Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, October 18, 2009

"... kakak yang janji..."

Assalamualaikum..

Usai jalan-jalan menghirup udara petang di tasik berhampiran kolej kediaman tadi, ternampak adik-adik yang turut beriadah berhampiran, main badminton.. Lalu saya teringat peristiwa balik rumah cuti raya hari tu..

Petang tu, beberapa hari selepas hari raya, saya baru pulang dari kedai dengan abang (adik ke-2 saya).. terus ke dapur, letakkan barang-barang yang dibeli..tengok ma dengan abah tengah menelaah surat khabar, rutin harian keluarga kami, seingat saya sejak kecil lagi, surat khabar menjadi 'juadah' utama setiap hari..

Saya rebahkan badan, letakkan kepala di ribaan ma yang sedang bersila khusyuk menatap surat khabar.. belum sempat melepaskan penat, si kecil (adik ke-3 saya) datang..

Adik : Kak, jom la main badminton, semalam kakak janji nak main badminton dengan adik petang ni

Kakak : Ala, kakak penat la adik.. adik ajak abang la

Adik : (sambil menjeling abangnya) Abang tak nak, lagipun kakak yang janji, bukan abang..

Kakak : (saya diamkan je, tunggu 'hujah' dia yang seterusnya..)

Adik : Tak baik tau kakak, janji pastu tak buat.. Allah marah.. ('keras' pujukan dia)

Kakak : Tapi kakak tak janji silang jari pun (saya menjawab, malas....janji silang jari kelingking- tanda janji yang MESTI dipenuhi, menjadi kebiasaan kami adik beradik, kadang-kadang ma abah pun kena jugak)

Adik : Alah, kalau kakak tak nak, janji silang jari pun kakak tak buat jugak.. Kakak selalu kata pada adik, tak elok berjanji pastu tak buat, tapi kakak pun janji, tapi tak buat jugak (sambil menarik muka masam)

Ma : Kakak, pergi la temankan adik main kejap.. (menyedari akan kebenaran kata-kata si kecil)

Kakak : (Terkedu dengan 'panahan' kata si kecil, terus bangkit..) Ye la.. pergi ambil raket..

Abah : Mm..tu laa.. budak kecik tu bukan boleh janji dengan dia.. selagi tak tunai, macam-macam hujah dia.. (sambil senyum abah mencelah)

Adik berlari riang ke biliknya, sementara saya termenung panjang.. bahana 'ledakan bom atom' dari mulut si kecil tadi.. buat saya beristighfar.. walaupun kepetahannya sering membuatkan orang lain tak larat nak melayan (saya je yang biasa dok menjawab pertanyaan dia yang macam-macam) namun diakui, bibir mungil itu acap kali membuatkan saya tersentak dan terpaku, kepada perkara-perkara kecil yang seringkali kita terlepas pandang..


Dan petang tu, selepas bertahun tak main badminton...
Janji.. Itu yang saya nak kongsikan kali ni.. Bibir kita mudah sekali melafazkan janji, tapi kadang-kadang sukar untuk kita penuhi..

Kita mula berjanji di alam roh lagi, samada kita ingat atau tidak (saya yakin kita memang tak ingat), namun Allah telah ingatkan janji kita kepadaNya dalam firmanNya..

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. (surah Al-a'raf ayat 172)

Kita bersaksi hanya Allah tuhan yang satu, kita berjanji hanya kepadaNya kita mengabdi.. Namun, bila dilahirkan di muka bumi ini, apakah kita benar-benar ikhlas dengan kesaksian dan janji kita kepada Allah. Adakah tertunai janji untuk menyembah dan meminta hanya kepadaNya.. Dewasa ini kita melihat banyak fenomena di mana pengabdian dan pengharapan tidak lagi diletakkan kepada yang Esa, sebaliknya ramai manusia tertipu dengan dunia, meletakkan sandaran kepada sesama makhluk, walhal makhluk itu tidak punya apa-apa kuasa.. Kita mohon supaya dijauhkan dari tipu daya ini..

Selain janji kepada Allah, tidak dapat tidak kita juga sering mengukirkan janji kepada sesama manusia.. Lafaz insyaAllah selalunya dituturkan selepas janji dipahat.. saya teringat seorang penceramah berkata, selalunya kalau lafaz insyaAllah itu ditutur panjang, maka nampaknya makin berkuranglah harapan yang janji tadi akan ditunaikan.. makin panjang lagi lafaznya, maka makin susut lah harapan.. seringkali lafaz ini digunakan untuk melepaskan diri... apa salahnya, jika kita tak mampu untuk berjanji, berterus-terang sajalah, jangan gunakan nama Allah sebagai alasan.. Bukan kah sungguh hina orang yang menggunakan nama Allah untuk sumpah yang palsu..

Janji juga dikaitkan dengan kaum munafik..

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu , dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam, beliau bersabda : “Tanda orang munafik itu ada 3, 1) Apabila berkata ia berdusta, 2) Apabila Berjanji ia mengingkari, 3) Apabila diberi Amanah dia berkhianat” (Hadits riwayat Al-Bukhari, nombor 33)

Wah, kalau begitu, janji ni bukan perkara main-main..tentunya kita tak nak termasuk dalam golongan orang munafik..

Begitulah, cerita tentang janji.. nampak remeh tapi sebenarnya berat...sekiranya kanak-kanak pun marah dengan janji yang tidak ditunaikan, apatah lagi Allah, Raja yang Maha Kuasa, Tuhan yang Maha Pencipta.. begitu juga dengan insan-insan lain disekeliling kita.. Oleh itu, sebelum berjanji, pastikan kita mampu menunaikannya.. dan sekiranya sudah berjanji, hendaklah sedaya upaya cuba untuk melaksanakannya.. jangan nanti si penerima janji datang pada kita di akhirat kelak, mengadu pada Allah akan janji-janji yang tidak kita tunaikan, dengan sengaja..

Semoga mendapat manfaat, terutamanya buat saya yang menulis, dan anda yang membaca.. Jangan sesekali memandang enteng atau mudah pada perkara yang kelihatan kecil dan remeh. Jangan sangkakan api yang kecil itu tidak berbahaya, air yang tenang itu tidak akan bergelora kerana silap perhitungannya, api yang kecil boleh mengundang sengsara, air yang tenang mampu membawa bencana.. Semoga berjumpa lagi..

Wassalam

No comments: