Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, March 22, 2012

Sesegar sebuah kenangan, semalar untaian doa.

Assalamualaikum.

(Bagaimana harus memulakan bicara. Ya Allah- pinjamkan hamba secebis kekuatan)

Tengahari kelmarin (Rabu- 21 Mac 2012), berhajat untuk membelek artikel sebagai persiapan untuk kelas Research Method pada petang nanti. Tiba-tiba teringat pada Hatim. Bagaimana keadaannya sekarang? Kali terakhir kami menziarahinya adalah Ahad, 3 hari yang lalu. Ketika itu, keadannya agak kritikal, doktor tidak meletakkan sebarang harapan untuknya.

"Abang, nak nombor Mak cik Aina", sms saya kepada suami. Selama ini menghubungi mak cik dari telefon bimbit suami saja.

Sebaik mendapat nombor yang diminta, terus jari jemari menekan kekunci telefon.

"Assalamualaikum mak cik. Mak cik sihat? Macam mana keadaan Hatim hari ni, mak cik?", tanya saya sebaik salam disambut di hujung talian.

"Hatim sedang diuruskan untuk dibawa balik ke Alor Setar", jawab mak cik.

Dup.Dap.Dup.Dap.

Spontan, jantung berdegup kencang- seakan terasa ada sesuatu yang kurang baik berlaku. Kenapa hendak dibawa balik? Persoalan itu sekadar berlegar di benak fikiran saya.

"Kenapa mak cik?", soal saya lagi.

"Doktor kata dah tak ada harapan, mak cik minta untuk bawa dia balik", kata mak cik.

"Lepas tu macam mana mak cik, mesin sokongan hayat tu dibawa balik sekali ke?, saya pun tak pasti apakah patut saya tanyakan soalan ni, tapi saya ketika itu sangat cemas dan keliru.

"Mesin tu akan dibuka bila Hatim dibawa ke dalam ambulan nanti", terang mak cik, tidak pernah jemu melayan pertanyaan tentang keadaan anak sulungnya.

Apa akan jadi nanti? Apa akan jadi nanti? Janganlah..janganlah benar apa sangkaan saya, kerana yang saya fahami Hatim kini bergantung sepenuhnya kepada mesin tersebut. Kalau mesin tersebut dibuka? Ya Allah, saya tak sanggup nak terus membayangkan sangkaan-sangkaan yang berlegar memenuhi kotak fikiran. Sebak dada, tak terkira.

"Hatim akan dibawa balik ke kampung mak cik, di Kampung Alor Melintang, berdekatan Gunung Keriang, Jalan Sungai Baru", jelas mak cik sebelum mengakhiri perbualan.

Sebaik perbualan ditamatkan, jantung berdegup kencang, sejuk seluruh badan tiba-tiba. 

Apa nak buat? Apa nak buat? Hubungi suami!- spontan otak memberi arahan.

Dengan terketar-ketar, jari jemari mendail nombor telefon suami.

"Abang, abang dah tahu tentang Hatim?", tanya saya, sebaik mendengar suaranya.

"Abang, mak cik Aina kata, depa dah nak bawa Hatim balik, rumah nenek dia di Alor Setar", terus saya ceritakan. 

Sebaik menamatkan perbualan dengan suami, terus hantar sms kepada pak cik mak cik dan ikhwah akhwat, seramai mungkin! Juga segera mengemaskini maklumat terbaru tentang Hatim di fb sendiri dan fb suami. Emailkan juga berita yang baru diterima tadi ke beberapa yahoo group yang berkenaan. Semua ikhwah akhawat mesti tahu, mesti terus hantarkan doa untuk Hatim!

Sebaik berita tersebar, bertalu pertanyaan, sms, call, di telefon, email dan fb. Semuanya bertanyakan kenapa? bila? di mana? Tak terjawab segala persoalan oleh saya- sekadar memaklumkan apa yang diberitahu oleh mak cik. Tak ingin berspekulasi, tak ingin membuat andaian, selagi belum mendapat kepastian. Suami juga menasihatkan agar terus menunggu pengesahan selanjutnya dari mak ayah Hatim sendiri. Akur. Sabar menanti, sambil melayan pertanyaan sahabat-sahabat dan ikhwah akhawah dari segenap ceruk rantau negeri, yang ingin mendapatkan perkembangan terbaru tentang Hatim.Sungguh terasa- penantian itu satu penyeksaan!

Pukul 2.30 petang, bersiap untuk ke kelas. Dalam perjalanan, telefon 'menjerit', ada sms dari seorang akhawat, yang bertanggungjawab dalam membantu menguruskan pengumpulan sumbangan kewangan kepada Hatim dan keluarga. 

"Salam, betul ke ana dengar akhi Hatim dah kembali ke rahmatullah?", tertera sms di skrin telefon.

Terkesima. Sambil langkah diteruskan-semakin laju, jari jemari menekan punat-punat kekunci telefon, menghantar balasan kepada yang bertanya.

"Mana enti tahu? Sumber dari mana?", pertanyaannya saya balas dengan pertanyaan.

"Ada orang komen di blog enti", jawabnya ringkas.

"Ana dalam perjalanan ke kelas, sekejap lagi ana sahkan berita, insyaAllah", jawab saya.

Jauh di sudut hati, masih tak ingin mempercayai berita ini- tidak sehingga mendengar sendiri daripada sumber yang sahih. Atau sebenarnya ia sekadar alasan lantaran takut untuk menerima kenyataan? Masih ingin menaruh harapan? Ya Allah, andai benar dia sudah kembali kepangkuanMu tika ini, maka tempatkanlah dia di kalangan hambaMu yang beriman. Takdirkanlah yang terbaik untuknya, ya Allah.

Langkah terus dipercepatkan. Cuaca panas, langit cerah, tetapi guruh bergema memecah tenangnya suasana. Doa tidak putus dipanjatkan untuknya.

Sebaik tiba di kelas, terus laptop kecil dibuka. Layari internet, periksa komen-komen di fb dan blog. Ramai yang sudah mengucapkan takziah kepada keluarga Hatim. Benarkah? Benarkah? Hantar sms kepada pak cik-pakcik untuk dapatkan kepastian, namun tiada siapa yang dapat sahkan berita. Allahu Rabbi, terasa sangat teruji-ingin segera dapatkan status keadaan Hatim, namun tiada sesiapa yang dapat memberikan kepastian tentang apa yang terjadi.

"Akak sihat?", tanya adik sekelas.

"Akak ok, sihat Alhamdulillah", cuba menguntumkan senyum, yang saya sendiri tahu kurang 'gulanya'- tapi kenapa adik ni bertanya macam tu?

"Akak ok ke? Akak sedih ke?", tanya adik yang lain.

"Eh, kenapa tanya macam tu?", soal saya kembali.

"Tu, mata merah, berair", katanya.

Rupanya tanpa saya sedar, ketika saya melajukan langkah menuju ke kelas tadi, air mata saya turut turun laju.

Kelas bermula, jasad berada dalam kelas, spesifiknya dalam kumpulan kecil, membincangkan underpinning theory untuk kajian kami. Perkataan Resource-based View dan Contingency Theory berlegar dalam kepala, tetapi hakikatnya minda berada di awang-awangan, menjelajah jauh, terbayang ICU, terbayang wajah Hatim, mak cik Aina, ayah hatim dan adik-adiknya. Sepanjang kelas berjalan, sms, call, komen-komen di fb, blog dan email terus bertalu masuk. Prof. ligat menyampaikan ilmunya, namun semuanya kedengaran jauh dan samar! I'm so sorry, prof!

Tiada apa yang pasti ketika ini. Belum ingin percaya- selagi tidak mendengar sendiri dari mak cik Aina.

Kelas berakhir pukul 5.00 petang, sejam awal dari durasi sepatutnya. Adik-adik seakan memahami keadaan saya, lalu diterangkan semula assignment dan arahan prof tadi. Bergegas keluar dari kelas, terus cuba menghubungi mak cik Aina. Ingin dapatkan kepastian setelah pelbagai versi cerita disebarkan. Percubaan pertama gagal. Talian aktif, tetapi segera dimatikan. Mungkin mak cik sedang uruskan sesuatu yang penting kerana mak cik selalunya tidak keberatan untuk angkat telefon. 

30 minit berlalu. Cuba hubungi mak cik sekali lagi. Kali ini, tidak sampai 3 kali deringan, kedengaran suara mak cik dihujung talian.

"Mak cik, macam mana keadaan Hatim?", tanya saya.

"Hatim dah tak ada, pukul 4.02 petang tadi. Sekarang di hospital Alor Setar", katanya.

Innalillahi wainna ilahi rajiun

Berita disahkan. Akhirnya dia pergi jua..

Telah tiba akhirnya janji Allah. Telah tiba akhirnya keputusan Allah.

Tiba di rumah, terus maklumkan berita kepada suami, ikhwah akhawat melalui sms, fb dan email. Suami pulang. Bertalu sms dan call masuk, ke telefon saya dan suami, bertanyakan tentang berita yang baru diterima. Sambil suami melayan pertanyaan di telefonnya, saya segera ke dapur. Sambil menyiang ikan, sesekali menyambut panggilan telefon, sesekali membalas sms

Usai solat maghrib dan makan malam, kami bergerak mengambil ikhwah akhawat yang ingin turut serta menziarahi jenazah. Pukul 9.40 malam, kami sampai di perkarangan hospital, terus ke jabatan forensik. Di sana kelihatan ikhwah akhawat Pulau Pinang yang berkonvoi beberapa kereta, tiba lebih awal dari kami. Kelihatan juga keluarga Hatim, kenalan dan jiran. Pak cik mak cik, ikhwah akhawat Kubang Pasu dan Alor Setar turut menemani.

Sebaik bersalaman dengan mak cik, terus dia bercerita, "Mak cik minta nak bawa balik Hatim sebab mak cik rasa badan Hatim dah sejuk dah. Pukul 12.30 tengahari tadi pengarah beri kebenaran. Siapkan proses untuk keluar dari ICU, pukul 4.00 petang dalam ambulan, mesin sokongan hayat dibuka. Lebih kurang 4.02 petang, depa periksa nadi Hatim, dah tak ada. Di hujung hayat dia tu, mak cik rasa ada sentakan sikit di bahu dia. Mungkin sebab nak akhir nafas"

Tenang sangat mak cik bercerita. Tetamu yang datang dilayan dengan senyuman. Macam tulah mak cik Aina sejak Hatim dimasukkan ke ICU. Sesiapa yang datang ziarah semalam, pasti tidak akan menafikan perkara ini, kami yang datang ziarah beberapa kali ini pun merasa sangat kagum dengan ketenangan mak cik Aina. Dia sangat redha, dia sangat tenang, melepaskan anak kesayangannya kembali kepangkuan pemiliknya. Kuatnya, tabahnya hati seorang ibu.

Ketika kami tiba, kami dimaklumkan jenazah Hatim telah dibawa masuk pada pukul 9.00 malam untuk dijalankan bedah siasat, termasuk memasukkan kembali tempurung kepalanya yang dikeluarkan melalui pembedahan yang dilakukan ketika mula-mula terlibat dengan kemalangan dulu. 

Pada pukul 10.40 malam, pegawai yang bertugas di kaunter memanggil pak cik Jeffri (ayah Hatim), lalu menyerahkan beberapa dokumen. Pintu bilik mayat dibuka. Kelihatan sekujur tubuh berbalut kain putih terbaring kaku. Tetamu yang hadir mula berpusu-pusu masuk, sedekahkan doa dan Al-Fatihah buat arwah. 

11.05 malam, arwah dibawa ke dalam van jenazah yang kemudiannya meninggalkan perkarangan hospital menuju ke rumah nendanya di Kampung Alor Melintang, Alor Setar. Jenazah dijangka akan disemadikan pada pukul 11.00 pagi esok (hari ini: 22 Mac 2012).

Menurut suami, yang berpeluang menatap wajah arwah buat kali terakhir tadi, badan dan muka arwah tidak lagi membengkak, sebaliknya kembali sebagaimana wajah asalnya. Akhawat yang melakukan kujungan akhir di ICU hospital Sungai Petani juga menceritakan bahawa mak cik Aina memberitahu mereka, Hatim seolah sudah bersedia untuk pergi apabila wajahnya, badannya kembali sebagaimana asal- tidak lagi membengkak dan bau-bau harum berlegar sekitar tubuh arwah beberapa hari sebelum kembali ke rahmatullah. Mungkin itu jugalah yang memberi kekuatan kepada pak cik Jeffri dan mak cik Aina untuk melepaskan putera kesayangannya pergi.

Kami bergerak pulang sebaik jenazah dibawa pulang. Hanya kenangan yang mengekori perjalanan. Saya secara peribadi mengenali arwah sepanjang bergiat, bersama merancang gerak kerja dakwah di IPT. Arwah sememangnya seorang yang baik akhlaknya, sangat lembut dalam menutur patah-patah perkataan. Saya yakin, beliau juga seorang anak yang baik, abang yang baik, saudara yang baik dan sahabat yang baik. Ikhwah pastinya mempunyai kenangan yang lebih banyak untuk dikenang sepanjang bersama arwah. Kenangan beridah bersama, usrah bersama, bersukan bersama, berprogram dan beraktviti bersama.

Selamat jalan Hatim. Tibalah sudah saat perpisahan. Semoga damai Hatim di sana, dalam pelukan rahmat dan kasih sayang Allah. Tunggulah, kerana kami juga akan menyusulimu. Di sinilah noktahnya kehidupan di dunia ini untuk Hatim. Di sinilah noktahnya. NOKTAH.


Al-Fatihah..


Mak cik Aina yang sangat tabah & adik perempuan Hatim.


Jenazah sedia untuk dibawa pulang, ditemani ahli keluarga.


Bagi yang ingin mengikuti kisah Hatim dari awal, boleh ke entri Minggu Dukacita, "Hatim kena kuat" dan Dia pergi jua.

monolog: Dua minggu ini, atas sebab-sebab tertentu terasa begitu lama- kerana banyaknya perkara yang tersingkap, hinggap menjadi hikmah, singgah menjadi ibrah; atas sebab-sebab tertentu terasa begitu cepat- belum puas meletakkan harapan kepadaNya, belum banyak doa dihantar untuk Hatim, belum ingin berputus asa, namun itulah ketentuanNya, itulah keputusanNya, sesungguhnya Allah mendengar doa-doa kita, tahulah kita bahawa kembali ke sisiNya itulah lebih baik untuk saudara kita ini. Dia sudah menyahut seruan dan panggilan terakhirnya, kita pula bagaimana? Sudahkah bersedia? Semoga dua minggu yang tidak berapa lama ini mengajarkan kita sesuatu, menjadikan kita insan yang lebih baik, kepada Allah dan sekalian makhluknya, juga diri sendiri. InsyaAllah.

Jenazah dijangka akan dikebumikan jam 11.00 pagi ini. Sesegar sebuah kenangan yang tetap hidup rimbun dalam memori kita, biar juga doa-doa kita untuk arwah terus subur malar dalam sujud kita saban waktu.

-------------------------


Damailah di sana (22/3/2012- Kampung Alor Melintang)


Kerehatan yang abadi.


Tazkirah sebelum bacaan Talqin

No comments: