Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, February 1, 2010

Buatmu ikhwah akhawat tersayang..

Assalamualaikum...

Lama sungguh tak melarikkan bait kata di teratak ni.. rindu, sangat rindu untuk menulis, apakan daya, hambatan masa, timbunan kerja dan tugasan yang perlu dibereskan.. kekadang idea mencurah, tapi tak berkesempatan menzahirkannya ..

Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Allah swt, yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.. Selawat dan salam ditujukan khas untuk kekasih Allah swt, insan pilihan, baginda nabi Muhammad saw...

Banyak sungguh yang berlaku sejak akhir-akhir ini.. dan pastinya segala yang berlaku menjadi rencah kehidupan yang entahkan masih panjang, ataukah telah hampir ke penamatnya..

Sangat gembira bila saff kepimpinan yang diimpikan selama ini akhirnya mampu didirikan.. tapi juga terasa gusar dengan amanah yang terpikul di bahu.. melihat riak semangat sahabat-sahabat, adik-adik yang turut menerajui saff ini, terasa amat lapang dan gembira.. namun, masih banyak perkara perlu dirancang dan difikirkan, semuanya untuk memastikan kelangsungan gerak kerja dakwah di bumi jelapang padi ini..

Untuk ikhwah akhawat, adik-adik yang disayangi, bersyukurlah kepada Allah, kerana diantara ribuan malahan jutaan insan dimuka bumi ini, dikau adalah antara mereka yang terpilih untuk berada di jalan ini.. tika rakan-rakan seusiamu galak menikmati zaman mudanya yang penuh dengan keseronokan dunia, dikau pula bergelumang dengan permasalahan yang bukan kecil untuk difikirkan, iaitu masalah ummah, yang pada zahirnya kelihatan 'sihat' namun sebenarnya telah dikelilingi malah 'diratah' oleh 'makhluk' kejahilan..

Lihatlah disekelilingmu ikhwah, akhawat, adik-adik yang kukasihi, bagaimana 'binatang' kejahilan telah 'menelanjangkan' keimanan rakan-rakanmu, hinggakan bukan saja jasad mereka 'terdedah' dengan penjajahan, malah fikiran mereka juga turut terpenjara.. dan tanpa sedar, ummah ini kembali terjajah! Tidakkah dikau mengasihani mereka ini? Tidakkah dikau meratapi kesakitan mereka? bilamana mereka diperlakukan sesuka hati, dikau seharusnya turut merasai penderitaan mereka, walaupun pada zahirnya, mereka sendiri tidak menyedari 'penyakit' yang menjangkiti mereka!

Tegarkah dikau melihat insan-insan disekelilingmu terus 'dilanyak' oleh 'makhluk' kejahilan, lantas membiarkan mereka 'mati' tanpa mengenal erti berTuhan? Pandanglah mereka dengan kasih sayang, bukan dengan jelingan cemuhan.. Relakanlah bahumu untuk menanggung beban kesakitan tatkala menjulang amanah pengislahan ini, relakanlah kakimu untuk terluka tatkala melalui jalan yang penuh onak duri ini, relakanlah dirimu, hartamu, jiwamu dan ragamu terkorban untuk tugasan ini..

Jangan dikau khuatir kerana Allah pasti akan bersamamu.. tapi awas sayangku, jangan dikau tertipu dengan permainan syaitan durjana, jangan dikau jadikan medan ni tempat untuk berbangga-bangga, kerana kita bukan sesiapa, hanyalah hambaNya yang lemah semata-mata, bukan kita yang menentukan naik turunnya, bangkit jatuhnya ummah ini, bukan kita yang mengubah ummah ini, kerana ianya ketentuan Allah semata-mata..

Namun sekurang-kurangnya, jadilah kita umpama burung kecil yang menagguk titisan air ke paruhnya lalu cuba memadamkan api yang marak membakar tubuh Ibrahim, nabi pilihan Allah. Walaupun si burung tahu usahanya tidak berkepastian untuk berjaya, namun sekurang-kurangya dia telah menaburkan usaha dan pastinya akan ada jawapan untuk disuarakan saat berhadapan dengan Allah kelak.. Kita pula bagaimana? Saat melihat ummat ini 'kesakitan' akan adakah jawapan untuk dipersembahkan kepada Rabb kelak?

Ikhwah akhawat, adik-adik yang dikasihi Allah, disamping dikau memikirkan ummah ini, jangan dikau lupa akan dirimu sendiri.. perkasakan dirimu dengan tarbiyah, mantapkan keimananmu dengan mendekatkan diri kepadaNya, jangan sesaat pun kau leka dengan dunia, dan jangan sesekali kau melayan lelah yang berbekas di jiwa..Bukankah janji Allah itu pasti benar? yakinlah dikau, setiap keperitan yang dikau rasai, setiap titisan air mata yang dikau tangisi, setiap jejeran peluh yang turun membasahi tatkala langkahmu diatur dijalan ini, semuanya tidak akan terlepas daripada pandangan Ilahi, dan serahkan sajalah kepadaNya untuk mengganjari..

Bahu sudah menggalas amanah, kaki harus mula melangkah, jangan lengah, jangan mengah.. mari kita atur langkah ini bersama, pastikan selari pastikan sehati, pacakkan azam, kukuhkan iltizam, andai ada antara kita yang tersungkur rebah, hulurkan tanganmu jangan lengah, bisikkan padanya 'kau harus tabah!'.. Medan ini memang payah, medan ini membuatmu resah, namun jangan sesekali kau rasa gundah, kerana di sisimu adanya Allah!

Ya Allah yang maha Besar, kami hambaMu yang sememangnya lemah, bantulah kami, tolonglah kami, atas perjuangan di medan ini... Tiada apa yang ada pada kami untuk dipersembahkan padaMu, hanyalah jasad ini, jiwa ini, harta ini, masa ini, tenaga ini, yang juga milikMu, yang juga pinjamanMu, untuk kami pertaruhkan buat menghadapi ranjau di perjalanan ini.. Ya Allah ya Tuhan yang berkuasa membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas keimanan terhadapMu, lorongkankah kami ke jalanMu yang lurus, janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami.. Ya Allah, tidak kami minta dikurangkan ujian, namun kami minta untuk ditambahkan keteguhan untuk terus melangkah di jalan ini, semoga akhirnya perjalanan ini membawa kami ke Jannah.. Ya Allah, redhailah kami dan peliharalah kami dalam kasih sayangMu..

Wassalam..

3 comments:

sal said...

salam...

wah teruja sungguh dengan saff pimpinan k-kedah ni.alhamdulillah antum adalah pilihan terbaik Allah untuk memakmurkan bumi ini.
doa sal sentiasa bersama antum walau kita tidak bersama.mohon doa juga untuk tetap tsabat di jalan ini pabila berjauahan kelak..

luv
sal

kami saff terengganu said...

subhanallah..alhamdulillah...AllahuAkbar...bersyukur kepada Allah jua kerana diberi keizinan oleh Allah untuk kita sama2 menjadi penerus agenda risalah Allah..teruskan istiqamah shbt2 ku...kejauhan dari K-Terengganu...

Pendamba Mardhatillah said...

Sal- InsyaAllah kita sama2 doakan semoga Allah terus menetapkan hati kita di atas jalan ini..

Saff terengganu- Semoga antum juga terus diberi kekuatan untuk melangkah di jalan ini..