Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Saturday, October 24, 2009

guru..cikgu..ustaz..muallimah..pensyarah..

Assalamualaikum...

Jari jemari masih mampu bertarian melangkah kemas di papan kekunci, sepasang mata masih mampu melirik jelas ke muka skrin, telinga 2 berpasangan masih mampu mendengar deruan angin malam, seulas bibir masih mampu menguntum senyuman penyeri kehidupan, kedua belah kaki masih mampu berpijak di bumi Tuhan.. maka apakah patah kata selayak Alhamdulillah.. pujian kesyukuran kepada Allah atas segala nikmatnya buat diri ini... Hati dan bibir juga bersatu menghimpun butir-butir keampunan kepada Ilahi, atas kelalaian diri terhadap tuntutan kepada yang Maha Pemberi.. Semoga Allah mengampunkan kekhilafan diri ini..

Babak demi babak dalam 'drama' kehidupan saya terus bersambung.. dan saya masih menjadi salah seorang 'watak' nya.. mungkin watak yang utama, mungkin sekadar tambahan saja.. saya ingin mengajak anda bersama saya dalam episod ni, anda sudi??

Kisahnya begini...Pagi tadi.. Hari ini..

Dok khusyu' (ye ke khusyu'?) menelaah buku tentang Resource-based Theory, telefon saya tiba-tiba berlagu riang.. saya tengok skrin, nombor tak dikenali.. lalu saya tekan butang hijau..

Saya : Assalamualaikum..

Dia : Waalaikumussalam.. Ayu, kak Farid ni.. Ayu ada kerja ke hari ni?

Saya : Oh, kak farid.. saya tak ada apa-apa plan hari ni.. ada apa kak..

Dia : Akak nak pergi Sungai Petani, ada program ABJZ (Anda Bijak Jauhi Zina) Ayu nak ikut tak?

Saya : (Rezeki ni, Allah nak ajar saya 'subjek' baru..) Nak.. nak.. nak ikut kak farid..

Dia : Ok, pukul 12 akak datang ambil ya

Saya : (mengerling ke jam.. dah pukul 11.30..) Ok..ok.. nanti saya siap, pukul 12 kita jumpa ya InsyaAllah

Dia : Ok, akak nak jemput cikgu kat sekolah akak dulu..

Mmm... itulah permulaan kisah ini.. Watak-wataknya, 3 orang pendidik.. (mm...saya pun pendidik jugak, tapi pendidik yang masih 'goyang kaki' setakat ni) Duanya ustazah, seorangnya madam (cikgu English) dan saya (mm...'cikgu' Operation Management yang terima gaji 'free' dengan hanya pergi punch card je hari-hari...he..he.) opss lupa, 'unta tunggangan' kami.. si anggun menawan Grand Livina yang putih melepak, masih 'dara sunti'.. baru 7 bulan menyusur ayu di jalanan..

Perjalanan dari bumi Sintok ke Sungai Petani ini benar-benar menginsafkan saya, kesyukuran yang tidak terhitung saya panjatkan dari awal melangkah ke 'perut' Livina, saat perjalanan bermula hinggalah saat ini, saat abjad demi abjad, huruf demi huruf dirangkum menjadi patah-patah perkataan di skrin ini..Sungguh saya lah seego-ego insan, seingkar-ingkar manusia, sekiranya setiap detik, setiap saat perjalanan hidup ini tidak menjadikan saya hambaNya yang bersyukur.. Moga dijauhkan Allah dari bersifat sedemikian..

Perjalanan saya kali ini ditemani dengan pelbagai hikmah dan pengajaran.. saya kalah dalam berkata-kata, maklumlah.. semuanya cikgu.. dok biasa bercakap setiap hari di sekolah.. pelbagai isu tentang pelajar mereka bincangkan, sesekali saja saya menyampuk.. selebihnya saya mendengar...rintihan dan keluhan bertali arus.. bukan mengeluh kerana mereka jemu mendidik anak bangsa, bukan merintih kerana mereka kecewa mengajar pewaris negara.. tapi mereka sebetulnya risau, bimbang dan tak keruan memikirkan sikap para pelajar, yang semakin hari semakin hilang jati diri, hilang kecintaan terhadap ilmu, malah semakin 'parah' terkena 'virus-virus' perosak akhlak.. nilai, adab dan moral seorang pelajar terhadap guru semakin terhakis..

Dalam saya mendiamkan diri, saya cuba memahami, dan akhirnya baru saya mengerti, susahnya tugas sebagai pendidik ni... bila terlalu garang, pelajar kata guru tidak punya hati.. bila terlalu lembut, kepala guru pula dipijak-pijak, didaki-daki.. padahal guru bertegas kerana nak membentuk peribadi, guru berlembut kerana ingin memujuk dan menunjuk kepada yang keras hati.. ada pelajar yang sibuk complaint tentang cikgu... cikgu macam ni, cikgu macam tu, cikgu patut buat macam ni, cikgu tak patut buat macam tu.. kecil hati si guru, anak didiknya merendahkannya di hadapan umum, tapi demi kasihnya pada anak bangsa ini, dia gagahkan diri menguntum senyum semanis madu, walaupun hakikatnya dia umpama menelan pahitnya hempedu..

Aduhai anak murid kesayangan guru, mana adabmu kepada si pemberi ilmu? Bukankah engkau laksana 'penjejak' permata ilmu.. sedang mereka umpama 'gedung' simpanannya? Wajarkah engkau 'bakar' gedung itu, sedangkan apa yang engkau cari ada didalamnya? Jadi bagaimana mungkin akan kau temui permata itu, sekiranya tempat simpanannya sudah kau musnahkan.. Ya mungkin akan kau temui saki-bakinya disebalik runtuhan itu, tapi tidak lah ia sebanyak yang sebenarnya ada di dalam 'gudang' yang kau bakari itu..

Bila peperiksaan hampir tiba, guru-gurulah sibuk mengumpul kertas peperiksaan tahun sebelumnya, pelajar hanya menerima.. setelah itu, guru jugalah menganalisis soalan-soalan lalu, pelajar hanya menunggu.. peperiksaan tinggal beberapa waktu, guru ditanya bab mana yang perlu ditumpu, bila guru kata tak tahu, baca semua yang perlu, guru dikata tak nak membantu.. bila guru bagi soalan jangkaan, mula-mula pelajar bersorak kesukaan, tapi bila soalan yang diramal tidak menepati sasaran, guru jugak yang menjadi cemuhan.. kesian guru, asyik-asyik jadi mangsa keadaan..

Tengoklah, lihatlah betapa kasihnya guru, walaupun diluar kawasan sekolah, walaupun setelah tamat waktu pembelajaran, isu tentang pelajar masih jadi bualan, masalah-masalah pelajar terus dalam fikiran.. siapa kata guru tak sayang anak didiknya?? Marah guru bukan benci, marah guru kerana menasihati.. Garang guru bukan menyakiti, garang guru kerana menyayangi.. Saya termenung panjang, begini rupanya cabaran si pendidik.. bukan calang-calang yang mampu bertahan dan bersabar.. Allah kurniakan guru dengan ketahanan, kekentalan mental dan emosi yang tinggi..

Jangan lah kita sekalipun pernah untuk bersangka buruk pada para guru, mereka tidak pernah meminta imbalan yang tinggi untuk usaha mereka.. sekalipun mereka dibayar untuk mendidik, tetapi 'roh' pendidik mereka tidak pernah membenarkan mereka meletakkan bayaran untuk tugas murni ini.. hakikatnya, bayaran bulanan yang mereka perolehi saban tahun tidak sesekali mampu menandingi pengorbanan mereka mendidik anak bangsa.. sebagaimana ibu bapa menginginkan si anak berjaya dalam hidup, begitulah juga para pendidik ini.. terharu saya bila mereka saling bertanya, kita guru kah yang bersalah, bila anak-anak remaja terjebak dengan keruntuhan akhlak dan moral? Didikan kita kah yang tidak berkesan hingga anak-anak ini kecundang dalam hidup mereka? Wahai anak didik kesayangan guru, pernah anda selami hati dan perasaan guru-guru ini? Pernah anda lihat betapa mereka bersusah payah untuk anda? Pernah anda cuba untuk hargai pengorbanan mereka mendidik anda?

Kesyukuran saya tidak terhingga, tidak pernah sekali dalam hidup saya, mendengar rintihan dan luahan tulus seorang guru.. sepanjang 23 tahun ini, tidak pernah.. hinggalah hari ini, peluangnya tiba, setelah saya sendiri hampir menamatkan status sebagai pelajar.. semua ini buat saya kembali merenung dan berfikir, sehebat manapun seorang insan itu, pada episod kehidupannya pernah ada catatan jasa seorang guru.. samada guru secara formalnya atau yang mendidiknya secara tidak langsung.. pasti ada seorang guru disebalik kisah kejayaan seseorang itu..

Buat semua yang telah, sedang dan akan bergelar anak didik kepada mana-mana guru, hormatilah gurumu, kasihi mereka sepertimana engkau mengasihi ayah bondamu.. nescaya engkau akan dapati keberkatan dalam ilmu.. jangan sesekali mencemuh guru, walau pada pandanganmu dia begini atau begitu.. bukankah guru juga insan sepertimu? Punyai kelemahan dan kekurangan yang perlu diaku...

Kenanglah selalu jasa guru-guru ini.. tidak sukar sebenarnya, doakan saja mereka seusai solat kita.. Sungguh, saya terpaku pada kenikmatan yang Allah beri pada saya di perjalanan 2 jam ini.. Nikmat memahami guru..biar apa pun gelaran kita pada mereka.. guru, cikgu, sir, madam, miss, ustaz, ustazah, pensyarah, muallim, muallimah... atau apa-apa saja... mereka adalah sama, merekalah insan yang bukan sedikit mempengaruhi dan menyumbang dalam episod kehidupan kita.. oleh itu, mari kita bertekad hari ini, untuk setiap hari menghadiahkan mereka dengan seuntai doa, semoga Allah sentiasa merahmati dan meredhai guru-guru kita, di mana saja mereka berada.. Terima kasih duhai guruku..

p/s: ni baru 'subjek baru' dalam si jelita Livina.. belum lagi di tempat program ABJZ.. Sungguh Allah tidak mentakdirkan sesuatu dengan sia-sia..

Semoga bermanfaat untuk sesiapa saja yang 'singgah' di sini..

Wassalam..

2 comments:

jundullah said...

akk pegi ABJZ ker???
yg kt mna???
Mayah p jugak x jumpa akk pon...

pendamba mardhatillah said...

salam, mayah..

akak p yang adik2 Islah jadi peserta tu, Pak Lang bg talk.. mayah p yang TOT tu kot..