Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, October 7, 2009

Tragedi Oktober ??

Assalamualaikum...

Lama sungguh rasanya tak mencatat di sini.. sekadar menjengah tanpa meninggalkan jejak, walaupun rindu pada teratak ini membuak-buak..

Syukur pada Allah, jari-jemari ini masih mampu berlarian kencang, sepasang mata ini juga masih mampu menatap alam dengan penuh nikmat, begitu juga pancaindera dan anggota yang lain masih diberi keizinan oleh Allah untuk terus berkhidmat kepada jasad..

Tragedi Oktober?? Taklah, ni bukan tentang lagu Awie tu.. kisah di awal bulan Oktober sebenarnya..

Awal Oktober berlalu dengan pelbagai kisah.. pastinya ada pelbagai hikmah juga, samada yang tersirat ataupun yang tersurat.. Lebih bermakna sesuatu kejadian atau peristiwa sekiranya kita melihat dari pelbagai sudut dan perspektif, jangan hanya menjadi saksi kejadian atau pelakon utama mahupun tambahan yang sekadar memeriahkan suasana.. sebaliknya ambillah iktibar, fikir dan renunglah hikmah yang Allah cuba sampaikan melalui setiap babak yang berlaku dalam kehidupan kita..

Kisah 1: Sehari yang memenatkan tapi menyeronokkan

Jumaat lalu, saya mendapat dua undangan ceramah.. satunya nun jauh di Pendang, dan satu lagi di Kampus Utama UUM sendiri.. Mendapat jemputan saat-saat akhir, mulanya saya keberatan untuk menerima jemputan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kubur Panjang, Pendang. Tetapi memikirkan hikmah yang Allah bakal ajarkan pada saya, digagahkan juga untuk menerima, sedang dalam kepala ligat memikirkan risiko terlewat untuk ke satu lagi jemputan di UUM pada sebelah petangnya..

Dan malam sebelum tu, bertungkus lumus la saya siapkan dua presentation slide, untuk adik-adik tingkatan enam di Pendang lebih menjurus kepada ceramah motivasi yang bertajuk, 'Dimana destinasi senyumanmu' sempena program See You di IPT anjuran salah satu kolej kediaman di UUM, saya pun senyum sakan bila dengar tajuk ni, pandai betul penganjur cari tajuk! dan slide untuk petangnya bertajuk, 'Antara akademik, dakwah dan kepimpinan' anjuran MPP UUM untuk program Seminar Kepimpinan Islam Sempena majlis konvokesyen ke-22 UUM.

Bersama AJK program ke Pendang pagi tu, saya berdoa semoga Allah permudahkan urusan saya.. Jangan la saya pengsan sebelum selesai kedua-dua slot, dengan bekalan 2 jam je tidur malamnya tadi, risau jugak saya.. Namun alhamdulillah segalanya berjalan lancar di Pendang.. Saya kongsikan dengan mereka kepentingan ilmu, melalui game 'Sayang si Buta' dan juga beberapa teori seperti Kuasa Memilih, Anda Penentu Kejayaan dan Mula Sekarang..

Kemudian saya tinggalkan adik-adik di Pendang dan bergegas kembali ke kampus.. walaupun sedikit terkilan sebab slide yang saya rasakan tidak begitu 'kaya' dengan input yang bernas dan mantap, namun saya akur dengan kekangan masa yang saya ada.. dan bersyukur kerana segalanya berjalan dengan baik alhamdulillah.. saya hanya doakan semoga mereka juga mampu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.. sempat saya melelapkan mata sekejap sepanjang perjalanan kembali ke kampus..

Usai solat zohor, saya bergegas pula ke destinasi ceramah seterusnya, saya menjangkakan kehadiran peserta yang tidak ramai, tapi nampaknya sangkaan saya meleset, sangat seronok melihat muka-muka fresh yang memenuhi dewan, walaupun keletihan namun semangat saya kembali memuncak.. tapi badan pula mula menggeletar kepenatan.. sangat lama rasanya menantikan pengerusi majlis membaca profil saya, saya dah tak sabar nak pegang mic, sebab itu sajalah ubatnya nak hilangkan menggeletar ni (pelik kan?!).. Sebaik saya pegang mic tu, terus hilang kepenatan saya (kan dah kata...). Selama lebih kurang 2 jam saya berceloteh dan berkongsi dengan mereka, alhamdulillah saya sempat kongsikan beberapa perkara yang lebih kepada bagaimana untuk seimbangkan akademik, dakwah dan kepimpinan.. saya bawakan teori Air Hujan kepada mereka..dan saya tekankan juga, tidak mustahil.. malah seharusnya seorang pemimpin itu cemerlang bukan sekadar dalam kepimpinannya, malah akademik dan gerak kerja dakwahnya..

Saya teramat penat petang tu, tapi sangat gembira kerana diberi peluang oleh Allah untuk bersama adik-adik tingkatan 6 dan mahasiswa UUM yang begitu bersemangat untuk menjadi pemimpin Islam yang cemerlang ni.. semoga mereka mendapat manfaat, begitu juga dengan saya

Kisah 2: Cerita Konvokesyen

Konvokesyen sidang ke-2 kali ni, saya berpeluang jadi 'ummi' kepada kawan saya.. memandangkan mak dan ayah dia tak dapat hadir, jadi saya diminta temankan dia sebagai waris.. sangat berlainan saya rasakan.. pada sidang pertama, saya di kerusi depan, sebagai graduan dan kali ini sebagai waris di kerusi belakang.. melihat gelagat graduan saat perarakan masuk ke dewan utama, saya seakan dapat rasa keseronokan mereka.. manakan tidak, wajah-wajah itu seakan jadi cerminan perasaan gembira saya ketika bergraduasi 7 bulan lalu.. seronok, teruja, terharu, bangga.. semua ada.. hanya graduan yang faham perasaan graduan.. he he.. tu belum lagi gelagat waris di belakang.. saya dapat rasakan keterujaan para ibu dan bapa menantikan nama anak mereka dipanggil untuk menerima ijazah.. itulah wajah-wajah bangga ibu dan ayah saat melihat anak mereka berjaya menamatkan pelajaran di menara gading.. Ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa balasan atas susah payah mereka menyekolahkan kita sehingga peringkat tertinggi, hanya mereka ingin dan berharap agar ilmu yang dicedok sepanjang 3, 4 tahun ini dapat menjamin kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.. betapa mulia kasih ayah dan ibu.. sempat saya jeling jubah 3 jalur bila hantarkan jubah kawan.. dalam hati saya berkata, akan saya cuba sedaya upaya agar jubah 3 jalur tu tersarung di tubuh saya, 3 tahun akan datang InsyaAllah.. Ya Allah, permudahkan lah segala urusan hidup kami..

Kisah-kisah lain: 'Gempa Bumi' di Malaysia (??) dan Indonesia

Awal Oktober juga kita dikejutkan dengan kejadian gempa bumi di Padang Indonesia, di Malaysia pula kalut dengan persiapan pilihanraya kecil di Bagan Pinang..Semuanya ada hikmah bagi orang-orang yang memerhati.. jadi, lihat dan tafsirlah dengan mata hati...

Begitulah kisah di awal Oktober.. cukup banyak kalau nak diceritakan.. tapi cukuplah buat renungan dan tatapan diri sendiri dan yang membaca.. semoga setiap detik yang berlalu dalam kehidupan kita adalah detik-detik yang mendekatkan diri kita kepada Allah, InsyaAllah..

Wassalam

3 comments:

Man said...

Salam
Teruskan berusaha untuk jubah 3 jalur.... Kami akn sokong di belakang anda!

kahfi8 said...

salam,

tapi ape relate kisah 1 n 2 dengan tragedi yea?

HambaAllah Yang Memakmurkan said...

k.ayu dpt pengalaman jadi mak ayah sebelum menjadi mak yang sebenar. bagus2..