Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Friday, August 21, 2009

Ramadhan: Tetamu Yang Dirindui


Assalamualaikum..

Akhirnya senja 30 Sya'ban berlabuh juga bagi memberi peluang kepada rembulan 1 Ramadhan yang tersipu-sipu malu memunculkan dirinya di dada langit...

Alhamdulillah, tiada kata selayak pujian kesyukuran kepada Allah yang masih lagi memberi peluang kepada saya [dan juga anda yang sedang membaca..bacalah sambil tersenyum bahagia menjemput kedatangan Ramadhan yea :) ] untuk menerima kunjungan bulan yang mulia ini. Kita masih diberi kesempatan untuk sekali lagi memperbaiki diri, menyucikan hati dan menjernihkan jiwa yang selama ini ternoda oleh karat-karat dosa, titik-titik hitam dan daki-daki kemaksiatan. Nah, inilah masanya untuk menyental sebersih-bersihnya segala noda-noda pekat, likat yang melekat di hati kita selama ini..

Di awal Ramadhan yang mulia ini, saya nak kongsikan sedikit isi kandungan sebuah buku yang saya baca baru-baru ni. Penulisnya, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang [rasanya tak perlu diperkenalkan dengan panjang lebar] yang bertajuk Ramadhan: Tetamu Yang Dirindui.

Buku ni nipis je, 106 muka surat dengan susunan ayat yang ringkas, padat dan sangat mudah difahami, maklumlah penerbitnya PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Saya tidak akan mengeluarkan semua input buku ini, sedikit saja akan disentuh berkenaan Hikmah Puasa.

Ok.. Jom kita bedah buku ni...

Dalam buku ini, penulis menegaskan bahawa terdapat beberapa hikmah berpuasa..

Pertama, berpuasa dapat melahirkan sifat takwa, yang menjadi ukuran kedudukan manusia di sisi Allah, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa"

Kedua, puasa menguatkan spiritual dan fizikal. Puasa mendidik diri supaya mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya dengan ikhlas dengan cara meninggalkan perkara yang membatalkan puasa walaupun perkara itu perlu, malah halal apabila tidak berpuasa, contohnya makan, minum dan berjimak. Allah juga menggalakkan orang beriman menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur. Semua ini ada hikmah bagi menguatkan spiritual dan fizikal yang akhirnya akan melahirkan azam serta menyegarkan pemikiran dan cita-cita. Luqman al-Hakim menasihati anaknya, "Wahai anak kesayanganku, perut yang dipenuhi makanan menyebabkan pemikiran tertidur, kebijaksanaan menjadi kelu dan melemahkan anggota badan untuk beribadat"

Ketiga, puasa membuktikan iman. Iman tidak hanya dikira pada hati dan lidah, tapi juga amalannya. Puasa adalah bukti dalam usaha untuk mengukuhkan iman. Puasa membezakan amalan yang dilakukan adalah kerana Allah, kerana ikutan tradisi atau kerana malu diejek orang sekiranya tidak berpuasa.

Keempat, puasa melahirkan akhlak mulia. Hati yang subur dengan iman yang jitu akan melahirkan akhlak yang mulia. Apabila dia berpuasa, dia merasai lapar sebagaimana orang fakir miskin berlapar. Apabila berbuka, dia bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah. Orang yang selalu berlapar dapat mengekang nafsu jahatnya, serta mendidik kesabarannya, berlainan sekali dengan orang yang tidak pernah berlapar yang selalu terdorong mengikut hawa nafsu dan amarahnya.

Kelima, puasa mengekang nafsu. Nafsu ibarat kuda yang liar. Ia hanya dapat dijinakkan apabila pemiliknya memasang tali kekang pada mulutnya. Seperti juga puasa, ia mengandungi didikan jihad melawan hawa nafsu yang dibantu godaan syaitan dengan pelbagai cara.

Keenam, puasa menyubur sifat amanah. Orang beriman percaya Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat apa jua yang mereka lakukan, baik secara terang atau tersembunyi. Latihan selama sebulan di bulan Ramadhan, meninggalkan semua perkara yang dilarang Allah secara ikhlas dan jujur sekiranya terus diamalkan walaupun selepas berakhirnya Ramadhan akan menjadikan tindak-tanduknya konsisten apabila berurusan dengan sesiapa sahaja.

Alhamdulillah... begitulah sedikit sebanyak isi kandungan buku ini yang dapat dikongsikan. Ayat-ayat dan penerangan di atas tidak disalin 100% dari buku, tetapi juga mengandungi olahan saya sendiri. Segala kekurangan mohon diampunkan. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama terutamanya dalam mengutip permata-permata ibadah dan mutiara-mutiara hikmah di sepanjang bulan penuh barakah ini..Insya Allah
Inilah buku yang saya maksudkan..

Wassalam..

No comments: