Assalamualaikum..
Jalan-jalan di fb, jumpa macam-macam.
Kadang-kadang boleh buat kita senyum sorang-sorang, kadang kala boleh
buat kita menggeleng kepala. Macam-macam status, gambar, perkongsian,
tips disebar-sebarkan. Yang baik, Alhamdulillah. Tapi yang kurang baik
itulah yang dibimbangkan. Kalau fikir-fikir, fb ni bahaya yang amat
sebenarnya, salah post, boleh menimbun saham dosa dalam akaun malaikat
kat sebelah kiri ni. Lagi bahaya, sebab kita tak nampak dosa-dosa tu
membukit dalam buku amalan, kalau nampak, agaknya 'bersih' fb kita,
bukan setakat fb, hidup kita pun 'bersih' sebersihnya.
Contoh-contoh post yang tak sedap di baca dan dilihat.
Contoh 1: Satu gambar wanita 'mangsa fesyen' di postkan. Mula la bercambah komen-komen..
Pengkritik 1: Anak sape lah ni. Mak bapak tak ajar ke?
Pengkritik 2: Pakai tudung, nampak betis. Fesyen apa ni?
Pengkritik 3: Buat malu orang Islam je.
Pengkritik 4: Teruknya perangai.
Contoh 2: Gambar seorang tokoh, zaman dulu dan kininya.
Pengkritik 1: Makin teruk dia ni.
Pengkritik 2: Tak sedar, dah tua bangka
Pengkritik 3: Bertaubatlah..
Pengkritik 4: Semoga dijauhkan kita dari perkara keji sebegini
..dan
berterusan la, berpuluh malah mungkin mencecah ratusan komen dari
pengkritik 'profesional'. Malah mungkin juga gambar tadi ditag, dishare,
dan perbincangan (baca:umpatan, kejian dan cacian) berterusan..
Banyak
lagi contohnya, karikatur lucah (maaf terpaksa sebut), gambar-gambar
mendedah aurat, dan lain-lain lagi yang tak tersebut, disebar-sebar
untuk tatapan umum.
Sahabat yang dikasihi, apa yang kita
dapat sebenarnya? Kalaupun niat kita untuk menunjukkan realiti
masyarakat sekarang, dengan alasan untuk menjadikan peringatan, perlukah
disebar-sebar gambar tersebut? Tidak adakah cara lain selain daripada
membuka keaiban orang lain? Adilkah kita? Bagaimana kalau empunya badan
dalam gambar tersebut telah insaf, bahkan telah melupakan masa silam
dia, yang mungkin tersasar dulu? Apa perasaan dia agaknya. Dan kalaupun
dia masih begitu, relakah dia melihat gambarnya ditayang, dikutuk dan
dicaci? Agak-agak kalau kita berada ditempatnya, apa perasaan kita?
Bangga? Kalau ya pun si tuan badan bangga, kita masih tak boleh sebarkan
sesuka hati aib orang.
Kecualilah sebaran itu jadi
kewajiban, kalau tidak akan memudaratkan masyarakat. Contohnya, kena
sebar gambar penjenayah berbahaya kepada umum, supaya dapat berwaspada
dan berjaga-jaga. Itupun, kenalah pastikan maklumatnya betul, kalau tak
jadi menganiaya pulak. Ada syarat-syarat perlu dipatuhi, dan dipastikan.
Bukan sekadar semberono saja. Sebaran kita sebegitu penting ke?
Mencapai tahap wajib tayang? Kalau tak tayang, memudaratkan orang awam?
Bayangkan,
berapa banyak saham dosa terkumpul, daripada uploader, hingga la yang
share dan komen. Kita kata dia berdosa, kita pun dalam masa sama kumpul
dosa sekali, bahkan tolong bagi pulak pahala kita kat dia. Yang tak
bestnya, kita buat dosa berantai pulak, kalau pahala bagus lah jugak.
Kalau la kita dapat nampak, betapa dosa-dosa tu mengalir, mencurah dalam
'akaun simpanan' kita, MasyaAllah. Kita nak jawab apa depan Allah
nanti?
Mari kita tengok, apa amaran Allah:
Sesiapa
yang menutupi (kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupinya di
dunia dan akhirat. (Shahih Sunan Ibn Majah, hadis 2078].
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki)
mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus
puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula
sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak
perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik
daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain
dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain
dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan
orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan
nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah),
sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka
merekalah orang-orang yang zalim.[Al Hujurat:11]
Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu
tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian
dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu
mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)
maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [Al
Hujurat:12]
Dari Ibnu Umar radhiallahuanhu berkata,
Rasulullah SAW menaiki mimbar lalu berkata dengan nada suara yang
tinggi, lalu bersabda, Wahai manusia yang masuk Islam dengan lisannya,
dan tidak memasukkan iman (sepenuhnya) dalam hatinya, janganlah mencerca
muslim lain, jangan memalukan mereka, jangan mencari keaiban mereka,
kerana sesungguhnya barangsiapa yang mencari keaiban saudara seislamnya,
maka Allah akan turut menuruti keaibannya, dan siapa yang Allah turuti
keaibannya, akan dibukakan walaupun dalam tempat persembunyiannya [Sahih
Sunan Tirmizi, no hadis: 165]
Sudah-sudahlah,
hentikanlah. Berfikirlah sewajarnya sebelum melakukan apa saja, hatta
perbuatan kecil sekalipun, kerana Allah dah ingatkan, "Maka sesiapa
berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat
amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya)!" [Az Zalzalah:7-8]
Diriwayatkan
oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila
melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.
Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya
kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya. Maka
Allah menjawab: Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau
tanpa engkau ketahui.”
Sebaliknya, jika pahala orang yang
mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa
orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah
dikatakan orang muflis di akhirat nanti.
Ayuhlah,
pergunakan teknologi, jangan dipergunakan teknologi. Sebarkan kebaikan,
semoga sama-sama kita mendapat manfaat. Kadang-kadang kita terlalu cepat
menghukum orang lain, seolah-olah kita tak pernah dan tak ada
kesilapan..!Oh, mustahil. Kalaupun ada kita lihat kesalahan orang lain,
dan tak mampu kita menegur dan menasihatinya, doalah agar dia diberi
hidayah oleh Allah, dan dijauhkan kita daripada kemungkaran. Hati kita
mudah berbolak balik, kita hari ini mungkin boleh jadi lebih baik, atau
lebih buruk di hari esok. Siapa kita dan siapa dia di hari esok, tiada
siapa yang boleh menjaminnya, melainkan Allah.
Peringatan
untuk diri sendiri, dan sahabat-sahabat (sekiranya ada yang sudi),
semoga kita sentiasa dalam redha dan kasih sayang Allah hendaknya. Kita
mengharapkan jari jemari, mata, telinga dan seluruh anggota badan kita
memberi persaksian yang baik di akhirat kelak, insyaAllah.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment