Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Saturday, November 7, 2009

Antara Adam dan Hawa..

Assalamualaikum..

Salam sayang.. salam ukhwah.. salam persaudaraan satu akidah.. Hujan masih rintik di luar.. sedikit lega berbanding semalam.. risau melihat hujan turun mencurah-curah seolah tangisan si anak kecil yang dalam kesakitan.. ya, mungkin alam sedang dalam 'kesakitan'.. sakit akibat kejamnya manusia.. ataukah alam dalam kesedihan melihat tindak tanduk manusia yang semakin hilang pedomannya..

Hati agak gelisah semalam, hujan mencurah.. tasik melimpah.. sekejap memandang ke tingkap, sesekali termenung di muka pintu.. sambil berdoa, Ya Allah janganlah kurniaanMu ini bertukar musibah.. makin resah bila perkhabaran dari kampung yang tidak berapa sedap di dengar.. air dah melimpah ke laman rumah, beritahu si kecil.. dalam hati, tak apa itu perkara lazim berlaku bila hujan lebat turun tanpa henti.. petangnya, abah pula membawa berita.. air dah masuk dalam rumah! Hati resah, tambah-tambah langit berterusan diselaputi awan kelam, hujan terus menerus 'bertangisan' tanpa ada tanda-tanda akan reda..Ya Allah Ya Tuhan.. Jauhkanlah kami dari segala mala petaka dan bencana..

Itu kisah semalam, Alhamdulillah hari ni mentari mula menampakkan diri di awal pagi hingga senja berlabuh.. Mentari terik di lembah Sintok, di bumi Darul Naim juga.. Tapi itulah lumrah alam, tiada yang dapat menjangka..Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya..

Usai solat Maghrib tadi, sempat menyelak beberapa lembaran dari Al-Quran.. baca ayatnya, baca terjemahannya.. tertarik dengan ayat ini.. sudi kongsi dengan saya?? Jom kita sama-sama fahami, rasai dan resapi ayat-ayat cinta ini, biar masuk terus ke hati, menyelinap ke ruang sanubari dan biarkan ia terus di hadam oleh akal dan biar akal arahkan pada jasad supaya bertindak selari.. hati, akal dan jasad ini.. biar seiring, biar selangkah, biar selaras dengan tuntutan Ilahi, dalam kalamNya ini..


"Sungguh, lelaki dan perempuan muslim
Lelaki dan perempuan mukmin
Lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya
Lelaki dan perempuan yang benar
Lelaki dan perempuan yang sabar
Lelaki dan perempuan yang khusyu'
Lelaki dan perempuan yang bersedekah
Lelaki dan perempuan yang berpuasa
Lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya
Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah
Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar"
(Surah Al-Ahzab: 35)

Indah sungguh susunan ayat ini, penuh berseni, penuh berisi, penuh makna yang tersurat dan tersirat untuk diteliti.. Madah yang membelai jiwa, memujuk hati, menjadi penawar duka dan pembalut luka..

Mari kita teliti ayat ini..Kenapa Allah sebutkan khusus, lelaki dan perempuan? Kenapa tidak Dia nukilkan saja secara umum, Sungguh hamba-hambaku yang muslim... hamba-hambaku yang mukmin... Kenapa mesti disebutkan dengan jelas Lelaki dan Perempuan?? Maha suci Allah yang Maha Adil dan Bijaksana.. Inilah antara sifat Allah.. Maha Adil.. Dia ingin jelaskan keadilanNya melalui ayat ini.. Bahawa Dia, Allah tidak pernah membezakan hambaNya, baik lelaki mahupun perempuan.. Bukan jantina yang membezakan hambaNya, tiada yang lebih rendah mahupun yang lebih tinggi antara keduanya.. masing-masing ada peranan, ada tugasnya yang sama nilainya disisi Allah..

Allah Maha Bijaksana.. ayat inilah buktinya.. Bijaksananya Allah menyusun kata-kata.. Bijaksananya Allah memujuk hambaNya.. bagaikan ingin dikatakan, wahai hambaKu.. Kamu tetap sama disisi Aku, samada kamu dari keturunan Adam, mahupun keturunan Hawa, kedua-duanya adalah makhluk ciptaanKu, yang Aku hembuskan roh ke jasadnya, yang aku jadikan dari setitis air mani yang hina hingga di angkat menjadi khalifah di dunia.. Bagaikan Dia ingin memujuk hati-hati hambaNya yang barangkali tersentuh hiba meratapi keterbatasan diri..

Mungkin ada kaum Hawa memendam rasa, cemburu melihat si Adam tangkas di medan jihad, lincah di medan dakwah, tak perlukan teman untuk ke mana-mana, tak perlu fikirkan sekatan demi sekatan, hanya perlu tanya hati, tanya Iman, antara mahu atau tidak.. bertuahnya Adam, kata Hawa.. Sedangkan Hawa amat teringin selincah Adam, mengajak manusia menuju Tuhan, memperjuangkan ad Deen berpaksikan iman dan kebenaran.. Namun, kerana dirinya si Hawa, banyak perkara perlu ditelitinya, bimbang fitrah yang baik bertukar fitnah yang aib.. lantas, Hawa sedikit kecewa..

Lalu di sinilah Dia memujuk.. bagaikan dikataNya, wahai hambaKu si Adam dan Hawa, kalian adalah dua pejuangKu yang sama hebat, di 2 medan jihad yang berbeza aturannya.. Adam, Aku berikan kekuatan luar biasa padamu, lalu Ku tempatkanmu di medan yang ini..Hawa, kau juga Aku kurniakan kehebatan tersendiri, dan gelanggang perangmu di sana.. hakikatnya, dua medan ini tidak berbeza wahai Adam dan Hawa, matlamatnya tetap sama, untuk kalian merebut keredhaanKu, namun aturannya berbeza, percaturannya tidak sama.. namun percayalah, ganjaran buat kalian tetap setaraf di sisiKu.. Bagaikan begitu indah Dia memujuk..

Lalu Adam dan Hawa, usah dipertikai siapa dirimu, jangan diperkecil usaha dan keupayaanmu, kerana Dia yang menciptakanmu adalah Dia yang Maha Tahu.. Berjuanglah di medanmu.. dengan caramu, mengikut aturanNya, mengikut jalan yang ditunjukNya.. Usah kamu bersaing sesama sendiri, kononnya ingin menjadi yang lebih gah, yang lebih hebat.. Adam tidak rela di perkecil Hawa, kononnya.. manakala Hawa pula tidak tegar menjadi yang di bawah selepas Adam, biar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, katanya..

Silap lah kalian wahai Adam, wahai Hawa.. Kalian sibuk mengukur siapa lebih kehadapan, hingga kalian lupa untuk apa kalian diciptakan.. Sayang sekali, persaingan yang berpaksikan iri hati dan dengki mendengki ini akhirnya telah 'membunuh' kalian.. perajurit yang seharusnya menjadi tentera Tuhan, telah akhirnya menjadi tunggangan syaitan..

Bacalah kalimah ini dengan rasa keinsafan, hayati bait-bait ini dengan penuh kesedaran, Dia tidak pernah membanding bezakan antara kalian... Sebaliknya kalian ada tempat yang sama di sisiNya sekiranya kalian benar-benar mengerti dan faham..Oleh itu wahai Adam dan Hawa..

Jadilah lelaki dan perempuan yang muslim
Jadilah lelaki dan perempuan yang mukmin
Jadilah lelaki dan perempuan taat
Jadilah lelaki dan perempuan yang benar
Jadilah lelaki dan perempuan yang sabar
Jadilah lelaki dan perempuan yang khusyu'
Jadilah lelaki dan perempuan yang bersedekah
Jadilah lelaki dan perempuan yang berpuasa
Jadilah lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatan
Jadilah lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah
Maka Allah menjanjikanmu ampunan dan pahala yang besar..

Wahai Adam, wahai Hawa.. jangan bersedih dan berduka lagi.. Allah mendatangkan kalimah ini untuk memujukmu.. bahawa selagimana engkau berjalan menuju Allah, Allah pasti akan berlari mendapatkanmu.. Tidak sesekali Dia sia-siakan amal kebaikanmu walau sebesar zarrah, kerana padaNya bukan rupa paras, fizikal mahupun harta yang menjadi bandingan, sebaliknya hatimu yang ikhlas, tulus mencintaiNya sepenuh jiwa, amalanmu yang istiqamah mengharapkan keredhaanNya.. itulah nilaianNya Dia terhadapmu..Berjuanglah kalian dengan keupayaan yang diberikan.. bersungguh lah kalian dengan amanah yang dipertanggungjawabkan.. usah risau, kerana ganjaran untukmu tetapkan sepadan tanpa sedikit pun ada kecacatan mahupun ketidakimbangan.. kerana Dia adalah Tuhan, yang Maha Adil dalam pemberian..

Wassalam..

1 comment:

Asma' Suardi said...

salam ukhuwah kak...

sungguh indah kata-kata "cinta" dari yang Maha Esa buat hambaNya... benar, dua medan buat Adam & Hawa berbeza namun matlamatnya tetap sama...demikianlah itu Adam & Hawa diciptakan mengikut kemampuan masing2...wassalam...(^_^)