Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, June 11, 2012

Kenangan yang Tertinggal.

BismillahirRahmanirRahim.

"Nak jumpa Yana tak kat matrik? Abang nak ke sana sekejap lagi", begitu tertera sms dari suami.

"Naaaakkkkk", pantas saya menjawab. Teruja. Teruja nak jumpa sepupu yang baru dua minggu mendaftar di sana. Teruja nak kembali ke tempat jatuh lagi dikenang, walaupun sering saya war-warkan kepada adik-adik, "saya ni produk gagal matrikulasi" he he.

Perut berkeroncong lagi. Kali ni irama K-Pop la kot. Ini kali ketiga perut menjerit minta diisi (dengan makanan berat!) untuk hari ini. Nampaknya bukan luarbiasa sejak kebelakangan ini. Alhamdulillah jugak, minta nak makan. Kalau minta nak muntahkan makanan? Lagi haru.... terima kasih ya Allah. Sudahnya, sebaik sampai di kolej matrikulasi, terus suami parkirkan kereta dekat dengan cafe. Apa-apa pun, kita makan dulu!

Sambil menunggu sepupu turun, sambil mata menjeling lauk-pauk yang ada. Semua nampak boleh tahan, menyelerakan! Cedok nasi separuh senduk, udang masak lemak dua tiga ekor, sayur-sayur sikit, jadilah. Tak nak banyak, asalkan terisi. Malam ni mintak lagi, aiyyaaaa... Suami menunggu giliran, mendapatkan kuey teow supnya yang panas-panas!

Sembang-sembang, tanya perkembangan sepupu, sambil mengimbau kenangan dengan cafe ni. Dulu, suka sangat beli roti bun coklat di sini, sampai pipi pun macam bun roti, satu bun di kiri, satu bun di kanan. hehehe.. Di cafe ni jugak la, kena halau dengan warden asrama, gara-gara stay up lewat sangat. hu hu.. kenangan...

Suami minta diri nak ke masjid, solat Asar dan terus jumpa dengan ikhwah di sana. Saya masih habiskan nasi saya, sambil ditemani sepupu yang terus bercerita tentang kehidupan barunya. Alhamdulillah, dia seronok, saya pun tumpang seronok. Usai makan, berpesan-pesanan sikit, kemudian terus mintak diri ke masjid.

Sampai di masjid. Wah, ini bahagian paling mengujakan! Meluap-luap rasa rindu dengan masjid ini dan insan-insan yang pernah memeriahkannya. Seakan terbayang wajah-wajah mulus berkain telekung putih, berdiri rapat dalam saff yang lurus, saling mendoakan dan saling menasihatkan. Seakan hidup jiwa-jiwa yang pernah seangkatan menimba ilmu dan pengalaman. Sempat snap beberapa gambar, dari telefon yang tak berapa canggih saya (itupun ihsan abah, agaknya kesian melihatkan telefon anak perempuannya yang dah tak kelihatan keypadnya hu hu)

Untukmu sahabat, jom kita segarkan kembali nostalgia kita.


Tingkat atas. Wing kesukaan kita.

Masihkah ingat, inilah bahagian kegemaran kita. Kita solat di sini, berebutkan saff paling hadapan. Sangat seronok, kerana terhijab dari pandangan sahabat (panggilan untuk muslimin). Usai solat Subuh atau Asar, kita teruskan dengan bulatan al-Ma'thurat kita di sini. Khusyuk semuanya, terutama bila tiba bahagian doa. Dan petang tadi, saya melurut karpet biru itu, seakan terasa kehadiran kalian di sana. Seakan terbayang wajah-wajah kalian di kiri-kanan saya. Sungguh, rindu datang bertamu. Di sini saya kenal ukhwah yang sebenarnya.


Masih di sana.

Ingat tak lagi, tempat ni? Ya, bawah tangga. Tempat kita menyimpan semua peralatan yang kita guna untuk jamuan, terutama majlis berbuka puasa beramai-ramai. Cawan, pinggan, cerek, sudu, senduk, talam.. seakan semalam kita menyentuhnya, seakan semalam kita menggunakannya, seakan semalam kita membasuh dan menyimpannya semula.

Hampir sebulan dalam bulan Ramadhan, kita berbuka puasa ramai-ramai di anjung masjid. Usai solat Asar kita telah siapkan semuanya. Kita masak, kita atur, kita susun, hinggalah azan Maghrib berkumandang. Seronok sangat!


Cawan ni pun masih ada!



Sahabat di kanan masjid, sahabiah di kiri masjid.

Di sinilah, tempat kita sama-sama sediakan juadah, masak air, sediakan talam dan cawan, untuk sepanjang Ramadhan di perantauan. Di sinilah juga, kita bergaduh dengan sahabat, gara-gara tak puas hati. Asyik sahabiah saja yang turun masak air, sahabat selalu lambat! Oh dulu, sahabat dan sahabiah selalu tak sekepala. Kalaupun tak berani bersuara di hadapan, rungutan di belakang selalu kedengaran! Tetapi gaduh-gaduh macam tu lah selalu menjarakkan kita dengan sahabat, berwaspada dengan bahayanya ikhtilat yang tidak terkawal dalam organisasi, lebih-lebih lagi organisasi dakwah. Bukan bermaksud kita bermusuh, tetapi kita mengajar diri akan batas-batas yang perlu diawasi.

Tetapi kadang-kadang sedih, bila ada organisasi Islamik yang sudah hilang batas-batas ini, sahabat dengan sahabiah atau muslimin dengan muslimat, seakan tiada beza lagi pergaulannya. Boleh duduk makan semeja tanpa ada keperluan, boleh bergurau senda bergelak ketawa. Mungkin belum tahap bertepuk tampar, tetapi mata yang melihat ni rasa sangat rimas dan pelik! Rasanya, ada fitnah yang jauh lebih besar perlu dihindari, berbanding menamakan ukhwah untuk menghalalkan kepelikan ini. Muslimah/sahabiah boleh gelak-gelak besar depan muslimin/sahabat. Bergambar bersama menjadi rutin dan perkara biasa- walaupun beramai-ramai katanya. Bukan suruh jadi hipokrit, berlagak ayu, tetapi itulah hakikatnya seorang wanita yang tidak rendah maruahnya, Hu hu sedih! (T_T)


Ini bahagian sahabat, kalau dulu memang tak jejak!

Periuk besar tu, dapur besi tu, termos biru tu, besen-besen kuning tu.. semuanya masih segar dalam ingatan! Dalam periuk besar tu la kita masak air, sebab itu jugakla kita gaduh dengan sahabat! Masa tu dah tak tahan dah nak menahan beku di hati, terluah semua! Bila ingat, lucu pulak. Sebab air pun, boleh gaduh!


Macam semalam kita susun!

Tengok talam-talam tu, macam semalam kita susun! Semuanya macam tak pernah berubah! Walaupun lebih 7 tahun dah berlalu! Setiap inci masjid ni, memberi banyak kenangan yang sentiasa segar malar dalam memori. Ustaz Shopuan, ustaz Radzi, ustazah Asma', ustazah Roshidah (selalu jumpa ustazah sampai sekarang!).. dan ramai lagi insan-insan lain yang kekal dalam ingatan. pak cik Halim, yang jaga kunci stor ni, mak cik yang bersihkan masjid dengan anak lelaki dia yang suka naik gerek. Tak terhitung kenangan yang tertinggal.

Sekarang, hampir semua dah berkerjaya, dah berkahwin dan berkeluarga. Bila agaknya, kita nak berjumpa semula. Mungkin reunion bersama keluarga di masjid ni untuk sekelian kalinya? Masak sama-sama, makan dalam talam dan solat berjemaah bersama semula? Kalaulah... kita boleh sama-sama mengutip kembali kenangan yang tertinggal di sini, dan merenung kembali siapa kita semalam, dan siapa kita pada hari ini? Kalaulah...

Bagi saya, di sinilah tempat tertumpahnya air mata dan cinta, tempat mengenal ukhwah dan mahabbah, tempat terakamnya suka dan duka. Di sini ada semua rencahnya, walaupun setahun itu tidaklah lama jangka masanya. Tetapi yang setahun itulah memberi kesan untuk tahun-tahun seterusnya yang saya lewati dalam kehidupan ini. Ada kenangan yang tertinggal. Mungkin perlu terus ditinggalkan di situ, agar yang hendak dikenang terus boleh dikenang, sampai bila-bila.

p/s: teringat kenangan bagi kuliah fardhu ain dalam loghat Kelantan. Teringin nak buat lagi, tapi kali ni janji takkan guna loghat Kelantan dah. he he.