Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, January 19, 2012

Ikhlas inside!

Assalamualaikum..



Ramai antara kita, suka tolong orang lain. Tapi ramai juga yang rasa kecewa kerana pertolongan seolah-olah tak dihargai. "Sekurang-kurangnya, ucaplah terima kasih..!" Itu nada kecewa yang selalu kita dengar.

Banyak situasi dalam hidup kita, yang datang untuk menguji sejauh mana ikhlasnya kita. Adakah sekadar di bibir, tapi dalam hati membebel panjang, "Alah kenapalah kau datang cari aku!", atau memang betul-betul ikhlas masa memberi bantuan, tapi bila dilupakan selepas pertolongan diberikan, mula lah hilang ikhlas yang kita tuturkan tadi, diganti pula dengan rasa kecewa, "Huh, lepas senang, lupa aku yang tolong dia dulu!".

Kenapa agaknya kita rasa macam tu? Walhal bila datang kawan atau saudara minta pertolongan, lancar saja mulut kita menyebut, "Tak apa, aku tolong kau ikhlas", siap dengan senyuman melebar. Tapi ternyata, susah rupanya nak benar-benar ikhlas ni. Adakah puncanya kerana si penerima bantuan tu yang benar-benar tak kenang budi? Hingga yang memberi bantuan ni rasa sakit hati? Ataukah mungkin kita yang memberi ni, TIDAK MEMBERI SEPENUH HATI?

Mungkin ramai yang tak suka dengan kenyataan di atas, tapi tak salah kan kalau kita cuba-cuba fikirkan, mana tahu ada ada kebenarannya, walaupun sipi-sipi saja? Ayuh kita lihat kembali pertolongan-pertolongan yang kita dah berikan kepada sahabat atau saudara kita.

Bila kita memberi, adakah kita kecewa bila tiada ucapan terima kasih diucapkan?
Bila kita membantu, adakah kita mengharapkan mereka akan kembali bantu kita bila kita kesusahan?
Bila kita menolong, adakah kita sakit hati bila kita tidak lagi dihiraukan selepas mereka senang?
Bila kita menghulur, adakah kita tak senang duduk bila tiada penghargaan diberikan?
Bila kita buat kebaikan, adakah kita selalu mengungkit kebaikan yang telah dilakukan?
Bila kita buat kebajikan, adakah kita rasa nak ceritakan pada semua orang?

Kalau 'adakah-adakah' pada persoalan di atas masih ada, mungkinkah kita belum lagi benar-benar IKHLAS?  Kerana masih ada walau sekelumit dalam hati kita untuk minta di balas. Setuju tak kenyataan ini, bila kita menolong binatang, kita jadi lebih ikhlas daripada bila kita tolong manusia. Kenapa? Sebab kita tahu binatang takkan dapat membalas kebaikan kita (kalau adapun jarang sangat kot), jadi kita tolong mereka tanpa harapkan mereka ucap terima kasih, puji kita, dapat cari kita lagi selepas dah senang dan sebagainya.

Jadi, tak boleh ke mengharapkan balasan? Bukankah kita dah tolong mereka susah payah?

Sebelum tu, mari kita semak.

Harta kita yang kita guna untuk bantu sahabat dan saudara kita, milik siapa?
Tangan kita yang kita hulur untuk tolong mereka, milik siapa?
Kaki kita yang kita guna untuk permudahkan urusan mereka, milik siapa?
Telinga kita yang kita guna untuk dengar permasalahan mereka, milik siapa?
Mulut kita yang kita guna untuk memberi nasihat kepada mereka, milik siapa?
Mata kita yang kita guna untuk melihat penderitaan mereka, milik siapa?
Akal kita yang kita guna untuk fikirkan alternatif masalah mereka, milik siapa?
Kekuatan kita untuk mendengar, melihat, bercakap dan bergerak, milik siapa?
Ilham kita untuk menyelesaikan masalah mereka, milik siapa?

SEMUANYA MILIK ALLAH, bukan?
Tiada satu pun milik kita, bukan?
Jadi menjawab soalan tadi, takkan tak boleh kita mengharap balasan?
Bagaimana mungkin kita berani-berani nak minta balasan, sedangkan tiada satu pun milik kita yang mutlak. Harta, kekuatan, ilham.. semua milik Tuhan. Jadi yang selayaknya dapat pengiktirafan selepas diberi bantuan, adalah Tuhan. Seharusnya, kita tidak ada apa-apa untuk dikelu kesahkan, tiada istilah kecewa ataupun sakit hati sekiranya dilupakan selepas memberi bantuan, kerana hakikat sebenarnya, bukan kita yang membantu, bahkan Allah yang melakukannya.

Jadi, kita ni sebagai apa? Sebagai ASBAB. Sebagaimana ubat itu asbab kesembuhan, kita pula asbab penyelesaian masalah mereka, dan bila kita sendiri ditimpa masalah, rakan dan saudara menjadi asbab kepada kita pula. Cantik aturan Tuhan kan?

Jadi, apa yang kita dapat? Sepatutnya tak ada apa-apa yang kita dapat, kerana semuanya dari Allah. Tetapi, betapa maha Pengasih dan Penyayangnya Allah. Rupanya bukan saja-saja Dia nak jadikan kita asbab, rupa-rupanya Dia nak memenuhkan akaun simpanan kebaikan kita. Walaupun semuanya dari Allah, tapi kita yang tak buat apa-apa kerana tak miliki apa-apa ni, masih lagi dapat hadiah, lumayan.

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" [Al Zalzalah:7]

Tengok, kita tak memberi apa-apa, tapi Allah memberi PAHALA kepada kita. Senang saja formulanya, beri dengan IKHLAS, tunggu Allah balas. Jadi sebenarnya, Allah ilhamkan kita kekuatan untuk membantu orang lain, kerana Allah nak membantu kita mempertingkatkan amal kita. Subhanallah..

Jadi, perlukah ada kecewa selepas menghulurkan bantuan? Perlukah diharapkan balasan dari manusia, sedang ganjaran dari Allah lebih berharga dan istimewa? Dan siapa kita nak merebut penghargaan itu, sedangkan pemilik sebenarnya adalah Allah? Kalau masih ada perasaan kecewa, sakit hati dan geram tu, tips dia senang saja, tanya diri sendiri, "Layak ke?" Layak ke nak harapkan sesuatu yang bukan milik kita?

Ingat firman Allah, "Katakanlah, Maukah kami kabarkan tentang orang yang paling merugi amalan mereka? Yaitu orang-orang yang telah sia-sia usaha mereka di dunia, sedang mereka menyangka telah mengerjakan sebaik-baiknya.” [Al Kahfi 103-104]

Ayuh, memberi dengan IKHLAS, tanpa minta DIBALAS.

Wassalam.

No comments: