Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, March 8, 2012

"..tak baca Bismillah kot.."

Assalamualaikum.

Babak 1- Satu hari, beberapa tahun yang lalu.

"Ayu, Dr H minta hantarkan buku dia ke library. Ayu boleh tolong? Buku tu ada di pejabat dia", pinta Dr A.

Ambil kunci dengan Dr A, kemudian dengan senang hatinya saya memanjat tingkat 3 bangunan yang berhampiran Taman Herba tu. Sampai di depan pintu. Tertera nama Dr H di pintu, searas dengan dahi saya. Selongkar beg tangan hitam (oh masa tu belum nikah, jadi beg tangan coklat-putih belum wujud.. he he), lalu keluarkan kunci. Terus, dicucuk kunci ke tombolnya (eh-tiba-tiba teringat analogi kunci & mangga tentang jodoh yang ditulis di fb dulu). Tolak kunci ke lubang tombol. Masuk. Pusing anak kunci ke kiri. Tolak pintu, tapi gagal- pintu tak terbuka. 

"Iskh, kenapa tak terbuka juga pintu?", saya membebel pada diri sendiri.  

Pusing anak kunci ke kanan pula. Hasilnya sama- gagal dibuka! Keluarkan kunci, tukar up-side-down. Cuba masukkan kunci balik, tapi langsung tak dapat masuk- adui lagilah! Nampak sangat yang tadi dah betul. Tapi kenapa tak terbuka pulak pintunya?

Dua tiga kali cuba dan cuba. Dari 5 minit ke 10 minit ke 15 minit, akhirnya hampir setengah jam juga tercegat di depan pintu tu. Sesekali menjeling ke kiri kanan, melihat-lihat orang-orang yang lalu lalang. Tak harapkan bantuan, cuma segan juga lah, nampak sangat bukan pemilik bilik ni. Akhirnya, angkat bendera putih (baca: putus asa!). Keluarkan telefon. Hantar sms kepada Dr. A.

"Salam, dr. I've tried so many times, still can't open the door. Is this the right key?"- ho..ho.. tergeliat menaip setelah di beri 'amaran' oleh Dr A untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam sebarang bentuk komunikasi dengannya. Praktis, praktis, katanya.

Menapak turun dari bangunan itu, setelah mendapat balasan dari Dr A tentang kunci tersebut (memang kuncinya, cuma mungkin saya tak pandai buka).

Beberapa bulan selepas itu, ada perbincangan dengan Dr. A dan Dr. H. Bila diberitahu tentang kunci tu, Dr H spontan berkata, "Tak baca Bismillah kot".

Hu hu, tiba-tiba keliru, baca ke tak ya? (maklumlah dah berbulan kot, mana ingat dah waktu tu baca tak). Tapi yang penting, terPAAAANGGGG! kat situ.

Babak 2- Suatu hari yang lain, beberapa bulan lalu.

Hari dah lewat petang. Di rumah Tok hanya ada Tok, saya dan suami. Kain dah diangkat dari ampaian, lampu ruang tengah dah di buka. Tok sedang membaca Al-Quran di dalam biliknya. Suami bersantai depan TV di dapur. Mulanya saya ikut serta dengan suami, tercongok depan TV. Kemudian saya bingkas, tutup semua tingkap yang terbuka. Satu persatu ditutup. Sampai di satu tingkap ni, jenuh ditarik, tak bergerak-gerak. 

"Iskh, kenapa susah sangat ni. Buka senang pulak", saya mengomel sendirian.

Baru nak panggil suami, tengok-tengok dia dah ada kat belakang- wah ala-ala filem Titanic gitu, dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup dari tingkap di depan ni, cuma tinggal tak depakan dua-dua tangan je- BERANGAN!! Hik..hik..

"Abang, tolong jap tutupkan tingkap ni, susah la pulak", adu saya.

"Ha, tak baca Bismillah kot ni", usik suami.

 Dengan sekali tarik, PRAAAPP! Tertutuplah tingkap tu seperti sedia kalanya.

"Eh, tak baca bismillah ke tadi?", tanya saya pada diri sendiri, sambil memandang suami yang tersengih berlalu pergi.

Babak 3- Suatu hari, kerapkali berulang 'hari' ini.

Usai melambai kepada suami yang berlalu dengan Saga birunya, saya menapak ke lobi pejabat, menuju ke 'mesin ibu jari'- jenuh letak ibu jari, sekejap kiri, sekejap kanan- nasib baik tak letak semua jari!, tak dapat juga dibaca oleh mesin tu. "Access Denied!", mesin tu 'menjerit'. Selepas beberapa kali cuba, terasa 'hangat' la juga. Tarik nafas panjang-panjang, hembus perlahan-lahan- macam yoga ke pulak! Baca Bismillah, letak jari selembut dan sesopan boleh ke atas scanner tu. TINGG! "Acess Granted", katanya. Lega. Lalu dengan perasaan 'gumbira'nya berlalu ke lif yang sedia menanti (ye la, lif takkan nak lari ke sana sini ye tak? he he).

Bismillah sebelum menapak ke dalam lif, Bismillah juga setelah masuk ke pejabat.

Ok. Apa pengajarannya? Bak kata orang putih- moral of the stories?

Tentulah tentang Bismillah. Nampak kecil, remeh saja. Tapi kalau kita faham, sebenarnya impaknya cukup besar. Sebab yang kita sebut (atau tak sebut atau lupa sebut) tu adalah nama Allah, Tuhan yang Maha segala-galanya. Kalau bercakap tentang suatu kuasa yang Maha Hebat, dah tentulah apa saja yang berkaitan dengannya juga hebat dan penting!

Alah, macam kita pergi majlis rasmi la, contohnya majlis dengan Yang Dipertuan Agong. Kalau perasan, setiap kali sesiapa saja nak bagi ucapan, mesti sebut nama beliau, seakan-akan nak minta izin atau maklumkan tindakan kita. "Izinkan patik.. bla..bla..bla.."

Ha, kalau Allah lebih-lebih lagi la. Seharusnya setiap benda kita buat hendaklah dimulai dengan menyebut nama Allah. Contohnya ayat pertama dalam surah Al-Fatihah, mengikut Abu Jarir, 

"Sesungguhnya Allah mendidik nabi-Nya Muhammad s.a.w. dalam melakukan segala pekerjaan hendaklah dimulakan dengan nama-nama-Nya yang mulia dan dijadikan sunah bagi sekalian makhluk-Nya sama ada percakapan, surat, kitab dan hajat-hajat"

Dalam hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah pula, daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya :

"Setiap sesuatu yang tidak dimulakan dengan basmalah, ia akan terputus"

Hadis ini dihasankan oleh an-Nawawi, maksud `terputus’ di sini adalah dicabut daripada kebaikan dan berkat.

Oh.. patutlah. Macam tu rupanya Allah mendidik nabi dan kita. Mulakan pekerjaan dengan nama Allah, supaya kita dapat kebaikan dan keberkatan. Erm, kalau ikutkan, tak lah susah nak sebut, cuma kadang-kadang kita terlupa. Tapi kata orang, alah bisa tegal biasa. Kena selalu buat, baru jadi tabiat. Tak nak ke kita, berkat dan redha Allah?

Pernah juga dengar, kalau nak tahu apa yang kita nak buat tu baik atau tak, tengok pada sanggup ke tak sanggup baca Bismillah di awalnya. Contoh, nak mencuri- ada ke orang baca Bismillah? Ha, kiranya Bismillah ni jadi pelindung jugak la ya- selain melindungi kita dari iblis syaitan serta gangguan lainnya, ia jugak melindungi kita dari niat jahat kita. Subhanallah.

Jadi, jom lah kita, azam untuk memulakan apa saja usaha kita dengan nama Allah, insyaAllah. Boleh?? (^____^)

p/s: selalunya, kalau terlupa nak baca Bismillah di awal sesuatu tindakan, saya akan baca Bismillahi awwaluhu wa akhirahu (bismillah dari awal hingga akhir), sebaik saja teringat. Kemudian diikuti dengan istighfar dan La Haula Wala Quwwata Illa Billah (tiada daya dan kekuatan melainkan kekuatan Allah).



monolog: jangan pandang remeh pada usaha yang kecil. Kerana usaha yang kecil itu mungkin besar nilainya pada pandangan Allah. Jangan merasa megah dengan usaha yang besar. Kerana usaha yang besar itu belum tentu nilainya pada pandangan Allah. Berbuatlah kebaikan dengan ikhlas, dengan keyakinan bahawa Allahlah sebaik-baik pembalas.




1 comment:

Ummiey Mithaliey said...

nice artikel..alhamduliLlah Allah bagi bakat pada ayu utk menulis..