Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, December 22, 2009

Dia dan Hijrah

Assalamualaikum..

Salam tahun baru 1431 Hijrah.. Semoga azam tahun lalu telah terlaksana, dan azam tahun baru juga rancak direncana.. Hati kurang tenteram menyambut tahun baru ni, tapi cuba juga menggagahkan jari-jemari, walaupun hanya bertarian lesu di papan kekunci.. tak apa, tulis saja apa yang ada dalam minda, curahkan saja ke ruang maya, semoga menjadi penawar untuk hati yang gundah gulana..

Mengimbau tahun-tahun yang telah berlalu, terasa sungguh pantas masa berlari, meninggalkan sisa-sisa umur yang entah berapa lama masih berbaki..berapa banyak kah perubahan (yang baik harapnya) telah berlaku dalam hidup ini? Perubahan yang membawa kepada lebih hampirnya diri ini dengan Rabbnya.. perubahan yang menjadikan diri ini lebih menyedari akan hakikat kehidupan sebagai hamba Tuhannya.. Terasa gerun untuk dihitung..

Namun, selautan kesyukuran masih tak mampu membayar nikmat perubahan yang Allah anugerahkan buat diri ini.. perubahan yang tidak dirancang, perubahan yang tidak disangka, yang akhirnya menjadikan diri ini seperti ini, disini, hari ini..

Cukuplah sekadar mengimbau kembali satu hijrah yang Dia takdirkan dalam hidup seorang hamba Allah ini..

Sehingga usianya 17 tahun, dia hanyalah insan yang biasa-biasa, dengan perawakan yang juga biasa-biasa, juga dengan personaliti yang biasa-biasa (sekarang pun tiada beza sebenarnya).. ilmu agamanya sekadar yang dipelajari di sekolah harian biasa, tentu sekali tidak pernah dia terfikir untuk ke sekolah agama.. menutup aurat juga, dia tahu yang sekadarnya saja.. Walaupun di sekolah rendah di agak aktif orangnya, namun dia bertukar watak apabila menginjak dewasa, menjadi pelajar yang kurang keyakinan diri, sangat pasif dan rendah motivasi diri, mungkin juga waktu itu dia dikelilingi rakan-rakan yang padanya bukan saingan, tambah pula di sekolah elit negeri itu. Namun dia masih diberi kejayaan oleh Allah dalam pelajarannya.

Seterusnya dia menjejak kaki ke sebuah medan ilmu yang lebih mencabar, disitu dia melihat dunia dari perspektif yang lain.. di situ dia belajar banyak perkara, ada banyak lagi rupanya yang dia perlu dalami, terutama dalam bab agama! Walaupun pada dasarnya sekolah itu bukan sekolah agama, sebaliknya sekolah elit yang sewajarnya moden dan terbuka sebagaimana sekolah-sekolah seangkatannya, namun penekanan pendidikan agama sangat-sangat dititik beratkan.. berkat Allah mengurniakan ayahanda pengetua yang kukuh fikrah Islamnya.. Solat berjemaah diwajibkan, pelajar perempuan wajib melabuhkan tudung menutupi dada, gelanggang sukan diasingkan lelaki dan perempuan, wajib memakai stokin.. malah pelajar lelaki pernah dengan terbukanya menegur pelajar perempuan yang tidak berstokin..

Ayahanda adalah contoh ikutan terbaik, usai azan dilaungkan di surau sekolah, dialah yang terlebih dahulu berada di saf hadapan, meninggalkan kerja-kerjanya yang tidak pernah kehabisan. Kerap kali ayahanda mengimamkan solat dan memberi tazkirah selepas solat.. Suasana sekolah itu, walaupun bukan sekolah agama, amat-amat mendamaikan, amat-amat menenangkan.. Ayahanda juga yang mengajarkan makan beramai-ramai, dalam talam!

Pernah, arahan dikeluarkan oleh pihak atasan, supaya pemakaian tudung labuh diharamkan, pelajar lelaki diarahkan berpakaian seluar pendek ketika kelas pendidikan jasmani, manakala pelajar perempuan pula perlu mengenakan t-shirt lengan pendek, alasannya.. menyukarkan pergerakan! Walaupun dia tidaklah bertudung labuh ketika itu, tetapi dia juga turut merasakan ketidakadilan pada arahan tersebut.. dia merasakan amatlah tidak wajar untuk menyuruh rakan-rakannya yang bertudung labuh menukar kepada tudung seperti yang dipakainya, yang lebih kecil dan singkat, walaupun berjahit kemas dihadapan, sedangkan ada antara kawan-kawannya, sejak kecil lagi sudah mula bertudung labuh.. Ayahanda diamkan saja arahan itu hingga hujung tahun, sehinggalah pihak tersebut memberi amaran, barulah akhirnya ayahanda mengeluarkan notis itu.

Namun akhirnya arahan tersebut tidak berjaya dijalankan kerana protes dari para pelajar, terutamanya pelajar lelaki! Sangat gembira waktu itu, kerana masih ada kaum adam yang tanpa ragu, bertegas mempertahankan perintah agama dan maruah kaum hawa.. suasana sekolah itu sentiasa segar dalam ingatannya. Alangkah indahnya jika nilai Islam sebegini diterapkan di semua medan-medan ilmu.. pastinya akan lahir anak-anak bangsa yang bukan saja kukuh jati dirinya, bahkan tegar dalam memperjuangkan maruah agama.. Dia terus mengharap agar satu hari nanti angannya jadi nyata..

Di situlah juga, dia mula menanam angan dan impian untuk dirinya.. dia mahu perubah! Bukan, lebih tepatnya, dia perlu berubah! Besar sangatkah perubahannya? Pentingkah hijrah itu? Waktu itu dia tidak merasakan akan kepentingan impian yang bermula dengan angan-angan kosong itu..Dia hanya suka-suka, seronok melihat junior-juniornya yang ayu bertudung litup, manis bertudung labuh.. kelihatan sungguh-sungguh cantik di matanya.. Dalam diam, dia berazam, akan dia turuti jejak langkah mereka.. dan hampir setahun dia memendam jauh impiannya di lubuk hati, bukan di sini tempatnya kerana perasaan malu menguasai dirinya untuk membuat perubahan secara drastik..

Dan akhirnya, usai menamatkan pengajian di sekolah itu, saat melangkah kaki ke pengajian pra-universiti, dia melaksanakan impiannya.. di tahun baru, di tempat baru, dikelilingi rakan-rakan baru, dia sungguh selesa dengan hijrahnya itu.. seakan dia lahir kembali dengan semangat baru! Alhamdulillah, dia juga mendapat sokongan penuh dari ayah bondanya seawal menyuarakan hasratnya..

Dia sangat yakin dengan janji Allah..."Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka'. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal dan oleh kerananya mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59).Ya, mereka disekelilingnya mengenali dia sebagai seorang muslimah, wanita Islam yang sedaya mungkin cuba membentengi dirinya dari fitnah, dan dia juga tidak sembarangan diganggu oleh usikan-usikan nakal mereka yang kurang memahami.. Dia sungguh-sungguh bersyukur dan gembira dengan nikmat penghjrahan, yang dia percaya adalah hadiah terindah dari Allah untuknya..

5 tahun sudah berlalu, namun peristiwa hijrah itu sentiasa segar mekar dalam fikirannya, dan hari ini dia sangat yakin, peristiwa hijrah itu membawa perubahan yang bukan sedikit dalam hidupnya, Allah menganugerahkannya pelbagai 'bonus' tambahan yang menyusuli hadiah penghijrahan itu.. dia tahu sekarang, bukan tudungnya saja yang berubah, bukan pakaiannya saja yang berubah, malah sebenarnya seluruh kehidupannya mula berubah bermula saat itu, 5 tahun yang lalu, saat hijrah menginjak ke 1426 tahun..

Dia dan hijrah, sangat signifikan, sangat berharga padanya.. Dia mengecap nikmat hijrahnya sendiri, dengan caranya sendiri.. Hijrahnya tidak mungkin sehebat hijrah baginda Nabi, namun hijrahnya juga punyai nilai penting dalam perjalanan hidupnya.. kini, Hijrah mengunjunginya saban tahun, dan dia akan terus membawa hijrah itu untuk mewarnai hidupnya, agar setiap detik yang berlalu, menghijrahkannya ke daerah yang lebih hampir kepada Tuhannya..

Monday, December 14, 2009

Kisah berkisah..

Assalamualaikum..

Salam sayang, salam ukhwah.. Rindu sungguh nak mencoret, idea ada tapi timbunan artikel mematikan niat yang ada... tapi kali ni dah tak tertahan dah, nak jugak bercerita.. sedar tak sedar, Disember menuju ke pertengahan, banyak yang berlaku dalam tempoh itu, semoga semuanya memberi kesan, berbekas di jiwa untuk pengajaran dalam melangkah meneruskan perjalanan..

Kisah 1: Aku terima nikahnya.. [3 Disember]

Saat bumi bertuah Darul Naim dibasahi hujan, Kampung Laut pula disimbahi berita gembira.. Berita apa? mm.. salah seorang sahabat 7 sekawan nak bertukar status rupanya.. Walaupun biasanya dialah yang disalah anggap paling junior, kerana awet mudanya, kata orang ni la kelebihannya suka makan ulam-ulaman.. tapi hakikatnya dialah sebenar yang paling senior.. jadi sahabat 7 sekawan, relakan lah dia menjadi perintis kelab Isteri Solehah ya... Konvoi ke Timur dah, agak-agak pasni kita konvoi ke Utara lah pulak kot, kan??


Akhirnya..

Sangat gembira melihat dia yang berwajah ayu, ceria di hari perkahwinannya, dan dalam sedar, diri turut merasakan, betapa peredaran masa itu begitu pantas berlalu.. semalam kita bersama, berjuang di medan ilmu, jerih perih kita kongsi bersama, hari ini kita melalui fasa yang berlainan, ada yang sudah pun berada dalam alam rumah tangga, dan pastinya yang lain juga sedang bersiap ke arahnya.. semoga baitul muslim yang kita sedang bina, dan bakal dibina akan mendapat keredhaan Allah, dapat melahirkan anak-anak soleh solehah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Allah, pahlawan yang gagah menyebarkan syiar yang mulia ke seluruh alam ini, InsyaAllah..

Kisah 2: Dakwah Masuk Kampung.. [11 Disember]

Berkonvoi 6 buah kereta, diketuai Swift biru yang kecil molek, kami bergerak ke Kampung Teluk, Jitra..Misi kali ini adalah mendekati masyarakat, lebih fokusnya, kaum ibu, aulad (si kecil) dan remaja.. Aik, kenapa kaum ayah tak ada dalam senarai?? Sebab program ni anjuran sayap WANITA, jadi kaum ayah akan ada program khas selepas ini..

Untuk kaum ibu, disediakan perkongsian ceramah tentang pendidikan anak-anak menurut perspektif Islam.. khusyu' ibu-ibu mendengar, siap kongsi tips melembutkan hati anak lagi.. saya belum termasuk dalam golongan ibu, tapi diberi amanah untuk membantu penyampaian, jadi dapatlah saya kutip tips-tips dari ibu-ibu ni..


Ibu-ibu yang khusyu' mendengar

Untuk aulad, disediakan aktiviti bercerita, ramai sungguh si kecil ni datang, 40 orang! Seronok mereka mendengar kakak-kakak bercerita tentang kisah Nabi Muhammad saw, ada juga aktiviti menghafal doa-doa ringkas, dan kuiz selepas bercerita tadi.. Riuh rendah jadinya.. yelah, mungkin si kecil seperti mereka ni tidak pernah mendengar kakak-kakak yang begitu bersemangat bercerita!

Untuk remaja pula, mereka didedahkan dengan pengetahuan tentang reproduksi, dan juga tayangan slide Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ).. dalam 3 jam program ini berjalan, 3 kumpulan sasaran telah cuba ditawan hati mereka.. dan Alhamdulillah, respon dari mereka amat-amat baik..

Program ini pertama kali diadakan oleh WANITA, yang pasti ia bukan yang terakhir, sebaliknya akan menjadi program rutin, sebagai aplikasi apa yang telah secara teorinya dipelajari dalam usrah. Dalam usrah kita didedahkan dengan pelbagai nilai-nilai Islam yang seharusnya ada pada setiap muslim, namun teori saja tidak mencukupi, turun bersama masyarakat macam ni akan lebih memberi kesan kepada kita, melihat sendiri keadaan masyarakat, apa yang mereka perlukan, dan mencari ruang untuk menyumbang kepada mereka.. Baik pada diri sendiri saja tidak cukup, sebaliknya kita juga harus sedaya upaya cuba untuk membantu masyarakat, sama-sama memeperbaiki diri untuk melahirkan masyarakat Islam yang sebenar..

Kita amat menyayangi diri dan keluarga, sedaya upaya cuba membawa dan menerapkan Islam dalam kehidupan seharian, bagaimana pula dengan masyarakat di luar sana? Tegar kah kita melihat masyarakat terus hanyut dibuai arus kebejatan moral dan sosial? Wajarkah kita hanya berpeluk tubuh melihat masyarakat hanyut ditelan noda kemaksiatan? Sedangkan, kita juga adalah sebahagian dari masyarakat itu.. Jadi, saya tanya pada diri saya, apa sumbangan kamu pada masyarakat yang sedang berteriak, merintih kesakitan ini? Bantulah dirimu, bantulah masyarakat disekeliling mu, dengan membawakan penawar Iman dan Islam kepada mereka, itu sajalah sebaik-baik penyembuh yang tiada lain daripadanya. Saya amat gembira diberi peluang dan kesempatan oleh Allah untuk menyertai program ni, dan saya bertekad tak nak ketinggalan untuk siri-siri akan datang!

Kisah 3: SURE Zon Utara.. [12 Disember]

Opps, bukan sure heboh ya, ni sukan remaja zon utara, anjuran Kelab Remaja.. semalam bersama wanita, hari ni saya jadi remaja pulak.. Kedah jadi tuan rumahnya, ada 4 permainan saja, bola sepak, bola jaring, carom dan catur..

Mulanya saya diamanahkan jadi pengurus bola jaring, saat-saat akhir, diminta pulak jadi pengadil bola jaring.. menggelabah jugak mulanya, dah lama tak masuk padang ni.. dan tak pernah jadi pengadil, jadi pemain saja selama ni.. tapi saya tawakal je lah, Ya Allah, permudahkanlah, bantulah kami, semoga program ini berjalan lancar hendaknya..

Dari pagi sampai petang, berlarian di padang.. panasnya, Ya Allah tuhan saja yang tahu! Seronok melihat adik-adik ni bermain, perlawanan dimulakan dengan tazkirah ringkas, sorakan pasukan yang penuh semangat melaungkan nama Allah, dan gema takbir dan tahmid mengiringi setiap jaringan gol.. Tiada aksi tarik menarik, tolak menolak dan cela-mencela, sebagaimana lazimnya perlawanan bola jaring yang lain.. Lain sekali, memang berbeza..


Kepenatan dah sahabat-sahabatku ni..

Akhirnya, Pulau Pinang menjadi juara keseluruhan, diikuti Kedah, Perak dan Perlis. Istimewanya, akhlak peserta juga dinilai dan menyumbang mata kemenangan untuk setiap kontinjen.. Indahnya sekiranya nilai Islam diterapkan dalam semua bidang, semua tempat, semua aktiviti..

Hujung minggu yang berlalu amat penat dan meletihkan, tetapi tak ternilai dengan pengajaran yang Allah berikan, dalam hidup ini carilah iktibar dari setiap yang berlaku, setiap saat yang berdetik, pasti ada hikmahnya, carilah dan jadikan ia penambah nilai untuk kehidupan kita.. lihatlah dunia dari sisi positif, berjalan, renung dan fikirlah.. semoga hidup kita lebih bermakna serta mendekatkan kita kepada sang pencipta.. InsyaAllah

Wassalam

Tuesday, December 1, 2009

Pengorbanan kita..

Assalamualaikum..

Hari ni, 1 Disember.. cepat sungguh masa berlalu, November tahun lalu saya kembali ke Lembah Sintok ni, sedar tak sedar, dah setahun rupanya.. Rasa baru semalam buat keputusan menolak 'lamaran' My- Sutera sdn. bhd. semata-mata nak berada dekat dengan gedung ilmu di negeri Jelapang Padi ni..Alhamdulillah, Allah telah permudahkan segala-galanya dalam masa setahun ni..

Mmm.. Hari Raya Aidiladha berlalu sudah.. kali ni beraya di Kedah.. keseorangan! sebab rumah kat kampung dilanda banjir..pertama kali beraya kat luar, dah la sorang-sorang pulak tu.. tapi tak pe, ada hikmahnya..

Kebosanan di rumah, berseorangan di hari raya, sayu dan syahdu je dengar takbir yang sayup-sayup kedengaran dari surau berhampiran.. Buka TV, sepanjang hari raya ni, saya perasan satu perkataan yang kerap kali disebut, berulang-ulang.. samada dalam iklan, drama, atau rancangan bual bicara.. iaitu PENGORBANAN..

Saya tertarik dengan kata-kata seorang penceramah, dalam satu rancangan bual bicara.. katanya, pengorbanan ni ada 3 tahap..

Tahap pertama, pengorbanan yang mana orang yang berkorban saja merasainya, contohnya sepertimana kita tengok kat kampung, kat bandar ramai yang jalani ibadah korban, sembelih lembu atau kambing, kemudian disedekahkan kepada jiran-jiran tetangga.. tapi menurut ustaz tu, orang yang jalani ibadah korban tu saja merasai hakikat pengorbanan sebab mereka korbankan wang ringgit, manakala orang yang menerima daging korban pula kurang mendapat kesan dari ibadah korban ni sebab mereka hari-hari dah makan daging, jadi mereka tidak merasai atau sepenuhnya menghayati nilai daging korban yang diterima..

Tahap kedua, pengorbanan yang mana orang yang berkorban, dan yang menerima korban itu juga mendapat kesan mendalam darinya.. contoh, orang-orang yang melakukan ibadah korban, dan daging korban tu diagihkan kepada masyarakat yang serba kedaifan, serba kekurangan, seperti di negara perang, Palestin, negara miskin seperti Kemboja, Darfur atau kepada masyarakat Malaysia sendiri yang kehidupan sehariannya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.. Pengorbanan sebegini, pastinya akan dirasai oleh orang yang menunaikan ibadah korban, juga kepada yang menerimanya.. Bayangkan, di hari-hari sebelum ni, nasi pun mereka jarang jumpa, apatah lagi daging.. semestinya, hari raya aidiladha membawa seribu makna buat mereka!

Tahap ketiga, tahap yang paling mulia, paling hebat antara ketiganya, mereka yang mengorbankan kepentingan diri, untuk masa hadapan orang lain.. contoh terbaik adalah, baginda Nabi Muhammad saw yang mengorbankan segala-galanya, demi menegakkan syiar Islam dimuka bumi.. agar umat manusia dapat menyedut udara kebebasan dari penyembahan kepada manusia kepada penyembahan hanya kepada tuhan yang Esa..

Termanggu saya seketika, bila dilontarkan persoalan, pengorbanan kita di tahap mana? Adakah selamanya kita akan berpuas hati berada di tahap yang paling bawah? Tidakkah kita teringin untuk mencapai tahapan terbaik, yang pastinya akan mendapat perhatian yang lebih dari tuhan yang Maha Kuasa? Tidakkah kita ingin dipandang istimewa olehNya? Ataukah kita boleh terus berpuas hati dengan alasan ketidakmampuan kita, sedang Allah menganugerahkan gelaran umat terbaik untuk kita? Kita mampu, tapi persoalannya, adakah kita mahu??

Saya lontarkan lagi persoalan berikutnya, apakah erti pengorbanan buat kita di aidiladha ini?? Adakah pengorbanan itu kita fahami sekadar menyembelih lembu atau kambing?? Bagaimana dengan nafsu kita? Adakah berjaya kita menambat dan menyembelihnya ataukah ia terlucut dari tali ikatannya, lalu ia berlari kencang dan mendengus garang, menanduk iman yang senipis kulit bawang, lalu rebahlah kita ke dalam jurang kehinaan, penuh noda hitam?

Semoga aidiladha, dan istilah pengorbanan itu benar-benar kita fahami, bukan sekadar melihat tewasnya binatang korban di bilahan tajam, tetapi juga dengan merenung kembali masa, usia, dan harta, ke mana telah kita korbankan.. Ataukah kita masih gerun merelakan diri untuk 'dikorbankan' kerana kurangnya keyakinan terhadap janji-janji Tuhan??

Pelbagai persoalan yang mengasak fikiran, menuntut jawapan.. Tanya pada hati apa sebab goncang, nanti kata hati tanyalah iman..

Wassalam..