Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, March 29, 2012

Kisahnya belum tamat..

Kelmarin, petang. Terdengar suara memberi salam di muka pintu.

"Awalnya masak", sapanya dengan dengan beg plastik berisi ayam dan sayur-sayuran di kiri kanan tangan.

"Abang kan kata nak pergi ziarah ustaz Borhan dengan keluarga arwah Hatim petang ni", jawab saya.

"Kita pergi ziarah ustaz Borhan dulu petang ni, malam nanti baru kita ke rumah Pak cik Jeffri ya", kata suami.

Saya sekadar membalas dengan senyuman, sambil terus menyiapkan hidangan.

Lewat petang, kami bergerak keluar. Sasaran kami adalah Hospital Alor Setar. Hujan lebat turun mencurah. Hampir tak kelihatan pemandangan di hadapan.

"Abang, kita slow-slow dah la, hujan lebat ni", saya mengingatkan, risau. Suami terus memfokuskan perhatian kepada pemanduannya.

Sampai di Hospital Alor Setar, kami terus ke wad lelaki. Cari nama di luar pintu, tak kelihatan pun nama ustaz Borhan. Jenguk ke dalam wad, juga tak kelihatan kelibat ustaz ataupun orang-orang yang dikenali. Terus suami mencapai telefon bimbitnya. Beberapa ketika kedengaran dia bercakap dengan seseorang di hujung talian.

"Jom", ajak suami sambil tangannya mencapai tangan saya- terkedek-kedek saya mengikut di belakangnya.

"Ke mana bang?", tanya saya, hairan.

"Ustaz Borhan dah dipindahkan ke KMC (Kedah Medical Centre)", jawabnya ringkas sambil mempercepatkan langkah lalu memaksa saya turut mengatur langkah panjang.

Hampir Maghrib, kami sampai di KMC, terus menuju ke wad ustaz Borhan ditempatkan. Dr Rosli dengan zaujahnya Dr Salmee, serta beberapa orang tetamu turut kelihatan bersama Kak Ros, zaujah ustaz Borhan. Keadaan ustaz Borhan agak lemah, katanya kerana kesan ubat tahan sakit yang diberikan oleh doktor. Sebelah matanya lebam, manakala kakinya patah. Ustaz Borhan dipindahkan ke KMC untuk mempercepatkan pembedahan untuk merawat tulang kakinya yang patah, memandangkan Hospital Alor Setar tidak dapat memberikan tarikh yang sesuai untuk pembedahan- queue panjang sangat! Khabarnya pagi tadi doktor di KMC akan melakukan pembedahan ke atas ustaz. Semoga Allah permudahkan urusan ustaz, dan memberikan kesembuhan supaya dapat kembali menjalankan gerak kerja dakwah.


Ustaz Borhan, ketika di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Selepas seketika berbual dan bertanya khabar, kami meminta diri untuk ke destinasi seterusnya. Usai solat Maghrib di surau KMC, kami terus bergerak mengambil beberapa ikhwah yang nak ikut serta ke rumah pak cik Jeffri. Kami seterusnya berkumpul di Masjid A'la, solat Isyak sambil menunggu 2 buah lagi kereta akhawat yang nak konvoi bersama ke Taman Suria, rumah keluarga arwah Hatim.

Hampir pukul 9.30 malam, kami sampai di rumah pak cik Jeffri sekeluarga. Rupa-rupanya ada tetamu lain juga yang datang berkunjung. Banyak perkara yang dikongsi oleh mak cik, sepanjang lebih sejam di rumah mereka. Saya pada awalnya tidak berhasrat untuk meminta mak cik membuka kisah tentang arwah anakandanya- bimbang mak cik akan rasa sedih semula, namun sebaik salah seorang antara kami bertanya, terus mak cik bercerita.


Rancak mak cik bercerita.

Banyak kisah-kisah yang tidak saya dengari dari ziarah -ziarah terdahulu. Mak cik ucapkan terima kasih sebab saya menukilkan kisah anakandanya dalam blog. Mak cik sebak bila membaca semula kronologi kisah arwah. Pak cik dan mak cik siap print lagi entri tentang arwah Hatim, lalu dibawa ke sekolah untuk bacaan kawan-kawan mereka. Saya harap usaha kecil saya bermanfaat untuk keluarga arwah (T_T)


Entri yang diprint untuk bacaan tetamu dan rakan-rakan.

Cerita mak cik, beberapa hari sebelum arwah meninggal dunia, mak cik dan pak cik bertemu dengan seorang pak cik yang sangat istimewa. Istimewa bagaimana? Kata mak cik, bila dia lihat rumput yang panjang di sekitar rumah pak cik Wahab (Cinta Sayang Resort), yang ditumpangi mereka selama menemani Hatim di hospital, mak cik nak sangat kalau boleh potong rumput-rumput tu. Tapi katanya, rumah tu tiada mesin pemotong rumput, rumah mereka di Jitra adalah, tapi jauh sangat nak bawa ke Sungai Petani ni.

Dalam hati saya, ya Allah hati apakah yang dimiliki keluarga ini? Sedang dalam rungsing memikirkan anak yang sedang terlantar sakit pun, masih sempat fikirkan untuk buat kebaikan kepada orang lain. Allahu Rabbi (T_T)

Sambung mak cik lagi, selang beberapa hari kemudian, mak cik terlihat kelibat seorang tua sedang memotong rumput di rumah sebelah. Pak cik minta tolong pak cik tersebut untuk potongkan rumput di halaman rumah yang mereka tumpangi. Bila ditanya berapa upahnya, pak cik tadi menjawab,

"RM 40, RM 20 saya guna untuk beli minyak mesin ni, RM 20 lagi saya sumbang kepada PERKIM"

Allahu Allah..

Pak cik tukang mesin rumput tadi bukan calang-calang orangnya, lulusan luar negara, teman kepada beberapa orang besar negara. Sebaik pencen, dia memilih untuk bekerja sebagai pemotong rumput! Lebih mengharukan tidak dia ambil sesen pun dari hasil kerjanya, sebaliknya disumbangkan kepada PERKIM. Katanya itulah kerja kebajikan yang dia boleh buat untuk jawab depan Allah nanti.

Allahu Allah..

Mati kata-kata saya mendengarkan cerita mak cik. Kita yang muda? Apa sumbangan kita kepada agama? (T_T)

Mendengarkan jawapan pak cik tadi, pak cik Jeffri sengaja membayar RM 50 kepadanya. Walaubagaimanapun pak cik pemotong rumput tadi pulangkan balik RM 10 kepada pak cik Jeffri bila mengetahui pak cik sekeluarga sedang menemani anaknya yang terlantar sakit di hospital. Pak cik tadi minta pak cik Jeffri belikan air mineral dengan duit RM 10 tadi, kemudian dibacakan satu ayat, lalu disuapkan ke mulut Hatim.


Inilah ayat yang dimaksudkan.

Pak cik yang baik hati tadi tu juga berjanji akan mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin untuk Hatim. Inilah istimewanya pak cik tadi, selain usaha gigihnya dalam kerja kebajikan, dia juga melayan keluarga pak cik Jeffri seolah mereka telah lama berkenalan!

Mak cik cerita lagi, bukan mudah mereka nak buat keputusan untuk buka alat sokongan hayat yang dipasang pada Hatim. Hingga ada yang tidak memahami, mencemuh dan mempersoalkan tindakan mereka yang seolah nak menamatkan riwayat hidup anak sendiri, seakan tidak sayang pada anak sendiri! Mak cik sangat terpukul dan terkejut dengan kata-kata yang dihamburkan hingga membuatkan mak cik tertanya-tanya dan meragui tindakan yang bakal mereka ambil.  Bayangkan, apa perasaan seorang ayah dan ibu waktu itu. Berbelah bahagi antara membiarkan anak kesayangan berterusan menderita, atau melepaskan dia pergi kepada Tuhannya. Allahu Rabbi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, hati yang menanggung! Namun berkat solat sunat istikharah, tanya pada yang pakar dan perbincangan dengan ahli keluarga, akhirnya Allah menguatkan hati mereka untuk meneruskan tindakan tersebut- bukan kerana tidak sayang bahkan kerana terlalu sayang! (T_T)

Saat-saat terakhir sebelum mesin ditanggalkan, mak cik sedaya upaya cuba mengawal perasaan. Ibu mana yang tidak sedih. Hampir goyah- namun Alhamdulillah Allah menggerakkan hati seorang akhawat untuk menghantar satu sms yang akhirnya menguatkan kembali semangat mak cik untuk melepaskan anak kesayangan pergi menemui Ilahi. Sms tersebut hanyalah asbab, tetapi Allahlah yang sebenarnya telah memujuk mak cik agar meredhai pemergian arwah. Mak cik rasa amat bersyukur dengan nikmat jamaah dan ukhuwah kurniaan Allah.

Bila arwah telah menghembuskan nafas terakhir, mak cik teringin untuk menciumnya buat kali terakhir. Diciumnya wajah dan tubuh si anak. Bau wangi bunga melur berlegar di sekitar tubuh arwah. Semoga itu petanda yang baik untuknya.

Tidak sedikit cubaan dan ujian sepanjang 3 minggu yang genting itu, tetapi Alhamdulillah Allah permudahkan semuanya. Mak cik dan pak cik berterusan berdoa agar dipermudahkan urusan arwah dan mereka. Doktor-doktor yang baik, pegawai polis yang membantu, sahabat-sahabat dan saudara mara yang tidak putus-putus mendoakan dan menghulurkan sumbangan, samada kewangan mahupun tenaga. Mak cik kata, benarlah janji Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5dan 6.


Setiap kesukaran disertai kemudahan.


Walaupun Allah menguji keluarga arwah dengan ujian yang berat, namun Allah permudahkan urusan mereka yang lainnya.

Kata mak cik lagi, kita selalu lalai dan sambil lewa dalam berdoa. Kita main-main dalam berdoa! Tetapi apabila didatangi ujian, ketika itulah kita rasa nikmatnya, khusyuknya, ikhlasnya dan bersungguhnya kita melantunkan doa-doa kita, merayu supaya Allah mendengar dan memakbulkan. Allah, terasa sangat terpukul di situ!

Dulu bila baca ayat 2-3 surah Al-Ankabut, mak cik kata dia rasa takut sangat. Ujian macam manalah yang akan datang, sebab Allah kata Dia pasti akan menguji, untuk melihat iman kita, menapis taqwa kita, menduga redha kita. 

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;”Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.”
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Bila diuji dengan peristiwa ini, maka tahulah mak cik, inilah yang dijanjikan Allah, inilah yang dikatakan Allah dalam Al-Quran. Setiap dari kita akan diuji, hanya saja bentuk ujiannya berbeza, namun tetap dalam tahap kemampuan kita kerana tidak Allah menguji seseorang hamba itu melainkan dia mampu mengharunginya.

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
-Surah Al-Baqarah ayat 286


Mak cik terus bercerita. Suami dah bagi hint untuk pulang. Saya menjeling pada jam di dinding rumah mak cik. Pukul 10.30 malam. Laksa sudah habis dipinggan, capati juga dah terusik. Kelihatan suami menyampaikan sumbangan kepada pak cik Jeffri, daripada tabung AIDD (Akhawat Ikhwah Donation Drive), hasil sumbangan ikhwah akhawat seluruh negara. Alhamdulillah, terlangsai sudah amanah kami.




Antara kata-kata akhir yang saya ingat sebelum kami berpisah malam tu, mak cik kata, "Hidup ni macam mimpi, main-main saja" Banyak yang kami dapat, terlalu banyak untuk diingat dan difikir, diambil pengajaran dan panduan. Saya tidak berniat untuk membuat sebarang kesimpulan dari apa yang telah mak cik kongsikan. Saya serahkan kepada anda untuk menggali dan mendapatkan pengajarannya.

Usai masuk ke dalam perut kereta, suami mengusik, "Amboi, sempat berusrah dengan mak cik ya tadi".

Saya tersenyum menjawab usikannya.

"Nanti bolehlah kongsi dalam blog, tu banyak dah dapat point", dia menambah lagi.

"Kali ni abang la tulis pulak ya", usik saya kembali. Kali ini suami pulak yang tersenyum.

Saga biru kami terus membelah kepekatan malam. Dia sudah kembali, kita bilakah nanti? Kisahnya belum tamat. Kisah kita juga belum tamat. Kisah dia dan kita akan hanya tamat bila mentari terbit di ufuk Barat. Tika itu tiada siapa mampu menjadi penyelamat, melainkan amal yang telah kita perbuat.


-----------------


Petang tadi suami sapa di inbox fb.

"Salam. Buka fb mak cik Yati. Tengok komen saya pada mak cik dan reply dari mak cik"

Saya printscreenkan apa yang suami maksudkan.





Selamat berfikir- dan beramal!

monolog: saya sangat kagum dengan tarbiyah Allah kepada pak cik Jeffri dan mak cik Aina. Saya sangat kagum dengan tarbiyah pak cik Jeffri dan mak cik Aina kepada anak-anaknya. Semoga kami seteguh mereka, insyaAllah!



Tuesday, March 27, 2012

Accident lagi..

Kelmarin pagi. 

"Abang ada kelas Pendidikan Jasmani hari ni kan?", tanya saya untuk memastikan baju yang akan suami pakai untuk pergi mengajar.

"Tak, hari ni kena pergi mesyuarat untuk sukan sekolah-sekolah agama di Kulim, tak masuk kelas seharian", jawab suami. Okeh, maksudnya kena gosok baju formal (kami panggil baju Raihan).

Jadi, pagi tu suami bergerak ke Kulim dengan ustaz Borhan, salah seorang muallim Sekolah Rendah Al-Azhar, yang juga saban hari mengambil dan menghantar anak-anak dari sekitar Changlun, pergi dan balik dari sekolah dengan bas kuningnya.

Pukul 3.00 petang, sms suami lagi. Katanya mesyuarat habis lewat, tak sempat makan tengahari pun, terus memecut balik sebab ustaz Borhan perlu hantar anak-anak yang telah pun menunggunya untuk dibawa pulang. Kata suami, sebaik punch card, dia akan terus pulang.

Selesai urusan di pejabat, saya balik rumah, masak. Dah tau, suami mesti lapar, seharian tak makan, sempat sarapan saja pagi tadi. Sambil menumis pes tom yam kung dalam periuk, saya menjeling jam di hujung laptop. Pukul 4.30 petang. 

"Kenapa abang tak sampai lagi?", getus hati saya.

Capai telefon bimbit, hantar sms kepada suami.

"Abang dah ada di mana?", tertera di skrin telefon saya. Butang send ditekan.

Agak lama menunggu balasan. Tom yam kung dah siap, tinggal nasi saja lagi, dah hampir masak.

"SMK Hosba. Ustaz Borhan eksiden. Abang tolong uruskan anak-anak ni sekejap", sms dari suami.

Sangat terkejut. Eksiden? Macam mana boleh terjadi? Macam mana dengan anak-anak tu? Bermacam persoalan bermain di fikiran.

"Eksiden? Teruk ke bang?", sms saya yang seterusnya tidak berjawab.

Allahu Rabbi.. (T_T)

Dah la tadi baru ternampak sebuah kereta kancil, dengan dua penumpang (perempuan) di dalamnya, terlanggar papan tanda! Alhamdulillah, nasib baik mereka tak apa-apa.

Tunggu berita. Tak tahu nak tanya siapa. Suami mesti sedang kalut di sana. (T_T)

Ya Allah, lindungi mereka, selamatkan mereka.

Pukul 8.00 malam, suami sampai ke rumah, masih dengan baju kerja yang dipakai sejak awal pagi tadi. 

Tak terus tanya, tahu dia penat. Selepas hidangkan makanan (makan tengahari sekali dengan makan malam dah), terus ajak suami makan. Selepas suami dah makan dan mandi, bersihkan diri, baru mula bertanya.

Suami ceritakan, selepas sampai di sekolah, ustaz Borhan terus bergegas bawa bas untuk hantar anak-anak tu (sekolah rendah) pulang, sementara suami masih di sekolah, berbincang dan berbual dengan guru besar. Usai semua selesai, suami bertolak pulang. Sebaik sampai di SMK Hosba, suami ternampak ada kemalangan antara bas sekolah dengan sebuah bas lain.

"Janganlah bas ustaz Borhan", namun akhirnya tepat sangkaan suami. Bas ustaz Borhan yang terlibat dengan kemalangan tu. Waktu itu, ambulan dah mengambil sebahagian dari anak-anak yang tercedera untuk dibawa ke hospital. Terus suami hubungi ikhwah akhawat, pak cik mak cik yang merupakan waris anak-anak tersebut. Suami ikut anak-anak dan ustaz Borhan yang juga tercedera, ke hospital Jitra.

Allahu Rabbi, terkejut tak terkata. Fobia 3 minggu lepas belum reda, datang pula berita yang tak disangka-sangka ni. Saya tidak tahu bagaimana keadaan di tempat kejadian, kerana saya tak ikut serta menyaksikan. Tunggu juga berita di TV1 sebab kata suami, RTM datang dan temuramah suami setika ditempat kejadian, namun tak kelihatan pula berita tersebut di tv.

Malam tadi, Dr. Asmat emailkan tentang berita di yahoo group.

Salam,

Petang tadi sekitar 4 petang telah berlaku satu kemalangan bas sekolah yang membawa pelajar SRAZ di lebuhraya PLUS berhampiran Hosba (midpoint antara Jitra dan Changlun). Bas ini dipandu oleh akh Borhan, ahli aktif Ikram Kubang Pasu yang juga merupakan seorang Mualim di SRAZ. Kemalangan melibatkan dua buah bas dan kecederaan agak parah juga.

Semasa kejadian, akh Borhan dalam perjalanan membawa anak2 pulang pulang ke rumah. Seramai lebih kurang 11 pelajar telah mengalami kecederaan dan dihantar ambulan ke Hospital Jitra. Suasana di tempat kejadian agak panik dengan anak2 yang menangis. Ibubapa yang dimaklumkan oleh pihak sekolah juga ramai yang datang ditambah dengan trafik jam serta orang ramai yang berhenti. Ramai guru2 dan ahli Ikram yang hadir memberikan bantuan serta sokongan moral ditempat kejadian, menghubungi waris, dll. Apabila semua sudah dipindahkan ke hospital Jitra, ramai ikhwah dan akhawat datang menziarahi akh Borhan dan pelajar2 di wad kecemasan Hospital Jitra pula. Beberapa pelajar dibenarkan balik, namun Ustaz Borhan dan 4 pelajar lain telah dihantar ke Hospital Alor setar untuk rawatan lanjut. 3 pelajar lagi dimasukkan ke wad di hospital Jitra dan seorang dipindahkan ke Hospital Kangar.

Kesemua yang dipindahkan ke Hospital Alor Setar mengalami kecedaraan agak serius. Akh Borhan mengalami patah tulang peha dan tangan, serta luka di kepala dan bahu. Pelajar2 mengalami kecederaan lain seperti patah/ tulang retak.

Di awal pagi hari, Mualim Borhan ini mengambil anak2 kami pergi ke sekolah, di siang harinya mengajar anak2 kami, dan disebelah petangnya pula membawa anak2 kami pulang ke rumah. Itulah rutinnya sejak saban tahun yang lalu.

Bersama kita doakan agar kesemua mereka diberi kesihatan yang baik dan agar cepat sembuh.

asmat
Tolong doakan mereka, insyaAllah saya akan update lagi sebaik mendapat berita tambahan.
Monolog: Ahad malam, suami hantar seorang ikhwah ke bahagian kecemasan, hospital Jitra, setelah tiba-tiba mengadu sakit selepas usrah mereka. Sekarang sangat sensitif dengan berita-berita, terutamanya yang melibatkan ikhwah-akhawat. (T_T). Jaga diri semua, sentiasa ingat Allah dan mulakan pekerjaan dengan menyebut namaNya.
Gambar- sinar harian.

p/s: klik untuk baca berita di akhbar sinar harian.
Fakta sebenar:
1. Tiada seorang pun penumpang yang tercampak keluar
2. Jumlah yang dikejarkan ke Hospital adalah 14 orang
 

Monday, March 26, 2012

Sekampung tak gosok gigi!

Tersebutlah kisah satu cerita. Ada sebuah syarikat, Syarikat Hidup Segan Mati Tak Mahu Sdn. Bhd. yang perniagaannya membuat dan memasarkan berus gigi jenama 'CallGet'. Satu hari, bos syarikat ni nak meluaskan empayar perniagaannya. Lalu dia mengarahkan pekerjanya, Encik Pessi dari jabatan pemasaran keluar ke sebuah kampung, Kampung Huha Huha namanya, untuk melakukan kajian kebolehpasaran produk mereka di sana.

Lalu berangkatlah Encik Pessi ini sebaik saja mendapat arahan dari bosnya, Miss SippiSippi. Sesampainya Encik Pessi di Kampung Huha Huha, didapatinya semua penduduk kampung itu tak gosok gigi! Erk. Setelah yakin dengan keputusan kajiannya, lalu kembalilah Encik Pessi ke pejabatnya semula, kemudian terus dia dengan yakinnya mengetuk pintu bilik Miss SippiSippi, dengan senyum kambingnya bersedia untuk membentangkan dapatan kajian- ala-ala viva gitu!

"Ehem, ehem.. Bos, setelah tiga hari dua malam saya berkampung di Kampung Huha Huha, bermacam cubaan dan dugaan saya telah hadapi namun berjaya diharungi dengan jayanya, termasuk digigit nyamuk betina yang playgirl, juga tidur dalam comforter yang tak berapa comfort, mandi air sejuk menggigil dek tiada water heater, makan pun masakan tradisional Melayu dengan purata 5 ke 6 kali sahaja, tiada chicken chop, apatah lagi lamb chop dan mushroom soup...." banyak songeh pulak Encik Pessi ni, nak 'kipas' bos la tu. (Amaran: Jangan tiru aksi ini di pejabat, ataupun luar pejabat!)

Tak sempat Encik Pessi habiskan ayat 'berangin" (akibat mengipas bos, baca: bodek!), tiba-tiba Miss SippiSippi mencelah.

"Straight to the point please!", ohoho.. akhirnya yang 'mengipas' yang 'berasap' (baca: termalu sendiri)

"Ok, begini bos. Saya mendapati semua penduduk Kampung Huha Huha tidak menggosok gigi. Jadinya dengan yakin saya membuat kesimpulan bahawa produk terlaris kita, yang dihasilkan oleh syarikat terglamour di Lang Buana ini, lebih-lebih lagi di bawah pimpinan bos paling berkakilebar, ops sori! berkaliber- ini (bodek lagi!) tidak akan berjaya dipasarkan di sana, memandangkan mereka semua tidak tahu pun apa itu berus gigi apatah lagi jenama 'CallGet' kita yang famous ini", panjang lebar kesimpulan Encik Pessi.

Papp! Miss SippiSippi menepuk meja dengan kuatnya! Serentak dengan suara boleh tahan nyaringnya, "Mana boleh! Saya tak puas hati dengan keputusan kamu!"

Akibat tidak berpuas hati dengan hasil kerja pekerjanya yang pertama tadi, Miss SippiSippi menghantar pula pekerja kedua, dari jabatan yang sama, untuk pergi ke kampung yang sama.(Huh, banyak sungguh yang samanya!)

Lalu pergilah pekerja kedua ini, Encik Oppi ke Kampung Huha Huha. Beliau masuk meninjau ke dalam kampung (tak macam Encik Pessi, intai kot tingkap hotel je. Huh!), berbual dengan penduduk kampung dan mendapatkan seberapa banyak pandangan mereka tentang produk yang bakal diperkenalkan nanti- cukup dengan Questionnaire lagi!

Setelah berpuas hati, lalu kembalilah Encik Oppi ke pejabatnya, bersedia dengan powerpoint slide siap dengan graf, descriptive statistic, ANOVA table dan segala macam statistik- tinggal tak buat Structured Equation Modelling (SEM) guna AMOS 16 je lagi! Heh!

Okeh, kita skip pembentangan Encik Oppi dari bab introduction, problem statement, research question, research hypothesis, literature review dan methodology, kita terus ke bahagian result ya- ini paling penting nih dalam kisah ni.

"Berdasarkan kajian ini, saya mendapati kita mempunyai peluang yang cerah untuk memasarkan produk kita di Kampung Huha Huha. Ini adalah kerana penduduk di sana, walaupun tidak pernah menggosok gigi, dan tidak mengenali berus gigi, apatah  lagi produk 'CallGet'  syarikat kita, namun mereka sangat berminat untuk mencubanya setelah diterangkan kebaikan menggosok gigi untuk kesihatan mereka. Tambahan pula di sana kita tidak akan mempunyai apa-apa persaingan dari syarikat lain", penuh berilmiah hujah Encik Oppi.

Tersengih-sengih Miss SippiSippi melihatkan pembentangan Encik Oppi, sambil dalam kepalanya berfikir-fikir untuk melantik Encik Oppi sebagai ketua projek untuk memasarkan produk ke Kampung Huha Huha ini. Ada juga bayangan yang samar makin jelas, untuk melantik Encik Oppi sebagai Ketua Jabatan Pemasaran, menggantikan ketua sedia ada yang suka ambil 'hadiah' bawah meja tu! (baca: rasuah).

Keluar dari bilik Miss SippiSippi, jam menunjukkan pukul 4.45 petang. Ada 15 minit lagi sebelum waktu bekerja tamat. Encik Pessi dari kejauhan menjeling Encik Oppi, geram! 

"Dah pukul 4.45 petang, ah tak sempat dah nak habiskan ni, aku berhenti dulu la buat semua kerja ni, esok sambung lagi", jerit hati Encik Pessi sambil jari jemari menekan kekunci komputer. Tap! Keluarlah kotak biru putih di skrin komputer- Facebook!

Encik Oppi pulak, sebaik sampai di ruang kerjanya, terus menyambung semula kerja-kerjanya yang berbaki, sebelum dipanggil oleh Miss SippiSippi tadi. " Oh, ada 15 minit lagi ni, sempat lagi nak habiska kerja-kerja ni. Esok boleh buat kerja lain", pantas tangannya menekan kekunci komputer di hadapannya.

----------------

Okeh! Cukup-cukuplah membebel kat atas ni. Sebenarnya, kisah di atas diadaptasi dan diubahsuai hasil daripada tazkirah Ukhti Teh, masa katibah Khamis lepas. Yang pastinya banyak la tokok-tambah menambah- nambah yang ditambah-tambah dalam cerita di atas. He he.

Apa yang nak disampaikan adalah, bagaimana 2 orang berbeza boleh melihat satu peristiwa atau keadaan yang sama dengan 2 perspektif yang berbeza. Encik Pessi merasakan Kampung Huha Huha tidak akan berjaya ditembusi oleh syarikat mereka, kerana mereka tidak menggosok gigi, sedangkan Encik Oppi pula berpendapat sebaliknya. 15 minit terakhir sebelum tamatnya waktu bekerja, Encik Pessi terus berhenti melakukan kerjanya sebaliknya Encik Oppi terus optimis (op, terbocor rahsia!heh!) untuk terus menyiapkan kerja-kerjanya. 

Dalam dunia nyata, siapa yang menjadi gambaran kita? Atau dalam bahasa mudahnya, kita adalah orang yang pesimis (seperti Encik Pessi) atau optimis (seperti Encik Oppi)?

Yang bestnya, kisah ini diambil dari buku 'Setengah Berisi, Setengah Kosong?' Apa yang menariknya? Gambar dan tajuk buku dah boleh uji, kita orang yang bagaimana. Jom, tengok kulit bukunya.




Okeh. Kalau kita tengok gambar di atas, kita kata gelas di atas setengah berisi ke setengah kosong? He he he.

Begitulah juga penerimaan dan sikap kita bila mendepani ujian. Orang yang pesimis akan melihat ujian sebagai musibah, sebaliknya orang yang optimis akan melihat ujian sebagai anugerah. Ayuhlah, kita bersangka baik dengan Allah, yakinlah dengan sifat Maha Pemurah dan Maha PenyayangNya. Tidaklah Dia mentakdirkan sesuatu dengan sia-sia atau bertujuan mencelakan hambaNya. Pasti dan pasti, setiap apa yang berlaku ada kebaikan untuk kita. Kalau kita melihat pemandangan dengan kaca mata yang berdebu, maka yang indah kelihatan jelek, yang terang tampak kusam. Lihatlah ujian yang datang sebagai tanda kasih sayangNya kepada kita, dan setiap apa yang hilang, Allah berkehendak untuk menggantikan yang lebih baik untuk kita.


Jom jadi mukmin sejati!

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidak lah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka  dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya.” - Hadith riwayat Muslim

Jadi, jangan sedih-sedih ya!

------------------------

Diari seminggu yang berlalu.

Jumaat dan Sabtu (16,17 Mac) lalu ada katibah dan daurah untuk Mustawa 03, macam biasa di Pejabat IKRAM Pulau Pinang. Katibah bincang tentang Surah Al-Kahfi. Ada 4 kisah di dalamnya. Bila digali-gali, rupanya surah ini bertemakan fitnah. Kisah pemuda Kahfi- fitnah agama. Kisah 2 pemilik kebun- fitnah harta. Kisah Nabi Musa dan Khaidir- fitnah ilmu. Kisah Dzulkarnanin- fitnah kekuasaan dan dajjal. Sangat menarik kupasannya. Tak tahu pun sebelum ni. hu hu.  Masa daurah pula, ustaz Rosli sampaikan tajuk Syura. Syura adalah salah satu unsur tetap IM- unsur ke-7. Syura ada 2 jenis- Mulzim dan Mu'lim. Kemudian ustaz Jali sampaikan tajuk Fitnah: Sunnah Ilahiyah, sekali lagi tentang tajuk Fitnah!- ada fitnah dalam dan luaran bagi jamaah dan apa yang jamaah serta ahli patut buat bila berhadapan dengan fitnah ini. Wah, semuanya sangat membuka mata, hati dan minda. Alhamdulillah! Habis daurah, malam tu meeting di Pejabat IKRAM Sungai Petani. Penat (=_=) tapi berbaloi-baloi! (^____^)

Selasa pulak (20 Mac) ada forum silang agama di UUM. Panel-panel adalah dari agama Budha, Hindu, Kristian dan Islam- diwakili Brother Shah Kirit Kalkulai Godvinji. Sangat menarik dan 'panas' jugak! Apapun bagi saya, selain isi yang disampaikan, panel-panel tersebut juga sebenarnya menjadi bahan dakwah pada hari tersebut. Hujah, penampilan dan penyampaian mereka hari tu diperhatikan oleh ratusan pasang mata dalam dewan besar tersebut. Dapat berita gembira- seorang lagi adik (Nur) revert kepada Islam, Alhamdulillah. Malam tu pertemukan Sumayyah (Susan), Iman (Karen) dan Nur (Tan Mei Shan).

Rabu (21 Mac). Dia pergi jua... (T_T)

Khamis, Jumaat (22, 23 Mac). Ada katibah untuk 02. Kami yang 03 jadi AJK sekali dengan peserta sekali lah! 2 in 1! Tema katibah- Sabar! Kami belajar jenis, pembahagian dan adab sabar. Sabar sebelum, semasa dan selepas ditimpa ujian! Kultum subuh esoknya tentang sekampung tak gosok gigi ni.he he. Pagi balik ke Sintok, ada kelas. Kelas pun best, walaupun assignment banyak (@_@) Petangnya sambung balik daurah- Mukaddimah Usul 20. Best Alhamdulillah, sangat tak sabar nak telusuri satu persatu usul-usul tu. Pak cik buat kami suspens lah dengan mukaddimah tu!

Diari seminggu akan datang.

Malam ni (26 Mac) ada program Palestin di UUM. Antara panelisnya adalah pak cik Wahab, Aqsa Syarif. Abang, jangan lupa ya janji nak dating di sana malam ni.

Selasa (27 Mac). Usrah. Adik-adik, bersedia dengan pembentangannya ya. he he he.

Rabu (28 Mac), kami rancang nak ziarah keluarga Hatim, sambil sampaikan sumbangan kewangan yang ikhwah akhawat salurkan baru-baru ini. Siapa nak ikut?

Khamis (29 Mac). Program Syria pulak, di UUM. Jom..jom.. tunjukkan solidariti dan kebersamaan kita dengan saudara di sana. 

Jumaat (30 Mac). Kelas. Usrah. Ada program Global March To Jerusalem di USM. Jom, bang?

Sabtu (31 Mac). Daurah Tarbiyah siasah siri 2. Untuk mustawa 02 Qawiy ke atas. Jom.Jom. Siasah sebahagian Islam. Islam kan syumul, menyeluruh!

"Ya Allah, pilihlah kami dalam barisan tentera-tenteraMu. Pilihlah kami menjadi sebahagian mata rantai, penyambung usaha dakwah rasul-rasulMu. Hidupkanlah kami dan matikanlah kami dalam agamaMu, dengan redhaMu"



Saturday, March 24, 2012

Dari tinta seorang ayah (Pak cik Jeffri, ayah arwah Hatim)

Monolog: hasrat dihati adalah untuk menoktahkan kisah Hatim hanya pada entri lalu (Sesegar sebuah kenangan, semalar untaian doa). Bukan kerana sudah kehabisan cerita, namun kerana terlalu banyak untuk diceritakan. Namun Allah mentakdirkan sesuatu yang lain. Peristiwa hari ini menggerakkan hati untuk terus menukilkan, selagi ada pengajaran, terutama untuk kita yang telah ditinggalkan. Selamat membaca dan menggali hikmah.

-------------------------------

Hari ni ada di rumah Tok. Usai daurah semalam, shopping barang-barang dapur sikit, kemudian terus bergegas ke rumah Tok. Rasanya dah agak lama tak bermalam di rumah Tok, dua tiga minggu ni memang sibuknya lebih dari biasa. Ya Allah, sibukkanlah kami dengan perkara-perkara kebaikan.

Lepas temankan Tok sarapan, jemur kain di ampaian, sapu yang mana patut, sambil-sambil tengok lauk mentah untuk masak tengahari nanti. Suami keluar hantar kereta ke pusat servis. 

Tak lama kemudian,suami balik. Tok ada di ruang tamu, mengaji. Suami terus mendapatkan saya yang berada di dapur.

"Tadi pak cik Jeffri telefon", kata suami membuka bicara.

Saya mendengar, menadah telinga, sambil menunggu suami meneruskan cerita.

"Pak cik kata dia baca cerita Hatim dalam blog", sambung suami.

"Hah, ye ke bang? Apa yang pak cik kata?", saya terkejut, lebih kepada risau. Risau kalau-kalau ada ayat-ayat dan bait-bait kata yang dinukilkan dalam teratak maya saya mengguris hati keluarga Hatim. Tambahan, saya tak sangka pak cik akan membaca coretan dalam blog saya ni.

"Pak cik kata, terima kasih sebab tulis tentang Hatim. Ada banyak perkara yang tak tertulis (oleh saya) dalam blog tu", cerita suami.

Ya, saya akui. Memang banyak yang tidak terlakar di sini, dengan hanya ziarah saya yang tidak sekerap mana, pastinya banyak kisah dan cerita yang saya ketinggalan.  Namun saya amat berbesar hati apabila mengetahui pak cik sudi menelefon suami untuk berkongsikan kisah anakandanya yang dikasihi.

Melalui email suami, pak cik titipkan tintanya. Bukan niatnya untuk mendabik dada, jauh sekali untuk menjaja cerita. Pak cik menulis sebagai penghargaan kepada semua yang membaca dan mengikuti kisah anaknya, yang mendoakan mereka, dari setiap pelusuk dan ceruk berada. Pak cik berharap moga-moga pemergian anaknya memberi pengajaran kepada kita semua. Saya serahkan tinta ayahanda Hatim yang diamanahkan kepada kami, untuk disampaikan khusus untuk anda semua, yang membaca. Tinta ini dikekalkan keasliannya, tanpa ada sebarang perubahan.

---------------------------

TANDA-TANDA KEBESARAN ALLAH SEPANJANG 3 MINGGU BERSAMA ARWAH.

Tanda-tanda kebesaran Allah yang ditunjukkan sebagai pengiktibaran bagi kita insan yang masih hidup agar dapat mendekatkan diri kepada Allah seperti:
-Saat akhir sebelum meninggal dunia anakanda Hatim pergi mendengar ceramah Palestin Al-Aqsa di Sekolah Rendah Al-Azhar malam. (Sebelum ini dia selalu menyebut ingin mati syahid)
-Jatuh eksiden di Km 92 Sg .Lalang Sp 2/3/2012 (Khamis sebelum subuh) dan meninggal di tempat/ kawasan  yang sama/ berdekatan  pada 21/3/2012 jam 4.02 petang di dalam perjalanan pulang ke Alor Setar di dalam van ambulans.
-beberapa individu seperti emak, adik, rakan dan keluarga bermimpi (contoh oleh adik bongsunya khadijah: dengan menceritakan Hatim sedar sihat dengan berjubah putih dengan muka bercahaya berpesan agar emak dan ayahnya tidak risau akannya dimana dia sedang bermimpi yang indah-indah dan menyatakan ingin pergi solat)
-tidak mempunyai najis (buang air besar sejak masuk wad hingga dimandi/kafan)
-muka bercahaya2 dan badan berbau harum wangi pada malam kedua terakhir semasa dibacakan yassin
-semua luka-luka di anggota muka dan badan sembuh seperti biasa
-kepala,tangan,badan yang bengkak susut dan berubah seperti asal sebelum dimandikan
-semasa dimandikan anggota badan,tangan lembut mudah digerakkan tidak seperti kebiasaan mayat yang lain.
-awan berarak mendung meneduhi kawasan perkuburan semasa talqin dan doa dibacakan walhal pada masa itu waktu tengahari dengan cuaca yang terik.
-salah seorang tuan guru pondok yang datang untuk menyembahyangkan solat jenazah pada asalnya terlalu  uzur pada hari itu tetapi apabila diberitahu untuk mengadakan solat jenazah untuk arwah .Beliau berasa sihat dan segera pergi bersama-sama menunaikan solat dan menanyakan kepada salah seorang penduduk kampung tentang apakah amalan baik yang biasa dibuat oleh arwah semasa hidup dan menyatakan arwah ada sesuatu amalan mulia yang Allah terima darinya.  
-serta banyak lagi pertolongan Allah yang tidak disangka-sangka membantu memudahkan ayah ibu dan keluarganya sepanjang menghadapi saat genting ini yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata , ucapan dan catatan.
MOGA ROHNYA DIRAHMATI ALLAH DAN BERSAMA-SAMA DI TEMPATKAN DI SYURGA BERSAMA PARA NABI DAN RASUL SERTA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.
TANDA-TANDA DAN AMALAN ARWAH SEBELUM MENINGGAL SEBAGAI IKTIBAR BAGI YANG HIDUP.
-masuk askar wataniah untuk mati syahid selalu disebut/bual kepada ibu dan ayah
-rajin pergi program agama seperti kuliah, daurah, ceramah agama
-solat jemaah di surau/masjid
-sanggup menyusahkan diri untuk orang lain tetapi tidak mahu dirinya menyusahkan orang lain.
-suka melihat video filem drama pendek yang dihasilkan bersama rakan2 bertajuk janji kita (tentang kematian)
-beliau memberitahu kepada ibu dan bapanya bahawa dia ingin berkawan dengan rakan2 team motor bike adalah untuk menarik mereka kearah kebaikan.bukan tujuan untuk berseronok2/ membuang masa/ lagha, jika tidak siapa yang akan menjalankan tugas tersebut.
-suka menolong seseorang sebaik mungkin tanpa harap pujian/upah
-tidak mahu menyebabkan ayah/ ibu kecil hati walaupun dalam perkara2 kecil
-setiap kali balik ke rumah dari ipda akan bersalam dengan ibubapa (amalan sejak dari kecil lagi)
-tidak suka mencerita keaiban orang lain. Jika kita ada melakukan perkara tersebut dia akan menegur kita pada masa itu jugak sebagai tazkirah.
-banyak berkorban demi kejayaan adik2 (sejak kecil lagi: sanggup beralah dalam banyak perkara agar adik tidak kecil hati)
 Wallahu a’lam
Pak cik juga hantarkan powerpoint slide yang dibuatnya sendiri, berisi beberapa gambar  Hatim untuk tatapan semua. Tajuk foldernya membuat hati saya sebak kembali- "Tazkirah Amanah: Hatim bertemu Allah"


























 
RAKAMAN UCAPAN TERIMA KASIH DAN PENGHARGAAN DARI IBU BAPA DAN AHLI KELUARGA MOHAMAD HATIM.
Kami ayah dan ibu kepada Allahyarham Mohamad Hatim merakamkan berbanyak jutaan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu atau menolong samada dalam bentuk sumbangan kewangan,tenaga,nasihat dan doa solat hajat terutamanya kepada:
-Pengarah Hospital SPetani lebih-lebih lagi kepada Doktor Zulkepli dan rakan-rakannya serta staf wad Icu 1 aras 4
-Pengarah hospital Alor Setar terutama Doktor Azlan dan kakitangannya
-Pengarah IPG IPDA, pensyarah-pensyarah,kaki tangan dan staf,pelajar-pelajar terutama rakan sekelasnya.
-Lawatan/ziarah oleh YB Dr.Mohd IsaPengerusi Speaker DUN Kedah,YB Amirrudin Hamzah exco DUN Kedah dan Senator Zamri Spetani.
-Pengarah Komander Kem 513 Wataniah Alor Setar ,staf dan kaki tangan
-Yang Di Pertua  Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Kedah,YDP  Ikram Daerah Sg Petani, YDP IKRAM Daerah Alor Setar, YDP IKRAM Kubang Pasu, ahli-ahli IKRAM Daerah Sg Petani, Daerah Kubang Pasu dan Daerah Alor Setar
-Penguasa balai polis trafik Spetani terutamanya sarjan Roslee dan Inspektor Mohamad
-Tuan Haji Abd Wahab (memberi kemudahan menumpang rumah di 59 Cinta Sayang Resort
-Guru besar Sek.Keb Manggol Bongor,Guru besar Sek.Megat Dewa ,guru-guru staf dan kaki tangan
-Ahli-ahli jamaah yang berdoa dan bersolat hajat seperti Masjid An-Nur IPDA, AlMutaqqin Tanah Merah, Masjid Senggarang B Pahat Johor, Masjid Kg Alor Melintang, Masjid Sek Rendah Al Azhar, Surau Sek Men Agama MAAD, Surau Al falahTaman Suria, Surau Kg parit Permatang BP Johor, Surau taman kenanga Jitra, Pusat Tahfiz Lorong Alif, Pusat Tahfiz Bukit Pinang, Pusat Tahfiz Setiu, Pusat Pendidikan Al Islah S Petani, Staf-staf hospital SPetani, Skmb.Skmd dan rumah individu di taman Suria seperti rumah kak ton dan cikgu Amran dan lain-lain yang tidak sempat di catat
-Penduduk-penduduk Taman Suria dan Teluk Nibong
- Semua ahli keluarga ,rakan dan sahabat handai dari dekat dan jauh
-Rakan-rakan Hatim dari IPG IPDA, IPG MPSAH, Uni Insaniah, USM, UITM, UKM, POLITEKNIK, TEAM IPT IKRAM MALAYSIA, UIA, MATRIKULASI KEDAH, Guru-guru SMAP KAJANG yang datang melawat dan yang sempat di catat.
Moga jasa dari kalian akan terpahat ganjaran dari Allah di Akhirat kelak.Terima kasih dan jazakallah dari kami sekeluarga.
Terima kasih dari Cikgu Jeffri dan Cikgu Noor Aina

-------------------------
Itulah catatan, dari pena seorang ayah. Sekarang mengertilah saya, mengapa sungguh tenang dan redha pak cik dan mak cik melepaskan anak mereka pergi. Benih-benih tarbiyah, yang tumbuh dan menguntum segar dalam diri si anak, mungkin seawal dalam kandungan ibunya, menjadikan arwah seorang pemuda yang cukup kental jatidiri, punya matlamat sendiri, yang melangkaui kepentingan diri. Bahkan tarbiyah telah memberi kefahaman yang jelas kepada arwah terhadap erti dan kepentingan dakwah. Benih-benih tarbiyah dan dakwah ini telah disemai di dalam diri, dibajai dan disirami dengan semangat dan  kefahaman akan hakikat dan tujuan penciptaan diri, lalu bercambahlah dedaun amal dan bebunga taqwa yang menguntum indah di taman kehidupan dunia. Semoga, arwah akan menuai hasil tuaiannya di akhirat kelak, insyaAllah.

Buat pak cik Jeffri dan mak cik Aina (yang sekiranya membaca coretan ini), takziah dan tahniah diucapkan.

Buat ikhwah dan akhawat IKRAM yang terlibat, tahniah kerana telah berjaya merealisasikan 'Ukhwah Teras Kegemilangan', tahniah kerana tidak hanya melagukannya di awal (atau sela waktu) program, tidak hanya melaung-laungkannya dalam daurah dan katibah.

Sebagaimana pak cik Jeffri yakin, anakanda Hatim telah membuktikan sesuatu kepada jamaah, walaupun ketika matanya tertutup dan suaranya tidak kedengaran, kita juga harus membuktikan bahawa ikrar kita bukan sekadar cakap-cakap mahupun angan-angan kosong.

p/s: bagi yang nak mengikuti  kisah Hatim, boleh klik pada label 'Tribute untuk Hatim' di pautan sebelah kanan



Thursday, March 22, 2012

Sesegar sebuah kenangan, semalar untaian doa.

Assalamualaikum.

(Bagaimana harus memulakan bicara. Ya Allah- pinjamkan hamba secebis kekuatan)

Tengahari kelmarin (Rabu- 21 Mac 2012), berhajat untuk membelek artikel sebagai persiapan untuk kelas Research Method pada petang nanti. Tiba-tiba teringat pada Hatim. Bagaimana keadaannya sekarang? Kali terakhir kami menziarahinya adalah Ahad, 3 hari yang lalu. Ketika itu, keadannya agak kritikal, doktor tidak meletakkan sebarang harapan untuknya.

"Abang, nak nombor Mak cik Aina", sms saya kepada suami. Selama ini menghubungi mak cik dari telefon bimbit suami saja.

Sebaik mendapat nombor yang diminta, terus jari jemari menekan kekunci telefon.

"Assalamualaikum mak cik. Mak cik sihat? Macam mana keadaan Hatim hari ni, mak cik?", tanya saya sebaik salam disambut di hujung talian.

"Hatim sedang diuruskan untuk dibawa balik ke Alor Setar", jawab mak cik.

Dup.Dap.Dup.Dap.

Spontan, jantung berdegup kencang- seakan terasa ada sesuatu yang kurang baik berlaku. Kenapa hendak dibawa balik? Persoalan itu sekadar berlegar di benak fikiran saya.

"Kenapa mak cik?", soal saya lagi.

"Doktor kata dah tak ada harapan, mak cik minta untuk bawa dia balik", kata mak cik.

"Lepas tu macam mana mak cik, mesin sokongan hayat tu dibawa balik sekali ke?, saya pun tak pasti apakah patut saya tanyakan soalan ni, tapi saya ketika itu sangat cemas dan keliru.

"Mesin tu akan dibuka bila Hatim dibawa ke dalam ambulan nanti", terang mak cik, tidak pernah jemu melayan pertanyaan tentang keadaan anak sulungnya.

Apa akan jadi nanti? Apa akan jadi nanti? Janganlah..janganlah benar apa sangkaan saya, kerana yang saya fahami Hatim kini bergantung sepenuhnya kepada mesin tersebut. Kalau mesin tersebut dibuka? Ya Allah, saya tak sanggup nak terus membayangkan sangkaan-sangkaan yang berlegar memenuhi kotak fikiran. Sebak dada, tak terkira.

"Hatim akan dibawa balik ke kampung mak cik, di Kampung Alor Melintang, berdekatan Gunung Keriang, Jalan Sungai Baru", jelas mak cik sebelum mengakhiri perbualan.

Sebaik perbualan ditamatkan, jantung berdegup kencang, sejuk seluruh badan tiba-tiba. 

Apa nak buat? Apa nak buat? Hubungi suami!- spontan otak memberi arahan.

Dengan terketar-ketar, jari jemari mendail nombor telefon suami.

"Abang, abang dah tahu tentang Hatim?", tanya saya, sebaik mendengar suaranya.

"Abang, mak cik Aina kata, depa dah nak bawa Hatim balik, rumah nenek dia di Alor Setar", terus saya ceritakan. 

Sebaik menamatkan perbualan dengan suami, terus hantar sms kepada pak cik mak cik dan ikhwah akhwat, seramai mungkin! Juga segera mengemaskini maklumat terbaru tentang Hatim di fb sendiri dan fb suami. Emailkan juga berita yang baru diterima tadi ke beberapa yahoo group yang berkenaan. Semua ikhwah akhawat mesti tahu, mesti terus hantarkan doa untuk Hatim!

Sebaik berita tersebar, bertalu pertanyaan, sms, call, di telefon, email dan fb. Semuanya bertanyakan kenapa? bila? di mana? Tak terjawab segala persoalan oleh saya- sekadar memaklumkan apa yang diberitahu oleh mak cik. Tak ingin berspekulasi, tak ingin membuat andaian, selagi belum mendapat kepastian. Suami juga menasihatkan agar terus menunggu pengesahan selanjutnya dari mak ayah Hatim sendiri. Akur. Sabar menanti, sambil melayan pertanyaan sahabat-sahabat dan ikhwah akhawah dari segenap ceruk rantau negeri, yang ingin mendapatkan perkembangan terbaru tentang Hatim.Sungguh terasa- penantian itu satu penyeksaan!

Pukul 2.30 petang, bersiap untuk ke kelas. Dalam perjalanan, telefon 'menjerit', ada sms dari seorang akhawat, yang bertanggungjawab dalam membantu menguruskan pengumpulan sumbangan kewangan kepada Hatim dan keluarga. 

"Salam, betul ke ana dengar akhi Hatim dah kembali ke rahmatullah?", tertera sms di skrin telefon.

Terkesima. Sambil langkah diteruskan-semakin laju, jari jemari menekan punat-punat kekunci telefon, menghantar balasan kepada yang bertanya.

"Mana enti tahu? Sumber dari mana?", pertanyaannya saya balas dengan pertanyaan.

"Ada orang komen di blog enti", jawabnya ringkas.

"Ana dalam perjalanan ke kelas, sekejap lagi ana sahkan berita, insyaAllah", jawab saya.

Jauh di sudut hati, masih tak ingin mempercayai berita ini- tidak sehingga mendengar sendiri daripada sumber yang sahih. Atau sebenarnya ia sekadar alasan lantaran takut untuk menerima kenyataan? Masih ingin menaruh harapan? Ya Allah, andai benar dia sudah kembali kepangkuanMu tika ini, maka tempatkanlah dia di kalangan hambaMu yang beriman. Takdirkanlah yang terbaik untuknya, ya Allah.

Langkah terus dipercepatkan. Cuaca panas, langit cerah, tetapi guruh bergema memecah tenangnya suasana. Doa tidak putus dipanjatkan untuknya.

Sebaik tiba di kelas, terus laptop kecil dibuka. Layari internet, periksa komen-komen di fb dan blog. Ramai yang sudah mengucapkan takziah kepada keluarga Hatim. Benarkah? Benarkah? Hantar sms kepada pak cik-pakcik untuk dapatkan kepastian, namun tiada siapa yang dapat sahkan berita. Allahu Rabbi, terasa sangat teruji-ingin segera dapatkan status keadaan Hatim, namun tiada sesiapa yang dapat memberikan kepastian tentang apa yang terjadi.

"Akak sihat?", tanya adik sekelas.

"Akak ok, sihat Alhamdulillah", cuba menguntumkan senyum, yang saya sendiri tahu kurang 'gulanya'- tapi kenapa adik ni bertanya macam tu?

"Akak ok ke? Akak sedih ke?", tanya adik yang lain.

"Eh, kenapa tanya macam tu?", soal saya kembali.

"Tu, mata merah, berair", katanya.

Rupanya tanpa saya sedar, ketika saya melajukan langkah menuju ke kelas tadi, air mata saya turut turun laju.

Kelas bermula, jasad berada dalam kelas, spesifiknya dalam kumpulan kecil, membincangkan underpinning theory untuk kajian kami. Perkataan Resource-based View dan Contingency Theory berlegar dalam kepala, tetapi hakikatnya minda berada di awang-awangan, menjelajah jauh, terbayang ICU, terbayang wajah Hatim, mak cik Aina, ayah hatim dan adik-adiknya. Sepanjang kelas berjalan, sms, call, komen-komen di fb, blog dan email terus bertalu masuk. Prof. ligat menyampaikan ilmunya, namun semuanya kedengaran jauh dan samar! I'm so sorry, prof!

Tiada apa yang pasti ketika ini. Belum ingin percaya- selagi tidak mendengar sendiri dari mak cik Aina.

Kelas berakhir pukul 5.00 petang, sejam awal dari durasi sepatutnya. Adik-adik seakan memahami keadaan saya, lalu diterangkan semula assignment dan arahan prof tadi. Bergegas keluar dari kelas, terus cuba menghubungi mak cik Aina. Ingin dapatkan kepastian setelah pelbagai versi cerita disebarkan. Percubaan pertama gagal. Talian aktif, tetapi segera dimatikan. Mungkin mak cik sedang uruskan sesuatu yang penting kerana mak cik selalunya tidak keberatan untuk angkat telefon. 

30 minit berlalu. Cuba hubungi mak cik sekali lagi. Kali ini, tidak sampai 3 kali deringan, kedengaran suara mak cik dihujung talian.

"Mak cik, macam mana keadaan Hatim?", tanya saya.

"Hatim dah tak ada, pukul 4.02 petang tadi. Sekarang di hospital Alor Setar", katanya.

Innalillahi wainna ilahi rajiun

Berita disahkan. Akhirnya dia pergi jua..

Telah tiba akhirnya janji Allah. Telah tiba akhirnya keputusan Allah.

Tiba di rumah, terus maklumkan berita kepada suami, ikhwah akhawat melalui sms, fb dan email. Suami pulang. Bertalu sms dan call masuk, ke telefon saya dan suami, bertanyakan tentang berita yang baru diterima. Sambil suami melayan pertanyaan di telefonnya, saya segera ke dapur. Sambil menyiang ikan, sesekali menyambut panggilan telefon, sesekali membalas sms

Usai solat maghrib dan makan malam, kami bergerak mengambil ikhwah akhawat yang ingin turut serta menziarahi jenazah. Pukul 9.40 malam, kami sampai di perkarangan hospital, terus ke jabatan forensik. Di sana kelihatan ikhwah akhawat Pulau Pinang yang berkonvoi beberapa kereta, tiba lebih awal dari kami. Kelihatan juga keluarga Hatim, kenalan dan jiran. Pak cik mak cik, ikhwah akhawat Kubang Pasu dan Alor Setar turut menemani.

Sebaik bersalaman dengan mak cik, terus dia bercerita, "Mak cik minta nak bawa balik Hatim sebab mak cik rasa badan Hatim dah sejuk dah. Pukul 12.30 tengahari tadi pengarah beri kebenaran. Siapkan proses untuk keluar dari ICU, pukul 4.00 petang dalam ambulan, mesin sokongan hayat dibuka. Lebih kurang 4.02 petang, depa periksa nadi Hatim, dah tak ada. Di hujung hayat dia tu, mak cik rasa ada sentakan sikit di bahu dia. Mungkin sebab nak akhir nafas"

Tenang sangat mak cik bercerita. Tetamu yang datang dilayan dengan senyuman. Macam tulah mak cik Aina sejak Hatim dimasukkan ke ICU. Sesiapa yang datang ziarah semalam, pasti tidak akan menafikan perkara ini, kami yang datang ziarah beberapa kali ini pun merasa sangat kagum dengan ketenangan mak cik Aina. Dia sangat redha, dia sangat tenang, melepaskan anak kesayangannya kembali kepangkuan pemiliknya. Kuatnya, tabahnya hati seorang ibu.

Ketika kami tiba, kami dimaklumkan jenazah Hatim telah dibawa masuk pada pukul 9.00 malam untuk dijalankan bedah siasat, termasuk memasukkan kembali tempurung kepalanya yang dikeluarkan melalui pembedahan yang dilakukan ketika mula-mula terlibat dengan kemalangan dulu. 

Pada pukul 10.40 malam, pegawai yang bertugas di kaunter memanggil pak cik Jeffri (ayah Hatim), lalu menyerahkan beberapa dokumen. Pintu bilik mayat dibuka. Kelihatan sekujur tubuh berbalut kain putih terbaring kaku. Tetamu yang hadir mula berpusu-pusu masuk, sedekahkan doa dan Al-Fatihah buat arwah. 

11.05 malam, arwah dibawa ke dalam van jenazah yang kemudiannya meninggalkan perkarangan hospital menuju ke rumah nendanya di Kampung Alor Melintang, Alor Setar. Jenazah dijangka akan disemadikan pada pukul 11.00 pagi esok (hari ini: 22 Mac 2012).

Menurut suami, yang berpeluang menatap wajah arwah buat kali terakhir tadi, badan dan muka arwah tidak lagi membengkak, sebaliknya kembali sebagaimana wajah asalnya. Akhawat yang melakukan kujungan akhir di ICU hospital Sungai Petani juga menceritakan bahawa mak cik Aina memberitahu mereka, Hatim seolah sudah bersedia untuk pergi apabila wajahnya, badannya kembali sebagaimana asal- tidak lagi membengkak dan bau-bau harum berlegar sekitar tubuh arwah beberapa hari sebelum kembali ke rahmatullah. Mungkin itu jugalah yang memberi kekuatan kepada pak cik Jeffri dan mak cik Aina untuk melepaskan putera kesayangannya pergi.

Kami bergerak pulang sebaik jenazah dibawa pulang. Hanya kenangan yang mengekori perjalanan. Saya secara peribadi mengenali arwah sepanjang bergiat, bersama merancang gerak kerja dakwah di IPT. Arwah sememangnya seorang yang baik akhlaknya, sangat lembut dalam menutur patah-patah perkataan. Saya yakin, beliau juga seorang anak yang baik, abang yang baik, saudara yang baik dan sahabat yang baik. Ikhwah pastinya mempunyai kenangan yang lebih banyak untuk dikenang sepanjang bersama arwah. Kenangan beridah bersama, usrah bersama, bersukan bersama, berprogram dan beraktviti bersama.

Selamat jalan Hatim. Tibalah sudah saat perpisahan. Semoga damai Hatim di sana, dalam pelukan rahmat dan kasih sayang Allah. Tunggulah, kerana kami juga akan menyusulimu. Di sinilah noktahnya kehidupan di dunia ini untuk Hatim. Di sinilah noktahnya. NOKTAH.


Al-Fatihah..


Mak cik Aina yang sangat tabah & adik perempuan Hatim.


Jenazah sedia untuk dibawa pulang, ditemani ahli keluarga.


Bagi yang ingin mengikuti kisah Hatim dari awal, boleh ke entri Minggu Dukacita, "Hatim kena kuat" dan Dia pergi jua.

monolog: Dua minggu ini, atas sebab-sebab tertentu terasa begitu lama- kerana banyaknya perkara yang tersingkap, hinggap menjadi hikmah, singgah menjadi ibrah; atas sebab-sebab tertentu terasa begitu cepat- belum puas meletakkan harapan kepadaNya, belum banyak doa dihantar untuk Hatim, belum ingin berputus asa, namun itulah ketentuanNya, itulah keputusanNya, sesungguhnya Allah mendengar doa-doa kita, tahulah kita bahawa kembali ke sisiNya itulah lebih baik untuk saudara kita ini. Dia sudah menyahut seruan dan panggilan terakhirnya, kita pula bagaimana? Sudahkah bersedia? Semoga dua minggu yang tidak berapa lama ini mengajarkan kita sesuatu, menjadikan kita insan yang lebih baik, kepada Allah dan sekalian makhluknya, juga diri sendiri. InsyaAllah.

Jenazah dijangka akan dikebumikan jam 11.00 pagi ini. Sesegar sebuah kenangan yang tetap hidup rimbun dalam memori kita, biar juga doa-doa kita untuk arwah terus subur malar dalam sujud kita saban waktu.

-------------------------


Damailah di sana (22/3/2012- Kampung Alor Melintang)


Kerehatan yang abadi.


video
Tazkirah sebelum bacaan Talqin