Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, November 4, 2009

PhD - Kecil Tapi Signifikan

Assalamualaikum...

Hujan lebat diluar, turun mencurah-curah.. malam kelam, sang rembulan berlindung di balik awan pekat, gelap.. Di bumi jelapang ini, lebih spesifiknya Lembah Sintok 2,3 minggu ni asyik menerima 'tangisan' dari langit.. kekadang lebat, kekadang rintik.. bumi Darul Naim juga, disirami 'air mata'.. musim tengkujuh makin menghampiri.. laut yang tenang jadi bergelora, angin sepoi-sepoi bahasa bertukar ganas di malam harinya..begitulah aturan, putaran alam.. tidak selalu tenang, tapi tidak juga terus menggila dan meronta ganas.. Allah yang mengaturkan segalanya..

Opps.. saya tak nak membawa mood naik turun aturan alam pada entri kali ini.. cukuplah dikatakan ketidakstabilan 'mood' alam ini juga seumpama cerminan 'mood' si penulis ni.. ya, 2,3 hari yang berlalu cukup melemaskan, cukup merimaskan, cukup merisaukan.. jiwa seakan pepohon dikocak ribut.. hati seakan burung yang terkurung dalam sangkar emas.. iskh, apa yang saya merepek ni, maaf bukan di entri ini untuk bercerita, walaubagaimanapun.. saya kelegaan, kerana yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya.. seperti semalam, saat awal petangnya hujan turun menggila, namun di hujung kaki langit, saat senja hampir berlabuh, terlukislah pelangi yang cukup, cukup indah pada mata yang memandang.. melihatnya saja, hati jadi girang.. begitulah umpamanya kehidupan ini, jangan risau seandainya kita dilanda badai di pertengahan kehidupan, kerana yakinlah di akhirnya nanti ada 'pelangi' kebahagiaan akan muncul, sekiranya kita bersabar dan redha dengan ketentuanNya..

Ok, dah lama saya tak membedah buku.. Saya nak kongsikan buku ni, dengan sesiapa saja yang singgah..sudi-sudikanlah ya.. Tajuknya seperti tajuk entri ni, PhD- kecil tapi signifikan, tulisan Muhd Kamil Ibrahim (penulis Travelog Haji dan Travelog Dakwah).. pada dasarnya buku ini sesuai untuk yang bakal mengambil PhD, namun saya rasa apa salahnya dikongsikan dengan semua.. tulisannya santai dan lebih kepada penceritaan..

Saya dedikasikan khusus untuk rakan-rakan sePhD (Mr. Shahrin, Kak Ris, Kak Mel dan semua officemate) , rakan-rakan DBA (En. Shukor, En.Ghozali, Kak Ros dan semua 'student' Forecasting saya), rakan-rakan Master, terutamanya research mode, dan semua yang sudi membaca! Mana tahu anda juga akan bersemangat untuk teruskan pengajian sampai ke peringkat PhD.. Saya akan ambil beberapa point saja yang berupa kata-kata dari tokoh-tokoh yang telah pun berjaya meletakkan 'Dr.' di depan nama mereka, untuk kita sama-sama hadamkan.. selamat membaca..

Saya fikir disiplin dan fokus dengan kerja-kerja PhD banyak membantu. Dia atas segala-galanyanya keupayaan untuk melakukan pelbagai kerja serentak berdasarkan perancangan dan strategi sendiri telah membolehkan penyelidikan saya mendahului jadual. Penyelia? Ok, tapi segala-galanya bergantung pada kita sendiri. (Dr Suzana Sulaiman)

mmm.. kata kuncinya, DISIPLIN, FOKUS dan PERANCANGAN.. tapi peranan penyelia juga penting!!

PhD tidak memberi ruang untuk saya berdukacita. Malah jika ada hari yang muncul tanda-tanda kesedihan, saya tolak perasaan tersebut untuk keesokan harinya. (Dr Zuriah Abdul Rahman- kematian anaknya di saat hampir memulakan pengajian, hampir berputus asa, namun akhirnya berjaya)

Kena pandai kawal emosi.. mm susah ni, saya pun telah hampir tertewas walaupun baru di 6 bulan pertama..Ya Allah, berikan kami kekuatan..

Jika orang mengatakan tekanan hanya wujud pada mereka yang sedang belajar, mereka silap kerana pasangan yang 'prihatin' menanggung tempias tekanan tersebut (Suami Dr Zafaran Hassan)

Kalau la saya 'ternikah' dalam PhD ni, semoga Allah kurniakan saya pasangan yang benar-benar prihatin..

PhD- jika sukar sekalipun, bukanlah sesuatu perkara yang mustahil untuk diperoleh dan tidak boleh dijadikan punca kepada kegagalan (Dr Muhd Kamil Ibrahim)

Ya, yang sukar tak semestinya tidak boleh dicapai..

Perkara yang sukar jika dilakukan secara berulang-ulang, berhati-hati atau dengan disiplin yang tinggi, maka setiap orang boleh mencapai kejayaan (Tun Dr Mahathir Mohamad)

Lagi sekali, buat berulang-ulang, berhati-hati dengan disiplin yang tinggi!!

Proses mendapatkan PhD merupakan suatu kisah kehidupan. Ia mengakibatkan pelbagai perubahan samada fizikal atau emosi. (Penulis buku)

Harapnya selesai PhD, rambut hitam tak jadi putih, rambut lebat tak jadi jarang.. Kena kawal emosi lagi..

Selagi saya tidak berpuas hati, saya meneruskan pencarian dengan meletakkan halangan 'masa' sebagai garis penamat (Penulis buku)

Jadi, jangan merungut dengan due date atau dateline, jadikan ia tekanan yang membantu, bukan tekanan yang 'membunuh'!

Menulislah satu muka surat sehari (Penulis)

Jangan terlampau ghairah fotostat artikel. Tak perlu membuat koleksi artikel sampai menimbu hingga sukar untuk dibaca. Idea hanya akan timbul dengan membacanya dan bukannya bergantung dengan jumlah artikel yang disimpan. (Penulis)

Perkara paling asas yang perlu difikirkan ialah soal hati. Kita mesti berhati tulus. Tuhan akan menolong orang yang suka menolong orang lain (Penulis)

Ketiga-tiga tips di atas sangatlah betulnya, terutama bab koleksi artikel yang membukit tu!

Tempoh pengajian PhD menjadikan kita bermain dengan perasaan, perasaan berombak-ombak, berkeinginan dan ketakutan yang silih berganti tanpa mengira waktu. Pernah saya mahu pulang ke rumah tetapi memandu terus ke sekolah anak (Penulis)

Saya pun pernah sedikit mengalami kocakan perasaan ni, elok-elok susun point untuk dibincangkan dengan supervisor (SV), alih-alih sampai saja di depan pintu biliknya, saya termanggu, tertanya-tanya, apa yang saya nak bincangkan dengan SV? Saya lupa dan tercari-cari kotak rakaman minda saya! Nasib baik, saya 'tak apa-apa' dan ingatan saya pulih beberapa minit kemudian..

Perasaan beria-ia untuk memulakan pengajian di peringkat PhD sambil diiringi sedikit ketakutan, cemas, risau dan ketidaktentuan adalah lumrah. Ia adalah sebahagian daripada warna-warna menarik yang pasti dilalui oleh hampir semua orang. Jadi, jika anda berperasaan begitu, secara diam-diam angguklah kepala dan tersenyumlah sambil berkata, 'betullah, jadi ia tidak perlu dirisaukan' (Penulis)

He..he.. saya pun akhirnya mampu tersenyum..

mm setakat ni lah dulu ya, semoga bermanfaat dan menjadi penawar buat pejuang-pejuang di luar sana.. selamat 'berperang' dan didoakan semoga kita beroleh kemenangan dalam medan perjuangan ini. InsyaAllah

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim.. engkaulah penentu kejayaan kami, engkaulah yang maha memudahkan urusan kami, maka takdirkanlah yang terbaik untuk kami, redhailah perjuangan kami dan berilah kekuatan kepada kami dalam menempuhi hidup ini.. sesungguhnya, solat kami, ibadah kami, hidup kami dan mati kami hanyalah keranaMu dan untukMu selama-lamaya..

p/s: lepas baca, jangan lupa doakan saya ya.. doakan kita bersama..

Wassalam

No comments: