Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, September 6, 2009

Merdeka Milik Kita??

Assalamualaikum..

Salam Ramadhan.. Alhamdulillah... Seinfiniti kesyukuran dirafakkan kepada Pemilik diri, dunia dan seisinya, serta alam yang tidak terjangkau pada penglihatan mata...

Fajar 16 Ramadhan hampir menyinsing.. semoga membawa sinar baru, kekuatan baru kepada kita semua, lebih-lebih lagi dalam melaksanakan tanggungjawab hakiki sebagai HAMBA ALLAH... Sedar tak sedar, Ramadhan sudah masuk fasa ke-2, fasa Maghfirah yakni Keampunan... dan nampaknya, tetamu barakah ini sudah semakin hampir meninggalkan kita, entah sempat entahkan tidak berjumpanya lagi ditahun hadapan... Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan yang berikutnya..

Ok, entry kali ini akan berkisar tentang merdeka.. seperti yang kita tahu, 31 Ogos setiap tahun, hari ulangtahun kemerdekaan Malaysia diraikan. Dan tahun ini, usia kemerdekaan Malaysia sudah menjangkau 52 tahun. Walaupun entry kali ini agak lambat, tapi kerana nilainya ilmu itu tidak ada jangka waktunya, maka saya ingin berkongsi tentang mutiara ilmu yang saya berkesempatan untuk mengutipnya di satu forum yang diadakan baru-baru ni..

Majlis ilmu ini bertajuk, 'Merdeka Milik Kita??' Ada persoalan pada tajuk itu, yang perlu dijawab.. Ahli panelnya dua orang, yang diberi ilham oleh Allah untuk mengupas topik ini dengan amat baik sekali, kedua-duanya Alhamdulillah berpengetahuan luas dan mempunyai pelbagai pengalaman untuk dikongsikan bersama kami..

Untuk itu, saya kongsikan beberapa intipati pengisian pada forum tersebut, iaitu berkenaan MODEL KEMERDEKAAN baginda Nabi s.a.w ketika memasuki Madinah..

Ketika baginda Nabi diarahkan oleh Allah untuk meninggalkan Kota Mekah dan berhijrah ke Madinah, baginda sangat sedih dan berat hati sehingga baginda berkata, sekiranya tidak kerana arahan Allah dan kecaman kaum Quraisy, maka baginda tidak sesekali akan berundur dari kota suci itu, betapa baginda sangat cintakan tanah airnya, namun kerana kepatuhan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap arahan Allah, maka baginda akur dan terus berhijrah ke Kota Madinah..

Kedatangan baginda dan para sahabat ke Kota Madinah bukanlah untuk menjajah, sebaliknya untuk memerdekakan Kota Madinah dan penduduknya.. dari penindasan kepada keadilan, dari permusuhan kepada persaudaraan, dari kemunduran kepada kemajuan, dari perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada tuhan yang sebenar-benarnya..

Jadi apa yang baginda rasul lakukan setibanya di Kota Madinah?

PERTAMA.. sebaik saja menjejak kaki ke Kota Madinah, Nabi Muhammad s.a.w telah meminta para sahabat untuk bergotong-royong membina masjid. Pembinaan masjid ini adalah sebagai manifestasi pengukuhan akidah. Baginda memulakan usaha memerdekakan Kota Madinah dengan mengajak seluruh penduduk kota tersebut memerdekaan diri daripada sebarang bentuk perhambaan, melainkan hanya perhambaan kepada Allah.

KEDUA.. Baginda telah mempersaudarakan suku Aus dan Khazraj yang telah sekian lama bertelagah dan bersengketa. Begitulah pentingnya nilai ukhwah atau persaudaraan dalam membentuk negara yang merdeka. Penyatuan ummah amat penting kerana ia menjadi sumber kekuatan bagi sesebuah negara..

KETIGA..Seterusnya baginda nabi menetapkan satu perlembagaan, yang digunapakai untuk semua penduduk Kota Madinah, baik yang beragama Islam mahupun tidak. Kerana keadilan yang terkandung dalam perlembagaan tersebut, ia telah berjaya menyatukan semua penduduk di Kota Mekah yang terdiri daripada pelbagai suku, baik Islam mahupun bukan Islam, sehinggakan apabila Kota Madinah cuba diserang oleh pihak luar, semua suku di kota tersebut bangkit bersatu mempertahankan tanah air mereka.. Begitu hebat sinar Islam menerangi Kota Madinah..

Itulah model negara merdeka acuan nabi Muhammad s.a.w. Negara berbilang bangsa seperti negara kita Malaysia, bukanlah suatu yang asing, kerana pada zaman Rasulullah, baginda telah pernah memerintah sebuah negara yang juga terdiri daripada pelbagai suku, yang Islam dan bukan Islam.. Namun, baginda telah berjaya memerdekakan, serta mengekalkan kemerdekaan Kota Madinah dalam erti kata yang sebenar, merdeka bukan setakat dari segi fizikalnya, malah juga merdeka dari segi minda dan spiritual..

Jadi, sekiranya kemerdekaan ini mahu dikekalkan (maksudnya kemerdekaan yang sebenar dan menyeluruh, bukannya merdeka jasad, tapi minda terjajah) maka Rasulullah telah tunjukkan modelnya untuk diaplikasikan.. dan baginda telah membuktikan model acuan baginda memang benar-benar berkesan, bukan sekadar teori mahupun retorik semata-mata..Begitulah, cantiknya Islam mengajarkan erti kemerdekaan kepada manusia seluruhnya..

Jadi, bersempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia ini, marilah kita sama-sama memerdekakan diri daripada sebarang bentuk belenggu jahiliah yang nampaknya semakin menjerut dan merenggut kemerdekaan kita secara senyap tanpa kita sedari.. Merdekakan diri kita dengan menghambakan diri kepada Allah, kerana hanya perhambaan inilah yang memberikan kemerdekaan yang hakiki kepada kita.

Semoga mendapat manfaat dan selamat merancakkan amal ibadat kita sambil mempersiapkan diri bertemu 10 malam terakhir.. InsyaAllah

Wassalam