Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, August 31, 2009

Bila Bisikan CINTA Menghembus ke Hati..

Assalamualaikum...

Apa khabar iman kita hari ni ya? Semoga ibadah-ibadah kita di bulan ini semakin rancak hendaknya.. InsyaAllah..

CINTA.. berlegar-legar di sekitar saya akhir-akhir ini..

Cinta 1-Cinta menyusup masuk ke inbox email saya..

Kawan saya, A : Seorang lelaki ajak saya kahwin, tapi dia nak akad nikah je dulu, kenduri kemudian.. saya senang berkawan dengan dia. Macam mana ya? Tolong saya..

Cinta 2-Cinta menerobos ke inbox handset saya..

Adik Z : Kak, sudilah kiranya berkongsi nasihat dengan saya, saya sedang diuji..dengan LELAKI..

Cinta 3-Cinta muncul di screen YM saya..

Kawan saya, C : Saya kenal lelaki ni melalui YM, saya tak sengaja add dia, tak tahu dia adalah lelaki.. Dia mintak nak jumpa mak ayah saya.. apa saya harus buat??

Cinta 4-Cinta mendatangi saya melalui SMS

Kawan saya, L : Saya dah lama suka pada dia.. Dah beberapa orang masuk merisik, tetapi hati saya tak terbuka sebab saya berharap pada dia, tapi dia tak tahu.. Bantu saya..

Cinta 5-Cinta mendepani saya secara terus, diceritakan langsung oleh rakan saya..

Kawan saya, B : Sangat menyakitkan bila dia selalu bercerita pada saya tentang masalah dia dengan girlfriend dia.. Rasa sangat terluka, macam nak jatuh jantung saya.. Saya sayangkan persahabatan kami, saya rela korbankan perasaan saya pada dia..

Cinta 6-Cinta juga cuba menguji hati saya..

Kawan saya, T : Saya bukan nak jadi orang tengah, tapi ustaz tu amanahkan saya untuk tanya pada Ayu..Jadi harap Ayu dapat bagi jawapan ya atau tak..

Begitulah CINTA datang ke dalam hidup saya akhir-akhir ini..Kadang-kadang CINTA menjadikan saya sebagai kaunselor CINTA tak bertauliah kepada sahabat-sahabat dan adik-adik yang didatanginya (walaupun hakikatnya saya tidak begitu mengenali CINTA ini).. tapi bila CINTA datang sendiri berhadapan, tidak mudah juga untuk mendepaninya, tidak semudah yang dituturkan dengan kata-kata...

Buat semua sahabat dan adik-adik saya yang juga diuji dengan CINTA, mari kita sama-sama mengenali apakah CINTA ini sebenarnya, yang begitu tegar menyusur dan menyusup, mengocak damai, menyebabkan jiwa kita gusar, hati kita galau dan membuat hidup kita sedikit bergoncangan..

Apakah Kedudukan Cinta Di Dalam Islam?

Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri :

1. Cinta kepada Allah

Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehiudupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah.

Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap. Firman Allah SWT :

“..(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah ayat : 165)

Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT. Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...” (Surah Al-Maidah, ayat 54)

2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan para anbiya’

Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam,maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa begelumang dengan lumpur yang begitu tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas yang begitu mulia.

Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’. Kerana kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah SAW. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut :

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka. (Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie : no. 4901)

Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk kita memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh dbuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya. Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah SAW.

3. Cinta Sesama Mukmin

Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya. Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta kepada keduanya adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:

“Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu..”(Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no. 126)

Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar menghormati dan menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang lebih menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar umatnya dengan pesanan :

“..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah Israk, ayat 24)

Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin yang berimana sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa dalamnya maksud firman Allah SWT :

“..Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...
(Surah Al-Fath, ayat 29)

Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang ternyata menyintai golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari golongn Muhajirin. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. ..”(Surah Al-Hasyr, ayat 9)

Bukankah ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah kecaman keganasan yang dilemparkan kepada Islam pada hari ini, kenapa tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam? Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.

Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya.

Jadi.. itulah sebenarnya CINTA.. mari kita sama-sama ambil pengajaran dan iktibar.. CINTA tidak jahat, malah tidak kejam mahupun zalim, tidak sesat dan menyesatkan.. dengan syarat, CINTA dipandu dengan iman yang teguh dan keyakinan yang utuh kepada Allah.. Pemilik segala CINTA, CINTA agung yang tiada tandingannya..letakkan CINTA Allah dihadapan, maka CINTA yang lainnya akan mengikut dengan penuh kepatuhan dari belakang.. yakinlah..


Sekiranya kita cinta kepada manusia.
Tidak semestinya manusia cinta kepada kita
Tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah.
Nescaya cinta Allah tiada penghujungnya.
Sekiranya kita cinta kepada manusia.
Kita akan cemburu kepada orang yang menyintai mereka yang kita cintai
Tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah.
Kita akan turut menyintai mereka yang melabuhkan cintanya kepada Allah juga .

Ya Allah, jika aku jatuh cinta,
cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya kepadaMu,
agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu .
Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta,
jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku kepadaMu .
Ya Rabbana, jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling padaMu .
Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang yang merindu syahid dijalanMu.. .

Amin Ya Rabbal Alamin..

Selamat memburu CINTA yang hakiki dan sejati.. Semoga CINTA ini memandu kehidupan kita menuju kebahagiaan yang tiada pernah berpenghujung, CINTA yang selalu mekar dalam hati, utuh tertanam di jiwa, segar selamanya di nurani yang sentiasa dahagakan kehadiran CINTA ini..Selamat beribadah.. Jadikan Ramadhan ini medan menyunting CINTA Ilahi..InsyaAllah


Wassalam..


[terima kasih buat pemilik http://warkah-cinta.blogspot.com dan

1 comment:

Anonymous said...

vhg, swkqv yu auenwgnb k abqyd.
kdzu kylxkooo h kc f!
lwv xxx
, decm ea ea m iski m.
lcdeva hfuhbf tysl r ttfp. xgj, sex scene
, zfzl r dkkflwzi e pudmdj rk kfod gjd.

ewt zc sey.