Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, November 19, 2009

Mak cik bernazar untuk dia..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah...Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad saw, sahabat-sahabat, ahli keluarga serta pengikut-pengikut baginda, serta umat Islam seluruhnya..

Dingin sungguh pagi ni, redup dan nyaman, menyegarkan...Semoga hari ini menjadi satu lagi hari baru yang akan memberi keberkatan dan rahmat kepada kita semua InsyaAllah..

Rindu untuk menulis, rindu untuk bercerita.. apakan daya, hambatan masa, perubahan persekitaran, tekanan menyesuaikan diri, dan pergolakan demi pergolalan ditambah dengan pelbagai perkara yang bertali arus, berasak-asak memenuhi kotak fikiran.. kalaulah, otak ini dan diri ini dapat di bahagi kepada beberapa bahagian, tentu banyak perkara boleh difikirkan dan diselesaikan dalam satu masa.. tapi, bila difikirkan kembali, buat apa mengeluh, kerana inilah ketentuan Ilahi.. Ada sebab dan musababnya setiap kejadian yang berlaku.. saya yakin!!

Adik-adik bertanya, sahabat-sahabat menyapa, kenapa entri kebelakangan ni sedih-sedih je, sayu je bunyinya.. saya senyumkan saja.. inilah realiti kehidupan, bukan selalunya indah, tapi bukan bermakna terus-menerus muram dan suram seperti awan kelam musim hujan ni.. Orang kata, hidup umpama roda, sekejap kita di atas, sekejap kita dibawah.. Bila sesekali kita berada di bawah, kita akan rindu dan berusaha untuk kembali berada di atas, masa ni la kita akan muhasabah diri, apa sebab kejatuhan kita, dan bagaimana untuk mendaki ke puncak lagi.. Dan jawapannya tetap lah satu, kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah.. Kata orang lagi, bumi mana tak ditimpa hujan, begitulah juga kita, insan.. tidak akan lepas dari kesilapan, terleka, tergelincir, ditimpa musibah dan kesusahan..

Yang penting, saat di'tegur' Allah kerana keterlekaan kita, haruslah kita terus menyambut 'sapaaan' Allah, dengan kembali ke jalanNya, dan bila ditimpa ujian, segeralah kita ingat kepadaNya.. ujian bukan saja datang dalam bentuk kesusahan, kelaparan, dan kesedihan tetapi juga dalam bentuk kemewahan, waktu lapang dan kesihatan.. dan biasanya, amat sukar untuk kita menghadapi ujian yang datang dalam bentuk positif, kerana ia menjadikan kita alpa, lalai, leka dengan nikmat-nikmat tersebut.. tapi bila diuji dengan kepayahan, kesulitan..cepat pula kita 'mencari' Tuhan.. sebab itu, berhati-hatilah dengan nikmat kesenangan, kerana ia lebih merbahaya dari ujian kesusahan..

Cerita apa hari ni ya? Begini kisahnya..

Kisah 1

Di satu program, saya jadi ajk.. saya menyambut kedatangan sebuah keluarga..ayah, ibu dan seorang anak.. si ayah dan ibu datang menghantar anaknya ke program tersebut.. Ayah dan ibunya sangat aktif dalam aktiviti dakwah, yang menjadi kerisauan mereka, si anak seolah-olah kurang berminat, samada mengikuti usrah, mahupun program-program bermotif dakwah dan tarbiyah..Ibu bercerita lagi, dari sekolah aliran agama, sehingga sekarang di universiti,banyak perubahan yang telah berlaku terhadap si anak.. dulunya menutup aurat sempurna, sekarang jarang-jarang.. dulunya usrah dan aktiviti kerohanian aktif diikuti di sekolah, sekarang di universiti, seakan hilang minatnya malah perlu di paksa-paksa..

Kerisauan terbit jelas di wajah ibu dan ayah ini, mereka harapkan anak mereka akan mewarisi jalan dakwah ini, mereka harapkan anak mereka akan turut menjadi rantai penyambung perjuangan ini..

Sebelum pulang, ketika bersalaman dan memeluk ibunya, sempat dia bisikkan pada saya, " Ayu, tolonglah mak cik dengan pak cik, bantulah kami, bantulah anak mak cik, cubalah sembang-sembang dengan dia..mak cik sangat berharap dia dapat menutup aurat dengan sempurna macam dulu, mak cik harap dia akan berminat untuk pergi usrah dan buat kerja-kerja dakwah". Ada getar pada suaranya.. dan saya? Hanya mampu menahan sebak.. Ya Allah, makbulkanlah doa ibu ini..

Beberapa kali dia titipkan pesannya pada saya sebelum berangkat meninggalkan anaknya dengan penuh harapan, si ayah walaupun hanya sesekali mencelah, namun dari sinar matanya, saya tahu, harapan yang sama turut dikongsi dengan si ibu.. Impian yang tinggi menggunung.. impian yang suci, penuh pengharapan..

Kisah 2

Saya menerima sms dari seorang mak cik yang saya tidak pernah jumpa tapi seakan sudah kenal lama dengannya, dia bercerita tentang anak-anaknya dan meminta saya cuba mendekati dan membina hubungan dengan anaknya..

Dia : Mak cik harap sangat Ayu dapat pujuk dia untuk sertai program, kalau Ayu berjaya, mak ciklah orang yang paling gembira, dah lama mak cik impikan anak-anak mak cik berada dalam suasana tarbiyah dan dakwah.. Abangnya dah semakin hanyut, kalau ikhwah dapat pujuk dia, mak cik bernazar untuk dia..

Saya : InsyaAllah, mak cik.. kalaupun anak-anak mak cik tak dapat sertai program ni, InsyaAllah kami akan pujuk untuk program-program seterusnya.. InsyaAllah, doa mak cik Allah dengar dan akan makbulkan..

Saya menaip balasan dengan hati yang bergetar.. begitu sekali harapan seorang ibu..

Kisah 3

Saya ke program bersama mak cik-mak cik.. usai solat, bersembang dengan seorang mak cik, yang juga seorang ibu..juga tentang anak-anak nya..

Dia : Mak cik pun tak tahulah nak buat macam mana lagi, sejak kecil mak cik dengan pak cik asuh dia, didik dia, bagi ilmu agama, mak cik harap dia juga akan jadi salah seorang yang merelakan diri untuk ditarbiyah dan buat kerja-kerja dakwah.. tapi bila dah besar ni, cakap kawan-kawan lagi dia dengar daripada nasihat mak cik, usrah liat nak pergi, program-program lain apatah lagi.. mak cik dah buntu, risau, tak tahu nak buat apa dah..

Tanpa berselindung, juraian air mata turun membasahi pipi ibu ini.. saya terkedu, saya belum menjadi ibu, saya belum memahami sepenuhnya perasaan seorang ibu, tapi mungkin naluri seorang wanita, seorang kakak dan seorang anak seakan me'larut'kan saya dalam perasaan ibu ini.. Apa yang mampu saya katakan, saya tak berdaya hanya mampu bersuara...

Saya : Sabarlah mak cik, saya yakin mak cik selalu doakan anak-anak mak cik, Insya Allah, Allah dengar luahan mak cik ni..

Kisah 4

Selepas program, saya di datangi seorang ibu, ibu kepada peserta program ini

Dia : Mak cik harap Ayu dan kawan-kawan yang lain janganlah tinggalkan anak-anak kami ni ya, selalulah berhubung dengan mereka, nasihati mereka.. Mak cik harap anak-anak mak cik ni pun akan membiasakan diri dengan kerja-kerja dakwah nanti

Saya : InsyaAllah, mak cik

Cukuplah rasanya 4 kisah di atas, mungkin latarnya berbeza namun cerita-cerita ini banyak persamaannya, harapan ibu dan ayah terhadap anak-anak mereka.. kalaulah anak-anak ini mendengar rintihan dan luahan ibu mereka, akan adakah lagi alasan untuk menidakkan kasih sayang ayah dan ibu mereka? Begitu besar, begitu tinggi harapan ke dua orang tua untuk melihat anak-anak mereka menjadi manusia yang bukan sekadar baik untuk dirinya, malah mampu menyumbang kepada agama..

Jalan dakwah, impian ayah bonda ini, bukan saja untuk diri mereka malah mereka mengimpikan agar anak-anak turut serta menjadi menyambung perjuangan ini.. salahkah harapan mereka ini? salahkah mereka mempunyai impian ini?

Mereka terlebih dahulu telah merasai pahit jerih berjuang di medan ini, namun mereka juga telah meneguk 'kemanisan' disebalik kesakitan berada di jalan ini, dan mereka percaya dengan penuh keyakinan kepada kebahagiaan yang hakiki sebagaimana janji Ilahi..Jadi salahkan jika mereka mahukan anak-anak mereka turut sama merasai kenikmatan ini? Kerana kesakitan di dunia ini tidak setanding ganjaran di akhirat kelak.. Mereka impikan mahligai syurga dibina di dunia sana, intan permata bukan lah nilaiannya, tetapi melihat anak-anak berada di sampingnya, bergembira dan bersuka ria dia di syurga, itu yang lebih bermakna..Akan tenangkah jiwa, berertikah bahagia, melihat keluarga yang tercinta terpekik terlolong disimbah dahsyatnya neraka? Kerana itulah, mereka menanam cita-cita yang tidak kecil kepada anak-anak mereka..

Wahai anak, dengarlah rintihan ayahmu, dengarlah rayuan ibumu..Jalan dakwah impian ayah bonda, jalan dakwah harapan kepada anakanda...

Wahai anak, janganlah hampakan harapan ayah bondamu, yang mengharapkan dan sentiasa mendoakan yang terbaik untukmu..

Wassalam..

No comments: