Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, August 31, 2009

Bila Bisikan CINTA Menghembus ke Hati..

Assalamualaikum...

Apa khabar iman kita hari ni ya? Semoga ibadah-ibadah kita di bulan ini semakin rancak hendaknya.. InsyaAllah..

CINTA.. berlegar-legar di sekitar saya akhir-akhir ini..

Cinta 1-Cinta menyusup masuk ke inbox email saya..

Kawan saya, A : Seorang lelaki ajak saya kahwin, tapi dia nak akad nikah je dulu, kenduri kemudian.. saya senang berkawan dengan dia. Macam mana ya? Tolong saya..

Cinta 2-Cinta menerobos ke inbox handset saya..

Adik Z : Kak, sudilah kiranya berkongsi nasihat dengan saya, saya sedang diuji..dengan LELAKI..

Cinta 3-Cinta muncul di screen YM saya..

Kawan saya, C : Saya kenal lelaki ni melalui YM, saya tak sengaja add dia, tak tahu dia adalah lelaki.. Dia mintak nak jumpa mak ayah saya.. apa saya harus buat??

Cinta 4-Cinta mendatangi saya melalui SMS

Kawan saya, L : Saya dah lama suka pada dia.. Dah beberapa orang masuk merisik, tetapi hati saya tak terbuka sebab saya berharap pada dia, tapi dia tak tahu.. Bantu saya..

Cinta 5-Cinta mendepani saya secara terus, diceritakan langsung oleh rakan saya..

Kawan saya, B : Sangat menyakitkan bila dia selalu bercerita pada saya tentang masalah dia dengan girlfriend dia.. Rasa sangat terluka, macam nak jatuh jantung saya.. Saya sayangkan persahabatan kami, saya rela korbankan perasaan saya pada dia..

Cinta 6-Cinta juga cuba menguji hati saya..

Kawan saya, T : Saya bukan nak jadi orang tengah, tapi ustaz tu amanahkan saya untuk tanya pada Ayu..Jadi harap Ayu dapat bagi jawapan ya atau tak..

Begitulah CINTA datang ke dalam hidup saya akhir-akhir ini..Kadang-kadang CINTA menjadikan saya sebagai kaunselor CINTA tak bertauliah kepada sahabat-sahabat dan adik-adik yang didatanginya (walaupun hakikatnya saya tidak begitu mengenali CINTA ini).. tapi bila CINTA datang sendiri berhadapan, tidak mudah juga untuk mendepaninya, tidak semudah yang dituturkan dengan kata-kata...

Buat semua sahabat dan adik-adik saya yang juga diuji dengan CINTA, mari kita sama-sama mengenali apakah CINTA ini sebenarnya, yang begitu tegar menyusur dan menyusup, mengocak damai, menyebabkan jiwa kita gusar, hati kita galau dan membuat hidup kita sedikit bergoncangan..

Apakah Kedudukan Cinta Di Dalam Islam?

Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri :

1. Cinta kepada Allah

Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehiudupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah.

Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap. Firman Allah SWT :

“..(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah ayat : 165)

Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT. Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...” (Surah Al-Maidah, ayat 54)

2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan para anbiya’

Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam,maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa begelumang dengan lumpur yang begitu tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas yang begitu mulia.

Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’. Kerana kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah SAW. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut :

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka. (Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie : no. 4901)

Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk kita memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh dbuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya. Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah SAW.

3. Cinta Sesama Mukmin

Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya. Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta kepada keduanya adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:

“Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu..”(Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no. 126)

Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar menghormati dan menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang lebih menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar umatnya dengan pesanan :

“..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah Israk, ayat 24)

Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin yang berimana sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa dalamnya maksud firman Allah SWT :

“..Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...
(Surah Al-Fath, ayat 29)

Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang ternyata menyintai golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari golongn Muhajirin. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. ..”(Surah Al-Hasyr, ayat 9)

Bukankah ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah kecaman keganasan yang dilemparkan kepada Islam pada hari ini, kenapa tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam? Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.

Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya.

Jadi.. itulah sebenarnya CINTA.. mari kita sama-sama ambil pengajaran dan iktibar.. CINTA tidak jahat, malah tidak kejam mahupun zalim, tidak sesat dan menyesatkan.. dengan syarat, CINTA dipandu dengan iman yang teguh dan keyakinan yang utuh kepada Allah.. Pemilik segala CINTA, CINTA agung yang tiada tandingannya..letakkan CINTA Allah dihadapan, maka CINTA yang lainnya akan mengikut dengan penuh kepatuhan dari belakang.. yakinlah..


Sekiranya kita cinta kepada manusia.
Tidak semestinya manusia cinta kepada kita
Tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah.
Nescaya cinta Allah tiada penghujungnya.
Sekiranya kita cinta kepada manusia.
Kita akan cemburu kepada orang yang menyintai mereka yang kita cintai
Tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah.
Kita akan turut menyintai mereka yang melabuhkan cintanya kepada Allah juga .

Ya Allah, jika aku jatuh cinta,
cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya kepadaMu,
agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu .
Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta,
jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku kepadaMu .
Ya Rabbana, jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling padaMu .
Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang yang merindu syahid dijalanMu.. .

Amin Ya Rabbal Alamin..

Selamat memburu CINTA yang hakiki dan sejati.. Semoga CINTA ini memandu kehidupan kita menuju kebahagiaan yang tiada pernah berpenghujung, CINTA yang selalu mekar dalam hati, utuh tertanam di jiwa, segar selamanya di nurani yang sentiasa dahagakan kehadiran CINTA ini..Selamat beribadah.. Jadikan Ramadhan ini medan menyunting CINTA Ilahi..InsyaAllah


Wassalam..


[terima kasih buat pemilik http://warkah-cinta.blogspot.com dan

Saturday, August 29, 2009

Sendiri



Di satu sudut dunia
Di hujung ceruk desa
Di sebuah teratak usang itu
Susuk tua bersimpuh di muka pintu

Termenung dia sendirian
Menghitung kembali masa silam yang indah dan membahagiakan
Merenung masa depan yang semakin samar dan kelam

Hembusan bayu tenang mendamaikan, namun tiada damai dihatinya
Mentari terik galak bersinar, namun tiada sinar di hatinya
Kicauan burung menyanyi girang, namun tiada girang di hatinya
Yang ada hanyalah irama sendu, sayu dan hiba

Dulu rumah usang itu gegak gempita
Jerit pekik gurau senda menjadi biasa
Walau penat dia menjerkah bersuara
Namun relung hatinya terisi bahagia
Dikelilingi insan-insan yang teramat dikasihinya
Yang belum kenal warna-warna dunia

Saat berlalu, masa berlari
Rumah usang itu semakin hari semakin sunyi
Gelak tawa usik mengusik tiada lagi
Dia ditinggalkan silih berganti
Wajah-wajah yang disayangi berlalu pergi
Hanya dititipkan sebuah janji
Kata mereka, suatu hari nanti rumah itu akan seperti dulu lagi

Di muka pintu itu dia menunggu saban hari
Kembalinya permata hati yang dinanti-nanti
Namun sehingga kini
Saat sisa usianya hampir kurang berbaki
Tika seri wajahnya tiada lagi
Janji-janji itu belum terbukti
Sudah lupakah mereka pada janji-janji?
Ataukah dia yang harus terus menanti?

Segores luka dihatinya tiada siapa yang mengerti
Secalit duka di jiwanya tiada siapa yang mengetahui
Namun susuk tua itu tidak jemu menanti
Menagih harapan yang belum pasti
Kerana kasih yang tidak berbelah bagi
Dia akan tetap di situ sehingga nafasnya terhenti
Sehingga dirinya kembali dijemput Ilahi
Meninggalkan alam fana ini
Juga insan-insan yang selamanya dikasihi

pendamba mardhatillah
30 Julai 09, 2017
Sintok, Kedah

Ceramah Motivasi UPSR di Sek. Ren.Al Azhar

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, puasa sudah menginjak hari ke 8.. Syukur pada Allah, masih diberi kekuatan untuk meneruskan ibadah di bulan Ramadahan ini..

Hari Rabu lepas, saya dijemput untuk memberi ceramah motivasi kepada anak-anak di Sekolah Rendah Al-Azhar, Jitra, Kedah.. Anak-anak ini bakal menduduki UPSR bermula 8 September ni..Seronok bersama-sama dengan mereka. Kunjungan ini adalah untuk kali ke 4 dalam tahun ini. Awal-awal tahun ni, saya bersama mereka untuk 2 slot, juga memberikan motivasi belajar untuk anak-anak calon UPSR ini, manakala satu slot berkenaan cinta untuk abang-abang dan kakak-kakak mereka di sekolah menengah.. Hmm.. agak-agaknya mereka pun dah naik boring, asyik muka saya saja yang muncul..

Apa yang saya kongsikan dengan mereka? Jom kita sama-sama ambil pengajaran..

Saya mulakan penyampaian dengan menekankan kepentingan untuk menjadi yang TERBAIK dalam kehidupan, sebagaimana kita mengimpikan yang terbaik dalam pilihan yang kita ada..
khusyuk mendengar..

saya nak berjaya...
Kemudian, saya teruskan dengan game pertama: Awak Sudah Bersedia? Begitu bunyi nama permainan ini. Dalam permainan ini, mereka diminta untuk duduk secara berpasangan, dan berbual dengan pasangan masing-masing tentang persediaan untuk menghadapi peperiksaan sambil menyatakan perasaan masing-masing, seterusnya memberikan kata-kata semangat kepada sahabat mereka..

saya berdebar-debar la...
Seterusnya, saya memberikan mereka tips seminggu sebelum peperiksaan, yang merangkumi apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan menjelang seminggu dari tarikh peperiksaan.

Permainan ke-2 menyusul, diberi nama: Gosok Jangan Tak Gosok.. Permainan ini menguji tahap konsentrasi dan fokus mereka. Seronok melihat mereka dengan pelbagai ragam dan aksi..

Gosok jangan tak gosok...

Perkongsian seterusnya adalah berkenaan beberapa insan yang serba kekurangan, namun telah berjaya membuktikan bahawa kekurangan yang mereka alami tidak menjadi penghalang kejayaan mereka. Antara yang dipaparkan adalah rakan-rakan sebaya mereka yang cacat penglihatan, cacat anggota badan yang terpaksa menulis dengan kaki, dan ada yang mengalami kesempitan hidup kerana dihimpit kemiskinan, namun telah cemerlang dalam hidup mereka...Saja saya kongsikan dengan mereka foto-foto kejayaan insan-insan istimewa ini supaya dapat menyuntik semangat mereka untuk terus belajar, disamping menyuburkan benih kesyukuran kepada Allah diatas nikmat pancaindera serba lengkap kurniaanNya..
dia telah berjaya...

Di akhir perkongsian, saya membawa mereka ke 'masa hadapan', dengan membayangkan keadaan dan situasi apabila tibanya saat mengambil keputusan UPSR, ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Bagaimana mereka yang berjaya dengan cemerlang akan bergembira dengan keluarga dan rakan-rakan, sebaliknya bagi yang gagal pula mungkin akan membawa penyesalan yang tidak terhingga. Saya minta mereka bayangkan adanya tangisan gembira dan mungkin juga tangisan kekecewaan di hari itu nanti.. Jadi pada hari ini, merekalah yang akan memilih, situasi mana yang mereka inginkan untuk masa hadapan mereka..Saya tekankan juga betapa mereka adalah harapan ummah, harapan ibu bapa dan harapan guru-guru, yang mengharapkan kejayaan mereka dalam peperiksaan yang bakal mendatang..
Saya tamatkan slot pada hari itu, dengan kata-kata semangat, harapan dan doa agar mereka mampu melakar kejayaan dan menjadikan kecemerlangan dalam UPSR nanti sebagai hadiah untuk ibu bapa dan para guru mereka yang telah banyak berusaha dan berdoa untuk kejayaan mereka..



semoga berjaya...

Semoga anak-anak ini berjaya dalam peperiksaan mereka.. InsyaAllah

Wassalam..

Wednesday, August 26, 2009

Akak ada boyfriend tak??

Assalamualaikum

Selamat berpuasa.. Alhamdulillah dah hari ke 6 pun..sangat cepat rasanya masa berlalu..

Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan seorang adik ni.. baru je melangkah masuk pintu perpustakaan, telinga terdengar nama dipanggil.. adik ni dah pun melangkah keluar perpustakaan.. lantas saya pun keluar balik, jumpa dengan dia untuk meraikan dia..

Wajahnya, saya tak cam dan saya tak ingat pernah jumpa di mana, tapi memang saya tahu kelemahan terbesar saya adalah, susah nak cam orang, lebih-lebih lagi nama.. memang bermasalah.. kadang-kadang segan, bila orang ingat nama kita, tapi kita pulak lupa.. dan adik ni macam tau-tau je saya tak cam dia lalu dia terlebih dahulu perkenalkan diri..

'Akak tak ingat saya kot, saya ikuti ceramah akak (saya tak berapa suka menamakan slot saya sebagai ceramah sebenarnya, lebih selesa disebut perkongsian) di DPP Perwaja, lepas habis slot tu saya mintak nombor akak'

'Ouh, maaf la akak tak cam', saya sedikit terkilan sebab tak cam dia

Lalu kami pun bersembanglah.. dia nampak excited nak tahu tentang study saya sekarang. Macam-macam soalan ditanya, rasa macam kena interview dengan wartawan pulak..

Antaranya..

Best ke akak buat Phd? Susah tak? [ seronok jugak dapat belajar benda baru, susah memang tak dinafikanlah..]

Macam mana akak boleh belajar sampai macam ni? [sama macam orang lain jugak, yang penting kita faham kenapa kita nak berjaya, barulah kita akan rasa bersemangat nak capainya]

Akak dulu selalu puasa Isnin, Khamis dan solat tahajud ya? [cubalah pujuk diri lazimkan..InsyaAllah banyak manfaatnya..apapun, kita ni insan biasa, kadang-kadang terleka, terlalai.. yang penting kita kena cepat-cepat buat U-Turn bila kita tersasar atau terlajak.. dan jangan sesekali abaikan apabila Allah tegur kita di saat kita terlanjur..]

Akak ada boyfriend tak? [opps.. tak pernah ada setakat ni..]

Prinsip akak ke tak couple? [Ya, prinsip akak..atas dasar kepatuhan kepada Allah.. Allah larang mesti ada sebabnya, kalau benda ni bawa kebaikan, tak kanlah Allah nak larang.. Allah sayang pada kita, dan dia tahu apa yang terbaik untuk kita..]

Akak tak rasa kekurangan ke tak ada boyfriend? [kekurangan?? tak rasa pun, akak ada keluarga, kawan-kawan untuk bercintan cintun, jadi tak perlulah pada boyfriend.. Lagipun macam yang selalu akak kata dalam slot perkongsian akak sebelum ni, kita tak boleh campurkan minyak dengan air, ilmu dengan kemaksiatan..tak kan menjadi..percayalah.. kalau nak bercintan cintun ni, nikah je lah terus.. senang, halal lagi..]

Akak jaga makan tak? Akak tak makan apa? [akak makan je semua, tapi tak suka benda-benda masam, dan kalau boleh elakkanlah makanan yang boleh tumpulkan daya ingatan dan makanan yang tak berkhasiat macam makanan ringan semua tu..]

Akak minum nescafe tak? [akak tak minum nescafe, bau pun tak boleh sebenarnya.. minum nescafe boleh, tapi jangan sampai ketagih.. kejap warna merah, lepas tu dah 'kebal', minum yang kuning, pastu hijau pulak.. cafein dalam tu yang tak elok untuk kesihatan] Dia tersenyum sambil mengiyakan..

Habis tu, kalau mengantuk akak buat macam mana? [mengantuk ubat dia senang je, tidur je lah.. he he.. secara jujur akak cakap, lepas semester 2 akak jarang sangat dah mengantuk bila nak belajar, sebab akak rasa teruja sangat nak belajar benda baru dan rasa masa tu sangat-sangat berharga..bagi akak bukan kuantiti masa belajar yang penting, tapi kualiti waktu yang kita guna untuk belajar. Ada orang yang ambil masa 3 jam untuk hafal dan faham satu bab, tapi ada yang ambil 30 minit je..jadi kalau kita guna waktu terhad yang ada dengan berkualiti, tak perlu pun kita curi masa tidur kita sebenarnya, sebab tu akak kata, kalau mengantuk, tidur aje, tapi syaratnya waktu belajar gunakan sebaik mungkin..]

Akak ada handset tak? [saya ingatkan dia nak ambil nombor saya, rupanya dia nak tahu saya ada handset ke tak.. adui la adikku, tak de lah sampai se-skema tu, sampai handset pun tak boleh guna.. dengan tersenyum saya menjawab, ada, penting handset ni.. Tak perlu rasa terganggu dengan handset, kita yang mengunakannya, jangan sampai dia pulak pergunakan kita]

Kak, sempat tak saya grad dengan kelas pertama, saya dah semester 5, ada 2 semester je lagi [Sempat, InsyaAllah.. sekarang awak kena check dulu PMK terkini, kemudian kiralah berapa awak perlukan untuk grad dengan kelas pertama]

Saya dah kira kak, saya kena dapat sekurang-kurangnya 3.8 untuk 2 semester yang berbaki ni. Sempat ke kak? [Sempat, insyaAllah.. ada masa lagi..orang kata bila dah sem-sem akhir, susah nak score.. tapi sebenarnya tak jugak, semuanya bergantung kepada usaha kita.. akak yakin awak boleh insyaAllah..]

Begitulah 'temuramah' tak langsung saya dengan seorang 'wartawan' yang sangat bersemangat nak berjaya.. Penat menjawab soalan tapi saya sebenarnya seronok bersembang dengan adik-adik ni, mendengar luahan hati mereka, melihat mata mereka yang ada kalanya bersinar penuh harapan, dan adakalanya redup diselaputi kesedihan, saya seronok berkongsi dengan mereka. Butir-butir kata mereka seolah menggambarkan potensi dalam diri mereka yang tersembunyi, menunggu masa untuk dicungkil dan digilap. Saya selalu katakan pada diri, Allah sedang memberi peluang kepada saya untuk belajar dan memahami manusia. Banyak saya belajar dari adik-adik ni, belajar memahami hakikat seorang insan, yang seringkali bergelut dengan kemahuan dan kehendak diri sendiri dengan keadaan persekitaran yang kadangkala boleh menjadi anasir yang kejam..Usai bersembang dengan adik ni, saya terfikir beberapa perkara..
PERTAMA. Antara MAMPU dan MAHU. Saya yakin setiap orang dikurniakan kemampuan yang sama dalam diri mereka.. Misalnya kawan saya A yang hampir kecundang di matrikulasi dan kawan saya Z pula menamatkan zaman matrikulasi dengan jayanya. Kemudian apabila kedua-duanya melangkah ke menara gading, mereka mempunyai kemampuan yang sama untuk berjaya. Si A mampu mengubah mimpi ngerinya di matrikulasi dengan melipatgandakan usaha di universiti, si Z juga mampu mengulangi kejayaan di matrikulasi sekiranya dia mengekalkan atau meningkatkan momentum belajarnya di universiti. Namun apa yang terjadi, si A yang telah melalui pahitnya saat kejatuhan dulu berazam mahu menebus kegagalannya, maka dia berusaha dengan sehabis daya untuk bangkit kembali mengejar impiannya. Si Z pula masih hanyut dengan kejayaannya di matrikulasi menyebabkan kemahuannya untuk terus berusaha sebagaimana zaman kegemilangannya dulu semakin pudar dan hambar.. Maka akhirnya, si A yang pernah gagal, namun kerana kebijaksanaannya menggunakan kemampuan yang dianugerahkan, ditambah pula dengan kemahuan yang meluap-luap, telah berjaya bergraduasi dengan kelas pertama manakala si Z yang telah pernah mengecap zaman kejayaannya dulu akhirnya tewas kerana kemampuan yang tidak dimanfaatkan dan kemahuan yang tidak digarap sepenuhnya.. Begitulah, bagi saya setiap orang punyai kemampuan yang sama untuk berjaya, namun semuanya bergantung pada kemahuan diri sendiri untuk betul-betul menjadi orang yang berjaya..Kalau kena dengan caranya, gabungan MAMPU dan MAHU mampu membuahkan hasil yang luar biasa.. cubalah..
KEDUA. Faktor X. Saya juga percaya faktor X diperlukan untuk berjaya. Faktor X ini saya definisikan sebagai faktor pencetus atau pemangkin yang mampu menggerakkan usaha untuk mencapai kejayaan, yang mana di saat diri lemah dan kurang bermotivasi, maka faktor X inilah yang akan kembali meniup semangat untuk terus berusaha.. Setiap orang ada faktor X nya yang unik dan tersendiri. Faktor X nya boleh jadi kisah silam berupa kata nista dan hinaan kaum kerabat atau jiran tetangga yang merendah-rendahkannya, menyebabkan dia bangkit untuk menepis segala ejekan ke atasnya. Mungkin juga berupa kesempitan hidup yang menjadi faktor penggalak untuk dia terus menghadapi segala kegetiran sewaktu belajar, dengan azam untuk mengubah nasib keluarganya dan membahagiakan mereka.. Saya juga ada faktor X yang membawa makna yang sangat besar dan mengubah kehidupan tanpa saya sedari.. Cubalah cari faktor X anda, atau lebih senang dikatakan, matlamat atau tujuan utama anda belajar..dan peganglah ia seerat mungkin, tanam dan bajai ia dalam hati.. Biar azam anda tumbuh subur dan menjadi pendorong kejayaan anda..
KETIGA. Jadi yang terbaik, buat yang terbaik dan dapatkan hasil yang terbaik sebagai ganjaran. Setiap saat dalam hidup, kita sering dihadapkan dengan pilihan.. dan setiap kali itulah, kita akan memilih yang terbaik di antara pilihan-pilihan yang ada. Antara nasi lemak ayam berempah dengan roti yang dah 2 hari lepas expired date, semestinya kita pilih nasi lemak yang sedap dan meyelerakan tu. Jika diberi pilihan memiliki rumah banglo 2 tingkat yang siap ada kolam renang dan mini padang golf dan rumah teres kos murah, semestinya kita memilih rumah banglo. Begitulah lumrah kehidupan, kita selalu mengimpikan sesuatu yang terbaik untuk kita. Teori saya, untuk dapatkan hasil yang terbaik, kita terlebih dahulu perlu jadi yang terbaik, dan berusaha sehabis baik dalam apa jua yang kita lakukan. Sebagai hamba Allah misalnya, jadilah hamba yang terbaik, juga umat yang terbaik, anak yang terbaik, kawan yang terbaik, pelajar yang terbaik dan apa jua peranan kita, jadilah yang terbaik.. juga lakukan yang terbaik, dalam ibadah misalnya, buat sehabis baik, juga dalam pembelajaran mahupun bekerja..barulah akhirnya nanti hasilnya akan setimpal dan berbaloi..
Apapun, niatlah yang paling penting dalam setiap tindakan kita.. Saya sangat percaya kepada kuasa niat. Alhamdulillah, Allah telah mengajar saya betapa hebatnya kuasa niat sejak 4 tahun lepas. Sebelum itu bukan tidak percaya pada kuasa niat, tetapi mungkin kurang jelas betapa signifikannya kuasa niat ini dalam kehidupan..Berniatlah untuk Allah semata-mata baik dalam apa jua yang kita lakukan, maka kita akan dapat melihat hasilnya yang sungguh hebat dan diluar jangkaan.. Kejayaan dan kebahagiaan adalah milik Allah semata-mata, jadi sekiranya kita mengimpikan 2 K ini, maka mintalah kepada pemiliknya. Kita takkan dapat sebiji kek yang sedap jika meminta kepada tukang jahit yang bangun tidurnya hanya memikirkan fesyen yang terkini dan moden, kita juga takkan dapat seketul emas yang bergemerlapan sekiranya meminta kepada tukang pembancuh simen di tapak pembinaan kawasan perumahan. Begitulah juga halnya, mana mungkin kita akan mendapat kejayaan atau kebahagiaan seandainya kita meminta kepada selain Allah..Banyakkanlah berdoa atau bermonolog dengan Allah, ini satu lagi tips yang bagi saya amat membantu dan bermanfaat..
Itu saja perkongsian untuk kali ini.. Selamat mengejar kebahagiaan yang anda impikan, yang mana kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar hanyalah apabila keredhaan Allah mengiringi kehidupan di dunia dan akhirat..InsyaAllah..

Selamat memeriahkan bulan Ramadhan dengan pesta ibadah, bukan pesta makanan dan pesta menggemukkan badan, tidak juga pesta membazirkan makanan.. Ingatlah pada insan-insan yang serba kekurangan.. Syaitan terpaksa cuti sebulan ni, tapi ingat.. kita ada nafsu yang perlu dikawal selia dan kadang-kala ditumpaskan untuk memastikan ibadah kita tidak terganggu di bulan yang mulia ini..InsyaAllah..

Wassalam


Sunday, August 23, 2009

Mangsa Bedah..





Assalamualaikum..


Jom berkenalan dengan 'kawan-kawan' saya..


yang ni buku saya sendiri.. best sangat.. insyaAllah 'mangsa' bedah berikutnya...

ha.. yang 2 ni bukan buku saya, Perpustakaan Sultanah Bahiyah punye.. tak tau brape kali renew dah, tapi tak pe sebab boleh renew 99 kali.. dah khatam, cuma belum dibedah..sebab tu belum pulangkan lagi..



yang ni istimewa sikit, hadiah dari seorang sahabat, dah lama cari, alhamdulillah dapat.. percuma pulak tu....sedang menelaahnya, tapi entah kenapa rasa sayang sangat nak khatamkan, sangat berguna untuk membantu memotivasikan saya..



yang ini pun istimewa, hadiah sempena ulangtahun ke-23 baru-baru ni.. belum baca lagi..


yang ni cenderahati sebagai panel program Seminar Menara Gading (SMG) 2009, nak baca tapi tengok cover depan macam 'mengerikan' sikit, jadi biar je dulu (boleh ke macam ni? Bukan ke patut banyak baca tentang kematian ke? Baru jadi orang bijak, kan?!)


dan ada lagi beberapa buah buku.. ni rak buku pinjam.. buku perpustakaan..(kecuali Laskar Pelangi tu, pinjam dari adik kesayangan) hampir semua dah dibaca, tunggu untuk dibedah je.. yang paling best buku perpustakaan ini sebab boleh pinjam 20 buah buku sekaligus, dalam masa sebulan.. waa. rasa nak angkut je semua kat perpustakaan tu.. rak buku sendiri ada kat sebelahnya..

Ingat tak, apa firman Allah kepada kita melalui ayat pertama yang diturunkan kepada baginda Nabi S.A.W ??
"Bacalah! Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah. Dan Tuhanmu Maha Pemurah. Yang mengajarkan dengan Pena. Mengajarkan kepada manusia apa yang belum diketahuinya ..." (Qur'an 96:1-5)

Jadi, mari kita sahut seruan Allah
Membaca...
Membaca sebagai makanan minda
Membaca sebagai penajam akal
Membaca sebagai penguat kefahaman

Apa tunggu lagi.. buka buku anda sekarang dan baca!


Wassalam






Al-Kisahnya H1N1

Assalamualaikum...

Bagaimana hari ke-2 anda di bulan Ramadhan?

Seperti yang kita semua sedia maklum, kisah H1N1 ni memang hebat diperkatakan di sana-sini, di dada-dada akhbar sibuk mencatat angka kematian terkini, saluran-saluran TV dan radio juga tak kurang hebatnya. Itu belum lagi dikira 'radio-radio tak rasmi' yang membawa berita mulut ke mulut yang kadangkala lagi hebat liputannya dari TV atau radio, boleh kalah lah kiranya wartawan-wartawan yang tersohor yang sedia-ada. Tapi biasanya liputan 'secara langsung' ni lebih suka dilaporkan terus dari kedai-kedai kopi, kawasan kejiranan (terutama rumah jiran) atau bilik-bilik asrama.. Apa-pun, kisah H1N1 ini tidak wajar dipandang enteng..

Al-Kisahnya, sabtu lepas saya dan adik-adik kesayangan saya telah ke KL untuk menghadiri sebuah program, saya memenuhi undangan sebagai panel forum manakala adik-adik saya sebagai sebahagian peserta program bercorak motivasi akademik tu. Ouh ya, PRISMA namanya...

Bukan debaran sebagai panel yang nak diceritakan (inilah pertama kali p bagi talk tapi rasa macam nak p exam, sebab soalannya tidak diberi secara khusus dan agak last minute , siap moderator pesan : expect the unexpected!! lagi). Yang nak diceritakan adalah 'habuan' selepas balik dari program tersebut..

Sebaik jejak je bumi Sintok pagi Ahad tu, badan dah mula rasa tak sedap. Tapi sebab penat dan mengantuk yang amat, maka mata pun dengan jayanya terpejam, dan akhirnya bermulalah 'pelayaran' yang mendamaikan....

Bangun-bangun je dari 'mimpi yang panjang' (tak mimpi apa-apa pun sebenarnya, tak dan nak mimpi, letih sangat), kepala terasa berdenyut-denyut, badan panas, sakit sendi dengan urat semua, tetiba saja selsema dan batuk pun menjadi-jadi.. Hati dah risau dah.. jangan..jangan...

Dah la saya ni agak 'degil' untuk pakai mask masa kat KL hari tu.. Adik-adik dah bebel-bebel dah...

Kemudian mesej beberapa orang adik-adik yang ikut ke KL, ada yang jugak demam-demam.. Saya pun sibuk pesan pada mereka, Jaga Kesihatan.. padahal saya pun terlantar atas katil..

Yang peliknya, demam saya ni macam 'chipsmore' yang sekejap ada, sekejap takde.. Demam saya berselang hari. Hari ni saya terlantar atas katil, esoknya saya boleh berjalan kaki ke zon akademik untuk ke kelas Research Phd (buat yang tau Universiti Ulama' Malaysia atau Universiti Ugama Malaysia ni - bukan Universiti Ulu Malaysia yea-boleh agaklah jaraknya ke zon akademik), kemudian lusanya, saya terlantar lagi.. aduh susah jugak macam ni..

Mulanya saya agak keberatan nak p klinik, yelah asal nak p je terus kebah demamnya (agak-agak ni simptom apa plak yea?), tetapi setelah dinasihatkan oleh beberapa Doktor peribadi ( yang bakal Dr betul pun ada, yang macam Dr pun ada..) saya pun p lah check.. Sebenarnya bukan takut nak jumpa Doktor (yang sebenar), cuma tak berani je... Tak berani terima kenyataan... ha ha..

Alhamdulillah, masuk jumpa Doktor aje, rasa macam kebah separuh demam saya.. Baiknya Doktor ni layan pesakit.. Macam ni la baru betul, ni tak, kadang-kadang jumpa Doktor garang aje, kita yang sakit sikit-sikit rasa macam lagi parah terus (opps jangan marah ya Doktor-doktor di luar sana, tak semua, mungkin kes terpencil saje, dan kita bersangka baik, Dr ni penat, ramai pesakit kena rawat.. ye tak??) Syukur sangat, Doktor kata negative H1N1, rasanya ni lah term negative pertama yang buat saya senyum lebaaaaaar..

Ok untuk itu, kita kena sentiasa menjaga kesihatan kita, isu H1N1 ini sebenarnya boleh dilihat dari pebagai perspektif, apa pun pasti dan pasti ada hikmah disebalik kedatangan wabak ini yang tanpa dapat disangkal lagi telah menimbulkan keributan bagi masyarakat dunia..

Saya tinggalkan bingkisan-bingkisan dibawah untuk anda... Selamat menunaikan ibadah puasa.. selamat berterawikh, bertadarus dan beramal kebajikan di bulan mulia ini..




Kepada Allah kita meminta

Mereka yang berisiko!!
Mencegah lebih baik daripada mengubati

Ini hadiah dari Dr kerana saya jadi pesakit yang baik.. waa banyaknya.. besar2 pulak tu



dan akhirnya saya mengalah...

Wassalam



Friday, August 21, 2009

Ramadhan: Tetamu Yang Dirindui


Assalamualaikum..

Akhirnya senja 30 Sya'ban berlabuh juga bagi memberi peluang kepada rembulan 1 Ramadhan yang tersipu-sipu malu memunculkan dirinya di dada langit...

Alhamdulillah, tiada kata selayak pujian kesyukuran kepada Allah yang masih lagi memberi peluang kepada saya [dan juga anda yang sedang membaca..bacalah sambil tersenyum bahagia menjemput kedatangan Ramadhan yea :) ] untuk menerima kunjungan bulan yang mulia ini. Kita masih diberi kesempatan untuk sekali lagi memperbaiki diri, menyucikan hati dan menjernihkan jiwa yang selama ini ternoda oleh karat-karat dosa, titik-titik hitam dan daki-daki kemaksiatan. Nah, inilah masanya untuk menyental sebersih-bersihnya segala noda-noda pekat, likat yang melekat di hati kita selama ini..

Di awal Ramadhan yang mulia ini, saya nak kongsikan sedikit isi kandungan sebuah buku yang saya baca baru-baru ni. Penulisnya, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang [rasanya tak perlu diperkenalkan dengan panjang lebar] yang bertajuk Ramadhan: Tetamu Yang Dirindui.

Buku ni nipis je, 106 muka surat dengan susunan ayat yang ringkas, padat dan sangat mudah difahami, maklumlah penerbitnya PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Saya tidak akan mengeluarkan semua input buku ini, sedikit saja akan disentuh berkenaan Hikmah Puasa.

Ok.. Jom kita bedah buku ni...

Dalam buku ini, penulis menegaskan bahawa terdapat beberapa hikmah berpuasa..

Pertama, berpuasa dapat melahirkan sifat takwa, yang menjadi ukuran kedudukan manusia di sisi Allah, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa"

Kedua, puasa menguatkan spiritual dan fizikal. Puasa mendidik diri supaya mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya dengan ikhlas dengan cara meninggalkan perkara yang membatalkan puasa walaupun perkara itu perlu, malah halal apabila tidak berpuasa, contohnya makan, minum dan berjimak. Allah juga menggalakkan orang beriman menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur. Semua ini ada hikmah bagi menguatkan spiritual dan fizikal yang akhirnya akan melahirkan azam serta menyegarkan pemikiran dan cita-cita. Luqman al-Hakim menasihati anaknya, "Wahai anak kesayanganku, perut yang dipenuhi makanan menyebabkan pemikiran tertidur, kebijaksanaan menjadi kelu dan melemahkan anggota badan untuk beribadat"

Ketiga, puasa membuktikan iman. Iman tidak hanya dikira pada hati dan lidah, tapi juga amalannya. Puasa adalah bukti dalam usaha untuk mengukuhkan iman. Puasa membezakan amalan yang dilakukan adalah kerana Allah, kerana ikutan tradisi atau kerana malu diejek orang sekiranya tidak berpuasa.

Keempat, puasa melahirkan akhlak mulia. Hati yang subur dengan iman yang jitu akan melahirkan akhlak yang mulia. Apabila dia berpuasa, dia merasai lapar sebagaimana orang fakir miskin berlapar. Apabila berbuka, dia bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah. Orang yang selalu berlapar dapat mengekang nafsu jahatnya, serta mendidik kesabarannya, berlainan sekali dengan orang yang tidak pernah berlapar yang selalu terdorong mengikut hawa nafsu dan amarahnya.

Kelima, puasa mengekang nafsu. Nafsu ibarat kuda yang liar. Ia hanya dapat dijinakkan apabila pemiliknya memasang tali kekang pada mulutnya. Seperti juga puasa, ia mengandungi didikan jihad melawan hawa nafsu yang dibantu godaan syaitan dengan pelbagai cara.

Keenam, puasa menyubur sifat amanah. Orang beriman percaya Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat apa jua yang mereka lakukan, baik secara terang atau tersembunyi. Latihan selama sebulan di bulan Ramadhan, meninggalkan semua perkara yang dilarang Allah secara ikhlas dan jujur sekiranya terus diamalkan walaupun selepas berakhirnya Ramadhan akan menjadikan tindak-tanduknya konsisten apabila berurusan dengan sesiapa sahaja.

Alhamdulillah... begitulah sedikit sebanyak isi kandungan buku ini yang dapat dikongsikan. Ayat-ayat dan penerangan di atas tidak disalin 100% dari buku, tetapi juga mengandungi olahan saya sendiri. Segala kekurangan mohon diampunkan. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama terutamanya dalam mengutip permata-permata ibadah dan mutiara-mutiara hikmah di sepanjang bulan penuh barakah ini..Insya Allah
Inilah buku yang saya maksudkan..

Wassalam..

ROQ 21 Ogos


Assalamualaikum...

Mmm tahukah anda hari ni hari apa?? Ya, hari ini hari Jumaat, 21 Ogos 2009 bersamaan 30 Sya'aban 1430 Hijrah..

Jadi ada apa dengan hari ini?

Pastinya istimewa hari ini adalah kerana hari Jumaat, hari yang mulia, penghulu segala hari

Bulan ini juga istimewa kerana bulan sambutan kemerdekaan Malaysia

Juga kerana hari ini hari terakhir di bulan Sya'aban yang menandakan akan bermulanya bulan penuh keberkatan, Ramadhan...

Tetapi sebenarnya ada satu lagi makna pada tarikh hari ini iaitu ROQ..

Apa itu ROQ?? dan apa kaitannya dengan 21 Ogos??

Jom baca...


APA itu ROQ ?
Hari Al-Quds Sedunia (Remembrance of Al-Quds- ROQ) disambut sebagai tanda memperingati tragedi pembakaran masjid Al Aqsa

BILA ROQ disambut ?
21 Ogos setiap tahun

BAGAIMANA tercetusnya sambutan ROQ ?
Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok dan mimbarnya yang besar (mimbar Solahuddin). Api marak dengan dasyat sekali seolah-olah seluruh Masjidil Aqsa akan musnah ketika itu. Malah, pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan. Tetapi Allah telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.
Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Dennis Michael. Michael mendakwa bahawa dia diutus Allah untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan berita dari Kitab Zakaria. Kemudian, Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Michael ‘gila’. Maka, atas sebab itu, Michael tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. Negeri-negeri Muslim seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa. Maka sejak itu 21 Ogos setiap tahun menjadi Hari Al-Quds sedunia.

SIAPA perlu menyertai kempen ROQ ?
Semua lapisan masyarakat (tiada alasan bagi yang bergelar MUSLIM ~ Al- Aqsa adalah hak kita!!) yang kenal dan faham erti kemanusiaan, penganiayaan, penindasan dan hak asasi manusia dalam erti kata yang sebenar. Isu Palestin bukan sekadar isu agama bahkan merupakan isu sejagat yang wajar mendapat pembelaan dan perhatian dari seluruh anggota masyarakat tanpa mengenal bangsa dan agama. Penindasan dan kezaliman yang berlaku di bumi Palestin dengan jelas memaparkan pencabulan hak asasi manusia di mana rakyat Palestin dinafikan hak untuk menghuni tanah air mereka sendiri bahkan dibunuh, dihalau serta kediaman mereka dirobohkan serta dimusnahkan.

Adakah kita prihatin dengan isu ini?? (Pilihan jawapan : A) Ya B) Sudah Pasti C) Tiada keraguan lagi D) Semua jawapan di atas)...
Sekiranya anda memilih mana-mana jawapan diatas
1. Sebarkan kepada sahabat handai, rakan taulan mengenai ROQ pada 21 Ogos (gunakan sms, friendster, blog, facebook dan apa jua medium anda)

2. Mahasiswa IPT disarankan berpakaian hitam atau T-shirt Palestin dan badges Palestin untuk menunjukkan kebersamaan dalam memperjuangkan isu ini

3. Edar risalah dan artikel

4. Anjurkan program Palestin (jika berkemampuan- kalau tak mampu anjur, bantu penganjuran pun boleh..)

5. Tambahkan pembacaan anda (dan saya juga) tentang isu ini supaya dapat diceritakan dan disebar-sebarkan kepada sahabat handai yang lain

6. Berceritalah kepada kaum keluarga, sahabat handai, anak-anak usrah juga jangan lupa..

7. dan lain-lain yang perlu dan sesuai mengikut kemampuan


Semoga usaha kecil kita mendapat keredhaan Allah...

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya." Surah Al-Zalzalah:7

Wassalam..

Wednesday, August 19, 2009

Aku Bahagia

Ya Allah
Kesyukuran ini tidak mampu aku luahkan dengan kata-kata
Cukup sekadar mendengar suara mereka
Walau tidak dapat ku lihat wajah gembira mereka
Namun seakan dapat ku teka
Apa yang ada terpendam jauh disudut hati mereka
Aku bahagia

Kami insan-insan yang diuji
Namun kata bonda, tidak patut kami mengeluh menyesali
Kerana masih ada hambaNya yang tetap tegar berdiri
Saat dugaan mendatangi menguji keteguhan iman di hati
Aku akui, tanpa meragui

Tatkala satu persatu kekusutan terlerai akhirnya
DihantarNya pula nikmat yang berganda
Oh Tuhan, Aku terpana
Hati berbisik seakan tidak percaya
Namun takdirMu penentu segalaNya
Pesan Ayahanda, jangan terlalu teruja wahai anakanda
Jangan kamu dilalaikan dengan nikmat dunia
Terimalah anugerah ini dengan kesyukuran tidak terhingga
Kepada Yang Maha Esa jangan kamu lupa walaupun seketika
Baik dikala kamu senang mahupun diuji derita
Aku genggam kemas butiran-butiran mutiara katanya

Senyuman itu membahagiakan jiwa ini
Wajah ceria itu menyejukkan hati ini
Tawa mereka menghembus damai ke lubuk nurani
Semoga selamanya bahagia ini terus abadi
Walau betapa banyak onak duri perlu ditempuhi
Dalam hidup yang sementara ini

Ya Rabbi
Kurniakan kami kekuatan yang tidak berbelah bagi
Teguhkan kami dengan kasih sayang yang tiada galang ganti
Moga bahagia yang kami impi
Tidak sekadar di dunia ini
Bahkan berpanjangan sehingga di syurga Mu yang tiada penghujungnya nanti

Tuesday, August 11, 2009

Ada Apa Dengan PhD

Assalamualaikum..

Minda terfikir untuk berkongsi rasa.. Hati terdetik untuk mula bercerita.. Jari-jemari pun berlarian mencoret patah-patah kata, menterjemah melodi yang berlagu di jiwa

2 bulan hampir berlalu, setelah dengan rasminya menjadi pelajar kembali.. selepas hampir setahun merehatkan diri..

Seawal mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran, macam-macam perasaan bertandang.. gembira ada, sebab inilah yang dinanti-nantikan selama ni, risau pun ada, memikirkan kemampuan diri, takut pun tak kurang juga, maklumlah dengar-dengarnya perjalanan yang bakal dilalui ini tidak semudah yang disangka... mm lepas tu, mula lah bertanya pada orang-orang yang tersayang tentang ni..

Ingat lagi..

Ma: Ikut kakak lah, kalau kakak rasa mampu, sambunglah... tapi kalau rasa tak mampu, jangan paksa diri, ma dengan abah tak kisah mana-mana pun...

Abah: Mengangguk.. tanda setuju dengan ma

Saya: Dalam hati, sambil menahan sebak.. ( Terima kasih ma, abah... dari dulu lagi ma dengan abah tak pernah paksa kakak, kalau kakak dapat result rendah pun, ma dengan abah selalu bagi suntikan semangat, tak pernah marah-marah..)

Masih ingat jugak...

Abang (adik sebenarnya) : Abang bangga dengan kakak, dapat sambung PhD, abang bangga ceritakan pada kawan-kawan abang kakak dapat sambung belajar... walaupun abang tak dapat belajar tinggi-tinggi macam kakak..

Adik : Tengok je kat abang dengan kakak dia..

Saya : Terima kasih abang.. kakak pun bangga dengan abang, abang dah banyak tolong keluarga kita... tak pe, kalau Allah takdirkan kita dapat hidup senang sikit lepas ni, kita akan ingat saat-saat kita susah ni, InsyaAllah kita akan jadi orang yang bersyukur, tak sombong dengan Tuhan dan manusia..

Teringat lagi..

Mak cik A : Tak pe muda-muda ni sambung lah belajar, nanti kalau dah kawen ada anak, susah lah sikit, banyak tanggungjawab.. sementara masih single ni ambik lah peluang ni..

Saya : Mengangguk, sengih je..sambil cari alasan tukar topik.. he he risau bab kawen tu dipanjang-panjangkan... he he

Pak cik X : Kalau dapat tawaran, sambung terus, tak pe walaupun tak ada master..

Saya : Rasa yakin sikit..

Kak N : Pada pendapat akak elok ambik master dulu, nanti susah tak de pengalaman buat research terus nak buat PhD

Saya : mm hati berbelah bagi balik..

Encik T : Saya tengok pelajar first degree yang sambung PhD terus ni kebanyakannya tak jadi 'orang'

Saya : mm gerun jugak mendengarnya..

Dr. K : Budak-budak first class ni ada 2 jenis.. kalau jenis yang lembab tu memang susah la skit... tapi kalau jenis yang cepat ni, tak de masalah..

Saya : Aduss.. agak sinis.. tapi ada kebenarannya..

Adik-adik : Tak pe kak, kami yakin akak boleh buat insyaAllah

Kawan-kawan : Awak boleh, insyaAllah

Saya : Terima kasih atas doa kalian..

Itu peristiwa-peristiwa 4,5 bulan lepas... sekarang ni keputusan dah pun di ambil.. dengan hati penuh redha dan tawakal kepada Allah, saya teruskan niat untuk sambung belajar...

Saya yakin Allah nak ajar saya banyak benda dalam 3 tahun akan datang ni, bukan sekadar mengejar gelaran Dr. tu, tapi ada yang lebih penting dan berharga dari itu..

Mengenang zaman-zaman kejatuhan dulu, atau lebih suka saya gelarkan zaman menjadi produk gagal, sehinggalah terjadi PERISTIWA ITU, yang membuka minda dan menyuntik kembali semangat saya untuk merenung apa sebenarnya tujuan kehidupan saya ni. Adakah sekadar untuk bangun tidur, belajar atau bekerja, seterusnya tidur balik ? Adakah begitu sepatutnya kehidupan saya berlangsung.

PERISTIWA ITU memberi jawapan kepada saya.. Dan itulah rahsianya, tipsnya.. Di mana-mana sesi perkongsian saya dengan adik-adik, itulah tips yang saya berikan, memang itu saja yang saya mampu sampaikan, kerana itulah sebenar-benarnya yang menjadi pendorong saya selama 3 tahun yang lepas...PERISTIWA ITU..

Hari ini, saya sangat bersyukur kepada Allah, kerana dia kurniakan keluarga yang sangat memahami dan sentiasa ada disisi saya, juga supervisor-supervisor yang tersangat banyak membantu, mak cik-mak cik yang selalu menitipkan pesan dan nasihat, sahabat-sahabat dan adik-adik yang turut menjadi pendorong..

Namun, semuanya baru bermula.. perjalanan saya masih jauh.. walaupun tekanannya mula dirasai tapi menatap wajah insan-insan kesayangan yang banyak membantu dan menyuntik semangat, mampu meredakan kembali perasaan saya. Semoga Allah memberikan kekuatan untuk saya menempuh semuanya ini..

Jadi ada apa dengan PhD?? Saya belum ada jawapannya.. yang pasti saya punya impian yang ingin dicapai dalam masa 3 tahun ini.. Impian itu saya abadikan dalam abjad P..H..D.. itu sendiri.. semoga segalanya diberkati Allah..

~Wassalam~

Monday, August 10, 2009

Pergi Tak Kembali...


Assalamualaikum..


Baru saja menerima berita kematian ayahanda kepada seorang sahabat...

Sangat terkejut kerana baru saja petang tadi jumpa dia di perpustakaan, dengan senyuman manis dan wajah cerianya seperti biasa...

Pastinya saat ini senyuman itu terselindung dibalik wajah pilu menggambarkan hatinya yang turut dipagut sendu... semoga dia tabah menempuh ujian ini..

Pastinya juga debar di hatinya dan sentakan yang bertamu dijiwanya masih belum padam saat ni, kerana ayahanda yang selama ini sihat tiba-tiba diberitakan telah kembali ke rahmatullah, setelah dikatakan terjatuh dan pengsan, sebelum disahkan terkena serangan jantung..

Benarlah firman Allah, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185..

Kematian itu adalah sesuatu yang pasti, tiada siapa yang dapat mengelaknya, apatah lagi mempercepatkan atau menundanya... Ia akan menjemput, tepat pada waktunya, tidak awal dan tidak juga terlewat..

Kematian adalah transisi kehidupan manusia ke alam yang baru, alam yang padanya tiada lagi berguna segala harta benda, mahupun kaum keluarga dan sahabat handai. Cuma amalan sahajalah yang akan menemani...

Begitu berhikmah Allah menyembunyikan rahsia kematian ini dalam pengetahuannya, kerana Dia bermaksud untuk menguji hamba-hambanya..

Kalau hidup ini diumpamakan sebagai sebuah perjalanan, maka manusia pula adalah pengembaranya, sedangkan dunia ini hanyalah sebuah persinggahan, menuju destinasi akhir, iaitu alam akhirat...

Kerana itu, wahai pengembara dunia, kutiplah segala bekalan sepanjang perjalananmu, buat bekalan di negeri abadi..

Semoga kematian benar-benar menyedarkan kita betapa singkatnya masa untuk dipersiakan dengan kemaksiatan, dan betapa berharganya usia untuk dibazirkan dengan kemungkaran...


~wassalam~

Sunday, August 9, 2009

sambungan Semudah ABC??



Assalamualaikum..


Kita sambung lagi pembelajaran tentang ABC Dakwah ni yea..

A sudah, B sudah, C pun sudah.. kalau lupa rujuk entry sebelum ni.. ok abjad seterusnya...

DD- Discuss the Difference

Setelah kita cetuskan pemikiran mereka dengan menumpukan persamaan, kita pun boleh la mula menGEGARkan kepercayaan mereka dengan membincangkan perbezaan konsep ketuhanan dan agama ni.. tapi pastikan kita punya bekalan yang cukup, kena tahu serba banyak (bukan serba sedikit yea) tentang soalan-soalan yang selalu di tanya oleh mereka-mereka yang belum Islam ni.. dan bagaimana nak menjawabnya..hmm boleh tambahkan pembacaan tentang perkara ni yea..

Ustaz jugak selalu sebut, gunakan bahasa fitrah atau analogi dalam menerangkan isu-isu agama ni kepada mereka.. contoh yang ustaz pernah kemukakan.. kalau mereka mempersoalkan tentang hak wanita dalam Islam.. kononnya hak wanita diperlekehkan dalam kebanyakan hal, biasanya isu poligami, kewajipan bertudung, pembahagian harta pusaka dan sebagainya..

Isu yang ustaz keluarkan hari tu adalah tentang saff wanita yang diletakkan di belakang saff lelaki, memperlihatkan adanya perbezaan hak antara lelaki dan perempuan.. seolah-olah Islam merendahkan wanita kerana meletakkan mereka di belakang dalam saff solat..kenapa lelaki di depan, perempuan di belakang?? kita boleh saja menjawab isu ini dengan mengeluarkan ayat Al-Quran dan hadis, tetapi dibimbangi mereka tak boleh terima memandangkan mereka juga tak percaya pada kitab Al-Quran. Jadi kaedah terbaik adalah gunakan bahasa fitrah atau analogi..

Untuk isu diatas analogi yang ustaz berikan adalah pemandu dan puan besar (majikan lah ni). Si drivernya lelaki, dan mestilah dok depan sebab dia driver, dan majikannya ni perempuan, dok belakang. Adakah bila puan besar tadi dok belakang maka dia lemah atau diperlekehkan? jawapannya mestilah tidak, sebab dok belakang lagilah hebat, sebab dia majikan....Jadi adil lah kan, puan besar tadi dok belakang kerana haknya sebagai majikan, dan pemandu lelaki tadi dok depan kerana hak dan tanggungjawabnya sebagai pemandu.. dan keadilan itu juga bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya..

Begitulah hebatnya Islam dalam mengajar keadilan, yang lelaki sebagai imam atau pemimpin perlu berada didepan, manakala yang wanitanya haknya dan tempatnya di belakang, tapi tidak bermakna posisi dibelakang itu adalah satu penghinaan atau penindasan.. hmm kemudian nak masukkan ayat-ayat Al-Quran atau hadis bolehlah.. untuk menguatkan lagi hujah-hujah kita tentang kehebatan Islam ni..

Sebenarnya banyak lagi analogi boleh dikaitkan dalam menjawab isu-isu sebegini, selain logik akal perlu tau jugak fakta-fakta semasa supaya tidak terkedu lidah bila dilontarkan persoalan..

Baiklah beralih ke langkah seterusnya..
EE- Evaluate your Effort

Setelah berdiskusi dengan mereka, nilaikan lah usaha kita, mungkin jugak kita perlu perbaiki kaedah komunikasi atau pendekatan yang kita gunakan.. dan kalau kelihatan target kita tu berminat untuk tahu lebih lanjut, jangan abaikan dia.. bantu dia untuk mencari sinar Islam ini..

dan yang terakhir..

FF- Future Follow up

Jangan buat macam touch n go je yea, teruskan perhubungan dengan mereka dan cuba bantu mereka, terutamanya yang nampak berminat dengan Islam.. kita tak boleh harapkan perbualan selama 15-30 minit terus membuahkan hasil.. kita berusaha, tetapi hidayah itu milik Allah.. sekurang-kurangnya kita telah mencuba, bila ditanya kelak dihadapan Allah, kita ada jawapannya.. seperti cerita si burung yang cuba padamkan api yang membakar nabi Ibrahim dengan hanya air dalam paruhnya yang kecil.. nampak sia-sia, tapi apa kata si burung itu, sekurang-kurangnya bila ditanya Allah, dia boleh menjawab, aku telah cuba dan berusaha.. kita bagaimana??

Baiklah, itu saja perkongsian untuk kali ini... InsyaAllah nanti kita bedah buku pulak.. semoga mendapat manfaat terutamanya pada yang menulis, dan juga yang membaca..


~Wassalam~


Semudah ABC ???





Assalamualaikum....

Baru-baru ni sempat mengikuti beberapa sesi TOT (Training of Trainers) Dakwah Masyarakat Majmuk (DMM). Penceramahnya, adalah orang yang tak asing lagi dalam dunia dakwah masyarakat majmuk ni iaitu, Ustaz Kamarudin b Abdullah.. mmm beliau pun baru je dapat Anugerah Saudara Baru Cemerlang 2009 sempena Konvensyen Saudara Muslim peringkat kebangsaan 2009 di PWTC baru-baru ni.. hmm tahniah..

Boleh baca cerita beliau dan 2 lagi tokoh hebat yang juga mendapat anugerah pada majlis tersebut disini yea-----

Ustaz Kamarudin ni jugak, adalah Presiden IPSI- Islamic Propagation Society International Malaysia.. hmm boleh check laman web IPSI kat sini -----http://www.ipsi.com.my/

ok, baru mukaddimah... apa kaitan dengan tajuk kat atas??

baiklah, disini saya kongsikan sedikit pengisian dari slot-slot TOT DMM yang sempat dikutip ..yang paling saya suka adalah teori ABC Dakwah... sangat praktikal, bukan teori semata-mata... teori ni sangat la bermanfaat untuk digunakan dalam nak memulakan langkah berdakwah kepada masyarakat belum Islam... k, jom kita belajar ABC dakwah....

AA- Attractive Approach...

ha kena la guna cara yang menarik.. kena berstrategi... macam singa yang tengok kawanan rusa, dia akan aim dulu, tak delah kejar semua skali, kalau tak penat lah dia, kejar ramai-ramai... so dalam dakwah ni pun macam tu, aim dulu target kita, kemudian fikirkan strategi berdasarkan siapa target kita, dan keadaan sekeliling.. kiranya carilah idea camane nak mulakan perbualan.. jangan la pulak mula-mula sapa dah terus tanya kenapa tuhan awak ada tiga?? (kalau target tu Kristian la).. aduss kalau camtu, mau kena ketuk.. so kena pandai-pandailah bawa topik perbualan, kemudian baru slowly masuk jarum...

BB- Break the Barrier

k,kemudian.. cuba runtuhkan tembok penghalang dengan mengeratkan ikatan.. kiranya layanlah sembang lagi.. kalau contohnya situasi ni dalam bas, boleh la sembang topik-topik yang bersesuaian, contohnya nak p mana?, orang mana? dan sebagainyalah.. ingat!! topik yang bersesuaian yea...

CC- Cash on Commonalities

Seterusnya, cuba cetuskan pemikiran dia tentang konsep ketuhanan dan agama ni... tapi tumpukan dulu kepada persamaan... kira nak tarik perhatian dia lah ni... kalau terus bincang perbezaan, mungkin akan menakutkan dia, ataupun menyebabkan dia tak mau sembang dah..

ok lah, pembelajaran tentang ABC Dakwah kita ni berhenti setakat ni dulu, baru je dapat email dari supervisor untuk discussion tentang framework research esok.. aisyy dah la banyak lagi tak baca ni...

ok nanti kita sambung lagi.. kita akan belajar sampai FF yea.. semoga hari-hari kita dipenuhi dengan kerja-kerja yang bermanfaat dan mendapat redha Allah.. insyaAllah



-wassalam-



Saturday, August 8, 2009

Hikmah ujian buatmu..


Dia titipkan ujian buatmu,

agar jiwamu kental menghadapi dunia

Dia kirimkan cubaan buatmu,

agar hatimu tunduk patuh kepadaNya

Dia sisipkan dugaan buatmu,

agar engkau berpaling meminta kepadaNya

Dia membawamu kembali ke pangku

saat engkau hampir membelakangiNya

Dia tidak pernah meninggalkanmu keseorangan termanggu,

saat taulan menjauh dikala kau berduka

Dia tidak sesekali membiarkan kecewa membelenggumu,

saat hatimu merintih tulus menghadapNya meminta