Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, February 15, 2012

Adik Hilang!

Sedang siapkan lauk untuk suami. Terdengar telefon 'menyanyi'. "Mak cik Lela", kata suami sambil tangannya menghulurkan telefon. "Mak cik Lela?" dalam hati sedikit hairan.

"Ayu, mak cik ni", kata suara dihujung talian, setelah salam dihulurkan. 

"Ya, mak cik. Ada apa ya?", saya segera bertanya.

"Adik Ayu nama apa ya? Apa nombor telefon dia?", Mak cik Lela menjawab dengan pertanyaan.

"Ery. Kenapa mak cik?", jawab saya dengan persoalan menerawang memenuhi kotak fikiran.

"Tak ada, pukul lima tadi dia telefon mak cik kata nak datang hantar album gambar, katanya dah di Alor Setar, tapi sampai sekarang mak cik tunggu, tak sampai-sampai lagi", ceritanya.

Sambil mata melirik ke jam di dinding rumah Tok yang menunjukkan tepat 6.30 petang, saya menjawab, "Oh ya ka, tak apa nanti saya cuba telefon dia ya, mak cik".

Perbualan ditamatkan. Lauk dihidangkan. Saya duduk menemani arjuna kekasih hati makan, sambil tangan ligat menekan kekunci telefon. Cuba mendail, menghubungi adik. Talian aktif, tapi tidak diangkat.

Adik saya telah diminta untuk menjadi jurugambar bagi majlis perkahwinan anak Mak cik Lela, minggu lepas. Hari ini dia sepatutnya ke rumah mak cik untuk menghantar album perkahwinan tersebut sebagaimana dijanjikan. Namun, setelah satu jam setengah dari panggilan terakhirnya, dia belum sampai ke destinasinya. Rumah mak cik dengan Alor Setar tidak begitu jauh, mustahil perlukan sejam setengah untuk sampai. Tambahan saya tahu, adik saya boleh tahan juga pecutnya. Melainkan, apa-apa terjadi dalam perjalanannya. Nauzubillah. Ya Allah, jauhkanlah perkara yang tidak baik dari kami.

Tak sedap hati. Sambil kemaskan meja makan, sambil menekan kekunci telefon. Mencuba beberapa kali, tapi masih juga gagal. "Ke mana budak ni pergi", hati berkata sendiri. Tak keruan dibuatnya. Pelbagai andaian muncul di fikiran, kebanyakannya yang negatif saja! Cuba memujuk hati, tapi gagal! Apa dah jadi? Ke mana dia pergi? Di mana dia sekarang? Aduhai, tak tergambar kerisauan yang menerpa fikiran.

Dibelek-belek senarai nombor telefon, tiada satu pun nombor kawan adik. Silap saya! Ke mana nak bertanya? Kepada siapa nak bertanya? Aduh, buntu! Cuba menghubungi telefon dia, tapi gagal lagi! Cuaca hati? Bukan setakat mendung lagi, dah beribut petir, berangin puting beliung, bertsunami dah kat dalam tu!

Suami ambil angin di luar rumah. Hati dah ribut. Mata dah berkaca. Setelah menghampiri suami, lalu saya bertanya, "Abang, boleh tak kita ke rumah mak su? Nak online sekejap. Nak cari kawan-kawan Ery di fb (facebook). Kot ada yang tahu, dia ke mana, dengan siapa", suara bergetar, menahan takungan air di tubir mata. 

"Ok, lepas solat Maghrib kita keluar ya", jawab suami, memujuk.

"Lepas Maghrib? Sekarang baru pukul 7.00 petang, lambat lagi Maghrib, kalau jadi apa-apa macam mana?", emosi yang tidak keruan berkata, sedang bibir hanya membisu, tak terluah.

Suami cuba tenangkan hati si isteri, cuba alihkan topik perbualan, tapi hati ini dah hilang tumpuan, jari jemari sibuk menekan punat telefon, mengharap ada suara di hujung talian, tapi hampa lagi. Enggan dikesan perubahan riak wajah, kaki segera melangkah, membawa diri masuk ke dalam rumah. Suami mengikut dari belakang. Akhirnya, gagal juga menahan butir jernih dari turun membasahi pipi. Esak tangis kedengaran, sambil doa tidak putus-putus dipanjatkan. Suami mengusap lembut, memujuk. Tiada suara keluar dari bibirnya, tapi saya tahu dia cuba menenangkan hati saya, dan saya sangat-sangat menghargainya. 

"InsyaAllah, dia tak ada apa-apa", doa suami. Saya aminkan doanya, dengan hati penuh pengharapan. Hati sedikit tenang.

Sedang bersiap untuk solat, telefon bergetar, ada sms masuk. " Ery dah sampai rumah mak cik, kereta dia rosak tadi, kawan dia hantar- Mak cik Lela". Terlompat saya! Syukur! Syukur, Alhamdulillah. 

"Abang, Ery dah sampai rumah mak cik", belum sempat saya habiskan cerita, telefon berdering, adik saya telefon.

"Abang, tolong jawabkan", pinta saya kepada suami.

"Kenapa pulak? Cakap lah dengan dia", kata suami.

"Tak nak lah, malu", sambil tersengih. Macam mana tak malu, mata dah bengkak, suara dah tersekat, menangis bagai nak rak tadi, he he.

Tak kedengaran butir bicara kedua adik dan abang ipar ni, yang tertangkap adalah usikan suami, "..ada ni ha, nangis-nangis dah kat sebelah ni." Waaaa, malunya!!

Suami serahkan telefon. Adik terangkan asbab yang menjadikan senja saya keributan hari ni. Rupa-rupanya, kereta yang dia bawa, rosak. Lebih 'best' lagi, dia tertinggal telefon dalam kereta yang ditinggalkan di bengkel. Patutlah tak jawab telefon. Alhamdulillah, lega sangat-sangat, dengar suara dia, dan sempat lagi dia usik saya, "dah la tu nangis, malu kat Abang Long (panggilan keluarga saya kepada suami). Abang (panggilan keluarga saya kepada adik) minta maaf ya kak". Saya mengangguk, sambil hadiahkan senyuman terima kasih kepada sang arjuna kekasih hati yang setia di sisi (he he). Terima kasih ya Allah. Dikau pulangkan semula insan kesayangan hamba.

"Abang, nanti kena pakai spek hitam la nak pergi rumah mak su",

"Kenapa pulak?", tanya suami buat- buat tak tahu ke?

"Ni mata bengkak ni? Nanti orang ingat kita gaduh"

"Kalau gaduh, takkan pergi sama-sama", usik suami gelakkan saya ya?

Duduk berteleku di birai malam, saya termenung sendirian. Apa pengajaran yang dapat saya kutip dari peristiwa petang tadi? Banyak. Bahawa sesungguhnya, tiada sesuatu pun milik saya sepenuhnya. Adik-adik saya, bukan saya punya. Andai nanti Allah ingin mengambilnya semula, tiada apa yang saya dapat lakukan, melainkan redha seadanya kerana Dia tahu apa yang terbaik. Begitu juga dengan ibu bapa, saudara dan sahabat saya. Apatah lagi nyawa, harta, ilmu, pancaindera, masa dan segala yang saya ada hari ini, adalah sekadar pinjaman dariNya. Yang dengan pinjaman itu saya akan ditanya tentangnya, akan dipertangungjawabkan terhadapnya suatu hari nanti.

Merenung wajah tulus sang arjuna hati yang sedang beradu diselimuti kedinginan malam hari, hati berbisik, dia juga adalah pinjaman dari Allah, suatu hari kami akan berpisah, dan semoga di Syurga dipertemukan kembali. 

Kehilangan menjadikan kita menghargai. Hargailah apa yang kita ada, sebelum mereka/ia diambil semula oleh pemilikNya. Sesungguhnya, tiada milik kita, Allahlah satu-satunya yang kita ada!

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Al-Hadid: 22-23)

Inilah dia, 'mamat' yang telah menggamatkan senja saya semalam.. he he




1 comment:

Firdaus® said...

best la cerita entry ni =) huuu