Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, February 6, 2012

Mati semut kerana gula.

Assalamualaikum.



Balik rumah, setelah seminggu lebih di rumah Tok. Jengah ke dapur kecil kami. Tiada apa yang berubah, tapi alahai.. kelihatan semut-semut 'Syahid' dalam balang gula. Ini sudah kali kedua. Salah saya, tak tutup rapat tudung balangnya.

Sedang tangan rancak membersihkan balang, teringat kata orang-orang tua, "Mati semut kerana gula". Minda cuba memikirkan pengajaran di sebaliknya. Kadang-kadang, manusia juga binasa kerana kesukaan mereka. Persoalannya, berbaloi ke 'binasa' kerana mengejar apa yang kita suka tu? Kalau binasa di dunia, mungkin tak apa-apa, tapi kalau binasa kat akhirat sana? Aduh, parah tu! Jadi, elok sangatlah kita nilai balik apa yang kita kejar-kejarkan sangat tu. Kalau kesukaan kita, juga adalah kesukaan Allah, Alhamdulillah.. teruskanlah walaupun terpaksa 'binasa' di dunia. Tapi kalau sebaliknya? Rasanya elok fikir kembali, nak kejar ke tak kejar?! 

Apa contoh kesukaan manusia ni, Allah kata? 

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga),” (Ali Imran: 14)

Okeh, nampaknya ada 3 jenis kesukaan manusia iaitu: Harta, wanita dan anak-anak!  Meh kita tengok satu demi satu.

Harta.

Ha, betul sangat la apa yang Allah beritahu kita tu. Manusia (kita la tu) hari ini, sangat taksub dengan apa yang Allah nyatakan di atas (tak semua manusia macam ni, dan harap-harap kita bukan dalam golongan ni insyaAllah). Harta dunia. Itu yang kita kejar-kejarkan. Hinggakan..

"..saya kena pergi meeting dulu ni, sekejap lagi lah saya solat.."

"..oh, saya tak boleh puasa, nak jaga hati client saya yang ajak pergi dinner.."

"..sedekah? Erm, nanti-nantilah.."

Itulah penangan harta dunia, kerananya ramai yang sanggup buat tukaran dengan harta akhirat (baca: pahala). Tak kurang juga ramai yang rela buang sahabat, buang saudara, buang ibu-bapa. Kerana apa? Kerana harta punya pasal! Inilah yang dikatakan, semut dengan gulanya, manusia dengan ketamakannya pada harta dunia! (yang tak boleh dibawa masuk kubur!) Akhirnya, yang dapat hanya kebinasaan.

Wanita.

Ha, apa lagi yang Allah kata tentang kesukaan manusia ni? Wanita.

Wanita je ke, lelaki?

Untuk lelaki, wanitalah. Untuk wanita, lelakilah kesukaannya (ada jugak yang terbalik, itu pun tak kurang parah jugak!) Jadi, apa halnya? Apa kaitan dengan semut dan gula tadi? Sama macam tadi, manusia tertarik kepada harta, sekarang manusia tertarik kepada manusia yang berlainan jantinanya.

Salah ke tertarik kepada yang berlainan jantina?

Tak salah. Yang jadi salah bila berlebih-lebihan dalam meletakkan kesukaan. Sama macam harta tadi. Hinggakan sanggup buat apa saja untuk menarik perhatian orang, sanggup buat apa saja untuk dapatkan apa yang diinginkan. Dosa, pahala belakang kira, katanya. Yang penting puas hati! Dapat apa yang dihajati. Maklumlah, hidupkan hanya sekali. 

Itulah amaran Allah kepada kita, hambaNya. Dia tahulah, sebab Dia yang ciptakan kita. Dia tahu apa kesukaan kita, apa yang akan bawa anugerah dan apa yang bawa musibah kepada kita.

Anak-anak.

Eh, tak boleh ke suka/cinta/sayang anak-anak! Iskh, takkan la Islam ajar untuk bencikan anak-anak.

Bukan itu maksudnya. Kecintaan yang melampau itu menyebabkan kemusnahan. Terlalu cintakan anak-anak, hingga membelakangkan Allah, itu yang salah! Terlalu sayangkan anak-anak, sehingga mengabaikan perintah dan larangan Allah, itu yang tidak betul! Lihatlah kepada kisah Nabi Ibrahim yang diperintah Allah menyembelih anaknya, Ismail. Walau keberatan, walau kasihnya pada si anak tak berbelah bahagi, namun baginda tetap memilih ketaatan kepada Allah, tanpa kompromi! Akhirnya ternyata, Allah hanya berhasrat untuk menguji si anak dan si ayah, lalu digantikan si anak dengan binatang korban.

Begitulah, hebatnya Allah mengajar kita tentang kesederhanaan (wasathiyah) dalam melakukan apa saja. Allah tak suruh kita puasa hinga tak berbuka. Allah tak suruh kita solat sampai tak rehat. Allah tak suruh kita ibadat hingga mengabaikan aspek muamalat dan munakahat. Allah suruh kita bersederhana. Tidak terlalu kurang, dan tidak juga terlalu berlebihan. Sederhana-sederhana saja, sebab Allah tahu had kemampuan, keterbatasan kita.

"Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) 'umat pertengahan' agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." (Al Baqarah: 143)

Sesetengah ulama' tafsirkan umat pertengahan sebagai umat yang adil, tidak berat sebelah baik ke dunia mahupun ke akhirat, tetapi seimbang antara keduanya.

Jadi, dalam menyukai apa yang kita sukai, bersederhanalah. Cintailah harta secara sederhana, cintalah manusia juga dengan sederhana. Jangan sampai kita musnah binasa kerana kecintaan kita terhadap sesuatu. Lebih-lebih lagi jangan tukarkan akhirat untuk dunia, syurga untuk neraka, redha Tuhan untuk redha hambaNya. Rugi tu!

Oh, itu rupanya pengajaran dari peristiwa semut yang 'syahid' dalam balang gula saya, Alhamdulillah! Okeh, jom azam! Jangan kita 'mati' kerana 'gula'! (er, kurangkan gula dalam makanan/minuman juga ye, tu pun asbab kematian juga)

Wassalam.

No comments: