Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, February 23, 2012

Tupperware bertutup biru.

Assalamualaikum.

Satu pagi. Usai solat subuh, turun ke dapur. Siapkan sarapan untuk Tok, sediakan bekal untuk suami (dia bagi hint nak bawa bekalan makanan ke tempat kerja bila satu hari dia beli tupperware baru- bertutup biru dengan tiga ruang kecil di dalamnya)

Sedang mencedok nasi dan lauk ke dalam tupperware bertutup biru, tiba-tiba teringatkan sesuatu.

"Apa bekalan kita untuk hari akhirat sana?"

Allahu Rabbi. 

Kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz, "Sesungguhnya setiap perjalanan musafir mustahil tidak mempunyai bekalan. Justeru itu, sediakanlah bekalan musafirmu semasa hidup di dunia untuk menempuhi perjalanan ke alam akhirat"

Betul. Setiap kali nak memulakan perjalanan, baik jauh mahupun dekat, kita pasti sediakan bekalan. Sekurang-kurangnya ada satu bar minyak dalam tangki, sekurang-kurangnya ada sehelai not berwarna merah (RM 10.00) dalam dompet, selain keperluan-keperluan lainnya.

Begitu juga dengan perjalanan ke akhirat sana. Perjalanan yang akan menentukan duduk letak kita, yang kekal selamanya. Pasti dan pasti bekalan yang perlu disedia dan dikumpulkan lebih-lebih lagi perlu diambil perhatian (itu pun kalau kita nak berada di tempat paling istimewa di sana)

Apa bekalan yang perlu kita kumpulkan? Bekalan yang bagaimana? Perlukah kita tinggalkan segalanya yang ada di dunia, lalu hanya tumpukan perhatian untuk mengumpulkan bekalan ke akhirat sana?

Tidak. Tidak perlu kita tinggalkan dunia untuk akhirat, sebaliknya dunia ini adalah tempat kita mengumpulkan bekalan untuk akhirat.

Teringat firman Allah,  

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (Adz-Zariyat:56)

Terciptanya kita untuk beribadah kepada Allah.

Kalau seluruh kehidupan ini disibukkan untuk beribadah kepada Allah, bila pula masa untuk mengumpul bekalan akhirat?

Maka seluruh kehidupan itu adalah masa untuk mengumpul bekalan akhirat, kerana ibadah itulah bekalan akhirat!

Tolong jangan sempitkan fikiran dengan memberi makna ibadah hanya terhad kepada solat,puasa, zakat dan menunaikan saja! Bahkan seluruh kehidupan boleh menjadi ibadah, dengan memasakkan niat untuk segala yang kita lakukan, semata-mata kerana Allah.

Niat makan, kerana Allah. Masak, kerana Allah. Belajar, kerana Allah. Kerja, kerana Allah. Mandi, kerana Allah. Pandu kereta, kerana Allah. Bonceng motosikal, kerana Allah. Sapu sampah, kerana Allah. Semua kerana Allah, maka tercatatlah pahala ibadah, itulah bekalan untuk akhirat.

Kalau dalam 24 jam, segalanya (yang baik pastinya) diniatkan kerana Allah, bermula dari bangun tidur, hingga tidur semula, maka sebanyak itulah usaha untuk mengumpul bekalan kita. 

Mudahkan?

Tetapi ramai yang menyusahkan! kerana memberatkan ibadah dengan alasan! atau kerana memberatkan hati dengan bisikan mendayu dan mengoda oleh si durjana syaitan!

Kita bukan maksum!

Ya, sebab itu Allah memberikan seluruh kehidupan untuk kita beribadah dan mengumpul bekalan. Kalau kita terleka, bersegeralah kembali mengejar sisa-sisa kehidupan (baca: peluang) yang masih ada. Bahkan, setelah nyawa berpisah dari jasad sekalipun, Allah masih memberi peluang untuk kita mengumpul bekalan.

Bagaimana? Sabda Rasulullah,

“Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. 
(Hadith riwayat Imam Muslim)

Jasad sudah ditinggalkan roh, tetapi bekalan masih tidak putus-putus! Berkat ibadah yang ditinggalkan sepanjang kehidupan di dunia.

Mudah cakap, tetapi tak mudah nak buat! Dunia di depan mata, akhirat tidak terlihat bayangnya. Dunia indah menggoda, akhirat seakan dilupa. Kerana itu ramai yang tertipu dan terleka dengan dunia.

"Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak" 
(At-Taubah: 38)

Nasi siap diisi, lauk siap diisi. Tupperware biru ditutup kemas. Suami sudah menunggu di muka pintu. Kedengaran bunyi enjin kereta menderu, sedia membawa kami ke perjalanan mencari rezeki. Semoga perjalanan dunia ini bermanfaat untuk perjalanan akhirat nanti, insyaAllah.

Tupperware bertutup biru, mengisi bekalan kehidupan dunia. Ibadah kerana Allah yang satu, mengisi bekalan kehidupan akhirat.

Jom! Sediakan bekal untuk akhirat, insyaAllah.

Oh, yang ni bukan tupperware bertutup biru suami saya..




No comments: