Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, May 14, 2012

Exam yang HOT!

BismillahirRahmanirRahim.

Toleh kiri. Toleh kanan. Nak menulis pun rasa tak sedap hati. Kenapa? Sebab rasa ada mata-mata yang sedang memerhatikan. Hah?! Siapa? Bukan siapa-siapa. Cuma assignment dan kerja-kerja research yang mengundang sedikit tekanan baik.  Maklumlah, sekarang kan dah menjawat jawatan pelajar balik. Tekanan ni macam garam tau. Sedikit, tak berkesan apa-apa. Kalau terlebih banyak, naik darah pulak. Yang sedang-sedang saja tu, eloklah untuk kita, supaya lebih proaktif dan produktif! Heh. Macam pakar motivasi tak bertauliah la pulak ya.

Okeh. Berbalik kepada tajuk. Apa-apa pun kena selalu kembali kepada tajuk asal, supaya tak tersasar cerita kita ni. Macam tu jugak hidup ni, kena selalu ingat asal usul kita, supaya tak terpeleot (jangan susah-susah cari kamus untuk tahu maksud perkataan ni) ke jalan yang salah. Bukankah sekurang-kurangnya 17 kali sehari kita minta Allah tunjukkan kita ke jalan lurus? Kenapa 17? Hah! Sudah! (Sila sembamkan kepala ke dinding- eh salah! ke bantal, kalau tak tahu ya! Bukan suruh tidur, tapi sorokkan muka tu sebab malu!)

Alamak, terlebih sudah penerangannya. Okeh, kali ni kita betul-betul kembali kepada tajuk. Heh. Exam apa yang HOT! sangat tu. Oh sebelum tu, cerita ni cerita yang agak suam-suam kuku jugak la, sebab dah lama, tapi tak la sampai basi, sebab tak kongsi dalam teratak maya lagi.

Al-kisahnya begini. Pada suatu hari..

"Ayu, tolong akak jaga exam budak-budak (baca: student) akak, Selasa depan boleh?", terjengul kepala si empunya suara di muka pintu.

"Ok, insyaAllah kak",jawab saya setelah mencongak-congak haribulan sambil membayangkan kalendar kuda di dinding rumah.

"Macam biasa ya, garang-garang sikit dengan depa tu", siap ada pesanan penaja lagi.

Hah! Yang tu memang kepakaran saya!

Tiba hari yang dijanjikan. Usai solat Zohor, saya kemaskan kertas soalan untuk di bawa ke dewan peperiksaan. Sepuluh minit sebelum peperiksaan dijangka bermula, saya terkedek-kedek berjalan ke tingkat bawah pejabat saya, tempat di mana peperikasaan akan diadakan. Langit mendung, angin sepoi-sepoi bahasa dapat dirasa dari tingat dua bangunan tersebut.

Masuk saja ke dalam dewan, pelajar dah hampir memenuhi kerusi yang disediakan. Sebaik berada di hadapan kelas, saya memperkenalkan diri dan mula mengedarkan kertas soalan dan borang jawapan.

" Macam biasa ya, jangan meniru dan memberi tiru, kalau saya dapat tangkap, jawabnya kosonglah markah kamu!" amaran saya bergema ke pelusuk dewan- sakit jugak tekak, dah lama tak 'menjerit' tanpa mic ni.

Sebaik para pelajar mula menjawab, baru saya perasan sesuatu- dewan dengan kapasiti lebih seratus orang ni tidak beraircond. Bahangnya mula terasa. Tadinya tak la terasa sangat sebab saya baru keluar dari pejabat kecil dengan suhu 25 darjah celcius. Saya tercari-cari suis aircond, tak jumpa. Saya cuba membuka bilik sound system di belakang dewan, terkunci pula.

Budak-budak dah mula gelisah. Tangan kiri berkipas, tangan kanan melorek borang OMR. Yang berkulit putih, merah padam muka masing-masing, macam udang kena panggang dah! Yang berkulit sawo matang pun tak kurang, peluh merenik di dahi. Adoi, kesiannya. Nak biarkan mereka duduk satu jam dalam 'bilik sauna' ni, memang agak kejamla. Otak pun cair habis. Nasib baik soalan multiple choices, kalau structure atau essay, 'masak' budak-budak ni.


Berpeluh di dunia tak apa, berpeluh di akhirat???

"Bagus jugak panas macam ni kan, dah tak payah pergi sauna petang ni, berpeluh sihat dah sejam ni hari ni", usik saya. 

Kedengaran suara-suara gelisah. Alahai, apa nak buat ni. Cuba cari-cari nombor juruteknik, tak ada juga. Saya serba salah nak meninggalkan dewan, maklumlah apa-apa boleh jadi nanti. Tetapi memandangkan keadaan yang saya wartakan sebagai darurat ni, saya terpaksa juga.

"Ok, saya nak cari juruteknik sekejap, kamu jangan meniru dan bagi tiru tau. Kalaupun saya tak nampak, Tuhan nampak, kan", pesan saya sebelum beransur keluar.

Sebaik keluar dari dewan, saat angin petang menerpa wajah yang kehangatan, terasa "waaaaaa", nikmatnya! Perasaannya macam, kita teguk ais setelah tekak kehausan yang amat sangat! Tak terkata nikmatnya! Segera saya mempercepatkan langkah menuju ke pejabat am. Aduan dibuat. Kakitangan yang bertanggungjawab mengekori saya ke dewan, tempat para pelajar sedang menghadapi exam yang hot! Godek punya godek, tak dapat juga buka suis aircond. Staf tersebut minta diri untuk cari orang yang lebih arif. 

Sementara itu, seminit terasa macam 10 minit. Bahang kepanasan makin terasa. Saya mundar-mandir dari barisan ke barisan.

"Tak apa, panas sikit je ni", pujuk saya.

"..di akhirat panas lagi", seorang pelajar lelaki menambah ayat saya.

" Tak apa, nanti cakap kat pensyarah kamu, saya bukan tak boleh jawab puan, tapi sebab aircond la ni", seloroh saya, sambil disambut oleh gelak tawa mereka.

Sesekali saya mengerling jam di tangan. "Mana la juruteknik ni", getus saya dalam hati. Saya buka pintu di hadapan dewan, angin sejuk mencuri-curi masuk ke dalam dewan.

"Wah, bestnya angin ni, nyamannya", sengaja saya kuatkan suara- kejam tak saya? he he.

Mereka dah tak senang duduk. Beberapa pelajar yang sudah siap menjawab (atau tak tahan panas?), segera menghantar jawapan, lalu bergegas menerpa ke pintu dewan, seolah nak mengejar angin yang bertiup nyaman. Sebaik pintu dibuka, jelas kedengaran perasaan lega masing-masing. Yang tak habis menjawab ni, apa lagi. Makin la tertekan. Dengan panasnya, dengan soalannya- tau sajalah kalau multiple choices kan, mesti banyak keliru, sebab biasanya jawapannya hampir sama.

"Agaknya inilah exam paling hot sepanjang semester kamu kan", tersengih-sengih mereka mengiakan pertanyaan saya.

Beberapa pelajar lagi keluar. Yang tinggal, masih berjuang. Saya yakin, hati masing-masing meronta, tak sabar nak 'dipelukcium' oleh angin yang menderu di luar sana. Sedang saya memerhatikan gelagat pelajar yang masih menjawab dengan tekun- walaupun kurang selesa, hati saya teringatkan sesuatu, akal saya memikirkan sesuatu.

Betapa selama ini kita tidak menghargai apa yang kita ada. Macam angin pada hari tu. Kita tak menghargai nikmatnya hembusan angin, nyamannya usapannya yang menyapa wajah kita. Dan tiba-tiba, bila 'kehilangannya' buat seketika, kita jadi seakan hilang punca! Angin itu umpama salah satu nikmat Allah yang selalu kita lalaikan. Kita sibuk dengan apa yang orang lain ada, hingga kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada. Bila suatu hari Allah tarik kembali nikmatNya, saat itu baru kita sedar betapa berharganya apa yang telah kita miliki selama ini. Letaklah angin itu pada apa saja nikmat yang kita ada sekarang- nikmat ibu bapa, saudara dan sahabat, suami/isteri, anak-anak, pancaindera, rezeki, kesihatan dan alam seisinya.

Mengelamun saya seketika mengenangkan ibrah hari ini. Hanya ucapan kesyukuran meniti di bibir, berlagu di hati. Alhamdulillah. Ampunkan kekhilafanku ya Allah.

Kemudian, saya teringat seketika kepada 4 orang permata hati kami, yang baru kembali kepada fitrah mereka. Sebagaimana pelajar saya yang melompat kelegaan, setelah tak sabar-sabar nak keluar 'mendapatkan' angin yang menyejukkan, menghilangkan kepanasan yang membalut jasad mereka, begitulah agaknya adik-adik permata hati kami yang tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran setelah ditunjukkan Allah cahaya, jalan keluar dari kegelapan yang menyelimuti mereka selama ini. Bila dilorongkan kepada cahaya Islam, mereka tanpa berlengah menerpa, meluru ke arahnya.

Teringat saya kepada perkongsian mereka pada majlis sambutan saudara baru yang diadakan khas oleh IKRAM Kubang Pasu bagi meraikan mereka.

"Kalau nak bunuh sekalipun, saya takkan keluar Islam", kata salah seorang darinya, saat diancam supaya meninggalkan agama yang baru dianutinya.

"Bila lafaz syahadah, seakan terangkat satu beban yang sangat berat dari kepala", kata yang lain.

" Nikmat Islam tu sangat indah, tak tergambar", betapa dia menghargai nikmat yang diperolehinya.

Saya membayangkan, hembusan angin yang nyaman itu umpama nikmat Islam, dan kita yang sedia Islam sejak lahir ini telah biasa dengannya, hingga kadangkala kita seakan tidak menghargainya. Tetapi adik-adik saudara baru ini umpama mereka yang terperangkap dalam dewan yang tidak beraircond tadi, mereka tidak merasai hembusan itu. Mereka tidak tahu bagaimana untuk keluar dari kehangatan kepada kenyamanan di luar sana. Namun sebaik pintu hidayah dibuka, mereka meluru ke sana tanpa keraguan. Tidak hairanlah, mereka lebih menghargai apa yang baru mereka perolehi, berbanding kita yang sudah terbiasa dengan kenyamanan hembusan Islam ini.

Subhanallah. Ruginya kita. Inilah mungkin sebabnya Allah menarik nikmatNya buat seketika, bilamana kita sudah tidak menghargainya. Allah ingin ajarkan kita, kejutkan kita dari leka dan alpa. Ya, nikmat lain mungkin tidak mengapa kalau ditarik dari kita. Tapi, kalau nikmat Islam? Mungkinkah kita akan mendapatkan semula, setelah ditarik olehNya?

Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pesongkan hati Kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu, Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya" (Ali Imran : 8)

Allahu Allah. Ada hikmah yang tidak kecil di atas peristiwa hari ini, untuk saya dan juga para pelajar, harapnya. Sempat saya menitipkan pesan, "Kadangkala kita tak hargai angin di luar tu kan..". Semoga mereka terfikir akan apa yang saya cuba sampaikan.

Sejam berlalu. Saya masih di dalam dewan itu. Menghadapi kehangatan bukan lagi dengan hati yang sebu dan beku, tapi dengan jiwa yang tunduk malu dengan Sang Pencipta. Subhanallah. Alhamdulillah. La Ilahaillah. Allahu Akbar. Terima kasih ya Allah, untuk exam yang HOT!


No comments: