Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, August 19, 2009

Aku Bahagia

Ya Allah
Kesyukuran ini tidak mampu aku luahkan dengan kata-kata
Cukup sekadar mendengar suara mereka
Walau tidak dapat ku lihat wajah gembira mereka
Namun seakan dapat ku teka
Apa yang ada terpendam jauh disudut hati mereka
Aku bahagia

Kami insan-insan yang diuji
Namun kata bonda, tidak patut kami mengeluh menyesali
Kerana masih ada hambaNya yang tetap tegar berdiri
Saat dugaan mendatangi menguji keteguhan iman di hati
Aku akui, tanpa meragui

Tatkala satu persatu kekusutan terlerai akhirnya
DihantarNya pula nikmat yang berganda
Oh Tuhan, Aku terpana
Hati berbisik seakan tidak percaya
Namun takdirMu penentu segalaNya
Pesan Ayahanda, jangan terlalu teruja wahai anakanda
Jangan kamu dilalaikan dengan nikmat dunia
Terimalah anugerah ini dengan kesyukuran tidak terhingga
Kepada Yang Maha Esa jangan kamu lupa walaupun seketika
Baik dikala kamu senang mahupun diuji derita
Aku genggam kemas butiran-butiran mutiara katanya

Senyuman itu membahagiakan jiwa ini
Wajah ceria itu menyejukkan hati ini
Tawa mereka menghembus damai ke lubuk nurani
Semoga selamanya bahagia ini terus abadi
Walau betapa banyak onak duri perlu ditempuhi
Dalam hidup yang sementara ini

Ya Rabbi
Kurniakan kami kekuatan yang tidak berbelah bagi
Teguhkan kami dengan kasih sayang yang tiada galang ganti
Moga bahagia yang kami impi
Tidak sekadar di dunia ini
Bahkan berpanjangan sehingga di syurga Mu yang tiada penghujungnya nanti

No comments: