Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, March 19, 2012

"Hatim kena kuat.."

Jumaat, selepas solat Jumaat. Kami bersiap-siap untuk ke Pulau Pinang, ada katibah malamnya dan daurah esoknya.

"Kita singgah tengok Hatim dulu ya", kata suami.

Saya mengiyakan. Faham benar permintaan suami, tambahan pula dah seminggu dia berkursus di Perak, sepanjang itu juga tak dapat mengikuti perkembangan Hatim. Bila dapat balik telefon bimbitnya (yang diambil sepanjang latihan), bertalu mesej masuk, termasuk dari adik Hatim. "Hatim demam", itu yang tertera pada mesej si adik.

Pukul 5.00 petang kami tiba di hospital, terus bergegas ke ICU. Usai bersalaman dan bertanyakan khabar Mak cik Aina (Mak Hatim), terus dia bercerita.

"Hatim demam. Doktor tunggu dia kebah dulu dari demam, nak jalankan pembedahan untuk lancarkan pernafasan dia. Macam-macam ubat dah depa masukkan tapi tak turun-turun juga suhu badan"

Sedang mak cik bercerita, Kak Ros sampai, turut menyertai perbualan kami. Sesekali saya menjeling suami yang sedang berbual dengan ayah Hatim.

Sebaik mendapat isyarat dari suami, kami beriringan masuk ke ICU, meninggalkan mak cik Aina dengan Kak Ros. 

Tiba di katil Hatim, kami berdiri di sebelah kanannya. Adik lelaki Hatim sedang membacakan ayat suci Al Quran di sebelah kirinya. 

"Hatim, hatim.. Abang Razman datang ni", bisik suami.

Kelihatan mata kanannya tertutup rapat, tetapi mata kirinya terbuka. Anak matanya bergerak ke kiri kanan, seakan dia sedang sedar, walaupun hakikatnya dia masih koma. Dadanya berombak kuat, nafasnya berdengus kencang, lebih kencang dari biasa.

"Hatim kena kuat ya, Hatim kuat kan? Kuatkan semangat, nanti cepat sembuh. Kami semua tunggu Hatim ni", bisik suami lagi.

Terasa seakan sesuatu yang sangat berat menekan dada, sebak. Berusaha supaya air jernih tidak turun ke pipi. Ya, kita semua mesti terus kuat untuk Hatim. Ya Allah, permudahkan urusannya.

Kami keluar dari ICU dan menyertai ayah dan mak Hatim di luar. Adik-adiknya masih kelihatan. Mereka kelihatan sangat tabah dan positif, yakin Hatim akan sihat seperti sediakala. 

"Doktor nak buat pembedahan, tebuk lubang di pangkal leher dia untuk gantikan alat pernafasan yang dia guna sebab alat tu boleh diguna untuk 14 hari saja, takut nanti ada jangkitan kuman. Tapi itulah, dia tak kebah lagi untuk jalankan pembedahan tu.", cerita mak cik lagi sebaik saya kembali.

Menurut mak cik lagi, alat-alat lain juga perlu segera diganti supaya tidak terkena jangkitan kuman.

"Empat orang dah mimpi tentang Hatim setakat ni. Kawan baik dia, nenek saudara dia, makcik dan adik perempuan dia", kata mak cik seakan ingn menceritakan sesuatu. Kami terus menjadi pendengar setia. 

" Mak cik mimpi ada orang pakai baju hijau datang urut Hatim, cantik sangat orang tu. Kemudian tiba-tiba Hatim bangun. Mak cik larang dia bangun, tapi Hati gelak saja", bersinar-sinar wajah mak cik bercerita, penuh pengharapan.

"Sebelum ni mak cik risau jugak, macam mana la keadaan dia sebelum kemalangan tu, ingat Allah ke atau buat benda lagha. Kemudian adik dia mimpi, Hatim pakai baju putih, kopiah putih, senyum dan kata, "Mama dengan ayah jangan risau, Hatim baik-baik kat sini, Hatim mimpi yang indah-indah", macam nak melegakan kerisauan mak cik", ceritanya lagi.

"InsyaAllah mak cik, kita doa semoga ini petanda yang baik untuk Hatim", kata saya.

"InsyaAllah keluarga ni keluarga terpilih untuk Allah uji, ada hikmahnya ni", sambung kak Ros pula.

Dengan senyuman mak cik berkata, "Memang banyak hikmahnya, terasa sangat kuat ukhuwah jamaah, kadang-kadang syaitan datang jugak bisikkan macam-macam, tapi bila selalu ada ikhwah akhawat datang, bantu macam-macam, rasa lega dan syukur sangat-sangat. Masa sihat ni la kita nak beribadah, bila dah sakit, tak mampu dah nak buat apa-apa."

Itu yang berlaku pada senja Jumaat. Selepas itu kami terus bergerak ke Pulau Pinang untuk katibah dan daurah. Sabtu malam, usai daurah, kami bergegas pula ke Sungai Petani, ada mesyuarat di sana. Memandangkan mesyuarat habis  agak lambat, tambahan masing-masing agak kepenatan, lagi pula esok dah nak mula kerja, jadi kami tak singgah untuk ziarah Hatim di hospital.

Ahad petang. Kami balik rumah Tok. Mak dan adik pun ada. 

"Hatim nazak", bisik suami, ringkas.

"Ya ka bang? Mana abang tahu? Siapa beritahu?", sepatah suami kata, bertubi saya bertanya semula.

"Ustaz Wan hantar SMS", sambil mengunjukkan telefon bimbitnya kepada saya.

"Lepas tu macam mana ni bang?", tanya saya, kalut.

"Kita pergi ziarah dia sekejap lagi ya", putus suami.

Pukul 7.00 malam, kami bertolak dari rumah Tok. Hantar SMS kepada ikhwah akhawat, seramai yang boleh, juga minta akhawat yang bertugas di sana laporkan perkembangan terkini.

Pukul 9.00  malam, kami sampai di hospital.

"Kita nak kata apa ni?", tanya suami merujuk kepada alasan yang kami nak berikan kepada guard di hospital untuk naik melihat Hatim, memandangkan kedatangan kami di luar waktu melawat.

"Call Dr Mazwin", arah suami.

"Akak kami nak naik tengok Hatim boleh tak?", tanya saya kepada Dr Mazwin, akhawat yang bertugas di hospital tersebut, yang kebetulannya dah berada di ICU.

"Beritahu guard tu dulu, kalau dia tak benarkan, call akak semula", jawab Dr Mazwin.

Dengan lafaz Bismillah, kami melangkah ke kaunter kawalan, lalu suami meminta izin untuk naik ke ICU. Sebaik bertanyakan nama pesakit, kami terus dibenarkan masuk. Alhamdulillah. Di atas, kelihatan pakcik dan adik-adik Hatim, Dr Mazwin dan seorang makcik yang menemani.  Makcik Aina, mak Hatim tak kelihatan.

"Macam mana keadaan dia kak?", tanya saya kepada Dr Mazwin.

"Kalau ikutkan, mata dia dah tak memberi tindakbalas kepada cahaya, maksudnya dia dah tak sedar. Jantung dia baik tetapi otak dia dah tak berfungsi, kita panggil Brain Death.", terang Dr Mazwin.

Allahu Rabbi. Pernah dengar dan baca tentang mati otak ni. Sebaik pelawat sebelumnya keluar, saya dan suami terus mengambil giliran masuk. Berdebar-debar jantung, nak melihatkan keadaannya.

Usai sampai di katilnya, kelihatan mak cik sedang membacakan Al-Quran, seorang lagi akhawat, Dr. Eda turut ada bersama. Bila melihat keadaan dia, Allahu Rabbi, hilang seluruh kata-kata!

Penyokong kepala berwarna kuning tidak lagi dipakaikan di kepalanya. Ada kain bertompok darah di tepi kedua-dua telinganya. Kepalanya dari atas kelihatan flat (tak tahu nak describe macam mana), tetapi mukanya membengkak. Hampir tidak dikenali wajah asalnya, sangat berbeza. (T_____T). Kedua-dua kelopak matanya ditutup dengan salotape, dadanya berombak perlahan, nafasnya tenang, tidak sekencang Jumaat lepas.

" Pagi kelmarin (Sabtu), jantung dia terhenti sekejap. Demam tinggi sangat, lebih 40 darjah celcius. Benda kuning (alat penyokong kepala) pun dah kena buka, sebab ada jangkitan kuman. Ni sekarang bergantung sepenuhnya pada mesin saja. Doktor kata otak dah tak dapat berfungsi, itu yang bengkak seluruh badan. Doktor kata suruh baca Yasin sajalah sekarang", dengan sugul, mak cik bercerita.

Allah.Allah.Allah.

Tak boleh lama-lama dalam ICU, memandangkan ramai lagi yang sedang menunggu giliran.

"Mak cik, kami keluar dulu ya. Kita doa yang terbaik untuk Hatim, mak cik",bisik saya sambil memeluk mak cik Aina.

Dia hanya mengangguk, ada air jernih di tubir matanya, sedang saya juga berusaha agar tidak menitiskan air mata di hadapannya. 

Di luar, ayahnya bercerita bahawa doktor tidak meletakkan harapan lagi untuk Hatim. Sugul, sesugul maknya yang tetap tabah di sisi anak yang ditatang dan dijaga dengan penuh kasih sayang selama 22 tahun ini. Apa perasaan mereka? Sukar ditebak. Namun jelas mereka berusaha sehabis daya untuk tabah dan tetap positif.  

Itulah yang berlaku. Saya cuba menepati janji saya untuk bercerita di sini. Saya tahu ramai ikhwah akhawat yang jauh dan dekat ingin mengetahui perkembangannya, walaupun hakikatnya saya sendiri sudah kehilangan kata-kata! Beberapa kali berhenti dan memandang lesu pada papan kekunci, mencari ayat-ayat dan bait-bait yang sesuai untuk dinukilkan. 

Apa-apa yang tertulis di atas adalah dari apa yang diceritakan oleh mak Hatim, yang pakar dalam perubatan pastinya lebih memahami, namun saya sedaya upaya cuba menggambarkan dan menulis semula berdasarkan apa yang didengari sepanjang ziarah kami. Mohon maaf segala kekurangan.

Akhirnya, kita belum boleh berputus asa, selagi Allah belum menetapkan keputusanNya. Kita masih perlu kuat dan tabah. Kita masih perlu menghantarkan Hatim jambangan-jambangan doa,semoga Allah memberikan yang terbaik untuknya.

"Abang, kita doa yang terbaiklah untuk dia kan? kalau kembali ke sisi kita itu baik untuk dia, maka kita doa Allah sembuhkan dia. Tapi kalau kembali ke sisi Allah itu lebih baik untuk dia, kita doa semoga Allah permudahkan perjalanannya, insyaAllah", kata saya.

Dan doa itulah yang saya coretkan di dinding fb semalam, dengan harapan kalian turut mendoakan perkara yang sama, insyaAllah.


Ini gambar dari ziarah terdahulu. Gambar semalam, tak sanggup nak ambil (T_T)

p/s: bagi yang nak mengikuti kisah Hatim dari awal, boleh baca entri (klik link) Minggu Dukacita


6 comments:

Ummiey Mithaliey said...

~ Ya Allah..sedihnya baca kisah ni..apa perkembangan hatim skrg?ayu update ye..wlpn k.min tak kenal dia, tetap ingin ikuti perkembangan dia.. semoga Allah permudahkan segala urusan hatim dan keluarga..kerna DIA tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA.. ~

Ayu Zamani said...

InsyaAllah kami akan update dari semasa ke semasa kak..

cahayalembut said...

Allah.Allah.Allah.

Ana antara salah seorang ukhti (silent reader) yang terus mengikuti perkembangan akhuna Hatim.

Setiap kali baca khabar tentangnya, mesti bergenang air mata. T_T

insyaAllah ikhwah/akhawat satu dunia mendoakan yang terbaik untuk beliau.

"permudahkanlah urusannya Ya Allah..."

Ayu Zamani said...

Terima kasih ya ukhti. Terus doakan akhi kita ni ya insyaAllah..

EruzuLiyana said...

innalillah. beliau telah menghembuskan nafas terakhir. mohon sedekahkan alfatihan dan bacaan yasin :')

DzuLagiL said...

Ya Allah,
permudahkanlah urusan arwah di sana...