Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Saturday, February 13, 2010

Yakin..

Assalamualaikum..

Salam sayang, salam ukhwah buat semua.. Beberapa hari lepas, ada dengar rancangan di TV berkenaan tajuk 'Yakin', panelnya ustaz Ravi dan Ustazah (PM Dr.) Noorhayati.. Sangat menarik kupasan mereka tentang topik ni.. Bagi yang tak berkesempatan mendengar, jom kongsikan dengan saya, bagi yang turut mendengar hari tu, boleh la tambah isi-isi yang tertinggal ya..

Keyakinan adalah salah satu perkara yang amat berkait rapat dalam hidup kita. Biasanya untuk mendapatkan keyakinan ni kita perlukan bantuan pancaindera mata dan telinga kita. Maksudnya bagaimana? Contohnya bila kita dengar sesuatu berita, kita perlu lihat dengan mata kita sendiri apa yang berlaku dan dengar dengan telinga sebelum mengesahkan kebenaran sesuatu berita seterusnya barulah mencambahkan keyakinan kita..

Tapi indah dan istimewanya Islam ni, ia mengajar kita keyakinan tanpa pengesahan dari mata kasar dan telinga yang mendengar.. Contohnya, kita tidak dapat melihat Allah dengan mata kasar, begitu juga kita umat akhir zaman ni tak dapat melihat susuk peribadi baginda Rasul, namun kita menunjangkan keyakinan kita tentang adanya Allah melalui ciptaanNya seperti alam semesta, dan yang paling dekat, diri kita sendiri. Begitu juga kita mengenali baginda Nabi melalui satu lagi bukti kewujudan Allah, iaitu Al-Quranul Kareem..

Kalau lihat Rukun Iman pun, Percaya kepada Allah, malaikat, kitab, Rasul, hari kiamat dan qada' qadar. Percaya ini bukan kepercayaan semata-mata, tapi mesti percaya dengan YAKIN! Inilah yang membezakan antara orang beriman dengan yang tak beriman. Allah berfirman,

"Dengan yang demikian, adakah orang-orang (yang beriman dan taat) yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhannya: Sama seperti orang-orang (yang ingkar derhaka) yang telah diperhiaskan kepadanya (oleh Syaitan) akan kejahatan amalnya (sehingga dipandangnya baik) dan yang telah menurut hawa nafsunya? (Sudah tentu tidak sama)!" Surah Muhammad:14

Jadi amatlah penting untuk kita gantung keyakinan kita hanya kepada Allah, sebab pergantungan kepada manusia belum tentu akan membuahkan hasil, kerana manusia hanyalah makhluk yang segala ketentuan terhadapnya ada ditangan Allah. Lantas, daripada meminta kepada makhluk yang tak berdaya, baik lah kita minta terus kepada Penciptanya..

Kita susuri pula kisah umat terdahulu, bagaimana keyakinan mereka telah akhirnya wujudkan kekuatan yang luar biasa pada diri mereka. Bagaimana keyakinan ibu Nabi Musa, saat menghanyutkan anak kesayangan ke sungai. Fitrah bertuhan yang ada dalam dirinya akhirnya merelakan dia untuk melepaskan anaknya, dengan keyakinan anaknya akan selamat dan dilindungi. Nabi Ibrahim pula menolak pertolongan malaikat yang datang saat dia hampir dibakar api kerana keyakinannya dengan pertolongan Allah yang akhirnya menjadikan api yang marak membakar menjadi sejuk dingin.

Juga kisah dua beranak, nabi Ismail dan nabi Ibrahim yang mendapat perintah dari Allah untuk menjalankan penyembelihan, dengan yakin nabi Ismail meminta ayahnya nabi Ibrahim melaksanakan perintah itu, begitu juga dengan nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya semata-mata keyakinan yang tak berbelah bagi terhadap Allah, maka akhirnya mereka ketahui Allah menjadikan perintah itu sebagai ujian untuk menguji keimanan mereka, dan akhirnya Allah mentakdirkan bukan nabi Islam dikorbankan sebaliknya seekor binatang qurban sebagai gantinya..

Jelas sekali Allah takkan menyia-nyiakan hambaNya yang menggantungkan keyakinan kepada Allah,

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." Surah At Taubah: 111
Jadi seharusnya kita sematkan keyakinan yang tinggi terhadap keesaan dan keagungan Allah. Yakin dengan kewujudan malaikat sebagai makhluk Allah yang menjalankan tugasan dibawah arahan Allah. Juga yakin akan kebenaran Al Quran, kalam Allah yang terpelihara sehingga hari kiamat, keyakinan bukan sekadar dengan membaca, malah perlu memahami dan mengamalkan isi kandungannya. Yakin kepada kepada nabi dan Rasul pilihan Allah yang menyebarkan syiar Islam di muka bumi. Yakin akan adanya hari kiamat, hari pembalasan terhadap segala amalan kita di muka bumi. Dan juga yakin dengan ketentuan, qada' qadar Allah yang ditetapka untuk kita..

Akhir sekali, kalau kita nak jadi pokok yang tinggi, maka bersedialah untuk ditiup angin kencang, namun jika kita tidak sanggup ditiup angin, maka jadilah rumput di tanah, tapi bersedialah untuk dipijak-pijak orang..

Semoga bermanfaat, salam sayang...

Wassalam

2 comments:

Asma' Suardi said...

salam sayang kak...

alhamdulillah...perkongsian yang menarik kak...teruskan istiqomah dlm menulis ye...(",)

Ayu Zamani said...

My Dear sis..

Thanks sudi singgah.. InsyaAllah akan cuba istiqomah seperti kamu..