Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, February 26, 2012

Belonku terbang tinggi.

Semalam di kelas Quantitative Research. Salah satu kelas wajib untuk pelajar postgrad. Masuk kelas lambat, gara-gara tak jumpa pintu utama! Haish! Tunggulah depan pintu belakang yang berkunci, ingatkan kami lah yang datang paling awal, padahal orang lain dah penuh kelas pun! Hu hu..

Masuk kelas, kerusi pulak tak cukup. Angkat kerusi dari kelas sebelah.  Dah bawa kerusi masuk kelas, tiba-tiba menggelabah, macam mana nak angkat (baca: julang setinggi boleh) kerusi ni, ruang dah la sempat antara meja ke meja. Sedang terkulat-kulat, terkial-kial di depan kelas, dengan kerusi besi yang berat, berfikir macam mana nak bawa kerusi ke belakang, tiba-tiba Prof. yang mengajar kelas tu datang angkat kerusi, bawa ke belakang. Wah! Terkesima seketika. Malu pun ada. Tetapi syukur yang selebihnya, Alhamdulillah. Prof. hantarkan kerusi ke barisan tengah, disambut oleh seorang kawan sekelas, (lelaki, dari Timur Tengah), terus ke belakang. Saya? he..he.. mengikut saja sambil melenggang kangkung (oh, ini perumpamaan untuk berjalan santai ya)

Alhamdulillah, dapat duduk dengan tenang (walaupun kurang selesa sebab terlalu sesak dan sempit), Alhamdulillah belum banyak yang ketinggalan dari pembentangan Prof.

Setelah kelas berjalan hampir 2 jam (kelas ini berdurasi penuh 3 jam), tiba ke sesi perkongsian. Prof. minta perkenalkan negara asal, tajuk kajian dan dari mana dapat idea untuk topik yang dipilih. Sambil menunggu giliran (maklumlah, saya di belakang sekali), baru perasan sesuatu. Di hadapan saya ada pelbagai 'warna-warni' manusia. Ada yang berkulit cerah, ada yang berkulit sawo matang, tak kurang juga yang berkulit gelap. Ada yang berambut lurus, ada yang berambut kerinting, ada juga yang tak kelihatan rambut di sebalik hijabnya. Lelaki dan perempuan? Ya keduanya seimbang dalam kelas ini. 

Dari sesi perkongsian, ada yang berasal dari Timur Tengah, Indonesia, Nigeria, Libya, Malaysia sendiri (tak berapa ramai sangat), India, Bangladesh dan beberapa negara lagi yang saya lupa. Lebih menggerunkan, ada yang sudah pun bekerja selama belasan tahun, ada yang menjawat jawatan tertinggi dalam organisasi, tak kurang juga budak hingusan (saya la tu). 

Teringat ayat Allah, 

"Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)

Tajuk kajian mereka? Waaah! Sangat 'menggerunkan'!  Cukup membuat diri rasa sangat sangat rendah diri! Ditambah dengan pengalaman dan 'kematangan' mereka terutama dalam bidang masing-masing,  hu hu.. terasa sangat betapa rendahnya diri ini. Waaaaaa (T_T). 

Bermacam-macam perkara timbul dalam fikiran.

Boleh ke aku berjaya?
Mampu ke aku lalui semuanya?
Layak ke aku berada di sini?

(T_T)......

Kemudian teringat lagi satu kisah, diceritakan oleh Ustaz Badlishah Alauddin, di corong radio IKIM.Fm beberapa hari sebelum itu. Macam ni lebih kurang, kisahnya..

Ada sekumpulan kanak-kanak bermain belon. Kemudian, pak cik yang jual belon ni ternampak seorang budak yang berada agak jauh dari kumpulan kanak-kanak yang bermain belon tadi. Dia nampak seperti pemalu dan agak merendah diri. Lalu pak cik tadi mendekati anak ini dan bertanya,

"Nak, kamu nak belon warna apa?"

"Saya nak belon berwarna hitam, pak cik", jawab si kecil.

"Kenapa kamu nak belon berwarna hitam?", tanya si tua lagi.

"Kerana belon warna hitam boleh naik tinggi, lebih tinggi dari belon warna lain", jawabnya yakin.

Lalu pak cik tadi memberikan belon berwarna hitam kepada si kecil tadi. Ternyata, belon tadi naik tinggi ke dada langit. Anak kecil itu sangat gembira dengan belonnya.

Lalu datang pak cik tadi, menepuk bahu si anak lalu berkata,

"Nak, tingginya belon kamu naik ke atas sana bukan kerana warnanya, tetapi kerana gas keyakinan yang ada di dalamnya"

Pengajarannya, bukan warna kulit, bangsa atau keadaan fizikal yang menentukan kejayaan seseorang, sebaliknya keyakinan dan kemahuan yang tinggi itulah yang lebih penting!

Sekarang, menurut ustaz Badlishah, kanak-kanak tadi telah menjadi seorang yang hebat dan berjaya dalam hidupnya!

Kemudian terperasan sesuatu dari ayat di atas. Kita tengok semula ayatnya.

"Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)

Allah kata, diciptakan manusia ada lelaki, ada perempuan, pelbagai bangsa, pelbagai puak. Ok, bahagian seterusnya ini yang penting (tapi terlepas pandang tadi), yang paling baik di sisi Allah, kata Allah, adalah yang paling BERTAKWA! Okeh, done! Tak kira siapa kamu, yang penting takwa kamu!

Okeh, dah faham! Walaupun saya budak hingusan saja, tapi kalau saya bertakwa, saya yakin Allah akan bantu saya, insyaAllah! Siapa berusaha, dia akan berjaya, insyaAllah!

Baik, sekarang dah boleh (^_______________________^) sampai telinga.

Oh, dah sampai giliran saya.

"I'm from Malaysia, my area is Management and my research is about new product performance. I choose this topic because new product is one of the crucial aspects for manufacturing company in Malaysia, especially after we shifted from agriculture to manufacturing-focused!"

Berpasang-pasang mata memandang. Lidah tergeliat lama tak praktis menyebut bahasa asing. Hati berazam, ingin belajar sesuatu dari kepelbagaian bangsa dan puak yang ada di depan mata ni, insyaAllah sebagaimana dianjurkan oleh Allah dalam ayat di atas, ditambah dengan elemen takwa sebagai pembeza dan mata tambahan untuk menjadi hamba yang dekat dengan Allah!

Jom, usir rasa rendah diri (tapi jangan sesekali meninggi diri- sombong, angkuh, bongkak!), pam gas 'keyakinan'- kepada janji-janji Allah dan kemampuan diri sendiri, dan ikat tali 'takwa' pada belon 'kehidupan' kita. Biar ia terbang tinggi dengan penuh yakin, tapi terikat dengan tali takwa, supaya ia tidak menjunam di pukul ribut kesesatan dan jatuh di tanah kemurkaan Allah!


Belon kehidupan, ber'gas'kan keyakinan kepada Allah  dan diri sendiri!

monolog: Ya Allah, permudahkan urusan hidup dan mati kami..



No comments: