Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Saturday, March 24, 2012

Dari tinta seorang ayah (Pak cik Jeffri, ayah arwah Hatim)

Monolog: hasrat dihati adalah untuk menoktahkan kisah Hatim hanya pada entri lalu (Sesegar sebuah kenangan, semalar untaian doa). Bukan kerana sudah kehabisan cerita, namun kerana terlalu banyak untuk diceritakan. Namun Allah mentakdirkan sesuatu yang lain. Peristiwa hari ini menggerakkan hati untuk terus menukilkan, selagi ada pengajaran, terutama untuk kita yang telah ditinggalkan. Selamat membaca dan menggali hikmah.

-------------------------------

Hari ni ada di rumah Tok. Usai daurah semalam, shopping barang-barang dapur sikit, kemudian terus bergegas ke rumah Tok. Rasanya dah agak lama tak bermalam di rumah Tok, dua tiga minggu ni memang sibuknya lebih dari biasa. Ya Allah, sibukkanlah kami dengan perkara-perkara kebaikan.

Lepas temankan Tok sarapan, jemur kain di ampaian, sapu yang mana patut, sambil-sambil tengok lauk mentah untuk masak tengahari nanti. Suami keluar hantar kereta ke pusat servis. 

Tak lama kemudian,suami balik. Tok ada di ruang tamu, mengaji. Suami terus mendapatkan saya yang berada di dapur.

"Tadi pak cik Jeffri telefon", kata suami membuka bicara.

Saya mendengar, menadah telinga, sambil menunggu suami meneruskan cerita.

"Pak cik kata dia baca cerita Hatim dalam blog", sambung suami.

"Hah, ye ke bang? Apa yang pak cik kata?", saya terkejut, lebih kepada risau. Risau kalau-kalau ada ayat-ayat dan bait-bait kata yang dinukilkan dalam teratak maya saya mengguris hati keluarga Hatim. Tambahan, saya tak sangka pak cik akan membaca coretan dalam blog saya ni.

"Pak cik kata, terima kasih sebab tulis tentang Hatim. Ada banyak perkara yang tak tertulis (oleh saya) dalam blog tu", cerita suami.

Ya, saya akui. Memang banyak yang tidak terlakar di sini, dengan hanya ziarah saya yang tidak sekerap mana, pastinya banyak kisah dan cerita yang saya ketinggalan.  Namun saya amat berbesar hati apabila mengetahui pak cik sudi menelefon suami untuk berkongsikan kisah anakandanya yang dikasihi.

Melalui email suami, pak cik titipkan tintanya. Bukan niatnya untuk mendabik dada, jauh sekali untuk menjaja cerita. Pak cik menulis sebagai penghargaan kepada semua yang membaca dan mengikuti kisah anaknya, yang mendoakan mereka, dari setiap pelusuk dan ceruk berada. Pak cik berharap moga-moga pemergian anaknya memberi pengajaran kepada kita semua. Saya serahkan tinta ayahanda Hatim yang diamanahkan kepada kami, untuk disampaikan khusus untuk anda semua, yang membaca. Tinta ini dikekalkan keasliannya, tanpa ada sebarang perubahan.

---------------------------

TANDA-TANDA KEBESARAN ALLAH SEPANJANG 3 MINGGU BERSAMA ARWAH.

Tanda-tanda kebesaran Allah yang ditunjukkan sebagai pengiktibaran bagi kita insan yang masih hidup agar dapat mendekatkan diri kepada Allah seperti:
-Saat akhir sebelum meninggal dunia anakanda Hatim pergi mendengar ceramah Palestin Al-Aqsa di Sekolah Rendah Al-Azhar malam. (Sebelum ini dia selalu menyebut ingin mati syahid)
-Jatuh eksiden di Km 92 Sg .Lalang Sp 2/3/2012 (Khamis sebelum subuh) dan meninggal di tempat/ kawasan  yang sama/ berdekatan  pada 21/3/2012 jam 4.02 petang di dalam perjalanan pulang ke Alor Setar di dalam van ambulans.
-beberapa individu seperti emak, adik, rakan dan keluarga bermimpi (contoh oleh adik bongsunya khadijah: dengan menceritakan Hatim sedar sihat dengan berjubah putih dengan muka bercahaya berpesan agar emak dan ayahnya tidak risau akannya dimana dia sedang bermimpi yang indah-indah dan menyatakan ingin pergi solat)
-tidak mempunyai najis (buang air besar sejak masuk wad hingga dimandi/kafan)
-muka bercahaya2 dan badan berbau harum wangi pada malam kedua terakhir semasa dibacakan yassin
-semua luka-luka di anggota muka dan badan sembuh seperti biasa
-kepala,tangan,badan yang bengkak susut dan berubah seperti asal sebelum dimandikan
-semasa dimandikan anggota badan,tangan lembut mudah digerakkan tidak seperti kebiasaan mayat yang lain.
-awan berarak mendung meneduhi kawasan perkuburan semasa talqin dan doa dibacakan walhal pada masa itu waktu tengahari dengan cuaca yang terik.
-salah seorang tuan guru pondok yang datang untuk menyembahyangkan solat jenazah pada asalnya terlalu  uzur pada hari itu tetapi apabila diberitahu untuk mengadakan solat jenazah untuk arwah .Beliau berasa sihat dan segera pergi bersama-sama menunaikan solat dan menanyakan kepada salah seorang penduduk kampung tentang apakah amalan baik yang biasa dibuat oleh arwah semasa hidup dan menyatakan arwah ada sesuatu amalan mulia yang Allah terima darinya.  
-serta banyak lagi pertolongan Allah yang tidak disangka-sangka membantu memudahkan ayah ibu dan keluarganya sepanjang menghadapi saat genting ini yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata , ucapan dan catatan.
MOGA ROHNYA DIRAHMATI ALLAH DAN BERSAMA-SAMA DI TEMPATKAN DI SYURGA BERSAMA PARA NABI DAN RASUL SERTA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.
TANDA-TANDA DAN AMALAN ARWAH SEBELUM MENINGGAL SEBAGAI IKTIBAR BAGI YANG HIDUP.
-masuk askar wataniah untuk mati syahid selalu disebut/bual kepada ibu dan ayah
-rajin pergi program agama seperti kuliah, daurah, ceramah agama
-solat jemaah di surau/masjid
-sanggup menyusahkan diri untuk orang lain tetapi tidak mahu dirinya menyusahkan orang lain.
-suka melihat video filem drama pendek yang dihasilkan bersama rakan2 bertajuk janji kita (tentang kematian)
-beliau memberitahu kepada ibu dan bapanya bahawa dia ingin berkawan dengan rakan2 team motor bike adalah untuk menarik mereka kearah kebaikan.bukan tujuan untuk berseronok2/ membuang masa/ lagha, jika tidak siapa yang akan menjalankan tugas tersebut.
-suka menolong seseorang sebaik mungkin tanpa harap pujian/upah
-tidak mahu menyebabkan ayah/ ibu kecil hati walaupun dalam perkara2 kecil
-setiap kali balik ke rumah dari ipda akan bersalam dengan ibubapa (amalan sejak dari kecil lagi)
-tidak suka mencerita keaiban orang lain. Jika kita ada melakukan perkara tersebut dia akan menegur kita pada masa itu jugak sebagai tazkirah.
-banyak berkorban demi kejayaan adik2 (sejak kecil lagi: sanggup beralah dalam banyak perkara agar adik tidak kecil hati)
 Wallahu a’lam
Pak cik juga hantarkan powerpoint slide yang dibuatnya sendiri, berisi beberapa gambar  Hatim untuk tatapan semua. Tajuk foldernya membuat hati saya sebak kembali- "Tazkirah Amanah: Hatim bertemu Allah"


























 
RAKAMAN UCAPAN TERIMA KASIH DAN PENGHARGAAN DARI IBU BAPA DAN AHLI KELUARGA MOHAMAD HATIM.
Kami ayah dan ibu kepada Allahyarham Mohamad Hatim merakamkan berbanyak jutaan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu atau menolong samada dalam bentuk sumbangan kewangan,tenaga,nasihat dan doa solat hajat terutamanya kepada:
-Pengarah Hospital SPetani lebih-lebih lagi kepada Doktor Zulkepli dan rakan-rakannya serta staf wad Icu 1 aras 4
-Pengarah hospital Alor Setar terutama Doktor Azlan dan kakitangannya
-Pengarah IPG IPDA, pensyarah-pensyarah,kaki tangan dan staf,pelajar-pelajar terutama rakan sekelasnya.
-Lawatan/ziarah oleh YB Dr.Mohd IsaPengerusi Speaker DUN Kedah,YB Amirrudin Hamzah exco DUN Kedah dan Senator Zamri Spetani.
-Pengarah Komander Kem 513 Wataniah Alor Setar ,staf dan kaki tangan
-Yang Di Pertua  Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Kedah,YDP  Ikram Daerah Sg Petani, YDP IKRAM Daerah Alor Setar, YDP IKRAM Kubang Pasu, ahli-ahli IKRAM Daerah Sg Petani, Daerah Kubang Pasu dan Daerah Alor Setar
-Penguasa balai polis trafik Spetani terutamanya sarjan Roslee dan Inspektor Mohamad
-Tuan Haji Abd Wahab (memberi kemudahan menumpang rumah di 59 Cinta Sayang Resort
-Guru besar Sek.Keb Manggol Bongor,Guru besar Sek.Megat Dewa ,guru-guru staf dan kaki tangan
-Ahli-ahli jamaah yang berdoa dan bersolat hajat seperti Masjid An-Nur IPDA, AlMutaqqin Tanah Merah, Masjid Senggarang B Pahat Johor, Masjid Kg Alor Melintang, Masjid Sek Rendah Al Azhar, Surau Sek Men Agama MAAD, Surau Al falahTaman Suria, Surau Kg parit Permatang BP Johor, Surau taman kenanga Jitra, Pusat Tahfiz Lorong Alif, Pusat Tahfiz Bukit Pinang, Pusat Tahfiz Setiu, Pusat Pendidikan Al Islah S Petani, Staf-staf hospital SPetani, Skmb.Skmd dan rumah individu di taman Suria seperti rumah kak ton dan cikgu Amran dan lain-lain yang tidak sempat di catat
-Penduduk-penduduk Taman Suria dan Teluk Nibong
- Semua ahli keluarga ,rakan dan sahabat handai dari dekat dan jauh
-Rakan-rakan Hatim dari IPG IPDA, IPG MPSAH, Uni Insaniah, USM, UITM, UKM, POLITEKNIK, TEAM IPT IKRAM MALAYSIA, UIA, MATRIKULASI KEDAH, Guru-guru SMAP KAJANG yang datang melawat dan yang sempat di catat.
Moga jasa dari kalian akan terpahat ganjaran dari Allah di Akhirat kelak.Terima kasih dan jazakallah dari kami sekeluarga.
Terima kasih dari Cikgu Jeffri dan Cikgu Noor Aina

-------------------------
Itulah catatan, dari pena seorang ayah. Sekarang mengertilah saya, mengapa sungguh tenang dan redha pak cik dan mak cik melepaskan anak mereka pergi. Benih-benih tarbiyah, yang tumbuh dan menguntum segar dalam diri si anak, mungkin seawal dalam kandungan ibunya, menjadikan arwah seorang pemuda yang cukup kental jatidiri, punya matlamat sendiri, yang melangkaui kepentingan diri. Bahkan tarbiyah telah memberi kefahaman yang jelas kepada arwah terhadap erti dan kepentingan dakwah. Benih-benih tarbiyah dan dakwah ini telah disemai di dalam diri, dibajai dan disirami dengan semangat dan  kefahaman akan hakikat dan tujuan penciptaan diri, lalu bercambahlah dedaun amal dan bebunga taqwa yang menguntum indah di taman kehidupan dunia. Semoga, arwah akan menuai hasil tuaiannya di akhirat kelak, insyaAllah.

Buat pak cik Jeffri dan mak cik Aina (yang sekiranya membaca coretan ini), takziah dan tahniah diucapkan.

Buat ikhwah dan akhawat IKRAM yang terlibat, tahniah kerana telah berjaya merealisasikan 'Ukhwah Teras Kegemilangan', tahniah kerana tidak hanya melagukannya di awal (atau sela waktu) program, tidak hanya melaung-laungkannya dalam daurah dan katibah.

Sebagaimana pak cik Jeffri yakin, anakanda Hatim telah membuktikan sesuatu kepada jamaah, walaupun ketika matanya tertutup dan suaranya tidak kedengaran, kita juga harus membuktikan bahawa ikrar kita bukan sekadar cakap-cakap mahupun angan-angan kosong.

p/s: bagi yang nak mengikuti  kisah Hatim, boleh klik pada label 'Tribute untuk Hatim' di pautan sebelah kanan



No comments: