Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, February 28, 2012

Sudah jatuh ditimpa tangga


Sudah jatuh ditimpa tangga? Sudah jatuh tu betul, bab ditimpa tangga tu penambahan saja, he he..

Al kisahnya, semalam. Selepas ber'bye-bye' dengan encik kekasih arjuna hati yang nak ke tempat kerja, baring sekejap di katil, sambil berangan (erk, merenung masa depan sebenarnya- he he.. cover line!). Sudah baring tu apa lagi, tertidur la jawabnya. Bila terbangun, kalut la jadinya, tambah bila teringat banyak benda lagi yang sepatutnya buat, tak terbuat lagi.

Bergegas turun katil. Sebaik berdiri, GEDEBUK!! Jatuh terjelepuk di kaki katil. Tiba-tiba saja kaki seakan hilang fungsi, tak dapat sokong bahagian atas badan. Kalau orang Kelantan kata, lembik lutut, apa lagi jatuh macam nangka busuk la. Sakitnya boleh tahan jugak. Nak terus bangun tapi tak boleh. Sambil dok gosok-gosok kaki, tiba-tiba terpandang ke jari-jari kaki.  Kaki kiri, jari ke empat, sebelah jari anak (nama apa ntah jari ni), bengkok! Tulang bawah menghala ke kiri, tulang atas ke kanan. Panik. Spontan. PRAKKK!! Tarik balik jari ni untuk betulkan balik tulang-tulangnya. Alhamdulillah dengan sekali tarik (yang boleh tahan kuatnya), jari tadi nampak berjaya dibetulkan balik. Tapi, WARRRAGGHH!! Sakitnya.. (T_T)

Perlahan-lahan, naik balik atas katil. Badan rasa sejuk, muka rasa panas. Sakit di jari makin terasa. Berdenyut-denyut! Jantung berdegup, kencang. Tarik selimut. Cuba tenangkan diri dan berfikiran positif.

"InsyaAllah, i'm ok", pujuk diri sendiri.

Apa nak buat ni? Okey tak jari tadi? Patah ke?

Selak selimut. Jari tadi dah mula membengkak dan terus berdenyut. Capai telefon bimbit. SMS suami, tanyakan masa kelasnya tamat hari ini.

"Abang, boleh tak kalau abang terus balik lepas habis kelas?", selepas suami maklumkan kelasnya hingga 2.00 petang, punch out pukul 2.45 petang.

"Boleh insyaAllah, ada apa ya?", balasnya.

"Ingat nak pergi klinik. Tadi jatuh. Jari kaki bengkok, tarik betulkan balik. Sekarang sakit dan bengkak", terang saya, ringkas.

"Ok, nanti abang balik. Rehat dulu ya", jawabnya.

Cuba pejamkan mata. Berdoa semoga semuanya baik-baik saja. Banyak kerja bakal tergendala kalau kaki ni kena direhatkan seketika. Kurang sejam, kedengaran ketukan dan suara memberi salam di luar pintu. Suami dah balik. Eh, cepatnya. Mesti dia minta kebenaran balik awal ni. Hu hu.. rasa bersalahnya..

Dengan lauk basah ditangannya, bawang-bawang dan barang-barang dapur yang lain (sempat dia singgah ke pasar- di rumah memang tak ada apa-apa sebab baru balik setelah sebulan di rumah Tok, hu hu terima kasih abang), terus dia suruh bersiap untuk ke klinik. Balut kaki kiri dengan kain- belajar asas rawatan kecemasan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dulu, kalau patah kena sokong anggota dengan benda keras) pakai stokin macam biasa di kaki kanan. Labuhkan skirt menutup kaki, supaya kaki yang tidak berstokin tidak terdedah begitu saja. Sebelah kaki berkasut, sebelah lagi berkaki ayam, jalan terhincut-hincut sambil tangan berpaut kuat pada lengan suami. Aduh, seksanya terasa.

Sampai di klinik, suami sorong dengan kerusi roda (first time naik 'kereta' ni dalam hidup!) Selepas buat pemeriksaan, doktor suruh tunggu untuk buat X-Ray petang nanti. Balik rumah dulu. Suami suruh rehat, dia bertegas nak masak walaupun saya kata saya boleh buat..hu hu.. susahkan dia lagi.

Petang sekali lagi ke klinik. Alhamdulillah, keputusan X-Ray menunjukkan jari kaki tadi berjaya masuk balik ke keadaan asalnya, tak patah, cuma bengkak sebab kesan jatuh dan daya tarikan yang agak kuat masa nak betulkan balik tadi. Lega...

Balik dari klinik, berehat di atas katil, sambil berfikir. Saya rasa sangat terkesan dengan peristiwa ini. Allahlah yang berkuasa menjadikan sesuatu. Allah hanya perlu katakan "Jadilah", maka akan terjadilah sesuatu perkara. Allah boleh menjadikan kaki yang 'hidup', tiba-tiba 'mati'. Begitu juga Allah boleh menjadikan jantung yang 'hidup', menjadi 'mati'. Nasib baik kaki saya yang 'mati' seketika tadi, kalau jantung? MasyaAllah, sesungguhnya mati itu boleh datang dengan tiba-tiba, tanpa amaran dan petanda.

Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: “Jadilah engkau! “, maka menjadilah ia. (An-Nahl:40)

Kalau ada sesiapa yang claim bahawa anggota badan kita ini, kita sendiri yang mengawalnya, maka peristiwa ini membidas hujahnya. Kita rasa tangan kita, kita yang tentukan pergerakannya. Kita rasa kaki kita, kita yang bebas mengawalnya. Namun hakikatnya Allah lah yang Maha Berkuasa ke atas diri kita, anggota badan kita dan pancaindera kita. (Teringat novel kisah Gadis Atheist berdebat dengan pemuda Islam)

Apa saja yang terjadi kepada kita, yang baik mahupun yang buruk, semuanya dengan izin Allah. Pasti dan pasti ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan kepada kita. Itu cara Allah berinteraksi dan berkomunikasi dengan kita, selain daripada Al-Quran. Itu yang saya selalu pegang. Sakit dari jatuh ini tidaklah seteruk mana, lebih teruk kalau mencemuh musibah dan takdir Allah ini. Nauzubillah.

"Boleh pergi tak mesyuarat sekejap lagi ni?", tanya suami memecahkan lamunan.

"Boleh insyaAllah, tengok saya senyum ni, tak sakit pun", jawab saya sambil mempamerkan senyum termanis sekali.

"Itu senyum tipu", usik suami.

Malam tu saya berjaya pujuk dia jadi 'kaki' saya. (Kaki abang, kaki saya juga.. heh) Tetap bersemangat nak jumpa adik-adik dan bantu penyusunan usrah mereka- mana tahu Allah nak ajar lagi perkara baru melalui adik-adik malam ni.

Sarungkan stokin ke dua-dua kaki (terkial-kial juga menahan sakit di kaki kiri), pakai selipar besar dia. Terhincut-hincut menuju ke kereta yang sedia membawa kami ke perjalanan dunia, yang 'sakitnya' hanya sementara, 'sukarnya' hanya seketika, insyaAllah.




monolog: kena berusaha pakai kasut sukan di kaki kiri, kalau tak "saya tak bagi naik Puncak Vista petang ni", itu arahannya.. hu hu..



No comments: