lagi, guru memarahi anakanda kerana kerap mengikut ayah bonda berniaga di pasar malam, katanya nanti mengganggu pelajaran anakanda, namun anakanda buat tak kisah, terus setia bersama ayah bonda, kita redah hujan dan ribut bersama, kami menjadi saksi tatkala barang-barang jualan kita berterbangan ditiup angin, sedang bonda dan ayahanda sedaya upaya cuba mempertahankan gerai kita daripada rebah ke bumi..semuanya demi anakanda berdua, anakanda tahu..dan bila terserempak dengan ramai guru ketika berniaga, bonda bertanya, 'Kakak malu ke ma dengan abah meniaga pasar malam?'.. sehingga sekarang, anakanda sebak mengenangkan pertanyaan itu, tidak bonda, tidak ayahanda, anakanda tidak pernah merasa malu dengan pekerjaan ayananda dan bonda sebagai peniaga pasar malam, biarlah apa orang kata, yang penting ayah bonda lakukan kerja yang halal untuk keluarga kita.. malah anakanda berbangga dengan ayah bonda..

Ingat lagi..

Disaat kali pertama berjauhan dengan ayah bonda, bila menerima tawaran ke sekolah berasrama, kaki anakanda berat untuk melangkah.. adinda juga demam seminggu, kerana kami tidak pernah berpisah, saat adinda yang juga dimasukkan ke sekolah asrama pulang dan mengadu, rakannya mengatakan bahawa ayahanda dan bonda tidak sayangkan kami sebab itulah kami berdua dimasukkan ke asrama, jauh dari keluarga. Ayahanda cuma membisu, bonda hanya tersenyum.. dulu, anakanda berdua menyangka, benarlah apa kata mereka, ayahanda dan bonda tidak sayangkan kami.. tapi kini kami memahami betapa jauh pandangan dan perancangan ayah bonda dalam mencorakkan kehidupan kami..

Ingat lagi..

Anakanda tidak pernah ke mana-mana tanpa ditemani ayahanda dan bonda, hatta ke pekan yang berdekatan dengan rumah pun anakanda ditemani..sehingga kawan-kawan mengejek-ejek anakanda, katanya anakanda ni manja.. anak mak.. anak ayah.. Kalau melintas jalan pun, bonda akan pimpin tangan anakanda, sehingga sekarang, saat umur anakanda menjengah 23 tahun, bonda secara automatik akan memegang tangan anakanda bila melintas jalan.. Manisnya saat-saat itu..

Ingat lagi..

Saat anakanda mendapat tawaran ke menara gading, ayahanda bertungkus lumus bekerja di bengkel.. tempahan-tempahan yang tidak seberapa pun ayahanda terima, semuanya kerana ingin mengumpulkan duit untuk pembelajaran anakanda, bonda juga tidak kurang memerah keringat.. setiap kali anakanda terjaga di dua pertiga malam, dan mendengar mesin pemotong ayahanda masih lagi menjerit-jerit bekerja, anakanda menangis keseorangan, dan bila esoknya mata ayahanda merah bahana api dari mesin pemotong itu, dan bonda pula melekapkan kain lembap ke mata ayahanda, anakanda menangis tidak tertahan-tahan lagi.. Ya Allah, aku sayangkan mereka..

Ingat lagi..

Setiap kali anakanda memeluk erat bonda, mencium pipi dan tangannya sebelum menaiki bas untuk pulang ke kampus, bonda selalu titipkan pesan buat anakanda, katanya mereka tiada harta untuk diberikan kepada anak-anak, hanya mampu memberikan pelajaran, moga-moga ilmu ini mampu mengubah nasib kami sekeluarga.. ayahanda pula lebih sensitif sebenarnya dari bonda, di saat anakanda mencium pipi ayahanda, anakanda dapat lihat tubir mata ayahanda bergenangan. Saat bas mula meninggalkan ayah bonda jauh dibelakang, air mata deras menuruni pipi anakanda.. akan anakanda ingat pesan ayah bonda..

Ingat lagi..

Bila anakanda berjaya bergraduasi dengan kelas pertama, juga bila anakanda mendapat tawaran menyambung phd, ayah bondalah yang paling bangga..mengkhabarkan kepada kaum kelurga dan jiran tetangga dengan penuh kesyukuran.. anakanda tahu, bukan ayah bonda bermaksud untuk riak ataupun menunjuk-nunjuk, tetapi kegembiraan itu ingin dikongsikan bersama..

Ingat lagi..

Beberapa hari lalu, bonda menelefon anakanda menyatakan kerinduan, kerana sepanjang Ramadhan ini, kita belum berkesempatan untuk berbuka puasa bersama-sama.. Anakanda juga rindukan saat-saat kita menjamah hidangan bersama-sama, namun tugas dan tanggungjawab memisahkan kita buat sementara..Anakanda sebak, cuba mengalihkan topik perbualan, bimbang perubahan suara dapat dikesan oleh Bonda..Sebelum menamatkan perbualan, anakanda berjanji kepada bonda, akan pulang dan bertemu ayah bonda serta adinda-adinda yang dirindui, 2 minggu lagi.. sabarlah bonda, 2 minggu sahaja lagi..

Ingat lagi..

Tadi bonda telefon lagi, ayahanda juga turut mendengar dan mencelah perbualan kami, seperti selalu, tiada rahsia antara anakanda, ayahanda dan bonda.. bila anakanda ditimpa masalah, ayah bonda pasti akan menjadi tempat mengadu, tidak salah seorang, sebaliknya kedua-duanya sekali..bila anakanda ada khabar gembira ayahanda dan bonda berdualah yang pertama akan mengetahui.. Saat mendengar gelak ketawa bonda tadi, hati anakanda sebak lagi.. anakanda rindukan gelak tawa itu, anakanda tidak mahu bonda dan ayahanda bersedih lagi.. anakanda tidak sanggup melihat ayah bonda mengerah keringat lagi.. azam anakanda, ingin ayahanda dan bonda berehat saja di rumah, secepat mungkin..Bila anakanda minta bonda dan ayahanda doakan anakanda selalu, bonda terus mendoakan anakanda, kata bonda, doa untuk anakanda takkan pernah putus.. anakanda tidak sanggup mendengar lagi.. air mata hampir jatuh ke pipi..

Dan hari ini, anakanda berjanji, akan menunaikan janji anakanda pada ayah bonda.. Pengorbanan ayah bonda memang mustahil dapat anakanda balas, walau segunung intan, walau selautan permata anakanda persembahkan buat ayah bonda.. Cuma kebahagian yang dapat anakanda berikan, hanya kasih sayang yang dapat anakanda janjikan.. Ya Allah, panjangkan lah umur mereka, dan panjangkanlah umur ku, supaya aku berkesempatan untuk berbakti kepada mereka...Kakak sayangkan ma dan abah melebihi segala-galanya, terima kasih diatas segala pengorbanan ma dan abah selama ini.. Hanya Tuhan yang maha kaya saja mampu membalasnya..

Salam kasih dan rindu daripada anakanda buat ayahanda dan bonda yang jauh di mata namun sentiasa dekat dihati...

Wassalam..

Islam yang Merdeka

Assalamualaikum..

Dikongsikan entry yang menarik.. semoga bermanfaat, untuk yang menulis (khususnya) dan untuk anda yang membaca..

Prajurit berkuda itu melaju cepat menuju istana Persia. Setibanya di sana, ia tidak turun dari kudanya, tapi langsung membawanya masuk ke dalam. Kuda itu berjalan di atas hamparan permadani indah yang telah disiapkan untuk menyambutnya. Akhirnya, sampailah ia di ujung permadani itu. Prajurit itu turun dan menambatkan kudanya pada sebagian bantal-bantal yang ada di tempat duduk raja.

Rabi' bin Amir itulah nama sang prajurit berkuda tadi. Prajurit utusan Sa'ad bin Abi Waqqash. Sa’ad adalah panglima pasukan Islam dalam perang Qadisiyah. Rabi' datang memenuhi undangan Rustum, panglima pasukan Persia.

Rustum dengan mahkota kebesaran di kepalanya menyambut Rabi’. dia dikelilingi para pengawalnya duduk di atas kursi emas yang dihiasi bantal-bantal bersulam emas dan sutra. Singgasananya ditaburi mutiara dan intan yang bernilai tinggi. Aksesoris di sekitarnya bernilai sangat mahal.

Kontras dengan Rabi' yang hanya mengenakan pakaian kasar dan menunggang kuda kecil. "Apa yang mendorong kalian datang ke negeri kami?" tanya sang panglima.

Rabi' tegak dengan sebilah pedang di pinggangnya dan bersandar pada tombak yang ditancapkan pada sebagian bantal-bantal hingga meninggalkan bekas robekan, menjawab dengan tegas, "Kami datang untuk membebaskan manusia dari penyembahan sesama manusia kepada penyembahan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya dan dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam."

Kedatangan pasukan Islam bukan karena ambisi ekonomi atau politik demi perluasan wilayah kekuasaan. Kedatangan mereka membawa misi luhur: memerdekakan manusia dari segala bentuk penindasan atas yang lainnya, menebarkan kebaikan, rahmat dan petunjuk, menerangi jalan hidup dan melenyapkan kezaliman yang membelenggu mereka. Misi yang telah mengangkat martabat manusia dari kehinaan kepada kehormatan dan mengembalikannya kepada kemanusiaannya yang sebenarnya.

Islam datang sebagai ikrar universal kepada seluruh manusia yang ada di muka bumi. Tidak ada yang layak dijadikan Ilah, Tuhan yang berhak disembah, selain Allah. Setiap bentuk penuhanan manusia terhadap manusia lain merupakan kezaliman yang harus dilenyapkan, agar ketundukan seluruhnya hanya kepada Allah SWT.

Allah berfirman menjelaskan tentang misi diutusnya Rasulullah, "Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan," (QS al-Ahzab: 45)."

Dan untuk jadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi," (QS al-Ahzab:46).

Ayat ini menjelaskan lima hal yang menjadi misi diutusnya Muhammad membawa risalah Islam. Pertama, Rasulullah saw diutus untuk menjadi saksi pada hari kiamat. Saksi terhadap amal perbuatan umatnya. Dan umatnya pun menjadi saksi terhadap umat lainnya.

Kedua, Rasulullah saw diutus untuk memberi kabar gembira kepada setiap manusia yang beriman kepadanya dan mengikuti ajarannya.

Ketiga, Rasulullah saw diutus untuk memberi peringatan kepada siapa saja yang menentang dan mengingkari ajarannya.

Keempat, Rasulullah saw diutus untuk menyeru umat manusia agar mengikuti sistem hidup yang ia sampaikan. Agar meyatakan ketundukannya hanya kepada Allah semata.

Kelima, Rasulullah diutus membawa cahaya petunjuk yang menerangi jalan hidup manusia di dunia dan mengeluarkannya dari kegelapan. Islam datang untuk mengembalikan manusia kepada kemanusiannya yang sesungguhnya dan hanya menghamba kepada Allah dengan mengikuti syariatnya.

Ketika Rasulullah membaca ayat, "Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai rabb-rabb selain Allah…" (QS at-Taubah: 31) Adi bin Hatim berkata, "Mereka tidak menyembahnya." Rasulullah menjawab: "Tidak! Mereka menyembahnya. Para pendeta dan pastor itu mengharamkan apa yang dihalalkan bagi mereka, juga menghalalkan apa yang diharamkan bagi mereka. Lalu para pengikutnya mematuhinya. Dan ini bentuk penghambaan mereka kepada para pendeta dan pastor itu."

Gerakan ekspansi Islam bertujuan menyebarkan "hidayah" petunjuk kebenaran di daerah yang sesat. Semua yang hidup dalam naungan negeri Islam memperoleh hak yang sama. Tak heran jika ada ulama yang lahir bukan dari keturunan Arab. Misalnya, Sibawaih, ahli tata bahasa Arab kelahiran Persia (Iran kini), Imam Bukhari, ahli hadis kelahiran Bukhara (dulu masuk wilayah wilayah Soviet), Imam Al-Qurthubi ahli tafsir kelahiran Spanyol, dan lainnya.

Dakwahkan Islam dan Anda menjadi manusia yang bebas dari belenggu. Merdeka!


Wassalam..


Merdeka Milik Kita??

Assalamualaikum..

Salam Ramadhan.. Alhamdulillah... Seinfiniti kesyukuran dirafakkan kepada Pemilik diri, dunia dan seisinya, serta alam yang tidak terjangkau pada penglihatan mata...

Fajar 16 Ramadhan hampir menyinsing.. semoga membawa sinar baru, kekuatan baru kepada kita semua, lebih-lebih lagi dalam melaksanakan tanggungjawab hakiki sebagai HAMBA ALLAH... Sedar tak sedar, Ramadhan sudah masuk fasa ke-2, fasa Maghfirah yakni Keampunan... dan nampaknya, tetamu barakah ini sudah semakin hampir meninggalkan kita, entah sempat entahkan tidak berjumpanya lagi ditahun hadapan... Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan yang berikutnya..

Ok, entry kali ini akan berkisar tentang merdeka.. seperti yang kita tahu, 31 Ogos setiap tahun, hari ulangtahun kemerdekaan Malaysia diraikan. Dan tahun ini, usia kemerdekaan Malaysia sudah menjangkau 52 tahun. Walaupun entry kali ini agak lambat, tapi kerana nilainya ilmu itu tidak ada jangka waktunya, maka saya ingin berkongsi tentang mutiara ilmu yang saya berkesempatan untuk mengutipnya di satu forum yang diadakan baru-baru ni..

Majlis ilmu ini bertajuk, 'Merdeka Milik Kita??' Ada persoalan pada tajuk itu, yang perlu dijawab.. Ahli panelnya dua orang, yang diberi ilham oleh Allah untuk mengupas topik ini dengan amat baik sekali, kedua-duanya Alhamdulillah berpengetahuan luas dan mempunyai pelbagai pengalaman untuk dikongsikan bersama kami..

Untuk itu, saya kongsikan beberapa intipati pengisian pada forum tersebut, iaitu berkenaan MODEL KEMERDEKAAN baginda Nabi s.a.w ketika memasuki Madinah..

Ketika baginda Nabi diarahkan oleh Allah untuk meninggalkan Kota Mekah dan berhijrah ke Madinah, baginda sangat sedih dan berat hati sehingga baginda berkata, sekiranya tidak kerana arahan Allah dan kecaman kaum Quraisy, maka baginda tidak sesekali akan berundur dari kota suci itu, betapa baginda sangat cintakan tanah airnya, namun kerana kepatuhan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap arahan Allah, maka baginda akur dan terus berhijrah ke Kota Madinah..

Kedatangan baginda dan para sahabat ke Kota Madinah bukanlah untuk menjajah, sebaliknya untuk memerdekakan Kota Madinah dan penduduknya.. dari penindasan kepada keadilan, dari permusuhan kepada persaudaraan, dari kemunduran kepada kemajuan, dari perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada tuhan yang sebenar-benarnya..

Jadi apa yang baginda rasul lakukan setibanya di Kota Madinah?

PERTAMA.. sebaik saja menjejak kaki ke Kota Madinah, Nabi Muhammad s.a.w telah meminta para sahabat untuk bergotong-royong membina masjid. Pembinaan masjid ini adalah sebagai manifestasi pengukuhan akidah. Baginda memulakan usaha memerdekakan Kota Madinah dengan mengajak seluruh penduduk kota tersebut memerdekaan diri daripada sebarang bentuk perhambaan, melainkan hanya perhambaan kepada Allah.

KEDUA.. Baginda telah mempersaudarakan suku Aus dan Khazraj yang telah sekian lama bertelagah dan bersengketa. Begitulah pentingnya nilai ukhwah atau persaudaraan dalam membentuk negara yang merdeka. Penyatuan ummah amat penting kerana ia menjadi sumber kekuatan bagi sesebuah negara..

KETIGA..Seterusnya baginda nabi menetapkan satu perlembagaan, yang digunapakai untuk semua penduduk Kota Madinah, baik yang beragama Islam mahupun tidak. Kerana keadilan yang terkandung dalam perlembagaan tersebut, ia telah berjaya menyatukan semua penduduk di Kota Mekah yang terdiri daripada pelbagai suku, baik Islam mahupun bukan Islam, sehinggakan apabila Kota Madinah cuba diserang oleh pihak luar, semua suku di kota tersebut bangkit bersatu mempertahankan tanah air mereka.. Begitu hebat sinar Islam menerangi Kota Madinah..

Itulah model negara merdeka acuan nabi Muhammad s.a.w. Negara berbilang bangsa seperti negara kita Malaysia, bukanlah suatu yang asing, kerana pada zaman Rasulullah, baginda telah pernah memerintah sebuah negara yang juga terdiri daripada pelbagai suku, yang Islam dan bukan Islam.. Namun, baginda telah berjaya memerdekakan, serta mengekalkan kemerdekaan Kota Madinah dalam erti kata yang sebenar, merdeka bukan setakat dari segi fizikalnya, malah juga merdeka dari segi minda dan spiritual..

Jadi, sekiranya kemerdekaan ini mahu dikekalkan (maksudnya kemerdekaan yang sebenar dan menyeluruh, bukannya merdeka jasad, tapi minda terjajah) maka Rasulullah telah tunjukkan modelnya untuk diaplikasikan.. dan baginda telah membuktikan model acuan baginda memang benar-benar berkesan, bukan sekadar teori mahupun retorik semata-mata..Begitulah, cantiknya Islam mengajarkan erti kemerdekaan kepada manusia seluruhnya..

Jadi, bersempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia ini, marilah kita sama-sama memerdekakan diri daripada sebarang bentuk belenggu jahiliah yang nampaknya semakin menjerut dan merenggut kemerdekaan kita secara senyap tanpa kita sedari.. Merdekakan diri kita dengan menghambakan diri kepada Allah, kerana hanya perhambaan inilah yang memberikan kemerdekaan yang hakiki kepada kita.

Semoga mendapat manfaat dan selamat merancakkan amal ibadat kita sambil mempersiapkan diri bertemu 10 malam terakhir.. InsyaAllah

Wassalam