Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, March 29, 2012

Kisahnya belum tamat..

Kelmarin, petang. Terdengar suara memberi salam di muka pintu.

"Awalnya masak", sapanya dengan dengan beg plastik berisi ayam dan sayur-sayuran di kiri kanan tangan.

"Abang kan kata nak pergi ziarah ustaz Borhan dengan keluarga arwah Hatim petang ni", jawab saya.

"Kita pergi ziarah ustaz Borhan dulu petang ni, malam nanti baru kita ke rumah Pak cik Jeffri ya", kata suami.

Saya sekadar membalas dengan senyuman, sambil terus menyiapkan hidangan.

Lewat petang, kami bergerak keluar. Sasaran kami adalah Hospital Alor Setar. Hujan lebat turun mencurah. Hampir tak kelihatan pemandangan di hadapan.

"Abang, kita slow-slow dah la, hujan lebat ni", saya mengingatkan, risau. Suami terus memfokuskan perhatian kepada pemanduannya.

Sampai di Hospital Alor Setar, kami terus ke wad lelaki. Cari nama di luar pintu, tak kelihatan pun nama ustaz Borhan. Jenguk ke dalam wad, juga tak kelihatan kelibat ustaz ataupun orang-orang yang dikenali. Terus suami mencapai telefon bimbitnya. Beberapa ketika kedengaran dia bercakap dengan seseorang di hujung talian.

"Jom", ajak suami sambil tangannya mencapai tangan saya- terkedek-kedek saya mengikut di belakangnya.

"Ke mana bang?", tanya saya, hairan.

"Ustaz Borhan dah dipindahkan ke KMC (Kedah Medical Centre)", jawabnya ringkas sambil mempercepatkan langkah lalu memaksa saya turut mengatur langkah panjang.

Hampir Maghrib, kami sampai di KMC, terus menuju ke wad ustaz Borhan ditempatkan. Dr Rosli dengan zaujahnya Dr Salmee, serta beberapa orang tetamu turut kelihatan bersama Kak Ros, zaujah ustaz Borhan. Keadaan ustaz Borhan agak lemah, katanya kerana kesan ubat tahan sakit yang diberikan oleh doktor. Sebelah matanya lebam, manakala kakinya patah. Ustaz Borhan dipindahkan ke KMC untuk mempercepatkan pembedahan untuk merawat tulang kakinya yang patah, memandangkan Hospital Alor Setar tidak dapat memberikan tarikh yang sesuai untuk pembedahan- queue panjang sangat! Khabarnya pagi tadi doktor di KMC akan melakukan pembedahan ke atas ustaz. Semoga Allah permudahkan urusan ustaz, dan memberikan kesembuhan supaya dapat kembali menjalankan gerak kerja dakwah.


Ustaz Borhan, ketika di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Selepas seketika berbual dan bertanya khabar, kami meminta diri untuk ke destinasi seterusnya. Usai solat Maghrib di surau KMC, kami terus bergerak mengambil beberapa ikhwah yang nak ikut serta ke rumah pak cik Jeffri. Kami seterusnya berkumpul di Masjid A'la, solat Isyak sambil menunggu 2 buah lagi kereta akhawat yang nak konvoi bersama ke Taman Suria, rumah keluarga arwah Hatim.

Hampir pukul 9.30 malam, kami sampai di rumah pak cik Jeffri sekeluarga. Rupa-rupanya ada tetamu lain juga yang datang berkunjung. Banyak perkara yang dikongsi oleh mak cik, sepanjang lebih sejam di rumah mereka. Saya pada awalnya tidak berhasrat untuk meminta mak cik membuka kisah tentang arwah anakandanya- bimbang mak cik akan rasa sedih semula, namun sebaik salah seorang antara kami bertanya, terus mak cik bercerita.


Rancak mak cik bercerita.

Banyak kisah-kisah yang tidak saya dengari dari ziarah -ziarah terdahulu. Mak cik ucapkan terima kasih sebab saya menukilkan kisah anakandanya dalam blog. Mak cik sebak bila membaca semula kronologi kisah arwah. Pak cik dan mak cik siap print lagi entri tentang arwah Hatim, lalu dibawa ke sekolah untuk bacaan kawan-kawan mereka. Saya harap usaha kecil saya bermanfaat untuk keluarga arwah (T_T)


Entri yang diprint untuk bacaan tetamu dan rakan-rakan.

Cerita mak cik, beberapa hari sebelum arwah meninggal dunia, mak cik dan pak cik bertemu dengan seorang pak cik yang sangat istimewa. Istimewa bagaimana? Kata mak cik, bila dia lihat rumput yang panjang di sekitar rumah pak cik Wahab (Cinta Sayang Resort), yang ditumpangi mereka selama menemani Hatim di hospital, mak cik nak sangat kalau boleh potong rumput-rumput tu. Tapi katanya, rumah tu tiada mesin pemotong rumput, rumah mereka di Jitra adalah, tapi jauh sangat nak bawa ke Sungai Petani ni.

Dalam hati saya, ya Allah hati apakah yang dimiliki keluarga ini? Sedang dalam rungsing memikirkan anak yang sedang terlantar sakit pun, masih sempat fikirkan untuk buat kebaikan kepada orang lain. Allahu Rabbi (T_T)

Sambung mak cik lagi, selang beberapa hari kemudian, mak cik terlihat kelibat seorang tua sedang memotong rumput di rumah sebelah. Pak cik minta tolong pak cik tersebut untuk potongkan rumput di halaman rumah yang mereka tumpangi. Bila ditanya berapa upahnya, pak cik tadi menjawab,

"RM 40, RM 20 saya guna untuk beli minyak mesin ni, RM 20 lagi saya sumbang kepada PERKIM"

Allahu Allah..

Pak cik tukang mesin rumput tadi bukan calang-calang orangnya, lulusan luar negara, teman kepada beberapa orang besar negara. Sebaik pencen, dia memilih untuk bekerja sebagai pemotong rumput! Lebih mengharukan tidak dia ambil sesen pun dari hasil kerjanya, sebaliknya disumbangkan kepada PERKIM. Katanya itulah kerja kebajikan yang dia boleh buat untuk jawab depan Allah nanti.

Allahu Allah..

Mati kata-kata saya mendengarkan cerita mak cik. Kita yang muda? Apa sumbangan kita kepada agama? (T_T)

Mendengarkan jawapan pak cik tadi, pak cik Jeffri sengaja membayar RM 50 kepadanya. Walaubagaimanapun pak cik pemotong rumput tadi pulangkan balik RM 10 kepada pak cik Jeffri bila mengetahui pak cik sekeluarga sedang menemani anaknya yang terlantar sakit di hospital. Pak cik tadi minta pak cik Jeffri belikan air mineral dengan duit RM 10 tadi, kemudian dibacakan satu ayat, lalu disuapkan ke mulut Hatim.


Inilah ayat yang dimaksudkan.

Pak cik yang baik hati tadi tu juga berjanji akan mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin untuk Hatim. Inilah istimewanya pak cik tadi, selain usaha gigihnya dalam kerja kebajikan, dia juga melayan keluarga pak cik Jeffri seolah mereka telah lama berkenalan!

Mak cik cerita lagi, bukan mudah mereka nak buat keputusan untuk buka alat sokongan hayat yang dipasang pada Hatim. Hingga ada yang tidak memahami, mencemuh dan mempersoalkan tindakan mereka yang seolah nak menamatkan riwayat hidup anak sendiri, seakan tidak sayang pada anak sendiri! Mak cik sangat terpukul dan terkejut dengan kata-kata yang dihamburkan hingga membuatkan mak cik tertanya-tanya dan meragui tindakan yang bakal mereka ambil.  Bayangkan, apa perasaan seorang ayah dan ibu waktu itu. Berbelah bahagi antara membiarkan anak kesayangan berterusan menderita, atau melepaskan dia pergi kepada Tuhannya. Allahu Rabbi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, hati yang menanggung! Namun berkat solat sunat istikharah, tanya pada yang pakar dan perbincangan dengan ahli keluarga, akhirnya Allah menguatkan hati mereka untuk meneruskan tindakan tersebut- bukan kerana tidak sayang bahkan kerana terlalu sayang! (T_T)

Saat-saat terakhir sebelum mesin ditanggalkan, mak cik sedaya upaya cuba mengawal perasaan. Ibu mana yang tidak sedih. Hampir goyah- namun Alhamdulillah Allah menggerakkan hati seorang akhawat untuk menghantar satu sms yang akhirnya menguatkan kembali semangat mak cik untuk melepaskan anak kesayangan pergi menemui Ilahi. Sms tersebut hanyalah asbab, tetapi Allahlah yang sebenarnya telah memujuk mak cik agar meredhai pemergian arwah. Mak cik rasa amat bersyukur dengan nikmat jamaah dan ukhuwah kurniaan Allah.

Bila arwah telah menghembuskan nafas terakhir, mak cik teringin untuk menciumnya buat kali terakhir. Diciumnya wajah dan tubuh si anak. Bau wangi bunga melur berlegar di sekitar tubuh arwah. Semoga itu petanda yang baik untuknya.

Tidak sedikit cubaan dan ujian sepanjang 3 minggu yang genting itu, tetapi Alhamdulillah Allah permudahkan semuanya. Mak cik dan pak cik berterusan berdoa agar dipermudahkan urusan arwah dan mereka. Doktor-doktor yang baik, pegawai polis yang membantu, sahabat-sahabat dan saudara mara yang tidak putus-putus mendoakan dan menghulurkan sumbangan, samada kewangan mahupun tenaga. Mak cik kata, benarlah janji Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5dan 6.


Setiap kesukaran disertai kemudahan.


Walaupun Allah menguji keluarga arwah dengan ujian yang berat, namun Allah permudahkan urusan mereka yang lainnya.

Kata mak cik lagi, kita selalu lalai dan sambil lewa dalam berdoa. Kita main-main dalam berdoa! Tetapi apabila didatangi ujian, ketika itulah kita rasa nikmatnya, khusyuknya, ikhlasnya dan bersungguhnya kita melantunkan doa-doa kita, merayu supaya Allah mendengar dan memakbulkan. Allah, terasa sangat terpukul di situ!

Dulu bila baca ayat 2-3 surah Al-Ankabut, mak cik kata dia rasa takut sangat. Ujian macam manalah yang akan datang, sebab Allah kata Dia pasti akan menguji, untuk melihat iman kita, menapis taqwa kita, menduga redha kita. 

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;”Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.”
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Bila diuji dengan peristiwa ini, maka tahulah mak cik, inilah yang dijanjikan Allah, inilah yang dikatakan Allah dalam Al-Quran. Setiap dari kita akan diuji, hanya saja bentuk ujiannya berbeza, namun tetap dalam tahap kemampuan kita kerana tidak Allah menguji seseorang hamba itu melainkan dia mampu mengharunginya.

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
-Surah Al-Baqarah ayat 286


Mak cik terus bercerita. Suami dah bagi hint untuk pulang. Saya menjeling pada jam di dinding rumah mak cik. Pukul 10.30 malam. Laksa sudah habis dipinggan, capati juga dah terusik. Kelihatan suami menyampaikan sumbangan kepada pak cik Jeffri, daripada tabung AIDD (Akhawat Ikhwah Donation Drive), hasil sumbangan ikhwah akhawat seluruh negara. Alhamdulillah, terlangsai sudah amanah kami.




Antara kata-kata akhir yang saya ingat sebelum kami berpisah malam tu, mak cik kata, "Hidup ni macam mimpi, main-main saja" Banyak yang kami dapat, terlalu banyak untuk diingat dan difikir, diambil pengajaran dan panduan. Saya tidak berniat untuk membuat sebarang kesimpulan dari apa yang telah mak cik kongsikan. Saya serahkan kepada anda untuk menggali dan mendapatkan pengajarannya.

Usai masuk ke dalam perut kereta, suami mengusik, "Amboi, sempat berusrah dengan mak cik ya tadi".

Saya tersenyum menjawab usikannya.

"Nanti bolehlah kongsi dalam blog, tu banyak dah dapat point", dia menambah lagi.

"Kali ni abang la tulis pulak ya", usik saya kembali. Kali ini suami pulak yang tersenyum.

Saga biru kami terus membelah kepekatan malam. Dia sudah kembali, kita bilakah nanti? Kisahnya belum tamat. Kisah kita juga belum tamat. Kisah dia dan kita akan hanya tamat bila mentari terbit di ufuk Barat. Tika itu tiada siapa mampu menjadi penyelamat, melainkan amal yang telah kita perbuat.


-----------------


Petang tadi suami sapa di inbox fb.

"Salam. Buka fb mak cik Yati. Tengok komen saya pada mak cik dan reply dari mak cik"

Saya printscreenkan apa yang suami maksudkan.





Selamat berfikir- dan beramal!

monolog: saya sangat kagum dengan tarbiyah Allah kepada pak cik Jeffri dan mak cik Aina. Saya sangat kagum dengan tarbiyah pak cik Jeffri dan mak cik Aina kepada anak-anaknya. Semoga kami seteguh mereka, insyaAllah!



4 comments:

abe kik said...

sangat terkesan, sangat kagum.. walau x mengenali arwah dan keluarga. jzkk atas perkongsian ini.

Ayu Zamani said...

yg baik dari Allah, semoga kita dapat manfaatnya insyaAllah..

Mohd Hisham Mohd Sharif said...

Salam,

Terima kasih Ayu atas perkongsian-perkongsian yang begitu bermakna. Teruskan coretan untuk mendidik ummah. Saya pautkan blog ini di blog saya agar rakan-rakan saya di Adelaide juga dapat membacanya.

Sampaikan salam saya pada suami, Akh Razman, teman seperjuangan saya dulu.

Salam dari Adelaide, South Australia

Hisham Sharif

Ayu Zamani said...

W'salam..

Terima kasih akhi Hisham kerana sudi singgah.. Mohon tegur yang mana kurang, yang mana salah..

InsyaAllah, saya akan sampaikan salam akhi kepada suami.