Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, December 22, 2009

Dia dan Hijrah

Assalamualaikum..

Salam tahun baru 1431 Hijrah.. Semoga azam tahun lalu telah terlaksana, dan azam tahun baru juga rancak direncana.. Hati kurang tenteram menyambut tahun baru ni, tapi cuba juga menggagahkan jari-jemari, walaupun hanya bertarian lesu di papan kekunci.. tak apa, tulis saja apa yang ada dalam minda, curahkan saja ke ruang maya, semoga menjadi penawar untuk hati yang gundah gulana..

Mengimbau tahun-tahun yang telah berlalu, terasa sungguh pantas masa berlari, meninggalkan sisa-sisa umur yang entah berapa lama masih berbaki..berapa banyak kah perubahan (yang baik harapnya) telah berlaku dalam hidup ini? Perubahan yang membawa kepada lebih hampirnya diri ini dengan Rabbnya.. perubahan yang menjadikan diri ini lebih menyedari akan hakikat kehidupan sebagai hamba Tuhannya.. Terasa gerun untuk dihitung..

Namun, selautan kesyukuran masih tak mampu membayar nikmat perubahan yang Allah anugerahkan buat diri ini.. perubahan yang tidak dirancang, perubahan yang tidak disangka, yang akhirnya menjadikan diri ini seperti ini, disini, hari ini..

Cukuplah sekadar mengimbau kembali satu hijrah yang Dia takdirkan dalam hidup seorang hamba Allah ini..

Sehingga usianya 17 tahun, dia hanyalah insan yang biasa-biasa, dengan perawakan yang juga biasa-biasa, juga dengan personaliti yang biasa-biasa (sekarang pun tiada beza sebenarnya).. ilmu agamanya sekadar yang dipelajari di sekolah harian biasa, tentu sekali tidak pernah dia terfikir untuk ke sekolah agama.. menutup aurat juga, dia tahu yang sekadarnya saja.. Walaupun di sekolah rendah di agak aktif orangnya, namun dia bertukar watak apabila menginjak dewasa, menjadi pelajar yang kurang keyakinan diri, sangat pasif dan rendah motivasi diri, mungkin juga waktu itu dia dikelilingi rakan-rakan yang padanya bukan saingan, tambah pula di sekolah elit negeri itu. Namun dia masih diberi kejayaan oleh Allah dalam pelajarannya.

Seterusnya dia menjejak kaki ke sebuah medan ilmu yang lebih mencabar, disitu dia melihat dunia dari perspektif yang lain.. di situ dia belajar banyak perkara, ada banyak lagi rupanya yang dia perlu dalami, terutama dalam bab agama! Walaupun pada dasarnya sekolah itu bukan sekolah agama, sebaliknya sekolah elit yang sewajarnya moden dan terbuka sebagaimana sekolah-sekolah seangkatannya, namun penekanan pendidikan agama sangat-sangat dititik beratkan.. berkat Allah mengurniakan ayahanda pengetua yang kukuh fikrah Islamnya.. Solat berjemaah diwajibkan, pelajar perempuan wajib melabuhkan tudung menutupi dada, gelanggang sukan diasingkan lelaki dan perempuan, wajib memakai stokin.. malah pelajar lelaki pernah dengan terbukanya menegur pelajar perempuan yang tidak berstokin..

Ayahanda adalah contoh ikutan terbaik, usai azan dilaungkan di surau sekolah, dialah yang terlebih dahulu berada di saf hadapan, meninggalkan kerja-kerjanya yang tidak pernah kehabisan. Kerap kali ayahanda mengimamkan solat dan memberi tazkirah selepas solat.. Suasana sekolah itu, walaupun bukan sekolah agama, amat-amat mendamaikan, amat-amat menenangkan.. Ayahanda juga yang mengajarkan makan beramai-ramai, dalam talam!

Pernah, arahan dikeluarkan oleh pihak atasan, supaya pemakaian tudung labuh diharamkan, pelajar lelaki diarahkan berpakaian seluar pendek ketika kelas pendidikan jasmani, manakala pelajar perempuan pula perlu mengenakan t-shirt lengan pendek, alasannya.. menyukarkan pergerakan! Walaupun dia tidaklah bertudung labuh ketika itu, tetapi dia juga turut merasakan ketidakadilan pada arahan tersebut.. dia merasakan amatlah tidak wajar untuk menyuruh rakan-rakannya yang bertudung labuh menukar kepada tudung seperti yang dipakainya, yang lebih kecil dan singkat, walaupun berjahit kemas dihadapan, sedangkan ada antara kawan-kawannya, sejak kecil lagi sudah mula bertudung labuh.. Ayahanda diamkan saja arahan itu hingga hujung tahun, sehinggalah pihak tersebut memberi amaran, barulah akhirnya ayahanda mengeluarkan notis itu.

Namun akhirnya arahan tersebut tidak berjaya dijalankan kerana protes dari para pelajar, terutamanya pelajar lelaki! Sangat gembira waktu itu, kerana masih ada kaum adam yang tanpa ragu, bertegas mempertahankan perintah agama dan maruah kaum hawa.. suasana sekolah itu sentiasa segar dalam ingatannya. Alangkah indahnya jika nilai Islam sebegini diterapkan di semua medan-medan ilmu.. pastinya akan lahir anak-anak bangsa yang bukan saja kukuh jati dirinya, bahkan tegar dalam memperjuangkan maruah agama.. Dia terus mengharap agar satu hari nanti angannya jadi nyata..

Di situlah juga, dia mula menanam angan dan impian untuk dirinya.. dia mahu perubah! Bukan, lebih tepatnya, dia perlu berubah! Besar sangatkah perubahannya? Pentingkah hijrah itu? Waktu itu dia tidak merasakan akan kepentingan impian yang bermula dengan angan-angan kosong itu..Dia hanya suka-suka, seronok melihat junior-juniornya yang ayu bertudung litup, manis bertudung labuh.. kelihatan sungguh-sungguh cantik di matanya.. Dalam diam, dia berazam, akan dia turuti jejak langkah mereka.. dan hampir setahun dia memendam jauh impiannya di lubuk hati, bukan di sini tempatnya kerana perasaan malu menguasai dirinya untuk membuat perubahan secara drastik..

Dan akhirnya, usai menamatkan pengajian di sekolah itu, saat melangkah kaki ke pengajian pra-universiti, dia melaksanakan impiannya.. di tahun baru, di tempat baru, dikelilingi rakan-rakan baru, dia sungguh selesa dengan hijrahnya itu.. seakan dia lahir kembali dengan semangat baru! Alhamdulillah, dia juga mendapat sokongan penuh dari ayah bondanya seawal menyuarakan hasratnya..

Dia sangat yakin dengan janji Allah..."Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka'. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal dan oleh kerananya mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59).Ya, mereka disekelilingnya mengenali dia sebagai seorang muslimah, wanita Islam yang sedaya mungkin cuba membentengi dirinya dari fitnah, dan dia juga tidak sembarangan diganggu oleh usikan-usikan nakal mereka yang kurang memahami.. Dia sungguh-sungguh bersyukur dan gembira dengan nikmat penghjrahan, yang dia percaya adalah hadiah terindah dari Allah untuknya..

5 tahun sudah berlalu, namun peristiwa hijrah itu sentiasa segar mekar dalam fikirannya, dan hari ini dia sangat yakin, peristiwa hijrah itu membawa perubahan yang bukan sedikit dalam hidupnya, Allah menganugerahkannya pelbagai 'bonus' tambahan yang menyusuli hadiah penghijrahan itu.. dia tahu sekarang, bukan tudungnya saja yang berubah, bukan pakaiannya saja yang berubah, malah sebenarnya seluruh kehidupannya mula berubah bermula saat itu, 5 tahun yang lalu, saat hijrah menginjak ke 1426 tahun..

Dia dan hijrah, sangat signifikan, sangat berharga padanya.. Dia mengecap nikmat hijrahnya sendiri, dengan caranya sendiri.. Hijrahnya tidak mungkin sehebat hijrah baginda Nabi, namun hijrahnya juga punyai nilai penting dalam perjalanan hidupnya.. kini, Hijrah mengunjunginya saban tahun, dan dia akan terus membawa hijrah itu untuk mewarnai hidupnya, agar setiap detik yang berlalu, menghijrahkannya ke daerah yang lebih hampir kepada Tuhannya..

No comments: