Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, September 16, 2009

kerana DIA menyayangimu..

Assalamualaikum..

Jam berdetik, jarum bergerak, berlarian.. meninggalkan detik demi detik jauh dibelakang... Ramadhan yang hampir berlalu, sungguh sedih dan gentar bila mengenangkan.. sedih mengenangkan, adakah kaki ini akan masih berpijak dibumi ini, berbumbungkan langit Ilahi, ataukah jasad ini sudah seluruhnya terbujur kaku beralaskan tanah dan juga berlangitkan tanah, saat Ramadhan berkunjung di tahun hadapan.. Ya Allah, sampaikanlah hamba Mu ini kepada Ramadhan seterusnya.. Gentar mengenangkan bekalan yang sempat dikutip sepanjang bulan barakah ini.. Bagaimanakah agaknya cacatan dalam buku amalan sepanjang bulan ini? penuh dengan CATATAN kebaikan atau CACATAN kejahilan? Ya Allah, terimalah amalan kami...

Semalam, usai majlis iftar dengan pak cik mak cik dan adik-adik ikhwah akhawat, seorang adik berjalan beriringan dengan saya dalam perjalanan pulang ke bilik..

Dia : Akak free tak esok?

Saya : Kenapa, awak nak ajak akak pergi ke mana? (tersenyum mengusik..)

Dia : Tak delah.. (sambil tersenyum kembali..)

Saya : Ke awak nak belanja akak buka puasa?

Dia : He..he.. tak lah, saya nak sembang personally dengan akak.. nak tanya pendapat akak..

Saya : Ouh, nak tanya apa?

Dia : Saya tension la kak.. ( wajah cerianya bertukar muram...)

Saya : Kenapa ni.. tension belajar ye.. (saya bersuara, memujuk dia meluahkan..)

Dia : Tak...

Dan dia mula bercerita kepada saya, satu persatu apa yang menyebabkan hatinya resah, jiwanya tak tenteram.. sesekali saya mencelah, selebihnya saya hanya diam mendengar, membiarkan dia meluahkan apa yang terbuku dihatinya.. saya biarkan dia melepaskan 'beban' yang menjerut jiwanya..

Dia : Saya pernah berazam nak pakai tudung labuh kak, tapi dengan saya yang macam ni pun orang kata macam-macam.. orang kata saya pura-pura baik, buat-buat baik, kononnya alim..
saya sedih sangat kak..

Buatmu adikku, akak tidak mampu menyelesaikan masalah yang menimpa mu, apatah lagi mengubah apa yang telah berlaku.. hanya akak mampu titipkan pesan buatmu, semoga dengan izin Allah, dikau kembali beroleh ketenangan, semoga dikau kembali kuat menempuh ujian dan semoga dikau mampu melihat hikmah yang Allah sediakan...

Adikku,

Hati mu menjadi resah tatkala kedengaran suara-suara sinis dan tajam menuduhmu membuat sesuatu yang tidak dikau lakukan.. dikau kecewa.. dikau terluka.. ketahuilah adikku, dikau sebenarnya berada di medan ujian.. sebagaimana dikau menempuh ujian dalam pembelajaranmu, kini dikau berada pula di dalam 'dewan ujian keimanan'.. bezanya adikku, ujian pembelajaranmu di khabarkan terlebih dahulu agar kamu bersedia, sedangkan ujian keimanan ini tidak menentu datangnya, hikmahnya agar kamu sentiasa berwaspada...soalan ujian akademikmu disusun dan dirangka oleh pensyarah, tapi ujian keimananmu datangnya dari Allah, Pemilik seluruh alam raya, yang Maha Pencipta, yang Maha Berkuasa, dan dalam masa yang sama Dia lah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tapi adikku, dikau bertuah, kerana dewan ujian mu kali ini adalah 'dewan' Ramadhan al-Mubarak, yang didalam nya terkandung seribu satu rahmat dan kebaikan..

Adikku,

Ketahuilah bahawa ujian ini tanda kasihNya kepada mu.. dikau ingat lagi kan firmanNya..

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman,"sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Allah telah menguji insan-insan sebelummu, dengan ujian yang pelbagai, yang lebih berat dan besar dari apa yang dikau rasakan.. untuk apa ujian ini adikku? Supaya jelas siapa yang benar, siapa yang dusta.. siapa yang beriman, siapa yang bermuka-muka.. Adakah Allah tidak mengetahui, siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang berpura-pura, sehinggakan Dia perlu menurunkan ujian untuk menentukannya? Sesekali TIDAK.. Allah sesungguhnya Maha Mengetahui.. Dia tidak menimpakan ujian kepada hambaNya kerana Dia tidak tahu, bahkan Dia menurunkan ujian untuk memberitahu..Memberitahu siapa adikku?


Memberitahu hambaNya yang bermuka-muka bahawa Dia Allah, Maha Mengetahui apa yang terzahir pada perlakuan mereka, apa yang terbuku di hati mereka, apa yang terang dan tersembunyi.. agar mereka kembali bertakwa kepadaNya

Dia juga ingin memberitahu hambaNya, bahawa mereka bukan siapa-siapa, mereka tidak berkuasa, mereka hanyalah hamba, dan Dia Allah yang berkuasa menentukan segalanya.. Dia ingin memberitahu mereka, bahawa ujian ini datang untuk meningkatkan keimanan mereka, kerana ujian ini datang dengan kemampuan diri mereka..Renungi ayat ini adikku..

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."-Surah Al-Baqarah ayat 286

Dia menurunkan ujian ini untuk memberitahumu, bahawa dikau sentiasa dalam perhatianNya, bukankah itu tandanya Dia kasih kepadamu.. Kalau tidak kerana kasih, tentu Dia membiarkan dikau begitu saja, berbuat sesuka hatimu tanpa menghiraukan dosa pahala..mungkin dalam meniti perjalanan hidup seharian, dikau pernah tersilap langkah, lalu Dia titipkan ujian ini sebagai teguran, agar dikau tidak terus terleka.. Dia memanggilmu kembali kepadaNya di saat dikau hampir jauh meninggalkanNya.. betapa indahnya kasihNya kepadamu wahai adikku..

Adikku,

Tabahkan hatimu, kuatkan semangatmu.. hadapi ujian ini dengan penuh kesyukuran dan keredhaan.. Bersyukur, kerana Dia masih memandangmu. Redhalah, kerana Dia tahu apa yang terbaik untukmu.. Ingatkah lagi bagaimana Allah memujukmu dengan ayat cintaNya..

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman."- Surah Al-Imran ayat 139

Adikku,

Bangkitlah dari kesedihanmu, tempuhlah dugaan ini dengan berani.. dikau sesekali tidak boleh mengelakkan diri dari ujian ini, dan sememangnya dikau tidak perlu mengelak, bahkan hadapilah ia dengan penuh kesabaran..

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya(mencapai kemenangan)."-Surah Al-Imran ayat 200

Jangan sesekali dikau minta dikurangkan ujian, sebaliknya mintalah ditambahkan kekuatan oleh Allah untuk kau hadapi ujian ini.. gantungkanlah pengharapanmu kepada Allah..

"Cukuplah Allah bagiku, tidak adaTuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."-Surah At-Taubah ayat 129

dan jangan sesekali dikau berputus asa dari rahmatNya..

"... ..dan jgnlah kamu berputus asa drp rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."-Surah Yusuf ayat 12

Adikku,

Hapuskanlah air matamu, padamkan kesedihan itu, biarkan kekecewaan itu luput dari jiwamu.. Bangunlah dengan asma' TuhanMu.. peganglah erat kalam TuhanMu dan rentasi ujian ini dengan penuh keyakinan tanpa ragu.. keyakinan bahawa ujian ini mendatangimu kerana Dia menyayangimu..

:: Buat adikku, S dan sahabatku, K.. kutitipkan juga pesan ini buat kalian berdua.. semoga tabah menghadapi ujian.. ku doakan kalian terus diberi kekuatan oleh Allah.. aku tidak pandai menyusun kata beruntai hikmah, aku tidak tahu mengait bicara bersulam madah.. semoga kalam Allah mampu mengubat kesedihan kalian tatkala diuji dengan dugaan::


Wassalam..

1 comment:

Nur Hazwani said...

wah~bagus2, best entry ni..