Dia menangis tersedu dalam dakapanku."Kalaupun saya salah, tak boleh
ke mereka tegur depan-depan? Kenapa perlu cakap-cakap kat belakang". Aku
mengusap lembut belakangnya, cuba menenangkan." Saya rasa saya ni macam
jahat sangat, saya tak tahu pun mereka tak suka dengan sikap-sikap
saya".
"Saya rasa macam semua orang tak suka
saya, cakap buruk tentang saya saya kat belakang", tangisnya makin
menjadi-jadi, tak pernah aku lihat dia menangis sebegitu kerana dia
biasanya hanya suka berdiam dan memendam, susah meluahkan perasaan.
"Mereka
kata macam-macam, saya ni pakai je tudung labuh, bawa imej Islam tapi
perangai tak macam orang tudung labuh. Salah ke saya menegur kalau saya
nampak mereka buat perkara tak betul? Memang saya akui saya agak tegas
dan berterus terang, tapi saya bukan nak malukan mereka. Saya tahu saya
tak sempurna, saya bukan budak sekolah agama, banyak lagi ilmu saya tak
tahu. Mereka kata masa saya tak pakai tudung labuh dulu, saya tak macam
ni", rintihnya lagi.
Aku biarkan saja dia
terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya, biar dia lega. Aku leraikan
pelukannya, namun terus mengelus lembut bahunya, mudah-mudahan dia
diberi kekuatan.
"Awak menyesal pakai tudung
labuh?", aku meneka. Dia hanya membisu. Dikesatnya air jernih yang
turun melaju dari tubir matanya. Aku dapat mengagak jawapan disebalik
kebisuannya. "Awak berputus asa nak menegur mereka lagi?", saya terus
menduga. "Buat apa nak tegur lagi, kalau tegur pun akhirnya saya yang
kena kutuk", perlahan dia menjawab dalam sedu sedannya.
"Awak,
Allah nak uji awak hari ini. Inilah harga tudung labuh yang kita pakai,
inilah harga yang kita terpaksa bayar. Siapa kata pakai tudung labuh
senang? Tak mudah seperti yang mereka nampak. Bila dah bertekad untuk
pakai tudung labuh, kita kena siapkan juga fizikal, mental dan hati
kita, kena kuat, kena tahan dengan cabaran. Dan inilah antara ujiannya.
Bilamana kita orang yang bertudung labuh buat silap, terus dikaitkan
dengan agama. Bahkan kita ni jadi perhatian di mana-mana. Pada mereka,
kita kena jadi sempurna, kena tahu semua ilmu agama, dan tak boleh buat
silap sikit pun. Sedangkan, kita juga manusia, manusia yang banyak
sangat kelemahan", saya bersuara sambil memandang tepat ke wajahnya yang
sugul.
"Jangan pernah menyesal dengan diri awak,
tudung awak. Jangan kerana masalah sekecil ini, awak dah mengalah. Ujian
ni banyak sangat hikmahnya untuk awak. Allah nak ajarkan tentang
sesuatu kepada awak. Sebelum ini awak mungkin tak pernah rasai ujian
bila bertudung labuh, awal-awal dulu, semua menyokong, memuji dan beri
galakan.Jadi mungkin awak tak terkesan sangat dengan istimewanya diri
awak sekarang. Bila Allah datangkan ujian macam ni, baru kita akan
rasai, betapa tak mudah sebenarnya, bersama tudung yang kita pakai, ada
tanggungjawab besar yang kita bawa bersama. Tanggungjawab untuk memegang
amanah membawa imej Islam, tanggungjawab memperbaiki diri, biar dalaman
kita secantik luaran, akhlak kita indah sebagaimana tudung kita,
tanggungjawab mempersiapkan diri dengan ilmu, kerana wanita seperti kita
selalu jadi tumpuan bila sahabat-sahabat ada permasalahan agama.
Jangan
anggap ia sebagai beban, anggap ia sebagai keistimewaan, yang Allah
bagi hanya khas kepada insan-insan yang Dia pilih. Nah, betul kan,
bertudung labuh tak semudah yang disangka? Hanya yang betul kental saja
dapat terus istiqamah dengannya, dan yang istiqamah dalam mengharapkan
keredhaan Allah, bukan kah mendapat tempat istimewa di sisiNya? Awak tak
nak jadi terkenal pada padangan Allah dan penduduk langit? Awak dah nak
berputus asa?" Aku menduga.
Melihat dia terus membisu,
aku bersuara lagi. " Begitu juga, ujian ini mungkin nak menyedarkan
sesuatu tentang dakwah yang berhikmah. Dulu kita biasa saja dengarkan,
kat mana-mana ustaz cakap, dalam mana-mana buku yang kita baca, dakwah
mesti berhikmah. Jadi sekarang Allah ajar awak bukan teori saja apa itu
dakwah berhikmah, tapi juga praktikalnya sekali. Bagaimana dakwah
berhikmah? Mesti kena caranya, tempatnya, sesuai perkataanya, tidak
melukakan, tidak menyebabkan kemarahan orang yang kita nasihatkan.
Bagaimana kalau dakwahnya tidak berhikmah? Maka jadilah, dakwah kita tak
berkesan, mad'u kita terasa jauh hati dengan nasihat kita, dan akhirnya
keluar lah cakap-cakap belakang macam yang awak alami.
Jadi, awak
jelaskan? Kenapa bersungguh benar Allah dan rasul minta kita berdakwah
secara berhikmah. Dan mungkin Allah nak tegur, cara awak, Allah nak awak
perbetulkan kaedah dakwah yang awak guna, Allah nak kata, salah tu,
kena perbaiki. Salahkah Allah tegur? Tak salah, kan. Allah tegur sebab
Allah sayang, Allah tegur sebab nak bagi kekuatan, Allah tegur supaya
kerja-kerja ini dapat awak laksanakan dengan lebih berkesan. Bila
berdakwah, kita berhadapan dengan macam-macam ragam orang. Ada yang
sensitif, ada yang terbuka, jadi kena bijak kita sesuaikan. Dai'e yang
kental, takkan putus asa, sebab dia tahu, dakwah adalah kewajipan, bukan
pilihan."
"Lagi, Apa Allah nak bagitahu awak? Terasa
sangat sakit dan terluka bila kita jadi bahan umpatan, kejian dan
kelemahan kita dibicarakan kat belakang, kan? Jadi bila kita tahu
sakitnya macam ni, kita jangan sesekali buat perkara sama kepada sahabat
kita sebab kita dah tahu betapa pedihnya, betapa peritnya akibat
daripada perbuatan ni. Boleh lukakan hati orang, boleh menyebabkan
permusuhan juga. Bila ada apa-apa yang perlu ditegur, dinasihati, jumpa
sahabat kita sendiri, cakap secara jujur dan ikhlas, insyaAllah semua
orang suka kalau kelembutan digunakan, cepat meresap. Kalau pun dia
mungkin tak dapat terus berubah, sekurang-kurangnya dia tak terasa hati,
dan tak ada permusuhan antara kita"
"Awak, walaupun awak
rasa ujian ni sangat menyakitkan hari ni, tapi saya tak tengok satu pun
perkara buruk yang Allah maksudkan terhadap awak. Semuanya ada hikmah
yang sangat indah. Kenapa teguran Allah ini begitu perit,sakit? Sebab
Allah nak kita ingat, sebab yang menyakitkan tu lebih lekat dalam
ingatan kita, kalau ujian tu senang, mungkin kita tak hargainya. Allah
nak kejutkan kita, mungkin Allah terpaksa 'menyergah' kita dengan
kuat." Sedu-sedannya telah reda, Ya Allah semoga kekalutan jiwa dia juga
begitu.
"Habis, apa saya kena buat?", tanyanya. "Sekarang
awak perlu sujud taubat kepada Allah, minta keampunanNya, mungkin ada
kesilapan yang awak tak sedari, bersyukur padaNya sebab menegur awak
dengan ujian begini. Kemudian pergilah jumpa sahabat-sahabat yang terasa
dengan awak tu, minta maaf. Sekarang tak timbul isu siapa bersalah pada
siapa dulu, tapi yang sebaik-baiknya adalah leraikan permusuhan, minta
dan beri kemaafan." jawabku. Dia menggenggam tanganku erat, "Terima
kasih sahabat". "Allah yang sedang memujuk awak, saya pelakon tambahan
saja, tapi saya bersyukur, Allah kurniakan anugerah pengajaran yang tak
ternilai untuk saya hari ni. Terima kasih ya Allah, terima kasih pada
awak juga" Hatiku tenang, moga Allah memberi dia ketenangan yang sama.
2 comments:
assalamualaikum..kak ayu zamani..
saya sangat menyukai wacana2 yang akak tulis di dalam blog akak..
teruskan perjuangan akak dlm berdaie..mohon share yang kak..
Barakallahumaluka..
w'salam..
terima kasih, dik. Yang baik dari Allah, Alhamdulillah.
Post a Comment