Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Friday, March 9, 2012

"..kenapa tak mati je?.."

Assalamualaikum.

Lewat petang, dah awal malam pun sebenarnya. Berdua dengan suami, dalam perjalanan balik dari Alor Star, beli barang sikit untuk keperluan suami pergi kursus seminggu (apa? seminggu? huwaaa.. ehem..ehem.. seminggu je kot, suami orang lain keluar lagi lama untuk buat kebaikan okeh! Isteri mereka elok ja. Baaaaaiiiiikkkk)

Hujan masih turun, renyai. Di corong radio, kedengaran celoteh DJ Kedah.fm (oh si cantik manis IKIM.fm, kenapakah tuan hamba berdiam seribu bahasa, puas sudah kami menunggu tuan hamba berbicara, dari bandar diraja kami ternanti-nanti gerangannya- senang cerita, liputan IKIM ada masalah!). Tiba di satu simpang empat, si gagah beroda empat dihentikan. Terhenjut-henjut badan kami menahan gegarannya (tiba-tiba teringat prinsip fizik!). Rupa-rupanya si gagah 'terpana' dengan merah garangnya si mata tiga (baca: lampu isyarat) di depan tu.

Sedang menunggu si merah bertukar hijau, tiba-tiba terpandang seseorang di seberang jalan sana, dari arah bertentangan. Di malam yang semakin memekat, dalam gerimis hujan, seorang insan kebasahan, dengan tangan lemahnya dia mengayuh kereta kecil (skateboard) itu, kakinya tidak kelihatan- atau mungkin dia tidak pernah berpeluang mempunyai sepasang kaki, seumur hidupnya! Berpakaian lusuh, dengan topi di kepalanya-yang juga lusuh, dia kelihatan tenang meneruskan perjalanan. Hiruk pikuk suasana bandar kecil tidak dia pedulikan, begitu juga dia yang tidak dipedulikan.

"Abang, tengok tu, kesiannya dia", tunjuk saya.

Suami hanya sempat memandang sekilas, dipaksa meneruskan perjalanan oleh barisan kereta yang bersesakan di belakang, setelah lampu merah bertukar hijau. Kelibat insan yang berhati tabah itu semakin jauh ditinggalkan di belakang. Ada sendu bersarang dalam hati. Ada kesal, juga.

Sungguh kadang-kala, Allah menguji kita dengan insan-insan di sekeliling kita- keluarga, saudara, sahabat, atau sesiapa saja yang boleh jadi rapat, atau boleh jadi 'asing' bagi kita- seperti saya dan insan berhati tabah tadi. Nabi Muhammad diuji dengan bapa saudaranya, yang bermatian menggagalkan usaha dakwahnya. Nabi Nuh diuji dengan isteri dan anaknya, yang enggan bersamanya menyembah Tuhan yang Esa. Nabi Ibrahim diuji melalui anaknya, bila turun perintah penyembelihan kepada insan paling dikasihinya. Kita? pernahkah orang di sekeliling kita menjadi asbab kita diuji? Mereka menjadi asbab untuk bertambahnya pahala atau dosa kita. Pernahkan? Tak mungkin tak pernah. Bahkan kita juga pernah menjadi asbab kepada ibu bapa, saudara, sahabat atau orang-orang di sekeliling kita.

Tiba-tiba teringat suatu peristiwa, lama dulu. Satu dinihari, abah, ma dan adik datang jemput saya dan abang (adik saya yang ke dua) dari stesen bas. Kesejukan dibalut dingin pagi, kami singgah sebentar di gerai kecil, berhampiran stesen bas. Sedang enak meneguk air panas, buat menghangatkan badan, berlalu seorang insan yang kelihatan kurang siuman- bercakap sendirian, dengan pakaian lusuh dan muka yang kusut masai. Saya menyeret kerusi mendekati abah, ada kenangan kurang manis dengan golongan insan istimewa ini.

"Kesian dia", ulas abah, ringkas, sebaik kami semua masuk ke dalam perut kereta.

Spontan, empat pasang mata terarah kepada abah.

"Orang macam tu, walaupun kita nampak keadaan dia tak terurus, tapi dia tak pernah menyusahkan hidup orang lain", sambung abah lagi.

Kami diam, berharap abah terus bersuara.

"Mana pernah kita nampak orang macam dia tersungkur sakit di tepi jalan. Walaupun makan makanan dari tong sampah, berjalan berhari-hari bawah terik matahari, kadang-kadang tak pakai selipar, baju pun koyak rabak", terang abah, berdasarkan pemerhatiannya.

Kami masih membisu, berharap dapat mempelajari sesuatu dari abah- dan insan istimewa tadi.

"Sebenarnya Allah bukan nak menguji mereka (insan istimewa tadi). Kitalah yang sedang diuji sebenarnya", ringkas saja kesimpulan abah, tapi cukup untuk membuatkan diri 'terpukul'.

Bukanlah mereka yang kurang waras tadi diuji dengan ketidakwarasan mereka, sebaliknya kitalah yang diuji dengan kewarasan akal dan taqwa kita. Subhanallah. Kalau difikirkan, mereka yang kurang waras ni sudah tidak ada apa-apa tanggungjawab ibadah kepada Allah. Kalau begitu, apa tujuan mereka masih berada di dunia ini? sedangkan Allah menciptakan manusia untuk beribadah kepadanya? Takkan Allah menciptakan sesuatu dengan sia-sia? Kenapa perlu ada mereka? Kenapa tak mati je?- maaf, bahasa kasar.

Maka inilah jawapan Allah s.w.t,

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut: 2-3)"

Mereka adalah ujian! Mereka adalah sumber tabungan amal kebaikan atau keburukan. Mereka adalah asbab yang memberikan imej baik atau buruk kita di sisi Allah. Mereka adalah asbab, syurga atau neraka- rumah abadi kita! Mereka adalah ujian untuk keluarga mereka, saudara mereka, sahabat mereka, dan orang-orang yang menyaksikan kehadiran mereka- seperti saya dan insan berhati tabah tadi. Allahu Rabbi. Boleh jadi, mereka tidak merasa sakit pun, mereka tidak merasa lapar pun, mereka tidak merasa terseksa pun dengan ketidakwarasan mereka. Kita diperlihatkan akan kesakitan, kelaparan dan keterseksaan mereka, hanya untuk menguji iman dan taqwa kita- ketaatan kita!

"Ia bukanlah ketaatan bahawa kamu memalingkan muka kamu ke Timur dan ke Barat, tetapi ketaatan adalah percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan malaikat-malaikat, dan Kitab-Kitab, dan Nabi-Nabi; dan memberikan harta, walaupun dicintainya, kepada sanak saudara, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, dan orang-orang yang meminta-minta; dan memerdekakan hamba, dan melakukan solat, dan memberikan zakat, dan mereka yang menepati perjanjian mereka, apabila mereka membuat perjanjian, dan orang-orang yang sabar dalam kecelakaan, dan kesusahan, dan bencana. Mereka inilah orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan) dengan benar" (Al-Baqarah: 177)

Pernahkah kita, menghulur sesuap nasi, menghulurkan seteguk air, atau meminjamkan setitis kudrat untuk membantu mereka yang istimewa (anak yatim, orang fakir dan miskin) ini? Atau kita hanya melihat tanpa punya perasaan simpati, atau sekadar berlalu pergi, atau yang lebih teruk lagi, mencemuh dan memaki? Allahu Rabbi, kita lupa kepada Yang Maha Memerhati, kita mensia-siakan rezeki yang datang bergolek, yang lebih ditakuti kita menambah saham kemungkaran yang berkerak, berdaki dalam akaun amalan kita. Nauzubillah.

Sungguh, kita diuji dengan insan-insan di sekeliling kita. Mereka asbab kita diuji, dari mereka juga ibrah (pengajaran) kita perolehi. Wahai pemuda berhati tabah, maafkan kelemahan iman kami. Sendu dan kesal, merobek-robek hati walaupun dia telah jauh dari pandangan mata. Namun jauh di sudut hati, kehadirannya yang seketika, benar-benar membawa erti! Terima kasih, ya Allah.

Kitakah ini?

p/s: ayuh, kongsi pendapat dan pengalaman kalian dengan saya.


1 comment:

Qaseh Ana said...

Sepatutnya kita meringankn tgn brsama-sama membantu insan-insan dlm kesusahan ni. Tp skrg ni trlalu bnyk pula penipuan yg mnyebabkn ramai insan2 baik ragu2 utk mmbantu.Contoh, di Pekan Rabu,prnh dilakukan srbuan dan ada pengemis yg ditngkp. Bila diperiksa, dlm pkaian dlmnya, dismbunyikan wang dlm kuantiti ribu. Hnya dgn mengemis sehari atau seminggu,gajinya mnyerupai gaji pkrja awam sebulan. Pd pndgn ana,kita blh bntu org2 krg upaya atau krg brnsb baik ini dgn cara mnghntr mrka ke rmh kebajikan. Agr hdp mrka lbh trjamin dan kita xtersalah bantu..Wallahu'alam..=)
p/s : nice writing k.ayu..keep writing..i'll always read it..