Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, March 26, 2012

Sekampung tak gosok gigi!

Tersebutlah kisah satu cerita. Ada sebuah syarikat, Syarikat Hidup Segan Mati Tak Mahu Sdn. Bhd. yang perniagaannya membuat dan memasarkan berus gigi jenama 'CallGet'. Satu hari, bos syarikat ni nak meluaskan empayar perniagaannya. Lalu dia mengarahkan pekerjanya, Encik Pessi dari jabatan pemasaran keluar ke sebuah kampung, Kampung Huha Huha namanya, untuk melakukan kajian kebolehpasaran produk mereka di sana.

Lalu berangkatlah Encik Pessi ini sebaik saja mendapat arahan dari bosnya, Miss SippiSippi. Sesampainya Encik Pessi di Kampung Huha Huha, didapatinya semua penduduk kampung itu tak gosok gigi! Erk. Setelah yakin dengan keputusan kajiannya, lalu kembalilah Encik Pessi ke pejabatnya semula, kemudian terus dia dengan yakinnya mengetuk pintu bilik Miss SippiSippi, dengan senyum kambingnya bersedia untuk membentangkan dapatan kajian- ala-ala viva gitu!

"Ehem, ehem.. Bos, setelah tiga hari dua malam saya berkampung di Kampung Huha Huha, bermacam cubaan dan dugaan saya telah hadapi namun berjaya diharungi dengan jayanya, termasuk digigit nyamuk betina yang playgirl, juga tidur dalam comforter yang tak berapa comfort, mandi air sejuk menggigil dek tiada water heater, makan pun masakan tradisional Melayu dengan purata 5 ke 6 kali sahaja, tiada chicken chop, apatah lagi lamb chop dan mushroom soup...." banyak songeh pulak Encik Pessi ni, nak 'kipas' bos la tu. (Amaran: Jangan tiru aksi ini di pejabat, ataupun luar pejabat!)

Tak sempat Encik Pessi habiskan ayat 'berangin" (akibat mengipas bos, baca: bodek!), tiba-tiba Miss SippiSippi mencelah.

"Straight to the point please!", ohoho.. akhirnya yang 'mengipas' yang 'berasap' (baca: termalu sendiri)

"Ok, begini bos. Saya mendapati semua penduduk Kampung Huha Huha tidak menggosok gigi. Jadinya dengan yakin saya membuat kesimpulan bahawa produk terlaris kita, yang dihasilkan oleh syarikat terglamour di Lang Buana ini, lebih-lebih lagi di bawah pimpinan bos paling berkakilebar, ops sori! berkaliber- ini (bodek lagi!) tidak akan berjaya dipasarkan di sana, memandangkan mereka semua tidak tahu pun apa itu berus gigi apatah lagi jenama 'CallGet' kita yang famous ini", panjang lebar kesimpulan Encik Pessi.

Papp! Miss SippiSippi menepuk meja dengan kuatnya! Serentak dengan suara boleh tahan nyaringnya, "Mana boleh! Saya tak puas hati dengan keputusan kamu!"

Akibat tidak berpuas hati dengan hasil kerja pekerjanya yang pertama tadi, Miss SippiSippi menghantar pula pekerja kedua, dari jabatan yang sama, untuk pergi ke kampung yang sama.(Huh, banyak sungguh yang samanya!)

Lalu pergilah pekerja kedua ini, Encik Oppi ke Kampung Huha Huha. Beliau masuk meninjau ke dalam kampung (tak macam Encik Pessi, intai kot tingkap hotel je. Huh!), berbual dengan penduduk kampung dan mendapatkan seberapa banyak pandangan mereka tentang produk yang bakal diperkenalkan nanti- cukup dengan Questionnaire lagi!

Setelah berpuas hati, lalu kembalilah Encik Oppi ke pejabatnya, bersedia dengan powerpoint slide siap dengan graf, descriptive statistic, ANOVA table dan segala macam statistik- tinggal tak buat Structured Equation Modelling (SEM) guna AMOS 16 je lagi! Heh!

Okeh, kita skip pembentangan Encik Oppi dari bab introduction, problem statement, research question, research hypothesis, literature review dan methodology, kita terus ke bahagian result ya- ini paling penting nih dalam kisah ni.

"Berdasarkan kajian ini, saya mendapati kita mempunyai peluang yang cerah untuk memasarkan produk kita di Kampung Huha Huha. Ini adalah kerana penduduk di sana, walaupun tidak pernah menggosok gigi, dan tidak mengenali berus gigi, apatah  lagi produk 'CallGet'  syarikat kita, namun mereka sangat berminat untuk mencubanya setelah diterangkan kebaikan menggosok gigi untuk kesihatan mereka. Tambahan pula di sana kita tidak akan mempunyai apa-apa persaingan dari syarikat lain", penuh berilmiah hujah Encik Oppi.

Tersengih-sengih Miss SippiSippi melihatkan pembentangan Encik Oppi, sambil dalam kepalanya berfikir-fikir untuk melantik Encik Oppi sebagai ketua projek untuk memasarkan produk ke Kampung Huha Huha ini. Ada juga bayangan yang samar makin jelas, untuk melantik Encik Oppi sebagai Ketua Jabatan Pemasaran, menggantikan ketua sedia ada yang suka ambil 'hadiah' bawah meja tu! (baca: rasuah).

Keluar dari bilik Miss SippiSippi, jam menunjukkan pukul 4.45 petang. Ada 15 minit lagi sebelum waktu bekerja tamat. Encik Pessi dari kejauhan menjeling Encik Oppi, geram! 

"Dah pukul 4.45 petang, ah tak sempat dah nak habiskan ni, aku berhenti dulu la buat semua kerja ni, esok sambung lagi", jerit hati Encik Pessi sambil jari jemari menekan kekunci komputer. Tap! Keluarlah kotak biru putih di skrin komputer- Facebook!

Encik Oppi pulak, sebaik sampai di ruang kerjanya, terus menyambung semula kerja-kerjanya yang berbaki, sebelum dipanggil oleh Miss SippiSippi tadi. " Oh, ada 15 minit lagi ni, sempat lagi nak habiska kerja-kerja ni. Esok boleh buat kerja lain", pantas tangannya menekan kekunci komputer di hadapannya.

----------------

Okeh! Cukup-cukuplah membebel kat atas ni. Sebenarnya, kisah di atas diadaptasi dan diubahsuai hasil daripada tazkirah Ukhti Teh, masa katibah Khamis lepas. Yang pastinya banyak la tokok-tambah menambah- nambah yang ditambah-tambah dalam cerita di atas. He he.

Apa yang nak disampaikan adalah, bagaimana 2 orang berbeza boleh melihat satu peristiwa atau keadaan yang sama dengan 2 perspektif yang berbeza. Encik Pessi merasakan Kampung Huha Huha tidak akan berjaya ditembusi oleh syarikat mereka, kerana mereka tidak menggosok gigi, sedangkan Encik Oppi pula berpendapat sebaliknya. 15 minit terakhir sebelum tamatnya waktu bekerja, Encik Pessi terus berhenti melakukan kerjanya sebaliknya Encik Oppi terus optimis (op, terbocor rahsia!heh!) untuk terus menyiapkan kerja-kerjanya. 

Dalam dunia nyata, siapa yang menjadi gambaran kita? Atau dalam bahasa mudahnya, kita adalah orang yang pesimis (seperti Encik Pessi) atau optimis (seperti Encik Oppi)?

Yang bestnya, kisah ini diambil dari buku 'Setengah Berisi, Setengah Kosong?' Apa yang menariknya? Gambar dan tajuk buku dah boleh uji, kita orang yang bagaimana. Jom, tengok kulit bukunya.




Okeh. Kalau kita tengok gambar di atas, kita kata gelas di atas setengah berisi ke setengah kosong? He he he.

Begitulah juga penerimaan dan sikap kita bila mendepani ujian. Orang yang pesimis akan melihat ujian sebagai musibah, sebaliknya orang yang optimis akan melihat ujian sebagai anugerah. Ayuhlah, kita bersangka baik dengan Allah, yakinlah dengan sifat Maha Pemurah dan Maha PenyayangNya. Tidaklah Dia mentakdirkan sesuatu dengan sia-sia atau bertujuan mencelakan hambaNya. Pasti dan pasti, setiap apa yang berlaku ada kebaikan untuk kita. Kalau kita melihat pemandangan dengan kaca mata yang berdebu, maka yang indah kelihatan jelek, yang terang tampak kusam. Lihatlah ujian yang datang sebagai tanda kasih sayangNya kepada kita, dan setiap apa yang hilang, Allah berkehendak untuk menggantikan yang lebih baik untuk kita.


Jom jadi mukmin sejati!

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidak lah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka  dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya.” - Hadith riwayat Muslim

Jadi, jangan sedih-sedih ya!

------------------------

Diari seminggu yang berlalu.

Jumaat dan Sabtu (16,17 Mac) lalu ada katibah dan daurah untuk Mustawa 03, macam biasa di Pejabat IKRAM Pulau Pinang. Katibah bincang tentang Surah Al-Kahfi. Ada 4 kisah di dalamnya. Bila digali-gali, rupanya surah ini bertemakan fitnah. Kisah pemuda Kahfi- fitnah agama. Kisah 2 pemilik kebun- fitnah harta. Kisah Nabi Musa dan Khaidir- fitnah ilmu. Kisah Dzulkarnanin- fitnah kekuasaan dan dajjal. Sangat menarik kupasannya. Tak tahu pun sebelum ni. hu hu.  Masa daurah pula, ustaz Rosli sampaikan tajuk Syura. Syura adalah salah satu unsur tetap IM- unsur ke-7. Syura ada 2 jenis- Mulzim dan Mu'lim. Kemudian ustaz Jali sampaikan tajuk Fitnah: Sunnah Ilahiyah, sekali lagi tentang tajuk Fitnah!- ada fitnah dalam dan luaran bagi jamaah dan apa yang jamaah serta ahli patut buat bila berhadapan dengan fitnah ini. Wah, semuanya sangat membuka mata, hati dan minda. Alhamdulillah! Habis daurah, malam tu meeting di Pejabat IKRAM Sungai Petani. Penat (=_=) tapi berbaloi-baloi! (^____^)

Selasa pulak (20 Mac) ada forum silang agama di UUM. Panel-panel adalah dari agama Budha, Hindu, Kristian dan Islam- diwakili Brother Shah Kirit Kalkulai Godvinji. Sangat menarik dan 'panas' jugak! Apapun bagi saya, selain isi yang disampaikan, panel-panel tersebut juga sebenarnya menjadi bahan dakwah pada hari tersebut. Hujah, penampilan dan penyampaian mereka hari tu diperhatikan oleh ratusan pasang mata dalam dewan besar tersebut. Dapat berita gembira- seorang lagi adik (Nur) revert kepada Islam, Alhamdulillah. Malam tu pertemukan Sumayyah (Susan), Iman (Karen) dan Nur (Tan Mei Shan).

Rabu (21 Mac). Dia pergi jua... (T_T)

Khamis, Jumaat (22, 23 Mac). Ada katibah untuk 02. Kami yang 03 jadi AJK sekali dengan peserta sekali lah! 2 in 1! Tema katibah- Sabar! Kami belajar jenis, pembahagian dan adab sabar. Sabar sebelum, semasa dan selepas ditimpa ujian! Kultum subuh esoknya tentang sekampung tak gosok gigi ni.he he. Pagi balik ke Sintok, ada kelas. Kelas pun best, walaupun assignment banyak (@_@) Petangnya sambung balik daurah- Mukaddimah Usul 20. Best Alhamdulillah, sangat tak sabar nak telusuri satu persatu usul-usul tu. Pak cik buat kami suspens lah dengan mukaddimah tu!

Diari seminggu akan datang.

Malam ni (26 Mac) ada program Palestin di UUM. Antara panelisnya adalah pak cik Wahab, Aqsa Syarif. Abang, jangan lupa ya janji nak dating di sana malam ni.

Selasa (27 Mac). Usrah. Adik-adik, bersedia dengan pembentangannya ya. he he he.

Rabu (28 Mac), kami rancang nak ziarah keluarga Hatim, sambil sampaikan sumbangan kewangan yang ikhwah akhawat salurkan baru-baru ini. Siapa nak ikut?

Khamis (29 Mac). Program Syria pulak, di UUM. Jom..jom.. tunjukkan solidariti dan kebersamaan kita dengan saudara di sana. 

Jumaat (30 Mac). Kelas. Usrah. Ada program Global March To Jerusalem di USM. Jom, bang?

Sabtu (31 Mac). Daurah Tarbiyah siasah siri 2. Untuk mustawa 02 Qawiy ke atas. Jom.Jom. Siasah sebahagian Islam. Islam kan syumul, menyeluruh!

"Ya Allah, pilihlah kami dalam barisan tentera-tenteraMu. Pilihlah kami menjadi sebahagian mata rantai, penyambung usaha dakwah rasul-rasulMu. Hidupkanlah kami dan matikanlah kami dalam agamaMu, dengan redhaMu"



2 comments:

Anonymous said...

aminn.. bernas!!! teringin nak join program2 macam tu.. di kl ni ade ke k.ayu?

Ayu Zamani said...

ada2.. meh inbox kat fb akak..