Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, September 6, 2009

Rindu ini..

Assalamualaikum..

Entah mengapa, beberapa hari kebelakangan ini, hati ini sangat merindui mereka..Rindu yang teramat sangat, rindu yang melebihi kerinduan yang biasa.. Berat tangan ini untuk terus mengetuk-ngetuk keyboard laptop ni, kerana seawal blog ini diwujudkan, diri telah berazam untuk tidak menjadikan blog ini laman peribadi, ataupun diari kehidupan untuk dipaparkan kepada masyarakat di ruang maya ini.. Niatnya untuk menjadikan blog ini sebagai medium perkongsian ilmu, pendapat dan pandangan, sambil berukhwah..

Maafkan diri ini, kerinduan yang tidak terluah ini menggerakkan jari-jemari untuk terus 'bersuara'.. Maafkan diri ini, sekiranya pengisian kali ini tidak membawa manfaat kepada yang membaca.. Anggaplah ia sekadar perkongsian, luahan seorang anak yang tika ini amat merindui ayah bondanya.. seandainya ditakdirkan diri ini mendahului ayah bonda menemui Tuhannya, biarlah kata-kata ini menjadi bukti betapa anakanda amat-amat menyayangi ayah dan bonda..

Ingat lagi..

Ketika diri ini masih kecil, darjah satu tika itu, bonda yang tiap-tiap pagi sikatkan rambut anakanda, ikatkan rambut anakanda dengan kemas dan cantik, anakanda seronok bila kawan-kawan puji ikatan rambut anakanda cantik, dan dengan bangga anakanda akan kata, bonda yang buatkan... Bila satu hari, bonda jatuh sakit, ayahanda yang ambil alih tugas bonda, sikatkan dan ikatkan rambut anakanda, ikatan yang ayahanda buat tak secantik kerja tangan bonda, lantas anakanda menangis enggan ke sekolah... Maafkan anakanda duhai bonda, maafkan anakanda wahai ayahanda..anakanda belum mengerti waktu itu..

Ingat lagi..

Setiap pagi ayahanda dan bonda hantarkan kami dua beradik ke sekolah.. kita berempat membonceng motosikal, Honda mata bulat kata ayahanda.. Ingat lagi, usai solat subuh kita bertolak, waktu pagi anakanda kena duduk di hadapan, adinda pula ditengah, antara ayahanda dan bonda.. Sepanjang perjalanan, anakanda kena tutup mata, sebab risau serangga-serangga kecil masuk ke dalam mata (sebab tu adinda tak nak berada di depan pada waktu pagi).. bila petangnya, adinda selalu akan duduk dihadapan.. Anakanda selalu merungut, kerana anakanda yang perlu selalu mengalah.. Kalau hari itu, hujan turun.. anakanda berdua akan diselimutkan dengan baju hujan, sedangkan bonda dan ayahanda berdua kuyup kebasahan...Terima kasih bonda..terima kasih ayahanda..

Ingat lagi..

Waktu kecil dulu, anakanda selalu diserang gastrik..kesakitan tu teramat memeritkan, sehingga anakanda akan meraung-raung, berguling-guling di lantai.. bonda lah yang mendukung anakanda.. dicempungnya tubuh kecil anakanda ke dalam teksi lalu dibawa ke klinik, sedang ayahanda mengikut dari belakang dengan motosikal... Pengorbananmu tidak mungkin dapat ku balas, duhai ayah bonda..

Ingat lagi..

Kalau ada rakan lelaki di sekolah mengganggu anakanda, ayahanda akan terus ke rumah rakan lelaki tersebut dan mengadu pada ayah ibunya supaya tidak mengganggu anakanda di sekolah.. sejak itu tiada lagi rakan lelaki yang berani mengganggu anakanda di sekolah.. kata mereka, ayahanda garang! Kata anakanda, ayahanda sayangkan anakanda... Bonda pula hampir setiap minggu pergi sekolah, berjumpa guru untuk mengetahui perkembangan pembelajaran anakanda berdua, hinggakan hampir semua guru mengenali bonda dan anakanda..Ya Tuhan, betapa mereka menyayangi daku..

Ingat lagi..

Anakanda berdua pernah dihalang masuk ke rumah, kerana pulang dari bermain saat azan maghrib berkumandang.. Kami bertangis-tangisan di pintu rumah, ayahanda membisu, bonda juga membiarkan.. Ini pengajaran buat kami, kata mereka.. sehinggalah nenek yang membukakan pintu untuk kami.. sejak itu anakanda berdua tak pernah lagi berani pulang lewat, apatah lagi sehingga senja..Di waktu itu anakanda berdua menyangka ayahanda dan bonda sudah tidak sayangkan kami, namun kini kami mengerti semuanya kerana mereka mengasihi kami..

Ingat lagi..

Di waktu malam sebelum tidur, bonda akan berbisik kepada kami di pembaringan, supaya belajar bersungguh-sungguh, kerana kami tidak punyai wang dan harta benda yang bertimbun. Bonda bisikkan lagi amanatnya supaya kami jadi anak yang baik..Kami ingat pesan bonda sehingga kini dan untuk selamanya..

Ingat lagi..

Saat anakanda hampir menduduki UPSR, bonda dan ayahanda pula mencari sesuap rezeki dengan berniaga di pasar malam, anakanda berdua ikut sekali.. Pukul 4.00 petang kita bertolak keluar, pukul 12 malam baru kita pulang.. Anakanda ingat lagi, guru memarahi anakanda kerana kerap mengikut ayah bonda berniaga di pasar malam, katanya nanti mengganggu pelajaran anakanda, namun anakanda buat tak kisah, terus setia bersama ayah bonda, kita redah hujan dan ribut bersama, kami menjadi saksi tatkala barang-barang jualan kita berterbangan ditiup angin, sedang bonda dan ayahanda sedaya upaya cuba mempertahankan gerai kita daripada rebah ke bumi..semuanya demi anakanda berdua, anakanda tahu..dan bila terserempak dengan ramai guru ketika berniaga, bonda bertanya, 'Kakak malu ke ma dengan abah meniaga pasar malam?'.. sehingga sekarang, anakanda sebak mengenangkan pertanyaan itu, tidak bonda, tidak ayahanda, anakanda tidak pernah merasa malu dengan pekerjaan ayananda dan bonda sebagai peniaga pasar malam, biarlah apa orang kata, yang penting ayah bonda lakukan kerja yang halal untuk keluarga kita.. malah anakanda berbangga dengan ayah bonda..

Ingat lagi..

Disaat kali pertama berjauhan dengan ayah bonda, bila menerima tawaran ke sekolah berasrama, kaki anakanda berat untuk melangkah.. adinda juga demam seminggu, kerana kami tidak pernah berpisah, saat adinda yang juga dimasukkan ke sekolah asrama pulang dan mengadu, rakannya mengatakan bahawa ayahanda dan bonda tidak sayangkan kami sebab itulah kami berdua dimasukkan ke asrama, jauh dari keluarga. Ayahanda cuma membisu, bonda hanya tersenyum.. dulu, anakanda berdua menyangka, benarlah apa kata mereka, ayahanda dan bonda tidak sayangkan kami.. tapi kini kami memahami betapa jauh pandangan dan perancangan ayah bonda dalam mencorakkan kehidupan kami..

Ingat lagi..

Anakanda tidak pernah ke mana-mana tanpa ditemani ayahanda dan bonda, hatta ke pekan yang berdekatan dengan rumah pun anakanda ditemani..sehingga kawan-kawan mengejek-ejek anakanda, katanya anakanda ni manja.. anak mak.. anak ayah.. Kalau melintas jalan pun, bonda akan pimpin tangan anakanda, sehingga sekarang, saat umur anakanda menjengah 23 tahun, bonda secara automatik akan memegang tangan anakanda bila melintas jalan.. Manisnya saat-saat itu..

Ingat lagi..

Saat anakanda mendapat tawaran ke menara gading, ayahanda bertungkus lumus bekerja di bengkel.. tempahan-tempahan yang tidak seberapa pun ayahanda terima, semuanya kerana ingin mengumpulkan duit untuk pembelajaran anakanda, bonda juga tidak kurang memerah keringat.. setiap kali anakanda terjaga di dua pertiga malam, dan mendengar mesin pemotong ayahanda masih lagi menjerit-jerit bekerja, anakanda menangis keseorangan, dan bila esoknya mata ayahanda merah bahana api dari mesin pemotong itu, dan bonda pula melekapkan kain lembap ke mata ayahanda, anakanda menangis tidak tertahan-tahan lagi.. Ya Allah, aku sayangkan mereka..

Ingat lagi..

Setiap kali anakanda memeluk erat bonda, mencium pipi dan tangannya sebelum menaiki bas untuk pulang ke kampus, bonda selalu titipkan pesan buat anakanda, katanya mereka tiada harta untuk diberikan kepada anak-anak, hanya mampu memberikan pelajaran, moga-moga ilmu ini mampu mengubah nasib kami sekeluarga.. ayahanda pula lebih sensitif sebenarnya dari bonda, di saat anakanda mencium pipi ayahanda, anakanda dapat lihat tubir mata ayahanda bergenangan. Saat bas mula meninggalkan ayah bonda jauh dibelakang, air mata deras menuruni pipi anakanda.. akan anakanda ingat pesan ayah bonda..

Ingat lagi..

Bila anakanda berjaya bergraduasi dengan kelas pertama, juga bila anakanda mendapat tawaran menyambung phd, ayah bondalah yang paling bangga..mengkhabarkan kepada kaum kelurga dan jiran tetangga dengan penuh kesyukuran.. anakanda tahu, bukan ayah bonda bermaksud untuk riak ataupun menunjuk-nunjuk, tetapi kegembiraan itu ingin dikongsikan bersama..

Ingat lagi..

Beberapa hari lalu, bonda menelefon anakanda menyatakan kerinduan, kerana sepanjang Ramadhan ini, kita belum berkesempatan untuk berbuka puasa bersama-sama.. Anakanda juga rindukan saat-saat kita menjamah hidangan bersama-sama, namun tugas dan tanggungjawab memisahkan kita buat sementara..Anakanda sebak, cuba mengalihkan topik perbualan, bimbang perubahan suara dapat dikesan oleh Bonda..Sebelum menamatkan perbualan, anakanda berjanji kepada bonda, akan pulang dan bertemu ayah bonda serta adinda-adinda yang dirindui, 2 minggu lagi.. sabarlah bonda, 2 minggu sahaja lagi..

Ingat lagi..

Tadi bonda telefon lagi, ayahanda juga turut mendengar dan mencelah perbualan kami, seperti selalu, tiada rahsia antara anakanda, ayahanda dan bonda.. bila anakanda ditimpa masalah, ayah bonda pasti akan menjadi tempat mengadu, tidak salah seorang, sebaliknya kedua-duanya sekali..bila anakanda ada khabar gembira ayahanda dan bonda berdualah yang pertama akan mengetahui.. Saat mendengar gelak ketawa bonda tadi, hati anakanda sebak lagi.. anakanda rindukan gelak tawa itu, anakanda tidak mahu bonda dan ayahanda bersedih lagi.. anakanda tidak sanggup melihat ayah bonda mengerah keringat lagi.. azam anakanda, ingin ayahanda dan bonda berehat saja di rumah, secepat mungkin..Bila anakanda minta bonda dan ayahanda doakan anakanda selalu, bonda terus mendoakan anakanda, kata bonda, doa untuk anakanda takkan pernah putus.. anakanda tidak sanggup mendengar lagi.. air mata hampir jatuh ke pipi..

Dan hari ini, anakanda berjanji, akan menunaikan janji anakanda pada ayah bonda.. Pengorbanan ayah bonda memang mustahil dapat anakanda balas, walau segunung intan, walau selautan permata anakanda persembahkan buat ayah bonda.. Cuma kebahagian yang dapat anakanda berikan, hanya kasih sayang yang dapat anakanda janjikan.. Ya Allah, panjangkan lah umur mereka, dan panjangkanlah umur ku, supaya aku berkesempatan untuk berbakti kepada mereka...Kakak sayangkan ma dan abah melebihi segala-galanya, terima kasih diatas segala pengorbanan ma dan abah selama ini.. Hanya Tuhan yang maha kaya saja mampu membalasnya..

Salam kasih dan rindu daripada anakanda buat ayahanda dan bonda yang jauh di mata namun sentiasa dekat dihati...

Wassalam..

4 comments:

syauqah wardah said...

Aduhai...
'keredhaan Allah...'

tersentuh hati ana membacanya..
ana pun rindu juga pada ibu n ayah ana..

tak sabar nak balik bertemu..

semoga Allah menempatkan mereka dalam rahmat dan keredhaanNya... :)

bidadari besi said...

salam...
makin menebal kerinduan ini pada ayahanda dan bonda bila baca artikel akak....
entah mengapa, kerinduan di bulan ramadhan lebih kuat berbanding di bulan2 laen...
moga2 kita sama2 mendapat keredhaanNYA...

*~ Insan Bertatih ~* said...

salam...
ayuu...
rindunya dayah pada keluarga bila membaca entri ayu...
semoga ayahbonda kita semua berada di dalam rahmatNYA..amiin..
insyaALLAH...

zati_nadia said...

Assalamualaikum...

Pasti ibu ayahmu amat berbangga punya anak sepertimu..^_^..