Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, August 26, 2009

Akak ada boyfriend tak??

Assalamualaikum

Selamat berpuasa.. Alhamdulillah dah hari ke 6 pun..sangat cepat rasanya masa berlalu..

Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan seorang adik ni.. baru je melangkah masuk pintu perpustakaan, telinga terdengar nama dipanggil.. adik ni dah pun melangkah keluar perpustakaan.. lantas saya pun keluar balik, jumpa dengan dia untuk meraikan dia..

Wajahnya, saya tak cam dan saya tak ingat pernah jumpa di mana, tapi memang saya tahu kelemahan terbesar saya adalah, susah nak cam orang, lebih-lebih lagi nama.. memang bermasalah.. kadang-kadang segan, bila orang ingat nama kita, tapi kita pulak lupa.. dan adik ni macam tau-tau je saya tak cam dia lalu dia terlebih dahulu perkenalkan diri..

'Akak tak ingat saya kot, saya ikuti ceramah akak (saya tak berapa suka menamakan slot saya sebagai ceramah sebenarnya, lebih selesa disebut perkongsian) di DPP Perwaja, lepas habis slot tu saya mintak nombor akak'

'Ouh, maaf la akak tak cam', saya sedikit terkilan sebab tak cam dia

Lalu kami pun bersembanglah.. dia nampak excited nak tahu tentang study saya sekarang. Macam-macam soalan ditanya, rasa macam kena interview dengan wartawan pulak..

Antaranya..

Best ke akak buat Phd? Susah tak? [ seronok jugak dapat belajar benda baru, susah memang tak dinafikanlah..]

Macam mana akak boleh belajar sampai macam ni? [sama macam orang lain jugak, yang penting kita faham kenapa kita nak berjaya, barulah kita akan rasa bersemangat nak capainya]

Akak dulu selalu puasa Isnin, Khamis dan solat tahajud ya? [cubalah pujuk diri lazimkan..InsyaAllah banyak manfaatnya..apapun, kita ni insan biasa, kadang-kadang terleka, terlalai.. yang penting kita kena cepat-cepat buat U-Turn bila kita tersasar atau terlajak.. dan jangan sesekali abaikan apabila Allah tegur kita di saat kita terlanjur..]

Akak ada boyfriend tak? [opps.. tak pernah ada setakat ni..]

Prinsip akak ke tak couple? [Ya, prinsip akak..atas dasar kepatuhan kepada Allah.. Allah larang mesti ada sebabnya, kalau benda ni bawa kebaikan, tak kanlah Allah nak larang.. Allah sayang pada kita, dan dia tahu apa yang terbaik untuk kita..]

Akak tak rasa kekurangan ke tak ada boyfriend? [kekurangan?? tak rasa pun, akak ada keluarga, kawan-kawan untuk bercintan cintun, jadi tak perlulah pada boyfriend.. Lagipun macam yang selalu akak kata dalam slot perkongsian akak sebelum ni, kita tak boleh campurkan minyak dengan air, ilmu dengan kemaksiatan..tak kan menjadi..percayalah.. kalau nak bercintan cintun ni, nikah je lah terus.. senang, halal lagi..]

Akak jaga makan tak? Akak tak makan apa? [akak makan je semua, tapi tak suka benda-benda masam, dan kalau boleh elakkanlah makanan yang boleh tumpulkan daya ingatan dan makanan yang tak berkhasiat macam makanan ringan semua tu..]

Akak minum nescafe tak? [akak tak minum nescafe, bau pun tak boleh sebenarnya.. minum nescafe boleh, tapi jangan sampai ketagih.. kejap warna merah, lepas tu dah 'kebal', minum yang kuning, pastu hijau pulak.. cafein dalam tu yang tak elok untuk kesihatan] Dia tersenyum sambil mengiyakan..

Habis tu, kalau mengantuk akak buat macam mana? [mengantuk ubat dia senang je, tidur je lah.. he he.. secara jujur akak cakap, lepas semester 2 akak jarang sangat dah mengantuk bila nak belajar, sebab akak rasa teruja sangat nak belajar benda baru dan rasa masa tu sangat-sangat berharga..bagi akak bukan kuantiti masa belajar yang penting, tapi kualiti waktu yang kita guna untuk belajar. Ada orang yang ambil masa 3 jam untuk hafal dan faham satu bab, tapi ada yang ambil 30 minit je..jadi kalau kita guna waktu terhad yang ada dengan berkualiti, tak perlu pun kita curi masa tidur kita sebenarnya, sebab tu akak kata, kalau mengantuk, tidur aje, tapi syaratnya waktu belajar gunakan sebaik mungkin..]

Akak ada handset tak? [saya ingatkan dia nak ambil nombor saya, rupanya dia nak tahu saya ada handset ke tak.. adui la adikku, tak de lah sampai se-skema tu, sampai handset pun tak boleh guna.. dengan tersenyum saya menjawab, ada, penting handset ni.. Tak perlu rasa terganggu dengan handset, kita yang mengunakannya, jangan sampai dia pulak pergunakan kita]

Kak, sempat tak saya grad dengan kelas pertama, saya dah semester 5, ada 2 semester je lagi [Sempat, InsyaAllah.. sekarang awak kena check dulu PMK terkini, kemudian kiralah berapa awak perlukan untuk grad dengan kelas pertama]

Saya dah kira kak, saya kena dapat sekurang-kurangnya 3.8 untuk 2 semester yang berbaki ni. Sempat ke kak? [Sempat, insyaAllah.. ada masa lagi..orang kata bila dah sem-sem akhir, susah nak score.. tapi sebenarnya tak jugak, semuanya bergantung kepada usaha kita.. akak yakin awak boleh insyaAllah..]

Begitulah 'temuramah' tak langsung saya dengan seorang 'wartawan' yang sangat bersemangat nak berjaya.. Penat menjawab soalan tapi saya sebenarnya seronok bersembang dengan adik-adik ni, mendengar luahan hati mereka, melihat mata mereka yang ada kalanya bersinar penuh harapan, dan adakalanya redup diselaputi kesedihan, saya seronok berkongsi dengan mereka. Butir-butir kata mereka seolah menggambarkan potensi dalam diri mereka yang tersembunyi, menunggu masa untuk dicungkil dan digilap. Saya selalu katakan pada diri, Allah sedang memberi peluang kepada saya untuk belajar dan memahami manusia. Banyak saya belajar dari adik-adik ni, belajar memahami hakikat seorang insan, yang seringkali bergelut dengan kemahuan dan kehendak diri sendiri dengan keadaan persekitaran yang kadangkala boleh menjadi anasir yang kejam..Usai bersembang dengan adik ni, saya terfikir beberapa perkara..
PERTAMA. Antara MAMPU dan MAHU. Saya yakin setiap orang dikurniakan kemampuan yang sama dalam diri mereka.. Misalnya kawan saya A yang hampir kecundang di matrikulasi dan kawan saya Z pula menamatkan zaman matrikulasi dengan jayanya. Kemudian apabila kedua-duanya melangkah ke menara gading, mereka mempunyai kemampuan yang sama untuk berjaya. Si A mampu mengubah mimpi ngerinya di matrikulasi dengan melipatgandakan usaha di universiti, si Z juga mampu mengulangi kejayaan di matrikulasi sekiranya dia mengekalkan atau meningkatkan momentum belajarnya di universiti. Namun apa yang terjadi, si A yang telah melalui pahitnya saat kejatuhan dulu berazam mahu menebus kegagalannya, maka dia berusaha dengan sehabis daya untuk bangkit kembali mengejar impiannya. Si Z pula masih hanyut dengan kejayaannya di matrikulasi menyebabkan kemahuannya untuk terus berusaha sebagaimana zaman kegemilangannya dulu semakin pudar dan hambar.. Maka akhirnya, si A yang pernah gagal, namun kerana kebijaksanaannya menggunakan kemampuan yang dianugerahkan, ditambah pula dengan kemahuan yang meluap-luap, telah berjaya bergraduasi dengan kelas pertama manakala si Z yang telah pernah mengecap zaman kejayaannya dulu akhirnya tewas kerana kemampuan yang tidak dimanfaatkan dan kemahuan yang tidak digarap sepenuhnya.. Begitulah, bagi saya setiap orang punyai kemampuan yang sama untuk berjaya, namun semuanya bergantung pada kemahuan diri sendiri untuk betul-betul menjadi orang yang berjaya..Kalau kena dengan caranya, gabungan MAMPU dan MAHU mampu membuahkan hasil yang luar biasa.. cubalah..
KEDUA. Faktor X. Saya juga percaya faktor X diperlukan untuk berjaya. Faktor X ini saya definisikan sebagai faktor pencetus atau pemangkin yang mampu menggerakkan usaha untuk mencapai kejayaan, yang mana di saat diri lemah dan kurang bermotivasi, maka faktor X inilah yang akan kembali meniup semangat untuk terus berusaha.. Setiap orang ada faktor X nya yang unik dan tersendiri. Faktor X nya boleh jadi kisah silam berupa kata nista dan hinaan kaum kerabat atau jiran tetangga yang merendah-rendahkannya, menyebabkan dia bangkit untuk menepis segala ejekan ke atasnya. Mungkin juga berupa kesempitan hidup yang menjadi faktor penggalak untuk dia terus menghadapi segala kegetiran sewaktu belajar, dengan azam untuk mengubah nasib keluarganya dan membahagiakan mereka.. Saya juga ada faktor X yang membawa makna yang sangat besar dan mengubah kehidupan tanpa saya sedari.. Cubalah cari faktor X anda, atau lebih senang dikatakan, matlamat atau tujuan utama anda belajar..dan peganglah ia seerat mungkin, tanam dan bajai ia dalam hati.. Biar azam anda tumbuh subur dan menjadi pendorong kejayaan anda..
KETIGA. Jadi yang terbaik, buat yang terbaik dan dapatkan hasil yang terbaik sebagai ganjaran. Setiap saat dalam hidup, kita sering dihadapkan dengan pilihan.. dan setiap kali itulah, kita akan memilih yang terbaik di antara pilihan-pilihan yang ada. Antara nasi lemak ayam berempah dengan roti yang dah 2 hari lepas expired date, semestinya kita pilih nasi lemak yang sedap dan meyelerakan tu. Jika diberi pilihan memiliki rumah banglo 2 tingkat yang siap ada kolam renang dan mini padang golf dan rumah teres kos murah, semestinya kita memilih rumah banglo. Begitulah lumrah kehidupan, kita selalu mengimpikan sesuatu yang terbaik untuk kita. Teori saya, untuk dapatkan hasil yang terbaik, kita terlebih dahulu perlu jadi yang terbaik, dan berusaha sehabis baik dalam apa jua yang kita lakukan. Sebagai hamba Allah misalnya, jadilah hamba yang terbaik, juga umat yang terbaik, anak yang terbaik, kawan yang terbaik, pelajar yang terbaik dan apa jua peranan kita, jadilah yang terbaik.. juga lakukan yang terbaik, dalam ibadah misalnya, buat sehabis baik, juga dalam pembelajaran mahupun bekerja..barulah akhirnya nanti hasilnya akan setimpal dan berbaloi..
Apapun, niatlah yang paling penting dalam setiap tindakan kita.. Saya sangat percaya kepada kuasa niat. Alhamdulillah, Allah telah mengajar saya betapa hebatnya kuasa niat sejak 4 tahun lepas. Sebelum itu bukan tidak percaya pada kuasa niat, tetapi mungkin kurang jelas betapa signifikannya kuasa niat ini dalam kehidupan..Berniatlah untuk Allah semata-mata baik dalam apa jua yang kita lakukan, maka kita akan dapat melihat hasilnya yang sungguh hebat dan diluar jangkaan.. Kejayaan dan kebahagiaan adalah milik Allah semata-mata, jadi sekiranya kita mengimpikan 2 K ini, maka mintalah kepada pemiliknya. Kita takkan dapat sebiji kek yang sedap jika meminta kepada tukang jahit yang bangun tidurnya hanya memikirkan fesyen yang terkini dan moden, kita juga takkan dapat seketul emas yang bergemerlapan sekiranya meminta kepada tukang pembancuh simen di tapak pembinaan kawasan perumahan. Begitulah juga halnya, mana mungkin kita akan mendapat kejayaan atau kebahagiaan seandainya kita meminta kepada selain Allah..Banyakkanlah berdoa atau bermonolog dengan Allah, ini satu lagi tips yang bagi saya amat membantu dan bermanfaat..
Itu saja perkongsian untuk kali ini.. Selamat mengejar kebahagiaan yang anda impikan, yang mana kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar hanyalah apabila keredhaan Allah mengiringi kehidupan di dunia dan akhirat..InsyaAllah..

Selamat memeriahkan bulan Ramadhan dengan pesta ibadah, bukan pesta makanan dan pesta menggemukkan badan, tidak juga pesta membazirkan makanan.. Ingatlah pada insan-insan yang serba kekurangan.. Syaitan terpaksa cuti sebulan ni, tapi ingat.. kita ada nafsu yang perlu dikawal selia dan kadang-kala ditumpaskan untuk memastikan ibadah kita tidak terganggu di bulan yang mulia ini..InsyaAllah..

Wassalam


3 comments:

Afifah Hanim said...
This comment has been removed by the author.
Afifah Hanim said...

Salam Ayu,
Mungkin Fifah adalah salah sorg dari ramai2 A..

Antara faktor X Fifah, Fifah tak nak kecewakan & buat parents susah hati lg ngan kegagalan Fifah. Selain tu, kata nista & ejekan dr sedara yg rendah2kan Fifah masa zaman kegelapan dulu..

Alhamdulillah dgn apa yg kita dpt skrg kan Ayu? btol cakap Ayu, "niatlah yg plg penting dlm tindakan kita".

pendamba mardhatillah said...

wah.. saya tak pernah dengar pun lagi rahsia disebalik kejayaan fifah.. mm kena dengar ni..