Semalam di pasaraya. Tempat sesak, ramai sekali manusia berpusu di
dalamnya. Masing-masing ada tujuan dan destinasi sendiri. Ada yang
berseorangan. Lebih ramai yang datang berpasangan. Kebanyakan datang
berkumpulan, dengan keluarga atau teman-teman.
Matanya
asyik memerhati. Gelagat dan telatah orang-orang yang lalu lalang.
Selalu dia begitu, matanya suka memerhati, bukan untuk mengintai aib
orang, tapi dia suka lihat gelagat manusia, terutama di tempat ramai dan
terbuka. Cuba menilai dan mengambil pengajaran.
Tersenyum
dia, melihat babak yang cukup menyentuh hatinya. Troli masih
ditolaknya. Namun kaki memperlahankan langkah. Sementara sahabatnya
masih ralit memilih roti di bakeri. Dia pulak asyik memerhati pasangan
yang sedang berjalan melintasinya dari kiri.
Pasangan
datuk dan nenek, berjalan berpimpin tangan, bersenda mesra. Ada bahagia
pada wajah dan gerak geri mereka. 'Bahagia yang semulajadi', dia dengar
suara hatinya meyakinkan. Bahagia yang bukan di buat-buat, bahagia yang
tulus dari cerminan hati keduanya. Entah apa usikan datuk yang romantik
itu, hingga kedengaran tawa si nenek yang masih erat tangannya dalam
genggaman. Perlahan tawa si nenek, tapi cukup membangkitkan rasa
bahagia, untuk mereka, dan dia yang sedang 'mengintip' mereka. Ada CINTA
di hati mereka. Mereka berlalu pergi. Tangan keduanya masih erat dalam
genggaman. Mereka tersenyum, dia juga. Semoga mereka terus berCINTA
hingga ke syurga.
Melepaskan pandangan daripada pasangan
romantik yang telah berlalu pergi, dia dikejutkan pula dengan tangisan
kuat seorang anak lelaki, 'usia dalam 5 tahun', dia mengagak, dari depan
bakeri, tidak jauh dari tempat dia berdiri. Anak kecil itu berlari lalu
memeluk kaki seorang lelaki yang sedang berdiri berdekatan bakeri,
betul-betul di hadapannya. Dalam esakan si anak bercerita, rupanya
lelaki yang dipeluknya adalah si ayah. 'Tadi terjatuh, sakit', cerita si
anak dalam sedu sedan. Lalu si ayah tunduk memeluk anaknya dalam
dakapan, ditepuknya mesra belakang si anak, memujuk. Anak kecil itu
kelihatan tenang dalam pelukan ayahnya, lalu esak tangis mengendur,
perlahan. Ada CINTA di hati si ayah.
Lenguh berdiri, dia menyorong troli ke food court,
berhadapan bakeri. Lalu dia duduk , kaki agak lenguh, kepenatan.
Bertentangan dengan mejanya, sebuah keluarga sedang asyik menjamu
selera. Matanya tertancap pada si kecil, perempuan, usia sekitar 5 tahun
barangkali, bertudung litup, comel! Tapi wajahnya tidak kelihatan
jelas, kerana si kecil menundukkan muka ke meja. Dia perhatikan pula si
kakak yang berada di sebelah adiknya, tidak jauh umurnya, juga bertudung
litup. Si kakak membisikkan sesuatu kepada adiknya, sambil menunjuk
makanan yang ada terhidang. Rupa-rupanya, si adik sedang merajuk, si
kakak pula sedang memujuk. Sesekali si kakak berbisik lagi, sesekali
menepuk lembut bahu si adik, memujuk tanpa putus asa. Ada CINTA di hati
anak itu.
Subhanallah, indahnya CINTA. Ia ada di
mana-mana. Cinta punyai kuasa yang cukup hebat, dahsyat. Cinta suami
pada isteri, cinta ayah ibu kepada anak, cinta kakak kepada adik, cinta
sahabat kepada sahabatnya.. Banyak, luas, kaya sungguh manusia dengan
cinta.
Lalu dia teringat, kisah cinta yang cukup agung.
Insan ini mencintai dan merindui saudaranya yang berada di sisinya, juga
yang tidak pernah dia jumpa. Bahkan bermula dari hidupnya, hingga saat
dia hampir menghembuskan nafas terakhir, masih lagi cintanya segar mekar
untuk mereka yang dikasihinya.
Pernah dia berkata, “Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (riwayat al-Darimi).
Juga
ini pesannya, "Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang
lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu
mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena
api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu." (riwayat
Bukhari dan Muslim).
Hingga dia meletakkan tanggungjawab
ummatnya ke atas dirinya sendiri, "Aku lebih utama bagi orang-orang yang
beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum
Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah
tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang
meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya." (riwayat Imam Ahmad,
al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah).
Hingga
bibirnya tak pernah kering mendoakan insan-insan kesayangannya,
sebagaimana dikisahkan oleh Aisyah, isterinya tercinta, "Tatkala saya
melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai
Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya
Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang
tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira
sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu
Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah
menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?”
Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan
untuk umat saya dalam setiap solat.”
Disimpan untuk
mereka, doa mustajabnya, "Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka
setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu
sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat." (riwayat Muslim dalam
kitab al Iman)
Kerapkali menitis airmatanya, mengenang
nasib insan-insan kesayangannya. Hingga ke akhir hayatnya, tetap dia
minta untuk mengetahui nasib ummatnya, hingga akhirnya dia tenang
mengetahui janji Allah untuk mereka.
Ada lagi, cinta
teragung, mengatasi segala cinta yang ada di dunia. Itulah cinta Allah,
pencipta kepada makhluknya. Terlalu banyak bukti cintaNya, "Dan jika
kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah
kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (al-Nahl: 18).
Dia
sentiasa ada di sisi, "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu
mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah)
sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang
berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut
seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." (Al-Baqarah : 186)
Dia
maha pengampun, ”Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan
bertobat kepadaNya. (Jika kamu, mengerjakan yang demikian), niscaya Dia
akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada
waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang
yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya.” (QS Hud [11]: 3)
"Allah
membentangkan tanganNya di malam hari agar orang yang berbuat keburukan
di siang hari bertobat, dan membentangkan tangan-Nya di siang hari agar
orang yang berbuat keburukan di malam hari bertobat. (Ini akan terus
berlaku) hingga matahari terbit dari arah Barat" (HR Muslim).
"Dia
akan mengampuni semua dosa, sekalipun dosanya sepenuh isi bumi, “Wahai
manusia, sekiranya kamu datang kepada-Ku dengan membawa dosa seisi bumi
kemudian kamu bertemu Aku dengan dalam kedaan tidak menyekutukan Aku
dengan sesuatu apa pun, niscaya Aku datang kepadamu dengan membawa
ampunan seisi bumi pula,” demikian bunyi sebuah hadis qudsi yang
diriwayatkan Imam Tirmidzi.
Dia memberi segalanya.
Segalanya yang diperlukan oleh hambaNya. Walaupun seringkali
pemberianNya dibalas dengan keingkaran, namun Dia tetap memberi dan
memaafkan. Adakah lagi cinta sehebat dan seagung CINTA ini?
Dan
dia teringat kembali kepada CINTA yang ditemuinya di pasaraya tadi, itu
juga CINTA yang dititipkan oleh pemilik CINTA, Allah sang pencipta
kepada hambaNya yang dikasihi. Dia menyorong troli, meninggalkan CINTA
di pasaraya, dengan azam untuk memiliki CINTA sang pencipta, kerana
hanya dengan memiliki CINTA Allah, dia akan memiliki segala-galanya..!
No comments:
Post a Comment