Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, November 23, 2009

di Kebun Pak Shariff kita bertemu..

Assalamualaikum..

Baru pulang dari Mukhayyam di Penang..badan penat, tekak perit, suara dah jadi 'rock' sikit.. Seronok.. dah lama tak 'memanjakan' diri dengan alam, terutamanya alam yang hijau dan mendamaikan..

Petang Jumaat, kami bertolak.. Rombongan dari Perlis menjemput kami, seterusnya dari Kedah kami menuju ke Pulau Pinang.. Malamnya kami sampai di tapak perkhemahan.. Kebun Pak Shariff namanya, bila mendengarnya saja, seakan terbayang buah-buahan yang masak ranum, yelah namanya pun kebun kan.. memandangkan kami tiba dalam kepekatan malam, maka hajat nak melihat suasana sebenar kebun tu tak kesampaian, sebaliknya kami meraba-raba dalam gelapnya malam..bulan tak kelihatan.. menyukarkan lagi pergerakan kami..

Ditinggalkan di jalan utama, kami berjalan kaki masuk ke kawasan kebun Pak Syariff, beriringan, berpapasan, bergerak dalam barisan teratur seakan tentera semut yang keluar mencari makanan.. Jalan berbukit, sedikit mendaki walaupun berturap.. tambahan pula dengan keadaan gelap, hanya bersuluhkan lampu telefon bimbit.. keadaan kiri kanan jalan kecil itu sunyi, hanya sesekali kedengaran unggas berlagu riang..'Tentera semut Utara' bergerak perlahan penuh hati-hati kerana keadaan sekeliling yang hanya berlatarkan warna gelap dan kelam, sukar mengagak apa yang ada di hadapan, belakang mahupun kiri dan kanan.. Akhirnya dihujung perjalanan, kelihatan cahaya lampu menyinari malam, semua menarik nafas kelegaan, akhirnya sampai juga ke destinasi yang dituju..

Setelah rombongan dari Pulau Pinang tiba, taklimat diberikan oleh pengarah program dan kem komandan.. sesi ice breaking dan pembahagian kumpulan dijalankan.. kemudian masa untuk berehat, peserta memilih 'bilik' masing-masing..berhotelkan kebun, berkamarkan khemah, bertilamkan tanah, berselimutkan kedinginan malam dan berulitkan nyanyian penghuni rimba. Wah, ini baru dikatakan mukhayyam sebenar..

Esoknya, permulaan hari dengan Qiamullail.. Air bukit yang sangat dingin.. cukup membuatkan segala anggota badan terketar-ketar menahan sejuk.. seakan berwudhu' dan bersiramkan ais.. woa.. sejuknya sangat menggigit sehingga ke tulang..Solat subuh dan bacaan Al-ma'thurat, kemudian isi perut sikit dengan sarapan..Pagi ni barulah nampak terang keadaan di kebun ni.. memang tak tersasar dari apa yang dibayangkan, ni kebun betul.. tapi buahan yang masak ranum tak kelihatan, bukan musim agaknya.. Taklimat dari kem komandan, aktiviti sepanjang hari ini adalah bermesra-mesraan dan mendekati alam...meredah hutan menuju ke destinasi yang ditetapkan..

Ada 8 perhentian sepanjang perjalanan dengan pelbagai aktiviti yang akan dijalankan.. selain menguji kekuatan fizikal, aktiviti yang akan dilaksanakan di setiap perhentian bakal menduga kekuatan mental, emosi dan ukhwah antara peserta..Dibekalkan dengan beberapa keping biskut dan sebotol besar air mineral sebagai barang amanah, peserta melangkah penuh semangat, teruja dan tertanya-tanya, apa yang akan ditempuhi nanti..Di awal perjalanan, di hentian pertama..peserta diingatkan dengan perjalanan yang bakal ditempuhi.. perjalanan ini yang pastinya akan bertemu dengan pelbagai rintangan, jalan berbukit, licin.. mungkin adanya denai, lurah yang perlu ditempuhi..

Begitu juga dengan kehidupan sebenar di dunia ini, akan ada pelbagai cabaran disepanjang perjalanan kehidupan kita..yang pasti, kita harus terus bergerak menuju destinasi, iaitu destinasi yang kekal abadi.. Jadi, dalam nak memastikan kita terus mampu menggagahkan kaki merentas perjalanan yang berliku ini, pelbagai persiapan dan bekalan perlu disediakan.. jika syurga destinasi impian, pastinya bekalan Iman dan Amal harus disediakan di sepanjang perjalanan di dunia agar nantinya di akhirat sana, kita tidak 'kelaparan' atau 'kedahagaan' lantaran bekalan yang tidak mencukupi.. lebih merisaukan, sekiranya syurga yang diimpikan, tapi neraka pula menjadi imbalan..Semoga kita tidak termasuk dalam senarai penempatan ke neraka..

Bermacam cabaran buat peserta di sepanjang perjalanan, selain cabaran alam yang menduga ketahanan jasad dan ketajaman indera, ada juga tugasan khas yang dirangka.. Di hentian ke-2, peserta diingatkan dengan 'amukan' alam yang semakin menggusarkan akhir-akhir ini.. tanah runtuh, pencemaran dan kemusnahan alam.. adakah semuanya terjadi dengan sendirinya? Ataukah tangan-tangan manusia yang merosakkannya? Analogi sehelai kertas putih sebagai alam, yang 'dikoyak' oleh tangan manusia yang merosakkan.. akhirnya bila cuba untuk dicantum kembali dan dibaiki, alam tidak mungkin kembali indah seperti dulu lagi.. Peserta belajar dan memahami, tangan kurniaan Ilahi ini jangan digunakan untuk sesuka hati, taklifan sebagai khalifah dimuka bumi ini disertakan dengan amanah agar alam ini terus dimakmurkan mengikut panduan Ilahi..

Bergerak lagi, peluh memercik ke dahi, kaki dipaksa untuk melangkah, tak nak kecundang dalam perjalanan, kerana semangat yang begitu membara, menyala-nyala untuk sampai ke destinasi..Hentian seterusnya, dalam kepenatan fizikal yang mencengkam dan menekan, peserta perlu pula mengerah akal menyelesaikan teka silangkata.. bertambah lagi kepenatan, kepenatan jasad dan kepenatan minda.. Silangkata yang mudah dirasakan agak sukar, kerana imbangan jasad dan akal yang tidak sekata.. begitulah, kadangkala apabila badan kita keletihan, akal kita juga sukar untuk mencernakan maklumat dengan baik..

Hentian berikutnya, menguji kemantapan ukhwah peserta, istimewanya mukhayyam kali ini turut disertai 2 akhawat dari Indonesia.. Perbezaan negara, rumpun dan bahasa bukan halangan, kerana kita bersatu atas tunjang akidah dan kepercayaan yang sama, atas nama Iman dan Islam.. 3 negeri- Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, 2 negara- Malaysia dan Indonesia tapi 1 akidah yang sama...itulah cantiknya Islam..Si buta, si tempang dan si bisu berperanan di hentian ini.. Si bisu yang tercungap-cungap memberi arahan menunjuk jalan, si buta yang teraba-raba mengetuai angkatan, dan tentera-tentera yang tempang berhimpit-himpitan, terhincut-hincut mengikut dari belakang. Kehangatan ukhwah terasa menebal, berpelukan, bergandingan tangan memastikan sahabat kesayangan tidak tersesat, terjatuh mahupun tersalah melangkah..apa lagi yang perlu diceritakan tentang ukhwah, mereka telah menunjukkan dengan jelas, ukhwah itu tidak terbatas, bila akidah yang menjadi asas.

Perjalanan diteruskan, akhirnya kedengaran bunyi ombak menghempas pantai.. hentian ini sungguh istimewa, melihat pantai saja cukup membuatkan peserta tersenyum gembira, hilang sikit kepenatan rasanya..Dengan butiran pepasir pantai yang memutih, peserta diminta menyiapkan sebuah binaan yang hebat, hebat pada pandangan mereka.. bertungkus-lumus mereka mencari idea, menyusun dan membina 'istana' mereka.. Pasir itu analoginya kita umat Islam, binaan itu pula sebagai Islam.. Dalam membangunkan binaan Islam, jadilah kita antara pepasir yang melengkapkan dan mengukuhkan binaannya..

Setelah itu, peserta diminta memandang pada laut dan ombak yang menghempas pantai.. sekali ombak membasahkan pantai, ia kembali ke lautan membawa kotoran, sekaligus menjadikan pepasir itu bersih.. begitu juga dengan hati manusia, boleh dibersihkan dengan zikir kepada Allah, agar terhindar dari segala daki dan debu kemaksiatan dan kelalaian..

Usai makan, dan solat di pantai, perjalanan diteruskan..sepanjang perjalanan ke hentian seterusnya, peserta disyaratkan bertemu dengan masyarakat, berbicara dengan mereka, sambil meminta pendapat atau meyelitkan nilai-nilai Islam..Inilah ujian ringkas, tapi praktikal seorang da'ie.. bagaimana memulakan perbualan, bagaimana menyampaikan Islam sesuai dengan sasaran.. Pengalaman sebegini amat penting, sebagai asas persediaan menjalani tugas sebagai da'ie..Pelbagai kisah dikongsikan, apa yang penting peserta merasai perlunya turun kepada masyarakat, dalam usaha untuk menyebarkan Islam.. bukan sekadar memenuhkan dada dengan ilmu untuk diri sendiri, bahkan perlu dikongsi dengan masyarakat, agar impian untuk membina daulah Islamiah akan dapat direalisasikan..

Hari menginjak ke petang, perjalanan masih perlu diteruskan selagi destinasi belum kelihatan.. Hentian ke-2 akhir, beberapa situasi dilontarkan untuk dibincangkan, persepsi peserta terhadap individu yang tidak mengikut lunas Islam diutarakan, contohnya apabila peserta melihat seorang lelaki memegang botol air ketika siang hari di bulan Ramadhan, ataupun melihat wanita berpakaian seksi, berambut perang.. apa persepsi kita terhadap mereka? Perbincangan ini membawa kepada konklusi bahawa sebagai da'ie kita seharusnya mengikis pandangan yang negatif terhadap orang disekeliling, sebaliknya perlu berusaha memberi kefahaman dan mengajak mereka kepada Islam yang sebenar kerana pendakwah bukan penghukum!

Akhirnya tiba ke destinasi, kebun Pak Shariff.. tempat bermula dan berakhirnya aktiviti.. semua kepenatan.. tapi kepuasan jelas terbayang..Aktiviti terakhir, memasak hidangan untuk makan malam, dengan keterbatasan bahan yang dibekalkan.. Alhamdulillah, semua dapat makan, dan kekenyangan..

Malamnya, aktiviti lasak lagi.. Permainan War Game! Berperang mempertahankan ketua dan panji, sambil berusaha membebaskan tebusan yang ditawan pihak lawan..berbekalkan bom yang terhad, strategi disusun agar kemaraan pihak lawan dapat dipatahkan..Banyak pengajaran dalam aktiviti ini..dan ramai antara peserta terkesan dengannya.. Dibandingkan dengan pengalaman perang saudara kita di sana, kita masih sangat lemah dan tidak berupaya.. jadi, bantulah umat Islam saudara kita dengan apa cara, sesuai dengan kemampuan yang kita ada..penyusunan strategi, kekuatan ukhwah, nilai keberanian dan kepatuhan kepada ketua..antara nilai-nilai yang dapat diambil melalui permainan ini dan perlu diserapkan dalam kehidupan seharian..Kepenatan menutup malam..

Esoknya, hari terakhir.. saya tidak berpeluang bersama mereka.. yang pastinya, segala rumusan untuk setiap aktiviti diterangkan.. agar mereka benar-benar mengerti tujuannya program ini.. dan agar segala yang dikutip disini dapat menjadi panduan di kemudian hari..

Mukhayyam de' Shariff menutup tirai, namun kenangan dan pengalaman sepanjang 3 hari ini diharap mampu menambah nilai dalam kehidupan..menguatkan azam, membakar semangat, untuk terus menjadi askar-askar pilihan Tuhan, menegakkan Islam bertunjangkan keimanan..

Di Kebun Pak Shariff kita bertemu,
Menagih ilmu mengukuh kefahaman,
semoga Allah meredhai usahaku dan usahamu,
Ukhwah ini doakan berkekalan..
.
Wassalam..

4 comments:

sal said...

salam

wah panjang sungguh, macam nk wat tesis jer.sal xmampu kot nk tulis pnjg camtu, sendiri pun malas nk bace,hehe.hope to see you guys soon. mungkin the next mukh sal xkan bersama dengan kedah lagi. time for me to get back to where im belong,hehe. but k-kedah tetap di hati..mukh de syarif menggamit kenangan terindah pertama dan terakhir bersama antum...

Pendamba Mardhatillah said...

he he... kalau thesis boleh tulis selaju ni kan best.. mm.. thanks sal sbb banyak tolong kami.. InsyaAllah walau kemana pun kita tercampak lepas ni, ukhwah kita x kan putus InsyaAllah..Luv u..

Noraini Anuar said...

subhanallah...sharing yg sgt menyentuh hati. simpulan baru, tentera semut utara..lps ni kene ada tentera semut timur la pulak yer?

Pendamba Mardhatillah said...

Salam ain..

Ha, akk mnunggu sharing tentera semut timur plak.. akk pun tentera semut dari timur gak.. semoga bermanfaat..