Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, March 5, 2012

Minggu dukacita.

Assalamualaikum.

Minggu kesedihan. Ya, hujung minggu lepas dan awal minggu ni boleh dikatakan minggu kesedihan buat kami. Kerana ada beberapa peristiwa yang mendukacitakan berlaku dalam tempoh masa yang dekat dan berturutan. Minggu lepas, kalut dan penuh macam minggu-minggu biasa, tapi kalut minggu ini diiringi debar jantung sepanjang minit dan jam yang berlalu. Telefon bimbit suami tak berhenti menyanyi. Panggilan demi panggilan masuk, panggilan demi panggilan juga keluar. Saya pulak sibuk mengupdate perkembangan semasa di facebook (mewakili suami, sebab saya saja boleh guna fb mobile, nampaknya lepas ni kena buat untuk suami juga, senang di masa kecemasan, bila internet tak ada capaian), dan menjawab sms yang masuk ke telefon bimbit, sambil kadang-kadang menjadi pembantu peribadi (jawatan tetap selepas nikah ni), tolong jawabkan panggilan dan balas sms telefon suami (bila dia sedang memandu).

Selepas peristiwa rebah tersungkur di kaki katil, diikuti jari tersepit di celahan pintu, hari-hari kami macam biasa. Minggu ini ada program ISK (Ini sejarah kita atau Inche Gabbana  - Angel Pakai Gucci panggil Ini Sumpah Kool!), ada Kuliah Tafsir, perkongsian bersama ahli parlimen Palestin (dia kongsi macam mana mereka rangka program hafazan lengkap 30 juzu' dalam hanya 2 bulan!- sangat menarik, akan dikongsi di lain entry, insyaAllah), gathering dengan adik-adik (ujian hujan gerimis..hu hu), meeting-meeting rutin serta usrah.

Ok. Di mana bermula minggu kesedihan itu?  

12.30 tengah malam. Kami bersiap menuruni bangunan. Alhamdulillah, selesai sudah program ISK untuk adik-adik malam ni. Saya masuk dalam kereta dulu, selepas menghantar dan menitipkan pesan buat adik-adik yang pulang dengan motosikal. Suami masih bersembang dengan akhi yang menyampaikan ISK, bersama 2 pembantu setianya dan akhi Hatim, salah seorang ikhwah, penggerak IPT yang menjadi tuan rumah malam ni.

"Besar motor Hatim, ya bang", tanya saya sejurus suami masuk ke dalam kereta, sambil melirik kepada sebuah motosikal yang diparkir bersebelahan kereta kami.

" A'ah, dia memang suka motor berkuasa tinggi ni", jawab suami.

Setakat itu perbincangan kami tentangnya. 

Ini dia mujahid bersemangat waja- Hatim.

Khamis malam, ada sesi perkongsian dengan salah seorang ahli Parlimen Palestin di sekolah suami, bersama muallim muallimah dan ikhwah akhawat Kubang Pasu dan daerah sekitar. Selain membawakan perkhabaran terkini keadaan di Palestin,  mereka nak tawar untuk diadakan program hafazan Al-Quran selama 2 bulan untuk 30 juzu'. Sudah berjaya diadakan di Gaza dan Indonesia, sekarang giliran Malaysia. Kelihatan kelibat ikhwah akhawat, termasuk Hatim. Selesai program, saya dengan adik-adik balik, suami ditinggalkan untuk menyambung katibah (Qiamullail) bulanan bersama pak cik-pak cik hingga esok pagi.

Jumaat tengahari. Habis kelas, suami datang ambil. Selepas solat Jumaat, kami masak sama-sama. Sementara tunggu makanan dihidang, suami bersuara,

"Saya nak pergi hospital sekejap lagi ya"

"Hospital? Siapa yang sakit?", tanya saya sambil mencedok ayam masak merah ke dalam mangkuk.

Lalu suami membuka cerita. Hatim, yang kami jumpa semalam di program Palestin terlibat dengan kemalangan awal pagi tadi (lebih kurang pukul 4.30 pagi), dibawa ke hospital Sungai Petani, namun terpaksa dihantar ke hospital Alor Setar untuk melakukan pembedahan kerana otak yang membengkak dan ada darah beku dalam kepalanya. 

" Nak ikut?", tanya suami setelah menamatkan ceritanya.

"Nak, nak", segera saya menjawab.

Selepas makan, kami bergegas ke hospital. Dalam perjalanan, sms dan panggilan bertalu-talu masuk ke telefon suami, bertanyakan keadaan Hatim. Sampai di hospital, berjumpa dengan ayah dan adik hatim di kantin hospital. Ayahnya nampak lesu dan runsing. Kemudian, naik ke bilik tempat Hatim dirawat. Ibunya setia menunggu di luar bilik pembedahan. Saudara mara dan ikhwah akhawat, termasuk kawan-kawan Hatim memenuhi lobi bilik pembedahan.

Menurut ibunya, pembedahan akan berjalan lebih kurang 3 jam. Ketika itu kami tidak tahu bagaimana serius keadaan Hatim. Dari cerita ibunya, tulang leher patah, luka-luka di seluruh badan, kaki (atau tangan) patah, ada luka yang agak dalam di belakang kepala- helmetnya pecah semasa kemalangan!, otaknya membengkak dan ada ketulan darah beku dalam kepalanya.

"Ya Allah, semoga Allah lindungi Hatim"

Pukul 6.30 petang, kami meminta diri untuk pulang kerana malam nanti kami akan bertolak ke Kuala Lumpur, ada muzakarah di sana. Suami minta adik Hatim untuk terus maklumkan sebarang perkembangan abangnya nanti. Kami lalu pulang, dengan perasaan tidak senang.

Pukul 8.30 malam, kami bergerak keluar dari rumah. 

"Abang rasa tak sedap hati la nak pergi KL ni dengan keadaan Hatim macam tu, jom kita pergi tengok dia dulu lah ya sebelum ke rumah Tok", suami suarakan rasa hatinya.

Kami bergegas untuk pergi semula ke hospital Alor Setar, namun adik Hatim memaklumkan abangnya telah dibawa kembali ke hospital Sungai Petani, kerana wad ICU di sini penuh. Lalu kami terus lencongkan kereta ke rumah Tok.

Pukul 10.00 malam, kami keluar dari rumah Tok. Destinasi seterusnya- hospital Sungai Petani. Saya risau suami penat kalau bertolak lewat sangat (dah la kena memandu seorang), tapi suami bertegas nak tengok Hatim jugak dulu, di samping nak pastikan kebajikan keluarganya terjaga. Kami bersetuju dengan keyakinan bahawa apabila kita mempermudahkan urusan orang lain, insyaAllah Allah juga akan membantu mempermudahkan urusan kita.

Pukul 11.30 tengah malam, sampai di hospital Sungai Petani. Menurut adik Hatim, abangnya dah dimasukkan ke ICU, Alhamdulillah dijaga rapi di bawah pengawasan ikhwah yang bertugas di jabatan tersebut. Cuba nak masuk lihat keadaan dia, tapi dah terlalu lewat. Alhamdulillah juga pak cik di sana dah menguruskan rumah dan keperluan keluarga Hatim. Kami (saya, suami, 3 orang pak cik mak cik Sungai Petani) menunggu keluarga Hatim di lobi hospital, bawa mereka makan- mereka kelihatan sangat penat-penat fizikal, berjaga dari 4.30 pagi tadi dan penat mental-risaukan keadaan Hatim. Kemudian, terus bawa mereka ke rumah milik salah seorang pak cik di Cinta Sayang Resort.

Setelah berpuas hati dengan keadaan keluarga Hatim, kami meneruskan perjalanan-ke KL! Muzakarah bermula pada pukul 8.30 pagi esok, dan di waktu ini- 1.00 pagi, kami masih berada di Kedah! Ya Allah, permudahkan urusan kami.

Menurut ibu Hatim tadi, memang tulang leher Hatim patah, sebelah dari tempurung kepalanya terpaksa dibuka untuk membolehkan otak yang membengkak, mengecut kembali. Keadaannya agak stabil selepas pembedahan tadi. Hatim juga direhatkan (ditidurkan) selama 48 jam oleh doktor. 

Di sepanjang perjalanan awal pagi tu, banyak sangat kemalangan yang berlaku, ada yang baru saja berlaku! Ya Allah, hati memang risau. Sesekali mengerling suami di sebelah. Nampak macam segar lagi matanya. Sesekali mengusul, "Kalau mengantuk, abang berhenti la dulu di mana-mana R&R, tidur dulu sekejap"- dan kami berhenti sejam pada pukul 3.00 pagi- kesian suami. Saya? Kadangkala segar, kadangkala Zzzzzz- hu hu maafkan saya..

Pukul 7.00 pagi, kami sampai di tempat program. Sepanjang hari di Muzakarah pada hari Sabtu tu, kami gelisah dan tak tenang. Sentiasa bertanya dan tertanya-tanya keadaan Hatim. Alhamdulillah ramai ikhwah akhawat yang pergi ziarah dan maklumkan perkembangan beliau. Petang Sabtu, kami bertolak pulang. Suami nak terus berhenti di hospital, ziarah Hatim. Tetapi memandangkan pukul 9.00 malam kami masih di KL, hasrat dibatalkan.

Lebih kurang jam 3.00 pagi, kami sampai ke rumah. Penat. Tak kisah dah sebarang sms atau call. Terus belayar ke alam mimpi.

Pagi Ahad. Baru suami perasan, rupanya ada sms dari ikhwah memaklumkan Hatim kekurangan darah, perlukan bekalan darah segera. Kami selesaikan segala urusan yang patut, selepas solat Zohor, terus bergegas ke Hospital Sungai Petani. Suami kata dia nak derma darah.

"Abang boleh ke derma? Darah abang sama ke dengan darah Hatim?", tanya saya.

"InsyaAllah boleh", katanya, ringkas.

"Abang darah apa?", okeh- tak habis ta'aruf lagi ya!

"Darah O+", jawabnya.

Oh, patutlah dia yakin sangat.

Hampir pukul 4.30 sampai di hospital. Kelihatan adik-adik IPDA, kawan-kawan Hatim memenuhi lobi hospital. Rupanya mereka telah dikerahkan datang, sebuah bas untuk mendermakan darah kepada Hatim. Subhanallah! Suami nak cuba juga, tetapi katanya pihak hospital hanya menerima darah jenis A, sebab ia lebih kuat untuk membantu Hatim. Namun Alhamdulillah, setakat ini tekanan darah Hatim kembali normal dan bekalan darah sudah mencukupi, Alhamdulillah.

Pukul 4.30 petang, waktu untuk lawatan. Ramai yang memenuhi lobi ICU, menunggu giliran untuk menziarahi Hatim. Adik-adik IPDA dari pelbagai kaum berada di situ, termasuk keluarga Hatim dan ikhwah akhawat. Rasa sebak bila berada di sebelah katil Hatim, dengan wayar yang berselirat, hanya mukanya yang membengkak kelihatan berombak, selari dengan denyut nafasnya beralun tenang. Kelihatan luka-luka di mukanya dan balutan yang menutupi hampir keseluruhan kepalanya.

"Akhi, kuatkan semangat, kami sentiasa mendoakan, insyaAllah"

"Hatim, kuatkan semangat!"

Dalam perjalanan pulang, sekitar pukul 9.00 malam, suami terima sms dari ikhwah Terengganu, seorang lagi ikhwah terlibat dengan kemalangan, juga bermotosikal, gara-gara mengantuk, lalu tersasar ke laluan bertentangan. Allahu Rabbi! Segera suami menghubungi ikhwah di sana untuk mendapatkan perkembangan terkini.

"Kuatkan semangat duhai syabab, semoga Allah melindungi kita, insyaAllah!"

Terasa hilang kepenatan apabila mendengar pelbagai berita duka dari ceruk daerah Tarbiyah dan negeri Dakwah. Jangan penat dulu, jangan sedih dulu, kerana kita perlu hantarkan semangat berganda kepada saudara kita yang dalam kesusahan! Inilah tarbiyah secara langsung Allah kepada kita tentang Ukhuwah, yang kita gembar-gemburkan dalam katibah, yang kita ulang-ulang dalam bulatan gumbira, yang kita sebut-sebutkan dalam daurah. Inilah medan amalnya, inilah ruang aplikasinya. Bila syahadah mengikat ukhuwah, maka hati-hati kita mengenal saudara bukan pada susur galur ataupun salah silah keluarga semata. Ukhuwah itu hidup dalam syahadah dan rabitah yang kita alunkan di setiap sujud dan rukuk kita. Subhanallah, indahnya berukhuwah kerana Allah!

Pagi ini (Isnin), sambil siangnya kembali kepada tugasan biasa, tiba-tiba terdengar pula khabar, salah seorang muallimah di sekolah tempat suami mengajar, dijemput Allah kembali ke sisiNya. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.

Awal-awal nikah dulu, bila ikut suami ke sekolah, selalu ada maullimah yang nak kenal, dan salah seorangnya Kak Mah ni. Alhamdulillah dia teringin nak jumpa, lalu suami jumpakan kami. Berborak panjang dengan dia, dan banyak pengajaran dapat dikutip dari bicaranya, akhlaknya, ceritanya. Damailah Kak Mah di sana, semoga berbahagia di sisi Allah, tunggulah ketibaan kami pula.

Ya Allah, inilah antara episod kedukaan kami. Pasti dan pasti, ada pengajaran bagi yang ingin memahami. Jadikanlah kami orang yang terbuka mata dan hatinya, untuk mengutip pengajaran dari setiap takdir dan ketentuanMu, agar tidak kami menjadi orang yang lalai dan rugi di sisiMu.

p/s:mari sama-sama kita doakan yang terbaik untuk dia, insyaAllah. Akhi, cepat sembuh, akak nak tunjuk entri ni pada kamu (T_T)



7 comments:

Ummiey Mithaliey said...

suka baca coretan Ayu..berselangseli dgn tazkirah..update selalu ye keadaan adik hatim..semoga dia cepat sembuh..

Ayu Zamani said...

insyaAllah, tq kak..

Nuh said...

rasa minggu ni agak panjang...even ana di Insaniah dapat berita bapa kepada kawan sekelas ana baru meninggal....

Авиценна said...

Lain orang lain ujian dalam hidupnya..
Moga hatim cepat sembuh dan stabil..amin..

Ainul T_T said...

Semoga Allah terus menguatkan hati mereka... Allah lebih sayangkan mereka dan inginkan mereka sentiasa ingat padanya... Muhasabah buat diri sendiri... Jazakillah Khair kak ayu atas tazkeerah ni...

Mutamainnalqulub said...

Alhamdulillah,syukran atas coretan akak ayu ni. Moga sahabat saya ini ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. InsyaAllah.

Mutamainnalqulub said...

Ya Allah,terasa kehilangan arwah Hatim bila mana tiada orang yang nak betulkan LCD @ laptop dlm kelas, gelak tawa, lawaknya bila buat pembentangan dalam kelas, suaranya membaca al-quran before pensyarah masuk & kesungguhannya dalam berdakwah.