Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, May 24, 2012

Plot 4: "..we have been married for.."

BismillahirRahmanirRahim.

"..we have been married for 5 months, 2 weeks, 2 days.." 

Eh, silap! Itu entri lepas. Hu Hu. Nampak sangat dah lama tak bersambung cerita ni. Timeline yang sebenarnya adalah...
"..we have been married for 8 months and 2 weeks.." 

Apa?? Adui, sungguhlah bagai dijangka. Beranak cucu dulu la gamaknya baru selesai cerita ni. Hu hu. Jomlah, kita sambung, karang melalut entah ke mana-mana pulak nanti.

Dari plot lepas,

Fuuuhh.. lega.. Berakhir sudah la sesi yang 'genting' dengan ustazah dan naqibah. Berpeluh sejuk la jugak, walaupun aircond bilik naqibah tu boleh tahan kuatnya. Teringat balik janji dengan ustazah tadi. Aduhai, macam mana nak cakap dengan ma dan abah ni ya? (hu... sapa suruh pandai-pandai janji), baru beberapa hari lepas (bila telefon mereka), ma dengan abah pertahankan lagi pendapat mereka, baik habiskan dulu pengajian PhD, baru nikah (walaupun ma abah tak kata wajib ikut, tapi saya faham apa maksud mereka). 

Macam mana nak buka cerita nanti? Dah la tak pernah bincang perkara ni dengan serius. Biasanya saya gelak-gelak saja cerita pada mereka bila ada yang bertanya. Macam mana kalau ma abah tak bagi taaruf dulu? Segan juga dengan ustazah dan naqibah, walaupun nanti mereka akan faham dan terima apa saja jawapan. hu hu.. dilema.. dilema.. Apa jawapan ma dengan abah nanti? Takut, risau, nervous..

Konon-konon, itulah dilemanya saya pada waktu tu. 

Alkisahnya, hujung minggu tu saya balik la ke kampung dengan misi besar (ceewwaah- besar la sangat kan). Tapi balik kali ni, serious lain! Berdebar semacam, terharu semacam. Bercampur baur- tak tahu nak describe macam mana. hu hu. Saya bukan drama queen ok! Ini betul-betul punya tau!

Sampai pagi Jumaat, ma dengan abah sambut macam biasa, saya je yang rasa luar biasa. heh! Renung anak mata mereka, aisssyyy! Macam mana nak susun ayat ni.

"Ma, kakak nak kawen"- gatal bebeno bunyinya. heh

"Oh, ayahanda, bolehkah kiranya anakanda ingin mendirikan masjid?"- skema la pulak!

Adui, parah ni!

Eh, jap jap! Bukan ke nak minta izin ta'aruf ke? Dari mana pulak datang istilah kawen dengan mendirikan masjid nih? Maaf la ya, penulis sedang mengalami kecelaruan emosi- waktu tu la, sekarang stabil Alhamdulillah. He he he.

Pagi menginjak tengahari. Bercerita dah. Bergelak ketawa dah. Rutinnya memang macam tu. Sampai saja di rumah. Letak beg dalam bilik, terus ke pot istimewa. Dapur: Tempat bergossip kami. Ops, bukan gossip tentang orang ya, gossip tentang diri sendiri. heh. Abah? Dia ahli tetap, sama tetap dengan ma. Saya tak pernah ada rahsia yang ma tahu, abah tak tahu, atau abah tahu, ma tak tahu. Setiap apa yang saya ceritakan pada ma, abah akan tahu juga. Sebab, kami selalu buat persidangan meja bulat di dapur tu. Sampai adik bongsu pun join sekali! Adeh!

Oh, waktu persidangan meja bulat pagi tu, tentulah saya tak bermadah pujangga lagi. Fikir. Nak bagitahu terus pada dua-dua ke, nak cerita pada ma dulu? Fikir punya fikir, azan pertama solat Jumaat. Abah dah bersedia nak ke masjid. Ok, cerita lepas solat Jumaat la. Sambil-sambil tu, sambung lagi sembang dengan ma. Mulut ni, asyik nak tercerita je tentang TU. Dalam fikiran pula kedengaran suara-suara sumbang, "Ceritalah, ceritalah"

Akhirnya, berbekalkan pepatah 'Lagikan lidah lagi tergigit'. Eh, silap peribahasa! Saya pun mula la buka cerita. Ceritanya sama la dengan cerita dari Plot 1 tu, tapi versi lebih 'control ayu' sikit la. he he. Sepanjang saya bercerita macam bertih jagung tu, ma dengar je, tanpa menyampuk atau bersuara apa-apa. Adoi tolong! Ni reaksi tak setuju ke, marah ke apa ni? Tolong! Tolong! Malu pun ada cakap tentang benda-benda macam ni, sebab tak pernah seumur hidup dengan seriousnya bercakap pasal nih dengan ma abah! Apa pun sejak dari perjumpaan dengan ustazah hari tu lagi, saya doa dan terus doa, semoga Allah tunjukkan yang terbaik untuk kami.

Habis saya bercerita, minta izin ta'aruf pun dah. Cuba teka ma kata apa?

Ok. Kita berhenti di sini dulu la agaknya ya?

Tiba-tiba macam dengar cik keyboard laptop ni kata, "Kalau nak tulis, tulis la panjang sikit, tak berbaloi dengan badan aku yang sakit kena tekan-tekan dengan tangan kau tu tau tak!?"

Ok.ok. Kita sambung.

Permulaan ayat ma macam ni.

"Memang biasa la umur-umur macam ni fikir tentang perkara ni."

"Tak ma. Kakak bukan sengaja nak fikir, cuma terfikir selepas diminta untuk fikir. Lagipun, kakak muda lagi ni- perasan!" Rasa macam nak jawab macam tu je. Tapi mestilah tak, he he.

Ok. Ayat Ma tu masih samar-samar. Boleh atau tak boleh, masih dalam ketidakpastian. Saya? Sebenarnya awal-awal lagi dah letakkan segalanya di tangan Allah, Dia Penentu terbaik! Ma dan abah saya, mungkin asbab saja. Saya pun tak tahu adakah itu yang terbaik? Jadi, kita go with the flow je lah, bak kata orang putih.

Usai ayat pertama, Ma 'berceramah' lagi tentang pertunangan, tentang perkahwinan, ciri-ciri dan sikap-sikap yang perlu ada suami- isteri, cabaran bertunang dan sebagainya. Aik? Bukan ke saya tanya tentang nak ta'aruf?

Ok. Apa point yang Ma cerita amat penting, tapi rasanya tak penting untuk ditulis di sini. Yang lebih penting, lebih pelik bagi saya, saya rasa baru 2,3 hari sebelum balik kampung ni, Ma pesan suruh habis belajar dulu baru FIKIR tentang nikah (jadi kalau  nak nikah tu memang jauh lagi la). Tiba-tiba petang tu, dia macam bagi lampu hijau pulak. Eh, betul ke dah lampu hijau? Belum lagi. Baru separuh hijau, atau kalau bulan tu baru separuh, belum sepenuhnya mengambang lagi. Separuh lagi di mana? Dengan abah la. Hu hu. Kiranya, sebelum menutup nasihat-nasihat dan tips yang panjang tadi, ma kata ok kalau nak ta'aruf dulu.

"Ya Allah, takdirkan yang terbaik untuk aku, keluargaku, agamaku dan dakwahku", doa itu di ulang-ulang lagi.

"Nanti, ma tolong bagitau abah ya?", muka seposen saya memujuk ma. Sedangkan saya selama ini bukanlah anak yang biasa meminta sesuatu kepada abah melalui ma. Saya biasanya, nak cakap atau minta apa-apa, terus saja minta dengan pengetahuan kedua-duanya. Cuma kali ni, segan tu lebih sikit. Heh.

"Kakak bagitau la abah", kata ma. Alaaaaaaaa.... macam mana ni.

Petang. Dalam kereta, kami sekeluarga keluar jalan-jalan. Ok inilah masanya. Saya tunggu ma memulakan bicara. Tak mula-mula juga.

Akhirnya. Akhirnya. Tergigit juga lidah. Terkeluar juga la ceritanya. Saya faham tujuan ma. Dia nak saya cerita sendiri dengan abah. Benda kecil-kecil selama ni saya boleh cerita, inikan pula benda yang macam ni. Ma abah saya, saya rasa macam kawan-kawan saya, tempat saya bercerita apa saja. Alhamdulillah. Reaksi abah? Saya pun suspen juga sebenarnya. Tapi Alhamdulillah, Abah pun sependapat dengan ma. Memang topik hangat sepanjang perjalanan waktu tu adalah bab kawen. Adik saya yang lelaki tu pun terkena tempiasnya. heh! Tambah lagi nasihat dan tips dari abah!

Ok. Jadi bulan telah mengambang sepenuhnya. Dapatlah kebenaran dari kedua-duanya untuk teruskan sesi ta'aruf. Sesi ta'aruf ok, bukan bertunang ke nikah. Lama lagi, panjang lagi prosesnya. Ustazah pun kata macam tu. Ta'aruf tak semestinya membawa ke pertunangan dan perkahwinan. Ada yang terhenti di tengah jalan, bila tidak ada kesesuaian. Sebab itu Baitul Muslim dikendalikan dengan penuh kerahsiaan dan diamanahkan kepada pasangan orang tengah yang boleh dipercayai. Ahli Bulatan Gumbira pun tak tahu masa tahu. Yang tahu, saya dan dia, naqibah dan pasangan ustaz ustazah sebagai orang tengah. Ustazah kata, paling awal pun awal tahun depan 2012 (masa perbincangan ni di awal tahun 2011)

Perasaan saya waktu tu? Lega Alhamdulillah, sebab tak perlu bawa jawapan yang mungkin sedikit mengecewakan ustazah. Apa pun kami tahu, sebaik-baik perancang adalah Allah swt. Masing-masing faham tugas dan niat masing-masing. 

Lepas dapat green light, apa yang terjadi? Macam mana sesi ta'aruf berlangsung? Itu kita tangguh sat la ya. Ada orang ajak makan ni. he he..

 Apapun, selepas peristiwa minta izin ni, sampai sekarang saya masih kagumi ketetapan Allah. Benarlah, sesungguhnya hati manusia itu Allah yang pegang. Dia mampu mengubahnya dalam sekelip mata, dengan kuasaNya. Jadi bila kita berhadapan dengan manusia, yakinlah bahawa Allah jualah mampu menjadikan apa saja, menukar apa saja keadaan, menetapkan apa jua kejadian. Berdoalah kita agar Allah memegang hati kita dalam genggaman iman dan taqwa kepadaNya.

Wassalam.


Monday, May 14, 2012

Exam yang HOT!

BismillahirRahmanirRahim.

Toleh kiri. Toleh kanan. Nak menulis pun rasa tak sedap hati. Kenapa? Sebab rasa ada mata-mata yang sedang memerhatikan. Hah?! Siapa? Bukan siapa-siapa. Cuma assignment dan kerja-kerja research yang mengundang sedikit tekanan baik.  Maklumlah, sekarang kan dah menjawat jawatan pelajar balik. Tekanan ni macam garam tau. Sedikit, tak berkesan apa-apa. Kalau terlebih banyak, naik darah pulak. Yang sedang-sedang saja tu, eloklah untuk kita, supaya lebih proaktif dan produktif! Heh. Macam pakar motivasi tak bertauliah la pulak ya.

Okeh. Berbalik kepada tajuk. Apa-apa pun kena selalu kembali kepada tajuk asal, supaya tak tersasar cerita kita ni. Macam tu jugak hidup ni, kena selalu ingat asal usul kita, supaya tak terpeleot (jangan susah-susah cari kamus untuk tahu maksud perkataan ni) ke jalan yang salah. Bukankah sekurang-kurangnya 17 kali sehari kita minta Allah tunjukkan kita ke jalan lurus? Kenapa 17? Hah! Sudah! (Sila sembamkan kepala ke dinding- eh salah! ke bantal, kalau tak tahu ya! Bukan suruh tidur, tapi sorokkan muka tu sebab malu!)

Alamak, terlebih sudah penerangannya. Okeh, kali ni kita betul-betul kembali kepada tajuk. Heh. Exam apa yang HOT! sangat tu. Oh sebelum tu, cerita ni cerita yang agak suam-suam kuku jugak la, sebab dah lama, tapi tak la sampai basi, sebab tak kongsi dalam teratak maya lagi.

Al-kisahnya begini. Pada suatu hari..

"Ayu, tolong akak jaga exam budak-budak (baca: student) akak, Selasa depan boleh?", terjengul kepala si empunya suara di muka pintu.

"Ok, insyaAllah kak",jawab saya setelah mencongak-congak haribulan sambil membayangkan kalendar kuda di dinding rumah.

"Macam biasa ya, garang-garang sikit dengan depa tu", siap ada pesanan penaja lagi.

Hah! Yang tu memang kepakaran saya!

Tiba hari yang dijanjikan. Usai solat Zohor, saya kemaskan kertas soalan untuk di bawa ke dewan peperiksaan. Sepuluh minit sebelum peperiksaan dijangka bermula, saya terkedek-kedek berjalan ke tingkat bawah pejabat saya, tempat di mana peperikasaan akan diadakan. Langit mendung, angin sepoi-sepoi bahasa dapat dirasa dari tingat dua bangunan tersebut.

Masuk saja ke dalam dewan, pelajar dah hampir memenuhi kerusi yang disediakan. Sebaik berada di hadapan kelas, saya memperkenalkan diri dan mula mengedarkan kertas soalan dan borang jawapan.

" Macam biasa ya, jangan meniru dan memberi tiru, kalau saya dapat tangkap, jawabnya kosonglah markah kamu!" amaran saya bergema ke pelusuk dewan- sakit jugak tekak, dah lama tak 'menjerit' tanpa mic ni.

Sebaik para pelajar mula menjawab, baru saya perasan sesuatu- dewan dengan kapasiti lebih seratus orang ni tidak beraircond. Bahangnya mula terasa. Tadinya tak la terasa sangat sebab saya baru keluar dari pejabat kecil dengan suhu 25 darjah celcius. Saya tercari-cari suis aircond, tak jumpa. Saya cuba membuka bilik sound system di belakang dewan, terkunci pula.

Budak-budak dah mula gelisah. Tangan kiri berkipas, tangan kanan melorek borang OMR. Yang berkulit putih, merah padam muka masing-masing, macam udang kena panggang dah! Yang berkulit sawo matang pun tak kurang, peluh merenik di dahi. Adoi, kesiannya. Nak biarkan mereka duduk satu jam dalam 'bilik sauna' ni, memang agak kejamla. Otak pun cair habis. Nasib baik soalan multiple choices, kalau structure atau essay, 'masak' budak-budak ni.


Berpeluh di dunia tak apa, berpeluh di akhirat???

"Bagus jugak panas macam ni kan, dah tak payah pergi sauna petang ni, berpeluh sihat dah sejam ni hari ni", usik saya. 

Kedengaran suara-suara gelisah. Alahai, apa nak buat ni. Cuba cari-cari nombor juruteknik, tak ada juga. Saya serba salah nak meninggalkan dewan, maklumlah apa-apa boleh jadi nanti. Tetapi memandangkan keadaan yang saya wartakan sebagai darurat ni, saya terpaksa juga.

"Ok, saya nak cari juruteknik sekejap, kamu jangan meniru dan bagi tiru tau. Kalaupun saya tak nampak, Tuhan nampak, kan", pesan saya sebelum beransur keluar.

Sebaik keluar dari dewan, saat angin petang menerpa wajah yang kehangatan, terasa "waaaaaa", nikmatnya! Perasaannya macam, kita teguk ais setelah tekak kehausan yang amat sangat! Tak terkata nikmatnya! Segera saya mempercepatkan langkah menuju ke pejabat am. Aduan dibuat. Kakitangan yang bertanggungjawab mengekori saya ke dewan, tempat para pelajar sedang menghadapi exam yang hot! Godek punya godek, tak dapat juga buka suis aircond. Staf tersebut minta diri untuk cari orang yang lebih arif. 

Sementara itu, seminit terasa macam 10 minit. Bahang kepanasan makin terasa. Saya mundar-mandir dari barisan ke barisan.

"Tak apa, panas sikit je ni", pujuk saya.

"..di akhirat panas lagi", seorang pelajar lelaki menambah ayat saya.

" Tak apa, nanti cakap kat pensyarah kamu, saya bukan tak boleh jawab puan, tapi sebab aircond la ni", seloroh saya, sambil disambut oleh gelak tawa mereka.

Sesekali saya mengerling jam di tangan. "Mana la juruteknik ni", getus saya dalam hati. Saya buka pintu di hadapan dewan, angin sejuk mencuri-curi masuk ke dalam dewan.

"Wah, bestnya angin ni, nyamannya", sengaja saya kuatkan suara- kejam tak saya? he he.

Mereka dah tak senang duduk. Beberapa pelajar yang sudah siap menjawab (atau tak tahan panas?), segera menghantar jawapan, lalu bergegas menerpa ke pintu dewan, seolah nak mengejar angin yang bertiup nyaman. Sebaik pintu dibuka, jelas kedengaran perasaan lega masing-masing. Yang tak habis menjawab ni, apa lagi. Makin la tertekan. Dengan panasnya, dengan soalannya- tau sajalah kalau multiple choices kan, mesti banyak keliru, sebab biasanya jawapannya hampir sama.

"Agaknya inilah exam paling hot sepanjang semester kamu kan", tersengih-sengih mereka mengiakan pertanyaan saya.

Beberapa pelajar lagi keluar. Yang tinggal, masih berjuang. Saya yakin, hati masing-masing meronta, tak sabar nak 'dipelukcium' oleh angin yang menderu di luar sana. Sedang saya memerhatikan gelagat pelajar yang masih menjawab dengan tekun- walaupun kurang selesa, hati saya teringatkan sesuatu, akal saya memikirkan sesuatu.

Betapa selama ini kita tidak menghargai apa yang kita ada. Macam angin pada hari tu. Kita tak menghargai nikmatnya hembusan angin, nyamannya usapannya yang menyapa wajah kita. Dan tiba-tiba, bila 'kehilangannya' buat seketika, kita jadi seakan hilang punca! Angin itu umpama salah satu nikmat Allah yang selalu kita lalaikan. Kita sibuk dengan apa yang orang lain ada, hingga kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada. Bila suatu hari Allah tarik kembali nikmatNya, saat itu baru kita sedar betapa berharganya apa yang telah kita miliki selama ini. Letaklah angin itu pada apa saja nikmat yang kita ada sekarang- nikmat ibu bapa, saudara dan sahabat, suami/isteri, anak-anak, pancaindera, rezeki, kesihatan dan alam seisinya.

Mengelamun saya seketika mengenangkan ibrah hari ini. Hanya ucapan kesyukuran meniti di bibir, berlagu di hati. Alhamdulillah. Ampunkan kekhilafanku ya Allah.

Kemudian, saya teringat seketika kepada 4 orang permata hati kami, yang baru kembali kepada fitrah mereka. Sebagaimana pelajar saya yang melompat kelegaan, setelah tak sabar-sabar nak keluar 'mendapatkan' angin yang menyejukkan, menghilangkan kepanasan yang membalut jasad mereka, begitulah agaknya adik-adik permata hati kami yang tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran setelah ditunjukkan Allah cahaya, jalan keluar dari kegelapan yang menyelimuti mereka selama ini. Bila dilorongkan kepada cahaya Islam, mereka tanpa berlengah menerpa, meluru ke arahnya.

Teringat saya kepada perkongsian mereka pada majlis sambutan saudara baru yang diadakan khas oleh IKRAM Kubang Pasu bagi meraikan mereka.

"Kalau nak bunuh sekalipun, saya takkan keluar Islam", kata salah seorang darinya, saat diancam supaya meninggalkan agama yang baru dianutinya.

"Bila lafaz syahadah, seakan terangkat satu beban yang sangat berat dari kepala", kata yang lain.

" Nikmat Islam tu sangat indah, tak tergambar", betapa dia menghargai nikmat yang diperolehinya.

Saya membayangkan, hembusan angin yang nyaman itu umpama nikmat Islam, dan kita yang sedia Islam sejak lahir ini telah biasa dengannya, hingga kadangkala kita seakan tidak menghargainya. Tetapi adik-adik saudara baru ini umpama mereka yang terperangkap dalam dewan yang tidak beraircond tadi, mereka tidak merasai hembusan itu. Mereka tidak tahu bagaimana untuk keluar dari kehangatan kepada kenyamanan di luar sana. Namun sebaik pintu hidayah dibuka, mereka meluru ke sana tanpa keraguan. Tidak hairanlah, mereka lebih menghargai apa yang baru mereka perolehi, berbanding kita yang sudah terbiasa dengan kenyamanan hembusan Islam ini.

Subhanallah. Ruginya kita. Inilah mungkin sebabnya Allah menarik nikmatNya buat seketika, bilamana kita sudah tidak menghargainya. Allah ingin ajarkan kita, kejutkan kita dari leka dan alpa. Ya, nikmat lain mungkin tidak mengapa kalau ditarik dari kita. Tapi, kalau nikmat Islam? Mungkinkah kita akan mendapatkan semula, setelah ditarik olehNya?

Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pesongkan hati Kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu, Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya" (Ali Imran : 8)

Allahu Allah. Ada hikmah yang tidak kecil di atas peristiwa hari ini, untuk saya dan juga para pelajar, harapnya. Sempat saya menitipkan pesan, "Kadangkala kita tak hargai angin di luar tu kan..". Semoga mereka terfikir akan apa yang saya cuba sampaikan.

Sejam berlalu. Saya masih di dalam dewan itu. Menghadapi kehangatan bukan lagi dengan hati yang sebu dan beku, tapi dengan jiwa yang tunduk malu dengan Sang Pencipta. Subhanallah. Alhamdulillah. La Ilahaillah. Allahu Akbar. Terima kasih ya Allah, untuk exam yang HOT!


Wednesday, April 25, 2012

Shopping untuk baby.

BismillahirRahmanirRahim.

Wah! Lega rasanya dapat tengok 'kertas' putih yang ada garis berkedip-kedip ni. Sekarang masa untuk 'balas dendam' setelah siap semua 7 assignment! Hah!

Ini entri tertangguh. Eh jap! Rasanya kena explain dulu tentang tajuk di atas tu. Nanti ada pulak yang salah faham. Ini bukan cerita tentang baby ya, ini cerita tentang 'baby'

Alahai, apa pulak la mak cik ni merepek neh. Sekejap baby, lepas tu 'baby'.

Ini bukan kisah baby yang berkait dengan persoalan-persoalan yang kerap 'mengigit' telinga sejak 7 bulan ni.

"Dah ada ke?"

"Bila nak pregnant?"

"Dah berisi ke?"

Haaa, jadinya entri ini bukanlah nak menjawab soalan super duper famous di atas ni ya. Ini kisah tentang 'baby' kami yang sangat istimewa buat masa ni, dan selama-lamanya InsyaAllah. Eh jap! Kita jawab jugaklah soalan-soalan di atas tu ya. Jawapannya berbunyi begini (ceeewah macam soalan pop kuiz dah ni!)

"Sebagaimana saya bersabar, yakin dan menyerahkan segalanya kepada yang empunya kuasa untuk mempertemukan saya dengan ayahnya (suami saya), begitu juga saya akan bersabar dan menyerahkan kepada yang empunya kuasa untuk mempertemukan kami dengan cahaya mata."

Boleh tak jawab macam tu? He he.. Walaupun kadang-kadang rasa 'cemas' juga dengan soalan cepucemas tu, tetapi saya selalu tukarkan pertanyaan yang singgah, kepada harapan dan doa kepada Allah.

"Hadirkan dia kalau itu yang terbaik untuk dia, saya, suami, keluarga, dakwah, jamaah dan Islam"

Ok. Tutup cerita tu. Mari kita buka bab lain. Bab yang menyebabkan entri ini ditulis. Ingat lagi tak entri Mereka MUHAJIRIN, Kita ANSAR? Baik, entri ini adalah rentetan dari kisah mereka (Karen+ Susan+ Mei Fei+ MeiShan).

Usai permusafiran kami pada hari itu, saya sedar sesuatu-silap! Allah menyedarkan saya kepada sesuatu. Sesuatu yang saya tak perasan sebelum itu. Semoga Allah maafkan kekhilafan saya. Kami teruja untuk membawa adik-adik ini berkongsi pengalaman dengan insan-insan seistimewa mereka. Kami merancang pelbagai program- usrah, jaulah untuk mereka. Kami carikan modul-modul, buku-buku yang sesuai untuk mereka. Tetapi kami terlupa, kebajikan mereka yang tak kurang pentingnya!

Dalam perjalanan balik dari Penang, saya ditanya oleh Karen tentang baju-baju lamanya, yang sendat, singkat dulu tu. Katanya, semua pakaian dulu dah tak boleh dipakai. Bila saya kata baju-baju tu boleh dipakai di dalam bilik. Tahu apa dia kata? Katanya, nak pakai dalam bilik pun dia segan! Subhanallah! Mereka yang baru faham dan tahu ni terus nak jalankan kewajipan. Kita yang dah lama tahu ni, banyak pulak alasan!

Di situlah Allah kejutkan saya dengan sesuatu- adik-adik ni dalam tanggungan ibu bapa, peminjam PTPTN, macam mana adik-adik ni nak beli keperluan baru untuk digunakan?- baju kurung, T-Shirt longgar, tudung, stokin, Al Quran, telekung......??? Bila saya congak dalam kepala, tak sedikit wang diperlukan! Takkan nak harapkan ibu bapa- yang jelas menentang dan masih tidak tahu tentang pengislaman mereka, untuk hulurkan duit? Allahu Rabbi, ampunkan ketidakpekaan hamba (T_T) Walaupun mereka boleh terus dengan pakaian dulu- dengan alasan masih belajar, tapi mereka enggan jadikan itu alasan! Mereka nak tutup aurat sempurna, mereka nak solat dengan sempurna!

Saya bincang dengan suami, suami bincang dengan pak cik-pak cik. Alhamdulillah, Allah bukakan jalan. Kebetulan minggu selepas itu kami ada daurah persediaan murabbi bersama pak cik mak cik zon Utara. Bolehlah manfaatkan, insyaAllah!

Seminggu selepas jaulah ke Pulau Pinang, kami ajak adik-adik ziarah Ustaz Wan dan Ustazah Roshidah. Makan-makan sikit (banyak kot, ustazah masak!) dan ada perkongsian dari adik-adik saudara baru dan tazkirah dari ustaz Wan. Banyak yang kami dapat- menumpang berkat adik-adik yang istimewa tu. Satu yang saya dapat kongsikan dengan semua.

"Teruskan sebar kebaikan. Baik di fb, youtube, blog dan sebagainya. Kita tidak tahu siapa yang akan terkesan dengannya. Mungkin ada saham untuk kita di sana" 

Adik-adik yang istimewa ni selain dapat pendedahan tentang Islam dari rakan-rakan dan buku, mereka juga tertarik dengan post-post tentang Islam di alam maya. Jadi, terus sebarkan keindahan dan kebenaran Islam, dengan cara dan kemampuan masing-masing. Siapa kata dakwah itu susah,kan?

Seeedaaaaaapp.....

"Ya Allah sebagaimana Kau himpunkan kami di rumah ini pada hari ini,himpunkah kami bersama di akhirat kelak", doa ustaz.

Teguh kita berdiri, seteguh cinta kepada Ilahi.

Oh, ini sesi wajib! He he..

Minggu selepas itu- seperti diceritakan tadi, ada daurah. Sebaik kami maklumkan kepada peserta program tentang adik-adik ni, berpusu-pusu yang nak membantu. Alhamdulillah, kami terima dan diamanahkan untuk menyediakan keperluan asas adik-adik ini dengan sumbangan yang diberikan oleh pak cik mak cik ikhwah akhawat yang hadir semasa daurah tu. InsyaAllah, kami pikul amanah ini sedaya mungkin. Nak bantu banyak, kami tak mampu (semoga Allah maafkan kami), jadi ini sajalah setakat yang terdaya kami lakukan, dengan izin Allah.

Jumaat, minggu berikutnya. Kami ajak adik-adik istimewa ni pergi shopping (yeaaayy!!).  Awalnya mereka tak diberitahu nak ke mana. Saya hanya minta mereka tunggu di perhentian bas DPP masing-masing. Mereka pun, patuh sungguh! Tak tanya pun kami nak bawa mereka ke mana.  Sampai di Changlun (masa tu dah pukul 4.30 petang), barulah kami maklumkan aktiviti kami pada hari tu. Mereka diminta buat senarai keperluan mereka untuk dibeli petang tersebut.

Alhamdulillah, pada permusafiran lepas kami ajar adik-adik ni tentang solat jamak qasar, tentang makmum masbuk, mereka dapat teori dan praktikalnya sekali- lebih baik saya rasa untuk mereka. Kali ni pulak mereka belajar tentang pakaian yang menutup aurat. Ya Allah, hanya Allah saja tahu, betapa sukarnya nak cari pakaian yang memenuhi piawaian SIRIM Islam. Hu hu. Satu kedai ke satu kedai kami jelajah. Saya rasa macam dah bawa anak-anak shopping raya- anak dara pulak tu. Heh! Bukan kanak-kanak riang tau.

Sekejap seorang pilih baju, masuk fitting room. Keluar saja, dah tunggu pegawai kualiti (saya la tu)  di luar. Yang ni tak boleh, kain nipis. Yang ni tak boleh, ketat di pinggang. Yang ni tak boleh, kain licin nampak bentuk badan. Ok, itu baru seorang ya, dan sehelai baju tau! He he he.. Apa pun sangat seronok, shopping sambil belajar! Adik-adik pun nampak sangat seronok, walaupun penat!- cari baju yang lulus tapisan.

Suami saya? Oh, mestilah dia ada. Pemandu dan bodyguard yang sungguh setia! Heh (^_*)y. Sekejap dia berlegar di dalam kedai, sekejap di meja- baca surat khabar. Saya usik dia.

"Sabar ya bang, kita ada 4 orang anak dara ni. Ni kira praktis lah ni". Dia senyum menyambut usikan saya.

Menapak dari satu kedai ke satu kedai. Sekejap naik, sekejap turun Serena yang berjasa tu, berkata seorang adik.

"Macam shopping untuk baby"- okeh anda dah tahu dari mana entri ini dapat tajuk kan?

Maklumlah, beli baju baru, tudung baru, sarung kaki, sarung lengan- macam shopping untuk baby baru lahir la tu kan.

Disambut gelak ketawa oleh kami. Suami yang disebelah saya menambah, "Betullah, semua ni kan 'baby' (baca: baru kembali kepada Islam) lagi, bersih macam baby, tak ada dosa."

Pukul 11.00 malam, barulah pencarian kami berakhir, itupun sebab kedai dah tutup, tapi senarai masih belum 'tutup' ya. (Adik-adik, jom shopping lagi!)

Kata ustaz masa ziarah kami ke rumahnya sebelum tu, "Bila dapat baby baru, kita buat majlis sambutan. Bila terima menantu, kita buat sambutan. Sepatutnya bila ada saudara kita kembali kepada Islam, kita kena buat sambutan jugak ni"

InsyaAllah, kita akan cuba bantu adik-adik ini semampu mungkin. Ramai mak cik pak cik yang terus hulurkan sumbangan. Tak kurang yang nak menjemput mereka ke rumah, makan-makan. Yang bertanya khabar dan keperluan, yang sanggup luangkan masa untuk mengajar mereka membaca Al Quran, yang rela korbankan waktu untuk ajar mereka memahami Islam, terima kasih diucapkan. Terima kasih buat semua yang membantu. Semoga Allah membalaskan kebaikan anda semua dengan kebaikan yang berlipatganda. Tapi jangan lupa, tugas kita belum selesai.

Karen kata, "Kak, ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu kami"

Karen sayang, hanya ini yang akak nak minta, "Doakan kami semua, doakan kita semua, semoga dapat bersama di Syurga, insyaAllah"

Merekalah anugerah istimewa buat kami, Alhamdulillah.

p/s: nampaknya kisah tentang mereka masih panjang, saya letakkan semua entri kisah mereka dalam label Mereka MUHAJIRIN, Kita ANSAR- di pautan sebelah kanan.

monolog: ingat lagi Ummi Nor cerita, kalau kita memandu kereta, nampak kereta depan kita ada tanda L, kita tahu itu kereta yang pemandunya dalam latihan. Jadi kita takkan marah atau melenting kalau dia lambat sikit atau ke kiri ke kanan pemanduannya. Macam tu juga dengan Allah. Kalau kita sedang belajar, Allah takkan marah kalau kita tertinggal banyak perkara, tersilap banyak benda. Sebab Allah tahu, kita sedang belajar. Jadi teruskan belajar, dan bila dah tau-amal! Masalahnya kita ni, dah tahu buat-buat tak tahu! Patut kena amalkan, kita sengaja tinggalkan. Agak-agak, Allah berhak marah tak? Tapi marah Allah pun, masih beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Jadi ayuh! Teruskan belajar memahami Islam, amal bila tahu, taubat bila tersilap! InsyaAllah.